Isnin, 21 Januari 2013

MONOLOG MAULIDURRASUL: SEBUAH NUKILAN DEMI DUA CINTA.....

PESANAN: BAIKNYA JIKA MAHU TERUS MEMBACA, BERSEDIA UNTUK MENEMPATKAN DIRI ANDA SEBAGAI AKU. AKU ITU WATAK UTAMANYA CERITA INI. JIKA SEPERTI TIDAK KENA DENGAN RASA, DIBOLEHKAN 'EXIT'. JIKA BERSEDIA DENGAN PERANAN AKU, DENGAN SENANG HATI, DIBENTANG KARPET MERAH UNTUK MENELUSURI CERPEN HATI SEORANG AKU....SELAMAT MEMBACA DAN SEMOGA PUTIK CINTA ITU BERKEMBANG MEKAR MENGHARUM....
 
*SILA JUGA BERSELAWAT KE ATAS BAGINDA SETIAP KALI BERTEMU PERKATAAN RASULULLAH.
Oh! Hari ini sudah tanggal 7 Rabiul Awwal. Menyebut saja Rabiul Awwal seorang manusia seperti aku itu selayaknya dan seharusnya merasakan 'sesuatu'. Berada dalam bulan Rabiul Awwal itu sering menjadi satu 'signal' utama, kepada mengenang semula kelahiran dan kebangkitan satu susuk yang menjadi Rahmatun bagi sekalian alam. Itu bukan kata-kata datang dari manusia, melainkan datang dari Tuhan Sekalian Alam. Itulah susuk Muhammad Rasulullah s.a.w. Bayangkan bagaimana dengan hanya susuk ini ia menjadi penamat bagi utusan Allah di muka bumi ini. Bermakna cukup dengan Baginda sehingga ke Hari Kiamat itulah susuk yang bakal menunjuk jalan bagi seisi alam ini menuju sejahtera kembalinya kehidupan kepada yang Maha Pencipta. Jalan Baginda menjadi susulan akan ahlinya, sahabatnya dan salafussoleh dan akhirnya menjadi denai untuk dijejaki kita, selaku umat akhir zaman yang telah ditinggalkan lebih 1400 tahun yang lalu. Namun lebih dari itu pesanannya, ditinggalkan juga al-Quran umpama matahari melalui siang hari dan Sunnahnya umpama purnama berteman bebintang menyinari malamnya Sang Kembara di dunia sementara. Diperlihatkan  itulah ketelitian dan kehalusan Mahacipta, Allah! Raja Pengatur seisi alam. Lantas hatiku bernukilan sekehendaknya.
***Assalamualaika Ya Rasulullah. Assalamualaika ya Nabiallah, Assalamualaika ya Habiballah (mengulang-ngulang). Aku antara kalangan umatmu. Akulah si kerdil lagi tak punya apa-apa  ya Rasulullah. Namun sudah sampai kepada pengetahuanku dan lagi yakin bahawa engkau itu utusan Allah yang menunjuk jalan yang lurus lagi membawa tidak lain hanya kebenaran. Kebenaran suatu jalan bagi kembali menuju kepada Allah. Izinkan aku ya Rasulullah mempelajari jalanmu. Syafaatkan aku untuk diberi hikmah mengikuti jalanmu. Syafaatkan aku moga-moga aku dapat melihat wajahmu. Wajah kekasih Pencipta sekalian alam. Wajah pemegang kunci syurga di alam kekal. Wajah yang selalu tidak lekang dengan kebimbangan akan umat yang ditinggalkannya. Wajahmu yang digambar lebih indah dari purnama mekar di langit malam. Jasadmu yang dimulia dan diberkati Maha Pencipta. Engkau dikatakan pernah mengkhabarkan bahawa seseorang itu akan  bersama dengan yang dicintai. Pasti engkau berkata benar wahai Rasulullah. Syafaatkan aku semoga aku dapat berada di antara mereka yang hatinya bernafas dengan kalimah Allah serta denyut nadi kasihkanmu ya  Rasulullah.
Merindu dan menyinta pada yang afdal dirindu dan dicinta, mengingat pada yang menjauhi kelalaian, penyebut yang mampu meresapi pada asma' Allah yang Agung dan bersolawat padamu dan ahlimu dalam asyik rindu mendalam wahai Rasulullah. Kehidupan dunia ini ada kalanya serasa melelahkan ya Rasulullah, namun aku tahu dan doakan aku dapat menyerberang jambatan dunia ini menuju alam akhirat kekal lagi abadi. Doakan aku selamat mengharungi dan melepasinya. Begitu mohon kau syafaatkan ahli keluargaku, saudara-maraku, sahabat-handaiku dan muslimin-muslimat keseluruhannya. Mudah-mudahan mereka mendapat kebaikan. Sesungguhnya 'putik  cinta' dalam merinduimu wahai Rasulullah amat begitu berharga. Tidak rela dan jauh dari redha aku ia ditukar dengan apa pun.  Mesti saja cinta dan rinduku tidak sehebat mereka yang mendahuluiku, namun aku ibaratnya anak yang 'belajar bertatih'. Walau jatuh, walau sakit mahu pun terluka....aku pohon Allah memberi aku daya dan kudrat untuk bangkit dan bertatih terus-terusan sehingga betul-betul  teguh langkah sampai pada 'tujuan'. Cita-cita menatap wajahmu yang dimuliakan dan untuk sampai kepada menghadap wajah Allah bagi insan sekerdil dan selemah aku entahkan kesampaian ya Rasulullah.
Bimbang teramat dalam ya Rasulullah, andai dalam hajat, yang menghampir adalah bahang api neraka. Waliazubillah. Mohon Allah lindungi aku ya Rasulullah. Mohon kau mendoakan aku ya Rasulullah supaya tidak termasuk dalam golongan yang sedemikian. Disapa bahang api neraka dan berkesudahan di dalamnya tentu amatlah buruk untuk satu kesudahan yang kekal ya Rasulullah. Sejahat mana seseorang itu, pasti syurga juga dambaan akhirnya. Hanya Allah yang layak mensucikan sesiapa yang dikehendakiNya. Selain syafaatmu itu menjadi harapan besar bagiku ya Rasulullah. Namun yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang. Aku mahu mula merasai kemanisannya. Mahu rasai erti gula dalam minuman. Erti garam dalam masakan. Selama ini aku cuma minum yang tawar-tawar. Makannya yang hambar-hambar. Sekarang aku mahu tahu dan hayati kemanisan. Mahu hayati kelengkapan rasa masakan.  Harap ini bukan hanya ilusi dan mainan rasa dan kata semata-mata. Minta kau mohonkan pada Allah semoga cinta dan rinduku ini membawa aku kepadamu dalam keadaan Allah meredhaiku dan engkau menerimaku. Andai tidak wahai Rasulullah nescaya terbakar hangus jiwaku ya Rasulullah. Jasad ku menjadi abu dan terbang dibawa angin sepertinya ya Rasulullah. Aku tahu engkau mendengar, walau hanya dari kejauhan dan sayup-sayup suara insan kerdil, lemah dan tak punya apa ini ya Rasulullah. Apa mungkin engkau sedang tersenyum melihat aku dalam 'keadaan ini'. Namun aku merasakan ketenangan. Walau mata basah membengkak dan hidung sebu berair. Ini sungguh terapi yang  melegakan aku dan membuatkan darahku mengalir sebaiknya. Mencintaimu dan merinduimu adalah perkara yang terbaik dapat aku temui dalam hidup ini. Ini kerana sesungguhnya aku mengharap untuk sesuatu yang lebih besar dari itu dari Maha Pencipta yang telah menurunkan janjiNya.......
Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai aku, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. ----Al- Imran: 31
Wahai Rasulullah, hanya engkau jalan terbaik untuk aku sampai kepada Tuhanku.......
Adakalanya ya Rasulullah, dalam lemah ingatanku padamu, dalam tangan menguli bijian tasbih lafaz solawat ke atasmu, hati merasakan kedekatan denganmu.  Lantas dengan kelemahan aku, aku gambarkan akan betapa beruntungnya andai aku engkau ada di masa ini, atau aku pergi ke zamanmu ya Rasulullah. Aku sedaya upayaku akan berusaha untuk mendekatimu. Aku bayangkan kesanggupanku untuk melakukan apa sahaja usaha dan pekerjaan untuk senantiasa berada dekat denganmu. Sebagai orang gaji saja aku sanggup (walau aku bukan surirumah terbaik). Sebagai pemandumu aku sanggup (walau aku tidak cekap dengan jalan-jalan di atas mukabumi ini). Namun siapalah aku ya Rasulullah. Hanya seorang dari insan dikalangan umatmu yang begitu jauh dari jangkawaktu hayatmu begitupun amat jauh dari kesempurnaan  dengan sunnah-sunnahmu. Apa masih bisakah aku mendekatimu ya Rasulullah? Andai masih ada harapan dan peluang, kau doakan aku ya Rasulullah. Walau jasadmu telah lama bersemadi....namun serasa rohmu itu kekal dan cahayanya dapat mendatangi hati-hati yang mahu kepada Allah azzawajalla. Lantas engkaulah jalan kami. Peninggalanmu dengan pesanan terhadap Al- Quran dan As Sunnah menjadi pusaka yang bertindak sebagai pedang dan perisai untuk kami menentang musuh agama. Pedang Kalmullah itu boleh sahaja tumpul bila tidak diasah sebaiknya. Perisai sunnahmu boleh saja pudar tanpa gilapan dari umat yang telah kau amanahkan dengannya ya Rasulullah. Satiap detik juga syaitan dan nafsu diri itu terus-terusan mengasak diri ini ya Rasulullah. Hanya dengan kerahmatan dari Allah dan doamu serta harapan syafaat darimu yang mampu meloloskan kami dari kedua-duanya dan segala yang menyangkut dengannya. Doakan aku ya Rasulullah...............Aku antara umatmu yang jauh di akhir zaman, yang sering engkau bimbang-bimbangkan................(TAMAT)***
*Terimakasih kepada 'seseorang' atas satu teguran membina. Dia tahu siapa dirinya....

2 ulasan:

  1. Tahniah dila. Tak mampu zie nak mengarang sebuah cerpen yang begitu menusuk ke dalam jiwa. Terasa kerdilnya AKU..

    BalasPadam
  2. Zie, awal sangat nak mentahniahkan kita. Kita jer perasan tu cerpen. Sebenarnya kita baru lepas ubah sesuatu pada tajuk dan kategori. Ada orang yang arif beri teguran. Untuk sebuah cerpen sebenar, masih ada perjalanan perlu dibuat. Apa pun thanks, yang kita mahu memang orang lain rasa sama. Masukkan sahaja diri masing-masing semuat mungkin. Cinta Allah dan Rasul dituntut sebelum mencintai yang lain. Begitu kiranya.

    BalasPadam