Isnin, 25 Oktober 2010

BILA IZRAIL DATANG MEMANGGIL

Setiap sesuatu itu diciptakan berpasangan. Tidak terkecuali, kematian itu adalah pasangan kepada kehidupan itu sendiri. Kematian adalah penamat, penutup, penyudah kepada setiap yang bernyawa. Jika berbicara tentang kematian, reaksi yang akan kita perolehi berbeza-beza bergantung dengan siapakah kita berbicara. Namun persepsi umumnya kematian itu sesuatu yang nampak menggerunkan, menyedihkan dan menghibakan. Persepsi itu tidaklah salah dan aku sendiri tidak terkecuali dari berfikir sedemikian.


Hari ini 17 Zulkaedah, genaplah 17 hari pemergian bapa mertuaku ke Rahmatullah. Hari itu masih segar dalam ingatanku. Mendapat panggilan dari mak mertua pada waktu Zohor dan bagaimana kami sekeluarga bergegas untuk pulang ke kampung setelah menyelesaikan beberapa perkara yang perlu. Bapa mertua yang telah terlantar kurang lebih 3 tahun akhirnya kembali menyahut panggilan Ilahi setelah tamatnya perjanjian dan tempoh kehidupannya di dunia yang fana’ ini.


Dalam perjalanan pulang ke kampung ingatanku ligat mengimbas kembali peristiwa pemergian abahku. Semua kenangan silam itu terasa segar kembali. Airmataku terasa berbahang mengenangkan insan yang telah berjasa membesarkan aku dan pengorbanannya menyara kami sekeluarga. Selain itu aku juga sedih kerana dengan permergian bapa mertua, ayah kepada bapa kepada anak-anakku yang berjasa kepada mendidik dan membesarkan suamiku.


Allahyarham bapa mertuaku seorang yang tidak banyak bercakap. Beliau akan bercakap pada tempat yang dirasakan perlu. Namun apa yang aku tahu beliau sangat sayang pada anak-anaknya. Berbeza dengan Allahyarham abahku, beliau seorang yang peramah dan mesra. Tegas tetapi penyayang. Sesekali rinduku singgah mengenangkannya.


Pemergian bapa mertuaku ini menyingkap sesuatu yang baru untukku. Mungkin menjangkau usiaku kini, penilaianku tentang kehidupan dan kematian ini memasuki satu fasa yang lain. Berbeza dengan kematian yang aku berhadapan sebelum ini, kesan kematian yang terbaru ini seakan lebih mematangkan aku. Betapa aku yang masih ada nikmat nyawa dan kehidupan patut menghargai dan mensyukuri nikmat Allah yang paling besar ini. Nikmat dan rezeki itu bukan hanya pada kemewahan, kesenangan, wang ringgit, harta benda mahupun pangkat dan darjat tetapi NYAWA dan KEHIDUPAN itu sendiri.


Aku lantas terfikir, wajarlah Islam menggalakkan umatnya mengenang-ngenang tentang kematian. Kematian itu dapat membataskan anganan dan cecita yan melampau. Memikirkan kematian juga dapat menjadi penggalak supaya berusaha kuat untuk mencapai kebaikan keduniaan tanpa mengabaikan akhirat. Alhamdulillah Allah telah mula menunjukkan kepadaku………