Ahad, 10 April 2011

HUDUD DIPERLEKEHKAN!!!....MENGAPA???

NALURI
Malam ini jejari rasa mahu menari. Berlantaikan papan kekunci ini, berdendangkan irama malam Isnin, saya melayan apa yang perlu dipersembahkan dengan ilmu saya yang terbatas. Asas kepada penulisan saya adalah ingin melatih diri supaya menemui kemahiran, supaya tidak beku pemikiran dan tidak bantut kematangan. Itu harapan saya. Maklumlah dalam menuju Sweet Forty (sengaja mengada-adakan), suka-suka mahu berkongsi, jika ada yang sudi. Di sini hanya dan cuma ada pandangan peribadi. Semoga segala renungan, pandangan dan ulasan saya masih dalam fikrah manusiawi dan tak terkecuali dalam lingkungan Islami. Insyaallah!

SITUASI
Biasanya hujung minggu hari bersantai. Dek kerana itu pasti ramai yang tidak ketinggalan membaca akhbar secara nyata dan bukan hanya secara maya. Tidak terkecuali saya. Hari ini berpeluang membeli tiga jenama suratkhabar. Tamak bebenor rasanya. Namun sebagai manusia yang punya rasa ingin tahu, mendapati tajuk-tajuk utama akhbar tersebut sungguhlah ‘attracted’. Tidaklah pula termampu nak bercerita apa semua yang telah dibaca, namun tajuk utama sebuah akhbar ini memang sedikit menyentuh naluri Islami saya yang tidak seberapa ini. KOSMO, Suara Kontemporari menulis tajuk utama Azab Rotan Cara Aceh. Dipaparkan gambar seorang wanita berpakaian lengkap dengan tudung berwarna putih kesemuanya sedang melutut sambil menunggu hukuman rotan dijalankan. Anda boleh ‘search’ untuk lihat lebih. Saya belum pandai nak link anda ke sana. Masih banyak perlu ilmu asas perlu digarap dalam fikrah dunia internet.

ISU
Wanita Islam Aceh itu dikatakan didapati menjalin hubungan sulit dan disebat dihadapan orang ramai bersama pasangan sulitnya itu. Kedua-duanya telah berkahwin dan atas dasar itu hukuman keras itu adalah wajar menurut pendakwaraya Bendry Almy.

ULASAN
Apa yang mahu saya perihalkan ialah tentang cara berita ini disampaikan oleh kita di sini. Semacam kurang wajar menggambarkan hukuman rotan itu sebagai AZAB. Berita itu kelihatan terlalu menekan-nekankan tentang kecederaan yang dihadapi oleh pesalah dan tidak pula ada mengulas perihal benarnya hukuman itu menurut kacamata agama. Mahu tidaknya kita tahu hukuman itu menyamai dan menjurus kepada Hukum Syariah Islam@Hudud yang sebenarnya, iaitu maksiat yang sebegitu , hukumnya sebegitu. Sekilas membaca, hukuman tersebut menepati kriteria sipesalah dan senario kesalahannya. Saya tidaklah arif sejauh mana Aceh ini berpegang dengan kaedah hukuman kepada pesalah secara Islam@Hudud. Namun saya membaca bahawa Aceh yang telah melalui pengalaman dahsyat dibadai Tsunami sikit masa lalu telah menimba ilmu dan masih terkesan lagi dengan pengalaman tersebut. Mungkinkah atas dasar itu menjadi asas dan telah timbul fikrah keinsafan dan kesedaran untuk lebih menguatkuasakan undang-undang Islam dan hukuman rotan pesalah tersebut termasuk didalamnya. AZABKAH ITU? Saya rasa tidak, itu namanya mengambil peluang. Mereka (penguatkuasa) hanya mengambil peluang kedua yang masih berkesempatan memperbaiki apa yang masih kurang dalam pentadbiran. Pesalah pula wajar mengambilnya juga sebagai peluang membaiki kesilapan dan tidak mengulangi kesilapan yang sama (bermaksiat) dalam kehidupan. AZAB YANG SEBENARNYA adalah apabila pesalah tersebut berhadapan hukuman Allah di akhirat kelak. Ilmu saya terbatas di situ. Namun bukankah manusia wajar menghisab diri sebelum dihisab dihadapan Allah. Wajar amatlah Hudud itu. Mudah-mudahan keinsafan dan kekesalan yang timbul dari hukuman sebegitu itu dapat meraih lebih lagi keampunan dan kasih sayang serta rahmat dari Allah pencipta segala hukum dan Maha Adil. Maha Pengasih dan Penyayang.

PEMIKIRAN
Kita sebagai negara berpelembagaan dengan Islam agama rasmi, wajar menghormati tindakan yang diambil ke arah penegakkan hukum Allah dan bukan pula menggambarkan sesuatu yang kurang enak tentang hukum Tuhan ini. Jika kita masih belum mampu melaksanakannya, jangan diperlekehkan jika orang lain melaksanakannya. Kesannya, pada kita negara berbilang bangsa adalah serupa menggambarkan Islam itu sesuatu yang menyukarkan, menyiksakan, tidak relevan dan segala anggapan yang buruk-buruk boleh timbul. Kita patut ‘promote’ Islam dan bukan sebaliknya. Jika Jepun yang tidak kenal semua yang saya perkatakan di atas, itu juga tidak terkecuali dilanda bencana Tsunami, gempa dan…., jangan kita dilanda bencana kerana keceluparan tanpa sengaja kita dengan Pencipta. Menggigil lutut saya mengenangkannya…..

RENUNGAN
Ajaran Islam menegaskan, kehidupan di dunia akan disusuli dengan akhirat (meminjam juga yang gemar menggunakannya). Jadi segala sesuatu di dunia ini semuanya bersifat sementara. Hanya Allah yang kekal. Jadi jika benar pun wanita yang dihukum sebat sembilan kali oleh tukang sebat itu pengsan dan kelihatan tersiksa dengan hukuman itu, itu semua beralasan dan bersebab. Itu saya lihat sebagai Hudud. Hudud menurut kamus Dewan Bahasa yang ada dengan saya membawa maksud “1. (jamak bagi had) batasan atau peraturan; 2. hukum yang telah ditetapkan oleh Allah dan tidak boleh diubah-ubah oleh manusia seperti hukum zina, murtad, dan minum arak. Para Ustaz dan Ustazah di Malaysia yang memang ramai pasti boleh memberi penerangan lebih. Penulisan saya yang terbatas ilmunya dan masih lemah asasnya namun masih dalam usaha meraih fikrah seimbang ini dah sampai kepenghujungnya untuk hari ini. Cukuplah dulu...........




Tiada ulasan:

Catat Ulasan