Memaparkan catatan dengan label MASYARAKAT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MASYARAKAT. Papar semua catatan

Isnin, 3 Disember 2012

AMALAN SIHIR DALAM MASYARAKAT


Berbicara perihal SIHIR, sepintas lalu sepertinya ia melawan arus@tak sesuai untuk sebuah zaman serba berteknologi tinggi dan canggih dengan gaya hidup serba moden yang dikecapi dunia masa kini. Hakikatnya sihir tetap menjadi suatu gajet popular sebagai amalan kebanyakan manusia yang dasarnya telah secara sedar atau tidak telah tergugat keyakinan diri dan tergoncang iman dalam jiwa dan nyata berpaksikan nafsu. Bahkan 'upgrade' SIHIR juga berterusan. Mungkin ini teknologi Iblis dan sekutunya. SIHIR menjadi alat kerana percaya bahawa ia jalan cepat lagi singkat untuk mencapai keinginan dan hajat hati. Lantas melepaskan kebenaran bahawa bersama-sama sihir itu sebenarnya adalah kehadiran mahluk-makhluk yang dipanggil  jin dan syaitan berperanan dalam apa-apa usaha yang dibuat. Ia sebagai melunaskan janji iblis untuk menyesatkan anak Adam, sejurus dihalau dari syurga.  Jika disebut SIHIR, usahlah memandai-mandai kita mengkategorikan adanya sihir baik dan sihir jahat. Kesimpulannya ia menghalakan manusia ke arah kesesatan dan syirik kerana unsur bergantung kepada lain, selain Allah s.w.t selaku Pencipta dan Pengatur alam semesta.
Sejarah membuktikan bahawa Rasulullah s..a.w juga pernah terkena ilmu sihir dari seorang Yahudi. Sihir tersebut dikatakan menjadikan Baginda seperti seakan-akan lupa akan apa yang diperbuatnya. Lebih lagi ia berkaitan dengan isterinya Aisyah r.a. Baginda jadi ragu-ragu apakah ia telah atau tidak 'bersama' dengan Aisyah. Sihir itu didatangkan dengan menggunakan rambut Rasulullah pada sikat. Dari situ dapatlah disimpulkan ia bertujuan untuk mendatangkan onar ke atas diri dan rumahtangga Rasulullah khususnya. Untuk ini suka merujuk sedikit pada ayat Al-Baqarah 102 bermaksud, "Mereka (membelakangkan Kitab) Allah dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir dengan amalan sihirnya; kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil(Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat samasekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun (melainkan dengan izin Allah)*. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui."
 
Ya! Lihat itu sejarah sihir dalam mempermainkan akal waras sehingga diperkotak-katikkan sedemikian rupa. Bahkan akal seorang Rasul. Namun Allah telah menyusun hikmahnya, tiada lain untuk dikecapi oleh umat Rasul itu sendiri. Ini membuktikan bahawa Rasul junjungan mulia kita itu memang manusia biasa yang tidak terlepas dari rencah kehidupan seorang   insan. Selain itu peristiwa itu juga membawa bersama-sama caratindak, iaitu bagaimana untuk mendinding dan merawat diri dari sihir tersebut. Begitu Allah, dengan ilmunya yang Maha luas menyusun sesuatu melalui perantara Rasulnya demi kemashlahatan hambanya. Jadi selayaknya kita menjadi lebih bersyukur padaNya dan meningkatkan rasa kasih sayang dan penghargaan pada Rasul junjungan mulia.  Untuk Rasul, diutus malaikat menjadi utusan merubat sihir yang dikenakan. Masakan Allah membiarkan utusanNya menderita sedemikian. Lebih lagi kekasihNya.
Bagi manusia biasa, tiadalah lain caranya kita hanya bergantung pada carakerja yang telah dicetuskan oleh sejarah tersebut juga dalam mengatasi masalah sihir yang mendatang. Jelasnya, ia berasaskan sumber mukjizat tinggalan Rasulullah s.a.w iaitu Al Quran. Syaratnya ialah kita tidak boleh memandang dan melihat al-Quran itu semata-mata susunan ayat-ayat dari huruf-huruf Hijaiyah yang berbaris. Ia lebih dari itu. Membaca, mencari makna, mencari maksud dan usaha memahami tujuan sesuatu ayat, mampu menemukan kita dengan 'mutiara-mutiara' yang bakal mengubati penyakit-penyakit rohani dan mahupun jasmani. Sebelum meneguk atau menelan ubat-ubatan tersebut perlulah dengan penuh rendah hati dan diri mengingati kepada Pencipta Alam dan segala yang wujud bersama alam baik dari segi kebaikan yang ada mahupun permasalahan yang timbul didalamnya. Zahirkan keyakinan yang mantap bahawa kesembuhan itu hanya hakNya. Hamba hanya berhak memohon dan meminta hatta mengemis padaNya. Semua itu menjadi dasar pengubatan berteraskan Al-Quran dan sunnah. Kedua-dua tersebut dijamin menjadi sumber pemulihan, pembaikan,  keteguhan, kemantapan hidup manusia dunia dan akhirat. Al-Quran jugalah selaku peguambela kita di akhirat. In Sya Allah menjadi penyelamat dari kebejatan alam kubur seterusnya alam akhirat.
Bicara ini tercetus bila saya mengenangkan beberapa kisah yang agak dekat berkenaan sihir. Tidak terkejut sihir ini mampu 'melumpuhkan' kehidupan seseorang selain ada yang mampu meragut (dengan izin Allahs.w.t). Penyakit kanser yang sebelum ini secara tulinnya kita percayai dan kenali sebagai penyakit hospital juga mampu didatangkan dengan sihir(sebelum berkesimpulan begini perlulah jalani tahap-tahap pemeriksaan dan membuat perbandingan dari sudut-sudut perubatan dan pengubatan moden dan alternatif). Bayangkan jika hanya kerana menolak lamaran seseorang dan berkahwin dengan pilihan hati, seseorang itu disihir dan dikerjakan secara halus selama bertahun-tahun sehingga menyekat dari mendapat zuriat dan seterusnya setelah berpuluh tahun dikesan dengan penyakit kanser. Walau asalnya tidak menyangka langsung kanser tersebut adalah natijah dari sihir. Logiknya ialah, sihir@jin yang didatangkan sipenyihir mampu meresap ke dalam salur darah dan merosakbinasakan tubuhbadan dari dalam. Ini kemungkinan dengan menyekat pengaliran darah di sana sini atau sebagainya. Terpaksa pula menjalani pembedahan membuang bahagian antara yang tersayang atau terindah yang dijangkiti. Tiada jaminan penyakit akan sembuh. Cuma rawatan demi rawatan moden dan alternatif selain doa yang menjadi rutin kehidupan.
 
Namun setiap kejadian ada hikmah. Bila tuan punya badan sendiri menyatakan sedemikian dan betapa dia mampu mendekatkan diri dengan Allah atas sebab penyakit yang menyinggah, saya kagum dengan semangat dan daya juangnya. Menyimpul segala yang berlaku sebagai titik tolak untuk lebih mudah menjalani hidup yang menjurus kepada meraih perhatian dan kasih sayang Allah pada satu peringkat. Kasihan dan simpati saya padanya entahkan umpama satu titik kecil dibandingkan dengan kasih sayang Allah padanya. Puluhan tahun(semenjak mendirikan rumahtangga) menderita secara sedar dan tidak kerana gangguan sihir. Menjalani hidup yang serba cukup dan limpahan rezeki dari sudut kewangan, namun tiada zuriat sebagai pelengkap rumahtangga. Kemudian ditambah dengan penyakit yang menjadi ketakutan pada manusia. Kisah sebegini mengundang pelbagai rasa dalam jiwa. Betapa manusia itu, sebahagiannya mudah lupa pada asal diri dan cuba mengatasi Penciptanya dengan bersekongkol pula sesama makhluk sesat dan bersekutu dengan Iblis laknatullah. Semoga terjauh dari kesesatan sedemikian dan dilindungi kita dengan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t.
 
*Rujuk Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran.

Isnin, 12 September 2011

MAJLIS TAHLIL.

Pangsa yang simetri...




Antara tetamu jemputan awal wanita yang hadir.... 

Alhamdulillah kerisauan terhapus bila ruang yang sederhana ini padat dengan hadirin. 

Sebahagian dari jemputan lelaki makan di luar tempat 'open air'. Ada Jalur Gemilang menemani lagi... 
Cuaca agak berjerebu kebelakangan ini. 
Lagi 'view' pangsa yang simetri dan amat sinonim dalam kehidupan....
Ini pula pemandangan simetri dari arah hadapan beranda pangsa simetri yang di panggil kodominium.



Khamis, 16 Jun 2011

HELLO! ANONYMOUS SINGGAH SEBENTAR...! KES GODAM.

Assalamualaikum!

Apa pun, aku akui....gambar ni memang 'smart'...(aku google tak jelas...rabun ayam..)

Kebelakangan dan masih terkini adalah cerita-cerita ancaman godam. Tak terhad ke atas laman web kerajaan, aku terdengar, Facebook Hot FM pun dah kena godam juga. Itu sebelumnya. Mula aku tahu mengenainya, aku cuma terbayang akan keadaannya macam dalam 'movie-movie' tayangan di TV. Mesti ada pelaku godam atau nama lebih 'standard', 'HACKER', alat godam dan subjek yang kena godam. Itu semua mesti melibatkan 'hardware' dan 'software'. Pelakunya tak lain 'HUMAN BEING'. Binatang(maaf bukan berkasar!) tak pandai nak godam laman web. Kalau ada, aku pun rasa teringin nak lihat. Aku sebenarnya tersipu-sipu rasanya nak tulis lebih. Sendiri pun tak berapa nak pandai perihal IT. Bukan buta 100% bab IT.  Cuma tahap antara buta celik dengan rabun ayam agaknya. Namun nampak sikit-sikit, kekadang kurang jelas. Pandai hanya guna sahaja. Cerita-cerita belakang tabir 'confirm' aku banyak tak faham. Mana yang boleh dan mampu aku cuba faham-fahamkan.

Elok pada 15 Jun lalu, kita digemparkan, tajuk utama akhbar The Star adalah 'Hack Alert'. Diperihalkan ada sekumpulan penggodam tempatan menggelar diri ANONYMOUS yang akan melakukan serangan godam ke atas laman-laman web kerajaan. Aku difahamkan juga tindakan ANONYMOUS itu dikatakan sebagai tanda luahan tidak puas hati terhadap langkah yang diambil kerajaan dalam menjalankan sekatan untuk laman perkongsian fail. Aku tak berapa nak tahu sangat perkara-perkara tu. Walau aku ada nampak orang buat, tapi tak berapa ambil pusing. Aku nak dengar lagu, cuma 'on' radio. Aku nak tengok cerita, aku 'on' TV. TV pun tanpa ASTRO(ASTRO pun dan masuk parlimen -hebaaattt!!). Aku akui terkebelakang sikit bab-bab teknikal dengan komputer ni. Hah! Hah! Gelak untuk diri...

Dalam dunia yang serba canggih tanpa sempadan ini, sungguhlah nampaknya manusia terlebih mampu melakukan melebihi apa yang wajar dan sepatutnya dilakukan. Ini semua berasaskan tersedianya sumber-sumber dan alat-alatan yang membolehkan tujuan mereka dilaksanakan. Tidak boleh menyalahkan teknologi. Ianya ciptaan manusia. Jadi bahu manusialah yang memikul tanggungngannya. Meluahkan tidak puas hati dengan menggunakan teknologi, kepakaran, skil atau bakat yang ada pada diri menjadi jalan supaya mesej mereka mampu disampaikan pada kerajaan dan umum. Kumpulan itu mungkin merasa tergugat dengan sekatan tersebut. Dari segi apa? Utamanya, mungkin sahaja ia melibatkan periuk nasi mereka. Bila manusia diganggu periuk nasi mereka, biasa mereka sanggup mempertahankan dengan berbagai daya dan cara. Harapan ANONYMOUS, mungkin untuk mempertahankan hak dan kebebasan mereka demi kehidupan. Itu pun jika benarlah ianya wujud, asal dari orang tempatan dan benar-benar bengang dengan sekatan terhadap laman perkongsian fail seperti dikhabarkan. Namun matalamat sudah pasti tidak menghalalkan cara. Itu andainya ANONYMOUS beragama Islam. Anologikan sahaja kisah Robin Hood.

Dikhabarkan 51 laman web kerajaan di bawah domain gov.my telah berjaya digodam. 41 darinya pula mengalami tahap gangguan yang berbeda. Dikatakan perkara ini boleh membawa kepada gangguan kelancaran pentadbiran. Diketahui juga bahawa laman web Hot FM juga telah digodam sebelumnya. Tak tahulah sama ada pelakunya yang serupa. Namun menurut jurucakap Hot FM penggodam berjaya menampilkan muka kosong pada laman sosial Facebook Hot FM itu tanpa meninggalkan apa-apa yang lebih teruk lagi. Sempat juga dia katakan penggodam itu mungkin tidak dari yang 'advance'. Hah! Hah! Aku kelakar juga dengar. Ayat positiflah tu. Apa kata penggodam tu kalau terdengar agaknya? Bakatnya diperkecilkan? Tanyalah pada Team Criminal Minds....Selain itu laman Sabah Tourism juga telah digodam. Ada maklumat pelanggan yang telah didedahkan. Kes godaman ini telah menjadi kes polis dan dalam siasatan untuk mencari pelakunya.

Kemelut godam ini sudah pasti harus diselesaikan. Bila melibatkan internet, maklumat dan data menjadi sesuatu yang sangat sensitif. Kemudahan yang tersedia dengan internet dibimbangi jika digodam akan membocorkan segala maklumat dan data sulit yang tidak patut diedahkan pada umum. Selain itu ia agak mengkucar-kacirkan keadaan. Tindakan menggodam ini tidak wajar kerana membawa kesulitan pada banyak pihak. Selain itu ia melibatkan kos untuk membaik pulih keadaan. Bila sebut kos untuk negara, sudah pasti datang dari pembayar cukai juga. Dari orang ramai. Janganlah biar isu ini untuk dipolitikkan. Usah bila tercanang projek-projek tertentu kononnya untuk pertahanan dari kejadian godaman dan seumpamanya....kita kembali berdebat dan sebagainya.....Semua orang rasa tergoddammm.....

"Tulisan berdasarkan pandangan dan buah fikiran Tuan blog".
17/6/2011

Khamis, 9 Jun 2011

ASSALAMUALAIKUM! MEMBACA DAN BERBAHAGIALAH...

Assalamualaikum!, Salam Sejahtera!

Eh! tak pernah-pernah bermula dengan salam penuh di atas. Namun, itu sebenarnya yang paling baik dalam cara menyapa sesama Muslim. Sebelum ini saya tahu menebarkan salam itu amat baik, namun kerap cuai dalam melaksanakannya. Pandang mudah. Pandang remeh. Mungkin juga fikir saya, di alam maya. Adakah mahu dijawab salam itu. Namun sedarlah saya memberi salam itu sunat. Namun menjawabnya itu wajib. Memberi salam juga ada tingkatan markahnya. Lebih lengkap salam, lebih tinggi markahnya. Assalamualikum, Assalamualaikum Warahmatullah. Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh. Itu tidak sama markahnya. Serba sedikit mengenai salam sebagai pembuka bicara. Menurut ilmu tak seberapa.

Pernah saya katakan diawal membuat blog ini dahulu, bahawa Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni merupakan seorang pengarang yang menarik, pada saya. Saya dapati karyanya sememangnya dari hati dan menyentuh hati. Atas dasar itu suka saya membaca dan menghayatinya. Saya tidak membaca karya asal beliau selain ia hanya terjemahan dari penterjemah-penterjemah di Malaysia dan diterbitkan oleh syarikat-syarikat penerbitan di Malaysia juga. Terbaru, berpeluang memiliki naskah 'Assalamualaikum' dan 'Di Hadapan Pintu-Pintu Wahyu' dari MPH. 'Assalamualaikum' diterjemahkah oleh Saudara Arifin Ladari dan diterbitkan oleh Berlian Publications Sdn. Bhd. Saya nyatakan itu secara lengkap kerana di Jumaat penghulu hari ini, mahu saya kongsikan di sini artikel di mukasurat terakhir menyentuh naluri(pada saya) di naskah tersebut seperti di bawah:

BERBAHAGIALAH SEKARANG

BILAKAH anda akan meredai diri anda sedangkan anda tidak menerima apa adanya, anda tamak memiliki sebuah rumah, apabila anda telah memilikinya anda ingin rumah kedua, kemudian ketiga dan seterusnya, kehausan yang tidak pernah terputus, kedahagaan yang tidak pernah puas. Apabila anda tidak berbahagia pada saat ini maka jangan anda menunggu kebahagiaan pada hari esok atau lusa. Ini kerana umur kita kian berkurang, jam-jam berjalan, minit-minit melompat, bintang beredar, maka jangan memikirkan pada harapan yang ghaib sedang anda tidak mengambil faedah daripada apa yang ada di tangan anda, gunakan pemberian Allah di tangan anda, bergembiralah dengan rumah anda yang kecil, kerana anda yang tua, bekas air anda yang bergantung di sisi anda, roti anda yang panas enak, dan saya menjamin anda berbahagia lebih daripada peniaga saham dan hartawan New York.

Kita hidup dalam dugaan-dugaan dan khayalan-khayalan yang terbang di langit padang pasir, kita tidak pernah rasa reda dengan apa yang ada di sisi kita, dan kita juga tidak mengetahui di masa hadapan. Jika anda tidak reda dengan apa yang ada di tangan anda, maka anda tidak akan reda apabila dunia di bawah bimbingan anda kelak...!

 
Membaca ibarat membuka lembaran demi lembaran dalam buku sebuah kehidupan...(gambar ini saya google!)
Setakat ke hari ini, saya akui membaca itu sememangnya membawa faedah besar dalam hidup manusia. Membaca itu bukan sahaja jambatan ilmu malah ia adalah pembawa sinar dalam menuju cahaya dalam kehidupan. Tidak  lain kerana ilmu hasil pembacaan itu 'tidak ternilai' oleh kita. Walau apa sekali tujuan kita membaca, nescaya adalah untuk mendapat maklumat. Maklumat untuk kita gunakan mudah-mudahan ke arah kebaikan diri dan persekitaran. Membaca menenggelamkan kita di lautan pemikiran si pengarang. Oleh itu wajar memilih pengarang yang baik minda dan pembawaannya terhadap isi penyampaiannya. Pembaca akan mudah terbawa-bawa dengan idea pengarang. Jadi masing-masing ada peranan di situ. Begitulah cara dan gayanya tersebar pemikiran dari pembacaan. IQRA'....!

10/6/11


Selasa, 10 Mei 2011

PERGINYA SEORANG IBU DAN ISTERI.....MAK LONG

Walau pagi telah menjelma dan mata ingin tidur, hati menghalang diri. Mahu mencoret dahulu. Meluah rasa berdasar peristiwa yang masih baru dan ada bara.

Sebelum maghrib tadi menjelma, aku mendapat panggilan dari adik lelaki memberitahu perginya seorang yang berpangkat makcik pada kami. Beliau juga seperti mak saudara. Namun oleh kerana hanya kakak angkat kepada Allahyarham bapa, bukan ada pertalian darah sebenar, kami masih  tetap memanggilnya Mak Long . Pemergian yang mengejutkan kerana tidak pernah kedengaran sakit teruk sebelum ini. Setakat sakit sengal-sengal lutut itu adalah. Perginya meninggalkan seorang suami yang hampir buta, akibat kemalangan teruk pada tahun lepas. Aku kenangkan kembali, parah sungguh keadaan suaminya sewaktu kemalangan dulu. Langgar lari oleh sebuah teksi. Terlantar lama. Namun atas kehendak Allah. Lain yang parah, terlantar dan kesakitan, lain pula yang terpanggil menghadap Ilahi. Itulah ajal namanya. Tamat perjanjian. Pulanglah insan. Menghadap Tuhan Sekalian Alam. Selagi belum sampai ajal. Berpantang maut sebelum ajal. Kata orang Melayu. Terbukti sekali lagi hari ini. Ini wajar aku insafi.

Pemergian yang juga meninggalkan seorang anak lelaki tunggal. Namun tidak kami lihat sewaktu menziarahinya tadi. Anak lelaki tunggal yang ditatang bagai minyak yang penuh. Sewaktu kecil dan membesar, sepenglihatan aku, mendapat banyak yang diingini. Namun kenapa dalam keadaan telah terpisah nyawa dari jasad ibu dan ayah yang hampir buta, tiada kelibat sang anak? Walau dikatakan siangnya ada. Ini permasalahan manusia. Tidak molek mengandai-andai. Namun apa lagi mampu naluri manusia berbuat. Bukankah ayah yang kesedihan perlu teman mendamaikan jiwa. Di saat tatkala kehilangan isteri peneman dan penjaga dikala diri gembira, duka, luka mahupun sengsara. Tambahan sebagai anak lelaki. Bukankah diibaratkan syurga kekal ditelapak kaki ibunya. Tidak seperti anak gadis yang beralih pusat taatnya kepada suami tatkala berumahtangga. Memang mudah aku berkata-kata. Aku bukan ditempatnya. "Hei! Manusia cuba berbaik fikir sahaja". Mungkin dia terbelit permasalahan diri dan keluarganya.

Sewaktu merenung riak rupa yang tidak tahu dia diperhatikan, hati tersentuh. Berdetik, "Ke manakah dia selepas ini?" Tiada sudah sang isteri, peneman diri. Ditambah mata, hampir buta. Namun yang dahulu, didahulukan. Esok jenazah akan tiba. Semoga semua berjalan lancar untuk pengkebumiannya. Pak Long itu asalnya sahabat kepada Allahyarham abahku. Menaruh hati pada Mak Long Midah. Walau telah diperincikan bahawa Mak Long Midah itu tiada apa-apa 'kepandaian', tetap menerima seadanya mahu memperisterikannya.  Itu jodoh namanya.

Mak Long Midah memang tidak pernah bersekolah. Mak Long Midah tidak pandai membaca dan menulis. Namun beliau masih mampu menguruskan kewangan rumahtangganya. Masih pandai berbelanja. Macam wanita lainnya. Gemar ke pasar malam dan membeli apa yang rasanya suka. Ke kedai perkara biasa. Membayar bil-bil dan segala perihalnya, beliau yang lakukan. Terutama setelah suaminya kemalangan dan tidak mampu melaksanakan tgas-tugas selayaknya. Kisahnya Mak Long Midah ini menjadi anak angkat opahku bermula kerana dia hampir dibuang oleh ibunya sendiri. Menurut cerita opahku, semasa dalam kandungan, ibunya telah melakukan pelbagai cara untuk mengagalkan kehamilan terhadap Mak Long Midah. 

Namun bila Allah kehendaki sesuatu, tiada yang lain dapat menghalang. Mak Long Midah tetap lahir. Dikatakan ibunya berniat membuangnya di landasan keretapi, jika tiada siapa mahu mengambilnya. Ini ingin dibuat kerana desakan, kesempitan dan permasalahan hidup yang dihadapi siibu. Itu menurut cerita Allahyarhamah Opahku. Lantas opah aku menyanggup mengambilnya. Atas alasan tiada anak perempuan. ditambah simpati. Beliau membesar dalam kejadian yang mungkin disebut 'bodoh-bodoh alang'. Tak pasti sesuai atau tidak akan itu. Ingin mengungkap dua contoh. Pernah kami tanya, "Kenapa tak angkat telefon bila kita orang telefon?". Jawabnya,"Takut meletup, nanti terbakar telinga aku, macam dalam cerita kartun tu". "Kenapa tak naik lif. Tak penat ke naik tangga sampai tingkat 14?" Jawabnya, "Takut tersangkut lif tu, nanti lemas dalam lif". Namun kemudian kami tahu dia akan naik lif jika ada berteman. Namun kerana kami tahu asal cerita ibunya yang pernah menelan itu dan ini, hanya kerana mahu menyingkirkan kandungan, kami menjadi faham. Itu mungkin sebahagian kesannya. Selain tidak pernah mendapat sebarang pendidikan formal.

Cerita ini diungkap semata-mata ingin mengenang Mak Long Midah. Tidak berniat menyinggung  dan mengaibkan mana-mana pihak. Teringat ungkapan dari mulut si suami. "Doa aku sudah Tuhan makbul. Aku doa dia pergi dulu dari aku. Kalau aku pergi dulu, siapa nak jaga dia(Mak Long). Dia itu tak tahu apa-apa. Tak sekolah. Macam mana?" Kemudian Pak Long sedih dan menangis perlahan. Kasih suaminya, begitu pula terjemahannya. Lain orang, lain cara mengasihi. Namun niatnya Allah yang menilai....Suami juga mengungkapkan,"Tengok isteri aku pergi senang sangat (menurut mata kabur Pak Long - selepas makan, duduk berehat, tiba-tiba tertunduk-tunduk dan pengsan). Dia tidak susahkan aku. Walau dia 'bodoh' tapi aku tak akan jumpa orang sebaik dia......" Kami adik beradik mendengar, cuba menghayati.......Dalam Minggu Hari Ibu, kami sedekahkan Al Fatihah untuk Mak Long.....

2.08am@11/5/11


Isnin, 2 Mei 2011

RAIKAN HARI PEKERJA DENGAN HADIAH EMEL- 1MALAYSIA

Hari ini cuti umum. Semalam Ahad, Hari Buruh. Buruh! Tak ‘urban’. Tukarlah Hari Pekerja. Sedap di telinga. Malaysia bukankah dalam usaha menuju ke arah negara maju dengan Wawasan 2020. Juga menuju ke arah negara berpendapatan tinggi. Baru-baru ini, Dato’ Omar Osman, Presiden Cuepacs dikhabarkan mengakui kenaikan harga barang telah menyebabkan perbelanjaan penjawat awam bertambah lebih RM500 setiap bulan sedangkan pendapatan bulanan tidak berubah. Atas dasar itu, Cuepacs memohon kerajaan melakukan pelarasan gaji tahun ini, berikutan kenaikan harga barangan yang semakin membebankan penjawat awam. Diulang, membebankan penjawat awam. Adatlah nama pun Cuepacs.  Pembelaan khusus untuk pekerja sektor awam. Noktah. Pekerja swasta pandai-pandailah nak hidup yeh..... Walau pada pemerhatian aku, pekerja awam kini kurang lebih sama sahaja tarafnya dengan yang swasta. Telah pun menerima pembelaan demi pembelaan. Sektor swasta, jangan sampai demonstrasi aman di pinggiran jalan.....Pernah terjadi.

Bercerita perihal ekonomi dunia dan negara bukanlah kepakaran aku. Namun sekelumit ilmu dan pengalaman hidup tidak melepaskan aku untuk berbicara mengenainya. Jika kini membangkitkan persoalan terbeban dengan kenaikan harga barangan, salah jika mengkhususkan hanya kepada penjawat awam. Bebanan itu sebenarnya lebih menyeluruh, kepada sekalian rakyat. Persoalan tekanan hidup ini tidak mengenal warna kulit, bahasa pertuturan dan agama. Terutama yang berpendapatan rendah dan tidak terkecuali yang sederhana. Pada tempat-tempat tertentu yang berpendapatan tinggi juga tak ketinggalan merungut. Namun kita biasanya disenyapkan kepada semua itu dengan jawapan, “Ini persoalan ‘demand and supply’”. Mula-mula belajar ekonomi dulu diajar, permintaan tinggi akan berkadar terus dengan penawaran yang tinggi. Permintaan dikatakan dengan sendiri mewujudkan penawaran. Apakah kini kita berdepan dengan  permintaan mengatasi penawaran secara luarbiasa, maka terpaksalah kita menanggungnya pada kadar luarbiasa pula. Keluk ‘graph’ dah berubah aku meneka. Minta lukiskan sedikit….Mungkin aku boleh ‘refresh’ dan ada sesuatu yang baru.

Apa yang aku nampak kini adalah ekonomi dunia banyak bergantung pada kuasa besar dunia. Besar macam mana, aku tak pastilah. Pada sebutan sahaja mungkin. Kuasa Maha Besar pastilah Allah. Masa aku hari-hari duduk depan skrin menatap harga-harga saham dulu pun begitu. Nak ‘predict’ naik turun pasaran tempatan, lihat Dow Jones dulu. Kini dah lain sikit. Sikit longgar. Banyak faktor lain mesti ambil kira. Kuasa ekonomi yang sedang bangkit dikatakan China dan India. Tak ketinggalan Russia dan Brazil.

Berbalik pada kenaikan harga barang, menjeritlah sampai pedih kerongkong – naik tetap naik. Semua disandarkan pada ayat-ayat cinta yang berbunyi, “Kenaikan ini tidak seberapa jika dibandingkan dengan negara jiran, mereka membeli pada kadar….... Kita masih di tahap terkawal….” Memang terkawal dan dalam kawalan. Bacalah semula perenggan pertama aku di atas. Aku bukan berniat menuding ke arah sesiapa. Persoalan kecukupan rezeki, pada hakikat sebenarnya adalah ketentuan Allah. Ada yang dapat sedikit, namun berkat dan cukup. Ada yang dapat banyak, namun tak cukup memanjang. Ini mungkin juga ada kaitan dengan pengurusan kewangan itu sendiri.

Bagaimana pun terlintas juga pada aku, dalam pada begitu, sempat juga nak ada kan projek Emel- 1Malaysia. Projek melibatkan kos yang tinggi dan melibatkan syarikat Tricubes berstatus GN3 yang dikenakan syarat untuk menstrukturkan dan melunaskan semua hutang mereka. 50 sen satu emel dengan jumlah penggunaan besar, pasti sahaja menguntungkan pihak terbabit. Rakyat Didahulukan ???.....Aku bawa-bawa memikir…..

Ahad, 10 April 2011

HUDUD DIPERLEKEHKAN!!!....MENGAPA???

NALURI
Malam ini jejari rasa mahu menari. Berlantaikan papan kekunci ini, berdendangkan irama malam Isnin, saya melayan apa yang perlu dipersembahkan dengan ilmu saya yang terbatas. Asas kepada penulisan saya adalah ingin melatih diri supaya menemui kemahiran, supaya tidak beku pemikiran dan tidak bantut kematangan. Itu harapan saya. Maklumlah dalam menuju Sweet Forty (sengaja mengada-adakan), suka-suka mahu berkongsi, jika ada yang sudi. Di sini hanya dan cuma ada pandangan peribadi. Semoga segala renungan, pandangan dan ulasan saya masih dalam fikrah manusiawi dan tak terkecuali dalam lingkungan Islami. Insyaallah!

SITUASI
Biasanya hujung minggu hari bersantai. Dek kerana itu pasti ramai yang tidak ketinggalan membaca akhbar secara nyata dan bukan hanya secara maya. Tidak terkecuali saya. Hari ini berpeluang membeli tiga jenama suratkhabar. Tamak bebenor rasanya. Namun sebagai manusia yang punya rasa ingin tahu, mendapati tajuk-tajuk utama akhbar tersebut sungguhlah ‘attracted’. Tidaklah pula termampu nak bercerita apa semua yang telah dibaca, namun tajuk utama sebuah akhbar ini memang sedikit menyentuh naluri Islami saya yang tidak seberapa ini. KOSMO, Suara Kontemporari menulis tajuk utama Azab Rotan Cara Aceh. Dipaparkan gambar seorang wanita berpakaian lengkap dengan tudung berwarna putih kesemuanya sedang melutut sambil menunggu hukuman rotan dijalankan. Anda boleh ‘search’ untuk lihat lebih. Saya belum pandai nak link anda ke sana. Masih banyak perlu ilmu asas perlu digarap dalam fikrah dunia internet.

ISU
Wanita Islam Aceh itu dikatakan didapati menjalin hubungan sulit dan disebat dihadapan orang ramai bersama pasangan sulitnya itu. Kedua-duanya telah berkahwin dan atas dasar itu hukuman keras itu adalah wajar menurut pendakwaraya Bendry Almy.

ULASAN
Apa yang mahu saya perihalkan ialah tentang cara berita ini disampaikan oleh kita di sini. Semacam kurang wajar menggambarkan hukuman rotan itu sebagai AZAB. Berita itu kelihatan terlalu menekan-nekankan tentang kecederaan yang dihadapi oleh pesalah dan tidak pula ada mengulas perihal benarnya hukuman itu menurut kacamata agama. Mahu tidaknya kita tahu hukuman itu menyamai dan menjurus kepada Hukum Syariah Islam@Hudud yang sebenarnya, iaitu maksiat yang sebegitu , hukumnya sebegitu. Sekilas membaca, hukuman tersebut menepati kriteria sipesalah dan senario kesalahannya. Saya tidaklah arif sejauh mana Aceh ini berpegang dengan kaedah hukuman kepada pesalah secara Islam@Hudud. Namun saya membaca bahawa Aceh yang telah melalui pengalaman dahsyat dibadai Tsunami sikit masa lalu telah menimba ilmu dan masih terkesan lagi dengan pengalaman tersebut. Mungkinkah atas dasar itu menjadi asas dan telah timbul fikrah keinsafan dan kesedaran untuk lebih menguatkuasakan undang-undang Islam dan hukuman rotan pesalah tersebut termasuk didalamnya. AZABKAH ITU? Saya rasa tidak, itu namanya mengambil peluang. Mereka (penguatkuasa) hanya mengambil peluang kedua yang masih berkesempatan memperbaiki apa yang masih kurang dalam pentadbiran. Pesalah pula wajar mengambilnya juga sebagai peluang membaiki kesilapan dan tidak mengulangi kesilapan yang sama (bermaksiat) dalam kehidupan. AZAB YANG SEBENARNYA adalah apabila pesalah tersebut berhadapan hukuman Allah di akhirat kelak. Ilmu saya terbatas di situ. Namun bukankah manusia wajar menghisab diri sebelum dihisab dihadapan Allah. Wajar amatlah Hudud itu. Mudah-mudahan keinsafan dan kekesalan yang timbul dari hukuman sebegitu itu dapat meraih lebih lagi keampunan dan kasih sayang serta rahmat dari Allah pencipta segala hukum dan Maha Adil. Maha Pengasih dan Penyayang.

PEMIKIRAN
Kita sebagai negara berpelembagaan dengan Islam agama rasmi, wajar menghormati tindakan yang diambil ke arah penegakkan hukum Allah dan bukan pula menggambarkan sesuatu yang kurang enak tentang hukum Tuhan ini. Jika kita masih belum mampu melaksanakannya, jangan diperlekehkan jika orang lain melaksanakannya. Kesannya, pada kita negara berbilang bangsa adalah serupa menggambarkan Islam itu sesuatu yang menyukarkan, menyiksakan, tidak relevan dan segala anggapan yang buruk-buruk boleh timbul. Kita patut ‘promote’ Islam dan bukan sebaliknya. Jika Jepun yang tidak kenal semua yang saya perkatakan di atas, itu juga tidak terkecuali dilanda bencana Tsunami, gempa dan…., jangan kita dilanda bencana kerana keceluparan tanpa sengaja kita dengan Pencipta. Menggigil lutut saya mengenangkannya…..

RENUNGAN
Ajaran Islam menegaskan, kehidupan di dunia akan disusuli dengan akhirat (meminjam juga yang gemar menggunakannya). Jadi segala sesuatu di dunia ini semuanya bersifat sementara. Hanya Allah yang kekal. Jadi jika benar pun wanita yang dihukum sebat sembilan kali oleh tukang sebat itu pengsan dan kelihatan tersiksa dengan hukuman itu, itu semua beralasan dan bersebab. Itu saya lihat sebagai Hudud. Hudud menurut kamus Dewan Bahasa yang ada dengan saya membawa maksud “1. (jamak bagi had) batasan atau peraturan; 2. hukum yang telah ditetapkan oleh Allah dan tidak boleh diubah-ubah oleh manusia seperti hukum zina, murtad, dan minum arak. Para Ustaz dan Ustazah di Malaysia yang memang ramai pasti boleh memberi penerangan lebih. Penulisan saya yang terbatas ilmunya dan masih lemah asasnya namun masih dalam usaha meraih fikrah seimbang ini dah sampai kepenghujungnya untuk hari ini. Cukuplah dulu...........




Sabtu, 8 Januari 2011

NEKADNYA WANITA DAN LELAKI KINI

Dua malam sebelum mendengar kisah yang diberitakan di TV mengenai seorang isteri muda menetak parah isteri tua kerana cemburu. Paginya pula saya semasa ke kedai ternampak tajuk di salah satu akhbar mengatakan seorang isteri muda bersama anaknya cedera ditetak oleh isteri tua. Sama ada ia adalah cerita yang sama atau berasingan samasekali, tak pasti kerana saya tidak kuasa untuk membacanya. Namun faham saya bahawa semua itu berpunca dari rasa cemburu. 'Impression' saya, "Nekad sungguh wanita kini". Jangan kata tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia, di alaf kini ia juga boleh mencederakan dan mungkin mencabut nyawa. Astaghfirullah!

Menyebut perihal cemburu, itu antara satu dari banyak rasa yang dialami manusia. Berbagai-bagai jenis dan bentuk cemburu mampu wujud pada seseorang individu ke individu lainnya. Namun cemburu dalam merebut kasih seperti yang berlaku sehingga ke bab tetak menetak sememangnya menggerunkan. Namun itu mampu saya katakan dalam suasana dan nada emosi yang waras. Bagi mereka yang menetak pasti sebaliknya. Di akhir zaman ini, yang mana nisbah lelaki dan wanita jauh keseimbangannya, cemburu dan rumahtangga bagai tidak dapat dipisahkan. Wanita makhluk lemah penuh emosi dan pengharapan. Ramai pula lelaki menjadi makhluk kelabu mata kerana terlebih 'visi' dan 'misi'.

Terdetik gurauan di hati saya, kenapa tak ditetak sahaja suaminya. Bukankah suaminya yang memadukannya. Madunya itu juga seorang wanita dan mungkin juga sama-sama termakan 'gula-gula' yang serupa. Saya tidaklah menentang 'poligami'. Namun cukuplah tidak berkenan bagi lelaki yang hanya merujuk pada agama bila tiba bab yang satu ini. Siap dihafal segala dalil Al-Quran dan Hadis demi memperkukuhkan kehendak yang bernafsu. Selebihnya dalam kehidupan tidak pula didahului dengan merujuk Al-Quran mahu pun Hadis. Kalau mampu segenap segi dan tinggi takwanya , lakukanlah dengan 'benar lagi betul', dan pasti tiada wujud tetak menetak. Hairannya kebanyakan yang ghairah dengan poligami adalah yang biasanya tidak mampu dari segi zahirnya. Cuma memfokuskan pada kebatinan mereka yang 'meruap-ruap' itu sahaja. Para ustaz dan orang alim pun tidak mudah dalam melakukannya. Perlu diingat peristiwai ini melambangkan kegagalan sang suami tersebut dalam mendidik diri sendiri dan para isterinya. Layanan yang tidak adil dari suami membawa mudarat kepada 'pologaminya'.

Tidak beberapa lama sebelum ini ada saya membaca juga berita mengenai seorang suami yang menyuarakan hasrat ingin menikahi seorang amah Indonesia hanya gara -gara sudah tidak berkenan dengan payudara si isteri yang menurutnya sudah tidak mampu 'membahagiakannya'. Beliau dengan muka tebal bagai ditampal kulit kayu memberitahu kepada isterinya hasratnya sambil menghina-hina si isteri yang dikatakan sudah tidak lagi menarik perhatiannya. Sememang melalui suratkhabar dapat dilihat (walau muka wanita itu 'dikelabukan'-mengelak aib) bahawa si isteri itu kelihatan tua dari usia dan sedikit berisi badannya. Namun kelancangan mulut durjana dan kebusukan fikiran si suami sungguh membuat saya jengkel. Ini manusia yang wajar ditetak mungkin (lintasan fikiran jahat). Ditambah bahawa sang suami sanggup menceraikan si isteri demi bersama kekasih amahnya yang masih 'muda bergetah miang' itu. Dasar lelaki begini habis manis sepah dicampak sewenangnya.

Jika sudah miang dan terlalu bernafsu jangan disalahkan isteri begitu begini. Tidak sedarkah anak sudah ramai dan umur makin menghampiri tarikh luput bukan menjauhi. Si isteri memberi kenyataan bahawa beliau berkeadaan sedemikian (merujuk mengenai payudaranya) kerana menyusu sepenuhnya kesemua anak-anak mereka. Ada juga yang menyusu sehingga ke umur lima tahun. Walau dalam Islam umur dua tahun sudah cukup. Ibu itu terpaksa kerana sebagai usaha menjimatkan wang perbelanjaan membeli susu. Kagum saya dengan ibu ini. Menyusukan bayi secara 'eksklusif' tidak begitu mudah. Saya hanya merasa ini bersama anak keempat (kerana sudah tidak bekerja) dan masih mencuba untuk bertahan.

Itu saya katakan lelaki yang berfikiran busuk seperti ini seperti tidak waras dengan pertuturannya sehingga menghina si isteri terhadap semua pengorbanan dan kepayahan isteri dalam rumahtangga mereka. Semuanya gara-gara 'amah bergetah miang' yang dikatakan banyak memakan jamu dan pandai menjaga kecantikan. Tidak sedarkah lelaki itu bahawa syaitan bertanduk telah bertenggek dikepalanya? Lantas matanya menjadi rabun dan hatinya menjadi terlebih buta dalam berfikir. Esok lusa jika 'amah bergetah miang' itu sudah tua mungkin dia akan mencari 'amah bergetah miang 2' dalam hidupnya dan seterusnya. Atau pun silap haribulan 'amah bergetah miang' akan meniggalkannya kerana ketidakmampuan si suami itu pula dalam' membahagiakannya'. Mungkin pula 'amah bergetah miang' berjumpa yang lebih 'keperkasaannya'. Mungkin saja kerana si suami terlupa memakan 'jamu kesihatannya'. Hukum karma itu berlaku. Hari ini memberi, esok lusa akan merasa. Sudah kena pada diri sendiri, baru mungkin faham apa yang orang lain rasa. Lelaki oh lelaki. Sudah menjadi 'species' terkawal di akhir zaman ini. Jika ramai lagi berperangai seperti yang kerjanya hanya memandang pada 'payudara' sebagai satu-satunya alat kebahagiaan berumahtangga-rosak binasa masyarakat jadinya. Jika ini menjadi penyakit yang diwariskan pada anak-anak lelakinya pula. Entahlah. Kasihan pada isteri-isteri mereka kelak. Ini akibat membiar nafsu yang satu mengawal dan melumpuhkan akal yang sembilan.

Berbalik kepada kisah menetak kerana cemburu. Ngeri dan menakutkan. Namun sekali lagi syaitan telah berjaya memainkan peranannya. Cemburu yang dikatakan sebagai tanda sayang telah mendorong sipelaku kepada perbuatannya. Saya tidak mengata kepada sipelaku. Cuma jika dia masih dalam ingatan dan berpegang terhadap dan dengan Allah, pasti ia tidak terjadi. Talinya terlepas waktu itu. Jadi dia khilaf. Beruntung jika mangsa masih bernyawa. Ada peluang bertaubat, memohon ampun dan maaf.

Wanita terlalu ramai dan lelaki terlalu sedikit?!. Ini selaras dengan - wanita lebih ramai di neraka berbanding lelaki. Namun jangan lupa ada lelaki yang sudah hampir melangkah ke syurga 'terpaksa' ke neraka kerana wanita (isteri dan anak perempuan). Jadi bawa-bawalah mengasah dan menajamkan 'akal yang sembilan' dan usah terlalu sibuk membelai nafsu yang satu. Jangan sudahnya menjadi mangsa tetakan!!! Eeeee ngeri tu........

7.40am@9/01/2011

Ahad, 12 Disember 2010

PIL PENENANG DALAM MASJID


Dalam alam rumahtangga, satu matalamat penting adalah supaya bersambungnya keturunan melalui zuriat yang bakal dilahirkan. Jarang ada yang menidakkannya. Kelahiran seorang insan ke dunia ini biasanya disambut dengan penuh rasa syukur dan gembira. Tidak terhad kepada kedua ibu-bapa malah atuk dan nenek juga saudara-mara yang lainnya.

Namun tidak disangkal terdapat juga manusia-manusia yang telah termakan hasutan syaitan sehingga sanggup membuang bayi-bayi yang lahir atas nama dosa yang diperbuat mereka, walau bayi-bayi tersebut sememangnya langsung tidak berdosa. Ini persoalan yang sedang sarat bernanah dalam masyarakat kini. Saya tinggalkan persoalan ini dahulu.

Seorang bayi itu adalah penyeri kepada sebuah rumahtangga. Awal-awal 'graduate' dahulu, pernah saya bekerja di FIC (Foreign Investment Comittee), Unit Perancang Ekonomi secara kontrak, telah berkenalan saya dengan seorang kakak. Kak E namanya. Beliau menyampaikan kepada saya yang suaminya pernah melafazkan bahawa sangat bahagia dengan alam perkahwinan. Seandainya diketahui sebahagia itu, beliau mahu berkahwin pada umur 10 tahun. Saya hanya tersenyum dan tumpang gembira. Namun saya tahu tidak semua orang berasa begitu. Kak E antara yang berbahagia. Selain itu apa sahaja boleh berlaku dalam pelayaran sebuah bahtera. Panas, hujan, badai, mahu pun taufan antara risiko-risiko yang perlu diharungi. Sebagai insan usaha dan tawakkal yang mampu kita lakukan. Mendirikan sebuah masjid, tidaklah sesukar memakmurkannya dan mempertahankannya.

Zuriat-zuriat yang lahir itu sebenarnya adalah pil penenang kepada kedua orang tuanya. Jiwa ibu dan ayah yang lurus pasti melimpah kasih sayangnya kepada anak-anak mereka. Sebaliknya bagi jiwa mereka yang bengkok. Lazimnya ibu dan ayah sanggup berkorban demi kebaikan anak-anak. Ingat lagi saya bagaimana pengorbanan bapa saya demi membesarkan saya adik-beradik. Berhempas pulas bekerja. Kesihatan sendiri tidak sempat dipedulikan. Akhirnya buah pinggang yang telah gagal fungsi keduanya tanpa sedar sedikit pun. Itu membawa kepada perginya beliau buat selamanya (takdirnya sedemikian). Begitu juga ibu saya. Pernah bertahun-tahun tak terbeli baju baru bagi menyambut Hari Raya kerana mendahulukan anak-anak."Oh! Allah kau ampunkanlah kedua ibu-bapaku atas sebarang dosa-dosa mereka. Kau peliharalah mereka sama ada yang telah tiada dan yang masih bernyawa sebagaimana mereka telah memelihara (dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan) kami semasa kecil."

Untuk saya kini, menatap wajah si kecil memang terapi terbaik. Suami juga pernah melafazkan (waktu sedang penat pulang dari kerja) sambil mencium wajah mulus si kecil "Hilang rasanya penat abah", mmmm... Waktu itu terbit rasa syukur tak terkira pada Allah yang Maha Besar. Rumahtangga ini alam yang boleh jadi penuh dengan kejutan. Selalu perlu beringat-ingat dan ingat-mengingat. Memang tidak mudah. Namun tidak mustahil untuk mendapat kebahagiaan yang sewajarnya. Percantuman dua hati yang berbeza latarbelakang pasti menuntut pemahaman dan persefahaman yang tinggi. Lahir pula hati-hati kecil yang perlu kepada penjagaan dan pendidikan. Tanggungjawab telah bertambah.

Dalam kesibukan kita meladeni tuntutan kehidupan sering kita lelah dan letih. Saya yang di rumah pun kekadang tu sakit-sakit badan dibuatnya. Apatah lagi mereka yang keluar bekerja. Bagi ibu-ibu yang bekerja dan pulang pula melayan kerenah rumahtangga serta anak-anak, pasti lebih lagi. Ingatkan saja itu sebahagian dugaan dan Allah tahu anda mampu dengannya. Sebagai jalan ingin menenangkan jiwa renunglah dalam-dalam ke dalam anak mata zuriat-zuriat anda dengan rasa yang betul dan jiwa yang lurus (mohon pada Allah). Usapi mereka dengan salawat. Insyaallah jiwa akan hilang resah dan terbit rasa syukur lagi bahagia.

Note: Atas tu, anak 'boy' saya dengan 'walker' pinjam pada sepupu kembar dia. Sepupu perempuan sebab tu 'pink colour'). Kat rumah opah di kampung. (10.10am@13/12/10)




Khamis, 9 Disember 2010

IMPAK MAKSIMA

Maaf ini bukan arahan Ahmad Idham. Pelakonnya juga bukan artis terkenal. Tapi ini cerita saya. Boleh jadi cerita mereka yang yang diluar sana juga. Disampaikan melalui alam maya. Sesungguhnya ia realiti.

Malam tadi, sementelah sedang memasak di dapur, saya tertoleh ke arah TV yang sedang terpasang. Waktu tu berita. Kedengaran (jika tak salah pendengaran saya), "Tarif elektrik bakal dikaji semula. Keputusannya akan diketahui Januari. Saya agak terkedu (sikit lagi nak jadi mengkudu). Kepada diri sendiri saya katakan, "Eh! tak silapnya -adalah tahu petrol dah naik, air pun kecoh-kecoh" (saya tak berapa sempat nak ambil tahu melalui suratkhabar). Tapi sempatlah tersangkut dalam jem (kalau diberi roti - kenyang dah rasanya) pada minggu lepas (hari Ahad-di Mydin (promosi percuma) mendapatkan keperluan sekolah anak-anak) dek kerana demonstrasi jalanan khabarnya. Ini disahkan dengan berita pada malam tersebut.

Sebagai orang di rumah, saya tidaklah sempat untuk membaca suratkhabar depan ke belakang (kekadang tak baca pun). Jika tengok berita pun kekadang tak habis (selalu tak tengok pun). Radio pun kini selalu tak 'on'. Maklum anak empat. Ada 'baby' masuk sembilan bulan lagi. Tapi saya ada ambil tahu. Ini persoalan 'surviving'. Mahu atau tidak, jika ia hujan -tempiasnya akan mengenai. Jika ia api - bahangnya akan dirasai. Jika ia taufan - kita bisa diterbangi. Jika ia lumpur - kita bisa dipaliti. Menangislah dalam ketawa.

Pertama sekali keluh saya. "Kesian kat laki aku". Kena kerja keras lagilah jawabnya. Kerja makan gaji. Faham-faham jelah. Tapi saya juga terfikir. Rasa aku semua orang pun akan merasa bahangnya. Selagi bernama manusia dan hidup beralaskan bumi yang sama dan menjunjung langit yang sama.

Saya mengenangkan diri dan keluarga saya. Kami bukan keluarga yang kaya. Kami tidak mewarisi kekayaan dari sesiapa. Oleh itu juga kami tidak akan mewariskan kekayaan kepada anak-anak kami pada kemudian hari. Kami hanya orang biasa. Kami mempunyai rumah yang mesti dibayar ansurannya. Begitu juga kereta. Mempunyai bil-bil yang perlu dijelaskan. Kami mempunyai.........(panjang sangat, ponek den nak nulihnyo). Tuan ambo pikirlah sendiri.

Selain itu, untuk kami (saya dan suami), anak-anak menjadi 'priority' kini. Empat perut ini mesti diisi. Campur perut-perut kami (jangan tak kira pulak - mak dan abah perlu santap juga), dah enam perut. Bahasa 'rock' sikit - Enam' tembolok' nak diambilkira. "Oh! Allah kasihanilah kami. Ringankanlah bebanan kami." Anak-anak ni banyak memakan belanja. Maklumlah selain makan, persekolahan tu penting. Jika negara berhasrat ingin membentuk modal insan yang dapat mencapai 'Wawasan 2020' atau apalah!, kami ibubapa mesti berusaha memberi pendidikan yang terbaik. Ini semua memerlukan perbelanjaan. Tiada yang percuma bukan? Pendidikan dan dunianya sekarang menjadi sesuatu yang sangat 'komersial'. Semakin mahal harga jika ingin mendapatkan yang terbaik. Jika kita tidak mampu, pasti tercicir anak-anak kita. Lepas tu jangan terkejutlah jika gejala sosial meningkat. Ke tadika pun sekarang boleh tahan kosnya. Jika swasta apatah lagi. Sekolah kebangsaan lain kosnya. Sekolah agama lain kosnya. Pakaian, duit belanja, yuran, buku rujukan.....(sekali lagi den ponek).

Saya pernah belajar ekonomi. Tapi tak le pandai sangat. Saya mengetahui bahawa bahan asas (minyak, api, air) ini sememangnya menjadi faktor utama kenaikan harga barang. Jika harganya naik - harga barangan lainnya pasti naik (baru ura-ura nak naik-peniaga dah gelojoh naikkan, bila betul-betul naik, sekali lagi depa naik- 2x naik, pengguna yang sakit). Mmmm.... manusia memang begitu. Diberi segunung emas, mahu yang kedua. Rakus.... Nauzubillah!. Manusia rakus apa balasannya? Nanti den kajian.... Oklah! ada yang kata nanti dapat bonus, dapat kenaikan dan apa-apalah. Tapi kalau harga barang dah mencanak naik berbanding insentif-insentif tu, macam mana. Inflasi pulak kita. Silap-silap deficit juga yek . Kalau salah betulkan. Saya mungkin tersasar. Ekonomi rumahtangga ke ni?!!!

Semalam, saya sempat berbual dengan kakak jual goreng pisang (tokak toghingin - boli duo inggit). Saya saja 'initiate conversation'. "Minyak naik ye kak?". Dia menjawab dengan soalan "Minyak petrol?" (Mungkin keliru dengan minyak masak-maklum jual pisang goreng) ."Ya". Jawab saya. Katanya lagi "Hah! tulah, kalau kita jual 5 dua ringgit, ramai yang tanya kenapa. Diorang tak faham kita meniaga ni pun susah juga. Saya berniaga ni dapat 30-40 ringgit, cukuplah belanja anak-anak sekolah". Itu keluhan kakak tu. Keluhan anda bagaimana pula? Keluhan ini pasti berbeza dari jiwa ke jiwa. Allahua'lam.

Plot cerita saya ni adalah, apa saja keputusan oleh 'mereka' yang berkongsi berdiri di atas rumput yang sama dan mereka juga merenung bintang yang sama dengan kita- akan mengenai kita hanya kerana mereka ada 'kuasa membuat keputusan', tidak kita. Dimanakah kita yang katanya mahu didahulukan. Atau mereka hanya mendahulukan diri sendiri. Saya terus akan fikir-fikirkan....... . Den mungkin kono jua pisang goreng gak!Maaflah yo....

Den poi dulu. Nak masak bubor - tembolok kecik kang kosong lak. Meghaung si kocik! (Kolang-kabut nahu den.) - 9.45 am@4Muharram.






Rabu, 6 Mei 2009

REMPIT DAN RAGUT: INSANIAH YANG TERHAKIS



Sedar tidak kini kita telah hampir ke separuh tahun 2009. Serasa bagai baru lagi masuk tahun baru. Kini dalam kepala dah tergambar Ramadhan makin dekat dan Syawal juga. Masa terus berlalu dan kita berterusan selagi direzekikan bagi menikmati kehidupan yang dianugerahkan Allah kepada kita. Apa dan bagaimana kita melalui kehidupan- banyak faktor yang mempengaruhi. Begitu juga baik atau buruk mahu pun senang atau susah. Kita harungi dan percayai bahawa itulah ketentuan dan hikmahnya pasti ada. Asasnya sedari bahawa hidup ini tidak dijadikan dengan sia-sia. Selagi bernafas dan dapat bergerak pasti ada sumbangan yang perlu kita lakukan kerana kejadian Allah terhadap kita adalah yang terbaik antara segala makhluk.

Pagi ini hati saya begitu sedih dan perasaan begitu diruntun. Di awal pagi, mendengar laporan tajuk akhbar tempatan tentang berita kematian seorang ibu yang sedang hamil tiga bulan (anak ke-6) kerana digilis kereta. Puncanya dia diragut dan hilang kawalan lalu dilanggar sebuah kereta. Tragis. Lebih dari itu, kepada siperagut - nafsu telah mengatasi akal. Layakkah masih bergelar insan? Mungkin tepat lagi mereka dikatakan telah ‘insane’. Apa yang tidak tertahan ialah baru semalam berita kematian seorang ibu juga kerana diragut. Mati setelah koma. Mati itu memang pasti. Kita boleh beralasan itu mungkin takdir mereka. Ajal mereka telah sampai. Jangan pula kita lupakan punca kematian mereka melibatkan pelaku lain yang telah hilang harga diri dan pada saya dapat dikategorikan sebagai pembunuh. Jika hudud diamalkan – NYAWA DIBALAS NYAWA. Jangan kata bahawa tidak berniat membunuh. Hakikatnya nyawa telah melayang kerana kerakusan dan kejahatan yang bersarang dalam tubuh badan yang melakukan perbuatan rempit dan ragut juga membunuh itu. 3 dalam 1. Mereka ni memang berpuaka. Ada darah yang dialirkan dan nyawa yang ditelan…….

Membaca Harian Metro hari ini- terlalu banyak kisah rempit dan ragut ini. Tidak terkecuali pula kisah tuding menuding dan mencari-cari punca seterusnya saranan-saranan untuk membendung gejala ini. Sememangnya ini masalah negara. Ia wajib mendapat perhatian lebih serius bermula dari atas dan masyarakat keseluruhan mesti menyokong dan membantu melaksanakan penguatkuasaan dan undang-undang secara menyeluruh.

Saya tertarik dengan artikel di m/s 21 Harian Metro (Kolum - Setempat) ini. ‘Kami papar realiti sosial’. Ini adalah pembelaan seorang pengarah filem, yang dibuat bila sebelumnya ada penyataan polis yang menyifatkan filem berunsur ‘panas’ merupakan puncanya meningkatnya masalah sosial dikalangan remaja terutamanya gejala rempit yang dilaporkan semakin serius. Hairannya kenyataan pihak polis itu juga serupa dengan pendapat saya sebelum keluarnya artikel tersebut.

Mendidik masyarakat melalui medium filem. Didikan yang bagaimana ya? Dalam mendidik sememangnya ada pelbagai cara dan kaedah yang diamalkan. Bergantung kepada sasaran mereka yang hendak dididik. Perempit yang meragut dan seraya membunuh ini bukan kanak-kanak yang baru masuk sekolah. Mereka ini dah lepasi akil baligh. Cuma mereka ini membutakan hati dan perasaan mereka. Bermula dengan keinginan berseronok dan melepas bosan untuk menghabiskan masa. Didokong oleh perasaan ingin menjadi jaguh jalanan dan meraih perhatian seterusnya mencari jalan mudah mendapat ringgit Malaysia- lantas nyawa orang lain adalah harganya. Pendapat anda dapatkah manusia sebegini berubah hanya kerana mereka telah disindir melalui filem? Akan terdidikkah mereka untuk menyedari kesalahan dan kekejaman tindakan mereka hanya kerana menonton filem-filem yang telah memaparkan kisah mereka dilayar perak? Pada saya golongan yang sebegini (ramainya yang kurang pendidikan, perhatian keluarga dan hampir kesemuanya tiada penekanan didikan agama) merasa tersuntik lebih bangga dengan paparan kisah mereka dilayar perak. Mendapat ‘pemangkin’ mereka lebih giat lagi merempit, meragut dan mungkin mencederakan dan membunuh. Cara mendidik yang dicanang melalui filem itu pada saya kurang tepat. Filem itu mungkin patut bermula dengan adengan penangkapan mereka yang merempit (dan gadis yang membonceng perempit) dan tekankan bagaimana mereka dipulihkan dan diinsafkan. Terasnya didik mereka dengan agama. Akhlak mereka perlu diperbetulkan. Hanya agama yang ada penawar untuk akhlak yang tak terkawal ini. Nyatakan kenapa dan bagaimana mereka perlu dan mesti berubah. Bukan hanya menekankan aksi-aksi panas dan secubit pengajaran yang mungkin gagal dikesan atau tidak dipedulikan oleh mereka yang menonton.

Berkarya bukan sahaja memikirkan keuntungan. Penting juga untuk memertabatkan kembali masyarakat supaya manusia dapat diangkat fitrahnya sebagai makhluk yang mulia (saya pelajari dari buku Panduan Penulisan Kreatif: Karya Nan Indah Untuk Semua oleh Faisal Tehrani terbitan Ameen). Buku ini mahupun menumpu kepada penulisan cerpen dan novel namun sesuai untuk penggiat sastera secara umum. Untuk mengarah mesti ada skrip dan untuk skrip perlu pada penulisan. Jadi wajar dibaca kerana ia juga menekankan tanggungjawab dan batasan yang tidak boleh diabaikan dalam berkarya sebagai seorang muslim. Filem kita adalah jiwa kita. Jika terlalu menumpu dengan terperinci kepada aksi-aksi panas dikhuatiri jiwa masyarakat kita berkembang sebegitu rupa. Marilah fakir-fikirkan……………………….