Sabtu, 2 April 2011

MINAT DAN MAHU MENJAHIT

Awal berbicara mengenai ilmu jahit menjahit mengingatkan kita pada warisan seni jahitan nenek moyang atau ibu. Orang tua-tua dahulu biasanya mengatakan ilmu ini semacam penting untuk kaum wanita. Setidak-tidaknya belajarlah memegang jarum dan benang. Tajam-tajamkan mata untuk masukkan benang ke dalam lubang jarum. jangan lupa simpul dihujung sebelum mula menjahit. Jika tidak mahu 'manjahit angin'. Paling kurang belajarlah menampal yang koyak. Menaupkankan yang terbuka/tertetas. Selain kaum wanita itu ditekankan untuk belajar masak-memasak, ilmu jahitan juga dipandang penting. Kepandaian dalam selok belok membuat pakaian itu memerlukan kepada kemahuan dan keinginan. Untuk saya, asas soalan yang menjebak adalah, "Bagaimana? - Bagaimana boleh jadi macam tu yea? Setujukah anda jika saya katakan kebolehan dan kepandaian itu boleh dicari dan pelajari.  Didahului dengan keterujaan bercampur minat dan keinginan dan seterusnya mahu mencuba-cuba. Lantas timbul pula rasa cinta!

Blaus - antara yang asas untuk bermula. Hujung lengan bermanik tu, suka-suka mencuba!


Di alaf millinium, sebutan urban memanggilnya Seni Rekaan dan Fesyen. Kelihatan dan kedengaran 'high standard' sikit. Ini sudah melangkau sedikit ke hadapan dari yang asas. Saya sendiri masih belajar. Jadi perbicaraan saya pastinya terhad kepada apa yang hanya saya ketahui. Selebihnya, Insyaallah jika ada rezeki mahu juga mendalami. Sesungguhnya semakin banyak kita pelajari , serasa makin ada yang perlu ditanya.
Proses pembelajaran itu tidak statik malah teramat dinamik. Semoga sama-sama dapat kita melangkah ke hadapan. Sama-sama berkongsi ilmu demi kebaikan. Mudah-mudahan, Insyaallah!

Pasti ada yang terdetik, mengapa perlu kita menjahit pakaian sedangkan terdapat terlalu banyak pilihan. Pergi saja ke kedai atau emporium mahupun supermarket, nah bermacam-macam pilihan sehingga juling biji mata dan terjojol bebola mata. Mata naik rambang dan sukar pula membuat pilihan. Sesungguhnya, ini membawa saya kepada kenangan di zaman kecil-kecil dahulu. Saya mempunyai 6 adik beradik. 3 pertama perempuan. Kakak, saya dan adik. Keempat dan lima lelaki dan keenam balik perempuan. Emak saya pernah menceritakan bagaimana dia semasa baru bertunang meminta izin dari Allahyarham bapa untuk belajar menjahit. Waktu itu baru tunang-tunangan. Namun permintaan itu ditolak oleh bakal suami. Menurut cerita Emak, Allahyarham bapa itu seorang yang 'protective'-singkatannya kini 'sedikit kuat cemburunya'. Faham-faham sahajalah. Terlebih sayang agaknya!. Beliau katakan pada Emak saya untuk beli sahaja pakaian untuk anak-anak. "Buat apa leceh-leceh nak menjahit".

Namun sampai satu ketika, masa saya di sekolah rendah dekat Hari Raya Aidilfitri, terlongo dan nyaris menepuk dahi bapa dibuatnya kerana upah menempah pakaian kami bertiga dan emak mencecah RM200. Waktu itu jumlah sebegitu dikira besarlah. Maklumlah bapa hanya pekerja biasa dan banyak mulut yang perlu diberi makan. Persekolahan lagi. Tambahan gaji masih rendah. Di situ Emak 'memulang paku buah keras' dengan santun. "Kalau kita pandai menjahit, dapat juga meringankan bebanan upah tempahan pakaian". Allahyarham hanya tersenyum sipu ala miau-miau. Mahu taknya, bayar sahajalah. Sewaktu mendengar cerita ini dari emak saya merasa sedikit kasihan pada emak. Menurut emak waktu itu yuran belajar menjahit sangat murah, bukan seperti sekarang ini. Boleh saja mencecah ribuan ringgit. Lebih lagi pun ada. Lihat kepada tahap-tahapnya. Namun atas sedikit kenaifan bapa dan ketentuan Ilahi tiada rezeki emak untuk belajar tentang jahitan secara formal.

Menjahit ini dapat dikatakan suatu aktiviti yang menyeronokkan. Ada yang menjadikannya sebagai aktiviti mengisi masa senggang. Terdapat juga yang menjadikannya sebagai punca pendapatan. Ini dikuatkan lagi dengan bertambahnya kewujudan pusat-pusat latihan bagi memberi kemahiran seni jahitan atau pun Seni Rekaan dan Fesyen untuk mereka yang berminat dengannya. Kolej Segi dan Kolej Komuniti adalah diantaranya (yang saya perasan). Seperti yang disebutkan di awal tadi, jika dalam pemakanan pun kita ada kepelbagaian, begitu lagi dengan dunia pemakaian@fesyen. Ia berkembang sealiran dengan persedaran zaman.

Dicampur, tolak dan dikali bahagi dengan faktor-faktor semasa. Contohnya kini Busana Muslimah begitu mendapat perhatian. ia adalah keadaan di mana masyarakat Malayu kita yang beragama Islam mahu kelihatan anggun bergaya dalam berfesyen di samping tidak melanggar batasan aurat. Tambahan kita ketahui Islam juga agama yang bukan jumud. Terdapat pesanan Nabi(harap tidak salah mengingat), mengatakan umat Islam bila datang berkumpul@bergaul dengan orang ramai, digalakkan membaguskan dua perkara. Itulah pakaian@pemakaian dan kenderaan. Huraian lanjut rasanya, dapat kita fikir bahawa ia mesti mengutamakan syariat. Jangan pula keterlaluan berfesyen sampai teralpa dan tercuai. Minta dijauhkan.

Rasanya jauh juga penulisan ni dah pergi. Saya ringkaskan sahaja bahawa menjahit ini sebenarnya begitu sebati atau dekat sahaja dengan jiwa kewanitaan. Apa tidaknya, jarang ada wanita mana yang tidak suka kepada pakaian dan jenis-jenisnya. Itu belum lagi dengan aksesorinya dan segala macam kraftangan yang boleh dilakukan. Ada yang berasap mesin jahit tu dibuatnya. Jika boleh pasang enjin roket atau torpedo pada mesin itu, harus ada yang teringin. Ini saya faham kerana tidak sabar-sabar nak menyiapkan sesuatu yang telah dimulakan.  itulah 'thrill'nya

Namun seperti biasa, setiap manusia ada keterbatasannya. Bagi mereka yang sememangnya 'ada hati' dalam bidang ini, berusaha dan teruskanlah (cakap untuk diri sendiri dulu). Jika yang tiada 'taste' ke arah itu, tidak mengapa-kita semua saling perlu memerlukan. Jadi saya akhiri dulu untuk kesekian pagi ini. Besok perlu bangun awal. Ada perkara yang masih belum selesai..........Wassalam.    

2.05am@3/4/11

Tiada ulasan:

Catat Ulasan