Sabtu, 8 Januari 2011

NEKADNYA WANITA DAN LELAKI KINI

Dua malam sebelum mendengar kisah yang diberitakan di TV mengenai seorang isteri muda menetak parah isteri tua kerana cemburu. Paginya pula saya semasa ke kedai ternampak tajuk di salah satu akhbar mengatakan seorang isteri muda bersama anaknya cedera ditetak oleh isteri tua. Sama ada ia adalah cerita yang sama atau berasingan samasekali, tak pasti kerana saya tidak kuasa untuk membacanya. Namun faham saya bahawa semua itu berpunca dari rasa cemburu. 'Impression' saya, "Nekad sungguh wanita kini". Jangan kata tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia, di alaf kini ia juga boleh mencederakan dan mungkin mencabut nyawa. Astaghfirullah!

Menyebut perihal cemburu, itu antara satu dari banyak rasa yang dialami manusia. Berbagai-bagai jenis dan bentuk cemburu mampu wujud pada seseorang individu ke individu lainnya. Namun cemburu dalam merebut kasih seperti yang berlaku sehingga ke bab tetak menetak sememangnya menggerunkan. Namun itu mampu saya katakan dalam suasana dan nada emosi yang waras. Bagi mereka yang menetak pasti sebaliknya. Di akhir zaman ini, yang mana nisbah lelaki dan wanita jauh keseimbangannya, cemburu dan rumahtangga bagai tidak dapat dipisahkan. Wanita makhluk lemah penuh emosi dan pengharapan. Ramai pula lelaki menjadi makhluk kelabu mata kerana terlebih 'visi' dan 'misi'.

Terdetik gurauan di hati saya, kenapa tak ditetak sahaja suaminya. Bukankah suaminya yang memadukannya. Madunya itu juga seorang wanita dan mungkin juga sama-sama termakan 'gula-gula' yang serupa. Saya tidaklah menentang 'poligami'. Namun cukuplah tidak berkenan bagi lelaki yang hanya merujuk pada agama bila tiba bab yang satu ini. Siap dihafal segala dalil Al-Quran dan Hadis demi memperkukuhkan kehendak yang bernafsu. Selebihnya dalam kehidupan tidak pula didahului dengan merujuk Al-Quran mahu pun Hadis. Kalau mampu segenap segi dan tinggi takwanya , lakukanlah dengan 'benar lagi betul', dan pasti tiada wujud tetak menetak. Hairannya kebanyakan yang ghairah dengan poligami adalah yang biasanya tidak mampu dari segi zahirnya. Cuma memfokuskan pada kebatinan mereka yang 'meruap-ruap' itu sahaja. Para ustaz dan orang alim pun tidak mudah dalam melakukannya. Perlu diingat peristiwai ini melambangkan kegagalan sang suami tersebut dalam mendidik diri sendiri dan para isterinya. Layanan yang tidak adil dari suami membawa mudarat kepada 'pologaminya'.

Tidak beberapa lama sebelum ini ada saya membaca juga berita mengenai seorang suami yang menyuarakan hasrat ingin menikahi seorang amah Indonesia hanya gara -gara sudah tidak berkenan dengan payudara si isteri yang menurutnya sudah tidak mampu 'membahagiakannya'. Beliau dengan muka tebal bagai ditampal kulit kayu memberitahu kepada isterinya hasratnya sambil menghina-hina si isteri yang dikatakan sudah tidak lagi menarik perhatiannya. Sememang melalui suratkhabar dapat dilihat (walau muka wanita itu 'dikelabukan'-mengelak aib) bahawa si isteri itu kelihatan tua dari usia dan sedikit berisi badannya. Namun kelancangan mulut durjana dan kebusukan fikiran si suami sungguh membuat saya jengkel. Ini manusia yang wajar ditetak mungkin (lintasan fikiran jahat). Ditambah bahawa sang suami sanggup menceraikan si isteri demi bersama kekasih amahnya yang masih 'muda bergetah miang' itu. Dasar lelaki begini habis manis sepah dicampak sewenangnya.

Jika sudah miang dan terlalu bernafsu jangan disalahkan isteri begitu begini. Tidak sedarkah anak sudah ramai dan umur makin menghampiri tarikh luput bukan menjauhi. Si isteri memberi kenyataan bahawa beliau berkeadaan sedemikian (merujuk mengenai payudaranya) kerana menyusu sepenuhnya kesemua anak-anak mereka. Ada juga yang menyusu sehingga ke umur lima tahun. Walau dalam Islam umur dua tahun sudah cukup. Ibu itu terpaksa kerana sebagai usaha menjimatkan wang perbelanjaan membeli susu. Kagum saya dengan ibu ini. Menyusukan bayi secara 'eksklusif' tidak begitu mudah. Saya hanya merasa ini bersama anak keempat (kerana sudah tidak bekerja) dan masih mencuba untuk bertahan.

Itu saya katakan lelaki yang berfikiran busuk seperti ini seperti tidak waras dengan pertuturannya sehingga menghina si isteri terhadap semua pengorbanan dan kepayahan isteri dalam rumahtangga mereka. Semuanya gara-gara 'amah bergetah miang' yang dikatakan banyak memakan jamu dan pandai menjaga kecantikan. Tidak sedarkah lelaki itu bahawa syaitan bertanduk telah bertenggek dikepalanya? Lantas matanya menjadi rabun dan hatinya menjadi terlebih buta dalam berfikir. Esok lusa jika 'amah bergetah miang' itu sudah tua mungkin dia akan mencari 'amah bergetah miang 2' dalam hidupnya dan seterusnya. Atau pun silap haribulan 'amah bergetah miang' akan meniggalkannya kerana ketidakmampuan si suami itu pula dalam' membahagiakannya'. Mungkin pula 'amah bergetah miang' berjumpa yang lebih 'keperkasaannya'. Mungkin saja kerana si suami terlupa memakan 'jamu kesihatannya'. Hukum karma itu berlaku. Hari ini memberi, esok lusa akan merasa. Sudah kena pada diri sendiri, baru mungkin faham apa yang orang lain rasa. Lelaki oh lelaki. Sudah menjadi 'species' terkawal di akhir zaman ini. Jika ramai lagi berperangai seperti yang kerjanya hanya memandang pada 'payudara' sebagai satu-satunya alat kebahagiaan berumahtangga-rosak binasa masyarakat jadinya. Jika ini menjadi penyakit yang diwariskan pada anak-anak lelakinya pula. Entahlah. Kasihan pada isteri-isteri mereka kelak. Ini akibat membiar nafsu yang satu mengawal dan melumpuhkan akal yang sembilan.

Berbalik kepada kisah menetak kerana cemburu. Ngeri dan menakutkan. Namun sekali lagi syaitan telah berjaya memainkan peranannya. Cemburu yang dikatakan sebagai tanda sayang telah mendorong sipelaku kepada perbuatannya. Saya tidak mengata kepada sipelaku. Cuma jika dia masih dalam ingatan dan berpegang terhadap dan dengan Allah, pasti ia tidak terjadi. Talinya terlepas waktu itu. Jadi dia khilaf. Beruntung jika mangsa masih bernyawa. Ada peluang bertaubat, memohon ampun dan maaf.

Wanita terlalu ramai dan lelaki terlalu sedikit?!. Ini selaras dengan - wanita lebih ramai di neraka berbanding lelaki. Namun jangan lupa ada lelaki yang sudah hampir melangkah ke syurga 'terpaksa' ke neraka kerana wanita (isteri dan anak perempuan). Jadi bawa-bawalah mengasah dan menajamkan 'akal yang sembilan' dan usah terlalu sibuk membelai nafsu yang satu. Jangan sudahnya menjadi mangsa tetakan!!! Eeeee ngeri tu........

7.40am@9/01/2011

Khamis, 6 Januari 2011

AIR MATA IMAM BESAR TAN SRI SHEIKH ISMAIL MUHAMMAD


Entah macam mana hari ini, sambil menyusukan si kecil Anas, saya tergerak menonton siaran langsung sembahyang Jumaat disiarkan melalui TV1. Jika tidak silap khutbahnya bertajuk 'Budaya Ilmu Asas Kecemerlangan Generasi'. Saya menjadi tertarik mendengar sinopsis khutbah dalam wawancara pengacara dengan Imam. Lantas saya habiskan menonton. Maklumlah keadaan saya kini amat perlu kepada apa jua 'remedy' bagi memperbaiki beberapa situasi. Situasi ini merujuk kepada entri saya sebelum ini.

Imam berkhutbah menyentuh tentang bermulanya sesi persekolahan. Beliau menekankan pentingnya memberikan pendidikan dan ilmu yang baik bagi anak-anak. Perihal keutamaan memberi perhatian kepada pelajaran anak-anak. Menyentuh juga tentang berbezanya antara mereka yang berilmu dan tidak berilmu. Kata-kata dan ayat-ayat yang dilafazkan bersama dorongan untuk ibu bapa lebih peka kepada perihal memantau anak-anak sesungguhnya memberi semangat kepada saya yang ternyata kini amat memerlukannya.

Namun apa yang begitu mengharukan saya adalah, sampai di suatu tahap beliau tersedu-sedu sambil suara tersekat-sekat dan menitiskan airmata kerana kesedihan. Ya Allah! Tidak saya sangka, Imam yang memikat saya dengan ketegasan dan kejelasan suaranya tiba-tiba berubah menjadi murah airmata bila sampai kepada meyebut perihal 'anak kecil' juga 'persoalan halal dan haram'. Beliau menjadi syahdu ketika bercerita mengenai sahabat Rasulullah yang telah ditegur oleh Baginda kerana selalu pulang awal dari berjemaah dan meninggalkan sesi berdoa. Sahabat itu menyatakan bahawa beliau terpaksa pulang awal kerana mengejarkan anaknya yang keseorangan di rumah. Sahabat itu baru kematian isterinya. Sahabat bimbang bahawa anaknya akan merayap-rayap dan memakan buah tamar jiran yang gugur berhampiran rumahnya. Alasan sahabat adalah "Sesungguhnya daging yang tumbuh dari sesuatu yang haram tidak akan ke syurga".

Ya Latif. Allah itu Maha Lembut dan dia berhak melembutkan hati sesiapa sahaja atas kehendaknya. Ternyata hari ini bila melihatkan Imam Besar menangis saya sebenarnya menyaksikan sesuatu yang seolah-olah memberi isyarat kepada saya bahawa kelembutan hati itu andai bertepatan dan benar dapat menjadi senjata dalam kehidupan. Saya menjadi lebih pasti bahawa menangis itu dapat menjadi ubat dalam kehidupan. Menangis atas dasar keinsafan dan penuh kesedaran itu sebenarnya mampu berubah menjadi tombak-tombak sakti yang mampu menghancurkan seteru. Seteru itu boleh saja menjadi nafsu dalam diri kita mahu pun musuh dari luar. Kerana itulah selalu dinyatakan 'beristighfar dengan linangan air mata' itu amat baik. Mengenang dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan diri dan membimbangi dapatkah kita kepada pengampunan Ilahi?.

Subhanallah. Saya umpama menelan sebiji pil kelegaan hari ini. Berapa lama dapat bertahan, hanya Allah Maha Tahu. Selagi ada kehidupan saya juga terus belajar. Belajar ini sebenarnya proses yang memakan sepanjang hayat. Semoga ada baiknya perkongsian ini. Allahhua'lam.

4.25pm@7/01/2011


WAJARKAH ASRAMA PENUH UNTUK LEPASAN UPSR




2011 sudah pun singgah hari ke tujuh. Anak-anak yang bersekolah sudah pun memulakan sesi persekolah pada hari ke lima. Tamatlah minggu pertama persekolahan. Ibu bapa yang anak-anak mereka bersekolah, kembali sibuk seperti biasa berbanding sedikit lega sewaktu musim cuti persekolahan tempoh hari. Masing-masing dengan rutin menempuh ruang masa di alam fana' ciptaan Ilahi.

Bagi anak-anak yang telah menerima keputusan peperiksaan, baik UPSR mahu pun PMR pasti merasa nyaman, kiranya keputusan memihak kepada mereka. Ibu bapa sekaligus berkongsi rasa dan kesyukuran atas kejayaan anak-anak. Bagi mereka yang kurang berjaya, ingat sahaja bahawa itu bukan penamat. Perjalanan masih jauh. Rancang dan laksanakan baikpulih pada mana yang perlu. Ibu bapa, terutamanya saya mesti berpegang bahawa, proses pembelajaran (formal) itu boleh sahaja berhenti namun tidak untuk pendidikan.

Ibu bapa yang anak mereka berjaya cemerlang, mungkin tengah sibuk memikir-mikir mahu pun telah mengisi dan menghantar permohonan untuk anak ke asrama. Biasanya permintaan ke asrama melebihi penawaran. Jadi hanya meraka yang benar-benar layak akan diterima masuk. Kelayakan itu pula bergantung kepada keputusan dan pencapaian anak selain dari yang telah ditetapkan oleh pihak bertanggungjawab seperti Kementerian yang bertanggungjawab dan pihak sekolah itu sendiri.

Semua ibu bapa ingin melihat anak-anak mereka mendapat yang terbaik, terutama dari sisi pelajaran. Kita sedar ilmu itulah yang akan memandu pemiliknya mengemudi kehidupan berbanding harta yang hanya menagih penjagaan. Ilmu juga mampu mendatangkan harta. Ilmu itu sendiri harta yang tidak mungkin di curi kerana tersimpan di tempat yang paling selamat, iaitu di dalam dada. Oleh itu jika menginginkan dunia mahu pun isinya mestilah berilmu, jika menginginkan akhirat juga mestilah berilmu. Jika menginginkan kedua-duanya juga pastilah dengan ilmu.

Mungkin ada ibu bapa yang was-was untuk menghantar anak ke asrama sedangkan anak itu sendiri mahu sedemikian. Terdapat juga ibu bapa yang beria-ia mahu anak ke asrama sedangkan anak keras menolak. Maka wujud pertentangan kehendak atau keinginan. Saya minta jangan memandang remeh pada perkara ini. Keputusan yang betul bakal memastikan kejayaan masa depan anak tersebut. Saya bukanlah kaunselor, mahu pun penasihat. Ini cuma perkongsian berdasarkan pengalaman kecil saya. Mudah-mudahan ada baiknya.

Saya kini berada dalam 'dilema rasa'. Ini saya rasakan terhadap anak sulung saya yang kini berada di sebuah sekolah agama berasrama penuh. Masih saya ingat betapa beliau menolak untuk ke asrama. Pada waktu itu saya merasakan penolakan itu tidak wajar kerana ia seolah-olah menidakkan usaha saya dan suami yang mahukan yang terbaik untuknya. Saya pejam sebelah mata dalam memandang sama ada anak itu sudah ada kesediaannya sendiri (rela hati) atau sebaliknya. Niat saya supaya dengan kemasukan ke asrama penuh, anak saya dapat belajar berdikari (di rumah semua bagai pahat dan penukul dan banyaknya emak tolong). Selain dapat bergaul dengan mereka yang baik pelajarannya (akhlak belum tentu, namun Insyaallah), mendapat bimbingan dari guru-guru yang bagus-bagus. Memilih untuknya ke sekolah agama pula dengan niat supaya tidak terus meninggalkan terus pendidikan keagamaan (terutamanya Bahasa Arab) yang diterima semasa di Sekolah Rendah Agama di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah selama enam tahun.

Kini anak saya telah pun berada di Tingkatan 3 dan bakal menduduki PMR. Saya menjadi semakin bimbang. Lebih dari itu saya 'kalut'. Kekalutan itu baru-baru ini telah membawa saya sehingga menelefon kepada Guru Besar dan berjumpa dengan Guru Hal Ehwal Pelajar. Bukan kerana anak saya melakukan sebarang kesalahan. Cuma saya berusaha untuk mengurangkan kerisauan dan bertanyakan pandangan dari yang layak. Selain mengambil tahu hal berkaitan sekolah itu sendiri.

Berbalik pada kebimbangan saya. Ianya kerana pada saya prestasi anak saya itu hanya 'sedang-sedang' sahaja dan tidak dalam konsistensi. Pada awalnya menyedari perihal sedemikian, saya memikirkan mungkin anak saya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Maklumlah pertama kali melalui hidup sendiri. Pasti sukar juga buatnya. Awalnya juga beliau berdepan masalah menyesuaikan diri dengan beberapa orang teman sebilik. Namun semua itu berubah masuk kepada semestar kedua tahun pertama. Beliau semakin selesa dengan persekitaran. Tiada lagi rungutan. Kini beliau teramat suka dan 'sayang' pula dengan 'semuanya'. 'Comfort zone' si anak berlawan dengan kerisauan saya yang memuncak bila memperkatakan perihal akedemik. Beginilah perasaan yang menghantui saya:

Mampukah anak saya setanding dengan prestasi sekolah yang sememangnya baik.? Saya tiada di sampingnya untuk membantu seandainya beliau perlu. Selama ini - tadika ke darjah enam, saya memantaunya dengan rapat sekali. Saya telah menjadi guru tambahan padanya. Mengulangkaji bab demi bab bersama-sama itu suatu yang biasa untuk dia dan saya. Masih saya ingat bagaimana saya tidur pukul 2 pagi menyediakan ringkasan nota Sains untuknya pada pagi UPSR (dia saya kerah tidur awal supaya cukup rehat). Sebelum ini saya pasti telah melakukan yang terbaik untuknya. Sekarang ini, saya menjadi kurang pasti. Apakah saya terperangkap dengan ketegasan sendiri?. Timbul juga rasa bersalah dengan andaian prestasi akedemiknya pasti lebih baik jika masih bersama-sama saya di rumah. Beliau boleh sentiasa bertanya dan saya akan berusaha menjawab andai ada yang kurang faham. Jika saya tidak cukup ilmu, saya akan mencari jalan lain. Saya selalu 'menebalkan' muka ke sekolah demi anak-anak. Semuanya dilakukan demi rasa ingin kebaikan buat anak-anak.

Tahun ini menjadi tahun yang mencabar. Sebelum ini, saya dicop sebagai ibu yang periksa bila anak periksa. Nampaknya begitu jugalah, tiada berubah. Namun saya kini ada tiga orang yang perlu kepada perhatian dan pemantauan bukan lagi satu, seperti along seorang. Kak Ngah di darjah lima, Aisyah di darjah tiga. Saya perlu adil. Anas yang semakin membesar dan juga mahu belajar yang semahunya.

Saya ingin simpulkan di sini, pertamanya untuk diri saya dan mereka yang terbaca ruangan ini, dalam membuat keputusan mengenai anak-anak beberapa perkara perlu di beri perhatian seperti:

1. Niat - bersih dan luhurkan niat kita sebagai ibu bapa. Setiap perkara itu dinilai oleh Allah melalui niat.

2. Kerelaan anak-anak - jangan lupa perihal perasaan anak-anak. Perbincangan dengan anak-anak perlu. Nyatakan tujuan dan kehendak kita sebagai ibu bapa dan jangan pula meremehkan kehendak anak. Jika perlu 'istikharah' - lakukan. Sekiranya perlu 'trial and error' - tawakkal dan pasrah.

3. Pemantauan - apa sahaja keputusan yang dibuat, pemantauan berterusan amat mustahak. Sesibuk mana pun ibu bapa, semasa berada dengan anak mestilah dengan jiwa dan bukan dengan hanya kata-kata.
4. Pembetulan - andaikata hasil belum mencapai hajat, cuba perbaiki kelemahan. Sedaya mungkin bantu anak kerana siapa lagi yang mereka dapat harapkan jika bukan kedua ibu bapa.

5. Penyerahan total pada Allah. Solat itu tiang agama dan doa adalah senjata utama.

Sekian perkongsian hari ini.

Wassalam.

11.40am@7/01/11