Assalamualaikum!
Alhamdulillah masih diizin
Allah menjadi antara yang hidup di mukabumi ini. Di saat kita membuka mata,
melafaz syukur kerana masih ada umur yang akan jalani, di tempat-tempat lain,
entahkan berapa ramai yang sudah ditamatkan keberadaan mereka di dunia ini.
Ringkasnya dipanggil semula oleh Allah untuk menghadap kepadanya. Jadi memang
teramatlah perlu kita melafaz syukur dalam Doa
Bangkit Tidur. Masih diberi masa dan kesempatan. Mencuba meraih melengkapkan diri dengan amal dan usaha baik.
Bila sebut perihal syukur,
tak terlepas kita dari menyamakan ia dengan kata terimakasih. Itu bahasa kita
manusia biasa. Dalam Al-Quran yang menggunakan Bahasa Arab, disebut selalu
sebagai syukur. Allah Maha Tinggi ilmunya dan penetapan telah mengatur
penurunan Al-Quran seiring dengan kebangkitan Rasulullah s.a.w. Begitu ia
berpasangan(Rasulullah dan al-Quran). Itu juga mukjizat terbesar Rasulullah dan
akan kekal ditinggalkan untuk kita umatnya, selaku umat di akhir zaman. Dibangkitkan Rasulullah untuk sekalian alam sebagai rahmat. Begitu diikuti dengan Al-Quran.
Selalu dan biasa disebut
hukum berpasangan. Dalam kehidupan ini biasa. Diciptakan Adam, kemudian Hawanya. Begitu ada langit dan bumi, siang dan
malam, bulan dan bintang. Itu pada kejadian alam. Melihat pada kehidupan
manusia pula. Ada bahagia, bersilih duka. Ada kaya, ada miskin. Ada kelahiran,
ada kematian. Ada kebaikan, ada kejahatan......Senarai yang tidak akan ada
hentiannya. Senantiasa akan wujud sesuatu samada objek, suasana, perasaan yang
saling bertentang antara satu sama lain. Pada kita manusia sering kita lihat
ini dengan mengasing-asingkannya. Sebahagian kelompok kelebihan dan kebaikan
dan sebahagiannya dalam kelompok kekurangan dan keburukan dalam hidup. Begitu
juga saya yang bendul ini. Selalu melihat dengan mata fizikal. Sekonyongnya
merasa senanghati bila mendapat segala yang selaras dengan kemahuan, kehendak
yang berkumpul dalam nafsu diri dan memasukkan ia dalam kelompok kebaikan dan
terbuai leka. Sebaliknya bila mendapat kekurangan dan tidak capai hajat, mudah
kecewa dan ada kalanya berasa tak keruan, keluh kesah, gundah gulana dan
terbuai duka. Berhempas-pulas mencari jalan untuk membetul keadaan. Itulah
sifat manusia biasa. Tak habis-habis melihat sesuatu dengan mata fizikal dan
meletakkan nafsu sebagai barometer. Terasa seperti ada hentakan penukul atas
kepala sendiri. Setiap kita ada penukul masing-masing. Tanpa sedar ia
terus-terusan memukul kita.
Dalam pada itu kita sebagai
insan biasa sering terlepas dari merenung firman Allah dalam ayat "Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah
dan Maha Penyayang." Pernahkah kita bertanya mengapa selalu kita
disaran untuk melafaz kata Bismillahirrahmanirrahim untuk setiap perbuatan atau
pekerjaan. Malah ada juga antara manusia yang mampu menjadikan ia seperti satu
zikir untuk diri mereka. Masih juga saya ingat(harap tak tersilap) satu kisah
wanita yang mahu diperkena oleh suaminya meletak ular dalam sejadah kemudian
menjadi ketulan emas, berkat bacaan Bismillah yang tak putus-putus dalam setiap
perbuatannya. Namun bukan itu yang kita tuju. Ambil saja ia sebagai satu kisah
kebesaran Allah dan anugerah untuk wanita tersebut. Dalam keadaan lurus dan
bersih hati serta berdepan penganiayaan, dia mendapat pembelaan Allah sekaligus
kurniaan. Itu bahagian dia.
Jika dirujuk pada surah Al Fatihah(Ibu Kitab), itu juga ayat
yang pertama antara yang tujuh. Nyatalah ada sesuatu yang besar patut dilihat
dan direnung. Renung apa? Biasalah baca saja dah dapat pahala. 1 huruf x 10.
Kita sebenarnya perlu merenung dan mendalami pada Rahman(Pemurah) dan Rahim(Pengasihsayang)---juga
diletak berpasang. Bermakna sesuatu yang kita buat itu kita patut mulakan dengan
ingatan pada Pemurah dan Kasihsayang Allah. Maka apa sahaja hasilnya, samada ok
tau ko. Muktamad!!! itulah dari Allah. Jika baik hasilnya itu tanda Pemurahnya
Allah. Manusia meminta, Dia memberi. Jika sebaliknya, Allah mahu mengajar kita
tentang KasihsayangNya. Pelajaran seperti itu tentu perlu lebih masa. Hanya
mereka yang mahu memperuntukkan masa dapat belajar. Kelas lanjutan. Biasalah,
mudah untuk menerima kebaikan. Namun tidak mudah mengambil pengajaran dari
kesulitan dan kegagalan. Pentingnya kita dapat melihat adanya perkaitan dengan hukum
berpasangan yang Allah 'timpakan' pada manusia khususnya muslimin, muslimat, mukminin dan
mukminat. Sering dikatakan bahawa Rahman Allah untuk sekalian alam, manakala
Rahim Allah untuk orang-orang Islam. Sejauh mana benarnya? Terfikir saya, kalau
begitu bagi orang-orang yang asalnya kafir kemudian mendapat hidayah itu apa
pula? Sesungguhnya, Allah itu Maha adil. Rahman dan Rahimnya untuk sekalian
makhluknya. Alam dan isinya. Cuma bila tiba kepada manusia, ciptaan terhebatNya(dek
kerana akal dll), jalan kebaikan dan kejahatan dibuka. Siapa yang mahu kepada
kebaikan dan mendapat lebih kasihsayangNya, mesti berusaha lebih pula bagi menarik
perhatianNya. Maklumlah siapalah kita, selaku hamba.....Sudahlah diciptakan
sebagai mahkluk yang paling sempurna dan ditundukkan pula isi dunia untuk
kepentingan manusia. Masyaallah, lantas apalagi yang patut dilakukan jika tidak
'mengingat-ingat' dan menyebut-nyebut segala nikmat dan kurniaan Allah pada
kita. Lantas sering mulut kita mengungkap Alhamdulillah(bersyukur pada Allah).
Apa ia terhenti di situ? Nyatanya nikmat itu juga satu cubaan dan dugaan. Jika
mendapat nikmat ada tanggungjawab juga. Biasanya nikmat itu perlu dikongsi
dengan yang lain. Dan ia tidak terhad kepada mereka yang ada pertalian darah
daging dengan kita sahaja. Tambahan secara umum semua muslimin dan muslimat itu
bersaudara.
Namun sering kita manusia
bersyukur hanya pada perkara-perkara yang memuaskan hati. Bagaimana untuk berdepan
dengan hukum berpasangan. Sisi gelap kehidupan. Tetap sahaja dengan ingatan Ya Rahman, Ya Rahim. Serulah Allah(sebagai
zikir dalam apa keadaan) dengan Kepermurahannya dan Kasihsayangnya yang
melimpahruah pada kita hambanya. Nyata Allah lebih tahu apa yang ada dalam hati
dan dada hambanya. Pernyataan zikir itu bukan untuk menunjuk kehebatan kita
mampu mengingat Allah berbanding orang lain. Namun ia adalah pernyataan kita
sebagai makhluk yang begitu lemah dan amat perlu kepada pembelaan dan
pergantungan kepadanya semata-mata. In Sya Allah Allah tidak mensia-siakan
seruan hambanya. Airmata kesukaran, kesedihan akibat dari kehidupan sementara
itu amat difahami Allah lebih dahulu dari kesukaran, kesedihan mahupun kesengsaraan itu menghinggapi diri
kita. Setiap titis tidak akan sia-sia jika ia jatuh jika diiringgi dengan ingatan
zikir hamba terhadap Rahman dan Rahimnya. Ia akan terangkat padaNya sebelum
sempat mengering di alam ini untuk dibawa sebagai amalan di akhirat kelak.
Tersimpan di dalam tabung zikrullah. Selain dengan izinNya juga permasalahan dunia akan diberi kemudahan dan penyelesaian sebaiknya. Allahu'alam.