Isnin, 30 Mei 2011

..........KITA JUGA SALAH SEORANG PEMINUM TEGAR 'BIR HALAL'.

Gambar pinjaman.

Isu bir halal ini masih belum temui noktahnya. Pengelihatan saya, ia masih hangat dan terapung-apung mencari keputusan muktamad. Di mana kekurangan 'jentera terbabit' sehingga isu ini seolah-olah belum temui kata putus. Masih dipersoalkan kebenaran dan kesahihan halal atau haramnya minuman yang dirujuk tersebut. Apa yang saya lihat laporan di dalam akhbar juga seperti bukan menuju kepada menyelesaikan permasalahan ini tetapi lebih membuat orang berada di persimpangan dan lebih berdepan dengan persoalan. Bukankah ini persoalan sejagat untuk negara Malaysia yang mendakwa Islam sebagai agama rasmi.

Isu halal atau haram ini menjadi tanggungjawab untuk diselesaikan secepat mungkin. Ini persoalan perut umat Islam. Perut yang dirosakkan dengan sesuatu yang haram akan juga merosakkan hati. Bila hati rosak, rosaklah ummah dan ini penghinaan secara tersirat pada Islam. Tidak perlu bermain tarik tali dan diberi kelengahan dalam menanganinya. Jika kita soal tanggungjawab siapa? Wajar kita jawab, ia tanggungjawab siapa sahaja yang mengakui beragama Islam. Bermula dari peringkat pemimpin tertinggi sehingga peringkat manusia seperti saya yang hanya mampu menjerit di dalam blog ini. Khususnya ia tanggungjawab 'jentera terbabit' yang memikul tugas khas ini.

Saya katakan laporan akhbar mengelirukan kerana sewaktu membaca berita ini di dada akhbar, tertegun saya membaca di dua muka bersebelahan berita tentang isu yang menggambarkan dua persepsi yang bercanggah. Andaikan dan bayangkan kita sebagai salah seorang peminum tegar minuman tersebut (INI TAJUK SAYA), maklumlah sudah lama beredar di pasaran. Sudah berbotol-botol pula kita teguk. Serasa ketagih dan sukar meninggalkannya dan amat berharap pada hasil keputusan dari 'jentera terbabit'.

Di satu halaman mengatakan sebegini butirannya:
 
1)  Jakim pernah menolak permohonan untuk mendapatkan sijil halal bagi minuman tersebut yang diimport dari Timur Tengah. Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha mengatakan ia tidak menepati 'standard' halal MS1500:2009 dan tidak mematuhi prosedur halal.

Kekeliruan kita:
Kenyataan ini tidak lengkap dengan tidak menjelaskan permohonan dari siapa atau syarikat mana, lebih tepat untuk minuman berjenama apa. Negara Timur Tengah juga tidak dispesifikasikan.

2)  Berdasarkan itu orang ramai diminta supaya berhati-hati dan memilih produk yang mempunyai sijil halal diiktiraf kerajaan. Beliau berkata sedemikian ketika mengulas laporan akhbar Harian Metro, Sabtu lalu berkenaan ujian oleh Jabatan Kimia terhadap minuman berkenaan yang mengandungi tahap alkohol 0.5 peratus berbanding 0.1 peratus yang dibenarkan.

Kekeliruan kita:
Pada peringkat ini kita bukan perlu nasihat dan amaran sebaliknya kita perlukan kata putus perihal halal atau haram untuk meneruskan meminum minuman tersebut.

3)  Jakim dikatakan tiada kuasa menghalang pengguna Islam dari membeli minuman tersebut sebaliknya hanya boleh menasihatkan supaya mereka tidak meminumnya.

Kekeliruan kita:
Jadi tugas siapa pula nak menghalang umat Islam dari terjebak dengan perkara sebegini dan seumpama ini. Atau ini hal sendiri-sendiri. 'Mind your own business', kalau dalam bahasa Inggeris. Bahasa 'rock' saya, lagi-lagi nasihat, dan bukan semua orang makan nasihat. Apa yang perlu adalah ketegasan penguatkuasaan. Asyik menasihat sahaja, pelacur pun diorang layan juga, arak pun teguk juga.....

4)  Timbalan Ketua Pengarah Kastam(Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Muhammad Yusop Mansor menyatakan kesediaan membantu Jakim mengawal kemasukan produk ke Malaysia, disamping mengambil kira cukai dan lesen import minuman itu. Beliau juga mengatakan belum menerima aduan dari mana-mana pihak tentang bir halal itu. Alasan beliau adalah bab halal dan haram adalah di bawah kuasa Jakim dan hanya akan bertindak berdasarkan permintaan dari agensi tersebut. Menambah kenyataan dengan mengatakan produk tersebut perlu diberi perhatian kerana berkaitan alkohol.

Kekeliruan kita:
Lihat perkataan 'kemasukan' itu tidak dispesifikasikan kemasukan produk apa. Sekali lagi kenyataan yang begitu terbuka dan umum sehingga sama seperti tiada berbicara apa-apa. Pelik kerana tiada aduan dari mana-mana pihak sedangkan isu ini sudah beberapa lama diperkatakan. Meletakkan sepenuhnya ke bahu Jakim persoalan tersebut.

Di halaman bersebelahan pula dalam isu yang sama namun laporan dari wartawan berbeza pula begini butirannya:


1)  Pengarah Suria Wholesaler Sdn Bhd, Ahmad Al Yateem, pengedar minuman malta berjenama Barbican yang dikaitkan dengan bir halal itu menegaskan tidak mungkin seorang Islam mahu menjual minuman tidak halal kepada saudara seagama. Beliau menekankan bahawa sudah 6 tahun minuman tersebut berada dipasaran dan jualan telah terjejas dengan teruk kerana insiden mempersoalkan kehalalan minuman tersebut. Juga mendakwa tidak pernah melabel minuman tersebut sebagai bir halal dan ianya hanya sebagai minuman malta berperisa buah-buahan.

2)  Saudara Ahmad juga mengatakan oleh kerana banyak media menggunakan gambar Babrican semenjak isu ini timbul menimbulkan kekeliruan pada pengguna. Belaiu juga menegaskan minuman tersebut tiada alkohol dan boleh pula ditemui dijual di Masjidil Haram di Makkah untuk umat Islam di sana.

Profil Barbican: 
- Keluaran Syarikat Aujan Industries Co berpusat di Dubai
- Pasaran ke seluruh negara Arab selain Asia dan Eropah untuk pengguna Islam
- Memperolehi sijil dari Kementerian Kesihatan Dubai, sijil untuk Eksport dan Sijil Halal dari Islamic Food Research Centre Malaysia (IFRC Asia)

Saudara Ahmad sekali lagi menegaskan bahawa syarikatnya tidak akan menjual minuman mengandungi alkohol pada umat Islam. Beliau menutup bicara dengan mengatakan bir halal yang dimaksudkan adalah mungkin disebabkan persaingan perniagaan, namun mengelak menuduh sesiapa dan mahu berjumpa pihak Jakim untuk penyelesaian isu tersebut.

Pandangan saya:
Saudara Ahmad ini sememangnya seorang ahli perniagaan yang hebat kerana berjaya tampil dengan pelbagai kenyataan yang tegas dan meyakinkan untuk melindungi kepentingan diri, syarikat dan produk yang mereka pasarkan. Belaiu lebih hebat dari 'jentera terbabit' yang terlalu rapuh dan dapat dipertikaikan kenyataan-kenyataan mereka. Tidak hairan jika penggemar minuman tersebut akan terus meminumnya walau belum menerima kata putus tentang kesahihan halal.

Di halaman sama terdapat juga berita tambahan mengatakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menghantar pegawai untuk mendapatkan sampel 'bir halal'. Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaannya, Mohd Roslan Mahayuddin memberitahu empat anggota telah dihantar ke dua premis yang didakwa menjual minuman tersebut di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut. Tindakan tersebut dilakukan atas laporan akhbar Sabtu lalu dan semalam (Isnin). Pihaknya memeriksa dan meneliti status produk tersebut termasuk pengesahan logo halal dan bebas alkohol seperti yang didedahkan.

Pandangan saya:
Ini seperti menidakkan ujian sampel yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAJ)  ke Jabatan Kimia sebelumnya. Atau mungkin akan dikatakan sebagai semakan. Jadi apakah silap ujian pertama? Apakah ianya sampel yang sama? Siapa yang tidak betul dalam menjalankan siasatan? Siapa yang tidak cekap? Ini sungguh mengelirukan.

Peranan semua pihak terutama 'jentera terbabit' amat perlu dalam menangani isu ini secara telus, tepat, cepat dan meyakinkan. Kesan dari isu ini seperti dipandang remeh. Apakah ia seperti sengaja digembar-gemburkan untuk melariskan jualan akhbar? Bertujuan sensasi dan kontroversi? Apakah ini hanya permainan sesetengah pihak? Usah terkejut jika keputusannya nanti minuman tersebut masih boleh diminum.  Hilang dan lenyap segala persoalan haram sebelumnya. Kenyataan manusia boleh berubah-ubah dan diputarbelit. Namun hukum Allah tidak begitu. Bila-bila sahaja Allah mampu melupuskan kita, dan menggantikan kita dengan mereka yang lebih baik dari kita.....

Kesimpulannya, apa yang dapat dilakukan secara cepat adalah tinggalkan sesuatu yang meragukan. Keraguan itu sendiri adalah was-was syaitan...

1.30pm@31/5/11





Sabtu, 28 Mei 2011

BLOG HINA ISLAM DAN HINA POLIS

Pagi ini melayari beberapa blog kegemaran saya, Denaihati.com dan Ariffshah.com, melihat diketengahkan berita tentang penghinaan blog tertentu terhadap Islam. Nak dikatakan hairan, tidak juga. Kita dapat lihat lepas satu, satu 'provokasi murahan' dibuat demi meraih kontroversi dan populariti busuk dari pihak-pihak yang berniat tidak baik terhadap Islam. Musuh itu wujud untuk setiap sesuatu. Hatta terhadap Islam agama suci nikmat dari sang Pencipta. Agama di mana sampai kepada kita melalui Rasulullah, Nabi akhir zaman.

Saya sendiri belum pernah terjah blog busuk sebegitu. Khuatir juga saya terpalit dengan hanyirnya. Maklumlah membaca dari blog lain sahaja sudah menaikkan suhu darah. Kalau diterjah blog sebegitu, takut terpalit dengan permainan otak kotor makhluk onar sedemikian rupa. Namun untuk saya, penghinaan terhadap Islam itu wajar disekat dan dibendung sekerasnya. Itu bahasa paling sopan dan mudah dari saya. Mengapa kita perlu sekat dan bendung (peringkat awal) perbuatan sebegini? Penghinaan Islam itu adalah penghinaan terhadap Rasulullah, seterusnya penghinaan terhadap kekasih Allah adalah penghinaan terhadap Allah juga. Berani sungguh mereka. Hitam dan kotornya hati si pemberani. Jika yang menghina itu bukan Islam, saya rasa agama (pegangan) lain selain Islam juga tidak menggalakkan penganutnya menghina dan merendah-rendahkan agama lain. Jika yang menghina itu pula masih lagi mengaku Islam, nampaknya dia sendiri kabur dengan dirinya. Soalan saya, tak percaya alam akhirat ke? Bagaimana dengan syurga dan neraka? Buta mata hanya luaran. Buta mata hati. Itu petanda mati jiwa. Mati jiwa sama seperti mayat hidup. Patutlah aroma mereka semerbak busuk, sebusuk penghinaan terhadap Islam yang dilemparkan. Itu luahan kekecewaan saya terlahir dengan nada yang saya kawal selamba. Saya noktahkan di situ. Tiada sudahnya.

Melalui berita tengahari Buletin 1.30 tengahari tadi di TV3, saya melihat satu berita mengenai seorang wanita yang di tahan dan bakal didakwa kerana mencerca polis. Beliau ditahan kerana kesalahan lalulintas dan telah mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap polis. Tidak salah pendengaran saya katanya, "Polis Bodoh!". Tidak salah pendengaran nama polis itu ialah Mohd Hafifi Ali. Kejadian berlaku di Kuala Terengganu. Keputusan dakwaan katanya pada 7 Jun ini.

Mari kita bandingkan dua situasi di atas. Pantas sahaja tindakan diambil bila penghinaan terhadap polis dilemparkan, bagaimana penghinaan terhadap Islam yang telah terjadi dan masih berterusan. Atau kejadian seumpama itu sepatutnya membuka mata. Bila Islam dihina ramai yang marah, kecewa, geram sedih. Itu naluri keislaman kita yang masih bersisa. Bagi yang mempunyai kuasa, silalah bertindak cepat,cekap dan berhemah menangani situasi begini. Jika tidak, akan datang pasti ia akan terus diulangbuat. mereka tidak takut dan hilang hormat pada Islam dan lebih lagi orang Islam sendiri membiarkannya. Bimbang Allah murka. Pernah saya dengar diperkatakan begini; bila-bila masa Allah mampu melupuskan kita dan menggantikan kita dengan mereka yang lebih baik dari kita. Itu kekuasaannya.

Contoh dan perbandingan di atas itu mungkin tiada seberapa. Namun kebetulan melihat berita sedemikian selepas paginya tahu tentang blog menghina Islam tersebut, membuatkan saya terfikir seperti di atas. Bukan apa dalam hal sebegini pada yang mampu cegah dengan tangan(tindakan) patut bertindak, pada yang mampu cegah dengan kata-kata, teruskan dan pada yang tidak mampu kedua-dua tersebut, berdoalah supaya Allah tetap memelihara kesucian dan kesyumulan Islam. Maruah dan martabat Islam itu terpulang pada penganutnya untuk dipelihara. Jika tidak mudah sahaja ia diinjak dan diperlekeh sewenang-wenangnya. 

Kadangkala bila sebut sahaja isu agama, dikatakan sensitif dan pelbagai. Tak boleh disentuh dan sebaginya. Kita bukan nak jadi seperti Osama Laden yang membahang dalam membela maruah Islam. Beliau lagi jauh meditasinya dan mendalam perjuangannya. Buat setakat ini, cukup sekadar merasa yang kita ada rasa 'menentang' golongan sedemikian hina yang berani menghina Islam. Supaya Islam tidak mudah diperkotak-katikkan.

2.41pm@29/5/11

ANGAH, MACAM MANA KAMU RUKUK TADI?

Seringkali juga timbul dalam hati bahawa amat beruntungnya umat Islam di zaman Nabi dahulu. Mereka amat bertuah dapat kerana setiap sesuatu itu dapat dirujuk terus kepada Rasulullah, andai ada sebarang kemushkilan. Tidak kira dari segi apa. Amalan khusus atau sebaliknya. Pasti pemimpin sehebat rasulullah tidak akan mengabaikan persoalan umatnya, kerana kasih dan cintanya demi umat tersayang. Kini kita hidup jauh ke hadapan dari zaman seperti itu. Tidak merasa nikmat hidup seiringan bersama-sama beliau. Tidak berpeluang memandang wajah mulia beliau dan tidak dapat melihat sendiri keindahan keperibadian beliau.  Tidak dapat mencintai beliau seperti kecintaan mereka yang sewaktu itu diberi nikmat bersama-sama beliau. Kecintaan pada Rasulullah itu saya lihat sebagai motivasi hebat umat sezamannya. Seorang pencinta pasti sanggup meredah lautan api, mendaki gunung dan berbuat apa pun untuk kekasihnya. Agungnya kasih sejati hanya milik Pencipta. Itu tunjang kukuh.

Apa yang tinggal untuk kita hanya kerinduan dan pengharapan untuk bertemu beliau Rasulullah. Apa yang ada pada kita hanyalah tinggalan beliau yang dijanjikan, seandainya berpegang kita padanya dengan sebebenar-benar pegangan, kita juga mampu menjadi dekat dengan beliau hakikatnya. Itulah Al-Quran dan Al-Hadis. Namun cabarannya tetap ada. Selaku manusia yang penuh kelemahan. Alpa dan leka. Cuai dan culas. Itu memang sifat popular dan biasa yang bernama manusia.

Solat tiang agama. Tanpanya segala amal kebaikan lainnya hanya bak terapung-apung di udara.  Tak mampu sampai kepada maksud dan tujuan sebenarnya. Namun itu jugalah yang paling menduga. Memperuntukkan kesekian waktu yang andai dihitung bukanlah seberapa. Ia tetap menjadi cubaan yang utama. Mungkin kerana nafsu serakah itu musuh utama. Saya faham, anda faham dan semua manusia itu sama. Iman itu juga ada naik turunnya. Untuk kekal istiqamah juga mahu dituntut caranya. Mudah-mudahan kekal dalam kebaikan bersama dan untuk semua.

Pagi ini, terlihat anak kedua dalam usaha solatnya. Dia rukuk dalam keadaan yang saya rasa tidak wajar jika saya tidak menegurnya. Biarkan dia selesaikan dua rakaatnya dahulu. Kemudian saya tanyakan padanya, "Tadi, kamu (biasa bagi orang Perak berbahasa kamu pada anak-anak) rukuk  macam mana?" dan "Tolong rukuk sekali lagi". Dia akur. "Kenapa macam tu rukuk?" Soal lagi. Lantas dia terus menjawab, "Pagi-pagi tak boleh bongkok sangat sebab sakit tulang belakang". Tambahnya lagi, "Kalau dah siang bolehlah betul-betul." Jawapan yang macam kelakar pun ada dengarnya. Namun saya rasa faham itu mungkin perkara biasa. Saya juga sewaktu umur sebegitu jika bangun pagi rasa sukar menggenggam tangan selepas bangkit dari tidur. Rasa seperti ngilu dan geli. Itu mungkin saja refleksi tubuh manusia yang mungkin sahaja berbeza dari individu ke individu. Allahhua'lam.

Saya kemudian katakan padanya, Nabi ajar kalau rukuk kena rukuk sungguh-sungguh. Ada cara yang betul. Kalau solat ikut cara yang betul dapat kita mencegah penyakit. Solat itu juga senaman. Senaman yang disediakan oleh Allah dalam usaha kita tunduk taat padanya. Kita solat bukan untuk Allah. Solat itu hanya membawa kebaikan untuk diri manusia sendiri. Kebaikan solat bukan pergi kepada Allah. Kalau kita tak solat pun Allah tak rugi apa-apa. Sebaliknya kita yang tak dapat kebaikan solat itu. Allah tak 'effect' apa pun. Namun kita solat kerana taat pada perintah Allah. Itulah tuhan kita. Kalau rukuk betul-betul mesti belakang tu terlatih dan tak sakit. Mesti berlatih. Solat itu mesti berlatih dan selalu diperbaiki.(Ini nasihat untuk diri sendiri juga). Anak hanya angguk-angguk.


Saya hanya mengulang apa-apa yang pernah saya pernah dengari dari Ustaz dan Ustazah secara langsung mahu pun tidak. Pancaindera adalah alat utama dalam menuntut dan menanggapi ilmu yang sampai pada kita.

Menurut kata Rasulullah, rukuk dan sujud itu mesti disempurnakan. Demi satu penyembahan yang berkualiti dan bernilai tanda kepatuhan dan ketaatan kepada Khalik. Oleh itu saya juga terhala merujuk di http://makalahamanat.blog.com/2010/11/11/cara-melakukan-rukuk/.

Selain itu, tambahan faedahnya ada juga dijumpai di http://www.majalahsains.com/.../membongkar-rahsia-ibadat-solat-secara-saintifik/
 


Jadi di pagi Ahad ini, nampaknya saya diberi peringatan untuk lebih memperbaiki solat, melalui kesilapan  atau kejahilan anak yang mahu belajar lebih tentang kepatuhan dan ketaatan. Itu saya ambil sebagai pengajaran halus. Ini mungkin sahaja saya sendiri belum sempurna dari segi solat dan penghayatannya. Allah itu memang maha lembut dan halus sifatnya......YA LATIFF FU YA LATIFF. Zikir itu spontan keluar dari dalam hati saya...

8.37am@29/5/11

Selasa, 24 Mei 2011

3 KATEGORI MANUSIA


Hari ini belajar sesuatu yang baru. Oh! sesungguhnya bukan maklumat baru, cuma cara maklumat ini sampai belum pernah sebegitu caranya kepada saya. Saya memilih merakamkan di blog ini. Jika anda sudah mendengar, anggap ini siaran ulangan. Mudah-mudahan jika ada yang pertama kali menatapnya dapatlah berkongsi manfaatnya. Insyaallah.

Ceritanya amat mudah. Tentang bahan makanan dan minuman. Siapa sangka, dari bahan makanan dan minuman ini sebenarnya terdapat pelajaran tentang kehidupan. Jadi baik juga kita lihat-lihatkan. Ia ada kaitan dengan 3 kebiasaan manusia bila berhadapan dengan kehidupan.

SITUASI 1

a) Lobak merah
Jika dalam keadaan biasa, ianya keras. Jika diketuk di kepala pasti sakit. Dasarnya ia keras dan boleh pula dijadikan senjata jika kecemasan.

b) Telur
Jika dalam keadaan biasa, ia cair dan lembut.

c) Serbuk kopi
Jika dalam keadaan biasa, hanya serbuk hitam - tiada apa-apa.

Kemudian kita ambil air panas (baru masak), dan kemudian tambahkan air panas itu ke atas bahan-bahan di atas, satu persatu secara berasingan. Kesannya;

SITUASI 2

a) Lobak merah
Bertukar menjadi lembut dan lembik.

b) Telur
Menjadi pejal atau mengeras.

c) Serbuk kopi
Bersebati dengan air panas dan mengeluarkan aroma yang amat wangi. Bila ditambah sedikit gula menjadi minuman kesukaan ramai. Tak terkecuali saya, kopi tarik lagi sedap!

Namun bukan sedap itu yang diperkatakan. Kita diajak melihat kepada 'pelajaran' dari ketiga-tiga situasi berbeza di atas. Melalui kejadian sebelum dan selepas. Air panas itu dilihat sebagai 'permasalahan' kehidupan. Ketiga-tiga bahan yang diperkatakan adalah perbezaan sifat-sifat manusia itu. Penjelasannya;

a) Manusia pertama yang kategori lobak itu asalnya seorang yang keras sifatnya. Nampak kuat diluar dan gagah perkasa. Namun bila berdepan masalah menjadi sebegitu lemah dan lembik. Tiada daya melawan dan hanya boleh lemas dalam arus permasalahan.

b) Manusia kedua yang kategori telur itu asalnya seorang yang lembut dan lemah sifatnya. Namun bila berdepan dengan permasalahan telah merubah kebiasaannya itu menjadi tabah, kuat lagi cekal. Semua demi kelangsungan hidup atau 'survival'.

c) Manusia ketiga yang kategori serbuk kopi itu asalnya seorang yang biasa-biasa saja. Nampak seperti tiada apa. Namun bila berdepan masalah, dia mampu menukarkannya menjadi satu peluang. Sungguh optimis dan pandai mencari peluang, tanpa perlu mengapa-apakan orang lain. Sebaliknya memberi kebaikan pada orang ramai.

Kepada siapa pun yang mula-mula membawa PERUMPAMAAN cerita seperti di atas, terimakasih sahaja.....

Isnin, 23 Mei 2011

RESEPI SPAGHETTI MAKAN UNTUK TERUS HIDUP

Menyebut perihal makanan, mungkin hanya terbayang sesuatu untuk disuapkan ke dalam mulut. Menghilangkan kelaparan. Itu makan demi fizikal. Supaya tubuh terus mendapat khasiat dan zat. Bagi bayi tumbesaran amat penting untuk terus sihat dan sempurna pembesaran. Manusia perlu kekal sihat dan cergas untuk meneruskan kehidupan dan melayari penghidupan. Tanpa kesihatan, manusia hilang kemampuan aksi dan tindakan. Itu timbul kenyataan 'Harta benda atau kewangan tidak akan mampu membeli kesihatan'. Walau tidak dinafikan dengan harta benda boleh terus usaha untuk kekal sihat. Harta benda dan kewangan itu alat dan bukan penentu kesihatan.


Makan untuk jasmani demi terus hidup, makanan rohani???

Hari sama dia ini ke taman, petangnya dia bergerak lagi;

Macam sudah letih. Garu-garu mengantuk.

Berkunjung pula kami ke sini;

Add caption
Di sini;

Dapat lihat megah berkibar Jalur Gemilang 1Malaysia

Berlima kami menikmati ini. Sekadar memenuhi permintaan 'charles angels'. Mengidam lagaknya. ('dia' tidur lena kepenatan...);

Petang yang sempoi. Tiada hiasan. Minum? bawa saja kordial. 'Ready' ais dalam 'cooler' dan bancuh sarsi . Lengkap.

Akhirnya, bangun dia dan tak ketinggalan menonton aksi ini. Dia memang suka yang itu.

Berada di dunia yang dikatakan bulat. Bila ada segolongan yang sedang aman begini, ada juga yang sedang bersedih, terdekat anak-anak yatim Al Hidayah Al Takwa, Hulu Langat. Syukur atas nikmat masih bernyawa. Bak kata 'orang putih', Still living and kicking..........

Cerita lebih tentang yang dalam pinggan itu menurut resepi Ummi (Adik ke-3):
 SPAGHETTI RESEPI UMMI CP:

1) 2 labu bawang besar (yang kuning tu lagi ok), 4 ulas bawang putih di potong dan kisar hancur tanpa air. Kalau nak tumbuk, boleh saja. 

2) Tumiskan yang sudah sudah dikisar dengan minyak (ada juga yang guna planta margerin) yang secukupnya. Kemudian sudah naik wangi dimasukkan sedikit cili (boh atau kisar, mana-mana ok). Jika suka lebih pedas, lebihkan cili. Jangan sampai tak termakan sudah. Kacau hingga cili garing.

3) Masukkan daging kisar (saya  guna yang sekilo - yang brand macam P. Ramli). Pastikan daging ini tidak berketul-ketul dan telah terurai sepenuhnya. Ini demi mudah menggaul. Masuk sedikit sahaja air supaya tidak kontang. Kacau seketika sehingga daging tak mentah lagi. Lihat warnanya.

4) Masukkan 'spaghetti pasta sauce'. Saya guna jenis Kaki Pergi - Bolognese (baca orang putih). Dua botol. Untuk lebih pekat dan puas makan. Sos ini memang sediakala rasa sedikit manis.  Tak perlu gula. Saya  pilih yang sudah sedia ada cendawan.

5) Tambahkan juga tomato puri (dijual dalam tin kecil) jika ingin lebih rasa masam. Ikut kesukaan.

6) Tambahkan air (sebanyak separuh tin tomato puri). Usah terlebih. Kuah nanti terlalu cair.

7) Tambahan, saya potong dua 'meatball'. Ikut berapa banyak anda hendak. Jika rajin tambah juga isi ketam,(masuk akhir-bila hampir nak padam api, sebab lembut - khuatiri hancur) cendawan tin (potong dua). Jangan terbazir sudah. Tambah garam dan jika mahu serbuk perasa, secukup rasa.

8) Api sederhana dan kerap kacau. Kena masak kuah ini betul-betul. Kacau selalu supaya tidak hangit. kacau sehingga pekat. Pastikan daging itu tidak terasa mentah, semua rasa sebati. Ada masamnya, ada sedikit pedas, sedikit manis manis. Cukup masinnya. Meatball pasti sudah masak betul. Tutup api.

9) Celurkan spaghetti. Didih air, campur sedikit minyak masak (tak melekat). Masuk spaghetti bila air mendidih dan ikut masa ditetapkan. Kurang lebih 15 minit untuk jenis saya gunakan Anak Remo. 

Toskan dan alirkan sebentar dengan air paip ke bekas tos dan ketepikan. Boleh hidang...Mungkin anda punya berbeza.... Nama pun resepi...



Ahad, 22 Mei 2011

RENUNGAN KEJADIAN TANAH RUNTUH RUMAH AL HIDAYAH MADRASAH AL TAKWA

SILA BACA DARI BAWAH KE ATAS!!!. Andai saja mampu kekal sebegini. Minda yang masih mentah dan segar. Belum mampu menanggap. Hanya melalui 'fitrah' kecil yang mahu kenyamanan dalam seharian. Andai sahaja......
Umumnya manusia mahunya begini. Ingin bahagia, tenang, berkebiasaan dengan keluarga dan idam selalu damai bersama."...("Abang.., baca 'paper' nampak!!) Namun hidup ini ternyata untuk diduga.....Lain orang, lain cara...
Kakadangkala hidup boleh menjadi sesakit, seperit dan sepedih melalui jalan yang yang mungkin saja sebegini. Namun masih ada kebaikan yang menanti di hujungnya. Rujuk Al-Insyirah serta terjemahan. 'Selepas kesukaran ada kesenangan'. Mereka yang kesusahan boleh redha dengan pengharapan dan janji Tuhan.
Masih ada mereka yang mampu dan berkesempatan berlaku sebegini (berita kanan). Apa sesempit itu sahaja akal, hati, jiwa dan pemikiran sabahagian manusia?
Kebiasaan untuk saya suka lebih kepada begini. Dalam pada saya, anda dan senegara sibuk dengan berita sebegini. Berkongsi sedih, pilu, sebak, simpati....

Belajar juga tentang kehidupan. Kepentingan bertebaran mencari kebaikan dalam kehidupan. Untuk diri, mereka yang disayangai dan mereka yang memerlukan.



Semalam Ahad, sempat ke sini. Bila begini dapat cuba menserasi-serasikan diri dengan alam. Ada izin mampu lagi belajar. Melihat akar pokok. Menjalar akar kukuh menampung tegak pokok. Andai saja iman kita sekukuh itu..... 

Sabtu, 21 Mei 2011

TANAH RUNTUH RUMAH AL HIDAYAH MADRASAH AT TAKWA DI BATU 14 HULU LANGAT

Pulang sedari satu 'seminar' semalam terasa meletihkan. Bila duduk seharian di dewan yang 'air conditioning', boleh jadi begitu untuk sesetengah orang. Tak terkecuali aku. Maklumlah, rumah sendiri tidak pula ada penyaman udara. Keletihan membuatkan tiada tidak dalam 'mood' untuk menulis. Masih sempat menerjah blog yang selalu pergi dan tak terkecuali ada blog baru. Itu aku semalam.

Hari ini belum lagi membaca sebarang suratkhabar. Namun dapat meneka apa tajuk utama akhbar-akhbar utama. Besar kemungkinan itulah berita  Kejadian Tanah Runtuh di Batu 14, Hulu Langat yang setakat malam tadi melalui TV, dikhabarkan telah mengorbankan seramai 5 nyawa. 7 dikatakan telah dijumpai dan 12 lagi masih tertimbus. Dikatakan kesemuanya 24 orang. Sementara aku menulis, fakta ini mungkin sudah berubah. Namun bukan fakta itu yang aku utamakan. Ada yang lain. Kejadian ini amat mengejutkan. Negara luar sering gempar dengan gempa bumi dan kekhuatiran terjadinya tsunami. Sebaliknya di Malaysia pula selalu terdapat kejadian tanah mendap atau tanah runtuh. Namun kejadian kali ini sehingga mengorbankan nyawa. Ini mungkin juga disebabkan keadaan iklim dan cuaca yang ada di sini. Cuaca kini sering menjadi tidak menentu. Walau terdapat ramalan cuaca. Itu sekadar ramalan manusia. Kadangkala boleh diramal panas hingga ke petang, namun boleh saja hujan di tengahari. Hakikatnya manusia merancang, meramal mahu pun mengharap namun Allah juga merancang dan perancangan Allah itulah sebaik baik perancangan dan yang pasti akan terjadi. Kita hamba dan dia Tuan. Tertakluk kita di bawah ketentuan Ilahi.

Rasa sedih dengan kejadian yang menimpa. Tambahan lokasi rumah Al Hidayah dan Madrasah At Takwa yang terlibat menempatkan anak-anak yatim. Pilu sungguh mengenangkannya. Semoga Allah merahmati mereka yang telah terkorban dan menemukan para pencari kepada mereka yang masih belum ditemui. Pasti terdapat ahli keluarga mereka tak keruan menanti perkhabaran dan mengharap yang terbaik. Allah Huakbar. Segala kekuasaan hanya ditanganMu.

Kejadian sebegini tidak mampu dielakkan. Ia disebut sebagai bencana. Tiada siapa minta untuk bencana. Namun ia juga terjadi dengan izin dari Allah. Manusia sama ada mahu atau tidaknya dan walau sesedih mana harus redha menerima ketentuan yang telah terjadi. Saya akui mudah mulut saya melafazkan namun berat bagi yang memikul bebanan tersebut. Itu juga hakikat. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. 

Untuk saya masih ada pengajaran dapat diambil dari kejadian sebegitu. Kita tahu Allah menjadikan umumnya alam dan manusia. Manusia dan alam saling memerlukan. Alam pula ditundukkan untuk kemashhalatan manusia. Manusia bertanggungjawab ke atas alam. Selain faktor semulajadi seperti cuaca dan iklim. Jadi amat penting manusia untuk tidak mencemarkan alam sesuka hati. Penebangan pokok keterlaluan demi pembangunan itu perbuatan manusia. Jika dikatakan tanah runtuh kerana hujan, hujan itu tidak dalam kawalan kita. Hujan itu satu rahmat. Kehidupan perlu pada air. Namun tangan-tangan manusia itu masih dalam kemampuan mereka untuk dikawal dari rakus secara sedar atau tidak dari terus mencemarkan alam. Pembangunan yang dilakukan mesti terancang dan jangan keterlaluan, sehingga mengorbankan kestabilan alam. Bila pokok ditebang dan tanah diratakan untuk pembangunan, ada kesannya. Bila alam hilang kestabilan yang rugi adalah kita, manusia. Nyawa juga mampu terkorban. Bercakap tentang pencemaran alam, memang satu bab yang panjang. Kita' google' sahaja untuk tahu ceritanya. Pasti faham lebih.

Jika kita katakan setiap kebaikan itu dari Allah dan keburukan itu dari perbuatan diri kita sendiri. Melalui kejadian ini, apakah ia satu cara untuk kita diberi pengajaran dan dapat mengambil iktibar atas kecuaian dan kealpaan kita? Allah boleh saja mengajar manusia melalui alam dan isinya. Ini kerana manusia itulah khalifah. Manusia itu yang perlu tarbiah dan pendidikan. Binatang tidak begitu. Alam tidak begitu. Mereka semua hidup dengan fitrah. Tiada istilah dosa untuk mereka..............Marilah saya dan anda renung-renungkan......seterusnya Al Fatihah untuk mereka yang terkorban. Semoga mereka idtempatkan ditempat yang lebih baik...Amiiin.

8.12am@22/5/2011

Jumaat, 20 Mei 2011

PUJI BLOG ARIFSHAH TAHAP GABAN!!!

Assalamualaikum!

Satu lagi 'acara tambahan'. Sebagai melengkapkan apa yang dimulai. Peraduan di blog Ariffshah. Katanya, mahu entri PUJI TAHAP GABAN. Tak pasti menepati ke tidak entri aku ini. ‘Try’ sajalah. Kalau tak dapat GABAN, ULTRAMAN boleh juga harapnya. Aku kena ‘speed’ siapkan. Ikut masa Malaysia, sekarang masih lagi 20/05/2011. Menulis ni biasanya tidaklah payah sangat. Buat masa ini. Akan datang belum pasti. Tapi ‘uploading’ di internet itu, kekadang sampai boleh menyambil buat perkara lain juga.

Nak puji mesti bersebab. Aku usahakan mencari sebab-sebabnya. Ini juga mungkin sebab untuk selalu menyinggah baca blog beliau. Aku kenal blog Ariffshah dari Denaihati. Biasanya kalau kita melawat atau terlawat sesuatu blog, pasti ada sebab kita nak pergi lagi. Ini antaranya:

Macam biasa blog itu sendiri ‘presentable’. Bersih, tersusun. Adalah sikit-sikit iklan. Jadi bila ke situ, membacanya menjadi mudah. Boleh pilih perihal maklumat yang dikehendaki.  Dikatakan dia banyak ‘tips’ untuk berblog. Pandai tentang SEO. Ada menang peraduan dan ‘popular’. Aku ada juga selongkar maklumat-maklumat yang aku nak tahu. Itu tentang blog.

Arifshah seorang anak muda dan masih seorang pelajar. Berada di perantauan. Jadi dia perantaulah. Hidup di tempat orang pasti tidak sama dengan di negara sendiri. Dia pasti ada pengalaman yang berlainan dan tersendiri. Aku memandang ‘dunia pelajar’ itu sebagai babak indah dalam kehidupan. Tambahan belajar di Malaysia tidak sama dengan di luar negara. Membaca blog Arifshah, membawa kita mengetahui serba sedikit pengalaman hidup dia di negara luar. Kemahuan dia berkongsi pengetahuan dan cerita itulah satu kelebihan juga. Dia juga mampu bercerita pelbagai topik. Tidak statik.

Membaca tulisan Arifshah, aku rasa mudah dan santai. Bahasa ringan, ringkas dan tepat. Kerap memakai gantinama pertama, ‘aku’. Itu pada aku menunjukkan dia memang telus bercerita. Aku selesa membaca kerana merasa seolah dialog itu terus dari mulut tukang cakap. Itu pandangan aku.

Akhir sekali (aik dah akhir dah!) aku katakan bahawa Arifshah dan blog dia ini macam ada ‘aura’. Aku jadi faham, ‘aura’ itu penting juga. Itu boleh buat orang rasa ingin baca atau tidak, ingin ‘respond’ atau tidak, ingin komen atau tidak. Itu satu lagi kelebihan yang ada pada dia. Pemberian Tuhan itu harap tak disiakan. ‘ Aura’ kuat dan hebat, menarik ramai ‘fans’. Itu pandangan aku yang seadanya. Tepat 11.30pm waktu Malaysia. aku henti dulu. Tamat apa yang aku mulakan.

Wassalam.

5 ENTRI BEST DI DENAIHATI.COM

Assalamualaikum!

Pertama kali dengan entri sebegini. Aku anggap, ini bukan entri biasa. Pengalaman pertama aku. Ikut-ikutan? Mungkin!. Tapi sesungguhnya ini bukan tanpa tujuan. Biar aku sendiri dengannya. Kalau yang terbaca ingin meneka. Silakan... Mudah-mudahan teka yang baik-baik sahaja. Ini dikatakan peraduan. Ramai yang kelihatan mencuba. Akujuga  mencuba  demi satu pembelajaran dan pengalaman. Itu aku namakan usaha. Kebaikan tidak akan datang bergolek. Semoga ada kebaikannya. Selebihnya bukan dalam kawalan aku . Usaha dan tawakkal. Cuba dulu baru tahu.

Blog Ariffshah menganjurkan peraduan ini. Sebagai ‘acara tambahan’, dikehendaki memilih 5 entri terbaik Denaihati menurut perkiraan peserta. Aku pilih dari senarai yang tersedia di blog Ariff. Berikut adalah pilihan aku berserta alasan-alasan yang munasabah untuk aku:


1) http://denaihati.com/promosi-percuma-untuk-blog-baru-dan-lama


Dari tajuk itu saja terhidu seakan ada ‘huluran bantuan’ dari yang berpengalaman dalam usaha menerajui blog untuk mereka yang baru dalam dunia blog. Melihat perkataan’ promosi’ dan ‘percuma’ semacam magnet untuk tahu lebih. Jadi sesiapa yang semacam tercari-cari, itu sudah satu kebaikan. Terima sahaja.


2) http://denaihati.com/google-akan-padam-akaun-blogger-yang-tidak-menggunakan-akaun-google

‘Post’ di atas adalah berbentuk ‘sebaran maklumat’. Bagi sesiapa yang faham diri sebagai ‘orang baru’,  pemberitahuan dan penyebaran maklumat sepenting itu amat bermanfaat. Setidak-tidaknya bolehlah ambil apa-apa tindakan dan langkah yang patut. Itu satu perkongsian yang amat baik dan berguna. Pemberitahuan disertai dengan langkah mengatasi masalah. Itu amat berguna pada pembaca dan pengikut blog tersebut. Pembaca menjadi peka dengan sebarang perubahan.



3) http://denaihati.com/cara-nak-popularkan-blog

Ini bukan bertujuan gila glamour. ‘Popular’ itu untuk aku membawa istilah ‘penambah rasa’. Maksud asalnya mencari ramai pembaca. Apa itu dipanggil mencari ‘traffic’. Itulah istilah yang diberi. Jangan risau, tak perlu pada polis mengawal lalulintas. Lagi banyak ‘traffic’, lagi bagus. Begitulah. Kalau penulis buku mesti mahukan pembaca. Pada aku samalah juga. Bila menulis, berharap ada yang mahu serta sudi membaca. Baru ada rasa.


4) http://denaihati.com/bagaimana-kalau-saya-ingin-jadi-macam-awak

Hakikatnya, kita tidak boleh menjadi orang lain. Istimewa kejadian Tuhan, setiap makhluk itu unik dan berbeza-beza. Cuma jadi diri sendiri. Namun kita masih boleh menurut jejak langkah orang yang telah mencapai kemajuan atau kejayaan. Jika telah disediakan laluan, pilihan kita sama ada teruskan perjalanan atau sebaliknya. Jika terlebih kemampuan bolehlah memilih ‘membuka’ jalan baru. Keinginan itu datang bersebab. Hanya kudrat dan upaya serta bimbingan perlu untuk realisasi sesuatu.



5) http://denaihati.com/7 perkara-setiap-blogger-perlu-tahu

Perkara asas dalam melaksanakan sesuatu itu perlu. Itu mungkin jadi panduan dan langkah dasar untuk bergerak lebih ke hadapan. Membuat sesuatu secara terus meredah tidak salah. Kalau alatan pun ada ‘manual’ untuk dioperasi, blog juga begitu. Jadi belajar tentang panduan dan langkah, itu boleh mematangkan.

Setakat itu sahaja yang dapat aku ‘garapkan’ dalam kelam kabut, dan persembahkan tentang 5 artikel pilihan di Denaihati.com. Semoga yang membaca mendapat kefahaman. 

Wassalam.

Khamis, 19 Mei 2011

OH! ANAK, WAHAI CIKGU DI SAMBUTAN HARI GURU

Umumnya 16hb Mei Hari Guru. Sekarang sebenarnya musim periksa. Sekolah rendah agama bawah JAWI dah mula periksa dari hari Isnin lalu. Kemudian rehat sehari untuk 'Wesak Day'. Hari itu juga kecoh-kecoh meminta membelikan hadiah untuk diberi pada guru. Tahun-tahun sebelumnya hanya emak melayan kesemuanya. Pernah untuk Along, setiap guru, satu hadiah. Sekolah pagi dan petang. Bawa plastik beg besar macam Santa Claus di malam 25 Disember. Tahun ini mak diamkan aje. Mak lihat saja berjaya atau tidak mereka dengan rayuan mereka. Pagi itu tak berjaya. Pulang dari minum pagi (hari insiden termalu), Angah muncung sedepa masuk bilik dan terus baring lama. Aisyah pun masam dan mengelat mukanya.

Petang mak ada janji dengan Umi urut. Jadi mak tolong sikit ayat sikit pada abah supaya mereka tak kempunan. Selepas habis berurut, bawalah menyinggah di kedai cenderahati yang ada di sekitar. Muka masing-masing cerah dan senang jiwa. Namun masing-masing faham hanya ada peruntukan untuk guru kelas sahaja. Pagi dan petang. Noktah. Itu pun rezeki nak merasa. Jangan pandang sahaja orang memberi. Tangan sendiri kosong. Ini pantang anak-anak' zaman cyber' kini. Ini sesuatu yang menjatuhkan maruah. Ibarat menconteng arang dimuka sendiri. Itu tanggapan dan penilaian mak inilah. Sebagai orang tua, kita biasanya tak sampai hati. Teringat pula diri sendiri zaman seperti mereka dulu. Tercari-cari nak beri apa. Mulalah, ambil stok sabun mandi, tisu kotak, gelas-gelas yang belum pakai dan merapulah!.....Itu saya dulu. Berbeza sangat. Mak dan abah tak tahu pun bila tiba Hari Guru jika tak diberitahu.

Hari Khamis, ada sambutan di buat di sekolah kebangsaan. Untuk sekolah agama serah begitu sahaja. Tengah sibuk periksa. Sambutan mungkin kemudian. Balik dari sekolah hari Rabu, sibuk Aisyah menanyakan perihal balutan hadiah. Mak dah siapkan. Lagak pekerja di servis kaunter pasaraya saja mak dibuatnya. Nasiblah. Tersengih-sengih si Aisyah dikeluarkan sekeping kertas kuning dan sibuk nak menampal pada hadiah untuk cikgu sekolah kebangsaan. Berkerut pula dahi mak ni melihatkannya. "Apa ke benda pulak tu, 'gedabak' besar kertasnya?". Selanjutnya Mak ambil beberapa gambar ia berbentuk begini......

Baik saja balut dan susun
Kad Gedabak (besar sangat)
Manalah belajar mengayat sampai begini sekali...? Mak kerling mata aje...
Guru-guru sekarang jauh beruntung dari yang dulu. Berbagai penghargaan dan kemudahan diberikan demi memartabatkan kerjaya perguruan. Menjelaskan bahawa dunia pendidikan memainkan peranan utama dalam membentuk modal insan demi masa depan negara yang lebih baik. Namun bila mendengar kisah segelintir yang mencarikkan situasi, sedih dan tak seronok jadinya. Guru cabul muridlah, guru mengkasari muridlah, guru itu dan guru ini. Setitik nila ini bakal merosakkan susu sebelanga. Jika sahaja ada ujian pengesan awal untuk nila setitik ini, kita tolak mereka mentah-mentah. Terima mereka yang mahu dan sanggup memikul tanggungjawab dengan hati yang terbuka dan redha.....

Rabu, 18 Mei 2011

PENERANGAN LANGKAH MUDAH JAHIT TUDUNG TIGASEGI 2

Gambar 1
Perlu ada bahan kain@material. Seterika juga amat mustahak dalam jahit menjahit.

Gambar 2
Kain dilipat serong membentuk segitiga berlapis. Ikut labuh yang dikehendaki dan bersesuaian.

Gambar 3
Sediakan mesin jahit tepi dengan benang yang bersesuaian warna untuk kain tudung

Gambar 4
Ubah 'mode' jahit mesin jahit tepi pada jahitan tepi tudung dan jahit sekelilingnya

Gambar 5
Lipat kain seperti dalam gambar. Anjakan itu penting supaya tudung tidak 'terjelir' bila dipakai. Bahagian yang disingkatkan adalah letaknya di bahagian dalam tudung.

Gambar 6
Lipat temukan bahagian hujung tepi ke tepi untuk dipeniti dan untuk dijahit

Gambar 7
Bila menjahit, pastikan sudah disukat ruang untuk bahagian muka. Jahit dan tinggalkan ruang untuk bahagian muka tersebut. Jika tidak - itu dah jadi 'kerubung' bukan lagi tudung.

Gambar 8
Tudung-tudung lama masih boleh pakai cuma pudar warnanya.

Gambar 9
Setelah dijahit lencana, begitulah...

Memang mudah beli saja di kedai. Tak berapa ringgit pun. Tapi bila jahit sendiri, boleh pilih jenis kain dan diseragamkan jahit dengan kain sekolahnya sekali. Jadi sedondonlah. Biasa kain jual di kedai jenis cotton. Tudung jenis kain lembut. Begini kain dan tudung dua-dua jenis lembut. Budak-budak sekarang ramai yang pandai memilih.

GAMBAR LANGKAH MUDAH JAHIT TUDUNG TIGASEGI 1

Gambar 9 - bila dah dipasang lencana
Gambar 8 - yang bawah lama
Gambar 7 (bateri hampir habis)-kuning
Gambar 6
Gambar 5
Gambar 4
Gambar 3   
Gambar 1
Gambar 2
      




Selasa, 17 Mei 2011

AWAS!.... PENIPUAN 'EKOR MATA'

Semalam adalah hari bersejarah untuk aku. Berharap sangat agar takkan berulang lagi. Masuk 39 tahun umur aku, pertama kali berlaku kejadian sebegitu rupa. Macam manalah aku tercuai sangat. Tapi betul-betul tak disengajakan. Siapa yang sengaja hendak malukan diri sendiri. Itu namanya perkara nak terjadi. Maka jadilah. Silapnya aku terlalu percayakan 'ekor mata'. Ingat jangan buat lagi!

Cuti umum semalam, kami sekeluarga makanlah di kedai antara kebiasaan kami. Anak-anak menyebut roti jala. Aku memang harap gerai tu tayangkan ceramah Ustaz Kazim. Sambil makan pelanggan mendengar ceramah beliau. Aku ni siap tegelak-gelak sederhana lagilah. Ustaz tu memang bergaya bersahaja dan kelakar dalam berceramah. Menyelitkan loghat Utara. Namun segala isi ceramah amat bertepatan dengan kejadian hidup masyarakat. Selalunya pasal rumahtangga. Beliau bercakap berdasarkan pengalamannya sebagai penceramah dan ustaz.

Aku pilih sepinggan mee kari dan secawan teh tarik. Suami menangguh makan kemudian, sengaja nak memegang dan melayan Anas. Kami bertiga makan dulu. Lepas makan aku pun ambil Anas dan suami mula makan. Aku dan Kak Ngah pergi ke gerai suratkhabar yang berhampiran. Aku sambil memegang Anas, asyiklah menenung tajuk-tajuk akhbar yang dipamerkan dekat gerai tu. Aku kelek Anas sebelah kiri. Aku ni 'lefthanded'. Biasalah tu. Aku selak-selak juga akhbar mana yang aku rasa nak menyelak. Saja-saja. Rasalah payah sikit. Sambil kelek budak, sambil nak buka suratkahabar. Berhenti selak akhbar. Aku kelek dan baca sahaja muka depan akhbar-akhbar tu. aku belum pilih nak beli apa. Kak Ngah pun leka tengok ada komik-komik dan majalah budak-budak dekat situ.

Tiba-tiba, kelihatan kelibat seorang lelaki di sebelah aku. Dekatlah sangat berdirinya dengan aku. Tak berapa inci pun. Aku tak menoleh. Tinggih, warna baju, gaya rambut aku pasti sangat. Sebiji serupa dengan suami aku. Aku yang memang rasa letih mengelek anak lalu rapatkan lagi jarak dengan lelaki tu. Kemudian dengan tangan kanan aku 'terpegang' tangan kanan lelaki tu sambil aku kata pada dia, "Nah ambillah anak ni, dah rasa lenguh tangan ni". Punyalah terkejut lelaki tu. Bila aku toleh tengok muka dia betul-betul, aku jadi lagi terkejut badak. Dua-dua tergamam. Bebola mata lelaki tu dah separuh keluar. Aku pulak terlopong mulut dibuatnya. Memang kami 'shock'. Aku istighfar sahaja dalam hati. Kemudian aku minta maaf dari lelaki tu. Aku katakan bahawa aku ingatkan dia abah anak aku. Dia katakan tak mengapa. Ya Allah! malu besar sungguh saat tu. Kenapalah tak nak tengok dan toleh betul-betul. Main percaya ekor mata. Sesungguhnya pandangan mata pun boleh menipu. Inikan pula pandangan ekor mata. Aku diberi pengajaran hari itu. Di tempat awam. Gelaklah!...

Lepas tu, aku pergi pada Kak Ngah. Kak Ngah sibuk tanya apa yang berlaku. Bila aku cerita. Katanya, "Eeeiii malunya mak...". Tahu pun. Kalau anak yang mendengar pun malu. Mak apatah lagi.' Double and triple' malunya. Perkara dah terjadi. Aku kawal diri sajalah. Kalau warasnya takkan aku nak sengaja cari dosa pergi sentuh lelaki bukan muhrim. Eeeiii!.... Geleman pulalah. Suami aku masih rilek makan ditemani anak ke tiga aku. Di meja makan. Hih! Hih! Hih....

Akhirnya, aku pilih membeli Majalah Solusi, isu ke 31 bertajuk Sabar Itu Indah. Marah itu Mudah, Sabar itu Indah. Itu petikannya. Aku awalnya rasa marah juga atas kesilapan diri aku sendiri. Kemudian aku katakan pada diri, "Sabar ajelah. Aku sesungguhnya tak sengaja. Aku telah tersilap. Mudah-mudahan takkan berulang lagi." Aku teringat cerita yang sama pernah diceritakan oleh adik aku pada aku. Lama juga. Cerita bagaimana dia dengan selamba pergi ke parking kereta di mana suaminya menunggu dia. Kemudian selamba pula buka pintu sebuah kereta dan duduk sebelah pemandunya. Mak ooiii, bukan juga suami dia. Salah kereta. Apa lagi melompatlah cepat-cepat minta maaf dan keluar. Hah! lebih kurang kes aku. Cuma baiknya, dia taklah dok 'terpegang' salah orang. Itu pun kes tak tengok nombor kereta dan hanya percaya pada mata. Hah! Hah! Hah!. Aku dah rasa dah. Cukuplah tu..........

9.20am18/5/11

Ahad, 15 Mei 2011

HARI GURU DAN GURU TERBAIK

Imej dari Google 


Cikgu panggilan dari anak murid, Guru panggilan hormat dari masyarakat. Walau apa sekali, mereka adalah orang yang sama yang telah menerima amanah untuk mendidik anak bangsa supaya dapat menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan. Saya memandang tinggi kerjaya perguruan kerana melihat terdapatnya unsur-unsur murni didalamnya. Bak kata yang selalu kita hamburkan, siapalah kita kini tanpa para cikgu dan guru yang telah pun mencurahkan bakti dalam membentuk kita di hari sebelumnya. Peranan cikgu dan guru ini menjadi kedua penting selepas ibu bapa. Oleh itu wajar sekali kita menghargai mereka. Untuk para guru pula, mereka sendiri juga lebih wajar menghargai apa ada dengan kerjaya mereka dan berusaha lebih demi kemajuan anak bangsa dan negara. Peranan mereka dalam membentuk modal insan yang seimbang rohani dan jasmani amat penting. Justeru itu diharap para guru sendiri tidak boleh alpa dengan tanggungjawab mereka.

Sempena Hari Guru, rata-rata penghargaan diberikan pada guru-guru. Anak-anak murid menjadi seronok dan ada yang akan berlumba-lumba memberikan cenderahati atau hadiah sebagai tanda penghargaan dan sambutan Hari Guru. Namun apakah itu sahaja pengertian untuk Hari Guru? Saya percaya tidak. Lebih lagi, pastinya. Ini kerana tugas perguruan kini membawa skop yang lebih besar. Ini kerana sealiran dengan perkembangan dunia pendidikan, arus pendidikan menjadi lebih mencabar. Para guru mesti lebih cepat dan cekap dalam usaha memberi yang terbaik kepada anak murid dan pihak sekolah seterusnya kepada negara. Mereka perlu lebih bersedia dengan melengkapkan diri berserta ilmu pengetahuan semasa.

Perkembangan teknologi terkini misalnya internet mesti dikuasai oleh para guru, supaya peranan mereka tetap menjadi yang utama. Jangan ada yang berkata, "Saya berjaya mencapai keputusan cemerlang kerana belajar secara online. Tak pergi kelas pun tak apa. Di internet semua ada. Maklumat hanya dihujung jari." Ini tidak mustahil pada masa akan datang. Inilah cabarannya. Sesungguhnya bila belajar dari seorang guru, bukan hanya ilmu sahaja yang disampaikan, tetapi ada ilmu-ilmu kehidupan yang turut serta digarap secara tidak lansung. Ilmu kehidupan itu saya rujuk kepada keperibadian dan contoh teladan yang dibawa oleh seorang guru pada anak muridnya. Ilmu dan guru tak dapat dipisahkan. Kewujudan guru adalah kerana untuk menyampaikan ilmu. Ilmu itu umpama jasad dan guru menjadi rohnya. Kerana itu kita selalu sebut, kalau nak belajar sesuatu biar berguru. Tiada guru takut terpesong atau tersesat jalan. Lihat besarnya peranan guru. Untuk memastikan supaya manusia tidak sesat dan terpesong dalam kehidupan.Usah kita terkejut jika ada anak-anak yang lebih suka mendengar kata guru dan bertegas dengannya lebih dari menurut kata-kata ibu bapa. Ini menunjukkan penghormatan mereka pada guru mereka. Namun jika guru-guru antara indah dan tidak, mereka juga menyedarinya.

Sempena Hari Guru 2011, Selamat Hari Guru. Semoga Malaysia akan terus maju jaya dengan adanya tenaga-tenaga pendidik yang baik dan mahu serta mampu mendidik anak bangsa menuju kecemerlangan seimbang rohani dan jasmani, duniawi dan ukhrawi. Happy Teachers Day........(Selalu dengar, Guru Terbaik adalah pengalaman itu sendiri...)

11.20am@16/5/11

Jumaat, 13 Mei 2011

POHON AMPUN DENGAN PENGHULU ISTIGHFAR

Kita arif bahawasanya bumi kita ini semakin uzur@tua. Biasalah jika manusia itu uzur@tua, ia akan sakit-sakit. Ini adat dan fitrah sesuatu yang tidak kekal. Sesuatu yang bersifat fana'. Setidak-tidaknya, waktu bersekolah dulu, kita pernah belajar sifat-sifat Allah. Selalu menyebut tentang sifat 20. Allah juga ada sifat mustahil iaitu lawan kepada sifat wajib dan tidak ketinggalan dengan sifat harusNya. Jadi, Allah bersifat baqa'(kekal) lawan atau mustahilnya Allah bersifat fana'. Dunia dan segala isinya inilah yang bersifat fana'. Alam dan manusia adalah dua unsur utama kehidupan di muka bumi ini. Penyediaan alam khusus untuk kemudahan manusia menerajui kehidupan didunia. Bertamaddunlah manusia di muka bumi ini selayaknya.

Kejadian bencana alam lewat masa kini amat jelas menunjukkan kesakitan bumi. Paling utama ini adalah kejadian dengan kehendak dari Allah. Selalu sahaja kita mengulang-ngulang menyebut, Segala Yang Baik Dari Allah Dan Buruk Itu Datangnya Dari Kelemahan Dan Kesilapan Diri Kita Sendiri. Jadi begitu jugakah dengan kejadian gempa bumi atau lain-lain bencana alam yang sering berlaku kini? Atau kita hanya mengandaikan dan menutup pemikiran mampu kritis kita dengan mudah mengatakan, itu sudah kejadian alam semulajadi. Alam sedang mencari keseimbangan dan menjadi adatlah semua tersebut. Begitukah minda kita diarahkan? Tanyakan semula, apakah alam perlu mencari keseimbangan atau sedang menuju pengakhirannya? Kita arif setiap yang ada permualaan, pasti ada pengakhirannya. Itu adalah kehidupan. Apakah manusia hanya mangsa kepada kejadian alam sebegitu. Ataukah manusia itu sebenar menjadi penyebabnya? Manusia itu yang khalifah, bukan Alam. Oh! Allah hulurkan HidayahMu....

Terbaru adalah gempa di Perancis Sepanyol. Sepengetahuan saya dua gegaran telah terjadi. Ini adalah selepas kejadian gempa dahsyat di Jepun. Bertitik-tolak dari kejadian di Jepun yang memberi tamparan hebat pada dunia, pernah saya  menulis di sini http://adillaharun.blogspot.com/2011/03/mohon-ampun-selagi-ada-waktu-al-asr.html. Rupanya entri ini adalah antara entri yang ramai melihatnya, di blog biasa saya ini. Saya juga ada mengaitkan tentang Mohon Ampun, ataupun Istighfar di sana. Jadi ini saya kira lanjutan dari entri yang terdahulu itu. Wajar kita mengambil kira bahawa bencana yang terjadi dengan izin dan kehendak Allah itu masih ada hikmahnya untuk kita selaku pemerhati. Pasti ada iktibar besar yang mampu kita garap darinya. Jadi dari diri saya yang lemah ini, saya ingati diri dan saya kongsikan suatu pesanan dari Penghulu dan Rasul tercinta kita, Nabi Muhammad saw. Iaitulah perihal mengamalkan Penghulu Istighfar. Mengapa? Jika benar dakwaan kita bahawa segala yang buruk adalah datang dari diri kita, itulah perlunya Istighfar. Tiada lain pada Pencipta Alam dan segala isinya. Mudah-mudahan Allah terus memandang kita dengan kasih sayangnya kerana pengakuan kita akan kesilapan dan kesalahan diri kita.

Jika Rasul yang maksum dan yang telah dijamin syurga itu beristighfar tidak kurang 70X sehari, apatah bagi kita manusia yang diakhir zaman ini. Mungkin di penghujung dunia. Jauh dari zaman Rasul dan para sahabat. Namun masih ada tinggalan yang dapat mendekatkan kita dengan mereka iaitu Al Quran dan Sunah Rasulullah. Penghulu Istighfar ini dipesan Nabi dengan pesanan, "Pelajarilah dengan baik istighfar utama @penghulu dan amalkanlah" 

Imej dan terjemahan ayat dari buku 187 Doa rawatan & Harian
Ertinya:
Ya Allah Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak diabadikan hanya Engkau yag menjadikan aku. Aku hambaMu dan aku di dalam gengamanMu, aku di dalam perjanjian untuk beriman dan bertaat padaMu sekadar dalam kemampuan yang ada padaku. Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan yang aku perbuat. Aku mengakui ke atas nikmat yang telah Engkau berikan dan mengakui ke atas segala dosaku, aku memohon keampunan dariMu, tidak ada yang dapat mengampunkan seseorang melainkan hanyalah Engkau sahaja wahai Tuhanku.

Apa yang saya 'highlight' itulah inti utama Istighfar tersebut. Terang lagi jelas. Itulah sifat kita manusia, tiada lari dari silap dan dosa. Namun masih digelumangi nikmat dari Allah dan kerapkali terlalai pula mensyukurinya. Astaghfirullahhalazim...... Sesungguhnya tiadalah sia-sia pesanan Rasulullah, kekasih Allah dan rinduan umatnya, yang diciptakan Allah dan diutuskan kepada alam sebagai Penghulu segala Nabi dan Rasul...

3.23am@14/5/11


Selasa, 10 Mei 2011

PERGINYA SEORANG IBU DAN ISTERI.....MAK LONG

Walau pagi telah menjelma dan mata ingin tidur, hati menghalang diri. Mahu mencoret dahulu. Meluah rasa berdasar peristiwa yang masih baru dan ada bara.

Sebelum maghrib tadi menjelma, aku mendapat panggilan dari adik lelaki memberitahu perginya seorang yang berpangkat makcik pada kami. Beliau juga seperti mak saudara. Namun oleh kerana hanya kakak angkat kepada Allahyarham bapa, bukan ada pertalian darah sebenar, kami masih  tetap memanggilnya Mak Long . Pemergian yang mengejutkan kerana tidak pernah kedengaran sakit teruk sebelum ini. Setakat sakit sengal-sengal lutut itu adalah. Perginya meninggalkan seorang suami yang hampir buta, akibat kemalangan teruk pada tahun lepas. Aku kenangkan kembali, parah sungguh keadaan suaminya sewaktu kemalangan dulu. Langgar lari oleh sebuah teksi. Terlantar lama. Namun atas kehendak Allah. Lain yang parah, terlantar dan kesakitan, lain pula yang terpanggil menghadap Ilahi. Itulah ajal namanya. Tamat perjanjian. Pulanglah insan. Menghadap Tuhan Sekalian Alam. Selagi belum sampai ajal. Berpantang maut sebelum ajal. Kata orang Melayu. Terbukti sekali lagi hari ini. Ini wajar aku insafi.

Pemergian yang juga meninggalkan seorang anak lelaki tunggal. Namun tidak kami lihat sewaktu menziarahinya tadi. Anak lelaki tunggal yang ditatang bagai minyak yang penuh. Sewaktu kecil dan membesar, sepenglihatan aku, mendapat banyak yang diingini. Namun kenapa dalam keadaan telah terpisah nyawa dari jasad ibu dan ayah yang hampir buta, tiada kelibat sang anak? Walau dikatakan siangnya ada. Ini permasalahan manusia. Tidak molek mengandai-andai. Namun apa lagi mampu naluri manusia berbuat. Bukankah ayah yang kesedihan perlu teman mendamaikan jiwa. Di saat tatkala kehilangan isteri peneman dan penjaga dikala diri gembira, duka, luka mahupun sengsara. Tambahan sebagai anak lelaki. Bukankah diibaratkan syurga kekal ditelapak kaki ibunya. Tidak seperti anak gadis yang beralih pusat taatnya kepada suami tatkala berumahtangga. Memang mudah aku berkata-kata. Aku bukan ditempatnya. "Hei! Manusia cuba berbaik fikir sahaja". Mungkin dia terbelit permasalahan diri dan keluarganya.

Sewaktu merenung riak rupa yang tidak tahu dia diperhatikan, hati tersentuh. Berdetik, "Ke manakah dia selepas ini?" Tiada sudah sang isteri, peneman diri. Ditambah mata, hampir buta. Namun yang dahulu, didahulukan. Esok jenazah akan tiba. Semoga semua berjalan lancar untuk pengkebumiannya. Pak Long itu asalnya sahabat kepada Allahyarham abahku. Menaruh hati pada Mak Long Midah. Walau telah diperincikan bahawa Mak Long Midah itu tiada apa-apa 'kepandaian', tetap menerima seadanya mahu memperisterikannya.  Itu jodoh namanya.

Mak Long Midah memang tidak pernah bersekolah. Mak Long Midah tidak pandai membaca dan menulis. Namun beliau masih mampu menguruskan kewangan rumahtangganya. Masih pandai berbelanja. Macam wanita lainnya. Gemar ke pasar malam dan membeli apa yang rasanya suka. Ke kedai perkara biasa. Membayar bil-bil dan segala perihalnya, beliau yang lakukan. Terutama setelah suaminya kemalangan dan tidak mampu melaksanakan tgas-tugas selayaknya. Kisahnya Mak Long Midah ini menjadi anak angkat opahku bermula kerana dia hampir dibuang oleh ibunya sendiri. Menurut cerita opahku, semasa dalam kandungan, ibunya telah melakukan pelbagai cara untuk mengagalkan kehamilan terhadap Mak Long Midah. 

Namun bila Allah kehendaki sesuatu, tiada yang lain dapat menghalang. Mak Long Midah tetap lahir. Dikatakan ibunya berniat membuangnya di landasan keretapi, jika tiada siapa mahu mengambilnya. Ini ingin dibuat kerana desakan, kesempitan dan permasalahan hidup yang dihadapi siibu. Itu menurut cerita Allahyarhamah Opahku. Lantas opah aku menyanggup mengambilnya. Atas alasan tiada anak perempuan. ditambah simpati. Beliau membesar dalam kejadian yang mungkin disebut 'bodoh-bodoh alang'. Tak pasti sesuai atau tidak akan itu. Ingin mengungkap dua contoh. Pernah kami tanya, "Kenapa tak angkat telefon bila kita orang telefon?". Jawabnya,"Takut meletup, nanti terbakar telinga aku, macam dalam cerita kartun tu". "Kenapa tak naik lif. Tak penat ke naik tangga sampai tingkat 14?" Jawabnya, "Takut tersangkut lif tu, nanti lemas dalam lif". Namun kemudian kami tahu dia akan naik lif jika ada berteman. Namun kerana kami tahu asal cerita ibunya yang pernah menelan itu dan ini, hanya kerana mahu menyingkirkan kandungan, kami menjadi faham. Itu mungkin sebahagian kesannya. Selain tidak pernah mendapat sebarang pendidikan formal.

Cerita ini diungkap semata-mata ingin mengenang Mak Long Midah. Tidak berniat menyinggung  dan mengaibkan mana-mana pihak. Teringat ungkapan dari mulut si suami. "Doa aku sudah Tuhan makbul. Aku doa dia pergi dulu dari aku. Kalau aku pergi dulu, siapa nak jaga dia(Mak Long). Dia itu tak tahu apa-apa. Tak sekolah. Macam mana?" Kemudian Pak Long sedih dan menangis perlahan. Kasih suaminya, begitu pula terjemahannya. Lain orang, lain cara mengasihi. Namun niatnya Allah yang menilai....Suami juga mengungkapkan,"Tengok isteri aku pergi senang sangat (menurut mata kabur Pak Long - selepas makan, duduk berehat, tiba-tiba tertunduk-tunduk dan pengsan). Dia tidak susahkan aku. Walau dia 'bodoh' tapi aku tak akan jumpa orang sebaik dia......" Kami adik beradik mendengar, cuba menghayati.......Dalam Minggu Hari Ibu, kami sedekahkan Al Fatihah untuk Mak Long.....

2.08am@11/5/11


MARRY HAD A LITTLE LAMB! AKSI SPONTAN ANAS.....

Menjadi ragam kanak-kanak kini suka pada benda-benda 'bertoken'. Sebab itu juga pusat-pusat membeli belah tidak ketinggalan meletakkan benda-benda seumpamanya di persekitaran premis mereka.  Ini dianggap sebagai satu cara memberi keseronokan pada kanak-kanak. Di samping satu perniagaan. Baiknya ada. Ia membantu ke arah perkembangan minda kanak-kanak. Maklumlah dengan pergerakannya, dengan bunyi muziknya. Terangsang juga neuron-neuron dalam otak kanak-kanak. Kurang baiknya. Beri sekali nak dua. 'Spare' sahajalah duit untuk token. Perkara begini hanya perlu sekali-sekala. Kalau selalu, jadi tak eloklah pula. Apa sekali pun kalau dilakukan berlebihan atau keterlaluan, jadi tidak wajar. Itu Islam galak bersederhana.


Itu aksi Anas seorang. Dia memang 'prefer' benda tu tak gerak. Kalau gerak dia tak dapat nak 'enjoy' pusing stering tu. Dia macam tak berapa suka. Jadi kami biar dia main seorang. Lepas tu bila masuk token ia jadi begini. Ada 'passenger' lain menumpang.....Berdoa jangan sampai berjalan sungguh kereta lumba tu. Tak terkejar nanti dibuatnya....Hih!Hih!Hih!...


Sempat pula si kakak jeritkan , "Mak hingus...." Anas pun terpisat-pisatkan hidungnya. Anas memangnya masih selesema. Tak hilang lagi. Selesema diperingkat yang memekat tu. Faham ajelah. Kurang menyelesakan. Masih makan ubat. Perubahan cuaca tak menentu dan begitu berbahang kini amat membimbangkan. Kita yang dewasa pun tak tertahan. Fenomena panas sudah kembali....