Sabtu, 7 Julai 2012

SERINGKAS ITU HIDUP MANUSIA.....


Bila disebut kehidupan umpama roda, faham kita ialah roda itu bulat dan berpusing. Bermakna sebentar kita akan berada di atas, sebentar akan berada dibawah. Sebentar kita boleh berada di kiri, sebentar boleh berada di kanan. Akan kita singgah di setiap ‘point’ di mana selagi ia dalam putaran roda tersebut. Selain itu, semenjak di sekolah rendah juga kita telah diajar akan perihal ‘Life Cycle’ atau Pusingan Hidup. Terkenalnya adalah untuk nyamuk, lipas, katak atau beberapa yang lain. Melihat contoh dibawah adalah ‘Life Cycle’ untuk seekor rerama.


Rajah itu mungkin tidak memasukkan peringkat akhirnya. Itulah ‘mati’. Mmm...tak suka bicara perihal mati? Itu bererti tidak mahu pahala. Mengingati mati itu sunnah. Ada ganjaran. Sesuatu perbuatan yang ada ganjaran kebaikan, mestilah kerana baiknya pula perbuatan tersebut. Tidak mungkin sebaliknya. Buat jahat di balas baik! Oh...sesungguhnya tidak begitu. Gambarajah yang di atas itu telah menyerlahkan rasa takut, gerun dan betapa manusia andai dapat tidak mahu pada 'mati'. Itu kelemahan manusia. Hanya mengimpikan yang indah-indah. Mahu berkekalnya nikmat. Itulah.... Ilmu Sains terhad setakat itu. Selebihnya adalah ilmu jiwa. Ilmu jiwa hamba. Rerama itu secara fitrah sahaja juga memilikinya. Walau rerama itu sendiri dengan jiwa serangganya kenal Tuhannya, sedar dan tahu dirinya hanya serangga, berusaha meneruskan hidup selayaknya dengan dunia keseranggaannya. Percayalah! Serangga itu juga mengingati Tuhannya. Berzikir pada Penciptanya. Dia sedar dan tahu keindahan dirinya dengan sayap yang penuh warna-warni itu tidak kekal, ada jangka lupusnya. Ada pengakhiran pada kehidupan yang dipinjamkan Penciptanya itu. Dari sini, kita tahu bahawa setiap yang hidup@bernyawa itu pasti ada matinya. Tak terkecuali manusia. Selain kita tahu benda yang tidak hidup pula akan berakhir dengan musnah@rosak binasa. Jadi benarlah bahawa keseluruhan alam ini bersama isinya adalah bersifat fana’@sementara dan Pencipta alam ini sahaja yang bersifat baqa’@kekal, itulah Allah, Tuhan sekalian alam. Penguasa tujuh lapisan langit dan bumi serta apa sahaja yang ada diantara keduanya, juga melepasinya, yang zahir dan yang ghaib.

Melihat pula kepada diri kita sebagai manusia, terasa kita terlalu jauh lebih bertuah dari sebuah roda dan juga dari seekor rerama atau dari sebatang pokok kelapa. Ini kerana roda, rerama dan pokok kelapa itu tiadalah dibekalkan 'akal.' Walau difahami mereka juga ada 'rasa'. Akal itulah yang membezakan antara manusia dengan kelompok ciptaan lain itu iaitu binatang, tumbuhan dan benda bukan hidup. Jadi sekali lagi sahih juga apa yang dikatakan, telah diciptakan manusia itu sebagai sebaik-baik dan seindah-indah ciptaan. Terasa amat bertuah bukan? Tuah manusia tidak terhenti setakat itu sahaja. Suka saya melihat pada ayat 78-81, dari Surah Asy-Syu’ara. Empat ayat itu. Oh! Seringkas itu kehidupan manusia. Walau kita melalui masa yang berpuluh-puluh tahun di atas mukabumi Tuhan ini, kehidupan di dunia itu hanya seringkas empat ayat tersebut. Ayat-ayat ini adalah penceritaan tentang kata-kata Nabi Ibrahim a.s yang dalam usaha menyedarkan kaumnya untuk kembali mentauhidkan Allah. Melalui terjemahannya ayat-ayat tersebut adalah seperti di bawah:
 
78. “Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku;

79. “Dan Tuhan yang Dialah juga memberiku makan dan memberi minum,

80. “Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku;

81. “Dan (Dialah) yang mematikan aku, kemudian dia menghidupkan daku;
 
Lihat sahaja keindahan perkataan dalam empat ayat tersebut. Untuk pertama kali tiba ke dunia, ia disebut sebagai ‘ciptaan’. Ciptaan itu jelas merujuk sesuatu yang dari asal tiada kepada ada. Kemudian diberi pula kita ‘pimpinan dan petunjuk’. Ini pasti sahaja merujuk kepada kehadiran para Nabi dan Rasul juga kita-kitab yang diturunkan Allah. Itu juga tuah terbesar kita, sebagai manusia. Jika para Rasul dan Nabi itu manusia yang terpimpin kerana menerima wahyu. Kita yang juga manusia pula, selayaknya menurut pula apa yang disampaikan melalui kitab-kitab. Ayat kedua yang menyentuh perihal ‘makan dan minum’. Itu juga dapat dilihat sebagai rangkuman kurniaan rezeki dalam kehidupan kita. Sudah pasti ia tidak terhad hanya pada makan dan minum. Lebih dari itu kita berkeluarga, punya anak, punya kerjaya, punya harta, pangkat  dan apa-apa sahaja yang Allah izinkan kita memilikinya. Ayat ketiga menyentuh perihal ‘apabila sakit’. Perkataan ‘apabila’ itu sekali lagi menggambarkan kekuasaan dan bijaksananya Allah selain keindahan bahasa Arab. Ia menunjukkan bahawa sakit itu boleh jadi ada atau tiada. Boleh datang dan pergi. Bukan pula sesuatu yang ‘mesti’. Pernah dengar bahawa Firaun adalah seorang yang tidak pernah sakit. Itu menjadikan diantara kesombongannya juga. Diikuti pula dengan perkataan ‘sembuh’. Itu menguatkan penggunaan perkataan ‘apabila’ pada sebelumnya. Ayat keempat itu adalah dikatakan sebagai pengakhir hidup, kerana menyebut kematian. Namun ia tidak berakhir di situ. Di susuli pula kita dengan suatu ‘kehidupan’ selepas mati. Keidupan yang hakiki. Kehidupan yang tiada kesudahan@infiniti. Kehidupan di alam satu lagi. Alam akhirat. Ya! Seringkas itu hidup manusia di dunia ini. Dalam purata masa 60 tahun(menurut jangkahayat biasa). Seringkas itu kehidupan manusia di dunia. Serupa sahaja melintas sebuah jambatan. “Maha Suci Allah! Janganlah kau jadikan hidup kami sesuatu yang sia-sia. Pimpin dan tunjuki kami dan lembutkan hati kami menerima pimpinan dan petunjuk dariMu.”

Oh! Kenapa perlu bicara soal mati. Di pagi Ahad ini, masa nak bersantai. Peribadinya saya teringatkan, sedikit masa lagi, Ramadhan bakal tiba. Terkenang pada Allahyarhamah ibu bakal genap setahun pemergian Allahyarhamah ibu, pada 3 Ramadhan. Ramadhan, tetamu agung tahunan yang belum pasti dapat kita menyambutnya. Jika bertemu juga belum pasti dapat 'meraikannya'. Mudah-mudahan dapatlah kita bertemu dengan Ramadhan kali ini dan diberi kesihatan yang baik untuk meraikannya seraya meraih kebaikan darinya untuk menjadi sebahagian antara bekalan terbaik sebelum pulang kepada Pencipta. Ramadhan itu bulan berkat. Satu bulan yang diberi dalam setahun, untuk dimanfaatkan dengan gandaan ganjaran yang besar atas setiap amal dan kebaikan yang dilakukan. Andai kita sudah mula berfikir tentang persiapan Hari Raya. Baju raya, langsir raya, kasut raya….tenang-tenangkan sedikit jiwa. Fikir juga tentang satu malam dari seribu bulan yang penuh berkat dan nikmat itu. LAILATUL QADAR. Ya! Siapalah kita untuk mendapat anugerah sebesar itu? Bukan pula kita alim, ulamak, Ustaz mahupun Ustazah. Namun ketahuilah….Allah itu mengetahui setiap detik hati, apalagi niat kita. Itu yang menjadi pusat tumpu pandangan Tuhan pada hambaNya. Jadi usaha sahaja untuk ikhlas dan syukur. Terjemahkan pula dengan amalan tanpa mengharap balas, iaitu semata-mata menurut perintah dan dengan jiwa hamba sahaya. Siapa tahu Lailatul Qadar itu menjadi milik salah seorang dari anda….Siapa tahu? Andai tidak juga, tiada ruginya. Biarkan malam itu menjadi satu malam di mana pintu hati diketuk ‘rasa’. Rasa perlu yang amat kepada Tuhan yang menjadikan kita dan akan pulang kita kepadaNya. Mungkin ‘sekelumit rasa’ itu kelak menjadi penyelamat kita di alam sana.....

10.00am@8/7/2012