Sabtu, 30 April 2011

PESTA BUKU ANTARABANGSA, PBAKL 2011-SERIKKAH AKAK??

30 April 2011. BUKU: DUNIA TANPA SEMPADAN. Cantik dan benar sungguh slogan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 yang telah dan masih akan berlangsung sehingga ke 1 Mei ini nanti. Ramai juga yang bercakap mengenainya dan ini menimbulkan keterujaan akak untuk pergi. Akak ni nak kata ulat buku, tak berani lak nak mengata diri sendiri ulat. Namun memang gemar pada buku. Bahkan pernah berazam kurangkan mahu membeli lagi, tapi, itu azam sambal belacan. Lagi pedas, lagi sedap, mahu lagi. Kini harus bawa sedar diri sikit, anak tengah kecil ni, masa agak dah agak kurang. Pandai-pandailah.

Siangnya, memandangkan hujung minggu, lepas minum pagi di BTR, akak empat beranak (along mahu tinggal, tapi memesan sebuah buku) dengan penuh semangat menuju ke PWTC dengan niat ke PBAKL. Dalam kepala dah tergambar, pasti membeli secara luar dugaan. Anak-anak masing-masing juga dah berhajat. Akak pergi dengan niat yang suci, harapan yang tinggi. Kami bertolak. Terlupa memakai jam dan menjeling jam di kereta, hampir tengahari. Akak sungguh tak menyangka, sungguh mencabar untuk sampai ke Pesta Buku ini. Maklumlah dah berbelas tahun tak ke sana. Rajinnya pergi sewaktu di sekolah menengah bersama-sama ‘best friend’. Oh! Zie (Rozita). Waktu tu famousnya, pada saya Khadijah Hashim dan A Samad Said. Selain buku-buku pelajaranlah.

Jalan sesak, kereta rapat-rapat. Nak ke parking pun sangat menduga, kelihatan panjangnya que. Maklum kami ni dah berkeluarga, anak kecil ni hangkut jugalah. Masih ‘breastfeed’. Semua ni dilakukan semata-mata nak mengimbau balik kemanisan ke pesta buku yang dolu-dolu. Selain nak memperkenalkan kepada anak-anak akan PBAKL. Ini gayanya berkeluarga. Bukan lagi bawa badan atau beg sekolah aje. Lenggang kangkung. Ni siap bawak stroller lagi. Awalnya dah dengar rungutan anak-anak ni, “Kenapalah susah sangat abah nak dapat parking ni”. Hati sendiri pun dah menggetus di dalam. Namun bertahan lagi. Controllah konon...

Akhirnya, setalah beberapa lama, parkinglah di bangunan Yaohan sebab parking di PWTC tu macam keretapi quenya. Mmm… dah berbelas tahun juga akak tak ke Yaohan tu. Kerapnya waktu remaja dululah. Pun dengan kengkawan dan tak terkecuali buah hati (Abah Anas). Setelah parking, punyalah kami berjalan merentas bangunan tu, dan laju akak singgah ke tandas dek tak tahan rasa nak terkucil Nescafe ais masa breakfast sedari tadi. Kemudian terus berjalan, kemudian melintas jalan dan menyusur tepian bangunan. Waduh! Waduh! just bayangkan tengah panas. Tapi oklah lagi. Fikirnya, dari hujan biarlah begitu. Stroller ditolak, Anas bergilir dukungnya Emak dan Abah. Dua orang lagi berjalan rapat. Bimbang keciciran. Akhirnya kami sampai didepan pintu utama.

Melangkah sahaja masuk, akak rasa semacam. Orang teramatlah ramainya. Bersesak. Berhimpit, terhimpit dan dihimpit. Akak dan krew mencuba untuk terus masuk. Berensot. Bak siput kami berjalan. Kot ingat didepan tu lega. Oh! Tidak.., tiada perubahan. Akak lihat muka dan leher Abah Anas dah banjir peluh. Celah bawah lengan akak sendiri dah terasa macam terbit matair. Luarbiasa sungguh rasanya Pesta Buku nih!. Akak tak nampak buku langsung. Oksigen pun rasa berkurangan. Akak bernafas sedut karbon dioksida aje. rasanya. Sesak, semak dan macam nak pitam pun ada. Stroller dah jadi masalah. Rasa tersilap aje membawanya. Tak menduga begitu jadinya. Walau asalnya khuatir Anas perlu untuk tidur. Suami menutup stroller. Dia cadangkan dia dan anak menunggu di luar dan akak meneruskan meredah lautan manusia di dalam tu - tunjuk sportinglah!. Oh tidak! Itu tak kena tempat. Akak tak sanggup dan melangkah ke luar bersama-sama…. Akhirnya kami keluar dan melupakan persoalan buku-bukuan kami.

Itulah kenyataan. Kami akhirnya berpatah balik. Tak sanggup meneruskan. Sempat juga kami bercakap-cakap tentang kejadian yang baru ditempuh. Saya katakana pada suami, orang ramai dan lebih 70% kelihatan remaja. Dari situ pula lebih 60% anak Melayu kita. Kelihatan ramai yang datang dengan geng-geng. They  come, look pretty and handsome. Minat betul nak membaca ni. Berapa ramai yang membeli, tak tahulah. Cuma  jelas kelihatan bersesak-sesak sahaja. Ramai yang berdiri-diri sahaja di luar tu. Ada yang duduk-duduk. Mereka banyak masa tak mengapalah. Mungkin mereka memang pakar bersituasi begitu.. Akak tidak. Dah terpaksa mengalah. Alang-alang hajat tak sampai keluar ajelah. Kami kembali ke bangunan Yaohan dan menghilangkan dahaga. Perut masih santak, sebab baru makan. Lepas tu keringkan peluh dengan aircond dan mengubat hati dengan ke Carrefour membeli barangan rumah mana yang habis.

Berbual-bual kembali apa yang telah dilalui, suami berpandangan peganjur acara pesta buku kurang bijak. Tak mengawal laluan trafik keluar masuk pengunjung. Di situ masuk, disitu keluar. Kenapa tak buat jalan one-way. At least tak sebegitu kalut. Nama Pesta Buku. Pengunjung yang datang pasti berniat nak membeli. Tujuan penjual pun pasti nak menjual. Pengunjung perlu space untuk berdiri, membelek buku dan membuat pilihan. Takkan main hambat aje. Kalau dah sebegitu keadaannya. Tak tahulah. Untuk para remaja dan mereka yang gemar berhimpit sesak, sesuailah!. Kekadang kita salah faham. Pengunjung ramai, maknanya berjaya. Namun benarkah? Itu sahaja kayu ukur kejayaan Pesta Buku. Keselesaan pengunjung bagaimana? Tahlah! Setelah apa yang dilalui, akak rela ke kedai buku ajelah. MPH dan Popular pun boleh dapat diskaun gak. Akak pemegang kad ahli Privilege Popular.  Beli alatulis pun ada diskaun, bukan sahaja buku. Inikah pengakhiran Pesta Buku untuk akak? Mungkin…… jika ia masih kekal sebagai Pesta Sesak. Terfikir, macam ni ke ke arah Pesta Buku Frankfurt, Jerman???......Kena tanya Dr. Azmi Shahri agaknya...(Insyaallah saya upload gambar kendian..)

Khamis, 28 April 2011

MAKAN NASI LEMAK, LEPAS TU MENARILAH POCO-POCO.

Genap dua minggu aku tak mecatat apa-apa. Namun tetap melayari internet dan menerjah laman-laman blogger lain. It’s just irresistable. Sama seperti suratkhabar, blog juga ada peranannya tersendiri. Blog memang nampak kecil. Namun tetap berperanan dan aku suka pula membacanya. Ini kerana apa yang disampaikan penulis adalah terhasil dari olahan pemahaman dan pemikiran lahir dari diri dan jiwa sipenulis blog. Totally' penulisnya. Hopefully, no other interference. Membacanya membawa sekali kita ‘mengenali’ si penulis. Asal sahaja berusaha mengikhlaskan diri dalam menyatakan dan menyampaikan sesuatu. Mudah-mudahan.....

Pagi ini di luar suasana nyaman. Lepas hujan. Begitulah. Segar. April sudah 29 hari. Pantas masa berlalu. Serasa baru menyambut tahun baru namun 1/3 darinya sudah mahu berlalu. Masa itu tidak menunggu. Manusia juga tidak terkejar akan masa. Masa adalah umur. Semua perancangan tertakluk kepada masa. Akhirnya, masa adalah pedang. Jika tidak dipancung, siap untuk dipancung (Sayyidina Ali).

Bicara hari ini, aku anggap bicara santai ilmiah. Tertarik aku dengan artikel kecil di suratkhabar pilihan hari ini, ‘Harussani pertahan fatwa haram poco-poco’. Aku tak pernah berpoco-poco. Prefer berjogging atau berjalan pusing taman dan diselang-seli dengan streching setakat mampu. Tapi la ni sejak dapat Anas, lama jugak dah tinggal. Jika ke taman, jadi penonton sahaja. Sebenarnya aku ‘respect’ dengan Mufti yang seorang ni. Dia berdiri teguh dengan pendiriannya. Ada yang katakan ia kontroversi, namun apa bezanya dengan cerita’ nasi lemak’. Tak kurang juga kontroversi. Mari kita banding-bandingkan.

Poco-poco ini menurut Mufti Harussani mengandungi atau berasal dari satu upacara tarian untuk pemujaan Nabi Isa yang diamalkan kaum pribumi Jamaica. Aku pasti ini bukan bohong atau rekaan semata-mata. Beliau mufti, dan bohong bukan kriteria untuk beliau. Beliau juga bukan politician. Well understood, tiada apa yang ingin dipolitikkan. Beliau bukan seorang businessman. Isu ini juga tiada apa yang dapat 'dibisneskan.' Aku percaya yang isu aqidah adalah lebih diutamakan. Apa lagi yang tinggal? Fatwa Mufti Harussani ini juga dikeluarkan selepas semakan takrif dibuat ke atas takrif dan asal-usul tarian poco-poco yang dikemukakan Jabatan Kebudayaan , Kesenian dan Warisan Perak.

Kontras dengan muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan poco-poco masih boleh diamalkan selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Aku yang Islam Warisan ni jadi terkeliru dengan ayat yang aku boldkan itu. Terdetik dihatiku, betapa manusia ini gemar mengubahsuai sesuatu menurut kesesuaian diri. Halal dan haram adalah persoalan pokok. Begitu juga memelihara aqidah adalah persoalan ‘foundation’ kepada keimanan. Makan khinzir, memegang anjing atau minum arak jelas haram. Waima, poco-poco ini tidak jelas dan tidak begitu nampak atau samar-samar. Jadi ramai memilih untuk menghalalkannya dengan meletak syarat-syarat dan mencipta sempadan-sempadan citpaan sendiri. Sedih pula ia datang dari mereka yang pakar dalam hal-ehwal agama. Islam adalah agama 'sejahtera'. Penetapan yang ada dalamnya pasti tidak lain ke arah kesejahteraan.

Mufti Harussani juga mengatakan bahawa penggunaan perkataan poco-poco itu sendiri sudah tiada kewajarannya. Walau diubahsuai step tarian demi lebih keserasiannya dengan Islam di Malaysia ini. Secara tidak sedar@sengaja masih ia mampu memesongkan aqidah atas nama ikut-ikutan menggunakan istilah poco-poco itu. Beliau juga bertegas sebagai menjalankan tugas kemuftiannya. Beliau kelihatan jelas pada saya.

Aku bukan Ustazah tapi mendokong pandangan dan fatwa Mufti Harussani. Banyak lagi cara lain nak beriadah, bersosial, mengeluarkan peluh, membunuh kolesterol dan lemak jahat, tapi poco-poco juga dipertahankan. Nampak sah ada unsur-unsur yang meragukan. Sesuatu yang meragukan atau mendatangkan was-was wajar kita tinggalkan sahaja. Bukankah syaitan gemar masuk melalui lompong keraguan? Usah berdolak-dalik dan main tarik-tali demi memuaskan segolongan pihak. Semua ini hanya akan mengelirukan dan tiada kesepakatan. Islam secara ‘silent’ diperlekehkan dan diketawakan disinisi oleh makhluk ghaib dan nyata kerana tak mampu sepakat tentang masalah poco-poco. Namun jika fatwa itu berjalan seiring dengan slogan Satu Malaysia. Apa dapat aku katakan….Aku tak pasti nak nyatakan yang satu ni, tapi aku nampak yang ramai penggemar poco-poco ni orang Melayu kitalah. Siap berpersatuan atas nama poco-poco. Dah tu ramai yang berpoco-poco tu, bersaiz besarlah (biasanya) Mungkin berniat nak mengecilkan saiz badan. Tak salah kiranya saya katakan, poco-poco popular dari kalangan rakyat biasa sehingga ke orang istana. Kuat pengaruh poco-poco. Itulah sukar nak menidakkannya.

Beralih kepada persoalan nasi lemak. Berdentum-dentam cadang itu dan ini. Nasi lemak itu dikatakan bahaya. Membuatkan pelajar atau bukan pelajar mengantuk. Bla..bla..bla... Penyebab kegemukan. Risiko ke arah menambah kolesterol. Kolesterol pula asas kepada penyakit jantung. Nasi lemak nampaknya lebih bahaya dari poco-poco. Sebab ia beri mudarat pada fizikal dan kesihatan. Gemuk nampak tidak disenangi dari segi penampilan (tidak bermaksud mengata orang berbadan besar). Rakyat Satu Malaysia ni mesti elakkan kegemukan. Gemuk mudah diserang penyakit. Macam-macamlah. Bukan aku tidak setuju 100% dengan itu semua. Namun aku sedari juga bahawa semua itu adalah sebahagian dari usaha yang manusia buat untuk memelihari kesihatan. Aku ulang. Memelihara. Kesihatan itu kurniaan dan nikmat dari Allah. Allah beri dan boleh tarik bila-bila masa sahaja. Jangan hairanlah orang yang terlalu menjaga pemakanan dan senaman nak rak pun jatuh sakit juga. Malek Noor pun boleh 'collapsed' kat tiang gol. Itu takdir namanya. Campur sikit sebab musabab. That’s it. Sakit itu juga dikatakan penghapus dosa. Ia memang ditakuti. Siapa suka sakit. Hakikatnya, kekadang ia juga atang sebagai peringatan. Juga melengkapkan hukum alam yang berpasangan. Sihat lawannya sakit. Manusia cuma berusaha, beringat dan berdoa. Allah yang akan memberi atau tidaknya. Untuk terus sihat kita mesti meminta pada pemberi sihat.

Aku menilai dua isu ini. Aku menanyakan mana lebih utama. Persoalan aqidah itu kesihatan dalaman jiwa. Kegemukan itu itu ketidaksihatan luaran. Sebenarnya aqidah yang sakit itu pasti lebih kronik dari kegemukan itu. Melalui Islam ada puasa sunat. Jika dah belasah nasi lemak hari-hari rehatkan perut itu dua hari pada Isnin dan Khamis, mungkin lebih ok dan mampu mengurangkan gejala tidak sihat itu. Plus senaman untuk membakar lemak.  Benarnya,  aku sendiri tak larat nak nasi lemak hari-hari dan setiap pagi. Pandai-pandailah menukar selera memilih menu dan menimbang perihal kesihatan. Tapi aku terfikir juga mungkin lepas makan nasi lemak, mungkin boleh poco-poco demi menseimbangkan elemen Satu Malaysia…..Atau mungkin akan ditukar sahaja nama poco-poco pada zapco-zapco(zapin+poco)……. Baru bersih…....Oh Malaysiaku tercinta....

Jumaat, 15 April 2011

KITA SEMUA 'BORN AVATARS'?

Pagi ini, sewaktu meleraikan Anas dari mengemas rak kecil, aku terbelek sebuah buku yang seingat aku dibeli kerana kutipan derma, tak lama dulu. Di hadapan sebuah pasaraya, seorang wanita menghulurkannya sambil mengatakan, “Derma ikhlas..”. Aku dalam rasa serba salah (hati nekad sudah dan langkah pun laju nak masuk, tiba-tiba terhalang pula…) cuba mewaraskan diri. “Ini dah kerja dia, buat biasa ajelah”. Tapi… aku kalau dah nampak buku, mesti nak pegang dan buka lalu baca sikit-sikit. Mmmm.... sudahnya berdermalah. Tak mengapa sambil derma, dapat ilmu. Win-win situationlah kiranya. Itu strategi marketing yang baik dan boleh apply dalam mengutip derma…Mengajarlah pulak…

Sedarkah Kamu Wahai Manusia, Antara Semalam & Hari Ini” – Wan Md Jamal Bin Wan Md Saman. Itu lah bukunya. Yellow in colour.

Semua orang rasanya tahu cerita Avatar. Ialah, cerita kartun pun ada. Cerita filem pun ada. Watak utama Aang. Ada kawan-kawannya. Aang ni dikatakan Avatar - The Last Airbender. Tapi aku suka nak mengaitkan bahawa selepas aku baca artikel dalam buku ni tadi, aku rasa orang Muslim ni semuanya lahir ada persamaan dengan story Avatar. Kenapa? Cerita tersebut bermain dengan unsur-unsur Tanah, Api, Air dan Angin. Namun menurut buku itu, di mukasurat 88 (Bawah tajuk Hakikat Solat) buku itu ada sebutkan ‘Sesungguhnya solat lima waktu itu adalah kesempurnaan diri insan kerana semua orang tahu bahawa lembaga manusia, Allah s.w.t jadikan terdiri dari unsur-unsur atau elemen:

  1. Tanah
  2. Api
  3. Air
  4. Angin
  5. Roh (ini tak adalah dalam kartun atau filem tu yeh!-ini unsure sixth senselah kiranya..)

Kemudian aku kaitkan dengan mukasurat 104 (bawah tajuk Mengenal Allah Pokok Agama-Awaluddin Makrifatullah) dalam buku yang sama. Tertulis “Kenalilah dirimu rata-rata, barulah engkau mengenal Tuhanmu yang nyata”. Saya rangkumkan menjadi sebegini:

Dikatakan kita perlu mengenal diri dengan solat yang sempurna. Unsur-unsur kejadian manusia itu dilihat dalam diri manusia dan boleh diperbandingkan dengan solat lima waktu yang menjadi tiang kehidupan seorang Muslim itu. secara kebetulan atau terancang, Allah Maha Tahu.

1.      ZOHOR-API
Bermula solat Zohor empat rakaat, Allah jadikan tubuh insan, dua mata, dua telinga. Nabi Ibrahim a.s dikatakan unsurnya api, ujian yang ditempuhnya Allahu Akbar. Hebat. Asasnya sewaktu beliau dibakar oleh Raja Namruth diwaktu Zohor dan beliau diselamatkan oleh Allah dari api. Beliau kemudian memuji Allah denga pujian Allahhu Akbar sebanyak empat kali. Jadi unsur api dalam diri kita sebagai insan itu ada pada mata dan telinga. Bila kita marah atau bengang pasti mata dan telinga itu bisa menjadi merah bernyala-nyala. Hebat bukan!....Allah Maha hebat.

2.      ASAR-TANAH
Asar itu empat rakaat. Allah menjadikan pula pada tubuh insan itu dua tangan dan kaki. Nabi Musa itu dikatakan berunsur tanah. Ujian dihadapinya Subhanallah. Ini dikaitkan dengan ayat 55 surah Al-Baqarah bermaksud; “Dan ingatlah waktu kamu menyangkal Musa, katamu hai Musa kami tak akan beriman dan tak percaya kepadamu, sehingga kami dapat melihat Tuhanmu dengan mata kepala kami sendiri, kerana itu kamu disambar petir. Peristiwa itu kami saksikan sendiri”. Eksperimen, Cuba gosokkan kedua tangan dan kaki, walau mandi sepuluh kali sehari pun tetap pasti akan mengeluarkan daki. Itu merupakan unsur tanah dalam diri kita.

3.      MAGHRIB-ANGIN
Maghrib itu tiga rakaat. Allah menjadikan pada tubuh insan dua lubang hidung dan satu lubang mulut. Lengkap tiga. Bernafas juga menggunakan antara atau kedua-duanya. Ini juga diasaskan pada cerita sewaktu Nabi Isa diburu tentera kafir romawi, dimana beliau bersama bondanya Mariam menyembunyikan diri ke puncak Gunung Libanon untuk bersembunyi. Mariam seorang yang soleh dan taat beribadat malah sering berpuasa. Nabi Isa yang turun dari Gunung dari mencari makanan untuk berbuka puasa bondanya itu mendapat bondanya tiada bernyawa lagi. Ini dikatakan tepat berlaku pada waktu Maghrib.

4.      ISYAK-AIR
Isyak itu empat rakaat. Allah menjadikan pada tubuh manusia itu bahagian depan dan belakang sebagai melengkapkannya. Nabi Daud itu dikatakan unsurnya air. Pujinya, Alhamdulillah. Nabi Daud diberi kepandaian tukang besi. Siangnya bekerja membuat pedang, panah, tombak dan baju besi. Waktu malamnya memuji Allah. Allah juga memberi kelebihan Nabi Daud bersuara merdu dan lantang. Sehingga kita disarankan meniru Nabi Daud dalam bertasbih dan memuji Allah. Unsur air dalam diri manusia itu adalah keringat atau peluh.

5.      SUBUH-ROH
Ini yang paling istimewa dan tak ada pada cerita kartun atau filem Avatar yang kita tonton. Dua rakaat antara Tubuh@Jasad dan Roh. Nabi Muhammad pujinya ‘Lailahaillah Muhammad Rasulullah’. Dikaitkan dengan surah Al-Isra’ ayat 1 bermaksud; “Maha Suci Allah yang telah membawa hambaNya berjalan malam dari Masjid al-Haram ke Masjid Al-Aqsa, yang telah kami restui sekitarnya, untuk kami perlihatkan kepadanya beberapa tanda Kami Tuhan Maha Mendengar, Maha Melihat.

Itulah solat lima waktu sehari semalam diterima Junjungan kita yang tercinta dan dirindui Nabi Muhammas s.a.w jumlah rakaatnya tujuh belas. Fardhu Ain untuk kita sebagai muslim. Jadi nampaknya kalau lengkap solat kita dengan sempurna, terbuktilah keavataran kita untuk hari itu. Jika betul niat dan tepat keseluruhan solat kita, mampulah kita menguasai semua unsur dalam diri kita dan mengarahkan kepada tidak lain kecuali kebaikan. Macam yang Aang cuba buat tu. Save the world! But before that, we have to save ourselves first. By solat.... Aku kira hebat juga Filem Avatar versi buku derma saya ni??? Tuhan tolong kami dalam memperbaiki solat......

Posted: 15/04/11@6.55pm

Khamis, 14 April 2011

HUJUNG MINGGU


Sabtu lepas abah Anas ada badminton match. Lawan antara Inv. Bank. Itu aje pun sukan yang 'relevan 'dengan abah sekarang ni. Masa muda-muda dulu selalu 'join' main bola sepak. Pilih sukan pun ikut peredaran masa. Masa itu umur. Umur itu bawa perubahan. Perubahan pada semua segi. Rohani dan jasmani. Rohani tak nampak dengan mata kasar. Boleh nilai sahaja. Jasmani memang 'obvious 'pertambahannya. Jadi fahamlah Anas kenapa badminton? Mak rasa nak berjalan dan Anas pun suka nak ikut. Jadi kami berempat followwww......


Mmmmm....abah buchuk, abah buchuk. Baru 'warm up', baju dah separuh lenjun dengan peluh. Kena game pertama dah macam berendam dalam swimming pool. Lemak-lemak mencair kot. Anas baru setahun dan tak belajar Science lagi. Tapi itu teka-teka saja. Tak apalah abah ya, asyik kerja aje. Inilah masa nak melupuskan kolestrol dan lemak jahat dalam badan tuuu.......Baju salin mesti adaa....


Lepas tiga game, abah dah pegang 'bendera putih'. Abah lawan 'double'. Dua-dua dah tak boleh pergi. Abah ditanya nak lawan ke untuk tentu tempat ke-3. Abah dengan geng tak mahu. Katanya lawan susah nak makan. Tak berbaloi. Abah bawa Anas datang ke sini. Ini ruang rehat abah dan kawan-kawan di ofis abah. Anas dah dua kali datang. 'First time' masa mak pergi Seminar uncle Irfan hari tu. Masa tu abah kerja, kakak aje melayan Anas. Mak baru sekali ke sini. Hari tu abah kat tingkat 10. Ini dah turun sikit. Abah sibuk kerja.  Tak habis-habis kerja. Kerja 5 hari seminggu dah berjangkit ke hujung minggu. Anas  sibuk jalan-jalan kat sini. Maklumlah Anas pun baru aje pandai walk-walk. Practice lagilah!!!...


Sebelum balik, sempat lagi abah melayan kak Ngah ni. Dia tu semua nak dicuba. Tapi macam dah tau aje dia main benda tu. Cepat 'pick up'. Apa tu?..... Bowling ke? Eh... bukan, bukan snoooker. Hah, yelah tu. Ada bunyi kuat bila bola tu jatuh ye... Anas tengok aje. Kalau dah sampai tangan kat meja tu, mahu juga mencuba. Mak nampak letih aje. Apa boleh dia buat? Sekejap aje melayan kak Ngah main ping-pong dah tak lalu. Mak ni jarang senaman. Stamina kuranglah tuuu.....Anas terus explore. Naik kerusi, turun kerusi. Nak susu pun ada. Pandang TV yang tersangkut kat dinding tu. Mak asyik baca-baca aje. Surau pun ada. Tapi 'aircond' rosak tu. Tadi mak sempat tanya kat orang yang tengah betul-betulkan dalam bilik wayar kat luar tu. Mak ni semua orang nak ditegurnya....Barulah tahu sebab apa panas sikit. Harapkan kipas ajelah...



Lepas abah dah kerja, kita orang pergi 'supermarket' dan beli sikit barang untuk Along. Kita orang pergi lawat Along pulak. Ans tengok orang main bola. Anas suka bola. Kat sini pun ada ramai orang. Anas penat juga, tapi tahan ajelah. Abah ni suka benar pakai baju 'free' dari Pak Usu Hafiz tu. Mak tak gemar, tapi abah suka ikut mana senang aje. Tak panas, kata abah. Mmmm....you are the bossss....Kak Aisyah ni, tudung dia macam biskut chipsmore, kejap ada, kejap tak ada... Kalau dah mumayyiz jangan macam tu yea... Lepas dari sini kami pun balik rumah.....

15/4/11

Selasa, 12 April 2011

'GHAIRAH!'...... VIDEO SENSASI ANWAR?

Sekarang ini rata-rata masyarakat masih lagi berterusan sibuk, disibukkan atau menyibuk berkenaan video sensasi yang dikatakan merakam aksi tidak sopan (saya masih cuba bersopan), seorang pemimpin parti pembangkang. Asalnya saya tidak pernah bercadang untuk mengulas mengenainya. Walau saya pernah mengomen di  kubakoya.com , itu sekadar komen. Sangka saya cukuplah sebegitu sahaja.  Siapalah ‘kita’ yang tiada cukup ilmu untuk berkata perihal asas benar atau salahnya seseorang itu dalam sesuatu yang belum pasti. Namun atas nama dan  fikrah manusia, saya juga 'ghairah' seperti mereka yang lainnya dalam berkongsi pandangan perihal isu yang sememangnya mengundang pelbagai spekulasi dari masyarakat yang pelbagai agama, bangsa dan kaum (1Malaysia) melalui pelbagai perspektif. Di sini ialah perasaan (atau perasan) dan pandangan bendul saya terhadap isu ini. Saya gambarkan sebegini:

BAHAGIAN OBJEKTIF:
SILA PILIH JAWAPAN YANG TULIN DARI PILIHAN YANG DIBERI.
TANDAKAN  BENAR PADA  JAWAPAN YANG DIPILIH.

  1. Adakah anda percaya bahawa ‘beliau’ yang beraksi di dalam video tersebut?

a)      Amat Percaya
b)      Tidak Percaya
c)      Pertengahan
d)      Ikut Majoriti
e)      Tidak peduli

2.      Adakah perlu kepada suatu badan khas@suruhanjaya untuk menyiasat perkara tersebut?

a)      Amat Perlu
b)      Tidak perlu
c)      Ikut keadaan
d)      Tiada beza
e)      Tidak kisah

BAHAGIAN SUBJEKTIF:

SILA TULIS SEBUAH ESEI BERKENAAN ISU DI ATAS MENURUT PERSPEKTIF PERIBADI ANDA. TIDAK MELEBIHI 300 PATAH PERKATAAN.

Kedua-dua persoalan 'OBJEKTIF' DAN 'SUBJEKTIF' di atas adalah persoalan negara dan rakyatnya kini. Tiada siapa terkecuali. Ini isu yang berleluasa. Masyarakat amat berminat dan teramat 'ghairah' kepada suatu titik noktah yang bersih.

Sekali lagi, saya tetap kehairanan dalam pada negara kita sibuk melaporkan berita-berita terkini perihal gegaran gempa bumi di serata dunia (ya dunia tidak henti-henti bergegar...), di dalam tempat kita sendiri berita perihal video sensasi dan jam tangan Omega juga yang menjuarai carta berita. Seiring dengan berita hari undi di Sarawak. Tiba-tiba, saya teringin nak merujuk dan melihat pada ayat dalam surah Yaa Siin ayat 48 dan 49 bermaksud begini;

48. Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya secara mempersenda:”Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu)!”

49. Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang – (dengan secara mengejut)-akan membinasakan Mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing).

Bila berkata seperti di atas, sebegitu nampak benarlah saya tidak pandai bersiasah. Maklumlah bukan ‘graduate’ politik pun. Masakan mahir sepak terajang bersiasah. Politik rumahtangga pun masih antara lepas dan tidak. Namun setiap yang melintas di depan mata mahu pun terdengar oleh telinga tiadalah sia-sia sahaja. Melaluinya kita mencari suatu fikrah seimbang. Saya masih dalam pencarian.

Persoalan terus menjadi persoalan. Hakikat persoalan dan jawapan hanyalah ada pada yang empunya alam. Dia yang Maha Melihat, Maha Mendengar dan lagi Maha Mengetahui. KETULINAN itu mungkin milik manusia, namun KEBENARAN itu belum pasti. Pastinya ia adalah hakmilik Allah (s.w.t)…….Allah itu bersifat senantiasa benar lagi memenangkan kebenaran. Jika tidak di dunia, akhirat masih ada.Nasihat saya pada diri sendiri yang teramat kerdil. Jangan permain hak Allah, takut mendapat 'hadiah' Macam fardhu kifayah, seorang buat, cukuplah, semua dapat padah!

SAYA: Sampai sekarang tak tahu nak percaya apeeee. Lemohnye saya...


10.15pm@12/04/11

Ahad, 10 April 2011

HUDUD DIPERLEKEHKAN!!!....MENGAPA???

NALURI
Malam ini jejari rasa mahu menari. Berlantaikan papan kekunci ini, berdendangkan irama malam Isnin, saya melayan apa yang perlu dipersembahkan dengan ilmu saya yang terbatas. Asas kepada penulisan saya adalah ingin melatih diri supaya menemui kemahiran, supaya tidak beku pemikiran dan tidak bantut kematangan. Itu harapan saya. Maklumlah dalam menuju Sweet Forty (sengaja mengada-adakan), suka-suka mahu berkongsi, jika ada yang sudi. Di sini hanya dan cuma ada pandangan peribadi. Semoga segala renungan, pandangan dan ulasan saya masih dalam fikrah manusiawi dan tak terkecuali dalam lingkungan Islami. Insyaallah!

SITUASI
Biasanya hujung minggu hari bersantai. Dek kerana itu pasti ramai yang tidak ketinggalan membaca akhbar secara nyata dan bukan hanya secara maya. Tidak terkecuali saya. Hari ini berpeluang membeli tiga jenama suratkhabar. Tamak bebenor rasanya. Namun sebagai manusia yang punya rasa ingin tahu, mendapati tajuk-tajuk utama akhbar tersebut sungguhlah ‘attracted’. Tidaklah pula termampu nak bercerita apa semua yang telah dibaca, namun tajuk utama sebuah akhbar ini memang sedikit menyentuh naluri Islami saya yang tidak seberapa ini. KOSMO, Suara Kontemporari menulis tajuk utama Azab Rotan Cara Aceh. Dipaparkan gambar seorang wanita berpakaian lengkap dengan tudung berwarna putih kesemuanya sedang melutut sambil menunggu hukuman rotan dijalankan. Anda boleh ‘search’ untuk lihat lebih. Saya belum pandai nak link anda ke sana. Masih banyak perlu ilmu asas perlu digarap dalam fikrah dunia internet.

ISU
Wanita Islam Aceh itu dikatakan didapati menjalin hubungan sulit dan disebat dihadapan orang ramai bersama pasangan sulitnya itu. Kedua-duanya telah berkahwin dan atas dasar itu hukuman keras itu adalah wajar menurut pendakwaraya Bendry Almy.

ULASAN
Apa yang mahu saya perihalkan ialah tentang cara berita ini disampaikan oleh kita di sini. Semacam kurang wajar menggambarkan hukuman rotan itu sebagai AZAB. Berita itu kelihatan terlalu menekan-nekankan tentang kecederaan yang dihadapi oleh pesalah dan tidak pula ada mengulas perihal benarnya hukuman itu menurut kacamata agama. Mahu tidaknya kita tahu hukuman itu menyamai dan menjurus kepada Hukum Syariah Islam@Hudud yang sebenarnya, iaitu maksiat yang sebegitu , hukumnya sebegitu. Sekilas membaca, hukuman tersebut menepati kriteria sipesalah dan senario kesalahannya. Saya tidaklah arif sejauh mana Aceh ini berpegang dengan kaedah hukuman kepada pesalah secara Islam@Hudud. Namun saya membaca bahawa Aceh yang telah melalui pengalaman dahsyat dibadai Tsunami sikit masa lalu telah menimba ilmu dan masih terkesan lagi dengan pengalaman tersebut. Mungkinkah atas dasar itu menjadi asas dan telah timbul fikrah keinsafan dan kesedaran untuk lebih menguatkuasakan undang-undang Islam dan hukuman rotan pesalah tersebut termasuk didalamnya. AZABKAH ITU? Saya rasa tidak, itu namanya mengambil peluang. Mereka (penguatkuasa) hanya mengambil peluang kedua yang masih berkesempatan memperbaiki apa yang masih kurang dalam pentadbiran. Pesalah pula wajar mengambilnya juga sebagai peluang membaiki kesilapan dan tidak mengulangi kesilapan yang sama (bermaksiat) dalam kehidupan. AZAB YANG SEBENARNYA adalah apabila pesalah tersebut berhadapan hukuman Allah di akhirat kelak. Ilmu saya terbatas di situ. Namun bukankah manusia wajar menghisab diri sebelum dihisab dihadapan Allah. Wajar amatlah Hudud itu. Mudah-mudahan keinsafan dan kekesalan yang timbul dari hukuman sebegitu itu dapat meraih lebih lagi keampunan dan kasih sayang serta rahmat dari Allah pencipta segala hukum dan Maha Adil. Maha Pengasih dan Penyayang.

PEMIKIRAN
Kita sebagai negara berpelembagaan dengan Islam agama rasmi, wajar menghormati tindakan yang diambil ke arah penegakkan hukum Allah dan bukan pula menggambarkan sesuatu yang kurang enak tentang hukum Tuhan ini. Jika kita masih belum mampu melaksanakannya, jangan diperlekehkan jika orang lain melaksanakannya. Kesannya, pada kita negara berbilang bangsa adalah serupa menggambarkan Islam itu sesuatu yang menyukarkan, menyiksakan, tidak relevan dan segala anggapan yang buruk-buruk boleh timbul. Kita patut ‘promote’ Islam dan bukan sebaliknya. Jika Jepun yang tidak kenal semua yang saya perkatakan di atas, itu juga tidak terkecuali dilanda bencana Tsunami, gempa dan…., jangan kita dilanda bencana kerana keceluparan tanpa sengaja kita dengan Pencipta. Menggigil lutut saya mengenangkannya…..

RENUNGAN
Ajaran Islam menegaskan, kehidupan di dunia akan disusuli dengan akhirat (meminjam juga yang gemar menggunakannya). Jadi segala sesuatu di dunia ini semuanya bersifat sementara. Hanya Allah yang kekal. Jadi jika benar pun wanita yang dihukum sebat sembilan kali oleh tukang sebat itu pengsan dan kelihatan tersiksa dengan hukuman itu, itu semua beralasan dan bersebab. Itu saya lihat sebagai Hudud. Hudud menurut kamus Dewan Bahasa yang ada dengan saya membawa maksud “1. (jamak bagi had) batasan atau peraturan; 2. hukum yang telah ditetapkan oleh Allah dan tidak boleh diubah-ubah oleh manusia seperti hukum zina, murtad, dan minum arak. Para Ustaz dan Ustazah di Malaysia yang memang ramai pasti boleh memberi penerangan lebih. Penulisan saya yang terbatas ilmunya dan masih lemah asasnya namun masih dalam usaha meraih fikrah seimbang ini dah sampai kepenghujungnya untuk hari ini. Cukuplah dulu...........




Khamis, 7 April 2011

SIAPA MANUSIA BAIK TUUUU???

Semacam tak perasan (pantas benar), ketemu lagi dengan hari Jumaat. Penghulu Segala Hari. Bagus Bersalawat. Anjuran agama. Dikatakan juga hari terakhir alam ini – KIAMAT juga bakal jatuh pada hari Jumaat ini. Ini saya dasarkan atas yang pernah didengar dari ceramah-ceramah yang terlintas langsung ke kedua telinga ini. Harap ingatan saya dan deria dengar saya tidak tersilap mengingat dan mendengar. Maaf jika tersilap. Namun pasti kebenaran mutlak tentang Kiamat itu hanya dalam ilmu Allah yang Maha Memiliki. Apa yang dapat  saya dan kita lakukan hanya berhati-hati dan beringat. Berusaha mengingati diri dan persekitaran yang mahu kepadanya.

Ada orang kekadang macam 'sensitif' bila sebut perkara-perkara tentang Kiamat dan yang sewaktu dengannya. Mungkin terucap ayat seperti. “Oh! Such a pessimist person. Tak pandai nak enjoy life.” Itu juga saya telah fikirkan. Namun sebagai hanya insan kerdil yang lahir dan berdaftar sebagai warganegara Malaysia beragama Islam. Itulah saya. Inilah entri saya buat hari ini. Apa yang lemah itu dari saya dan yang baik itu sentiasa dari Allah yang Maha Sempurna. Buat saya, masih terus belajar dan seperti biasa cabaran mengutip ilmu adalah perlaksanaan terhadap ilmu tersebut. Berjaya atau kecundang itu belum pasti, bukan saya tentukan.  Hakikatnya semua orang mahu kebaikan dan kejayaan dalam hidup tidak sebaliknya.

Terlintas langsung pagi ini ke telinga saya, sesuatu yang menarik untuk saya kongsikan di hari penuh berkat ini. Sesuatu dari TV 9. ia promo kepada salah satu program agama di situ. Di pagi hari walau kelam kabut dengan suasana pagi, saya hidupkan sahaja TV tu. Walau tak tengok, saya boleh dengar. Bunyinya begini; MANUSIA YANG BAIK adalah dinilai dari 4 perkara iaitu PERCAKAPAN, PANDANGAN, GERAK DAN DIAM. Saya sendiri dalam mahu belajar lagi. Ini memberi saya idea. Saya tergerak untuk menghurai menurut fahaman saya. Harap tidak sonsang. Ajaran songsang tak dibenarkan di mana-mana. Jika tersilap, anda dialu-alukan tolong betulkan. Jika tersasar, peringatkan dan jika terkurang bolehlah ditambahkan. Sesama manusia, itu amat diharapkan. Saya perihalkan MANUSIA YANG BAIK dalam skop 4 perkara itu begini:

PERCAKAPAN
Selaku muslim (kuat rasa ini dari sumber hadis) kita digalakkan hanya bercakap yang baik-baik, molek-molek, indah-indah, positif-positif dan tidak yang sebaliknya. Betul dan saya amat setuju kerana saya pernah dengar ‘Law of Attraction’. Apa yang anda cakap mahu pun fikir tentang sesuatu atau seseorang itu, itulah yang anda terima. Magnatized thinking and words..... Apa yang ditarik??. Jika kita secara sengaja mahu pun tidak bercakap sesuatu yang negatif mengenai sesuatu atau seseorang pasti itu pula hasil berbalik pada kita. Seperti membaling ‘boomerang’. Jadi benar sangat Islam menganjurkan kita dengan percakapan yang baik-baik. Jika ada berpegang dengan prinsip ‘Mulut sahaja bisa@laser, hati baik’. Fikirlah untuk kali ke 2, 3….. Mungkin perlu baikpulih di situ.

PANDANGAN
Manusia yang baik adalah yang memandang dengan ‘pandangan iktibar’. Memang semua kita yang dapat melihat, pasti menggunakan mata. Untuk yang lebih bernasib baik ada tambah dua mata lagi. Ini lebih lagi kuasa melihat! Boleh tembus pandangannya. Itu hikmat berkaca mata. Lawak hambar!... Mata adalah anugerah amat berharga. Patut panjatkan syukur yang tak terhingga atas kebolehan melihat yang ada pada kita. Semuanya terang dan jelas dapat dilihat. Namun itu adalah pandangan luaran. 'Physical sight 'sahaja. Pandangan di sini lebih tertumpu dengan 'pandangan batin.' Pandangan yang datang dari dalam. Pandangan mata hati. Ingat hati yang duduk di dalam diri tu, bodoh-bodoh sahaja. Itulah pusat segala tindak-tanduk kita sebagai manusia. Jika dua biji mata dan bebolanya itu berfungsi dan amat indah dihias dengan segala eye shadow, celak, maskara mahu pun contact lense yang pelbagai warna, ia akan jadi sia-sia jika mata hati kita itu jadi atau kekal buta.

Kita tidak akan dapat menilai sesuatu yang dihadapkan pada kita (pandangan) dengan lurus. Mudah pula terkeluar dari landasan dan kita mungkin berbuat silap. Saya mohon dijauhkan. Ringkasnya jika kita memandang sesuatu kejadian dengan mata kasar (luaran) jangan lupa kaitkan dengan mata hati (nilai perasaan). Contoh melihat seorang yang buta. Ambil iktibar untuk syukur dengan kita yang sempurna pengelihatan. Lantas seterusnya dekati pemberi pengelihatan itu........Ini dapat melunakkan jiwa kita, kerana fitrah kejadian manusia sebenarnya memang ibarat kain putih. Kita tercoreng atau jadi comot pun kerana debu-debu perjalanan hidup itu sendiri. Mari saya dan anda renung-renungkan......

GERAK
'Moving is living'. Sesuatu yang tidak bergerak laksana mati. Gerakan kita yang membawa kita ke sana dan ke mari. Melalui pergerakan manusia berevolusi dan berrevolusi dan segalanya. Bermula dengan gerakan sperma ayah menuju ke telur ibu, itulah gerakan seorang khalifah yang berjaya lahir ke dunia. Itulah kita semua. Lihat bagaimana Allah menjadikan dan mengangkat darjat kita insan sebagai makhluk pemimpin di dunia. Masyaallah. Malaikat juga pernah ragu dengan kita, namun Allah mengingatkan bahawa Dia lebih ketahui perihal ciptaanNya. Lantas kita bertamaddun juga di Bumi ini sehingga kini. Ini nikmat Allah untuk manusia. Rahmat dan Rahimnya untuk sekalian alam.

Namun dalam gerakan sehari-hari seringkali kita alpa lagi cuai. Termasuk saya. Apa gerakan kita terlingkung dalam gerakan kehambaan atau tidak. Atau tidak ambil pusing. Bergerak sahajalah, dah resmi kita. Bangun pagi, bersiap untuk ke tempat kerja, yang ke sekolah ke sekolah, yang ke tempat kuliah, ke kuliah dan sebagainya. Apa kita mengenang Allah dalam setiap gerak kita. Soalan!... “Apa ke halnya? Takkan semua nak dibuat, sebut Allah! Allah! Aku ingat Allah, Ingat, Ingat.” Oh! Bukan itu maksudnya (yang saya faham). Islam is The Way of Life. Ia satu cara hidup. Cara hidup siapa lagi yang amat afdal dicontohi jika bukan insan tunjang teladan penuh kemuliaan sepanjang zaman, Rasulullah (s.a.w). Saya sedih bila menyebut namanya! Sedih… kerana terngiang-ngiang ungkapannya Ummati!...Ummati!... Sayangnya beliau pada kita, namun kita kini… Amat wajarlah kita rindu pada beliau. Bila rindu apa yang boleh buat ialah cuba tiru apa yang dia buat semasa hayatnya. Bila mahu keluar rumah. Doalah keluar rumah. Bila masuk rumah, doalah masuk rumah. Apa yang mampu dan terus tingkatkan kemampuan bersumberkan kemampuan yang sedia ada.

DIAM
 Saya pun dah rasa nak diam nih! Panjang benar tulisan ni. Saya tulis spontan (tapi save dalam word dulu). Takut anak ada gangguan… Mak belajar blogging…. Beginilah. Tapi mahu saya habiskan apa yang telah saya mulakan. DIAM yang baik adalah diam sambil mengingati Allah. Boleh nak ingat  yang lain, tapi sentiasalah kaitkan dan dahulukanlah dengan ingati Allah. Contohnya kalau ingat dekat kekasih, ingatlah kekasih itu pun Allah yang ketemukan kepada kita. Jika tidak lalu depan rumah selalu pun tak minat (rasa itu dari Allah) atau tak timbul rasa suka pun. Jadi jodoh, pertemuan, ajal dan maut itu datangnya dari Allah. Ini samalah yang dikatakan ZIKIR itu. Zikir itu boleh jadi dalam duduk, berdiri, bergerak, berbaring. Dalam setiap gerak. Ini semacam terkait dengan GERAK di atas. Betullah tu. Manusia ni kalau tak gerak, pasti diam. GERAK lawannya DIAM. Lagi hukum pasangan. Namun Islam anjurkan manusia taqarrub(harap betul letak) tak kira dalam GERAK atau DIAM. Indah memang indah. Saya pun baru saja melihatnya, di sini bertemankan anda.

Syukur pada Allah. Siap juga. Segala yang baik dari Allah, segala yang lemah itu adalah kerana saya hanyalah insan kerdil lagi terlalu biasa....

Posted on 8/4/11

Ahad, 3 April 2011

MAJLIS REVOLUSI PERNIAGAAN INTERNET IRFAN KHAIRI.

Aku dan Bella waktu 'break'. Sempat bergambar kenang-kenangan. Penampilan sulung kat blog sendiri atas dorongan Dr. IK. Hih! Hih! Hih!
Banyak kali aku berfikir apakah perlu dengan entri yang ini. Namun ini padaku suatu detik yang sukar untuk aku lepaskan begitu sahaja tanpa ada catatan mengenainya. Saat yang menarik dan ada kenangannya. Lantas aku teruskan. Andai ditangguhkan, dikhuatiri kemanisannya akan pudar. Betul tak? Atau, Make sense tak macam tu? Itu ayat favourite Dr Irfan Khairi.

Alhamdulillah! Pada 2-3hb yang baru lepas aku bepeluang ke Seminar Revolusi Perniagaan Internet Irfan Khairi. Selama  2 hari berturut-turut, begitu pantas masa berlalu. Seminar itu secara peribadi aku katakan berjaya. Aku dapat lihat semua peserta begitu meriah dan bersemangat. Masing-masing ke sana dengan alasan masing-masing. Namun satu alasan yang kami kongsikan bersama adalah mencari ilmu dalam perniagaan Internet. Tidak tersilap memilih Irfan Khairi sebagai Lecturer kami. Irfan yang telah lama berkecimpung dalam dunia perniagaan internet dan telah mengecap nikmat kejayaan dan melalui jatuh bangun itu memang terlihat ikhlas berkongsi resepi-resepi, rahsia-rahsia yang digabungkan sebagai teknik-teknik untuk diaplikasikan oleh peserta. Macam mana menilai ikhlas? Itu dari dalam hati dan jiwa masing-masing. Ilmu itu mohon pada Allah. Gerak hati minta pimpinanNya. Lebih dari itu, hati sendiri perlu diberi perhatian secukupnya. Perlu dirawat! Tanyalah Ustaz dan Tanyalah Ustazah. Hah itu program TV9. Kaki nonton bercakap...

Di sana berjumpa dengan berbagai golongan. Muda, pertengahan dan agak veteran juga tidak ketinggalan. Dewan penuh. Sambutan hangat. Masa pendaftaran hari pertama terpaksa dilanjutkan. Sekali lagi syukur dipertemukan dengan mereka yang boleh bersama-sama meneruskan aktiviti selama 2 hari itu. Kak Aja dan Bella. Indah mengenali kalian. Insyaallah akan cuba berhubungan dengan kalian berdua. Kebetulan Kak Naja dan Bella adalah dua orang dari sekolah Irfan. Kehadiran mereka ke situ secara percuma. Kata mereka.

Masa berlalu tidak terasa. Besar kemungkinan kerana pengacaranya yang aku beri 4.5 bintang. Lagi 0.5 bintang untuk ruang 'improvement'. Hah! Hah!. ABSHAIK(betui ka ejaaa?),  itulah panggilannya. Rupanya sekali pandang ala-ala orang bollywoood dan setengah kali pandang macam bang--(ada peserta yang mengusik dia sebegitu, di sana). Namun dia memang lawak giler. Nasib kami masih baik kerana keluar dari dewan dengan perut masih melekat di badan. Sedangkan selama dua hari tu tah tak terkira ‘pecah perut’ dibuatnya. Meleleh airmata. Masing-masing tak tertahan nak gelak.Lepas tu istighfar dan jangan lupa sunat taubat”. Saya tahu, dalam lawak juga mesti berkata benar. Itu sunnah Rasulullah juga.  Begitulah ayat  ABSHAIK. Beliau asal dari Singapura. Lawak spontan dan natural. Kami suka!. Itu juga satu punca peserta menjadi begitu 'reponsive' dan 'supportive'. Beliau menyelitkan mesej dalam setiap ‘game’ dan humornya. Nampak 'educated' dan 'business minded'nya. Kena dengan matalamat seminar tersebut. Beliau DJ Singapura. Sila Google kalau nak tahu lebih.
Kak Aja, wife Irfan dan baby 'mesra lensa' mereka. Cute kan!

Ini hanya catatan untuk mengenang kehadiran aku di seminar tersebut. Mengenang mereka yang dipertemukan Allah kepada aku. Jika ada peluang boleh cerita lebih masa hadapan. Kami juga dipertemukan oleh Irfan dengan keluarga tersayangnya. Isteri dan anak-anaknya ada pada hari penutup. 'Cute-cute 'betul anak mereka. Si kecil Baby Cinta mereka ‘mesra kamera’. Tak lekang senyum memandang lensa. Comel. 4 orang. 2 lelaki, 2 perempuan. Nampak lengkap family mereka. Bersama Kak Aja dan Bella jadi berani aku dan sempat beramah mesra dengan isteri dan anak-anaknya. Semua spontan juga. Aku sempat bersalaman dengan si isteri dan seperti kunjungan Majlis Hari Raya. Itu tajuk aku Majlis Revolusi dan Bukan Seminar. Sebenarnya ia 2 dalam 1. “Terimakasih sebab datang”. Itu dialog langsung dari isterinya. Benar sangkaan saya, 'behind a success of a man there will always be a woman'. And she seems a great woman. Itu kelihatan di sana.
Sempat juga bergambar ala emak-emak. Bila lagi yek?!

Saya pergi seminar ke, pergi teater komedi? Semua cerita di atas itu adalah selingan sahaja. Razzi Rahman dan band PAGI (dah dibetuikan!!) juga ada. Brother Razzi tu masih hebat lagi. suaranya masih rock!. Tapi dia Brother Love. Anda hairan? Itulah kejadian Allah. Dalam satu diri ada pelbagai sifat dan kelebihan. Tidak tertinggal kekurangan. Cuma perlu kepada kenalpasti dan pengasahan bakat ke arah kebaikan. Kekurangan pula perlu ke arah pembaikan. Oh! maaf saya tak akan bercerita isi kandungan atau seminar satu persatu. Itu  bukan tujuan saya di sini. Saya belum layak dan masih ‘dalam kandungan, trimester pertama’ dan itu kerja Irfan. Cuma saya katakan di sini, jika anda tercari-cari dan mahu ilmu perniagaan internet, saya tak segan mencadangkan Irfan Khairi. Saya cuma bercakap atas perjalanan 2 hari di sana dan sedikit mendengar pengalaman kawan-kawan. Akhirnya syukur kerana berpeluang menimba ilmu baru. Cabaran mendapat ilmu adalah perlaksanaan ilmu tersebut. sebab itu tidak mahu bercerita lebih tentang butiran seminar. Nota pun dalam proses kompilasi, tak boleh cerita lebih deh! Insyaallah ada izin Allah, akan dicoretkan di sini satu hari nanti. Mudah-mudahan. Saya sudahi di sini dengan kata-kata IRFAN AND THE CREW JUST MADE OUR 2 DAY(perlu 's' atau tidak! mmm tak kisahlah)......  Jangan jadi too perfectionist. Itu juga nasihat Irfan Khairi. Ingat!!!! Bear in mind.....

Posted on 4/4/2011

Sabtu, 2 April 2011

MINAT DAN MAHU MENJAHIT

Awal berbicara mengenai ilmu jahit menjahit mengingatkan kita pada warisan seni jahitan nenek moyang atau ibu. Orang tua-tua dahulu biasanya mengatakan ilmu ini semacam penting untuk kaum wanita. Setidak-tidaknya belajarlah memegang jarum dan benang. Tajam-tajamkan mata untuk masukkan benang ke dalam lubang jarum. jangan lupa simpul dihujung sebelum mula menjahit. Jika tidak mahu 'manjahit angin'. Paling kurang belajarlah menampal yang koyak. Menaupkankan yang terbuka/tertetas. Selain kaum wanita itu ditekankan untuk belajar masak-memasak, ilmu jahitan juga dipandang penting. Kepandaian dalam selok belok membuat pakaian itu memerlukan kepada kemahuan dan keinginan. Untuk saya, asas soalan yang menjebak adalah, "Bagaimana? - Bagaimana boleh jadi macam tu yea? Setujukah anda jika saya katakan kebolehan dan kepandaian itu boleh dicari dan pelajari.  Didahului dengan keterujaan bercampur minat dan keinginan dan seterusnya mahu mencuba-cuba. Lantas timbul pula rasa cinta!

Blaus - antara yang asas untuk bermula. Hujung lengan bermanik tu, suka-suka mencuba!


Di alaf millinium, sebutan urban memanggilnya Seni Rekaan dan Fesyen. Kelihatan dan kedengaran 'high standard' sikit. Ini sudah melangkau sedikit ke hadapan dari yang asas. Saya sendiri masih belajar. Jadi perbicaraan saya pastinya terhad kepada apa yang hanya saya ketahui. Selebihnya, Insyaallah jika ada rezeki mahu juga mendalami. Sesungguhnya semakin banyak kita pelajari , serasa makin ada yang perlu ditanya.
Proses pembelajaran itu tidak statik malah teramat dinamik. Semoga sama-sama dapat kita melangkah ke hadapan. Sama-sama berkongsi ilmu demi kebaikan. Mudah-mudahan, Insyaallah!

Pasti ada yang terdetik, mengapa perlu kita menjahit pakaian sedangkan terdapat terlalu banyak pilihan. Pergi saja ke kedai atau emporium mahupun supermarket, nah bermacam-macam pilihan sehingga juling biji mata dan terjojol bebola mata. Mata naik rambang dan sukar pula membuat pilihan. Sesungguhnya, ini membawa saya kepada kenangan di zaman kecil-kecil dahulu. Saya mempunyai 6 adik beradik. 3 pertama perempuan. Kakak, saya dan adik. Keempat dan lima lelaki dan keenam balik perempuan. Emak saya pernah menceritakan bagaimana dia semasa baru bertunang meminta izin dari Allahyarham bapa untuk belajar menjahit. Waktu itu baru tunang-tunangan. Namun permintaan itu ditolak oleh bakal suami. Menurut cerita Emak, Allahyarham bapa itu seorang yang 'protective'-singkatannya kini 'sedikit kuat cemburunya'. Faham-faham sahajalah. Terlebih sayang agaknya!. Beliau katakan pada Emak saya untuk beli sahaja pakaian untuk anak-anak. "Buat apa leceh-leceh nak menjahit".

Namun sampai satu ketika, masa saya di sekolah rendah dekat Hari Raya Aidilfitri, terlongo dan nyaris menepuk dahi bapa dibuatnya kerana upah menempah pakaian kami bertiga dan emak mencecah RM200. Waktu itu jumlah sebegitu dikira besarlah. Maklumlah bapa hanya pekerja biasa dan banyak mulut yang perlu diberi makan. Persekolahan lagi. Tambahan gaji masih rendah. Di situ Emak 'memulang paku buah keras' dengan santun. "Kalau kita pandai menjahit, dapat juga meringankan bebanan upah tempahan pakaian". Allahyarham hanya tersenyum sipu ala miau-miau. Mahu taknya, bayar sahajalah. Sewaktu mendengar cerita ini dari emak saya merasa sedikit kasihan pada emak. Menurut emak waktu itu yuran belajar menjahit sangat murah, bukan seperti sekarang ini. Boleh saja mencecah ribuan ringgit. Lebih lagi pun ada. Lihat kepada tahap-tahapnya. Namun atas sedikit kenaifan bapa dan ketentuan Ilahi tiada rezeki emak untuk belajar tentang jahitan secara formal.

Menjahit ini dapat dikatakan suatu aktiviti yang menyeronokkan. Ada yang menjadikannya sebagai aktiviti mengisi masa senggang. Terdapat juga yang menjadikannya sebagai punca pendapatan. Ini dikuatkan lagi dengan bertambahnya kewujudan pusat-pusat latihan bagi memberi kemahiran seni jahitan atau pun Seni Rekaan dan Fesyen untuk mereka yang berminat dengannya. Kolej Segi dan Kolej Komuniti adalah diantaranya (yang saya perasan). Seperti yang disebutkan di awal tadi, jika dalam pemakanan pun kita ada kepelbagaian, begitu lagi dengan dunia pemakaian@fesyen. Ia berkembang sealiran dengan persedaran zaman.

Dicampur, tolak dan dikali bahagi dengan faktor-faktor semasa. Contohnya kini Busana Muslimah begitu mendapat perhatian. ia adalah keadaan di mana masyarakat Malayu kita yang beragama Islam mahu kelihatan anggun bergaya dalam berfesyen di samping tidak melanggar batasan aurat. Tambahan kita ketahui Islam juga agama yang bukan jumud. Terdapat pesanan Nabi(harap tidak salah mengingat), mengatakan umat Islam bila datang berkumpul@bergaul dengan orang ramai, digalakkan membaguskan dua perkara. Itulah pakaian@pemakaian dan kenderaan. Huraian lanjut rasanya, dapat kita fikir bahawa ia mesti mengutamakan syariat. Jangan pula keterlaluan berfesyen sampai teralpa dan tercuai. Minta dijauhkan.

Rasanya jauh juga penulisan ni dah pergi. Saya ringkaskan sahaja bahawa menjahit ini sebenarnya begitu sebati atau dekat sahaja dengan jiwa kewanitaan. Apa tidaknya, jarang ada wanita mana yang tidak suka kepada pakaian dan jenis-jenisnya. Itu belum lagi dengan aksesorinya dan segala macam kraftangan yang boleh dilakukan. Ada yang berasap mesin jahit tu dibuatnya. Jika boleh pasang enjin roket atau torpedo pada mesin itu, harus ada yang teringin. Ini saya faham kerana tidak sabar-sabar nak menyiapkan sesuatu yang telah dimulakan.  itulah 'thrill'nya

Namun seperti biasa, setiap manusia ada keterbatasannya. Bagi mereka yang sememangnya 'ada hati' dalam bidang ini, berusaha dan teruskanlah (cakap untuk diri sendiri dulu). Jika yang tiada 'taste' ke arah itu, tidak mengapa-kita semua saling perlu memerlukan. Jadi saya akhiri dulu untuk kesekian pagi ini. Besok perlu bangun awal. Ada perkara yang masih belum selesai..........Wassalam.    

2.05am@3/4/11