Ahad, 26 April 2009

PENTINGNYA PRASEKOLAH




Pendidikan formal anak-anak menjadi kewajiban terhadap ibubapa. Tanpa pendidikan ini dikhuatiri anak-anak bakal berhadapan kesukaran dalam mengharungi kehidupan. Berbanding waktu dahulu, pendidikan formal kanak-kanak kini bermula sangat awal. Ada yang memulakannya seawal umur 3 tahun dan puratanya dalam umur 5 tahun.

Diakui kini, pendidikan prasekolah boleh dianggap sebagai sesuatu yang wajib. Darjah 1 bukan lagi menjadi ‘platform’ untuk anak-anak belajar memegang pensil mahupun mengenal huruf. Sebaliknya anak-anak kini diharapkan sudah pun pandai membaca dan menulis (paling kurang berbentuk dua sukukata). Ini realitinya. Jika tidak anak-anak ini akan dianggap sebagai ketinggalan dan ini amat menyedihkan. Namun masih terdapat juga kanak-kanak yang tidak berpeluang untuk mendapatkan pendidikan prasekolah ini. Utamanya disebabkan oleh faktor kewangan ibubapa.

Bagaimanapun pilihan masih ada bagi ibupaba bagi menentukan di mana anak mereka akan mendapatkan pendidikan asas ini. Tadika swasta sungguh banyak tapi tidak kurang juga tadika dibawah kerajaan. Selain itu, kini telah ada Sekolah Rendah Kerajaan yang mempunyai program pendidikan prasekolah bagi kanak-kanak berumur 6 tahun. Namun ia biasanya terhad hanya kepada 2 kelas untuk satu-satu sekolah dan pemilihan murid adalah berdasarkan pendapatan keluarga. Keluarga berpendapatan rendah adalah diutamakan.

Sebaiknya kanak-kanak didedahkan kepada alam prasekolah selama 2 tahun berturut-turut sebelum ke darjah satu. Ini bermakna mereka mula ke sekolah pra pada usia 5 tahun. Di tahun ini adalah pendedahan awal ke alam persekolahan secara umum. Ini adalah masa untuk mereka mengenal alam persekitaran yang baru. Latihan bangun awal pagi (bagi sesi pagi) mahupun terpaksa berhenti bermain untuk ke sekolah (bagi sesi petang) mengajar mereka untuk berkorban. Tambahan pakaian seragam yang disarung sehingga ke suasana pembelajaran di dalam kelas semuanya akan memberi satu semangat dan dorongan dalaman untuk mereka lebih rajin ke sekolah rendah. Biasanya kanak-kanak ini tidak meragam bila ke darjah satu kerana sudah terbiasa dengan alam prasekolah. Mereka biasa dikelilingi rakan-rakan sebaya juga guru dan sudah pandai membawa dan menyesuaikan diri.

Keutamaan dan penekanan wajib diberikan pada tahap 2 semasa berumur 6 tahun. Mereka dimestikan pandai membaca dan menulis (sebaiknya rumi dan jawi) juga mengira dengan mudah begitu juga membaca muqaddam (Iqra’). Jika mereka melalui fasa prasekolah dengan baik, Insyaallah masalah apabila berada di darjah satu dapat diminimakan. Mereka tidak akan rendah diri dan dapat berada sebaris dengan rakan-rakan dari segi pembelajaran. Namun peranan ibubapa di rumah juga mesti ada dalam membantu anak-anak terus mengasah minat dan tidak lalai walaupun pelajaran belum begitu berat. Pembentukan modal insan sememangnya amat mustahak demi kemajuan agama, bangsa dan negara.

Isnin, 20 April 2009

DUA CABANG ILMU

Sebagai seorang insan, kita arif bahawa hidupnya kita atas gabungan roh dan jasad disebut juga nyawa dan badan. Lantas sebagai seorang Muslim begitu selanjutnya mempercayai hidup kita juga terbahagi kepada dua alam (bukan dua alam ala katak amfibia) – alam yang jauh lebih mulia iaitu alam dunia dan alam akhirat. Dunia ini wajar kita layani sebagai jejambat menuju ke alam kekal iaitu alam akhirat. Ini selayaknya menjadi pegangan mereka yang bersyahadah. Justeru, ilmu dunia dan ilmu akhirat wajar menjadi tuntutan. Umumnya, jika mahu kepada dunia – hendaklah berilmu , jika ingin kepada akhirat juga mestilah dengan ilmu.

Manusia pantasnya mencari kejayaan dalam hidup di dunia. Hanya dengan kejayaan (erti biasa)mampu seseorang meraih kemewahan, kekayaan, pangkat, darjat dan harta begitu juga perhatian dari masyarakat sekeliling. Lebih dari itu, kehidupan akhirat yang bakal ditempuhi juga hendaklah disedari menjadi destinasi akhir dalam sebuah penghidupan. Sebagai manusia yang bersifat lemah, keseimbangan antara dua cabang ilmu (disertai amalan) akan mampu membawa kita menuju kebahagiaan dan ketenangan. Tidak saya sebutkan kejayaan kerana kejayaan itu (pada pandangan saya) adalah natijah dari kebahagiaan dan ketenangan. Apalah erti kejayaan dang gah di mata jika tiada ketenangan dan kebahagiaan. Sedangkan tenang dan bahagia adalah merujuk kepada aspek rasa dalaman (ya! dari hati).

Berbeda dengan tenang dan bahagia, kejayaan dunia lebih ditonjolkan sifatnya secara zahir. Namun tak tertolak juga keduanya saling berkait bagai aur dan tebing. Terdapat mereka yang merasa dengan mendapat kejayaan (isitilah biasa itu) baru merasa tenang dan bahagia. Ini bergantung pada individu. Amat beruntung jika mendapat kebahagiaan, ketenangan dan kejayaan sekaligus. Namun sering terungkap bahawa ‘tiada siapa yang bisa dapat semua yang diingini’. Dasarnya, ini kerana manusia tidak akan pernah puas. Itu fitrah lagi lumrah. Baiknya - itu juga yang menjadi penggerak ke atas usaha demi usaha. Pentingnya ia mengarah kepada kebaikan dan bukan kemaksiatan.

Akhirnya saya mengingatkan diri sendiri dan berkongsi ingatan ini dengan anda di mana usaha mendidik diri tidak boleh berhenti. Pendidikan formal yang kita perolehi dan diiktiraf dengan segulung kertas yang diterima tidak menjamin kesempurnaan hidup seterusnya. Penghidupan itu kompleks sekali. Tiada satu skrip khas yang dapat menjamin kelangsungan cerita. Selalu perlu kepada renungan, pemikiran, perbanding, pengkajian dan memerlukan kita membuat perubahan ke arah lebih baik lagi. Kerana itu ada KONSEP HIJRAH. Mengenang kembali - Satu pesan dari seorang yang baru saya kenali dan bermakna sungguh rasanya – Carilah ketenangan dan bukan kepuasan dalam hidup. Hidup ini terlalu singkat. Setiap yang muda akan tua dan penting sungguh memikul amanah dan tanggungjawab utama dalam hidup. Sesunggunya Ia Maha Tahu…….

Sabtu, 18 April 2009

MUKADDIMAH - KENAPA NAK ADA BLOG?

Assalamualaikum dan Salam Perkenalan,

Mukaddimah atau pengenalan ni sepatutnya menjadi pendahuluan yang mendahului entri lainnya. Apakan daya sebagai orang baru mengenal pembikinan blog (bukan filem) ni kelemahan yang mesti saya akui. Memang saya lemah dalam hal-hal perkomputeran mahu pun alatan berteknologi yang memerlukan kemahiran teknikal yang lain seperti mobilefon yang canggih mahupun kamera digital. Nak jadi cerita, baru-baru ni nak keluarkan kad dari digital kamera pun ambil masa lebih 15 minit. Sampai keluar peluh. Masa tu sesorang je, (selalu tahu posing dan gambar siap dan enjoy tengok kemudian masuk album). Bila dah terdesak (anak minta tolong cuci gambar), tu yang menggelupur dibuatnya. Kalau dengan laptop, biasanya hanya pandai menaip teks dan melayari internet je. Mendengar perkataan Friendster, Twitter kerapkali namun tak pulak tahu dan tak faham apa dan bagaimana (atau tak nak ambil tahu). Namun bila dah selalu membaca artikel-artikel di blog-blog yang selalu dikunjungi sedikit sebanyak mencetus keinginan mempunyai blog sendiri.

Kewujudan blog ini lebih kepada asas mendidik diri sendiri supaya berfikiran lebih terbuka dan menjadi asas usaha untuk menimba ilmu dan mempelajari teknologi ciptaan manusia merupakan kurniaan dari Ilahi ni. Ilmu Allah ni jika dihimpun dalam 7 lautan utama didunia (hakikatnya ia meliputi langit dan bumi dan sekalian alam) ni apa yang sampai pada manusia didunia ibarat hanya setitis darinya. Setitis tu pun tak terkejar semuanya oleh kita. Kena pilih ikut keperluan dan keserasian dan minat. Selain tu saya nak melihat sama ada diri ni mampu ke berkarya. Setiap penulis blog sebenarnya secara sedar atau tidak telah dan sedang berkarya berkarya dengan hasil tulisan mereka. Saya cuba menyahut saranan pengarang kesukaan saya Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni. Di dalam bukunya bertajuk Kunci Kejayaan Minda terbitan Telaga Biru di m/s 42 menyarankan ; Cuba menghasilkan karya walaupun anda tidak berbakat. Bakat bukan dicari, bukan dinanti dan manusia menulis untuk difahami, bercakap untuk didengari dan membaca untuk memahami. Best betul frasa tu.
Saya berpendidikan BBA Finance dan mempunyai Diploma Analisa Pelaburan dari UiTM. Pernah bekerja di syarikat broker saham di Kuala-Lumpur (kerja biasa je). Namun sekarang hanyalah seorang surirumah. Selalunya saya ni melayari internet untuk mencari maklumat sama ada untuk diri sendiri atau membantu anak-anak dalam hal persekolahan. Namun kebiasaan itu bertukar menjadi satu minat kepada internet dan apa yang dapat dicapai dengannya selain mendapatkan maklumat. Ramai yang menjadikannya sebagai sumber mencari rezeki. Diantara laman web bisnes plus motivasi kesukaan saya adalah irfankhairi.com dan smartusaha.com. Dua anak muda yang telah berjaya dalam perniagaan internet. Ramai yang ingin dan telah menjadikan mereka idola bahkan mentor. Syabas pada mereka!.
Akhirnya saya bermohon pada Allah supaya dapat terus berilham untuk input yang berfaedah untuk simpanan saya dan dikongsi bersama umum. Semoga ada manfaat untuk diri dan orang lain. Mudah-mudahan saya berdaya dan dipermudahkan jalan yang saya lalui olehNya.....
Wassalam.

Khamis, 16 April 2009

MEMBACALAH! - KNOWLEDGE IS POWER





Bicara tentang aktiviti membaca, kita semua tahu bahawa ia merupakan asas mendapatkan ilmu. Bertitik tolak dari peristiwa di Gua Hira’ yang telah diperkatakan pada entri lalu. Sekarang apa kata kita lihat pula adaptasi peristiwa itu pada 'reality' masa kini dalam hidup kita yang serba canggih dan penuh berteknologi. Jika waktu ini saya dan anda sedang selesa menghadap skrin desktop atau laptop, kita sebenarnya amat bertuah kerana dengan ilmulah kita mampu melakukannya. Jangan lupa masih terdapat mereka yang tidak tahu mengoperasi alatan ini. Kemahiran itu pula berperingkat; ada yang ‘execellent’ mahir, separa mahir, kurang mahir dan akhirnya tidak mahir.

Ilmu amat kuat kaitannya dengan sifat membaca. Masa sekolah rendah dulu kita kerapkali dengar –Membaca Jambatan Ilmu. Membaca, seperti dalam suratul Al-Alaq membuka kita dari kegelapan kepada cahaya. Ringkasnya, kita jadi tahu asal-usul kita (dari darah beku di rahim ibu – hasil pencatuman benih ayah dan ibu), siapa pencipta kita (Allah s.w.t), apa tanggungjawab kita (menyembah dan beribadat) dan ke mana hala tujuan kita (pastinya alam yang kekal - akhirat). Kita jadi tahu, cerdik, peka dan terangkat darjat (antara orang yang tahu dan tidak tahu – memang berbeza) dengan ilmu yang sebahagian besarnya datang dari kegiatan membaca. Oleh tu siapa yang memang suka membaca tu - teruskan!. Bagi yang tak berapa tu - fikirkan! Janganlah membaca kerana terpaksa tetapi lakukan dengan kerelaan. Percayalah! ilmu baik itu penuh behikmah.

Orang Putih menyebut ‘Knowledge Is Power’. Tepat dan semestinya. Mungkinkah susulan dari peradaban Islam juga yang telah dapat membawa mereka sampai berkata sebegitu. Melalui ilmu manusia memahami dan cuba menakluk dunia. Masyarakat Barat memang dikagumi dari segi kegigihan menimba ilmu dan mengeksplotasi ilmu. Hasilnya adalah kita hidup dengan kecanggihan dan penuh kemudahan - lihat saja aspek teknologi yang berkembang. Internet, telefon bimbit terkini, kamera perakam detik yang menghasilkan gambar seperti di atas sehingga mampu di 'upload' (mahu pun saya terkial-kial melakukannya kerana tak pernah buat sebelum ni) dan bermacam lagi. Syukur Alhamdulillah!. Sedangkan saya terfikir, sebenarnya sejarah perkembangan Islam (penurunan wahyu 1) itu sendiri adalah dasar penyebaran ilmu (dakwah) dan segala pengetahuan dari zaman Rasulullah sehingga diwarisi oleh para ulamak juga cerdik pandai masa kini. Atas dasar ilmu, manusia dapat melayari kehidupan dan mencari kesejahteraan duniawi mahupun ukhrawi. Jadi, adalah wajar kita mengagumi Tamaddun dan Peradaban Islam sebelum ke Barat.

'BACALAH' - WAHYU PERTAMA PEMBUKA ILMU

1. Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian) manusia


2. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku

3. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang maha Pemurah

4. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan

5. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Maka telah pun turun wahyu pertama, Surah Al-Alaq – di Gua Hira’ dari Allah melalui Jibrail kepada Muhammad. Peristiwa ni boleh dilihat sebagai pembuka Tamaddun ulung dan unggul sekaligus bermulanya peradaban tersusun bagi manusia seiring dengan perjalanan Rasulullah dalam menyebarkan Islam agama ‘Way of Life’.

Menyingkap peristiwa sewaktu Jibrail menghadirkan diri di hadapan Rasulullah memang menggetarkan. Sehingga pulangnya meminta diselimutkan oleh isteri tercinta, Siti Khadijah. Bayangkan jika setiba-tibanya berdepan dengan yang tidak dikenali sewaktu sedang asyik bersendirian mengasingkan diri. Pasti berbagai perasaan menyeliputi diri. Muhammad bersendirian dengan tujuan mencapai ketenangan dan lari dari hiruk-pikuk dan kegawatan akhlak kaum Jahiliyyah. Gua Hira’ (Jabal An-Nur) menjadi destinasi .

Dimaklumi bahawa Muhammad adalah seorang Ummi (tidak tahu membaca dan menulis) masakan disuruh membaca. Namun itulah kehendak dan ketetapan Allah. Perancangannya yang Maha hebat dengan ilmunya juga kekuasaan yang meliputi langit dan bumi. Setelah didakap erat sebanyak tiga kali dan diseru juga sebanyak tiga kali untuk membaca oleh Jibrail, Muhammad langsung diilhamkan (dengan kekuasaan Allah) dengan daya hafalan lalu mampu menurut dan mengingati lima ayat pertama yang disampaikan padanya. Sejurus itu bermulalah perjalanan dakwah Rasulullah.

Melalui terjemahan Al-Alaq di atas, jelas sungguh bahawa membaca itu membawa manusia mengenal Penciptanya, tahu asal-usul kejadiannya, memahami sifat pemurah Tuhannya, mengajar manusia melalui pena dan tulisan (apa sahaja bidang ilmu mesti perlu kepada pena untuk mencatat tulisan, mahu pun komputer mesti perlu kepada 'ink' atau 'toner' untuk dicetak) dan mengajar apa yang tidak manusia diketahui (kenang semula bagaimana Allah mengajar ilmu pada Adam yang mengalahkan pengetahuan penghuni langit sehingga diperintah semua sujud padanya - terangkat darjah manusia yang bernama Adam yang diciptakan dari intipati tanah). Sungguh Allah Maha Besar lagi Maha Mengetahui.