Sekali lagi, sepertinya tak tahu
mana mahu bermula bicara. Tambahan bila dah lama tidak menulis, terfikir-fikir
sendiri apa masihkah dapat meluah fikir sekaligus rasa di dada. Dah beberapa
lama mahu menulis tentang yang bakal diperkata, tapi sering juga terhalang-halang.
Terkenang-kenang lemahnya diri, masih jauh dari sempurna. Masih terlalu banyak
kekurangan. Belum cukup amalnya untuk menulis bab-bab sebegini. Namun bila
termaktub, nyatanya sendiri tak dapat menghalang jari dari menari-nari tujuan
ini. Maka menulislah.
Dalam hidup kita bertemu dengan
pelbagai perkara. Berlingkar pada hal yang disukai atau dibenci, yang diingini
atau ditolak, yang baik dan buruk dan kesemua pasang-pasang dalam kehidupan.
Begitulah penetapan dalam kehidupan dari yang Maha Kuasa. Dijadikan gelap untuk
kita tahu dan mampu mengenal apa itu terang dengan cahaya. Dijadikan kesedihan
untuk kita mampu menilai dan menghargai masa-masa gembira. DijadikanNya Hawa
untuk memenuhi hajat Adam dan dijadikan yang alam kekal(akhirat) untuk disedari dan
diinsafi bahawa kerana itu pula diadakan olehNya yang alam sementara(dunia). Sungguh
tersusun dan cantik lagi kemas setiap kejadian alam oleh Yang Maha Kuasa. Semua kejadian tersebut demi tujuan menzahirkan Maha Sempurna itu dengan kemampuannya yang Maha Hebat.
Lantas mengenang kembali kisah
bagaimana dua buah buku yang menjadi tajuk bicara saya kali, saya kembali rasa sedikit
nostalgia. Saya tidak mencari buku ini, tidak juga buku itu yang mencari saya.
Apa yang mampu dikatakan saya 'seolah terpandu' untuk memiliki buku-buku
tersebut. Semasa berbicara untuk memesannya melalui telefon, Hj Shaari Hj. Mohd
Yusof menyebutnya sebagai kitab. Maka saya pun tak rasa keberatan memanggilnya
sebagai kitab. Soal ini saya bangkitkan kerana tak dinafikan ada dakwaan
sepertinya kita akan melebihkan kitab-kitab ini melebihi dari Al-Quran itu
sendiri. Ternyata ia tidak dan InsyaAllah, tidak akan pernah jadi sebegitu. Tak
keterlaluan saya katakan kitab ini masih ada kelemahan. Dari segi 'typing
error' saja agak banyak. Namun dari segi isi, untuk saya Alhamdulillah. Mana mungkin ada
buku atau kitab sebaik dan setanding al-Quran. Sebuah kitab yang yang dijanjikan
oleh Allah pemeliharaannya. Maklum kita Al-Quran itu kalam Allah. Itu sumber
segala rujukan dan ilmu. Cuma kitab-kitab Tok Kenali ini mempunyai sentuhan tersendiri
dikala membacanya. Serasa saya, ia membicarakan antara bahagian ajaran yang dibawa oleh
al-Quran itu sendiri. Bicara dari manusia yang telah diberi peluang dan
kesempatan olehNya untuk mengalami sedikit kelebihan dari segi ilmu dan
pengalaman berbanding orang lain. Olahan dan penyampaian yang memang terlihat
ada perbezaan. Sebetulnya, sewaktu kitab-kitab ini sampai, terkejut saya terdapat
juga CD sebanyak 4 keping. Walau saya
tidak memesan yang tersebut, saya ambil sahaja dengan niat dan fikiran mungkin
ada baiknya menonton apa yang dihantar. Bayaran dibuat untuk 2 kitab dan 4 CD. Ternyata
CD-CD tersebut membuat penjelasan awal untuk saya sebelum memulakan pembacaan.
KItab-kitab yang dibicarakan ini
dinamakan sebagai Mengenal Diri dan Ilmu Makrifat (Mengenal Allah). Sekali
dengar memang terasa seolah berat sangat apa yang dibawa olehnya. Melihat saja kata Makrifat, saya sendiri awalnya rasa seolah bukan untuk saya membacanya. Sedangkan nyata itu salah tanggapan awal dari saya. Namun
kitab-kitab tersebut merupakan Ilmu Peninggalan Tok Kenali Kelantan oleh Mohd
Yusof Che Wook yang dikatakan adalah murid sebenar Tok Kenali Kelantan. Saya
akui bahawa saya terpandu untuk kitab-kitab tersebut dahulu. Kemudian barulah
saya mencari maklumat tentang Tok Kenali. Walhal sebelum ini walau saya pernah
mendengar nama Tok Kenali, tak pernah pula ambil tahu atau ambil pusing apa
sahaja istimewanya. Sekadar tahu nama. Sedikit penceritaan yang tak mampu
diluah untuk bertemu dengan kitab-kitab ini, membuat ianya istimewa untuk saya.
Sampai satu peringkat seperti mahu simpan sendiri. Namun perkongsian untuk
sesuatu yang disukai itu adalah lebih baik juga. Andai kita mahukan manfaat
atau mahu menuju pada kebaikan, terdapat ramai lagi orang di luar sana yang
mahukan yang serupa. Atas dasar itu saya buka kisah ini.
Bimbang juga andai terlihat
seolah melebih-lebih mengisahkan istimewa kitab-kitab Tok Kenali ini. Namun itu
semua bukan kerja manusia menentukan bagaimana 'rasa' yang akan datang sewaktu
membaca mana-mana tulisan atau karya dari mana-mana penulis sekalipun.
Persoalan 'rasa' adalah datang dari Pemberi Rasa. Sepertinya bila kita
menyebut, 'Saya sayang awak'. Ucapan tersebut boleh sahaja dilafazkan oleh
sesiapa dan di mana-mana jua. Namun 'rasa' sebenar sayang itu hanya akan
dialami oleh orang yang mengucapkan kepada dan diucapkan kepadanya. Selain
hanya kedua-dua yang terlibat sahaja mampu membuat penilaian apa benar atas
kata-kata diucap atau sekadar mainan dibibir. Dilihat bahawa pihak ketiga hanya
mampu berandai-andai. Begitu saya menyimpulkan bahawa andai bahawa lain orang
mungkin lain rasanya atau penilaiannya setelah membaca kitab-kitab tersebut.
Kedua-dua kitab tersebut membawa
kita untuk berbalik pada beberapa perkara asas yang utama dan amat patut menjadi
perhatian kita selaku insan yang dijadikan dengan matalamat memakmurkan bumi
selaku khalifah. Saya kategorikan kitab-kitab itu unik kerana penulisannya tak
dinafikan dicetak berdakwatkan rasa dan berkertaskan pengalaman. Itu yang mampu
saya katakan. Saya pernah berdikit-dikit membaca kisah-kisah berbicara perihal
tasawwuf dan ada juga memiliki buku berbicara hal tasawwuf mudah, namun dibandingkan
dengan kedua kitab-kitab Tok Kenali tersebut, dapat dirasakan pendekatan jauh berbeza.
Perbincangan dalam kedua-dua buah kitab tersebut saya sedari seolah-olahnya merupakan sesuatu menjadi
dasar kepada ilmu Tasawwuf itu. Sebelum ini sering kita dengar ceramah-ceramah
motivasi perihal Kenali Diri, namun Ilmu Mengenal Diri Tok Kenali, ternyata
berbeza, namun setakat yang terlihat dalam pembacaan tiada nampak apa-apa yang bertentang. Tak
dapat pula nak terjemah rasa dan pengalaman membaca. Kitab Mengenal Diri
setebal 567 mukasurat itu memberi pendekatan berbeza pada rohani berbanding
momokan-momokan yang saya dengar dan baca sebelum ini. Jika sebelum ini
terbiasa disaran kenali diri dengan mencari mana kuat dan lemahnya diri, untuk
mengasah dan mengambil manfaat dari kekuataan dan berusaha membaiki kelemahan,
supaya kita mampu merasa lebih berpuas hati dan lebih sempurna dan setanding
orang lain. Mengenali Diri dengan ilmu Tok Kenali ini berbeza kerana ia
terlebih dahulu meletakkan Yang Awal dan Yang Akhir itu lebih utama. Manakala
kita ini umpama berada dipertengahannya. Kita umpama sebagai sebuah perjalanan.
Hakikat kita ada dalam ketiadaan. Maka InsyaAllah, akan tahu dan sedarlah kita
di mana kita sebenarnya. Ke mana halanya kita dan apa saja yang perlu diperbuat
oleh kita yang jadi tuntutan dan keutamaan walau siapa pun kita di tempat kita masing-masing atau pun di mata orang lain.
Nampaknya setakat ini dulu mampu
bicara. Mungkin jika ada 'kesempatan' bakal menyambung bicara di hari lain.
Kedua-dua buku itu saya tamatkan dalam masa satu setengah bulan. Memang layak untuk saya. Baca, simpan. Baca, simpan. Walau rasa tergantung, terasa telah lepas sedikit hajat yang disimpan. Maaf
atas kekurangan. Sehingga itu, Wassalam.
*Nak gi ngundi pas ni: PRU13.
*Nak gi ngundi pas ni: PRU13.