Bismillahirrahmanirrahim.
Al-Quran, Al-Furqan, Al-Kitab....Itulah Kalamullah. Membaca dengan mematuhi syarat rohani dan jasmani mampu menjadikan Allah seolah-olah berbicara kepada sipembacanya. |
Entah di mana mahu rasa mula berbicara. Perasaan
inilah yang sering menerjah diri bila mahu menambah entri. Blog ni nyata sekali
bukan blog perniagaan atau seangkatan dengannya. Bila mahu, ditulis. Bila
tidak. Begitulah. Tidak perlu saya mengikat diri. Semua yang dihitamputihkan di
sini adalah asasnya dengan kerelaan. Tiada pula mengikat diri mesti begitu
begini. Namun tak dinafikan, tiap perkara kecil, lebih lagi besar mesti juga dibuat
dengan proses berfikir. Mahu menulis sesuatu entri juga begitu. Perkara pertama
mesti berfikir tentang apa manfaat yang mahu diselitkan didalamnya. Begitu,
baru ada kepuasannya kerana telah berusaha menepati ciri-ciri perkongsian yang baik.
Tak pasti
entahkan berapa lama sahaja blog ini dapat bertahan. Seorang seperti saya yang
tidak begitu tahu selok belok IT mahu pun berblog, memang berblog semata-mata
untuk menulis dan jika ada yang sudi membaca dan dapat pula mencari manfaatnya
dalam serba kelemahan tulisan tersebut, itu saja sudah tetap berhasil untuk insan
kerdil di hadapan Allah ini. Apa sekali pun setiap yang dicatitkan tetap ada nilai
sentimentalnya secara peribadi. Begitulah, seorang manusia menjalani hari-hari yang disempurnakan
Allah dengan segala kekurangan yang sentiasa melingkarinya. Hanya Allah yang Maha Sempurna.
Semuanya yang
terakam blog adalah semata-mata untuk sebuah perkongsian kehidupan yang
serba biasa. Masih terlalu amat jauh dari sebuah kesempurnaan. Boleh dan dapatkah kita
sebagai manusia merasa puas dan merasa lengkap atau ringkasnya merasa sudah
sempurna?. Dengan segala kemahuan dan kehendak yang tak berkesudahan serasa
tidak memungkinkan. Selepas mencapai sesuatu, pasti muncul kehendak yang baru.
Setelah habis melaksanakan sesuatu yang dangkat sebagai satu tanggungjawab,
akan tiba pula tanggungjawab yang baru. Ini selaras pula dengan petikan ayat
dalam Al-Insyirah ayat 7 dan 8 bermaksud:
"Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih),
maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain).
Dan kepada TuhanMu sahaja hendaknya engkau memohon (apa yang engkau gemar dan
ingini).
Ringan mahu pun berat tanggungjawab, cubaan atau
pun dugaan ataupun kesenangan(juga antara cubaan) tersebut telah diatur oleh yang Maha Pengatur, Maha Teliti lagi Maha
Halus. Dapat kita fahami melalui sebahagian potongan ayat dari surah Al-Baqarah ayat 286 bermaksud;
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya
olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung
dosa kejahatan yang diusahakannya. ........
Proses kehidupan manusiawi tersebut berterusan. Dari
satu fasa ke satu yang lain. Bermula dari kelahiran. Menyentuh tiap titik,
menurut aturan Maha Kuasa. Serupa waktu kanak-kanak....Melukis gambar sesuatu objek menurut sambungan lakran titik-titik bernombor yang disediakan. Bermula dari satu hingga lengkap gambaran objek yang disediakan. Kita juga seperti itu. Itu gambaran kehidupan. Lebih dari sekadar melukis seperti seorang kanak-kanak, kehidupan itu ada arusnya. Tak terkecuali ada
gelombangnya mahu pun badainya. Semoga kapal-kapal kita cukup kukuh untuk
melayari arus yang ada kalanya mengganas tanpa sebarang amaran. Selain cukup
pula bekalan untuk menjamin kelangsungan hidup. Andai berpeluang singgah di
hentian-hentian tertentu, mengutip dan mengumpul 'bekalan tambahan'. Mesti
berlatih pula menjadi jurumudi yang peka dengan sebarang perubahan cuaca yang
melanda. Serba sedikit menguasai ilmu menafsir hala tuju kehidupan. Lagi awal sesuatu persiapan dibuat, memberi peluang
keselamatan yang lebih. Memberi peluang yang cerah bagi satu perlabuhan yang
menyelamatkan diri dan seisi kapal.
Hatta, satu-satunya kesempurnaan yang dimahukan
dalam sebuah kehidupan, itulah kesempurnaan di saat seorang hamba menghadap
khaliqnya. Meninggalkan kesementaraan menuju keberkekalan. Sebuah pemergian yang entahkan sempat meninggalkan pesanan. Diberi ia nama kematian, yang ada sesetengahnya memaling dari memikirkan. Mengapa? Sedangkan ia adalah suatu kemestian. Kemestian yang seringkali pula meragut kelazatan dan kesedapan nikmat kehidupan dengan secara tiba-tiba. Tanpa sebarang isyarat jauh lagi amaran. Kejamkah kematian? Bukankah sebaliknya manusia yang seringkali berlaku kejam terhadap diri sendiri kerana lalai dari mengingatinya? Lantas melucutkan sendiri peluang mempersiapkan diri? Oh!... La ila hailla anta subha naka inni kuntu minadzalimin.
Manusia wajarnya bergerak kepada pencarian sebuah kesempurnaan dalam
kemampuan meredhakan 'saat tersebut' dan utamanya mendapat redha dariNya. Itu
kemuncak kesempurnaan sebuah kehidupan yang sementara. Teringat saya pesan Ustazah
Norhafizah Musa yang gemar mengingatkan
bahawa seringlah mengingatkan diri dengan kata-kata, "Wahai diri sesungguhnya, dunia ini bukan kampung mu. Kamu akan
pulang ke tempat kekalmu, iaitu kampung akhirat." Ustazah sering
menuturkannya dengan nada yang memagut rasa hati saya. Saya suka. Ia suatu penyerahan yang beralasan kepada kebenaran lagi haq. Untuk lebih jelas, motivasi terbaik itu datang
dari Pemilik Seisi Alam untuk insan memikir keutamaan dan keperluan bagi meraih
kesudahan yang baik tersebut dapat kita bersama hayati dari potongan-potongan ayat
al-Quran: Surah Al-Fajr, bermaksud:
27. (Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan
akhirat, tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal solih
akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang
sentiasa tenang dan tetap dengan bawaan baiknya!--
28. "Kembalilah kepada
Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati @redha(dengan segala nikmat yang
diberikan), ladi diredhai (di sisi Tuhanmu)!--
29. "Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang
berbahagia--
30 "Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!"
(Tersenyum seorang). Asalnya mahu menulis perihal
lain, lainlah pula yang terzahir. Itulah..... saya seringkalinya, ternyata
menurut gerak hati dan cetusan spontan darinya. Kemudian sahaja untuk entri
yang dirancang sebelumnya. Sekadar itu buat masa ini dari seorang yang tidak
memiliki tetapi dimilikiNya. Tidak punyai tapi dipunyaiNya. Hanya berdaya dengan Laa haula wala quwwata illa billah.
Dari satu jiwa kerdil yang tak terkecuali gemar meluah pandangan peribadi
terhadap sesuatu perkara yang menarik minat dan rasa hati. Wassalam.............