Khamis, 16 Disember 2010

PENGARUH SUAMI ISTERI DAN SEBUAH RUMAHTANGGA (1)

Tajuk yang menarik pemikiran saya hari ini, ala-ala macam ahli kaunseling rasanya. Sesungguh bukanlah saya ahli kaunseling. Cuma sebagai ahli rumahtangga yang bergelar seorang isteri, emak dan tentunya seorang perempuan tidak terlepas dari memikirkannya. Datangnya dari dari satu hati dan jiwa yang masih mampu berbicara. Datangnya dari satu akal dan fikiran yang masih terdaya berkata-kata. Inilah yang dapat saya renung-renungkan. Semoga jika ada yang terbaca tersinggah juga akan manfaatnya.

Pertemuan dua insan diatas singgahsana pelamin yang indah membawa kepada terbinanya sebuah bahtera. Bahtera pasti berlayarnya di lautan. Lautan pula dikaitkan dengan seribu satu macam persoalan. Jadi sebuah bahtera belayar di lautan yang tersedia dengan seribu satu kemungkinan atau kejutan.

Saya suka merenung diri dan sekeliling dan selalu berfikir bila berhadapan dengan kejadian-kejadian yang dapat dijadikan bahan fikiran dan panduan dalam hidup saya yang serba sederhana dan kekurangan ini. Paling terdekat adalah merenung persekitaran keluarga yang berkaitan dengan adik-beradik, ipar-duai, saudara mara dan sahabat-handai. Melihat kepada persekitaran saya sekarang membuatkan saya sedar bahawa betapa saya sendiri sudah jauh berubah dari saya yang dahulu (transformasi). Hampir memasuki alam 40-an (dua tahun lagi) membawa saya lebih memikir dengan gaya yang bukan lagi seperti 20 tahun sebelumnya. Ya! waktu itu dikatakan waktu muda, berdarah remaja, berfikir yang mudah-mudah saja, yang seronok-seronok saja dan selalu lalai dari mengambil iktibar.

Perubahan ataupun transformasi yang berlaku ini akan melanda sesiapa sahaja yang 'normal' perjalanan hidupnya. Maksud saya, mereka yang telah berumahtangga. Memiliki pasangan dan apa yang selayaknya ada dalam sebuah rumahtangga. Oh! mungkin tersilap bila saya katakan memiliki. Kita manusia ini tidak mampu memiliki apa-apa sebenarnya. Hanya Allah yang memiliki setiap sesuatu. Kita hanya meminjam dan dipinjamkan oleh Allah akan pasangan kita itu dan apa yang selayaknya ada dalam sebuah rumahtangga (teringat pada pemergian Mak Cik dan kematian-kematian sebelumnya). Pernikahan adalah sunnah Nabi dan sesiapa yang menidakkannya, faham-fahamlah!. Pernikahan itu suci kerana ia menghalalkan apa juga yang haram sebelumnya antara seorang lelaki dan seorang wanita. Maha Suci Allah juga yang Maha Mengetahui.

Berbalik kepada persoalan 'transformasi' diri bagi yang telah berumahtangga. Ia sebenarnya berkadar terus dengan usia sesebuah perkahwinan tersebut. Lebih lama lebih meriah. Perubahan ke atas seorang suami itu dipengaruhi oleh si isteri dan begitu juga sebaliknya. Siapa lebih kuat pengaruhi siapa, itu persoalan yang lain pula. Bercakap tentang perubahan sudah pasti atas dasar lemahnya manusia terdapat perubahan yang baik mahu pun yang tidak baik. Namun yang baik itu datangnya dari Allah dan yang tidak baik itulah dari kelemahan dan kelelahan diri kita ini. Andai kita menyedarinya dan mahu memperbaiki, itulah yang sewajarnya.

Saya meninjau-ninjau perubahan yang telah berlaku ke atas mereka yang rapat dengan saya. Sedarah daging. Bergilir kongsi satu rahim dan membesar di bawah satu bumbung. Bumbung yang ditukang dan dibina dari rasa kasih dan cinta emak saya dan Allahyarham bapa. Kini lima dari enam antara kami sudah pun berumahtangga dan meminjam apa-apa yang selayaknya telah dipinjamkan kepada kami. Kami semua telah menjadi ibu dan bapa dan cuba menggalas apa yang termampu oleh kami. Masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri. Namun kami juga cuba supaya tidak melupakan antara satu sama lain. Pengikat kami yang utuh kini adalah si emak yang sedang berdepan ujian kesihatan. Beberapa tahun menderita penyakit kencing manis yang bersatu dengan masalah paru-paru. Kasihan saya mengenangkannya. Tubuh mengurus dan tulang belulang yang tertimbul, muka yang cekung. Jalan agak terbongkok-bongkok. Tua sudah emak.

Dua hari lalu, melawat emak dihospital menambahkan lagi keinsafan saya tentang erti sebuah kehidupan. Hospital kini menjadi umpama 'rumah rehat' pada emak. Apabila berada dalam keadaan yang tak terkawal akan masalah pernafasan dan paras gula tinggi, emak mesti ke sana. Tak sempat mengira ini kali ke berapa emak ke sana. Oh! emak. Sekilas pandangan saya, apakah dia semakin ke penghujung usianya? Allah!! hanya kau Maha Tahu. Persoalan hidup, mati, jodoh pertemuan mahu pun perpisahan adalah di tanganMu jua. Namun hati yang 'berbisik sebegini,' sedikit sebanyak meruntun jiwa dan diri saya yang sememang bersifat lemah ini. Saya dilanda ketakutan.

Bersyukur dan berterimakasih saya pada Allah kerana satu-satunya kakak saya sedaya mampu menjaga ibu setiap kali di hospital. Ibu masih boleh berjalan. Namun oleh kerana paru-paru yang telah lemah adalah baik berkerusi roda hatta ke tandas sekali pun. Supaya pernafasan tidak mencungap. Kakak memahami bahawa saya yang diselirati tugasan di rumah dengan anak kecil yang masih menyusu dengan susuan badan tidak tergalas tugas yang dibuatnya itu. Sementelah yang lain masih mampu sekali-sekala menggiliri tugasan menjaga emak itu. Bermalam di hospital bukan sesuatu yang menyeronokkan selain meletihkan. Bagi pesakit telah disediakan katil dan kelengkapan lainnya. Bagi sipenjaga - pandai-pandailah mahu hidup. Aku hormati kakak atas pengorbanannya. Menghadirkan diri pada malam hari setelah pulang dari bekerja dan berangkat sesudah subuh mengejar tugasan kerja. Sekali-sekali dia pula dihidapai sakit kepala dan selesema. Semoga Allah membalas yang setimpal dengan pengorbanan kakak. Itu semua terjadi kerana memikirkan, entah berapa lama lagi masa yang ada untuk kami bersama-sama emak.

'Transformasi' kakak pada dirinya sekarang sudah pasti dipengaruhi oleh sang suami. Jika tiada izin takkan terlaksana tugasnya sebagai anak sulung yang sedang digalasnya itu. Kakak saya ini kecil molek je orangnya. Beranak tiga. Sesekali tu ada juga yang menyangka dia masih dara. Itu kelebihan bertubuh kecil agaknya. Suaminya pula seorang penjawat awam. Abang polis ye! Tapi saya tak takut langsung. Dia bukan bersenjatakan pistol mahu pun senapang. Hanya mikrofon dan seksofon (Sarjan polis pancaragam je). Mereka ni sama padan dan saling melengkapi. Sememang itu tujuan berpasangan. Saling melengkapi. Apa yang terkurang pada siisteri, tanggungjawab suami menutupinya dan sebaliknya. Jadi tak perlu nak terlalu berbangga dengan kesamaan bersama pasangan jika wujudnya perbezaan itu mampu menjadikan ia lebih baik.

Jadi saya simpulkan dahulu, apabila Allah menemukan dua jiwa yang berbeza dalam sebuah bahtera rumahtangga, Allah juga yang Maha Kaya rahsianya. Itu jodoh namanya. Siapa yang dapat menentang qada' dan qadar dari Allah. Jika dah sampai terlaksana i'jab dan qabul dan halal sudah yang haram. Itu ketentuan namanya. Maka hiduplah dua manusia dalam sebuah bahtera melayari alamnya berumahtangga. Maka adalah tidak wajar jika seandainya kita bila berdepan dengan kesusahan dan permasalahan, menyesali takdir terhadap jodoh kita. Meletakkan kesalahan pada satu sama lain atau apa sahaja akan hanya mengeruhkan keadaan. Pasti syaitan suka begitu. Digoyahnya keyakinan manusia dan dilunturkan kepercayaan kita demi menggegar tiang A'rasy (nauzubillah). Itu janji kesyaitanannya atas cemburu dan egonya pada Nabi Adam dan keturunannya. Mudah-mudahan kita tidak termasuk dikalangan mereka yang terpedaya dengan tipudaya syaitan. Insyaallah......

171210@11.35am.






Isnin, 13 Disember 2010

MASEHI, HIJRAH DAN MANUSIA


"Sagittarians have energetic and active personality. They like to travel and to be close to nature. Other people often share their problems with Sagittarians to seek help and understanding. Sagittarians are not very emotional. They adjust quickly to any environment. Sagittarians are good friends but still they keep freedom and neutrality. Sagittarius is ruled by Jupiter. Sagittarians are very curious by nature. Such curiousty makes them well educated and intelligent people. Sometimes Sagittarians can be rebellious but they can quickly calm down and return to their ordinary nature. Sagittarians are good salesman, scientists, researches and analysts."

Dia atas adalah terjemahan atau pun ramalan ke atas diri saya dan mereka yang bernaung di bawah zodiak Sagittarius (lahir hujung tahun biasanya - antara bila ke bila, bolehlah semaklah jika ada masa). Ada yang amat taksub mempercayai ramalan-ramalan sebegini dan ada pendapat yang mengatakannya khurafat. Untuk saya, telah berhijrah saya suatu masa dulu untuk tidak merosakkan aqidah dengan mempercayainya melebihi kekuasaan Allah dan penetapan qada' dan qadarnya.

Serasa saya itu berlaku setelah saya diberikan Allah zuriat ke 3. Dalam kehidupan sekeluarga kami yang serba tidak sempurna ini, anak ke 3 saya ni ada istimewanya pada kami. Dia lahir pada pagi Maulidurrasul di tahun 2002 (tak sempat lihat tahun Hijrah). Dah lupa-lupa ingat tentang hari tersebut. Maklum sudah ada yang ke 4. Apa yang saya ingati ialah pagi kelahirannya ada yang mengagihkan 'hamper' kecil kepada semua yang melahirkan pada pagi tersebut. Tahulah saya pagi itu ada istimewanya. Sambutan Maulidurrasul. Hari bersejarah kelahiran Nabi Terakhir, Rasulullah yang tercinta (salawat dan salam ke atas Baginda dan keluarganya juga para sahabat). Maka suami memilih Aisyah sebagai nama kepada bayi kami. Saya pula ingin melengkapkan atau menambahsedap (kononnya), memilih Irdina untuk digandingkan dengan nama asal yang dipilih.

Ramalan atau tenungan adalah sesuatu yang tidak digalakkan dalam Islam. Ia boleh mendasari kepesongan aqidah. Ini sangat merbahaya. Bukankah penetapan Allah itu sebaik-baik penetapan. Percaturan dan ketentuan Allah itu sebaik-baik percaturan dan ketentuan. Jangan sampai kita menyalahkan takdir kiranya kita ditimpa susah atau penderitaan (seperti dalam ramalan-ramalan yang telah diimani oleh mereka yang memilih sebegitu). Jika kita berbahagia dan dalam kesenangan biasanya kita lupa pula untuk mensyukurinya. Betapa terserlah kejahilan kita sebagai manusia. Walau kita tidak lagi di zaman Jahilliyyah. Ini salah satu ciri Jahilliyyah moden mungkin!.

Saya juga ada berusaha melihat apa tarikh kelahiran saya di dalam kalendar Hijrah. Sekali lagi terdapat tarikh yang berbeza-beza (mengikut laman web tertentu). Bulan dan tahun biasanya tepat dan serupa. Ada yang mengatakan 6,7 ,8 dan 9 Zulkaedah 1392 pula tarikh kelahiran saya. Waduh! bila sebenarnya tarikh kelahiran saya? Jawapan kepada soalan tersebut terdapat dalam laman web tersebut dan memang masuk akal (atas perbezaan-perbezaan yang wujud). Boleh lihat Kajian Numerologi Islam (Kajian Dr. Mir Hazil). Dikatakan dengan mencampurkan kesemua nombor tarikh lahir akan membawa kepada satu nombor tunggal yang melambangkan personaliti kita. Wah! dengar sahaja cara Islam dan seronok nak mencuba. Saya terkategori mendapat angka 8. Ini terjemahan kepada diri saya (jikalah tepat dan ada benarnya).

"Seorang yang mampu berkuasa, dihormati dan berjaya. Suka berkongsi dan membahagiakan rezeki (kekayaan). Bersifat selalu mendengar dan memahami atau empati. Mudah berterimakasih dan bersyukur kepada kebaikan atau kesenangan. Peka akan keperluan orang sekeliling dan memiliki sikap suka memenuhi keperluan orang lain (berkorban). Sering bersemangat tinggi (bermotivasi) dan bertenaga (kekuatan minda dan emosi). Suka memberi 'kehidupan' kepada yang lain serta menyegerakan sesuatu untuk kebaikkan dan keadilan. Bersifat pemaaf dan menerima kesilapan atau kesalahan orang lain demi kemakmuran. Suka memajukan atau mendorong diri dan orang lain ke arah kejayaan dan kekayaan. Mampu memiliki kecerdasan dan kebijaksanaan yang tinggi untuk digunakan demi menyuluh diri dan orang lain ke jalan kebaikan dan kemajuan"

Amboi!!.. hebatnya terjemahan di atas. Ada perkaitankah ia dengan saya?. Saya tidak perlu menjawab. Cuma terdetik dalam hairan, bagaimana melalui satu nombor boleh terkeluar segala mengenai saya. Sehingga ke situ sekali jangkauannya. Mungkin ini juga dikatakan sebahagian dari lautan ilmu Allah yang umpama setitis terjangkau oleh manusia. Tiadalah kepastian pada saya. Atau saya memang dangkal.

Saya memilih, pada hari bersejarah ini untuk mengingati diri saya yang kerdil ini bahawa saya sebenarnya hanyalah seperti yang telah dinyatakan dalam Surah Al-Mu'minun ayat 12-14:

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal dari tanah). Kemudian kami jadikan "pati "itu (setitis) air benih pada tempat penetapan yang kukuh (rahim). Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku; lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; lalu Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

Ya! pastilah itu siapa sebenarnya diri saya dan diri semua yang bernama manusia. "Maha besar Engkau yang menciptakan alam dan seluruh isinya. Terimasih atas segala nikmat yang telah engkau berikan dan masih meminjamkannya padaku. Ampunkanlah segala dosa-dosaku, kerana hanya Engkau yang Maha Pengampun. Aku memohon kebaikan dan berlindung dari sebarang kejahatan. Mohon juga perlindungan dan keselamatan buat diri dan keluarga. Solawat dan salam atas Baginda Rasulullah dan ahlinya juga para sohabat. Ameen....".

Hanya Allah yang lebih mengenali hambanya. Bukankah kita ini ciptaanya?. Hanya Pencipta yang lebih mengenali ciptaannya. Kita juga pasti mengenali diri kita seadanya. Roh dan jasad yang bersatu tidaklah sia-sia. Kita sendiri sedang 'berujikaji' dengan diri kita. Selagi hayat dikandung badan terlalu banyak yang masih perlu ditempuh. Sedikit pun tidak kita ketahui apa yang bakal berlaku, walau dalam jangka sedetik lagi. Namun melalui sejarah dapat kita ingati diri dan demi masa depan harus kita tabah berusaha dan bertawakkal demi sebuah kehidupan yang tiada lain untuk mengabdikan diri kepada Pencipta kita. Allahua'lam......

(1.35pm@14/12/10) - Solat jangan tak solat.












Ahad, 12 Disember 2010

PIL PENENANG DALAM MASJID


Dalam alam rumahtangga, satu matalamat penting adalah supaya bersambungnya keturunan melalui zuriat yang bakal dilahirkan. Jarang ada yang menidakkannya. Kelahiran seorang insan ke dunia ini biasanya disambut dengan penuh rasa syukur dan gembira. Tidak terhad kepada kedua ibu-bapa malah atuk dan nenek juga saudara-mara yang lainnya.

Namun tidak disangkal terdapat juga manusia-manusia yang telah termakan hasutan syaitan sehingga sanggup membuang bayi-bayi yang lahir atas nama dosa yang diperbuat mereka, walau bayi-bayi tersebut sememangnya langsung tidak berdosa. Ini persoalan yang sedang sarat bernanah dalam masyarakat kini. Saya tinggalkan persoalan ini dahulu.

Seorang bayi itu adalah penyeri kepada sebuah rumahtangga. Awal-awal 'graduate' dahulu, pernah saya bekerja di FIC (Foreign Investment Comittee), Unit Perancang Ekonomi secara kontrak, telah berkenalan saya dengan seorang kakak. Kak E namanya. Beliau menyampaikan kepada saya yang suaminya pernah melafazkan bahawa sangat bahagia dengan alam perkahwinan. Seandainya diketahui sebahagia itu, beliau mahu berkahwin pada umur 10 tahun. Saya hanya tersenyum dan tumpang gembira. Namun saya tahu tidak semua orang berasa begitu. Kak E antara yang berbahagia. Selain itu apa sahaja boleh berlaku dalam pelayaran sebuah bahtera. Panas, hujan, badai, mahu pun taufan antara risiko-risiko yang perlu diharungi. Sebagai insan usaha dan tawakkal yang mampu kita lakukan. Mendirikan sebuah masjid, tidaklah sesukar memakmurkannya dan mempertahankannya.

Zuriat-zuriat yang lahir itu sebenarnya adalah pil penenang kepada kedua orang tuanya. Jiwa ibu dan ayah yang lurus pasti melimpah kasih sayangnya kepada anak-anak mereka. Sebaliknya bagi jiwa mereka yang bengkok. Lazimnya ibu dan ayah sanggup berkorban demi kebaikan anak-anak. Ingat lagi saya bagaimana pengorbanan bapa saya demi membesarkan saya adik-beradik. Berhempas pulas bekerja. Kesihatan sendiri tidak sempat dipedulikan. Akhirnya buah pinggang yang telah gagal fungsi keduanya tanpa sedar sedikit pun. Itu membawa kepada perginya beliau buat selamanya (takdirnya sedemikian). Begitu juga ibu saya. Pernah bertahun-tahun tak terbeli baju baru bagi menyambut Hari Raya kerana mendahulukan anak-anak."Oh! Allah kau ampunkanlah kedua ibu-bapaku atas sebarang dosa-dosa mereka. Kau peliharalah mereka sama ada yang telah tiada dan yang masih bernyawa sebagaimana mereka telah memelihara (dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan) kami semasa kecil."

Untuk saya kini, menatap wajah si kecil memang terapi terbaik. Suami juga pernah melafazkan (waktu sedang penat pulang dari kerja) sambil mencium wajah mulus si kecil "Hilang rasanya penat abah", mmmm... Waktu itu terbit rasa syukur tak terkira pada Allah yang Maha Besar. Rumahtangga ini alam yang boleh jadi penuh dengan kejutan. Selalu perlu beringat-ingat dan ingat-mengingat. Memang tidak mudah. Namun tidak mustahil untuk mendapat kebahagiaan yang sewajarnya. Percantuman dua hati yang berbeza latarbelakang pasti menuntut pemahaman dan persefahaman yang tinggi. Lahir pula hati-hati kecil yang perlu kepada penjagaan dan pendidikan. Tanggungjawab telah bertambah.

Dalam kesibukan kita meladeni tuntutan kehidupan sering kita lelah dan letih. Saya yang di rumah pun kekadang tu sakit-sakit badan dibuatnya. Apatah lagi mereka yang keluar bekerja. Bagi ibu-ibu yang bekerja dan pulang pula melayan kerenah rumahtangga serta anak-anak, pasti lebih lagi. Ingatkan saja itu sebahagian dugaan dan Allah tahu anda mampu dengannya. Sebagai jalan ingin menenangkan jiwa renunglah dalam-dalam ke dalam anak mata zuriat-zuriat anda dengan rasa yang betul dan jiwa yang lurus (mohon pada Allah). Usapi mereka dengan salawat. Insyaallah jiwa akan hilang resah dan terbit rasa syukur lagi bahagia.

Note: Atas tu, anak 'boy' saya dengan 'walker' pinjam pada sepupu kembar dia. Sepupu perempuan sebab tu 'pink colour'). Kat rumah opah di kampung. (10.10am@13/12/10)




Khamis, 9 Disember 2010

IMPAK MAKSIMA

Maaf ini bukan arahan Ahmad Idham. Pelakonnya juga bukan artis terkenal. Tapi ini cerita saya. Boleh jadi cerita mereka yang yang diluar sana juga. Disampaikan melalui alam maya. Sesungguhnya ia realiti.

Malam tadi, sementelah sedang memasak di dapur, saya tertoleh ke arah TV yang sedang terpasang. Waktu tu berita. Kedengaran (jika tak salah pendengaran saya), "Tarif elektrik bakal dikaji semula. Keputusannya akan diketahui Januari. Saya agak terkedu (sikit lagi nak jadi mengkudu). Kepada diri sendiri saya katakan, "Eh! tak silapnya -adalah tahu petrol dah naik, air pun kecoh-kecoh" (saya tak berapa sempat nak ambil tahu melalui suratkhabar). Tapi sempatlah tersangkut dalam jem (kalau diberi roti - kenyang dah rasanya) pada minggu lepas (hari Ahad-di Mydin (promosi percuma) mendapatkan keperluan sekolah anak-anak) dek kerana demonstrasi jalanan khabarnya. Ini disahkan dengan berita pada malam tersebut.

Sebagai orang di rumah, saya tidaklah sempat untuk membaca suratkhabar depan ke belakang (kekadang tak baca pun). Jika tengok berita pun kekadang tak habis (selalu tak tengok pun). Radio pun kini selalu tak 'on'. Maklum anak empat. Ada 'baby' masuk sembilan bulan lagi. Tapi saya ada ambil tahu. Ini persoalan 'surviving'. Mahu atau tidak, jika ia hujan -tempiasnya akan mengenai. Jika ia api - bahangnya akan dirasai. Jika ia taufan - kita bisa diterbangi. Jika ia lumpur - kita bisa dipaliti. Menangislah dalam ketawa.

Pertama sekali keluh saya. "Kesian kat laki aku". Kena kerja keras lagilah jawabnya. Kerja makan gaji. Faham-faham jelah. Tapi saya juga terfikir. Rasa aku semua orang pun akan merasa bahangnya. Selagi bernama manusia dan hidup beralaskan bumi yang sama dan menjunjung langit yang sama.

Saya mengenangkan diri dan keluarga saya. Kami bukan keluarga yang kaya. Kami tidak mewarisi kekayaan dari sesiapa. Oleh itu juga kami tidak akan mewariskan kekayaan kepada anak-anak kami pada kemudian hari. Kami hanya orang biasa. Kami mempunyai rumah yang mesti dibayar ansurannya. Begitu juga kereta. Mempunyai bil-bil yang perlu dijelaskan. Kami mempunyai.........(panjang sangat, ponek den nak nulihnyo). Tuan ambo pikirlah sendiri.

Selain itu, untuk kami (saya dan suami), anak-anak menjadi 'priority' kini. Empat perut ini mesti diisi. Campur perut-perut kami (jangan tak kira pulak - mak dan abah perlu santap juga), dah enam perut. Bahasa 'rock' sikit - Enam' tembolok' nak diambilkira. "Oh! Allah kasihanilah kami. Ringankanlah bebanan kami." Anak-anak ni banyak memakan belanja. Maklumlah selain makan, persekolahan tu penting. Jika negara berhasrat ingin membentuk modal insan yang dapat mencapai 'Wawasan 2020' atau apalah!, kami ibubapa mesti berusaha memberi pendidikan yang terbaik. Ini semua memerlukan perbelanjaan. Tiada yang percuma bukan? Pendidikan dan dunianya sekarang menjadi sesuatu yang sangat 'komersial'. Semakin mahal harga jika ingin mendapatkan yang terbaik. Jika kita tidak mampu, pasti tercicir anak-anak kita. Lepas tu jangan terkejutlah jika gejala sosial meningkat. Ke tadika pun sekarang boleh tahan kosnya. Jika swasta apatah lagi. Sekolah kebangsaan lain kosnya. Sekolah agama lain kosnya. Pakaian, duit belanja, yuran, buku rujukan.....(sekali lagi den ponek).

Saya pernah belajar ekonomi. Tapi tak le pandai sangat. Saya mengetahui bahawa bahan asas (minyak, api, air) ini sememangnya menjadi faktor utama kenaikan harga barang. Jika harganya naik - harga barangan lainnya pasti naik (baru ura-ura nak naik-peniaga dah gelojoh naikkan, bila betul-betul naik, sekali lagi depa naik- 2x naik, pengguna yang sakit). Mmmm.... manusia memang begitu. Diberi segunung emas, mahu yang kedua. Rakus.... Nauzubillah!. Manusia rakus apa balasannya? Nanti den kajian.... Oklah! ada yang kata nanti dapat bonus, dapat kenaikan dan apa-apalah. Tapi kalau harga barang dah mencanak naik berbanding insentif-insentif tu, macam mana. Inflasi pulak kita. Silap-silap deficit juga yek . Kalau salah betulkan. Saya mungkin tersasar. Ekonomi rumahtangga ke ni?!!!

Semalam, saya sempat berbual dengan kakak jual goreng pisang (tokak toghingin - boli duo inggit). Saya saja 'initiate conversation'. "Minyak naik ye kak?". Dia menjawab dengan soalan "Minyak petrol?" (Mungkin keliru dengan minyak masak-maklum jual pisang goreng) ."Ya". Jawab saya. Katanya lagi "Hah! tulah, kalau kita jual 5 dua ringgit, ramai yang tanya kenapa. Diorang tak faham kita meniaga ni pun susah juga. Saya berniaga ni dapat 30-40 ringgit, cukuplah belanja anak-anak sekolah". Itu keluhan kakak tu. Keluhan anda bagaimana pula? Keluhan ini pasti berbeza dari jiwa ke jiwa. Allahua'lam.

Plot cerita saya ni adalah, apa saja keputusan oleh 'mereka' yang berkongsi berdiri di atas rumput yang sama dan mereka juga merenung bintang yang sama dengan kita- akan mengenai kita hanya kerana mereka ada 'kuasa membuat keputusan', tidak kita. Dimanakah kita yang katanya mahu didahulukan. Atau mereka hanya mendahulukan diri sendiri. Saya terus akan fikir-fikirkan....... . Den mungkin kono jua pisang goreng gak!Maaflah yo....

Den poi dulu. Nak masak bubor - tembolok kecik kang kosong lak. Meghaung si kocik! (Kolang-kabut nahu den.) - 9.45 am@4Muharram.






Rabu, 8 Disember 2010

HARI 'REJOICE' DAN HIJRAH YANG KEKAL !!!

Kita masih lagi dalam 'mood' Hijrah. Ya Hijrah ke arah kebaikan dalam apa jua yang kita pilih untuk berhijrah. Alhamdulillah! kita masih berkesempatan kerana diberi ruang oleh Pemilik alam ini. Tapi semalam ( hari Rabu, pada waktu kurang lebih sebegini 10.30 a.m), saya telah dikejutkan dengan Penghijrahan Kekal makcik saya. Beliau meninggalkan dunia ini menuju ke alam Barzakh. "Dari Allah kita datang, kepadanya juga kita akan pulang).

Satu lagi kematian yang mendepani saya. Lutut saya rasa lemah ketika mula mendengar berita tersebut. Lemah! kerana memikirkan Maha Kuasa Allah menghidupkan dan kita bakal dimatikannya juga. Ya! fitrah kejadian yang berpasang-pasang. Siapa boleh lari dari KEMATIAN? Ia pasangan kepada KEHIDUPAN. Itu aturan alam dan ketentuan Ilahi.

Saya usahakan supaya dapat menziarahi jenazah beliau. Lengkap sekeluarga saya ke sana. Adik beradik yang lain juga tidak ketinggalan. Sesampai di sana, jenazah tidak kelihatan. Diceritakan bahawa oleh kerana meninggal di hospital, keluarga beliau memilih untuk diselesaikan mandi dan sembahyangnya di sana. Selain prosedur mengeluarkan jenazah dari hospital memakan masa juga. Kami semua menanti. Bacaan Yassin beramai-ramai kedengaran.

Bagi saya yang membawa empat anak ini takkan lepas dari kerenah mereka. Masing-masing mengaduh lapar kerana sudah waktu makan. Suami membawa kami ke tempat makan. Hanya sebuah Restoran yang berhampiran. Takut terlepaskan melihat jenazah, kami redah saja. Rezeki anak-anaklah tu. Saya tiba-tiba melihat kelibat seorang yang pernah saya kenali dan masih saya ingati. Oh! Bekas guru kelas semasa di menengah 4 Sains 1 dahulu. Serbasalah mahu menegur atau tidak. Saya memilih menegur. Sambil mengepit 'baby', "Assalamualaikam!, Encik Zai..... A....... . Beliau menjawab, "Ya, saya." Saya memperkenalkan diri. "Saya F..........., bekas pelajar di SM..... Beliau tersenyum. Masih seperti dulu. Tak banyak perubahan. Susuk tubuh, wajah, gaya berjalan. Cuma rambutnya hampir putih semuanya. Riak wajahnya sedikit di makan usia.

Saya tidak pasti sama ada beliau masih ingat pada saya. Sesungguhnya saya tidak dapat melupakan beliau kerana jika tidak keranya beliau, pasti saya menamatkan SPM dalam aliran bukan Sains. ( Seorang pelajar lebih senang mengingat seorang guru berbanding guru yang payah mengingat ratusan pelajar ). Tapi beliau tetap bertanya "Sekarang di mana?". Saya menjawab dan ringkas menerangkan kenapa saya ada di situ. Soal beliau lagi, "Berapa anak sekarang?". Saya juga menjawab dan sekaligus menamatkan perbualan kerana masing-masing sudah mengusung makanan.

Tiba masa melihat jenazah, suasana kembali terharu. Keluarga simati berendam airmata. Kami yang hadir juga pilu. Simati sebenarnya menghidap kanser. Pernah melakukan pembedahan payudara dan lain-lain rawatan setelah berada di Tahap 3. Asalnya dikatakan telah pulih. Tapi takdir Allah dalam waktu agak singkat, penyakit dikatakan merebak semula merosakkan paru-paru, buah pinggang, jantung dan akhirnya menyerang otak membawa kepada Penghijrahan Kekalnya beliau meninggalkan semua yang disayangi dan yang dipinjamkan kepadanya dimukabumi ini. Allahuakbar!. Saya berfikir sendirian. Saya juga mengarah ke sana, kita semua mengarah ke sana. Saya jadi seperti ketakutan. "Astaghfirullah!!! Pimpinlah aku supaya lebih menghargai nikmat kehidupan."

Alam Barzakh adalah alam pintu kepada akhirat. Ia boleh menjadi antara pintu-pintu ke syurga mahu pun neraka. Subhanallah! Di sana tinggal bergantung pada bekalan amal. Tidak yang lain. Tiada yang dapat membantu. Mudah-mudahan MakCik saya mendapat rahmat dan keampunan dari Allah.

Dalam perjalanan pulang, saya merenung-renung hari yang saya lalui. Saya katakan pada diri. Hari ini, Hari Rejoice - 2 dalam 1. Kenapa? Menziarahi jenazah sekali ketemu bekas guru. Saya belajar dari kedua-duanya. Menziarahi jenazah itu membawa peringatan dan menegur yang dikenali itu sebahagian dari persaudaraan. Alhamdulillah untuk hari yang saya lalui..........


Isnin, 6 Disember 2010

DIARI MUSLIMAH 2011(1432-1433H)

Kebiasaan hujung tahun, kita dilambakkan dengan jualan diari yang berjenis-jenis rupanya. Sehari dalam minggu yang lalu saya meluangkan masa membawa anak-anak ke sebuah toko buku di sebuah 'shopping complex' tidak jauh dari rumah. Saya berpeluang mendapatkan sebuah diairi yang berwarna merah jambu bernama DIARI MUSLIMAH 2011. Berwajah lebih kepada sebuah buku bersaiz sederhana. Diari ini terbitan KHARISMA NETWORK SDN BHD diedarkan oleh AR-RISALAH PRODUCT SDN. BHD. dan PERCETAKAN BUMI RESTU SDN. BHD.

Apa menarik dengan diari tersebut? Sebenarnya tiada apa yang istimewa pun. Diari biasalah, untuk membuat catatan. Namun dalam lambakkan yang ada kenapa saya memilih yang itu? Ini saya ceritakan. Dalam meyelak-nyelak apa yang ada tu, diari ini yang awalnya menarik saya kerana ia berwarna, saya sampai pada satu artikel di ruangan TIP bertajuk 'KREATIVITI SYAITAN'. Saya terus membacanya. Berkenaan syaitan dan lorong-lorong godaannya. Memfokus kepada 'trend pemakaian tudung kini'. Saya membaca dan mengaitkan dengan diri sendiri. Setakat mana ia mengenai saya. Adalah.... Ia berbicara juga tentang 'transisi pemakaian tudung'. Boleh jadi ia ke depan atau bergear 'reverse' ke belakang. Minta dijauhi yang ini. Namun saya berfikir dalam tentang transisi ke depan itu. Ya! yang itu.....

Artikel yang saya nyatakan itu menarik pada , lantas saya mencari siapa penulisnya. Ustaz Pahrol Mohamad Juoi - Pakar Motivasi. Tak hairanlah. Biasa begitu. Bila sesuatu itu menyentuh hati saya, ia datang dari yang bukan calang-calang. Saya sebenarnya berpesonaliti agak' tegar'. Kemudian dari situ saya mencari tahu siapa penulis itu sebenarnya. Ternyata beliau adalah Ketua Editor Majalah favourite masa kini, SOLUSI terbitan Telaga Biru. Lanjutan dari situ, sewaktu lainnya ke pasaraya bersama keluarga mendapatkan barangan rumah, saya mendapatkan naskah pertama Majalah' favourite' itu. Malangnya tiada edisi terbaru. Saya tanyakan pada penjual tersebut. Katanya habis dijual. Saya sempat bertanya berapa banyak 'batch' yang telah habis sebelumnya. Jawabnya 60. Yang terpapar di rak cuma Edisi Ulang Cetak Isu No.2. Saya tetap membelinya atas dasar pengkajian. Berbaloi!. Saya suka dan bermanfaat isi kandungannya. Nama pun edisi ulang cetak. Menurut penjual ia atas permintaan ramai.

Pernah saya nyatakan dalam entri terdahulu bahawa 'Knowledge is Power'. Membaca satu asas mendapatkan ilmu. Dalam memilih bahan bacaan kita ada tanggungjawab. Kita wajar memilih bahan bacaan yang baik untuk perkembangan minda dan akal. Bahan bacaan yang menajamkan otak dan melancarkan pemikiran. Sememangnya terdapat yang sebaliknya. Namun kita yang memilih. Buruk pilihan kita, buruklah nitijahnya. Ini kerana kita memilih kuasa ke arah keburukan. Santai pilihan kita, santailah natijahnya. Sebaliknya ilmiah pilihan kita, ilmiahlah natijahnya.

Mata rasa layu. Besok perlu subuh. Jam lima minit melebihi dua. Saya perlu berehat. Si kecil sudah lama lena......

Dicatat pada pagi Hijrah 1432.




Ahad, 5 Disember 2010

MENJELANG TAHUN BARU - HIJRAH DAN AWAL MUHARRAM

Pagi ini semasa 'orang rumah' saya sedang bersiap-siap ke pejabat, mulutnya terpacul "Hari ni kena ke masjidlah". Saya diam dan terus mendengar sambil berfikir. Faham saya dia memberitahu saya yang dia bakal balik melebihi waktu pejabatlah tu. Itu biasa bagi saya dan rutin bagi dia. Bergelumang tugas di bahagian perakaunan. Saya akur. Walau kekadang ada nak tersadung, nasib baik tak tersungkur. Lanjut lagi, saya fahami dia bakal ke masjid berhampiran pejabatnyalah tu. Biasanya dia solat di surau di bangunan pejabat sahaja.

Sengaja nak memanjangkan berbual, saya bertanya, "Kenapa?". Dia menjawab, "Malam ni kan kena baca doa akhir tahun dan awal tahun". "Oh....!", Jawab saya. Faham saya dia ingin berdoa beramai-ramailah tu. Namun entah macam mana mulut lancar ingin menuturkan sesuatu. Ini kerana beberapa hari sebelum itu melalui rancangan Tanyalah Ustaz di TV9, saya mendapat info ini. Spontan rasa ingin berkongsi dengannya. Saya katakan pada dia, "Kalau ke masjid niatkan untuk solat berjemaah, itu yang wajibnya dan berdoa itu nombor duakan. Solat itukan wajib (zikir wajib) dan doa itu (zikir sunat). Pahala berjemaah 27 kali lebih dari berseorangan. Zaman Nabi tiada pun semua itu (ditetapkan berdoa hunjung dan awal tahun). Namun doa itu sendiri adalah senjata umat Islam dan doa itu pasti diterima dan dimakbulkan Allah (janji Allah). Cuma bila, di mana dan bagaimana - tiada kita ketahui. Solat itu disifatkan tiang (foundation) agama. Oleh itu ia menagih dilaksanakan di awal waktu dan untuk para lelaki sebaiknya secara berjemaah di rumah Allah yang berhampiran. Mudah-mudahan solat dan doa itu diterima oleh Allah. Insyaallah!". Syukur dan lega dapat menuturkan semula info itu menurut penghayatan saya untuk abah kepada zuriat-zuriat saya.

Hijrah dan peristiwanya memang mengesankan bagi umat dan dunia Islam. Mengetahui sejarah Hijrah itu memang afdal kerana dengannya kita dapat tahu kepayahan dan pengorbanan yang dilalui oleh Rasul tercinta bersama pengikut-pengikut setianya demi perkembangan Islam agama tersayang. Keperitan dan kesukaran itu tidak disia-siakan tetapi berhasil dengan manis dipenghujung penghijrahan itu. Untuk mara ke hadapan kadangkala perlu setapak dulu undurnya kebelakang. Tapi bila mara - mara dengan penuh berstrategi dan keyakinan bersandar kebenaran yang Haq. Allahuakbar!

Moralnya ialah jangan kedekut atau takut melakukan perubahan ke arah kebaikan. Perubahan tidak semestinya yang besar-besar. Boleh bermula dari yang kecil-kecil. Konsistensi itu yang perlu dipelihara. Ya! ini pesanan untuk di sendiri dahulu. Saya kongsi di sini. Asal kita melakukan sesuatu itu dengan penuh sedar, dibawah kewarasan dan kerana Allah diiringi penuh tawakkal. Allah pasti penilai yang terbaik. Ini kerana semua yang baik itu berasal dari Allah dan yang sebaliknya itu dari kelemahan dan kekurangan kita sebagai makhluk dan insan lemah lagi lelah!

Kepala saya berfikir-fikir ke mana hijrah saya kali ini. Ini agenda saya untuk hari ini. Harap tidak lagi terlambat. Hati berbisik, "Ya Allah tunjukkilah aku- kerana Engkau sebaik pemberi petunjuk, bimbinglah aku -kerana engkau sebaik pembimbing, pimpinlah aku-kerana Engkau sebaik pemimpin. Hidayahkan aku dengan kebaikan dan lindungi aku dari sebarang kejahatan. Berilah kepadaku perlindungan dan keselamatan bersama-sama ahli keluargaku. Salawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah yang mulia dan ahli keluarganya berserta para sahabat beliau Amiiin..."

Dicatat berakhir pada: 10.31 am 6/12 (saya kena cari tahu kenapa' date' dan 'time' di blog ni huru-hara sikit.)