Rabu, 8 Julai 2009

LELAKI, WANITA DAN RUMAHTANGGA

Lama sungguh rasanya tak menambah entri dalam blog ni. Sehari ke sehari ingat nak menulis, namun terdapat banyak pula perkara lain yang mengambil keutamaan. Lebih dari itu, saya suka dan akan menulis bila hati benar-benar rasa senang dan damai. Itulah cerewetnya!

Kali ini saya ingin kongsikan tentang sesuatu yang saya baca. Saya merupakan penggemar ‘Mingguan Wanita’. Rasanya ramai yang kenal dan tahu. Ia merupakan sebuah majalah yang sarat dengan isu-isu perhubungan dan kekeluargaan. Selain terdapat juga kisah kemasyarakatan, info kesihatan, psokologi dan motivasi tak ketinggalan resepi. Sesuai dengan namanya- keluarannya adalah seminggu sekali dan berharga RM3.30. Tak dinafikan terdapat banyak iklan-iklan didalamnya terutamanya terdiri dari produk-produk kecantikan dan kesihatan. Namun, pandangan saya ia masih dalam keseimbangan. Kira masih berbaloi.

Setiap kali mula membaca, saya gemar dahulukan dengan ruang ‘Yang Elok Itu Budi’ oleh Nuri Supian selaku Editor. Setiap yang dipilih untuk diperkatakan diruang itu begitu nyata dan jelas hakikatnya. Bila membacanya saya seolah-olah mendengarnya diluahkan terus dari hati sipenulis. Apakah saya yang terlalu emosional atau memang tulisannya itu bertepatan dengan ruangnya yang utama dan persoalannya yang diutarakan menyentuh masyarakat kini. Sesungguhnya tulisan itu selayaknya dari seorang Editor.

Terbaru dalam milik saya, keluaran bertarikh 3-9 Julai dengan Amy Mastura dan dua orang anaknya. Di sini Nuri Supian telah berkongsi bersama-sama pembacanya akan satu emel yang mengisahkan tentang ciri-ciri Lelaki Sejati. Kita maklum dalam dunia yang kategori akhir zaman ini, permasalahan dan kegawatan dalam kehidupan juga seiring dengan kegawatan dan kemelesetan ekonomi. Malahan kedua-duanya juga tak dinafikan ada perkaitan. Tak salah kiranya jika dikatakan wang juga menjadi punca keberantakan dalam rumahtangga dan boleh menyebabkan keruntuhan sekaligus perceraian.

Berbalik kepada ciri Lelaki Sejati tadi, saya memetik emel itu yang mengatakan:

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari bahunya yang kekar, tetapi dari kasih sayangnya pada orang sekitarnya…..

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari suaranya yang lantang , tetapi dari kelembutannya menyatakan kebenaran…..

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari jumlah sahabat disekitarnya, tetapi dari sikap bersahabatnya pada generasi muda bangsa…..

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari bagaimana dia dihormati di tempat bekerja, tetapi bagaimana dia dihormati di dalam rumah…..

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari kerasnya pukulan, tetapi dari sikap bijaknya memahami persoalan…..
Lelaki sejati bukanlah dilihat dari dadanya yang bidang, tetapi dari hati yang ada dibalik itu…..

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari ramainya wanita yang memuja, tetapi dari komitmennya terhadap wanita yang dicintainya…..

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari jumlah tanggungjawab yang dibebankan, tetapi dari tabahnya dia menghadapi liku-liku kehidupan…..

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari rajinnya membaca kitab suci, tetapi dari konsistennya menjalankan apa yang dia baca…..

Selepas mengamati dan berfikir, hati kecil saya sangat bersetuju dan saya juga mengambil sebahagian besarnya yang mana juga bersesuaian untuk wanita dalam caranya tersendiri…….

Jelas sekali lelaki itu berperanan sebagai pengemudi bahtera, manakala wanita disisinya yang telah diambil sebagai isteri adalah pembantunya. Hubungan keduanya mesti berteraskan kasih sayang dan persefahaman (dalam susah mahu senang). Atas dasar itu diakali mereka (lelaki) dengan 9 akal (supaya panjang pemikirannya) dan dinafsui mereka dengan 1 nafsu (wanita). Bagi wanita pula sebaliknya. Oleh itu kaum Hawa itu sesuai dengan fitrahnya bersifat lemah fizikal mahu pun mentalnya jika dibandingkan dengan kaum Adam. Apa yang diperlukan adalah difahami, dibimbing, dididik dan dipimpin untuk keserasian dan kesefahaman dan disulam dengan kasih sayang yang jujur lagi ikhlas berteraskan 9 akal yang ada pada lelaki. Jika nafsu yang 1 itu menguasai akal yang 9. Dapat kita bayangkan....... Sesungguhnya, rumahtangga yang aman, damai dan tenang dengan Mawaddah Ar Rahmah adalah impian semua………..