Ahad, 12 Disember 2010

PIL PENENANG DALAM MASJID


Dalam alam rumahtangga, satu matalamat penting adalah supaya bersambungnya keturunan melalui zuriat yang bakal dilahirkan. Jarang ada yang menidakkannya. Kelahiran seorang insan ke dunia ini biasanya disambut dengan penuh rasa syukur dan gembira. Tidak terhad kepada kedua ibu-bapa malah atuk dan nenek juga saudara-mara yang lainnya.

Namun tidak disangkal terdapat juga manusia-manusia yang telah termakan hasutan syaitan sehingga sanggup membuang bayi-bayi yang lahir atas nama dosa yang diperbuat mereka, walau bayi-bayi tersebut sememangnya langsung tidak berdosa. Ini persoalan yang sedang sarat bernanah dalam masyarakat kini. Saya tinggalkan persoalan ini dahulu.

Seorang bayi itu adalah penyeri kepada sebuah rumahtangga. Awal-awal 'graduate' dahulu, pernah saya bekerja di FIC (Foreign Investment Comittee), Unit Perancang Ekonomi secara kontrak, telah berkenalan saya dengan seorang kakak. Kak E namanya. Beliau menyampaikan kepada saya yang suaminya pernah melafazkan bahawa sangat bahagia dengan alam perkahwinan. Seandainya diketahui sebahagia itu, beliau mahu berkahwin pada umur 10 tahun. Saya hanya tersenyum dan tumpang gembira. Namun saya tahu tidak semua orang berasa begitu. Kak E antara yang berbahagia. Selain itu apa sahaja boleh berlaku dalam pelayaran sebuah bahtera. Panas, hujan, badai, mahu pun taufan antara risiko-risiko yang perlu diharungi. Sebagai insan usaha dan tawakkal yang mampu kita lakukan. Mendirikan sebuah masjid, tidaklah sesukar memakmurkannya dan mempertahankannya.

Zuriat-zuriat yang lahir itu sebenarnya adalah pil penenang kepada kedua orang tuanya. Jiwa ibu dan ayah yang lurus pasti melimpah kasih sayangnya kepada anak-anak mereka. Sebaliknya bagi jiwa mereka yang bengkok. Lazimnya ibu dan ayah sanggup berkorban demi kebaikan anak-anak. Ingat lagi saya bagaimana pengorbanan bapa saya demi membesarkan saya adik-beradik. Berhempas pulas bekerja. Kesihatan sendiri tidak sempat dipedulikan. Akhirnya buah pinggang yang telah gagal fungsi keduanya tanpa sedar sedikit pun. Itu membawa kepada perginya beliau buat selamanya (takdirnya sedemikian). Begitu juga ibu saya. Pernah bertahun-tahun tak terbeli baju baru bagi menyambut Hari Raya kerana mendahulukan anak-anak."Oh! Allah kau ampunkanlah kedua ibu-bapaku atas sebarang dosa-dosa mereka. Kau peliharalah mereka sama ada yang telah tiada dan yang masih bernyawa sebagaimana mereka telah memelihara (dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan) kami semasa kecil."

Untuk saya kini, menatap wajah si kecil memang terapi terbaik. Suami juga pernah melafazkan (waktu sedang penat pulang dari kerja) sambil mencium wajah mulus si kecil "Hilang rasanya penat abah", mmmm... Waktu itu terbit rasa syukur tak terkira pada Allah yang Maha Besar. Rumahtangga ini alam yang boleh jadi penuh dengan kejutan. Selalu perlu beringat-ingat dan ingat-mengingat. Memang tidak mudah. Namun tidak mustahil untuk mendapat kebahagiaan yang sewajarnya. Percantuman dua hati yang berbeza latarbelakang pasti menuntut pemahaman dan persefahaman yang tinggi. Lahir pula hati-hati kecil yang perlu kepada penjagaan dan pendidikan. Tanggungjawab telah bertambah.

Dalam kesibukan kita meladeni tuntutan kehidupan sering kita lelah dan letih. Saya yang di rumah pun kekadang tu sakit-sakit badan dibuatnya. Apatah lagi mereka yang keluar bekerja. Bagi ibu-ibu yang bekerja dan pulang pula melayan kerenah rumahtangga serta anak-anak, pasti lebih lagi. Ingatkan saja itu sebahagian dugaan dan Allah tahu anda mampu dengannya. Sebagai jalan ingin menenangkan jiwa renunglah dalam-dalam ke dalam anak mata zuriat-zuriat anda dengan rasa yang betul dan jiwa yang lurus (mohon pada Allah). Usapi mereka dengan salawat. Insyaallah jiwa akan hilang resah dan terbit rasa syukur lagi bahagia.

Note: Atas tu, anak 'boy' saya dengan 'walker' pinjam pada sepupu kembar dia. Sepupu perempuan sebab tu 'pink colour'). Kat rumah opah di kampung. (10.10am@13/12/10)




Khamis, 9 Disember 2010

IMPAK MAKSIMA

Maaf ini bukan arahan Ahmad Idham. Pelakonnya juga bukan artis terkenal. Tapi ini cerita saya. Boleh jadi cerita mereka yang yang diluar sana juga. Disampaikan melalui alam maya. Sesungguhnya ia realiti.

Malam tadi, sementelah sedang memasak di dapur, saya tertoleh ke arah TV yang sedang terpasang. Waktu tu berita. Kedengaran (jika tak salah pendengaran saya), "Tarif elektrik bakal dikaji semula. Keputusannya akan diketahui Januari. Saya agak terkedu (sikit lagi nak jadi mengkudu). Kepada diri sendiri saya katakan, "Eh! tak silapnya -adalah tahu petrol dah naik, air pun kecoh-kecoh" (saya tak berapa sempat nak ambil tahu melalui suratkhabar). Tapi sempatlah tersangkut dalam jem (kalau diberi roti - kenyang dah rasanya) pada minggu lepas (hari Ahad-di Mydin (promosi percuma) mendapatkan keperluan sekolah anak-anak) dek kerana demonstrasi jalanan khabarnya. Ini disahkan dengan berita pada malam tersebut.

Sebagai orang di rumah, saya tidaklah sempat untuk membaca suratkhabar depan ke belakang (kekadang tak baca pun). Jika tengok berita pun kekadang tak habis (selalu tak tengok pun). Radio pun kini selalu tak 'on'. Maklum anak empat. Ada 'baby' masuk sembilan bulan lagi. Tapi saya ada ambil tahu. Ini persoalan 'surviving'. Mahu atau tidak, jika ia hujan -tempiasnya akan mengenai. Jika ia api - bahangnya akan dirasai. Jika ia taufan - kita bisa diterbangi. Jika ia lumpur - kita bisa dipaliti. Menangislah dalam ketawa.

Pertama sekali keluh saya. "Kesian kat laki aku". Kena kerja keras lagilah jawabnya. Kerja makan gaji. Faham-faham jelah. Tapi saya juga terfikir. Rasa aku semua orang pun akan merasa bahangnya. Selagi bernama manusia dan hidup beralaskan bumi yang sama dan menjunjung langit yang sama.

Saya mengenangkan diri dan keluarga saya. Kami bukan keluarga yang kaya. Kami tidak mewarisi kekayaan dari sesiapa. Oleh itu juga kami tidak akan mewariskan kekayaan kepada anak-anak kami pada kemudian hari. Kami hanya orang biasa. Kami mempunyai rumah yang mesti dibayar ansurannya. Begitu juga kereta. Mempunyai bil-bil yang perlu dijelaskan. Kami mempunyai.........(panjang sangat, ponek den nak nulihnyo). Tuan ambo pikirlah sendiri.

Selain itu, untuk kami (saya dan suami), anak-anak menjadi 'priority' kini. Empat perut ini mesti diisi. Campur perut-perut kami (jangan tak kira pulak - mak dan abah perlu santap juga), dah enam perut. Bahasa 'rock' sikit - Enam' tembolok' nak diambilkira. "Oh! Allah kasihanilah kami. Ringankanlah bebanan kami." Anak-anak ni banyak memakan belanja. Maklumlah selain makan, persekolahan tu penting. Jika negara berhasrat ingin membentuk modal insan yang dapat mencapai 'Wawasan 2020' atau apalah!, kami ibubapa mesti berusaha memberi pendidikan yang terbaik. Ini semua memerlukan perbelanjaan. Tiada yang percuma bukan? Pendidikan dan dunianya sekarang menjadi sesuatu yang sangat 'komersial'. Semakin mahal harga jika ingin mendapatkan yang terbaik. Jika kita tidak mampu, pasti tercicir anak-anak kita. Lepas tu jangan terkejutlah jika gejala sosial meningkat. Ke tadika pun sekarang boleh tahan kosnya. Jika swasta apatah lagi. Sekolah kebangsaan lain kosnya. Sekolah agama lain kosnya. Pakaian, duit belanja, yuran, buku rujukan.....(sekali lagi den ponek).

Saya pernah belajar ekonomi. Tapi tak le pandai sangat. Saya mengetahui bahawa bahan asas (minyak, api, air) ini sememangnya menjadi faktor utama kenaikan harga barang. Jika harganya naik - harga barangan lainnya pasti naik (baru ura-ura nak naik-peniaga dah gelojoh naikkan, bila betul-betul naik, sekali lagi depa naik- 2x naik, pengguna yang sakit). Mmmm.... manusia memang begitu. Diberi segunung emas, mahu yang kedua. Rakus.... Nauzubillah!. Manusia rakus apa balasannya? Nanti den kajian.... Oklah! ada yang kata nanti dapat bonus, dapat kenaikan dan apa-apalah. Tapi kalau harga barang dah mencanak naik berbanding insentif-insentif tu, macam mana. Inflasi pulak kita. Silap-silap deficit juga yek . Kalau salah betulkan. Saya mungkin tersasar. Ekonomi rumahtangga ke ni?!!!

Semalam, saya sempat berbual dengan kakak jual goreng pisang (tokak toghingin - boli duo inggit). Saya saja 'initiate conversation'. "Minyak naik ye kak?". Dia menjawab dengan soalan "Minyak petrol?" (Mungkin keliru dengan minyak masak-maklum jual pisang goreng) ."Ya". Jawab saya. Katanya lagi "Hah! tulah, kalau kita jual 5 dua ringgit, ramai yang tanya kenapa. Diorang tak faham kita meniaga ni pun susah juga. Saya berniaga ni dapat 30-40 ringgit, cukuplah belanja anak-anak sekolah". Itu keluhan kakak tu. Keluhan anda bagaimana pula? Keluhan ini pasti berbeza dari jiwa ke jiwa. Allahua'lam.

Plot cerita saya ni adalah, apa saja keputusan oleh 'mereka' yang berkongsi berdiri di atas rumput yang sama dan mereka juga merenung bintang yang sama dengan kita- akan mengenai kita hanya kerana mereka ada 'kuasa membuat keputusan', tidak kita. Dimanakah kita yang katanya mahu didahulukan. Atau mereka hanya mendahulukan diri sendiri. Saya terus akan fikir-fikirkan....... . Den mungkin kono jua pisang goreng gak!Maaflah yo....

Den poi dulu. Nak masak bubor - tembolok kecik kang kosong lak. Meghaung si kocik! (Kolang-kabut nahu den.) - 9.45 am@4Muharram.






Rabu, 8 Disember 2010

HARI 'REJOICE' DAN HIJRAH YANG KEKAL !!!

Kita masih lagi dalam 'mood' Hijrah. Ya Hijrah ke arah kebaikan dalam apa jua yang kita pilih untuk berhijrah. Alhamdulillah! kita masih berkesempatan kerana diberi ruang oleh Pemilik alam ini. Tapi semalam ( hari Rabu, pada waktu kurang lebih sebegini 10.30 a.m), saya telah dikejutkan dengan Penghijrahan Kekal makcik saya. Beliau meninggalkan dunia ini menuju ke alam Barzakh. "Dari Allah kita datang, kepadanya juga kita akan pulang).

Satu lagi kematian yang mendepani saya. Lutut saya rasa lemah ketika mula mendengar berita tersebut. Lemah! kerana memikirkan Maha Kuasa Allah menghidupkan dan kita bakal dimatikannya juga. Ya! fitrah kejadian yang berpasang-pasang. Siapa boleh lari dari KEMATIAN? Ia pasangan kepada KEHIDUPAN. Itu aturan alam dan ketentuan Ilahi.

Saya usahakan supaya dapat menziarahi jenazah beliau. Lengkap sekeluarga saya ke sana. Adik beradik yang lain juga tidak ketinggalan. Sesampai di sana, jenazah tidak kelihatan. Diceritakan bahawa oleh kerana meninggal di hospital, keluarga beliau memilih untuk diselesaikan mandi dan sembahyangnya di sana. Selain prosedur mengeluarkan jenazah dari hospital memakan masa juga. Kami semua menanti. Bacaan Yassin beramai-ramai kedengaran.

Bagi saya yang membawa empat anak ini takkan lepas dari kerenah mereka. Masing-masing mengaduh lapar kerana sudah waktu makan. Suami membawa kami ke tempat makan. Hanya sebuah Restoran yang berhampiran. Takut terlepaskan melihat jenazah, kami redah saja. Rezeki anak-anaklah tu. Saya tiba-tiba melihat kelibat seorang yang pernah saya kenali dan masih saya ingati. Oh! Bekas guru kelas semasa di menengah 4 Sains 1 dahulu. Serbasalah mahu menegur atau tidak. Saya memilih menegur. Sambil mengepit 'baby', "Assalamualaikam!, Encik Zai..... A....... . Beliau menjawab, "Ya, saya." Saya memperkenalkan diri. "Saya F..........., bekas pelajar di SM..... Beliau tersenyum. Masih seperti dulu. Tak banyak perubahan. Susuk tubuh, wajah, gaya berjalan. Cuma rambutnya hampir putih semuanya. Riak wajahnya sedikit di makan usia.

Saya tidak pasti sama ada beliau masih ingat pada saya. Sesungguhnya saya tidak dapat melupakan beliau kerana jika tidak keranya beliau, pasti saya menamatkan SPM dalam aliran bukan Sains. ( Seorang pelajar lebih senang mengingat seorang guru berbanding guru yang payah mengingat ratusan pelajar ). Tapi beliau tetap bertanya "Sekarang di mana?". Saya menjawab dan ringkas menerangkan kenapa saya ada di situ. Soal beliau lagi, "Berapa anak sekarang?". Saya juga menjawab dan sekaligus menamatkan perbualan kerana masing-masing sudah mengusung makanan.

Tiba masa melihat jenazah, suasana kembali terharu. Keluarga simati berendam airmata. Kami yang hadir juga pilu. Simati sebenarnya menghidap kanser. Pernah melakukan pembedahan payudara dan lain-lain rawatan setelah berada di Tahap 3. Asalnya dikatakan telah pulih. Tapi takdir Allah dalam waktu agak singkat, penyakit dikatakan merebak semula merosakkan paru-paru, buah pinggang, jantung dan akhirnya menyerang otak membawa kepada Penghijrahan Kekalnya beliau meninggalkan semua yang disayangi dan yang dipinjamkan kepadanya dimukabumi ini. Allahuakbar!. Saya berfikir sendirian. Saya juga mengarah ke sana, kita semua mengarah ke sana. Saya jadi seperti ketakutan. "Astaghfirullah!!! Pimpinlah aku supaya lebih menghargai nikmat kehidupan."

Alam Barzakh adalah alam pintu kepada akhirat. Ia boleh menjadi antara pintu-pintu ke syurga mahu pun neraka. Subhanallah! Di sana tinggal bergantung pada bekalan amal. Tidak yang lain. Tiada yang dapat membantu. Mudah-mudahan MakCik saya mendapat rahmat dan keampunan dari Allah.

Dalam perjalanan pulang, saya merenung-renung hari yang saya lalui. Saya katakan pada diri. Hari ini, Hari Rejoice - 2 dalam 1. Kenapa? Menziarahi jenazah sekali ketemu bekas guru. Saya belajar dari kedua-duanya. Menziarahi jenazah itu membawa peringatan dan menegur yang dikenali itu sebahagian dari persaudaraan. Alhamdulillah untuk hari yang saya lalui..........


Isnin, 6 Disember 2010

DIARI MUSLIMAH 2011(1432-1433H)

Kebiasaan hujung tahun, kita dilambakkan dengan jualan diari yang berjenis-jenis rupanya. Sehari dalam minggu yang lalu saya meluangkan masa membawa anak-anak ke sebuah toko buku di sebuah 'shopping complex' tidak jauh dari rumah. Saya berpeluang mendapatkan sebuah diairi yang berwarna merah jambu bernama DIARI MUSLIMAH 2011. Berwajah lebih kepada sebuah buku bersaiz sederhana. Diari ini terbitan KHARISMA NETWORK SDN BHD diedarkan oleh AR-RISALAH PRODUCT SDN. BHD. dan PERCETAKAN BUMI RESTU SDN. BHD.

Apa menarik dengan diari tersebut? Sebenarnya tiada apa yang istimewa pun. Diari biasalah, untuk membuat catatan. Namun dalam lambakkan yang ada kenapa saya memilih yang itu? Ini saya ceritakan. Dalam meyelak-nyelak apa yang ada tu, diari ini yang awalnya menarik saya kerana ia berwarna, saya sampai pada satu artikel di ruangan TIP bertajuk 'KREATIVITI SYAITAN'. Saya terus membacanya. Berkenaan syaitan dan lorong-lorong godaannya. Memfokus kepada 'trend pemakaian tudung kini'. Saya membaca dan mengaitkan dengan diri sendiri. Setakat mana ia mengenai saya. Adalah.... Ia berbicara juga tentang 'transisi pemakaian tudung'. Boleh jadi ia ke depan atau bergear 'reverse' ke belakang. Minta dijauhi yang ini. Namun saya berfikir dalam tentang transisi ke depan itu. Ya! yang itu.....

Artikel yang saya nyatakan itu menarik pada , lantas saya mencari siapa penulisnya. Ustaz Pahrol Mohamad Juoi - Pakar Motivasi. Tak hairanlah. Biasa begitu. Bila sesuatu itu menyentuh hati saya, ia datang dari yang bukan calang-calang. Saya sebenarnya berpesonaliti agak' tegar'. Kemudian dari situ saya mencari tahu siapa penulis itu sebenarnya. Ternyata beliau adalah Ketua Editor Majalah favourite masa kini, SOLUSI terbitan Telaga Biru. Lanjutan dari situ, sewaktu lainnya ke pasaraya bersama keluarga mendapatkan barangan rumah, saya mendapatkan naskah pertama Majalah' favourite' itu. Malangnya tiada edisi terbaru. Saya tanyakan pada penjual tersebut. Katanya habis dijual. Saya sempat bertanya berapa banyak 'batch' yang telah habis sebelumnya. Jawabnya 60. Yang terpapar di rak cuma Edisi Ulang Cetak Isu No.2. Saya tetap membelinya atas dasar pengkajian. Berbaloi!. Saya suka dan bermanfaat isi kandungannya. Nama pun edisi ulang cetak. Menurut penjual ia atas permintaan ramai.

Pernah saya nyatakan dalam entri terdahulu bahawa 'Knowledge is Power'. Membaca satu asas mendapatkan ilmu. Dalam memilih bahan bacaan kita ada tanggungjawab. Kita wajar memilih bahan bacaan yang baik untuk perkembangan minda dan akal. Bahan bacaan yang menajamkan otak dan melancarkan pemikiran. Sememangnya terdapat yang sebaliknya. Namun kita yang memilih. Buruk pilihan kita, buruklah nitijahnya. Ini kerana kita memilih kuasa ke arah keburukan. Santai pilihan kita, santailah natijahnya. Sebaliknya ilmiah pilihan kita, ilmiahlah natijahnya.

Mata rasa layu. Besok perlu subuh. Jam lima minit melebihi dua. Saya perlu berehat. Si kecil sudah lama lena......

Dicatat pada pagi Hijrah 1432.




Ahad, 5 Disember 2010

MENJELANG TAHUN BARU - HIJRAH DAN AWAL MUHARRAM

Pagi ini semasa 'orang rumah' saya sedang bersiap-siap ke pejabat, mulutnya terpacul "Hari ni kena ke masjidlah". Saya diam dan terus mendengar sambil berfikir. Faham saya dia memberitahu saya yang dia bakal balik melebihi waktu pejabatlah tu. Itu biasa bagi saya dan rutin bagi dia. Bergelumang tugas di bahagian perakaunan. Saya akur. Walau kekadang ada nak tersadung, nasib baik tak tersungkur. Lanjut lagi, saya fahami dia bakal ke masjid berhampiran pejabatnyalah tu. Biasanya dia solat di surau di bangunan pejabat sahaja.

Sengaja nak memanjangkan berbual, saya bertanya, "Kenapa?". Dia menjawab, "Malam ni kan kena baca doa akhir tahun dan awal tahun". "Oh....!", Jawab saya. Faham saya dia ingin berdoa beramai-ramailah tu. Namun entah macam mana mulut lancar ingin menuturkan sesuatu. Ini kerana beberapa hari sebelum itu melalui rancangan Tanyalah Ustaz di TV9, saya mendapat info ini. Spontan rasa ingin berkongsi dengannya. Saya katakan pada dia, "Kalau ke masjid niatkan untuk solat berjemaah, itu yang wajibnya dan berdoa itu nombor duakan. Solat itukan wajib (zikir wajib) dan doa itu (zikir sunat). Pahala berjemaah 27 kali lebih dari berseorangan. Zaman Nabi tiada pun semua itu (ditetapkan berdoa hunjung dan awal tahun). Namun doa itu sendiri adalah senjata umat Islam dan doa itu pasti diterima dan dimakbulkan Allah (janji Allah). Cuma bila, di mana dan bagaimana - tiada kita ketahui. Solat itu disifatkan tiang (foundation) agama. Oleh itu ia menagih dilaksanakan di awal waktu dan untuk para lelaki sebaiknya secara berjemaah di rumah Allah yang berhampiran. Mudah-mudahan solat dan doa itu diterima oleh Allah. Insyaallah!". Syukur dan lega dapat menuturkan semula info itu menurut penghayatan saya untuk abah kepada zuriat-zuriat saya.

Hijrah dan peristiwanya memang mengesankan bagi umat dan dunia Islam. Mengetahui sejarah Hijrah itu memang afdal kerana dengannya kita dapat tahu kepayahan dan pengorbanan yang dilalui oleh Rasul tercinta bersama pengikut-pengikut setianya demi perkembangan Islam agama tersayang. Keperitan dan kesukaran itu tidak disia-siakan tetapi berhasil dengan manis dipenghujung penghijrahan itu. Untuk mara ke hadapan kadangkala perlu setapak dulu undurnya kebelakang. Tapi bila mara - mara dengan penuh berstrategi dan keyakinan bersandar kebenaran yang Haq. Allahuakbar!

Moralnya ialah jangan kedekut atau takut melakukan perubahan ke arah kebaikan. Perubahan tidak semestinya yang besar-besar. Boleh bermula dari yang kecil-kecil. Konsistensi itu yang perlu dipelihara. Ya! ini pesanan untuk di sendiri dahulu. Saya kongsi di sini. Asal kita melakukan sesuatu itu dengan penuh sedar, dibawah kewarasan dan kerana Allah diiringi penuh tawakkal. Allah pasti penilai yang terbaik. Ini kerana semua yang baik itu berasal dari Allah dan yang sebaliknya itu dari kelemahan dan kekurangan kita sebagai makhluk dan insan lemah lagi lelah!

Kepala saya berfikir-fikir ke mana hijrah saya kali ini. Ini agenda saya untuk hari ini. Harap tidak lagi terlambat. Hati berbisik, "Ya Allah tunjukkilah aku- kerana Engkau sebaik pemberi petunjuk, bimbinglah aku -kerana engkau sebaik pembimbing, pimpinlah aku-kerana Engkau sebaik pemimpin. Hidayahkan aku dengan kebaikan dan lindungi aku dari sebarang kejahatan. Berilah kepadaku perlindungan dan keselamatan bersama-sama ahli keluargaku. Salawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah yang mulia dan ahli keluarganya berserta para sahabat beliau Amiiin..."

Dicatat berakhir pada: 10.31 am 6/12 (saya kena cari tahu kenapa' date' dan 'time' di blog ni huru-hara sikit.)

Khamis, 25 November 2010

PIKUL APA YANG TERMAMPU (LA YUKALLIFULLAH HU NAFSAN ILLA USA'HA)

Azan subuh baru sahaja berkumandang. Sayup, syahdu dan tenang gelombangnya. Ya! itu gelombang yang mengajak kita mendirikan tiang-tiang kukuh untuk sebuah rumah kehidupan (Hayya A’lassolah). Insyaallah, kita bakal dapat menggunakan rumah berteraskan tiang-tiang kukuh itu untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. (Hayya A’lal Falah) - Insyaallah. Namun untuk aku yang sedang ‘bercuti’ ini, di pagi Jumaat yang mulia merasa terpanggil untuk mengingati sesuatu dari kalam mulia Tuhanku. Ingin aku kongsikan ianya di sini. Menurut apa yang aku tahu ia sesuatu yang baik sebagai amalan dalam kehidupan.

Sebagai insan kerdil dan manusia biasa, pasti ada masanya kita melalui saat-saat yang sarat dengan kesukaran. Senario ini mungkin berbeza dari individu ke individu. Jika diikutkan hati manusia kita ni, siapalah yang ingin berdepan ‘kesukaran’. Kita ingin semua perancangan kehidupan kita berjalan lancar menurut kehendak hati supaya mendapat kepuasan dalam kehidupan. Kita rancang dan susun jadual dan aktiviti kita sebaik mungkin. Sehabis tenaga pula kita cuba memastikan semuanya berjalan ikut ‘schedule’ kita. Namun, ada masanya ia samasekali tidak menjadi. Selain itu kita mungkin diduga pula secara fizikal dan mental dalam keadaan yang boleh menerbitkan kemarahan, kerunsingan, kesedihan, tercalar maruah, rasa terkhianat, tertipu dan semua rasa yang tak mahu kita rasalah gamaknya!. Semua rasa itu tidak bersalah sama sekali. Sebagai insan lemah kita sememangnya layak merasa semua itu. Ini kerana yang sempurna hanya Allah. Allah juga yang Maha Suci. Kita ingati juga disaat kita merancang, Allah juga merancang untuk kita dan semestilah perancangan Allah itu yang terbaik.

Untuk mengatasi apa juga kesukaran mahupun keserabutan yang timbul itulah, aku sarankan untuk diriku dan sesiapa yang terbaca ruangan ini untuk merujuk dan mengamalkan mutiara yang menjadi tajuk utama kali ini. Ia sebenarnya terkandung di dalam dua ayat terakhir pada Surah Al Baqarah. Kita ketahui bahawa Surah al-Baqarah adalah surah pertama dan terpanjang di dalam Al-Quran. Juga ketahui Surah al-Baqarah mengandungi ayat yang hebat iaitu ayat al-Kursi. Namun ayat yang aku perkatakan ini, yang mana aku panggil Amanarrasul saja. Ayat inilah yang mengakhiri Surah al-Baqarah. Ayat 285 dan 286. Dulu aku tak berapa nak hairan dengan ayat ni. Entah macam mana, tak diingat pula pada tahun bila, ayat ni tiba-tiba menjadi diserlahkan penting pada aku. Aku pun sedaya dapat menghafalnya. Alhamdulillah!. Aku difahamkan bahawa ayat ini amat baik diamalkan bersama-sama Ayatul Qursi. Ia menjadi ‘pemangkin’ bila berdepan apa-apa permasalahan selain pendinding dari musuh nyata mahu pun tidak nyata. Insyaallah, ia juga boleh dibaca sambil berhajat. Allahlah yang akan menilainya.

Nabi SAW ada bersabda: ‘Bacalah surah al-Baqarah. Mengambilnya itu berkat. Meninggalkannya itu kerugian. Sihir tidak dapat menandinginya.’ Bebanan dalam hidup ada seribu satu macam. Beruntunglah mereka yang tidak pernah merasa terbeban. Lain padang lain belalang, lain orang lain masalahnya atau pun bebanannya. Itu resam hidup. Hidup ini berkisar bagaimana melepasi halangan demi halangan. Oleh itu ayat yang diceritakan ini amat mustahak diamalkan. Aku melihat ayat ini berintikan kasih-sayang Allah yang tidak terhingga. Apa tidaknya – “Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang sesuai dengan kesanggupannya”. Bila diulang-ulang bait-bait ini, serasa ada lahar-lahar kekuatan yang menjalar secara perlahan-lahan. Namun kepanasannyalah yang akan membangkitkan kita. Mudah-mudahan Allah mengizinkannya. Tak percaya? Boleh cuba. Jangan ingat yang lain – fokus hanya pada yang menjadikan seluruh alam ini – Allah.

Kita akan sedar yang dipikulkan pada kita itu adalah yang selayaknya bagi kita pikul. Allah tidak bersifat kejam. Manusia ya! Kita masih boleh melangkah dan ada rezeki bagi kita. Utamanya, kita masih bernyawa dan hidup ini masih boleh kita teruskan dan masih banyak keindahan dan kebahagiaan yang boleh kita terokai. Pasti ada sesuatu buat kita. Aku pernah berkata pada anak-anakku, ‘hidup ini adalah cuma jambatan ke akhirat’. Sebelum kita melangkah melintas jambatan itu ialah alam rahim ibu. Kita pun meniti jambatan dan akan sampai ke hujung satu lagi. Itu alam kekal – Akhirat!. Harapnya anak-anak aku faham dengan maksud aku berkata demikian. Allahua’lam.......

Sabtu, 6 November 2010

BESI DALAM AL-QURAN: AL HADIID

Sesuai dengan 'mood' aku, hari ini nak berkata-kata mengenai mencari besi dalam Al-Quran. Mungkin pelik bunyinya, namun al-Quran yang sememangnya mukjizat ini sekaligus' MANUAL' kepada insan ciptaan Allah sebenarnya lengkap sudah, lagi syumul Islam itu sendiri. Namun insan yang lemah seperti aku ini, biasalah bila senang dan diulit bahagia sering lupa pada Khaliknya, bila sedih lagi berduka baru melutut, menyembah dengan linangan airmata. Tapi aku terima itu semua sebagai hakikat hidup dunia ini yang aku tahu tiada kekalnya. Allah tidak pernah berpaling dari hambaNya, tapi hambaNya yang sering alpa dan leka.

Perasaan aku kini bukan pertama kali dirasa. Namun kali ini aku kongsikan dengan coretan ini, sebagai merakam supaya boleh dinostalgiakan dan diulangbaca. Rasa sedih, kecewa, hampa, nestapa atau pendeknya sesuatu yang meruntun jiwa pasti pernah dialami oleh kita. Untuk aku, tiap kali rasa itu datang masa itu aku mencari kekuatan bagaimana untuk melebur runtunan jiwa itu. Aku tidak sedar bila aku menjumpai formula ini, namun kekuatan itu rupanya ada pada BESI DALAM AL-QURAN, iaitu Al-HADIID yang mempunyai 29 Ayat. Aku bersyukur kerana dengan adanya terjemahan Al-Quran, aku dapat seadanya faham erti kandungan surah itu. Tafsir PIMPINAN AR-RAHMAN terbitan Bahagian Hal-Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri yang aku miliki pada tahun entah bila - waktu masih bergelar pelajar rasanya; (yang pasti waktu itu hati ini terbuka untuk lebih memahami maksud ayat-ayat dalam Al-Quran itu sendiri), sememangnya menjadi naskah pertama tafsiran al-Quran untuk aku. Sekaligus ia menjadi kesayangan untuk aku kerana padaku kandungannya mudah aku faham. Jika dibandingkan dengan naskah yang aku beli kemudian, naskah itu tetap yang pertama untukku.

Berbalik kepada surah Al-Hadiid tadi, jika dilihat hanya ada sekali sahaja menyebut perkataan besi, sekaligus menggambarkan tentang kekuatan. Ianya pada ayat 25. Ringkasnya, ia menyebut tentang kejadian besi yang menggambarkan sesuatu yang kuat dan handal untuk kegunaan manusia dalam kehidupan harian. Selain itu, tersiratnya adalah ternyatalah dalam pengetahuan Allah tentang orang (yang menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulnya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa.

Walau bagaimana pun, buat diri aku ayat pemulih untuk diri aku bukan yang menyebut tentang perkataan besi itu sendiri. Aku dipahat oleh ayat 20. Padaku ia benar-benar meredakan, menenangkan, merungkaikan. Jika dikatakan itu sesuatu sebagai ‘soul escapism@pelarian jiwa’- mungkin juga pada mulanya. Ayat ini adalah ayat penyedar. Mula-mula aku kenal ayat ni, setiap patah perkataannya padaku amat tepat mengenai batang hidung aku. Bunyinya begini;

Ketahuilah(1729)(bahawa yang dikatakan) kehidupan itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta (perhiasan yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan hartabenda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredhaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.(1730)


(1729) Setelah diterangkan keadaan orang-orang yang beriman dan orang-orang kafir di akhirat, maka ayat ini diteangkan pula keadaan kehidupan dunia yang tidak patut dijadikan tujuan utama.
(1730) Lihat penjelasan no 135
Oleh itu awaslah daripada dilalaikan dan diperdayakan oleh kesenangan dunia dan kemewahana; dan sebaliknya, gunakanlah semua itu untuk amal kebajikan bagi mencapai kesenangan dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.


Biasanya selepas membaca tafsiran di atas, gelora rasa aku bisa mereda, bagai dijirus air tika lena bermimpi; aku pasti terjaga. Realitinya akulah insan hina – tiada punyai apa. Aku dipinjamkan dengan jasad dan roh berjiwa. Aku dibekalkan dengan hati dan rasa. Tidak ketinggalan akal juga diserta. Ya Allah pimpinlah hambamu yang sering terleka. Engkaulah sebaik-baik pemimpin. Cuma padaMu aku berharap, berhajat dan bermunajat. Cuma padaMu, Tuhanku yang Satu.......