Selasa, 11 Disember 2012

PEREMPUAN NAN BERCINTA KARYA DR FAISAL TEHRANI

(Ini adalah sebuah entri yang tertangguh cetakannya)

Kesekian tempohnya Perempuan Nan Bercinta milik saya beratur tegak di rak buku, maka dengan ketetapanNya, baru saja mampu menelaahnya. Walau sebelum ini pernah mulai membaca, namun terasa tiada kesungguhan. Lantas,  pembacaan 'tanpa jiwa' itu terhenti begitu sahaja. Tanpa mengingat di mana matinyanya bacaan tersebut.
 
Gambar pinjam
Hakikatnya membaca ini memang perlu dengan jiwanya sekali. Bagaimana menghadirkannya? Oh! Itu kena rujuk sikit maksud pada motif membaca. "Rabbizidni i'lman warzuqnilfahman" bermaksud, Wahai Tuhanku, kurniakanlah daku ilmu dan rezeki kefahaman.Terkait waktu zaman belajar saya terdorong mengamalkan beberapa doa-doa sebelum belajar. Antaranya seperti biasa "Rabbishari sodri wayssirliamri wahlul'uqdatammillisani yafqahu qawli" dan bersambung dengan "Allahummaftaha'laina hikmataka wansyuralaina minkhazaini rahmatikaya arhamarrahmin" Tidak cukup dengan itu disambung pula dengan "Fafahamnaha Sulaimaana wakullanataina hukmaw wal'ilma wasakhharna ma'aDaauudal jibalayusaabih nawattaira wakunnafaa'iliin.Ya hayyu Ya Qayyum mu ya Rabba Musaa wa Haarun na warabba Ibraahiim ma wa yarabba Muhammadin s.a.w ma waalaihimajmaiin. Allahummarzuqnil fahma, wal'ilma, wal hikmata, wala'qla birahmatika yaarhamarrahimin"(ini panjang sikit. Namun ia ternyata menambah inspirasi - kena tahu terjemahannya dan masukkan ke hati).
Untuk  itu, walau tanpa didikan formal untuk bahasa Arab, kita masih mampu menanggap sekali lalu maksud keseluruhannya doa tersebut. Satu bahagian jelas kita memuja muji Allah, kemudian jika boleh dikata umpama bertawassul* dengan utusan-utusan Allah sehingga akhirnya menyimpulkan permintaan kita kepada Allah. Lihat saja perkataan fahma(faham), 'ilma(ilmu), hikmata(hikmah), a'qla(akal). Kesemua itu diikat dalam satu bunjut  dengan memohon agar Allah merahmatinya untuk si pembaca. Nah! Pada siapa lagi selayaknya kita meminta? Bukan pada yang lain, ternyata hanya pada Allah. Biasanya selaku remaja pada jalur persekolahan yang menumpu lebih pada  akedemiknya, kerja hafal menghafal ayat dan doa seolahnya kelihatan hanya khusus untuk para Hafiz dan Hafizah. Ada baiknya, tanpa paksaan(pasti didahului dengan pendedahan dari para Ustaz dan Ustazah dan guru-guru yang ingat dan mengingati), demi satu pergantungan pada yang tiada lain hanya Dia, dengan rasa sedar dan rela hati  kita perlu berusaha terus menghafal dan cuba mengamal doa-doa yang diperlukan. Hanyasanya  hati terbit rasa percaya dan yakin sebab rasa dan tahu kita menjadi lebih tersusun. Walau boleh saja doa dalam Bahasa Melayu.  Kesannya, walau 'dasar kesedaran spiritual menjurus pada keagamaan' tidaklah begitu hebat, namun 'dorongan' penyerahan pada Ilahi itu 'vital' untuk suatu kemampuan demi mencari ilmu In Sya Allah akan didatangkan kemudahan dan kefahaman  dan dengan harapan akan mendapat bimbingan dari Allah.
"Orang kafir tak baca doa 'macam kita' pun pandai juga, bahkan nampak menonjol dari segenap sudut dari kita". Persoalannya kita adalah Muslim. Sebaliknya diketahui agama-agama lain juga ada cara dan gaya masing-masing dalam menyembah dan bermohon demi hajat masing-masing. Tak payahlah pula nak semak kepala apakah doa mereka lebih baik nescaya mereka lebih berjaya dan seterusnya.........Jadi, pentingnya adalah  berbaliklah kita pada diri kita seadanya fitrah mukmin. Mereka dengan agama mereka dan kita tetaplah pula dengan agama kita. Merenung dalam diri kita. Kita mungkin kelihatan sihat tubuh badan dan sempurna akal fikiran, namun belum tentu mampu menguis lalat bertenggek atas hidung bila tiada izinNya. Lihat sahaja pada seorang jejaka yang kacak namun bisu. Mungkin dari segi kedoktorannya mengatakan begitu dan begini. Dari segi hakikatnya ia adalah kerana Allah mengkehendaki begitu jadinya. Ketetapan, penentuan, penyusunan, perancangan sebut apa sahaja istilah, ia milik Allah.  Termaktub dalam Qada' dan Qadar. Tersebut juga bahawa doa itu senjata dan mampu mengubah sesuatu keadaan kepada sesuatu keadaan yang lain. Jadi usah terkejut pula jika Allah mahu memberi suara pada sibisu. Jadi segala doa dan amalan doa itu tidak lain adalah untuk meletakkan selayaknya diri kita sebagai ciptaan kepada yang Mencipta. Sebagai hamba kepada Tuan. Hamba yang memohon dan menyerahkan pula pula bulat-bulat keputusan permohonan itu kembali kepada Tuannya dan menerima sahaja apa hasil permohonan tanpa sebarang persoalan terhadap hasil. Permohonan itu wajar berterusan dan tanpa jemu. Janji Allah, setiap doa itu akan dipenuhi. Cuma bila dan di mana, bukan persoalan manusia. Itu definasi doa. Jadi nyata doa itu 'senjata rohaniah' yang berkuasa.
Wow!......Dah berapa kilometer berlari. Mengah dengan omongan perihal doa. Balik pada Perempuan Nan Bercinta. Semuanya ada 30bab. Saya benar-benar mengambil masa saya. Sikit hari nak 2 minggu menyudahkannya. Lama tuu.... Tidak berniat nak beri sinopsis, sekadar mencoret serba sedikit dari hasil pembacaan dan sedikit pandangan. Ternyata novel ini membawa bersama-samanya isu yang dapat dilihat berat pada kita. Bermula dengan watak Idora, wanita yang mempercayai bahawa dirinya nyata sibuk memperjuangkan 'hak asasi' kaum sejenisnya. Seorang wanita asal Melayu mengaku femenis  dan masih kekal Melayunya namun semacam telah terhakis darinya 'akar penting' dari Melayunya itu, iaitu Islam itu sendiri. Bagaimana Idora ini begitu terasing dan berseorangan dengan perjuangannya bila dibandingkan dengan ahli keluarganya yang lain. Idora hanyut dengan organisasinya, Modest Women Oriental (MWO). Perjuangannya nyata menjurangi dirinya dari Nenda, Bonda, terutama adiknya Zanjabila. Dari segi pegangan dan nilai. Idora memilih jalan sendiri. Atas sebab-sebab tertentu. Begitu di tambah dengan kehadiran iparnya Hashemi. Zanjabila adik Idora  menjadi 'contrast' dari banyak segi dibanding Idora. 'Contrast' itu diperkukuh dengan kehadiran Hashemi. Pada satu tahap dilihat watak Idora terlihat terkebelakang dari Zanjabila dan Hashemi(bemula dengan tumbangnya Idora(sakit) dipentas persidangan dan debat antarabangsa). Namun itu berlaku kerana untuk memuat naik unsur-unsur pendedahan yang saya kira dapat dilihat sebagai cabang-cabang  ilmu, pemikiran-pemikiran serta saranan-saranan diandaikan bertujuan membuat pembaca berfikir, selain mungkin mahu mendedahkan sesuatu atau mendidik pada para pembaca. Watak penting Dr. Ali Taqi menjadi teras kepada keseluruhan bahagian tersebut. Ini jelas bila dia yang bertanggungjawab menjawab kemusykilan dan kekaburan Hashemi mahupun Bastian. Oh! Bastian pula adalah watak lelaki bermata hijau yang berjaya membangkitkan Hawa si Idora. Dari situ juga saya kira bangkitnya Perempuan Nan Bercinta.
Karya sastera yang tiada niat dan 'tujuan sedemikian' wajar kita kategorikan sebagai rongak, rompong, kosong, lompong lagi sia-sia. Itu juga pernah  saya baca dari pandangan pengarang sama sebelumnya. Ya! pada bacaan yang lain. Itu saya setujui, peribadi dari saya. Jadi betapa penting bagi pembaca memilih bahan bacaan yang tidak sia-sia sekaligus menjadi terbuka minda, mula berfikir, mencari tahu, mencari benar dengan kefahaman selepas proses bacaan. Walau bacaan itu sebagai hobi di masa senggang. Novel ini terasa 'sarat' dengan 'kandungan'. Banyak yang cuba disampaikan. Tak terlepas dengan kata nama Sunni dan Syiah(Syiah mencederakan diri dijawab ringkas dari perbualan Ali Taqi dan isteri-seingatnya) begitu Wahabi dan Salafi, tak hairan ia tetap ada kontroversi hingga terdengar satu ketika ada yang mahu ia diharamkan. Ada diselak tabir kepada idea-idea yang memperlihatkan sanjungan untuk Ahlul bait. Namun saya lihat itu juga antara 'kelainan' karya Dr. Faisal Tehrani. Ia jelas dan lebih 'affirmitive' dalam Perempuan Nan Bercinta ini. Timbul soal di mana salahnya menyanjung Ahlul bait? Maaf saya tiada jawapan. Mungkin itu boleh menjadi persoalan bagi setiap pembaca. Setakat ini, dalam novel ini, tak nampak apa yang terlebih di mana-mana(atau sememang saya memang tak perasan dan kurang faham erti terlebih atau tak mencari-cari ruang untuk perasan keterlebihan si pengarang). Jadi tidaklah jelas  saya apa yang jadi sebab kontroversi pada novel tersebut. Atau mungkinkah saya cuma nampak apa yang saya mahu lihat. Aku saya, novel ini berbaloi dibaca. Susunan gaya bahasa dan keberkaitannya nampak selesa. Saya dapat merasa anjakan minda di sana sini dengan bacaan saya. Tetap ada pengisian dan terlihat bagaimana pengarang berusaha memahamkan pembaca menurut hala, sisi dan sudut pandangnya berkenaan 'mesej' yang mahu disampaikan. Kebebasan bermazhab ada disentuh didalamnya. Sekali lagi ia bukan persoalan untuk dijawab berseorangan, melainkan ia persoalan untuk setiap individu memikir dan menilai. Selain ia melibatkan pihak yang lebih sekadar orang biasa. Saya suka melihat ia sebagai naskah dengan 'mesej terbuka'. Bermakna penilaiannya terpulang juga pada sudut mana pembaca mencungkil dan menilainya.
Ada perenggan-perenggan yang membuat saya rasa tersentak juga membacanya. Tak percaya??? Ambil satu kisah perihal seolah ada 'pertikaian yang wujud tentang hadis' yang mengatakan tentang kebangkitan Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Aisyah yang mengaitkan dengan turunnya wahyu pertama iaitu Iqra'. Peristiwa di Gua Hira'. Walau terkejal sedikit sewaktu melalui pembacaan tersebut, namun pertikaian itu disertakan sekali bersama hujjahnya. Selaku pembaca, saya hanya terus membaca. Usaha memahami dengan akal biasa saya. Setakat itu. Andai ada diluar sana yang merasa perlu menjelaskan dengan lebih lanjut atau mencerahkan apa yang terlihat kabur  dan khuatir ia mengaburi pembaca novel ini, silalah jelaskan. Penjelasan demi manfaat bersama. Mungkin perlu ditampilkan hujjah untuk memperbetulkan andai ada apa-apa silap dengan novel ini. Walau bagaimana pun saya sering menyedarkan diri bahawa saya sedang membaca naskah karya sastera. Bukan naskah doktrin ideologi atau lainnya. Usah taksub. Mana-mana baik diambil. Meragukan ditinggal. Jika ada yang keliru mungkin baik ditanyakan pada yang arif. Apa pun pastinya buku sebegini lebih baik dari majalah-majalah hiburan atau apa sahaja yang melalaikan. Membawa pembaca berfikir, mencari tahu dan berusaha mencari yang benar dan sebaliknya. Buku ini juga terdapat terjemahan-terjemahan ayat al-Quran dan juga Hadis yang menjadi pasak hujjah dari Dr Taqi Ali. Jadi saya nampak, ia masih dalam aqidah Islamiah. Persoalan Mazhab itu cerita kedua. Apa yang nyata dalam kisah ini si Perempuan Nan Bercinta itu menjumpai cintanya didunia dan lebih dari itu menjumpai Pemilik Cinta dan Kecintaan yang abadi dari pintu hidayah dan Kasih Sayang Ilahi. Keajaiban telah terjadi dalam hidupnya. Ia kerana Rahman dan Rahimnya yang Maha Esa. Membaca terus membaca. Dengar cerita penulis ini bakal tampil dengan Manusia Tuhan. Novel baru.
Kisah Idora yang bagai mati hidup semula dan berkesempatan merai cinta indah di dunia bersama kekasih hatinya Bastian memang sempurna dinovelkan. Sukarkah mencari cinta luhur dunia yang membawa ke akhirat??? Juga antara persoalan untuk semua yang mahu dan sedang dalam cinta.
*Rujuk m/s 19 Akidah Muslimin susunan Ustaz Hj. Ahmad Hafiz Hj. Mohd Alwi al-Bakaniyy

Isnin, 3 Disember 2012

AMALAN SIHIR DALAM MASYARAKAT


Berbicara perihal SIHIR, sepintas lalu sepertinya ia melawan arus@tak sesuai untuk sebuah zaman serba berteknologi tinggi dan canggih dengan gaya hidup serba moden yang dikecapi dunia masa kini. Hakikatnya sihir tetap menjadi suatu gajet popular sebagai amalan kebanyakan manusia yang dasarnya telah secara sedar atau tidak telah tergugat keyakinan diri dan tergoncang iman dalam jiwa dan nyata berpaksikan nafsu. Bahkan 'upgrade' SIHIR juga berterusan. Mungkin ini teknologi Iblis dan sekutunya. SIHIR menjadi alat kerana percaya bahawa ia jalan cepat lagi singkat untuk mencapai keinginan dan hajat hati. Lantas melepaskan kebenaran bahawa bersama-sama sihir itu sebenarnya adalah kehadiran mahluk-makhluk yang dipanggil  jin dan syaitan berperanan dalam apa-apa usaha yang dibuat. Ia sebagai melunaskan janji iblis untuk menyesatkan anak Adam, sejurus dihalau dari syurga.  Jika disebut SIHIR, usahlah memandai-mandai kita mengkategorikan adanya sihir baik dan sihir jahat. Kesimpulannya ia menghalakan manusia ke arah kesesatan dan syirik kerana unsur bergantung kepada lain, selain Allah s.w.t selaku Pencipta dan Pengatur alam semesta.
Sejarah membuktikan bahawa Rasulullah s..a.w juga pernah terkena ilmu sihir dari seorang Yahudi. Sihir tersebut dikatakan menjadikan Baginda seperti seakan-akan lupa akan apa yang diperbuatnya. Lebih lagi ia berkaitan dengan isterinya Aisyah r.a. Baginda jadi ragu-ragu apakah ia telah atau tidak 'bersama' dengan Aisyah. Sihir itu didatangkan dengan menggunakan rambut Rasulullah pada sikat. Dari situ dapatlah disimpulkan ia bertujuan untuk mendatangkan onar ke atas diri dan rumahtangga Rasulullah khususnya. Untuk ini suka merujuk sedikit pada ayat Al-Baqarah 102 bermaksud, "Mereka (membelakangkan Kitab) Allah dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir dengan amalan sihirnya; kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil(Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat samasekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun (melainkan dengan izin Allah)*. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui."
 
Ya! Lihat itu sejarah sihir dalam mempermainkan akal waras sehingga diperkotak-katikkan sedemikian rupa. Bahkan akal seorang Rasul. Namun Allah telah menyusun hikmahnya, tiada lain untuk dikecapi oleh umat Rasul itu sendiri. Ini membuktikan bahawa Rasul junjungan mulia kita itu memang manusia biasa yang tidak terlepas dari rencah kehidupan seorang   insan. Selain itu peristiwa itu juga membawa bersama-sama caratindak, iaitu bagaimana untuk mendinding dan merawat diri dari sihir tersebut. Begitu Allah, dengan ilmunya yang Maha luas menyusun sesuatu melalui perantara Rasulnya demi kemashlahatan hambanya. Jadi selayaknya kita menjadi lebih bersyukur padaNya dan meningkatkan rasa kasih sayang dan penghargaan pada Rasul junjungan mulia.  Untuk Rasul, diutus malaikat menjadi utusan merubat sihir yang dikenakan. Masakan Allah membiarkan utusanNya menderita sedemikian. Lebih lagi kekasihNya.
Bagi manusia biasa, tiadalah lain caranya kita hanya bergantung pada carakerja yang telah dicetuskan oleh sejarah tersebut juga dalam mengatasi masalah sihir yang mendatang. Jelasnya, ia berasaskan sumber mukjizat tinggalan Rasulullah s.a.w iaitu Al Quran. Syaratnya ialah kita tidak boleh memandang dan melihat al-Quran itu semata-mata susunan ayat-ayat dari huruf-huruf Hijaiyah yang berbaris. Ia lebih dari itu. Membaca, mencari makna, mencari maksud dan usaha memahami tujuan sesuatu ayat, mampu menemukan kita dengan 'mutiara-mutiara' yang bakal mengubati penyakit-penyakit rohani dan mahupun jasmani. Sebelum meneguk atau menelan ubat-ubatan tersebut perlulah dengan penuh rendah hati dan diri mengingati kepada Pencipta Alam dan segala yang wujud bersama alam baik dari segi kebaikan yang ada mahupun permasalahan yang timbul didalamnya. Zahirkan keyakinan yang mantap bahawa kesembuhan itu hanya hakNya. Hamba hanya berhak memohon dan meminta hatta mengemis padaNya. Semua itu menjadi dasar pengubatan berteraskan Al-Quran dan sunnah. Kedua-dua tersebut dijamin menjadi sumber pemulihan, pembaikan,  keteguhan, kemantapan hidup manusia dunia dan akhirat. Al-Quran jugalah selaku peguambela kita di akhirat. In Sya Allah menjadi penyelamat dari kebejatan alam kubur seterusnya alam akhirat.
Bicara ini tercetus bila saya mengenangkan beberapa kisah yang agak dekat berkenaan sihir. Tidak terkejut sihir ini mampu 'melumpuhkan' kehidupan seseorang selain ada yang mampu meragut (dengan izin Allahs.w.t). Penyakit kanser yang sebelum ini secara tulinnya kita percayai dan kenali sebagai penyakit hospital juga mampu didatangkan dengan sihir(sebelum berkesimpulan begini perlulah jalani tahap-tahap pemeriksaan dan membuat perbandingan dari sudut-sudut perubatan dan pengubatan moden dan alternatif). Bayangkan jika hanya kerana menolak lamaran seseorang dan berkahwin dengan pilihan hati, seseorang itu disihir dan dikerjakan secara halus selama bertahun-tahun sehingga menyekat dari mendapat zuriat dan seterusnya setelah berpuluh tahun dikesan dengan penyakit kanser. Walau asalnya tidak menyangka langsung kanser tersebut adalah natijah dari sihir. Logiknya ialah, sihir@jin yang didatangkan sipenyihir mampu meresap ke dalam salur darah dan merosakbinasakan tubuhbadan dari dalam. Ini kemungkinan dengan menyekat pengaliran darah di sana sini atau sebagainya. Terpaksa pula menjalani pembedahan membuang bahagian antara yang tersayang atau terindah yang dijangkiti. Tiada jaminan penyakit akan sembuh. Cuma rawatan demi rawatan moden dan alternatif selain doa yang menjadi rutin kehidupan.
 
Namun setiap kejadian ada hikmah. Bila tuan punya badan sendiri menyatakan sedemikian dan betapa dia mampu mendekatkan diri dengan Allah atas sebab penyakit yang menyinggah, saya kagum dengan semangat dan daya juangnya. Menyimpul segala yang berlaku sebagai titik tolak untuk lebih mudah menjalani hidup yang menjurus kepada meraih perhatian dan kasih sayang Allah pada satu peringkat. Kasihan dan simpati saya padanya entahkan umpama satu titik kecil dibandingkan dengan kasih sayang Allah padanya. Puluhan tahun(semenjak mendirikan rumahtangga) menderita secara sedar dan tidak kerana gangguan sihir. Menjalani hidup yang serba cukup dan limpahan rezeki dari sudut kewangan, namun tiada zuriat sebagai pelengkap rumahtangga. Kemudian ditambah dengan penyakit yang menjadi ketakutan pada manusia. Kisah sebegini mengundang pelbagai rasa dalam jiwa. Betapa manusia itu, sebahagiannya mudah lupa pada asal diri dan cuba mengatasi Penciptanya dengan bersekongkol pula sesama makhluk sesat dan bersekutu dengan Iblis laknatullah. Semoga terjauh dari kesesatan sedemikian dan dilindungi kita dengan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t.
 
*Rujuk Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran.