Ahad, 27 Februari 2011

GANJARAN WANG BUAT GURU.



Selepas minum pagi bersarapankan nasi lemak tanpa lauk dan sedikit kuih dari kedai, saya terasa ingin menyampaikan. Hari ini saya memilih satu topik yang pada aku mustahak. Sebagai warganegara Malaysia yang masih ada rasa sayang dalam hati, saya cuba sampaikan perkara ini, walau mungkin sesetengah yang akan terbaca, bakal merasa kurang puas hati. Sebagai seorang yang pernah melalui alam persekolahan - rendah, menegah, institut dan universiti, rasa boleh kiranya saya bersuara. Walau ada sumbang. Ini cuma suara hati juga pandangan.

Semalam saya terbaca mengenai Wawancara Mingguan Malaysia dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Di bawah tajuk Iktiraf Kepimpinan Sekolah. Saya yang mempunyai tiga orang anak yang sedang bersekolah terdorong membacanya. Memperihalkan aspirasi Kerajaan dalam menentukan halatuju sistem pendidikan negara Wawasan 2020. Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan segala niat murni kerajaan dalam usaha memastikan rakyat negara ini dapat menikmati pendidikan yang berkualiti. Pelan-pelan dikatakan terangka mencakupi peringkat pra-sekolah hingga ke pengajian tinggi. Syabas dan tahniah atas semua itu. Saya akui sebagai rakyat Malaysia, sangat beruntung atas pendidikan formal yang telah saya ada ditahap ini. Diakui juga ada juga rasa ingin masuk kelas semula. Saya suka pada ilmu. Saya suka menghadap pensyarah. Saya suka berkelilingkan sahabat menuntut ilmu. Pendeknya saya suka belajar. Belajar menyedarkan bahawa kita bahawa sentiasa ada ruang mengetahui sesuatu yang baru.

Meneruskan pembacaan saya, saya dapati wawancara itu berintikan bagaimana kerajaan ingin menghargai guru-guru mereka (guru-guru anak-anak kita) dengan ganjaran kewangan berdasarkan prestasi. Dikatakan ia sesuatu yang baru yang pertama kali bakal dilaksanakan dalam perkhidmatan awam negara ini. Wow! seronoknya. Saya menumpang sekaki. Dinyatakan juga idea berani ini akan diusahakan secara telus lagi adil. Baguslah! Saya sokong tu.

Kemudian saya mengimbas-imbas alam persekolahan saya. Terbayang-bayang wajah guru-guru saya dahulu. Semoga Allah merahmati mereka (yang masih ada dan juga yang tiada). Terkenang saya akan perit-jerih mereka mendidik saya dan rakan-rakan sekelas. Di sekolah rendah, paling tidak boleh lupa pada Cikgu Khamsiah. Cikgu yang paling 'garang'. Saya cuma berterus terang. Ramai anak-anak murid yang' merasa' dengan beliau. 4 dari 6 adik beradik saya telah 'merasa' bergurukan beliau. Banyak kenangan yang boleh kami bualkan tentangnya. Saya teringat hukuman-hukuman yang diterima seandainya gagal menurut kata Cikgu. Perut saya selalu 'hilang' bila tiba masa Cikgu masuk kelas. Semoga Allah mencucuri rahmatnya ke atas roh beliau. Saya mengetahui beliau meninggal dunia kerana kanser. Itu imbasan sewaktu darjah 5.

Saya teringat pula pada Cikgu Zainuddin. Cikgu yang membuat saya suka pada Matematik. Saya tak segan katakan, saya sayang dengan Cikgu ni. Dia memang macam bapa pada anak muridnya. Dia rajin betul mengajar kita orang. Dari cara dia, memang komited betul. Maklumlah. Saya ini dari keluarga yang tak mampu pun nak pergi tuisyen. Kelas tambahan percuma beliau betul-betul saya hargai. Guru lain pun sama juga. Cikgu Zainuddin buat saya jatuh cinta dengan pengiraan. Bermain dengan angka sebenarnya satu cabaran dalam keseronokan. Dia mengajar supaya jangan kenal pun putus asa selagi tak dapat jawapan yang betul dengan jalankerja yang betul. Saya takkan lupa Cikgu yang seorang ni. Pada saya dia seorang yang terpancar IKHLAS dan tidak mengharapkan apa-apa dalam usaha mendidik anak bangsa. Saya menilai, dia bekerja - datang pagi dan pulang petang dan terlibat dengan aktiviti sekolah dengan niat ikhlas sebagai komitmen seorang insan. Insan yang ingin melihat anak bangsa celik ilmu. Menerangi kegelapan. Beliau dibayar gaji dalam usahanya. Imbuhan lain - saya tidak pasti!. Gaji yang diperolehi didoakan halal dan diberkati Allah. Ia bakal mendarah daging untuk dirinya dan keluarga. Beliau seorang pemimpin (dalam keluarga). Beliau seorang khalifah (di dunia). Tanpa perlu ganjaran kewangan (sebagai inisiatif 'extravaganza') beliau telah berjaya mendidik saya dan rakan-rakan sehingga tamat PMR. Saya cuma dapat 6A sahaja. Tak cukup bagus pun.

Saya teringat guru-guru saya dulu, ramai mereka serba sederhana. Melihat kepada pemakaian mereka sahaja, saya tahu. Lihat juga kenderaan mereka. Walau saya remaja yang masih 'bodoh-bodoh alang', saya belajar menilai. Berbanding dengan guru-guru sekarang. Jauh berbeza guru-guru sekarang. Saya puji kerajaan dalam usaha memartabatkan karier perguruan ini. Guru-guru kini lebih berprestij lagi glamor. Nah! cuba lihat dan nilailah. Tidak salah untuk melihat dan berfikir. Oklah kita boleh katakan sekarang ni dah tahun millinieum. Nampaknya guru-guru sekarang bergerak seiring dengan matalamat millinieum itulah! Sampai nak mendidik anak bangsa pun perlu ada habuan dalam RM?!!. Itu cuma satu soalan. Wajar kiranya kerajaan tidak perlu mencanang 'habuan' ini sebelum melihat hasilnya. Itu akan mewujudkan budaya 'kerja dahulu, imbalan kemudian - surprised'. Bagi mereka yang diganjari, bukan kerana ganjaran itu matalamat mereka, tapi keikhlasan mendidik dan dan komitmen ingin memajukan bangsa - ITULAH YANG PERLU DIHARGAI!. Jika begitu kerajaan terlihat ikhlas dan begitu juga guru-guru yang bakal mendapat ganjaran.

Saya terpanggil menulis tentang ini kerana terasa hati saya pada pagi ini. Saya marah pada berita online yang saya baca tentang GURU RABA MURID, di Metro pagi ini. Saya juga kurang senang pada cerita menantu kepada bekas penjaga anak saya semalam. Saya terjumpa dengannya di sebuah pasaraya semalam. Berbual-bual tentang anak-anak dan dia bercerita mengenai sekolah anaknya (menengah) di mana guru-gurunya tidak suka mengajar. Anda pelik?! Begitu juga saya. Seolah sukar nak dipercayai. Namun ini hakikat. Dia katakan anaknya malas hendak ke sekolah kerana guru tidak mengajar. Anaknya hanya berharap kepada pusat tuisyen dari segi pembelajaran. Sungguh terkejut saya!. Saya tanyakan tentang keputusan peperiksaan anaknya. Mendapat 4A dan 4B dalam PMR. Not bad! rasa saya. Tapi ibu itu berkata. "Nasib baik pergi tuisyen, kalau tak, entahlah!. Diceritakan juga, sehingga Kementerian buat 'serbuan' setelah mendapat komplen dari ibubapa. Nah! apa ini?

Saya ringkaskan bahawa, cadangan memberi insentif pada guru-guru sebagai menghargai jasa, itu adalah baik. Tapi mungkinkah ada kesan lain? Manusia ini ada dua unsur. Roh dan jasad. Kita biarkan roh keikhlasan itu mendorong guru-guru bekerja dengan niat Lillahitaa'la. Jasad mereka akan menerima ganjarannya. Mereka pasti bahagia jika mendahulukan keikhlasan dan bukan bekerja demi mengejar wang semata-mata. Saya akui kini, dan dahulu - Guru-guru berbeza. Saya faham zaman telah berganjak ke hadapan. Atas dasar itu, inspirasi dan aspirasi guru jangan sehingga keciciran kebelakang. Ikhlaslah dalam kerjaya murni itu. Tanpa guru, murid-murid bukan sesiapa. Guru kini terlalu banyak cabarannya. Dunia pendidikan kini juga perlahan-lahan diperdagangkan. Tapi jangan sampai 'KEIKHLASAN' itu hilang dibawa arus material. Guru menjadi rujukan setiap sudut. Sahsiah guru juga menjadi renungan anak-anak murid. Mendidik tugas murni yang mesti 'dipelihara'. Semoga Malaysia dan rakyatnya akan terus maju dan seimbang halatujunya menerusi dunia pendidikan demi mengejar dunia dan tidak melepaskan alam kekal di sana.

10.15am@28/02/11


Jumaat, 25 Februari 2011

OH! MAHER ZAIN

Sewaktu menjemput anak pulang dari asrama, terdengar di radio berita perihal Maher Zain. Mungkin bakal membuat album dalam bahasa Melayu. Minggu ini sahaja kerap mendengar cerita Maher Zain. Dijemput di radio. Dijemput di TV. Maklum, jika tidak silap konsert beliau hampir sangat bakal berlangsung. Promosilah. Berbalik pada album dalam bahasa Melayu Maher Zain. Tak silap pendengaran beliau mungkin akan berusahasama dengan pihak yang dipilihnya.

Rasanya ramai sudah pun mendengar nyanyian Insyaallah yang diMelayukan. Terasa janggal pada pertama kali aku mendengarnya. Antara faham dengan tidak pula. Eh! Bukan kerana apa. Bukan aku menduakan Bahasa ibunda. Dah terbiasa sangat yang versi Inggerisnya. Lagi pun yang pertama, itulah yang biasa dan lunak dijiwa. Mula-mula mendapat CDnya dulu, nyaris nak meletup CD player dalam kereta tu dibuatnya. Pergi, balik - Maher Zain. 'Non-stop.' Anak-anak, asal masuk kereta aje. "Abah, Maher Zain!". Masa tu abah pun baru dapat, baik aje layan. Mak belajar-belajarlah. Sekarang ni dah 'slow' sikit. Abah pun lebih gemar melayan Sinar FM. Nak buat macam mana. Mak dan anak-anak 'passanger' aje. Kalau ikut mak, mahu sahaja mendendangkan anak-anak dengan syarahan-syarahan Pak Ustaz. Nanti berasap pulak telinga yang lain. Dunia! dunia!...

Bercakap tentang lagu Insyaallah. Pada aku, lagu ni sebenarnya memang berupaya kuat mendorong dan memotivasikan. Beberapa kali juga (waktu rasa 'down' - bukan 'sindrom down' atau 'down sindrom'), lagu ini mampu membantu. Ia begitu meredakan. Membawa aku balik dari 'kekeliruan'. Pada aku suara si Maher Zain ni memang ada tarikan tersendiri. Disertakan dengan lirik-lirik mendalam walau ringkas, ia begitu membekas dalam hati. Sesuatu yang lahir dari hati, disampaikan dengan sepenuh hati, serasa pasti dapat menyentuh hati. Lebih dari itu menggenggam hati. Mendengarkan pula dia menyanyi dalam Bahasa Melayu - mudah juga menyebut perkataan dalam Bahasa Melayu. Banyak lagi lagu dia yang sedap didengar. 'Awaken' dan 'Hold My Hand' antara lain.

Selain itu aku juga tertarik dengan kisah yang diceritakan perihal si Maher Zain ni yang dahulunya lain (tersasar) dan kini dan berubah pada yang lebih baik. Katanya dahulu beliau jauh dari jalan Allah dan kini telah sedar dan berusaha memperbaiki diri. Dari situ perkongsiannya dilahirkan melalui lagu-lagu beliau untuk para peminat. Itu ceritanya. Untuk aku - aku suka lagunya dulu. Kemudian barulah ambil tahu serba- sikit latarbelakang. Sikit-sikit sudah lah. Aku kenal lagu dia pun, melalui anak sulung aku. Si bertuah yang seorang tu. Begitulah! Remaja suka Maher Zain, apakah mungkin kerana rupa? Suami orang dan bapa budak tu - boleh tahan!. Tak perlu puji lebih-lebih. Tak untung apa pun. Kalau dah buat dan jual lagu, juga menyanyi maknanya ada 'pakejlah'. Oklah.

Aku ada rasa kelakar sikit, masa dengar Maher Zain di Sinar FM. Masa tu KE, SY dan Khairil. Ada Mamat seorang tu tanya macam mana Maher Zain boleh 'convert'. Apa yang mendorong beliau. Aku pulak yang 'termalu'. Mamat tu tersilaplah. Dia ingat Maher Zain asalnya 'non-muslim'. Nasib baik juga DJ-DJ perbetulkan Mamat tu dengan berlapik. Tapi aku rasa segan. Kalau minat dan nak tanya soalan peribadi macam tu, kena buat kajian dulu. Pastikan. Tapi Maher Zain memang 'cool'. Dia relaks aje menjelaskan yang betul. Itulah lagi satu yang menarik tentang dia. Bersahaja. Tunggu sahaja apa yang bakal dibawa akan datang.

Eh! Aku henti dululah. anak aku nak tiusyen ni. Kena siap-siap. Kena buat apa yang patut le.... Tuuut...


6.50pm@25/02/11




Selasa, 15 Februari 2011

DUNIA KECILKU?!

Saat ini, bertemankan siri 'Desperate Housewives' di TV8 (musim baru)-siri pertama aku kembali pada halamanku ini. Halaman alam maya yang kujadikan sebagai ruang pelepas rasa. Di laman sebegini sesiapa pun bebas menari dengan apa jua rentak. Namun sedarlah andai tersilap langkah, mungkin ada yang akan susah. Di sini juga boleh terbit berbagai kemungkinan jika disalahguna. Hati saat ini ada tenang. Atas sebab itu rasanya dapat menekan butang-butang di papan kekunci ini. Bercerita tentang tenang-ia datang dan pergi, turun dan naik. Apa yang pasti hanya hati yang mendalam mengingati Allah itulah benar-benar tenangnya. Aku masih lagi dalam usaha untuk mendapat yang sebegitu.

Kurang lebih sebulan sudah aku tidak mencatat apa-apa. Alhamdulillah hari ini, aku mampu semula. Itulah aku-sering 'rapuh' dan terkalah oleh persekitaran. Namun itu hakikat kehidupan diriku. Masih perlu banyak berusaha untuk lebih 'istiqamah'. Apa sahajalah ceritanya dengan 'Desperate Housewives' di kaca TV tu. Untuk aku hanya mendengar dialog-dialog Berbahasa Inggeris yang nyata tidak mendapat perhatianku. Berbanding suami yang menumpukan perhatian sebab dia memang peminat 'Desperates Housewives'. Cerita-cerita Barat memang pandai melekakan penontonnya. Itu kepakaran mereka.

Jika kebelakangan ini dunia gempar dan begitu sibuk dengan kisah dari Mesir, Tunisia dan Lubnan. Terbaru disebut-sebut Bahrain dan Iran. Entahlah-aku tak 'expert' hal politik dunia ini. Oleh itu aku pula baru reda menangani permasalahan 'duniaku'-perihal anak-anak. Kesibukan pada memantau perihal anak-anak-ternyata meletihkan untuk aku dalam senarioku. Anak sulung yang bakal menduduki PMR telah diduga dengan mendapat keretakan dibawah buku lali kiri, pada Thaipusam lalu. Ibarat jatuh ditimpa tangga, dia kemudiannya dinaiki gatal-gatal kulit kerana alahan pada Tahun Baru China. Sehingga ke siang tadi-masih begitu keadaanya. Berulang-alik ke hospital tentang kaki dan ke klinik tentang kulit. Mungkin bakal berulang-alik ke hospital lagi-andai kulit masih belum baik. Adatnya-bila anak ditimpa kesusahan ibu dan bapa turut susah. Ternyata ibu 3x susah dari si bapa. Aku hanya mampu menasihatkan anakku, supaya semua ini tidak melemahkan semangatnya terhadap pelajaran dan peperiksaan penting yang bakal diduduki. Aku katakan sepatutnya dia mesti menjadi lebih tabah dan kuat. Pandanganku juga, dugaan jika diambil secara positif dapat membangkitkan semangat dan kesedaran. Walau aku sedar berada didalam dugaan itu memang suatu cabaran. Aku telah melakukan beberapa usaha untuk pelajarannya disamping masih perlu memantau beberapa perkara. Aku terus mendoakan kesihatan dan kebaikan untuk Along.

'Desperate Housewives' sudah setengah jam tamat siarannya. Aku masih di sini. Memikirkan dan mengimbas tahun baru yang telah sebulan setengah berlalu. Entah mengapa hari ini-aku ibarat berpijak semula selepas diawang-awangkan oleh masa dan perihalnya. Mungkin juga Maulidur Rasul ini menyedarkan aku? Salawat dan Salam ke atas Rasul Junjungan dan ahlinya. Alahai! dah pukul 12. Aku sememangnya rasa letih. Siangnya menjengah anak sulung diasrama selepas merawat lapar pagiku dengan hidangan soto (walau terkilan sedikit sebab bergedil dah habis) bersama teh tarik di kedai bersama suami dan anak-anak. Ditambah dengan ke taman permainan melayan gian Kak Ngah dan Aisyah yang meyambut harijadi ke 9 tahun (menurut kalendar Islam). Untuk Anas ini kali pertama menaiki buai dan bergelongsor di taman permainan yang dikelilingi ramai orang. Anas dapat pengalaman baru. Dia 'enjoy'.

Aisyah nampak seronok hari ini. Hari yang dihitung-hitung tiba juga. Dia faham harijadinya pada setiap Maulidur Rasul. Itu yang mudah padanya. Ada benarnya. Dia sememangnya lahir di pagi Maulidur Rasul pada 2002. Mengendeng-ngendeng dia untuk sebiji kek. Aku tidak sampai hati-lalu menurutinya. Memilih 'Chocolate Moist' , kami lalu menikmatinya bersama-sama sekeluarga bersaksikan sekolah Along. Begitu juga permintaan hadiahnya. Aku memberi pilihan baju atau buku-buku latihan darjah 3. Aisyah memilih buku. Aku sememang gemar menuju ke kedai buku. Aisyah mendapat hajatnya. Tahun ini aku agak sedikit gembira dengan perubahan sikap Aisyah terhadap pelajaran. Dia telah menunjukkan sikap lebih baik dari dua tahun yang sudah. Sebelum ini aku bimbang kerana dia selalu bermalas-malas dan tidak 'cope' dengan pembelajarannya. Telah aku nasihati dia dan dengan izin Allah aku nampak perubahannya dan boleh mengucap syukur. Dia lebih berminat dan berkemahuan. Aku berdoa ia berkekalan. Dia seolah-olah baru bermula untuk faham. Dia baru mula berbangga menunjukkan pujian-pujian guru terhadap kerja-kerja di buku rampaiannya. Aku mendoakan kebaikan buat Aisyah juga.

Angah-satu-satunya anakku yang faham apa erti persaingan awal-awal lagi. Oleh itu dia sebolehnya tidak mahu ketinggalan. Tahun ini mendesak untuk mendapatkan Tiusyen demi menuntut janji dariku dan supaya seganding dengan rakan-rakan yang lain. Aku berjaya meyakinkan abahnya untuk menjayakan hasratnya. Dia dapat apa yang dimahukan. Siap memilih tempat (aku pandu sedikit dengan nasihat dan pendapat). Inilah perbezaan Angah. Dia memang 'demanding'. Macam-macam kerenah. Itu hakikat 'duniaku'. Kekadang aku merasa dan bertanya sendiri, "Apa begitu kecil duniaku ini?". Apa kerana itu sesekali aku juga sesak dan merasa senak. Selain rindu pada suasana yang dahulu. Waktu dikelilingi perihal pejabat dan persekitaran. Mahu pun kawan-kawan. Waktu kaki bebas melangkah tanpa rasa dirantai dan terikat. Ini hakikat manusia ada sahaja rungutan. Aku tidak terlepas!. Apakah ini dilema menghampiri 40an-ibarat pandangan yang aku pernah terbaca. Apakah aku mula merasa bahang dalam jangkauannya. Berdoa agar tidak cair. Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan kekuasaanMu ya Allah!.

Anas-sikecil kesayangan semua. Mmmm... makin membesar dan lasak. Tubuh susut sedikit dari sebelumnya. Dua kali mendapat demam. Batuk dan selesema tidak terkecuali. Fahamnya berkepit dengan Emak. Ini satu lagi. Kerja rumah boleh tergendala gara-gara dia seorang. Apalagi bila kurang sihat. Merengek sahaja kerjanya. Aku lega bila kakak-kakaknya pulang sekolah. Dia berkawan dan leka. Pandai menonton TV. Minat pada iklan-iklan. Suka Upin dan Ipin. Faham dengan' Wonder Pets'. Begitu juga 'Finley the Fire Engine' dan 'Chugginton'. TV dah jadi kawan biasa kanak-kanak kini. Terdapat anak buah suamiku yang tidak berganjak menonton satu filem animasi. Gemar mengulang-ngulang cerita yang sama. Untuk emaknya. Itu menjadikan kemudahan untuk melaksanakan kerja rumah. Melekakan anak-anak untuk mudah membuat kerja rumah. Anas belum lagi ke tahap itu. Dia hanya berkejar (dengan walkler) pada masa-masa tertentu. Baru mencecah 30%. Asyik mencari Emak. Bimbang ditinggal Emak. Semuanya Emak. Dalam pantang dulu- dipanggil anak emak. Mahu emak sahaja memegangnya- Tak mahu yang lain. Gigi Anas masuk ke-4 batang yang jelas. Dua lagi samar-samar. Jika semua jelas 4 atas, 2 bawah. Baru mendapat selera makan semula-setelah hampir seminggu kerap menolak makanan. Hampir sebelas bulan usianya. Rasa cepat masa berlalu. Masih teringat-ingat saat dia di dalam kandungan. Nah! Insyaallah bakal mencecah setahun di bulan hadapan. Mak mendoakan kebaikan buatmu Anas.

Dah melarat pukul 1 pagi. Aku benar-benar perlu berhenti. Esok anak-anak akan ke sekolah. Rutin biasa. Inilah aku dan kehidupanku. Namun menghampiri 40an, membawa aku berfikir-fikir dan aku merangka-rangka dalam pemikiran. Mudah-mudahan diberi kekuatan dan keupayaan melaksanakannya.............Amiiiiin.

1.15am@16/02/11