Khamis, 28 Jun 2012

PENGAJARAN TANAH SUCI: KISAH UNCANG KASUT DAN WUDUK(2)


Sebaik sahaja saya selesai bercakap dengan wanita tersebut, tak semena-mena, anak perempuan kepada jemaah wanita itu pula membuka mulut mengatakan yang dia juga ‘seperti saya’. Batal wuduk dan mahu mengulang tawaf. Dia meminta izin ibunya mahu menuruti saya. Saya sedikit lega. Hati ada terasa pelik, bagaimana seorang yang hanya baru disapa beberapa kali sepanjang perjalanan mahu benarkan anaknya menurut saya. Si anak pula semacam mudah pula ‘percaya’ mahu mengikut saya. Kami saling tidak cukup kenal. Namun itu semua ketentuan Allah. Saya tidak pula menolak. Sama-sama bermasalah yang sama tapi tak pasti serupa. Setidak-tidaknya, tidaklah berseorangan. Masjidilharam itu memang luas. Persekitaran itu amat baru dan untuk orang yang pertama kali seperti saya, andai berteman terasa seperti sedikit lebih selamat. Saya telah terasa 'sedikit bibit pengajaran'. Di saat ‘saya melepaskan semua perasaan saya’  Dia yang menyambutnya. Dia memang sebaik-baik penjaga kepada ciptaanNya.

Sebetulnya, saya teramat bimbang selagi tidak selesai Umrah. Saya sedar dan ingat sangat pesanan Ustaz DCN bahawa setelah kita berniat dan berihram dengan niat tersebut, kita mesti menyelesaikan Umrah menurut semua rukun seterusnya, secara tertib dan sesempurna yang terdaya dalam usaha kita. Palingnya larangan ihram yang  13 itu masih dipikul selagi tak selesai Umrah. Itu paling saya risaukan. Lagi pula sesuatu yang diniat hari itu wajar sangat diselesaikan hari itu juga. Lagi pula, dalam beribadat itu digalak memikirkan andai kita mati pada esok hari. Andai ada hari esok,  pasti ada agenda lain menanti. Kita masih dalam kumpulan. Jadi bebanan kita takkan mahu dilibatkan ahli lainnya.  Atas semua sebab itulah rasa ‘nekad’ itu terbit. Bila ada yang mahu bersama-sama saya mengulang, saya syukur. Kami berdua terpaksa memisahkan diri dari jemaah dan tercari-cari tandas atau tempat wuduk. Tak tahukan tempat wuduk tiada di dalam Masjid. Tak sempat belajar. Dalam tercari-cari, hanya terlihat tempat minum air zam-zam dan ada sinki berdekatan salah satu ruang solat. Hanya beberapa meter ke belakang. Kami terus ke ruang solat itu untuk lepas letih sebentar dengan tawaf ikut-ikutan sebelum Maghrib. Kemudian, sekali lagi buat keputusan nekad bersama-sama untuk ambil wuduk ditempat minum air zam-zam yang ada sinki itu. Wuduk tetap kena ambil. Saya meninggalkan selipar yang dipegang sekian lama di tiang masjid berdekatan tempat minum dan berserah sahaja. Tidak mahu lagi mengepit ke hulu ke hilir. Waktu mengambil wuduk, kami telah ditegur oleh dua wanita berkerudung, pekerja Masjid  dan hanya nampak kedua matanya. Mereka pembersih kawasan minum tersebut dan sesungguhnya di situ bukan tempat berwuduk. Mereka menegur perbuatan kami. Apa yang dicakapkan, kami tak faham. Faham kami mereka berdua  memarahi kami. Kami hanya mendiamkan diri dan meneruskan usaha masing-masing. Kata orang  ‘buak bodo’. Mengelak dari dilihat membuka aurat, kami mengambil wuduk dalam telekung.  Bayangkan sahaja. Selesai wuduk hati lega.

Saie. Ini tidak diambil pada hari pertama, semestinya.
Kami mengambil tempat semula. Menunggu Maghrib yang sangat hampir. Saya sempat menyatakan perasaan gembira dan syukur kerana dapat kawan untuk menyelesaikan Umrah pada malam itu. Adik tersebut hanya mengiakan dan mengangguk-angguk. Kemudian saya ambil masa merenung segala-galanya. Saya sedari bahawa, saya ditakdirkan memang untuk berseorangan 'menunai hajat' ke Tanah Suci. Itu telah saya terima. Namun saya semacam terlupa bahawa saya mesti benar-benar yakin dengan segala yang telah saya pelajari tentang ibadat Umrah itu sendiri. Saya ditakdirkan pula untuk tidak perlu bergantung pada sesiapa, walaupun mutawwif. Saya mesti sendiri. Cuma adik perempuan itu,  Allah izinkan menjadi  ‘peneman’ saya. Saya kerdil merenung dan merenung. Saya mesti  'yakin sepenuhnya' dengan Allah. Sebut yakin itu mudah, namun biasa secara tidak sedar, perlakuan kita seperti 'tersasar.' Keyakinan tidak bulat. Saya nampak saya 'terlebih bergantung dan berharap' pada sesama manusia. Bermula dari kisah uncang kasut sehingga kepada mahu tawaf dan rukun seterusnya. Begitu juga saya sedar, saya sepatutnya Jamak dan Qasar sahaja Zuhur dan Asar sewaktu di Jeddah. Saya menolak hadiahNya. Walau atas alasan untuk rasmi dengan solat Asar di Tanah Suci. Asar dikatakan waktu amalan harian diangkat. Maghrib pula pemula hari. Saya telah melupakan kemudahan yang Dia sediakan. Akibatnya saya agak kelam kabut dan terlepas mengambil keperluan ke masjid. Saya salahkan diri sepuasnya. Saya ingatkan betul-betul pada diri supaya tidak terlebih bergantung pada sesama manusia. Saya mesti lebih sedar dan teguh 'berpaksi pada tujuan utama saya ke situ'. Saya mesti belajar 'melepaskan semua permasalahan kecil atau besar' yang timbul  untuk Allah menyelesaikannya. Saya mesti tetap ingat saya berada di tempat paling suci lagi mulia di atas muka bumi ini. Setiap perkara dari sekecil-kecil sehingga sebesar-sebesarnya adalah dalam genggaman Allah. Allah menilai perbuatan kita bukan sahaja luaran bahkan detik dalam hati juga. Semua kekalutan adalah berpunca dari diri saya sendiri. Saya menenangkan diri dan terus menerus memujuk hati.  InsyaAllah semuanya akan dan pasti selesai dengan izin Allah dan saya akan baik-baik sahaja.’ Selesai azan berkumandang, kami selesaikan solat. Sempat juga melakukan yang sunat. Ada rasa gembira dan puas terbit ganti segala-galanya. Selesai sahaja solat, kami berkeputusan menunggu Isyak (kerana Maghrib dan Isyak tak jauh jarak) dan akan  mengulang kerja Umrah. Kami isi masa dengan berkenal-kenalan lagi. Usai Isyak, kami terus dengan agenda kami. Saya memilih tidak mahu menyambung pusingan tawaf yang ke-4, tetapi bermula dari awal untuk lebih puas hati. Mengulang semula apa yang sempat dipelajari dari tawaf ikut-ikutan saya sebelumnya. 

Alhamdulillah, bermula dari situ ‘suasana terlihat bertukar menjadi lebih mudah’. Tawaf selesai dengan baik. Nyaman. Keyakinan saya telah wujud kembali dan saya tidak lagi teragak-agak untuk meneruskan saie. Waktu saie, kami beberapa kali berhenti. Teman seperjalanan saya itu memaklumkan bahwa dia pernah kemalangan teruk dan bahagian pinggang mudah terasa  sakit. Saya cuba memahami. Selain kami berdua tak dinafi rasa kepenatan. Maklum, orang lain tawaf 7 pusingan. Kami 14 pusingan. Ditambah saie 7 pergi balik. Sebelum itu sudahlah menempuh lebih kurang 14 jam perjalanan. Hah! Itu pun ada cerita. Ringkasnya kami 2x transit. Di Bangkok dalam lebih sedikit sejam. Di Cairo 3 jam lebih sedikit. Sedarlah manusia merancang, Allah merancang. Tetap akan terjadi adalah perancangan Allah yang Maha Mengetahui yang terbaik untuk dunia dan isinya. Waktu kami bertawaf, jemaah agak ramai. Saya pula selesa merapatkan diri dengan Kaabah (berada dalam pusaran yang sesak). Bagai magnet, ia menarik semulajadi akan hati dan tubuh saya. 

Di Marwah.
Berbalik perihal saie, saya juga masih ingat bahawa saie boleh sahaja berhenti andai perlu. Cuma perlu disambung dari tempat kita berhenti atau lebih baik ke belakang sedikit. Ini mungkin untuk memastikan jarak kita tidak kurang dari sepatutnya. Kami sama-sama mengharung pengalaman menunaikan Umrah pertama. Kepala dan pemikiran saya mengatakan saya hanya akan tenang bila semuanya selesai malam itu. Lengkap sahaja saie, kami selesaikan bertahullul. Di sini ceritanya kami masing-masing tiada gunting. Masing-masing di dalam beg. Namun saya dengan selamba meminta tolong dari seorang wanita yang sedang menolong rakannya bertahallul untuk meminjam gunting. Guna isyarat. Nak bercakap tak tahu bahasa dia. Dia dengan tiba-tiba menyerahkan sahaja gunting pada saya dan berlalu dengan rakan-rakannya. Selesai kami bertahallul, saya menyerahkan pula gunting tersebut kepada orang lain yang ada di situ. Saat itu dunia terasa cerah dan kelegaan dan kepuasan dapat dirasa. Alhamdulillah. Selesai sudah Umrah fardhu atas diri kami. 

Sekarang, kami baru fikir tentang di mana kami nak tidur. Maksudnya kami pasti telah tercicir dari jemaah yang sudah dihantar ke hotel oleh pihak pengurusan pakej. Ini pula kesulitan baru untuk kami. Namun saya tenang saja. Saya seakan tahu semua akan baik-baik sahaja, seperti sebelumnya. Kami pergi mahu mendapatkan selipar saya di tempat saya tinggalkan tadi. Semasa berjalan ada terlihat pekerja-pekerja di masjid itu ada yang menolak  troli-troli berisi terlalu banyak selipar. Saya andaikan itu selipar yang didapati berselerak di dalam dan sekitar kawasan masjid. Hati terasa, mungkin sahaja selipar saya di tiang itu telah tiada. Sesampainya, benar sangkaan saya. Tiada harapan. Teman saya mengatakan rasa hati yang kasutnya mungkin juga telah tiada. Dia letakkan di rak kasut di luar pintu masuk tadi juga tanpa uncang. Mengingat semula. Dia juga saya terlihat bersolat Asar di surau hotel. Sewaktu mahu keluar dari Masjid, kami mengambil sedikit masa untuk memilih pintu. Dua tiga kali ke belakang ke depan saya dibuatnya. Walau adik peneman saya mengajak saya keluar dari mana-mana pintu yang ada kelihatan, namun saya teringat pesan arwah ibu(sekali lagi), "Pintu di sana banyak. Kalau masuk pintu yang itu, keluar pintu itu juga. Susah nak sesat." Atas dasar itu saya sebolehnya mencari pintu utama, King Abdulaziz kerana pasti dari situ mudah mengecam jalan untuk pulang ke hotel yang ditunjukkan siang tadi. Setelah berjumpa, kami ke rak kasut, cuba mencari kasut teman saya. Juga hampa. Kami memang senasib dan dipertemukan kami berdua hari itu. Lantas kami masuk ke dalam masjid semula. Entah atas dasar apa. Tiba-tiba, waktu memandang ke arah tangga untuk ke tempat tawaf, terlihat pekerja dengan troli selipar yang dikutip sebelum ini. Kami menjengah-jengah, mengharap untuk mencari selipar kami masing-masing. Masakan ada. Berlambak selipar getah@selipar jepun dan jenis-jenis lain mahu dimasukkan ke dalam tong sampah besar. Kami seperti meminta izin dari pekerja-pekerja itu. Mereka diamkan saja. Benda bakal dibuang. Kami berpakat mengambil dahulu dengan niat ‘meminjam’. Terasa lepas satu masalah. Seorang dapat sepasang.

Lobi hotel di Mekah.
Kami bersama-sama beriringan keluar semula dari Masjid. Saya syukur jalannya hanya lurus untuk pulang ke hotel yang ditunjukkan siang tadi. Cuma perlu ingat bangunannya. Sesampai di lobi, beg kami dah tiada.  Satu cubaan lagi. Kami tak tahu nak cari siapa. Bertanya dengan pelayan hotel. Masing-masing tidak faham. Bahasa Inggeris dia tak faham. Kami tak tahu Arab. Akhirnya saya teringat yang ada terdengar dikatakan ada pejabat pengurusan di tingkat atas. Bayangkan sahaja waktu itu lebih 11.30pm. Mahu tidak kami mesti naik. Tidak ingat tingkat berapa yang disebut, saya cadangkan kami naik tangga. Sambil naik, sambil tinjau. Itu niat di hati. Saya berdoa supaya ada orang di pejabat. Harap selesai masalah. Apa pun kami masih mahu tidur atas katil malam itu, itu harapan kami. Tak disangka, sekali lagi Allah mempermudahkan, kami terserempak dengan seorang petugas lelaki yang saya ingat mukanya siang itu menolong menguruskan beg-beg kami. Jadi pantas saya buka mulut bertanya dan begini katanya, "Oh! Ini dua orang yang sesat tu". Kami berdua tersenyum dan gelak-gelak kecil. Pekerja itu mengkhabarkan bahawa 'mereka' menunggu kami agak lama. Namun akhirnya menyangka kami berdua tersesat. Saya betulkan sangkaannya, dan beritahu cerita kami yang terbatal wuduk. Kami tidak sesat. Hanya di masjid, tidak ke mana-mana. Bertarung dengan masalah kami. Alhamdulillah, kami dihantar ke tempat yang kami sepatutnya berada dengan menaiki teksi.  Percuma. Lega yang teramat. Bagai dirancang pula, kami sebenarnya ditempat di bilik yang sama. Semua perencanaan Allah. Tiba saja dibilik, setelah bercerita kisah kami kepada ibu teman saya dan seorang lagi rakan yang tak asing (telah kenal dan banyak juga berbual  waktu di Jeddah). Kemudian kami meluruskan tubuh di katil. Malam itu kami berempat tidur dengan nyenyak untuk esok yang waktu itu belum pasti. Tak dinafikan, waktu mahu lelap saya ada rasa mahu ke Masjid semula. Ternampak-nampak Kaabah. Mengharap tetap ada hari esok.




Rabu, 27 Jun 2012

PENGAJARAN TANAH SUCI: KISAH UNCANG KASUT DAN WUDUK(1)


Sebelum ini, ada saya menyentuh perihal persediaan menunaikan Umrah. Nampaknya masih mahu menyambung cerita pengalaman di Tanah Suci. Walau coretan tidak mungkin menggambar kesemuanya, namun ia mungkin berbaloi sebagai perkongsian dan menjadi panduan bagi mereka yang mungkin pertama kali juga mahu menunaikan ibadat tersebut. Sebelum ini saya juga melakukan yang serupa dengan mencari -cari tahu pengalaman orang lain untuk dijadikan panduan. Melalui bacaan kisah-kisah di buku, carian internet mahu pun bertanya secara langsung. Walau ibadat Umrah hanya memakan masa dua minggu atau sedikit kurang dari itu, namun pastinya semua bakal jemaah sebolehnya menginginkan Umrah yang makbul.  Andai mahu menunaikan Haji, inginkan yang mabrur pula. Atau lebih mengingini yang makbul lagi mabrur untuk kedua-duanya. Jadi, tiada salahnya atau ada baiknya kita mengambil sedikit usaha ke arah itu. InsyaAllah niat itu mustahak dan di situ penilaianNya.
 
Hidup ini penuh dengan pengajaran. Adakala dengan mudah kita mengambilnya. Ada masa kita teragak-agak dan tak terkecuali juga ada ketika kita hanya mengabaikannya. Percayalah, di Tanah Suci juga masih begitu. Bahkan lebih lagi. Adat manusia, kita mesti diperingatkan selalu. Peringatan datang dari pelbagai cara, bersesuaian dengan fitrah kita. Hanya Jauhari mengenal manikam. Mungkin ini bukan sebahagian cerita yang biasa, seperti yang semuanya ok. Cerita inilah yang mencorak keseluruhan hari-hari saya di Tanah Suci. Pengalaman dan ‘pengajaran pertama’ yang tak akan dilupakan. Kita tahu bahawa ilmu itu terbahagi kepada teori dan amali. Begitulah juga dalam ibadah Umrah ini. Saya yang asalnya tidak mengerti apa-apa, Alhamdulillah telah dapat menimba ilmu perihalnya. Teorinya sudah ada. Menunggu masa praktikalnya. Namun tak dapat dihindari satu perasaan bahawa masih ada sekelumit rasa ‘bimbang’ dalam dada tentang kemampuan diri dan jiwa dalam berdepan dengan keadaan sebenar bila tiba di Tanah Suci. Selaku manusia yang kerdil, kecil dan lemah hanya mampu berharap dan berdoa agar semua berjalan lancar. 

Suasana di terminal Jeddah. 
Ketahuilah, hanya ketika menerima pertanyaan dari mereka yang dekat dan rakan-rakan tentang siapakah yang bakal menemankan saya ke sana, membuatkan seperti baru tersedar apa yang akan saya lalui. Dari hanya memfokuskan diri untuk Umrah itu sendiri, ada sedikit 'ruang terbuka’ untuk  terfikir akan keadaan berseorangan untuk satu jarak yang jauh dan bakal menempuh banyak perkara yang pertama kali. Oh! Di usia yang mencapai 40, masih banyak juga yang pertama kali, begitu!. Namun dengan rasa  pasrah saya tidak putus-putus mengingatkan diri menurut kata-kata para penceramah kursus bahawa, jemaah adalah jemputan Allah.  Fikir saya, takkan Allah sampai mensia-siakan kami(jemaah) dan saya,  setelah Dia menjemput kami semua  sebagai tetamuNya. Lega. Tak dinafikan hati wanita saya sedikit tersentuh mengenangkan bakal ‘berseorangan’ di sana. Namun sedar saya,  saya tidak ‘keseorangan’. “Aku bakal ke rumah Allah, hanya dia yang lebih berhak memelihara dan menjaga aku, sama seperti aku berada di mana-mana sahaja di atas muka bumi ini. Inikan lagi di rumahNya.”  Saya keluarkan bendera putih. Bukan tanda kekalahan, namun itu tanda usaha akhir pencerahan perasaan dan penyerahan mutlak untuk keselamatan dan keamanan diri dan jiwa saya pada Pencipta. Setiap sesuatu itu berada di genggamanNya.

Walau macam mana hati dipujuk dan dinasihati, ternyata setibanya di Tanah Suci, apa yang ditetapkan pasti akan berlaku. Saya masih ingat bagaimana saya cuba mengingati pesan ibu mertua supaya sentiasa berteman, jangan pisahkan diri dari kumpulan dan sebagainya. Itu pesanan  lebihnya mungkin atas dasar keselamatan, namun untuk saya, hanya fikir perlu panduan dan bimbingan dari mutawwif untuk kerja-kerja Umrah menurut sebenarnya. Hakikatnya, saya ke Mekah, tanpa tahu bagaimana rupa dan keadaan  tempatnya. Belum pun kenal rancangan Jemputan Umrah di Astro Oasis ada menayangkan rancangan yang memaparkan gambaran suasana di sana. Jadi saya memang tiada gambaran langsung. Kosong. Kebimbangan lebih kepada untuk memastikan semua kerja Umrah itu dilaksanakan dengan tertib dan betul. Demi supaya ‘kembara jiwa’ saya tidak menjadi sesuatu yang sia-sia.

Sepanjang perjalanan, Alhamdulillah tiada sebarang masalah. Rakan-rakan seperjalanan juga kelihatan baik-baik semuanya. Mudah disapa. Cerita awal bermula bila penetapan untuk unit hotel menginap ditetapkan. Kami  terpaksa berpecah kepada dua bahagian. Saya tergolong ke dalam 12 orang yang terpaksa di letakkan di hotel lain dari yang asal ditunjukkan pada kami. Alasan yang jelas tidak diketahui. Mungkin kerana ramai. Saya hanya menurut sahaja. Sedaya mungkin tidak mahu ada rasa kurang senang, apatah lagi mahu marah. Cuba jaga adab. Mereka yang telah mendapat bilik di situ terus mencari tempat masing-masing. Kami berada dalam keadaan yang agak suntuk untuk menunaikan Umrah fardhu kami kerana waktu itu sudah lebih 4.30 petang. Maghrib bakal masuk pada pukul lebih kurang 6.20pm (menurut kata mutawwif).  Kami semua telah lengkap dengan pakaian ihram dan niat Umrah ihram. Di sini, saya tak semena-mena semacam jadi panik. Untuk saya ini sesuatu yang di luar perancangan. Menurut mutawwif 12 orang selebihnya itu hanya akan ke hotel setelah pulang dari masjid. Menurut aturmasa bertulis diberi, kami akan berpeluang naik ke hotel dahulu sebelum ke Masjid, hanya untuk melepas sedikit dari keletihan perjalanan dan  memastikan persediaan ke Masjid dapat dibuat. Saya juga telah dengan sengaja tidak Jamak Qasar untuk Zuhur dan Asar dengan niat mahu ‘simpan’ solat Asar untuk dibuat di Tanah Suci, iaitu di hotel sahaja.

Beg-beg kami yang 12 orang hanya mampu diletakkan di lobi hotel pertama tadi. Dikhabarkan hanya selepas Umrah baru dihantar kami semua 12 orang ke hotel sebenar kami. Saya ada cemas kerana masih belum Asar. Namun kami tetap diberi waktu untuk Asar. Sewaktu yang lain sibuk mencari bilik masing-masing, saya dan sebahagian kecil yang lain selesaikan solat Asar di surau hotel tersebut.  Syukur sempat lagi. Setelah selesai solat,  saya turun ke lobi dan sempat berbicara dengan seorang  rakan jemaah dan tersedar yang saya tidak teringat untuk mengeluarkan uncang kasut dari dalam beg saya.  Ini menambah lagi rasa kurang senang dalam hati. Sedikit menyalahkan diri (atas sebab tergesa-gesa), selain terbit juga rasa kesal kerana kami tidak dapat naik ke hotel. Masakan saya mahu membuka beg pakaian dihadapan orang ramai di lobi. Segan isi beg terlihat pada yang lain. Namun jemaah yang saya berbual itu sempat mengambil uncangnya sewaktu saya kerjakan solat Asar, ketika tidak ramai orang. Saya lalukan sahaja perasaan tersebut dan kami terus bergerak. Perasaan. Bercampur-baur. Sedaya-upaya memikirkan Kaabah dan Umrah. 

Kami telah diperingatkan bahawa hanya ada masa lebih kurang sejam sebelum Maghrib dan sebaiknya kami disaran selesaikan 7 pusingan tawaf dan menyambung saie dan tahallul selepas Maghrib. Atas dasar ‘pertama kali’', kekalutan menerpa tanpa dapat dielakkan. Saya terfikir-fikir apakah cara saya nak membawa selipar sambil saya bertawaf. Saya telah menukar dari sandal ke selipar sarung sewaktu di Jeddah. Saya ada terniat mahu ‘menumpang’ uncang rakan jemaah yang beriringan dengan saya tadi, namun hanya sekadar ‘hint’ kepadanya. Andai dia faham maksud dan menawar pada saya menyewa uncangnya, saya sanggup membayar dengan membawa uncang tersebut sepanjang Umrah sebagai tanda terimakasih. Ternyata dia tidak endah dan kelihatan keberatan. Dia seorang jemaah yang bersama-sama dua ahli keluarganya ke sana. Sebaliknya dia menyuruh saya membawa bersama-sama dan memegang selipar tersebut dengan sambil bertawaf. Katanya tiada salah. Terpaksa.

Saya sedikit kecewa. Saya juga sedar dan membayangkan andai kehilangan selipar itu, sulit juga. Berkaki ayam???. Saya dengan lurus juga membayangkan jemaah itu memberi  nasihat umpama arwah ibu saya, kerana usianya. Lalu memilih menurut sahaja cadangan tersebut, walau hati sedikit gelisah. Saya tidak langsung mahu meninggalkan selipar di tempat meletak kasut kerana mengingatkan pesan beberapa kenalan, terutama Allahyarhamah ibu bahawa kasut mudah tidak ditemui semula andai tidak dibawa bersama-sama.  Saya tidak merasa itu sesuatu yang berburuk sangka, cuma rasa mahu menurut nasihat dan lebih berhati-hati. Seterusnya, bersama-sama sambil bertalbiah, kami dengan penuh perasaan berjalan dalam kumpulan menuju Kaabah. Perasaan hanya Allah yang tahu. Labbaikkallah hummalabbaik!  Itu lafaz kami ulang-ulangi. Sesungguhnya segala keletihan, kelesuan dan apa sahaja dalam dada dan fikiran telah diganti dengan bayangan Kaabah….Kami menuju kiblat kami, kiblat kita hamba Allah, umat Rasulullah. 

Pintu utama. King Abdulaziz
 Kami di bawa masuk melalui pintu utama. Dipanggil pintu King Abdulaziz. Saya masuk bersama-sama dengan jemaah lain ke masjid, diketuai mutawwif. Berbeza saya dengan yang lain, terkepit sepasang selipar di tangan kiri. Selipar tersebut tapak ke tapak kedudukannya. Khas dibeli untuk Umrah. Memang tidak kelihatan sebarang kekotoran, selain saya berlagak  biasa-biasa sahaja. Selepas menurut ‘semua yang patut’ setelah melangkah di dalam masjid (tidak diceritakan perihal pertama kali menatap Kaabah—untuk tidak lebih panjang. Momen itu memang syahdu. Bagai mimpi indah), kami menurut mutawwif untuk memulakan tawaf. Di sini sekali lagi, saya terfokus lebih pada mutawwif. Penuh kebimbangan andai terlepas dari jemaah. Maklum jika terlepas, bukannya mudah nak dicari dan bagaimana dengan turutan ibadat Umrah yang selebihnya, iaitu saie dan tahallul. Saya masih beriringan dengan jemaah wanita yang asal bersama saya tadi. Kami memulakan bertawaf beriringan dan bersama-sama dengan jemaah lain. Pusingan 1, 2 dan 3 saya ok sahaja. Namun sempat juga saya terdetik, “Apalah aku....., tawaf dengan mengepit sepasang selipar.” Membawa beg sandang berisi barangan penting dan menggantung uncang kasut dilengan adalah biasa. Mengepit selipar, mungkin hanya saya seorang waktu tersebut. Teruk sungguh rasanya atas diri sendiri!

Mahu dimulakan lagi cerita atas ceritanya, sampai ke pusingan 4, saya tiba-tiba rasa ‘semacam terbatal’ wuduk. Tawaf tidak boleh tiada wuduk. Tidak sah. Saie tak mengapa. Namun timbul was-was dan rasa seperti ya atau tidak. Mungkin kerana asyik dengan Kaabah itu sendiri. Hati berbolak-balik. Apakah ‘keluar angin’ itu hanya perasaan atau benar. Was-was menyerang. Saya seterusnya menurut sehingga pusingan ke 7. Semata-mata untuk bersama-sama mutawwif dan jemaah. Namun saat berbolak-balik itu saya telah merasa mahu mengulangi tawaf. Tidak keluar dari pusingan kerana tidak pasti macam mana dan nak ke mana(ambil wuduk). Saya gagahkan menuruti jemaah selesai bertawaf dan kemudian mengikuti cara bagaimana mahu keluar dari pusingan. Memang ada caranya, supaya kita tidak dilanggar atau dirempuh mereka yang sedang masih tawaf.

Keluar sahaja saya mencari seorang lagi kenalan yang lain dan sengaja mengkhabarkan telah batal wuduk dan mesti mengulangi tawaf. Tujuan saya sekurang-kurangnya ‘ada yang tahu tentang saya’. Saat itu saya sedar, saya ‘berseorangan’ dalam urusan saya namun tetap tetap yakin tidak ‘keseorangan’ kerana tahu Allah itu dekat dengan hambaNya dan lebih dekat dari urat leher hambanya. Saya nekad untuk mengulang tawaf dan melaksanakan semuanya ‘sendirian’ setelah selesai solat. Waktu itu ada jarak masa lagi untuk masuk maghrib.  Tidak mahu fikir apa yang bakal jadi tentang berseorangan di situ. Tak fikir lagi soal mahu berteman dalam kerja Umrah dan hotel menginap di mana dan apakah pulang tanpa selipar. Tekad untuk betulkan ibadat. "Apa nak jadi, jadilah. Tanggungan ihram harus saya lepaskan dengan sebaiknya, ikut kemampuan". Itu kata hati. ---sambung---

Isnin, 18 Jun 2012

BERLALUNYA CINTA MASJID BERSAMA TV AL HIJRAH DI SHAH ALAM


Sabtu lalu, dek kerana telah beberapa kali terlihat promo perihal 'Cinta Masjid' di TV Al Hijrah saya mencadangkan kami berlima ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Ambil sahaja kak Aisyah balik kelas tambahan, kami lekat dengan pelan asal iaitu menziarahi kubur, lantas terus  kami ke Shah Alam. Mmm...sekali lagi di sini, sekitar sini. Sedikit sebanyak mengimbau kenangan. Sampai sahaja di perkarangan masjid dapat rasa lebih tenang dan selesa. Kelihatan kami tiba semacam awal. Belum begitu ramai pengunjung. Kami dahulukan mana yang patut.
Ini pintu masjid di tingkat atas. Melihat pintu masjid terbuka sebegitu, nyata seakan-akan mengalu-alukan pengunjung untuk memanfaatkannya. Melihat pula kepada 'pintu hati' sendiri. Oh! apa pintu masjid itu lebih baik lagi. 'Pintu hati' ini ada masa terbuka dan terkatup menurut angin bertiup. Memilih-milih masa dan ketika. Memilih-milih sebab pun ada. Nyatanya, 'daun pintu hati' harus lebih kukuh terdidik menahan tolakan dan hentaman angin dari luar dan dalam.
Kami meninjau di ruang di mana rancangan langsung TV Al Hijrah di buat. Waktu itu hanya ada pentas kosong dan kelihatan pengunjung bersantai di sekitarnya. Terdengar juga suasana meriah dengan anak-anak kecil yang seronok bermain. Tak terkecuali askar kami,  yang paling muda. Ibarat tak cukup kaki berlari ke sana ke mari."Majid, majid". Itu laungan dia sebaik sampai di parkir kereta sebelumnya.
Kami keluar pula meronda di sekitar keliling masjid, melihat-lihat apa yang ada. Terdapat banyak gerai-gerai jualan sementara. Tersangkut seketika di gerai buku-buku. Namun menahan diri kerana masih 'ada beberapa' yang perlu dilayan sebelum mendapatkan yang baru.
Kami sempat tinjau 'booth' Al Hijrah. Terlihat pengacara, saudara Amin Idris dan rakan sekerjanya yang juga rasanya pengacara Majalah Islam seperti sedang 'melayan' acara ujibakat untuk pengunjung yang berminat. Kami membuat satu pusingan di kawasan penjaja. Meninjau pula apa ada untuk mengisi perut.  Tak banyak yang tinggal di gerai penjaja makanan. Di bawah tempat kami makan.

  
Ini warung di Seksyen 2. Pekena Kue Teow Kung Fu di sini. Lainnya memilih hidangan masing-masing. Bergegas balik ke masjid kerana hampir maghrib. Walau asalnya tak merancang untuk berada di sini hingga malam, namun itulah yang kami lakukan. Semata-mata mahu bersama-sama siaran langsung Selangor Berselawat. Kakak-kakak 'insisted' mahu melihat.

Ini suasana waktu 'rehearsal' siangnya.
Ini persekitaran waktu 'rehearsal' berlangsung. Pengunjung mulai bertambah.
Ini waktu siaran langsungnya. Waktu ini hadirin memenuhi ruang depan sekitarnya. Kira penuh. Diakui seronok beramai-ramai berselawat sambil mendengar dan mengalunkan Qasidah. Paling lagi mendengar kisah sirah Nabi dalam bentuk alunan suara bersama paluan mudah alatan muzik yang bersesuaian untuk membangkitkan rasa rindu, syahdu dan semangat dalam usaha menghayati sejarah hidup, perjuangan dan sifat kasih mesra lagi penyayangnya Rasulullah pada umatnya.


Ini adalah naskah yang diedarkan oleh pihak pelaksana majlis. Di dalamnya mengandungi beberapa Qasidah. Qasidah Iftitah, Qasidah Assalamualaik, Qasidah Ya Hanana dan Qasidah Solatun Bissalamil Mubin sempat saya tunggu. Namun untuk Qasidah Mahalul Qiam yang terakhir dalam aturcara ini, saya terpaksa berundur kerana askar kecil dah tak boleh menanti lebih lama. Jadi kami pulang dengan memori baru dalam diri. Kakak-kakak berkenan dengan Qasidah Ya Hanana. Masa di sana lancar mengikut. Sekembali di rumah dah lupa irama dan nada. Nampak sangat tak biasanya!

*Apa yang paling saya ingat di situ, adalah dikatakan bahawa sesungguhnya 'Nur' Rasulullah s.a.w telah diciptakan 2000 tahun(tak silap telinga mendengar hendaknya) sebelum kejadian penciptaan Nabi Adam a.s. Lantas 'Nur' tersebut dimasukkan sekali bersama-sama ke dalam penciptaan Nabi Adam a.s. Masa demi masa 'Nur' tersebut berpindah dari sulbi para Nabi yang mulia itu, ringkasnya (Adam-Nuh-Ibrahim-Musa-Isa) juga ditumpahkan dan terpelihara pada rahim-rahim yang suci lagi bersih pula sehinggalah tiba masa Rasulullah itu pada hari kelahiran dan kebangkitannya. Itu juga sebagai petanda Kiamat akan hampir tiba. 

Saya semakin jadi jelas. Sebelum ini sering kita dengar Rasulullah itu rahmat sekalian alam merangkumi yang lepas, sekarang dan akan datang. Baginda Kekasih Allah penuh keistimewaan dan maqamnya begitu terpuji melewati yang lain di sisi Allah. Pemegang kunci syurga. Pemberi syafaat pada umatnya. Jadi, penceritaan di situ menjelaskan pada akal waras saya akan keselarian terhadap apa yang didengari dan diketahui sebelum ini. Hakikatnya Baginda sebagai Insan Paling Mulia dan ketinggian martabatnya serta betapa istimewanya kita sebagai umat kepada Baginda. Bertuah namun sering kita palingkan darinya. Maha Suci Allah lagi Maha Teliti dan Halus penciptaan dan kejadianNya.








Selasa, 12 Jun 2012

SONY DSC-W630 RAKAM KETAKUTAN BERCUTI DI PORT DICKSON

Sesampai di unit menginap, pasti ke balkoni melihat 'view'. Pemandangan tegak menghala ke laut. Ini adalah 'view' dari ke kanan. Kelihatan air masih surut namun langit tetap dengan keindahannya.

Melihat ke kanan, mesti melihat ke kiri juga. Ini 'view' dari sisi kiri. Apa bumbung terlebih buat di situ? Nanti cerita di bawah. Harap sila terus membaca.


Tidak berehat lama. Oleh sebab hanya ada semalam dan sehari di sini, kami telah keluar untuk makan dah lewat sedikit dari tengahari. Sepanjang pergi, makan dan balik dari makan, 'krew-krew' menengah dan rendah dah bersuara. Bimbang terlewat nak ke 'swimming pool'. Maklum dah lebih 4 petang. Tiba saja di unit kami terus bersiap dan bertolak ke 'pool'. Melepasi sambungan sebuah blok 'apartment' lain baru kami tiba di kawasan 'pool'. Kurang lebih dua jam menunggu. Elok 7p.m 'pool' ditutup dan kami balik ke unit. Gambar di atas di ambil waktu hampir maghrib. Itulah arah 'kiblat'. Arah matahari terbenam. Keluar satu lagi keindahan. Ini saya suka.
Tidak terlupa!. Ini dirakam sewaktu saya menunggu 'krew-krew' yang bertiga berendam di 'pool'. Pemandangan ini betul-betul berdepan dengan Corus Paradise Apartment. Memang cantik. 'Lagoon' itu tarikan utama di sini.
Untuk lebih jelas perihal unit yang kami menginap, ini pemandangan dari sebelah belakang. Sebelumnya arah ini menjadi pandangan dari arah kanan unit kami. Ini saya ambil sewaktu berjalan-jalan berhampiran 'lagoon'. Memang cantik kawan berhampiran 'lagoon' ni. Kali pertama menginap sekitar sini. Blok yang paling kanan itu tempat kami. Tingkat 3. Di panggil Lagoona Paradise Apartment. Lebih kuranglah tu. Ia tidaklah seindah Corus Paradise Apartment (bangunan ke kiri warna coklat). Bangunannya agak lama sedikit. Namun dikatakan ia dibawah seliaan yang sama. Kerana itu 'pool'nya masih berkongsi. Cuma atas dasar lama dan baru. Cantik dan kurang cantik. Saya perasan blok kami menginap kurang sedikit diselenggara. Lagi pun unit-unit ini dikatakan milik persendirian dan banyaknya diserahkan pada agen-agen untuk disewakan. Itu beza dengan Corus Paradise Apartment. Mungkin......(ada berbual dengan peniaga makanan tentang ini). Kami menyewa yang ala-kadar. RM230 semalam. Melalui agen Agoda. Ada satu bilik besar dengan satu 'double bed' dan satu 'single bed'. Satu bilik lagi ada dua 'single bed'. Bilik air berkongsi hanya sebuah. Sebelum ini beberapa kali ke Sri Bulan Apartment dan Bayu Beach. Ternyata pengalamannya berbeza-beza.
Ini pandangan dalam ruang unit menginap kami. Dari luaran saya gredkan ia sederhana, begitu juga dalamannya. Apartment biasa sahaja. Pemandangan di balkoni saya gredkan sebagai baik. Maklum sebelum ni tak pernah nampak 'lagoon' ni walau beberapa kali ke Port Dickson. Sebab tak menyewa sekitar sini.

Ini 'view' pagi hari. Waktu subuh hampir tamat. Hampir syuruk. Indah. Tenang. Sesuainya solat sunat Isyrak. Syukur dapat lihat pagi. Ini kerana malam sebelumnya, saya dan 'rombongan' ini telah diuji sedikit dengan ketakutan. Ceritanya, waktu masih dalam maghrib, kedengaran bunyi pelik. Saya tahu ia seakan bunyi angin bertiup. Namun lain sedikit dari yang biasa didengar. Makin lama semakin ngeri bunyinya. Makin berdesing. Sehingga kami mencari-cari apa alatan yang kemungkinan ada kerosakan di dalam unit. Nyata memang bunyi angin. Sedikit seperti bunyi mesin basuh kain sewaktu dikeringkan. Sewaktu meninjau ke luar, kelihatan pokok-pokok di atas jalan meliuk-lintuk seakan mahu patah. Memegang pintu saja hampir terlepas tombolnya. Timbul juga bimbang dalam hati. "Di tepi pantai, hampir dengan laut, menghadap laut. Oh!......ada bayangan kurang menyenangkan".  "Usah ditakutkan anak-anak...." Bersuara Tuan rombongan. Saya ke balkoni dan dapat melihat ombak-ombak kecik dengan bunyi keras agak kerap menghempas diri. Angin bertiup agak kasar menghentam kulit. Berhimpun di dalam. Hanya mampu berdoa untuk keselamatan. Syukur, semua kembali biasa. Tidur kami dalam aman.

Saya jangka ini kesan pukulan angin malam sebelumnya. Diimbas dari gambar hari sebelum tak kelihatan tiang lampu berbaring seperti ini. Cuma ada sebatang tiang yang terlihat condong. 



Kami makan pagi juga di luar. Makanan yang menjadi bekal hanya ringan-ringanan. Jadi untuk yang berat, mencari peniaga makanan berhampiran. Selesai makan awal dan mengulang sesi 'pool' untuk kepuasan maksima 'krew-krew' yang masih ketagih air. Sempat juga ke laut yang terdapat di sebelah belakang dan ke kanan dari 'pool'. Kami meyinggah dan 'mereka' merasakan kulit dengan masinnya air laut. Tinggal kering hanya saya dan anak kecil ini. Dia masih belum mampu memberanikan diri dengan air yang banyak. Di 'pool' juga begitu. Paling berani setakat membasahkan pinggang ke kaki masuk ke dalam 'pool' dalam hanya beberapa minit. Seperti tiada minat di situ.  Apa yang sedang dibuat adalah kesukaan dia. Bermain dengan meneroka apa sahaja yang ada di tempat dia berpijak.
Selesai di laut. Balik semula ke kolam untuk sesi terakhir. Langit yang cerah itu tandanya hampir sangat tengahari. kami bakal 'check out' 12 tengahari. Jadi bilas badan di sini sekali lagi. Untuk setengah jam terakhir di sini.

Ini diambil sebelum bertolak dari kawasan 'lagoon' ini. Deretan pokok kelapa itu kemas dan mengindahkan sekitarnya. Tidak lengkap andai tiada. Begitu Allah melukis pemandangan di sini. Walau manusia yang mengilhamkan untuk menjadikannya sebegitu demi daya penarik. Hakikatnya, Allah yang membenarkannya untuk ia tercipta sebegitu. Akal merekacipta pada manusia itu pemberian Allah dan ia juga yang membezakan antara manusia dengan ciptaan lainnya. Maha Suci Allah, Pencipta sekalian alam......
 

Khamis, 7 Jun 2012

SEDIA, KESEDIAAN DAN PERSEDIAAN UMRAH


Assalamualaikum. Berbicara tentang kerja Umrah mahupun Haji, pasti diterjah benak kita dengan satu persoalan utama. Bunyinya, “Dah bersediakah?”. Entah mengapa, hati dan diri mengarah semula kepada persoalan ini. Berkisar soal Umrah. Nak cerita Haji. Belum rezeki. Sebetulnya siang tadi tertonton rancangan Jemputan Umrah 2011 di Astro Oasis. Lantas, hati ini digamit sedikit kerinduan pada tempat tersebut. Mungkin saja ia kesan dari doa Nabi Ibrahim yang telah dinyatakan dalam surah Ibrahim ayat ke 35 bermaksud “Dan (ingatlah) tatkala Nabi Ibrahim berkata:“Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri Mekah ini aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala”.

Langit dilihat sangat indah. Terang dan jelas. Tiada awan. Hanya membiru indah. Bagaikan poskad gambar ini. Di situ khabarnya naik dan turun para malaikat. Membawa amalan hamba-hamba tetamu Allah. Kunci amalan itulah 'ikhlas'.
Ternyata,  Allah memakbulkan doa Nabinya. Mekah itu memang aman. Selain kata-kata tidak menyembah berhala itu lebih mengarah tidak sesekali menyekutukan Allah. Menduakan atau lebih dari itu. Tauhid yang sebenar. Bila sebut aman usah kita tafsirkan bahawa lahiriahnya 100% begitu. Asal sahaja kita berada di tempat yang bukan asal-usul kita pasti perlu ada sikap berhati-hati atau waspada. Usah terlebih lagak dari penduduk tempatan. Bimbang mengundang susah. Selebihnya tawakkal pada Allah. Hatta di negara sendiri juga jenayah sukar dibendung dan makin gawat. Namun aman yang dinyatakan lebih bertumpu pada aman secara ‘rohaniah’. Berada di suatu tempat yang dikatakan rumah Allah. Selain berdekatan Ka’bah yang menjadi pusat ibadat sekaligus Kiblat umat Islam, memang mendatangkan suatu ‘rasa kelainan’. Tidak mahu berlebihan mengatakan ia, namun itulah dia rasa. Sesuatu yang tidak tergambar. Abstrak. Hanya pengunjung yang diberi rasa dan Tuhan pengurnia rasa sahaja yang tahu.

Berbalik pada soalan perihal sedia, kesediaan dan persediaan. Ini memang perlu kita beri perhatian. Selalu disebut ‘tak sedia’ sebagai ‘tak sampai seru’. Ini seperti disanggah oleh pemberi kursus umrah saya. Dikatakan tak wajar kita berkata sedemikian. Katanya bertepatan dengan Surah Al Hajj ayat 26 dan 27. Membawa maksud:

 ‘Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Ka’bah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “ Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Ka’bah ini) bagi orang-orang yang tawaaf, dan orang –orang yang berdiri dan yang ruku’ serta yang sujud (mengerjakan sembahyang). Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang unta yang kurus(kerana jauhnya perjalanan), yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”
 
Atas dasar itu, pemberi kursus dalam nada sedikit berkomedi mengatakan bahawa Nabi Ibrahim sendiri mungkin sahaja kehairanan kerana dia menyeru pada tempat yang tiada orang asalnya. Padang pasir. Namun perintah Allah tetap dilaksanakan dan seruan tetap ‘dilaungkan’. Seruan Nabi Ibrahim pada waktu itu, hakikatnya telah disampaikan Allah ke segenap pelusuk dunia. Sehingga menembusi dinding-dinding rahim para ibu yang mengandung. Jadi makmurlah Mekah dengan sebab seruan dan doa Nabi Ibrahim. Saya selesa setuju dengan pemberi kursus. Masuk dan tepat penerangannya. Sehingga kini, sekarang berbondong-bondong manusia mahu ke Mekah. Walhal kita tiada pun zaman Nabi Ibrahim. Itulah mukjizat Al-Quran. Menceritakan yang lepas, yang sedang dan akan terjadi. Meliputi sepanjang zaman. Andai sebelum ini dikatakan hanya ramai pengunjung musim Haji. Tidak lagi, ada masanya Umrah sahaja sebanding Haji ramainya manusia di sana. Dikatakan juga kawasan perkarangan Masjid itu bakal diperluaskan lagi. Ini kekuasaan Allah. Janji Allah tetap benar dan pemeliharaanNya sebaik-baik pemeliharaan. Mekah bumi suci dengan pemberian Allah. Itulah ‘magnet’ utama yang menarik manusia ke sana. Mereka yang termaktub dengan jemputan Tuhannya. Bila Tuhan menjemput, tiada yang mampu menghalang. Bila Tuhan tidak menjemput, buat bagaimana pun, tak terjejak lagi kita ke sana. Itu zahirnya. Namun semua ada sebab dan musabab. Asbab hati mengarah kepada kemahuan, Allah Maha Mengetahui dan pintu itu akan dibukanya dan jalan itu dihamparkan buat kita. Mahu tidak melangkah. Itu juga perlu kekuatan. Mesti juga melepasi rintangan. Usah hairan andai segolongan yang asalnya dilihat tiada kemampuan dari segi kesihatan mahupun  kewangan asalnya, setiba-tibanya sampai di hadapan Ka’bah (dengan kesihatan dan tanpa berhutang, berbekal hati yang rindu...) bersujud pada penciptanya dengan penuh syukur. Usah hairan juga andai ada segolongan yang terlebih mampu dari segi kewangan, namun terhambat dengan kesibukan seolah terikat kaki dan tangan dari berkunjung ke Ka’bah untuk bersujud pada Tuhannya, lantas terkurang syukurnya. Itulah yang dikatakan ‘tetamu jemputan’. Kad undangan khas atas nama jemputan, tak terlihat dengan mata kasar. Berbalik pada pegangan bahawa andai Allah memberi, tiada yang mampu menghalang dan andai Allah menahan, tiada yang mampu melepaskan. Jadi, kita selaku hamba kemampuan kita hanya berusaha dan berdoa. Didahulukan dengan pasak niat dan kemahuan ke arah itu. Masa dan ketika, itu ketentuan Allah. Selaku hamba, turutkan sahaja. Pasrah dan berserah.

Mungkin kita telah melepasi kisah ‘sedia’. Niat, usaha dan doa. Itulah sedia juga kesediaan. Persoalan persediaan. Ini lagi satu penting. Untuk ibadat, ilmu amat penting. Usah bimbang andai tidak tahu sepatah apa pun perihal ibadat tersebut. Pastikan kita mendaftar dengan adanya jangkamasa untuk mengikuti kursus Umrah tersebut. Untuk yang pertama kali, pastikan tidak cukup sekali hadir. Paling kurang 3X dan jika mahu lebih mungkin ada baiknya. Itu bergantung juga pada penyedia pakej. Soal dan selidik dahulu. Untuk saya sebelum ini, amat bersyukur sempat hadiri 4X kursus. Direzekikan pula berganti-ganti penceramah. Jadi ilmunya walau ada yang sama(biasanya berlainan), namun penyampaian lain dan penerimaan makin lebih. Percayalah, dengan niat yang kuat dan semangat mahu beribadat dari ‘kosong’, anda akan mampu memahami keseluruhan perjalanan yang bakal ditempuh. Ingatkan sahaja, kita bakal tetamu Allah dan mahu bersedia dengan tatacara dan tatatertib di sana. Usah kita memperlekehkan kursus yang diberi. Fokus dan serap. Bimbang tanpa cukup ilmu dan kefahaman,  silap gaya, kita ‘ditegur’ Tuan rumah kerana kesilapan diri. Disitulah pendedahan diberi dan kefahaman kita mahu duperkukuhkan. Dari situ juga keyakinan dibentuk. Menunggu untuk diamalikan setiba di Tanah Suci. Catatan dan nota juga diambil serba sedikit. Andai penyedia pakej menyediakan buku panduan dan rujukan untuk peserta pakej, itu lebih baik. Manfaatkan.

Selanjutnya persediaan lahiriah pula. Dari segi pakaian dan sebagainya. Biasanya penyedia pakej juga akan memberi panduan dan peringatan. Saya menerima dalam bentuk senarai semasa sibuk menanyakan persoalan apa keperluan yang biasa mesti ada pada penjual di hadapan bangunan berkursus. Jika tak bertanya, takkan tahu. Jadi dari situ kita anggarkan bagaimana untuk menyediakan apa sahaja yang penting lagi mustahak. Persediaan rohani dan jasmani telah terungkai dari pengalaman kecil saya.

Rasanya boleh tutup(setakat ini) sudah bicara soal sedia, kesediaan dan persediaan ke Mekah ini. Sekadar sedikit meringankan rasa dalam dada……Alhamdulillah.