Selasa, 15 Mei 2012

DAKWAAN SIMBOL ASAS TENTERA DAJJAL


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang…

Dalam kehidupan kita, sebagai  manusia cenderung untuk memudahkan. Meringkaskan  sesuatu yang kompleks(sulit) kepada sesuatu yang lebih ringan dan mudah digunapakai. Jadi, manusia dengan perkembangan akal dan bertambah ilmu dan ditinggikan tamaddun mampu menerbitkan penggunaan simbol di dalam kehidupan sebagai perlambangan kepada pernyataan maksud-maksud tertentu. Dari simbol di bawah saya, anda dan ramai tahu bahawa ia melambangkan kasih sayang atau cinta. Simbol ini mewakili satu dari perasaan kita. Ia umpama satu bahasa umum juga.


Cuba untuk lebih jelas. Menyebut soal simbol, saya mahu melanjutkan dengan  merujuk kepada Kamus Dewan edisi ke-3(lama dah ni…zaman belajar dulu belinya) membawa maksud, 1. sesuatu yang mewakili sesuatu yang lain, lambang, tanda: raja berketurunan tidak dibuang tetapi dijadikan kepala negara sebagai simbol kenegaraan; 2. contoh: hiduplah dengan rukun dan damai supaya menjadi simbol kepada orang di dalam masyarakatmu;

Merujuk pula dalam Longman Dictionary of Contemporary English yang ada, 'Symbol 1 a picture or shape that has a particular meaning or represents an idea: [+of] The dove is a symbol of peace. 2 a letter, number, or sign that represent a sound, an amount, a chemical substance etc: ‘0’ is a symbol of zero. 3 someone or something that people think of as representing a particular quality or idea: Space exploration provides a symbol of national pride.'

Serba sedikit fahamlah kita akan maksud kepada simbol. Ini semua adalah sebagai awalan kepada cerita saya perihal sebuah naskah yang juga baru saya baca. Wajah bukunya seperti dalam gambar. Buku ini andai dilihat dari tahun cetakan, sudah kurang lebih 2 tahun berada di pasaran. Namun hanya saya yang baru bertemu jodoh dengannya. Apa yang menarik saya selain tajuknya adalah ia telah diulang cetak  sebanyak 6 kali. Cetakan pertama pada 2010. 5 kali cetak di dalam tahun 2011 dan cetakan saya miliki adalah cetakan ke 7. Kesimpulannya, saya rasakan ramai telah membaca buku ini. Jadi pasti ramai yang tahu apa isi kandung buku ini. Selain pasti sahaja ia juga mengundang pelbagai bentuk penerimaan mahu pun penafian akan isi kandungannya. Untuk saya, tidak lain melihat ianya sebagai satu sumber maklumat. Namun semua maklumat yang sampai perlu juga tapisan dan difikirkan dan jika lebih upaya dikaji akah kesahihan dan kebenaran. Kita berhenti setakat mana kemampuan yang ada pada diri kita.


Buku ini sarat dengan gambaran simbol-simbol yang didakwa digunakan oleh kelompok-kelompok tertentu dalam pertubuhan-pertubuhan tertentu. Selain jalan penceritaannya juga terlihat ada kesinambungan dan dapat diterima akal.

Seperti yang dinyatakan di kulit buku ini, ianya sebuah naskah menceritakan berkenaan Teori Konspirasi. Dilihat pula makna konspirasi dalam kamus Dewan bermaksud ‘rancangan rahsia untuk melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang(terutamanya yang berbau politik): Negara kita Malaysia juga tidak ketinggalan menerima bahang panas komplot konspirasi kuasa-kuasa besar tersebut.’ Rujuk silang dengan kamus Longman lagi berbunyi begini a 'secret plan made by two or more people to do something that harmful or illegal: conspiracy to(do) sth a conspiracy to smuggle drugs into the country/conspiracy against A conspiracy against the elected government./conspiracy of silence(=an agreement to keep quiet about something that should not be a secret/conspiracy theory(=the idea that an event was caused by a conspiracy) conspiracy theories about President Kennedy’s assassination.'

Nampaknya beberapa perenggan hanya berkisar perihal kandungan kamus tentang maksud-maksud tertentu. Adatlah. Kadangkala kita manusia menyebut dan faham, namun penghuraian makna dalam bentuk hitam dan putih tidak terlekat difikiran. Kita mengerti sebegitunya sahaja. Lebih baik dari tidak mengerti samasekali. Sengaja, saya sedaya mungkin  memetik makna-makna perkataan tertentu supaya saya dan anda dengan sendiri tahu apa mesej utama buku tersebut. Jika berniat dan mahu membaca, itulah yang harus diberi perhatian. Asal itu menjadi mesej utama penulisnya.


Buku ini dibahagikan kepada 16 Bab dan saya akui bila mula membaca, saya rasakan agak sukar berhenti. Telah beberapa hari tamat dengan buku ini dan sedang membaca sebuah lagi yang serupa dengannya. Buku ini saya dapati baik sebagai pendedahan asas kepada mereka yang ada rasa mahu kepada satu pemahaman awal dan pengertian akan siapakah sebenar musuh-musuh kepada luar agama Allah yakni agama Islam, lantas musuh juga kepada Rasulullah s.a.w,  yakni Nabi juga Rasul terakhir. Lantas mereka juga adalah musuh kepada kita selaku umat Islam yang terikat, diikat dan mesti mengikat diri kepada 2 kalimah syahadah. Dikatakan bahawa kelompok-kelompok musuh ini telah lama menjadikan penggunaan simbol sebagai suatu yang penting dalam pertubuhan-pertubuhan mereka untuk kegunaan ahli-ahlinya dalam meneruskan kelangsungan agenda-agenda mereka. Agenda-agenda kumpulan-kumpulan ini pastilah menjurus ke arah merosakkan dan memporak-perandakan dunia dan umat manusia khasnya. Semua itu pula dilakukan oleh mereka dengan satu tujuan utama dan khas bagi ‘mempersiapkan keadaan dan suasana ‘demi mengalu-alukan kedatangan suatu kuasa jahat yang diangkat dan mahu dijulang sebagai kepimpinan mereka sejak lama lagi. Kuasa jahat itulah Dajjal. Saya pasti itu tidak mustahil.

Asal membaca naskah ini, saya hanya menganggap ia sebagai mempelbagaikan bahan bacaan. Namun rupanya ia nyata lebih sedikit dari itu. Diketahui  dan disedari, Rasulullah juga tidak melepaskan diri baginda dari mengingatkan kita perihal Dajjal ini. Melalui sedikit carian saya berjumpa yang berkaitan; Pada HR Muslim 809, Daripada Abu al-Darda sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, “Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-kahfi, pasti terlindung daripada Dajjal.” Tambahan pula, daripada Ali, yang meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w baginda bersabda, “Barangsiapa membaca surah al-kahfi pada hari jumaat, nescaya dirinya terpelihara hingga lapan hari, daripada segala fitnah yang melanda, dan jika keluar Dajjal sekalipun, dia akan terpelihara daripadanya (Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5:355). Jadi peringatan perihal Dajjal dan fitnahnya memang telah ada. Terlihat juga fitnahnya keluar terlebih dahulu sebelum fizikalnya. Namun tak mustahil dia dikatakan sememangnya menjadi perancang jarak jauh pada tentera-tenteranya demi matalamatnya. Cara perhubungannya dengan pengikutnya, hanya Allah yang Maha Tahu.


Persoalan siapa Dajjal? Bermacam tanggapan akan persoalan ini. Dikhabarkan,  ia sebagai manusia biasa yang diberi penangguhan kematian dan  telah disembunyikan juga sedang bersembunyi, menanti-nanti  , saat dan ketika untuk keluar dan bakal membawa kesesatan yang dahsyat pada manusia di dunia. Namun, saya juga melihat satu logik bahawa tidak mustahil sebelum ‘ia’ keluar telah terdapat kelompok-kelompok yang bekerja keras untuk mempersiapakan dunia ini kepada satu suasana bersesuaian untuk ‘ketua’ mereka. Untuk satu ‘kepala kejahatan dan kesesatan’ keluar mesti pada suasana yang sesuai dengan alpa, lepa, cuai dan penuh porak-peranda. Kucar-kacir. Pergaduhan. Pertelagahan. Penindasan. Peperangan. Akhir dan amat penting adalah menuntun manusia kepada melupa dan mengabaikan agama. Itu misi kelompok-kelompok durjana yang wujud demi merealisasikan matalamat ‘ketua’ mereka. Dari situ penyesatan mudah dilaksanakan. ‘Ia’ bakal menyelewengkan akidah manusia supaya menanggap ‘ia’ sebagai Tuhan dunia ini. Penguasaan dan kekuasaan seolah-olah ada ditangnnya. Ketentuan itu dikatakan miliknya. Kesemua manusia mahu ditundukkan kepadanya(telah didahului oleh kelompok-kelompok tertentu). Kejahatan diperlihatkan adalah kebaikan dan sebaliknya kebaikan itu pula adalah kejahatan. Itu tujuan utama. Namun kita yakinlah bahawa semua itu hanya akan berlaku dengan ketentuan Allah. Semua itu termaktub dalam perancangan Allah.  Allah sebaik-baik perancang dan perancanganNya itu pasti. Tentu sahaja ada hikmah atas setiap kejadian merangkumi apa yang telah dan akan terjadi dan tak terlepas yang sedang terjadi. Peringatan tetap telah diberi. Bukankah Rasulullah itu pembawa peringatan yang nyata?

Selaku manusia kerdil dan tidak pula memiliki apa-apa pun, saya hanya melihat bahawa buku ini walau sahaja kelihatan sebagai satu bacaan yang mewarnakan dunia penerbitan buku diluar sana, dari segi kandungan  ia tetap ada kepentingan tersendiri. Untuk mengenali kelompok-kelompok musuh, kita juga wajar mengenali cara-cara dan tindak-tanduk mereka terlebih dahulu. Ini termasuk bahasa badan dan simbol-simbol kegunaan mereka gunapakai. Ini semua sepatutnya dikatakan menjadi ‘rahsia’ mereka. Namun saya juga yakin bahawa, Allah itu lebih berkuasa dan andai Allah berkehendak untuk memberi peluang supaya manusia sedar dan ketahui sesuatu muslihat pihak musuh,  Allah pasti mendatangkan cara dan ilmu itu akan sampai pada kita. Itu kasih dan rahmat Allah. Bersyukur kita kehadratnya.

Apa yang menariknya dari buku ini ialah penceritaan tentang usaha-usaha yang dilakukan oleh puak-puak musuh ini ialah dengan menerapkan penggunaan simbol-simbol kegunaan mereka ke dalam kehidupan manusia. Secara halus mereka melakukannya. Penerapan secara halus ini ada yang disedari, ada juga yang tidak. Namun kaedah ini berleluasa dalam kehidupan zaman kini. Dalam setiap dan segenap aspek mereka menyelinap memasukkan penggunaan simbol-simbol mereka. Sebut apa sahaja. Perfileman, sukan, hiburan(paling hebat), ekonomi, politik, perundangan, akedemik. Hampir kesemuanya jika tidak keterlaluan saya katakan. Paling dahsyat awalnya, ia bermula dan berkembang dengan mengoyakkan  prinsip dan nilai keagamaan yang ada, jelasnya Kristian demi digantikan dengan kehendak mereka. Selanjutnya ia juga berasas dari dorongan kebencian teramat sangat mereka terhadap agama syumul iaitu Islam.

Apakah maksud disebalik simbol berupa panahan petir di wajah Lady Gaga ini? Perihal simbol petir itu ada diceritakan dalam buku tersebut. Wajah ini saya cari dan jadikan contoh.

Melalui buku ini saya membuat kesimpulan bahawa ia menepati hukum berpasangan. Jika ada putih, pasti ada hitamnya. Jika ada siang ada pula malam. Suka berlawan duka. Islam sebagai kesejahteraan, Allah berikan pada alam sejagat mesti pula berdepan dengan suatu kejahatan yang berasal usul dari penciptaan Adam lagi. Ini berbalik kepada peristiwa Iblis, makhluk yang melanggar perintah Allah dari sujud kepada Adam atas dasar, kesombongan dan ketaksuban pada diri juga kedengkian. Iblis inilah yang mendasari segala penyelewengan yang berlaku atas muka bumi ini. Ini kerana sumpahnya memang untuk menggelincirkan dan menyesatkan manusia selagi dan sehabis usahanya. Simbol-simbol dalam buku ini memang ciptaan manusia yang telah nyata menyeleweng dengan pelbagai alasan demi kerakusan dan ketamakan pada dunia dan bertindak selaku tentera-tentera Dajjal dan seterusnya berpaksikan kejahatan Iblis. Ini kerana setiap simbol itu ternyata diikuti dengan pernyataan secara nyata dan tersembunyi. Ternyata bukan simbol itu yang perlu ditakuti dan ditaksubkan tetapi apa yang menjadi agenda-agenda pemakai dan pengiktiraf simbol itu lebih utama ditangani. Bagi yang memakai tanpa sedar, itu cerita kedua. Namun bagi yang telah mendapat pendedahan, wajar ambil kira. Dibimbangi secara tidak sengaja seolah menjadi penyokong tidak rasmi kepada kelompok-kelompok tertentu. Kelompok yang jelas menentang Islam.


Adakah apa-apa maksud dari simbol segitiga dengan mata mencari di tengahnya yang diaksikan ini? Perihal simbol itu ada diperkatakan dalam buku tersebut, namun sekali lagi gambar itu saya mencari bagi perbandingan. Niat aksi, hanya tukang aksi yang tahu dan Allah. Mungkin tanpa sedar.
Kita sedar bahawa, terdapat perkara yang diluar kawalan kita dan ada yang di dalam kawalan kita. Jika Dajjal diberitakan akan keluar, ia pasti keluar. Rasulullah tidak pernah berbohong. Itu juga ketentuan Allah.  Bila dan di mana. Usah dirumitkan pemikiran. Permudahkan. Rasulullah s.a.w telah memberi peringatan. Itu yang mesti kita ambil tahu dan beringat. Utamanya saling ingat-mengingati, terutama pada ahli keluarga dan mereka yang dekat dengan kita. Pesanan ini mesti menjadi warisan pada anak cucu, supaya mudah-mudahan dapat ia menjadi antara cara awal  bagi kita mengambil langkah dan tindakan untuk mendinding, menyelamatkan diri dari Dajjal dan fitnahnya.Tambahan pula dengan keluarnya Dajjal menandakan Hari Kiamat itu makin hampir. Jadi berpesan-pesanlah kita dengan kebaikan.

*Tidak saya nyatakan nama kelompok-kelompok yang telah dinyatakan terlihat umpama menjadi tentera Dajjal itu(anda mungkin juga telah sedia tahu). Ini adalah catatan asas. InsyaAllah akan datang, andai ada ketentuan, akan saya ceritakan menurut bacaan selanjutnya. Secara kebetulan corak bacaan terbaru saya kelihatan seperti ‘sequel’ yang sedikit mengujakan saya sendiri. 2012 InsyaAllah bukan tahun berakhir dunia. Mungkin sahaja tahun untuk saya dan kita melihat dan mula memberi lebih perhatian tanda-tanda akhir dunia itu sendiri yang biasanya di nyatakan sebagai tanda-tanda kiamat kecil dan tanda-tanda kiamat besar.

Selasa, 8 Mei 2012

BUKU: UMNO PAS PKR SEMUA TAK BETUL? SIAPA BETUL?


Setakat ini, seingat aku belum pernah aku membuat entri ‘langsung tentang buku’. Maksudnya cerita perihal buku yang dibaca. Hari ini, hari pertamalah kiranya untuk itu. Pesta Buku 2012 sudah tamat, dan pasti mereka yang telah mendapatkan bahan bacaan atau bahan maklumat dari sana sedang tekun menelaah dan mengkaji bahan-bahan masing-masing. Menggali menurut kemampuan akal dan membuat kesimpulan menurut fikiran yang diberikan pinjam oleh Allah kepada kita. Mudah-mudahan semua mendapat kebaikan dan mampu menghindar keburukan berkat manfaat ilmu yang diperolehi.

Ini bukan ulasan, sebab aku bukan pengulas. Lebih kepada perkongsian dan bercerita. Sesungguhnya apa yang bakal dicatat adalah semata-mata pandangan peribadi. Aku percaya pandangan sekecil ini tidak akan mempengaruhi mana-mana pihak kerana bukan itu niat dan tujuan. Pandangan ini semata pandangan dan renungan dari kacamata aku. Jika ada yang membaca, bebas pula berpandangan tersendiri terhadap pandangan aku. Kira, pandangan atas pandanganlah. Berenung-renung dan berpandang-pandanglah kita. Semoga Allah memandu pandangan dan renungan kita dengan kebaikan.

Memulakan tajuk buku dengan satu persoalan dan tanda-tanda soal telah menarik aku untuk membeli naskah UMNO PAS PKR SEMUA TAK BETUL? SIAPA BETUL?. Membaca tajuknya saja, sudah pasti mengkategorikan ia bacaan politik. Sesungguhnya, ini kali pertama aku membeli atau nak dikatakan terbeli buku sebegini. Entahlah, mungkin kerana ayat ringkas di hadapan buku, ‘Satu Kupasan Berimbang & Beramanah Mengidamkan Perpaduan Ummah’. Betul! Kerana itulah. Rasa ingin tahu… kuat. Ditambah dengan promosi penjaga gerai buku yang dikatakan pandai ‘tackle’. Cerita tentang pengarangnya yang buta sahaja, mempersonakan. Seorang yang dikatakan berasal dari pelajar bijak dan menjadi buta secara tiba-tiba, sungguh tambah menarik. Dikatakan pula bahawa penulis itu ‘tidak berpihak pada mana-mana…’. “Oh itu lebih menarik”. Aku rasa macam kenal seseorang yang sebegitu. Eh! Akulah tu….Jadi nak lihat sejauh mana serupanya rasa aku dengan rasa dalam buku tersebut.

Aku telah pun habis membaca buku tersebut. Pusingan pertamalah kiranya. Membaca buku kadangkala baik dengan ulangan. Mana tahu ada kalanya kita terhilang tumpuan dan penghayatan pada waktu-waktu tertentu. Aku ceritakan serba sedikit perihal buku tersebut. Berdasarkan bacaan 'first round' aku.

Penulis buku ini ialah Amalina Arshad. Amalina adalah anak kepada En. Arshad bin Abu Bakar(tuan punya cerita). Amalina membantu bapanya menyudahkan buku ini kerana kekangan pengelihatan. En. Arshad dikatakan asalnya, seorang pelajar pintar, pernah berpengalaman bekerja dengan syarikat multinasional Jepun di awal kerjayanya. Kemudian telah bekerja selama 18 tahun dengan  salah satu syarikat GLC(Government Link Corporation) atau dalam bahasa Melayu Syarikat Berkaitan Kerajaan.

Sayangnya, aku terlihat percanggahan kecil dalam kenyataan. Kecil sangat. Atau ia cuma kesilapan menaip, tak pasti. Di muka 3 dikatakan beliau ‘diberhentikan kerja’ setelah disahkan menghidap penyakit mata. Pada muka 24 dikatakan pula beliau ‘dinasihatkan berhenti kerja’. Aku sahaja yang terlebih memikir? Mungkin…Tapi seperti ada perbezaan antara dua kenyataan tersebut. Sekali lagi mungkin aku terlebih memikir. Setelah berhenti dari syarikat GLC tersebut beliau dikatakan mendapat peluang berniaga dan dikatakan pula hanya bertahan selama 11 bulan(muka3). Pelik…., pada muka yang sama dan masih dalam perenggan sama dikatakan setelah diambilalih isterinya kerana masalah buta beliau, perniagaan bertahan hanya 11 tahun. Sekali lagi mungkin salah taip. Pada muka 24 sekali lagi diulang perniagaan bertahan selama 11 bulan sahaja. Alasan kerana isteri tiada pengalaman dan kemahiran menguruskan. Aku sedikit celaru. Sambil tertanya-tanya mana yang betul. Banyak bezanya tu antara jarak masa sebegitu 11 bulan dan 11 tahun. Namun dikatakan pula beliau berjaya menimba banyak ilmu dan pengalaman berguna sepanjang menjalankan perniagaan, semasa celik mahupun setelah buta. Dalam masa 11 bulan, berapa banyak dapat kita belajar perihal perniagaan? Andai 11 tahun, aku akui….Aku andaikan selaku orang yang ramai kenalan(bekas pekerja GLC), dicampur sedikit faktor simpati, untung perniagaan pun sudah besar dan hidup mungkin senang dan mudah. Ini aku andaikan atas dasar keliru lagi.

CERITANYA!....Baca punya baca buku ini, aku sedar jauh sangat rasa aku dan rasa penulis buku tersebut. Manakan sama. Aku bukan siapa-siapa. Sebaliknya penulis ini orang yang tak keterlaluan aku katakan kelihatan telah banyak menerima jasa dari bekas majikannya. Dia memang seorang yang pandai berterimakasih. Ini jelas juga dipamerkan dalam ayat-ayatnya bila menyentuh kepimpinan dahulu, kini dan selamanya dalam satu kekeramatan kata-kata. Sikap ‘neutral’ yang cuba ditonjolkan memang ada terlihat. Namun sikap menolak satu lagi pihak juga tidak ketinggalan dari perhatian aku. Kata-kata dalam buku ini amat berlapik. Ada tempat-tempatnya aku rasa kurang puashati, sepertinya secara halus sengaja mahu menjurus pembaca pada satu-satu idea dan kesimpulan. Contoh pada muka 51, mengutarakan teori(mana asalnya, tak tahu begitu pula sejauh mana benarnya…)menceritakan kejatuhan Empayar Islam di Turki 1924 akibat dari permuafakatan Yahudi dan Nasara yang telah menubuhkan satu kumpulan berideologikan perjuangan Islam. Kumpulan tersebut dikatakan melaga-lagakan umat Islam sehingga kejatuhan Empayar Islam itu. Kenyataan itu, memang maklumat pada aku. Namun bila beliau secara tersusun dan berlapik katanya, mengaitkan kisah itu dengan penubuhan PAS pada 1951, aku rasa kurang selesa. Tapi peliknya! Aku tak pernah terhutang budi apa-apa dengan Parti PAS. Pergi Kelantan pun tak pernah. Tahun lalu nak ke sana. Banjirlah pulak. Terus ke Langkawi cuti-cuti Malaysia. Kenapa pula aku perlu rasa kurang senang bila PAS dikata begitu? Mungkin ada yang aku tidak tahu dan faham. Atau cuma naluri mengarah sebegitu? Namun pada kerajaan pemerintah, aku tetap berterimakasih dan ingat budi yang andai pun tak banyak, apa-apalah yang aku kecapi hasil dari kemajuan dicapai negara dan pengurusan dari pihak pimpinan. Aku dengan bahagian aku. Mereka dengan bahagian mereka. Rezeki Allah kurniakan pasti tidak sama. Panjatkan Syukur…dan terimakasih.

Merah, Hijau, Biru....Warna-warni politik negara. Terlalu mempertahankan warna-warna masing-masing, bimbang kita melupakan bahawa satu-satu warna dibawa ke alam barzakh biasanya ialah balutan kain kafan, putih bersih...
Pengutaraan cadangan-cadangan pemulihan dalam tulisan beliau yang mahu melihat kembali perpaduan dan kesatuan Melayu Islam(aku senang kalau dipanggil Islam Melayu…jadi lebih selesa dan luas skop) khususnya dan rakyat Malaysia amnya  memang ada bernasnya. Secara tak langsung membaca buku ini membawa aku sedikit lebih faham ‘turutan’ masalah perpecahan lebih parah orang Melayu, kebelakangan ini. Itu pun menurut penceritaan si penulis. Selain itu Surat Ekslusif Terbuka kepada Agong dan ketua-ketua parti politik juga isteri mereka yang disertakan dibelakang buku itu juga daya penarik untuk memancing pembaca. Aku telah makan umpan. Namun ada hikmahnya, melihat sesuatu dari perspektif kacamata si buta, mungkin dapat menambah celik pada aku yang kekadang buta dalam celik…..Si buta memakai tongkat, bagi yang celik mahu memakai apa??? Mudah-mudahan Allah memakaikan kita semua dengan ketakutan@pakaian takwa supaya baik kesudahan kita di dunia lebih lagi di akhirat.