Khamis, 6 Oktober 2011

TAHAJJUD, CINTA DAN HIBURAN ISLAM TSAQAFI

Assalamualaikum! Salam Sejahtera.

Serasa tidak tahu pula dari mana mahu mula berbicara. Namun sememang ada perkara yang mahu diperkatakan. Menjadi fitrah manusia selalu terdorong untuk berfikir, pasti akan sampai kepada satu tahap mahu menyampaikan. Serasa tidak mampu menyimpan untuk diri sendiri. Mahu disebarkan. Ini semua bermula bila manusia itu mahu membaca. 'Bacalah' - Iqra' adalah wahyu pertama pada Rasulullah, Nabi Muhammad (s.a.w) tercinta. Pasti semua tahu peristiwa turunnya wahyu pertama. Bahkan anak-anak kecil juga seawalnya dikisahkan perihalnya. Seronok. Selaras juga dengan tema blog saya ini Ilmu Asas Fikrah(macam akedemik sangat dengarnya...). Bila kita membaca, bermakna kita berusaha mendapatkan ilmu. Bila ilmu memasuki minda, ia pasti bertindakbalas dan membawa kepada bagaimana penerimaan akal kita kepada bahan bacaan kita itu tadi. Natijahnya pula akan membawa kepada apakah tindakan kita bila berdepan dengan situasi yang memerlukan kepada ilmu yang kita perolehi itu. Kompleks sangatkah terjemahan dan tafsiran saya?. Itu tafsiran saya spontan. Tidak salin dan lekap dari mana-mana.

Hari ni hari Jumaat. Hari terbaik sebagai Penghulu Segala Hari. Paling baik dibanyakkan Solawat. Tukang Solawat akan mendapat ganjaran dengan nisbah 1:10. Perniagaan yang terserlah keuntungannya. Oh!....Selain itu ada Solat Jumaat. Beruntunglah mereka yang berusaha mendapatkan saf terdepan dan mampu mendengar khutbah dan mengambil manfaatnya. Bermacam lagi kebaikanlah yang boleh dibuat. Namun kebaikan itu bukan terhad untuk Jumaat sahaja. Cuma kebetulan Jumaat itu mendapat jolokan Penghulu Hari. Ah! Hah! Satu lagi yang semacam menjadi rutin adalah menonton Tahajjud Cinta. Ya! Drama bersiri TV3. Bukan mahu memuji atau mengeji drama ini. Menonton sekadar mahu terus melihat apa agak-agak kesudahan. Walau banyak masa darinya timbul rasa tidak puashati.  Selain mempersoal mengapa begitu dan begini. Inilah sikap manusia. Tidak terkecuali saya. Peribadinya merasakan tajuk cerita tidak sesuai dengan cerita yang dipaparkan. Lama dah saya merasa demikian. Hari ini, saya hitam putihkan rasa itu. Tahajjud yang saya diajar adalah sejenis solat sunat. Dilakukan di satu pertiga malam akhir. Ia amat disarankan dan diberatkan untuk dilaksanakan. Jika sedapatnya dengan Istiqamah. Namun nampaknya terkini Tahajjud ini sudah pandai main cinta. Tidak dinafikan sedap didengar pada telinga, namun cukupkah setakat itu. Saya kira tajuk sedemikian bertujuan dua dalam satu. Ingin menarik penonton yang dahaga dengan tayangan berunsur Islam sekaligus menggunakan perkataan cinta untuk menarik naluri  kemanusiaan yang tidak boleh hidup tanpa cinta. Ketahuilah sepengetahuan saya, doa dalam sujud akhir solat Tahajjud bermaksud:

"Ya Allah kau masukkanlah aku melalui pintu kebenaran dan keluarkanlah aku daripada pintu kebenaran, dan kurniakanlah bagiku daripadaMu akan seorang@suatu pertolongan"

Apa pula intipati dalam Tahajjud Cinta??? Saya belum pasti. Mungkin harus menunggu sehingga ke hujung cerita. Di sini juga saya bercerita, hanya sebagai manusia biasa yang mengisi sebahagian masa santai bersama ahli keluarga menonton drama Melayu. Walau itu bukan satu kewajiban untuk saya. Maksudnya kadang nonton dan kadang tidak. Kita orang Melayu. Mahu tidak, mesti sokong drama Melayu. Harap siapa lagi??? Terkini si Walid dan anaknya galak pula digoda watak Suraya- Neolofa(harap tak silap).

"Yalah, orang tidak mahu mendengar kuliah agama lagi. Jauh lagi mahu mendengar kita bercakap perihal sejarah Nusantara. Orang mahu tonton filem, berhibur. Sekiranya saya dapat hasilkan filem berilmu, ada falsafah, ada makna, pada masa yang sama menghiburkan, alangkah baik", Prof. Iman bersuara.

"Paling tidak ada tiga jenis seni yang berfungsi sebagai tujuan dakwah. Sebagai produk gerakan Islam tsaqafi. Saya sebutkan tiga itu adalah seni tari, seni muzik dan seni sastera pastinya." Dato' Fendi mulai yakin.



Dua dialog di atasa saya petik dari novel bertajuk Sebongkah Batu di Kuala Berang karya Faisal Tehrani. Pada awal pembacaan, atas sebab-sabab tertentu saya sedikit perlahan. Namun masuk kepada pertengahan saya mendapat 'momentum' dan mahu segara ke penyudahnya. Pada saya novel ini adalah satu usaha untuk menyampaikan kepada masyarakat bahawa dakwah masih boleh dijalankan melalui media budaya. Saya tidak menyebut media hiburan kerana rasa kurang sesuai. Mungkin rasa macam terlalu kebaratan. Sesuai dengan ketimuran kita akui amat mementingkan adat, resam, kebudayaan, kesopanan dan kesusilaan. Selain saya melihat juga timur kini hebat mengalami pertembungan budaya dengan barat dalam kebanyakan aspek. Tidak terkecuali aspek berhibur. Hiburan yang kadangkala berkesudahan tanpa mendapat apa-apa manfaat, bahkan kadangkala mendatangkan dosa kepada kita(khususnya umat Islam) Memetik lagi. -----Islam tsaqafi mahu satu pendekatan agama dengan wawasan budaya, atau budaya yang bernafaskan agama ditegakkan kembali sebagai kekuatan rantau kita ini----m/s94 SBdKB--Faisal Tehrani.

Bukanlah saya ini menyokong membuta tuli idea atau saranan yang disampaikan di dalam novel tersebut. Namun sepanjang pembacaan, saya tidak mampu menolak menerapkan persekitaran terkini dalam dunia perfileman mahu pun 'hiburan' untuk perbandingan. Terbaru contohnya, isu filem Hantu Bonceng. Terlalu banyak filem hantu. Terlalu banyak filem komedi. Filem berunsur gangsterisme. Kebanyakannya mengaku bermesej mulia. Namun akhirnya didapati terlalu kecil mesej tersebut, dan sampai ada yang tidak perasan. Wujud juga drama yang menggunakan tajuk berunsur Islami namun menyelitkan adengan berahi dan ghairah. Dalam itu dengan tamatnya membaca novel tersebut beberapa hari lalu membuatkan pemikiran saya ke arah ini. Saya merasakan di dalam novel tersebut terdapat teguran yang wajar diambilkira untuk mereka yang terlibat dalam dunia perfileman mahu pun drama dan pementasan, di mana di situ pelakonnya diberi perhatian besar. Apa kriteria pelakon, apa peranan penerbit, pengarah dan keseluruhan "team' penerbitan sesebuah karya untuk dihidangkan pada umum. Selain itu ia tidak ketinggalan mempekenalkan siapa 'audience' sesebuah karya tersebut. Mengapa manusia mahu menonton. Kadangkala kita merasa sudah tahu, cuma di novel itu ia disusun dalam ayat yang lebih mudah kita fahami dan rujuk semula seandai lupa.

Islam di dalam Perlembagaan di sebut sebagai agama Persekutuan. Tiada sia-sia ia sebegitu. Allah mengkehendakinya sebegitu. Tidak pula disahihkan apakah ia agama rasmi(ini juga yang menjadi pertikaian untuk yang suka pempertikaikannya). Namun sebagai orang Melayu beragama Islam, saya rasa tiada ruginya membaca karya Faisal Tehrani ini kerana di penghujungnya merasa ada penambahan ilmu untuk saya. Di samping mengukuhkan pemikiran dan pandangan saya terhadap aspek yang diperkatakan. Bila ada keselarasan pendangan dan pertemuan pendapat antara saya dan bahan bacaan saya, saya jadi lebih yakin. Islam agama  saya dan  Malaysia tanahair saya. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu itu perlu juga kita ketahui. Kedua-duanya Islam dan Malaysia saya junjung, saya sayangi.....Ketahuilah kita tidak mampu mengubah sesorang atau sesuatu, namun mungkin masih mampu menyampaikan.....

11.20am@7/10/11