Jumaat, 9 Julai 2010

Lupuskan UPSR dan PMR?


Apa yang ingin aku bicarakan ini adalah suatu isu besar dalam sejarah pendidikan negara berbanding dengan diriku yang bukan pun siapa-siapa ini. Namun sebagai seorang warganegara Malaysia yang beragama Islam aku merasa terpanggil untuk tetap berbicara mengenainya.

Masih aku ingat di zaman persekolahan sekolah rendah aku melalui Peperiksaan Penilaian dan mendapat 2A 3B sebagai keputusannya. Waktu itu aku sudah tahu erti tidak berpuas hati. Aku tidak gembira dengan keputusan tersebut kerana ramai kawan-kawan mendapat lebih baik iaitu 4A dan 5A. Itu peperiksaan penting pertama yang aku lalui sebagai seorang pelajar. Kini ia adalah UPSR. Namun tujuannya sama untuk menilai tahap pencapaian pelajar setelah beberapa tahun belajar dan diajar oleh guru-guru akan ilmu-ilmu asas pendidikan. Lebih dari itu guru-guru juga diuji apakah mereka telah berjaya dalam menyampaikan dan mendidik pelajar memahami dan meresapi segala pengajaran sepanjang beberapa tahun tersebut. Aku berpendapat belajar mesti mempunyai matalamat. Agama Islam menyatakan intipati belajar adalah atas tuntutan ilmu itu sendiri dan mungkin mudah bagi orang dewasa memahaminya.
"Jika inginkan dunia mestilah berilmu, jika inginkan akhirat mestilah berilmu. Jika ingin kedua-duanya juga mestilah berilmu." Bagi tahap pelajar sekolah rendah matalamat mudah belajar mereka adalah untuk mudah menjawab peperiksaan dan lulus dengan cemerlang. Ini nampak seperti belajar kerana nak lulus. Ada juga beranggapan terlalu berorientasikan peperiksaan. Namun ia cukup untuk satu matalamat mudah di mana impakya lebih dari itu mendididk supaya pelajar rajin, fokus, berdisiplin dan bermacam-macam lagi nilai positif. Ini kerana keputusan cemerlang tidak akan datang bergolek tanpa usaha. Jika tiada UPSR sama seperti memadam matalamat utama pelajar-pelajar muda ini. Seterusnya ia mungkin menjadikan pelajar kurang mungkin hilang kerajinan, fokus, disiplin dan menangguh-nangguh kesungguhan berusaha. Dikhuatiri rebung-rebung muda ini menjadi sukar dididik seterusnya. UPSR itu juga sebagai sistem pantauan awal terhadap kredibiliti para pelajar muda yang menjadi tonggak masa depan.
UPSR dan PMR seterusnya adalah kayu ukur awal bagi para pelajar di Malaysia. Peperiksaan berperingkat ini aku rasakan serasi sudah dengan persekitaran. Apa yang perlu mungkin menambah kualiti tehadap sistem pembelajaran dan peperiksaan itu sendiri.




Ahad, 4 Julai 2010

KELAHIRAN


Alhamdulillah dipanjatkan pada Pemilik seluruh alam yang masih dengan rahmatnya memberi kesempatan untuk aku mampu melayari internet, alat dunia moden kini dan melalui blog ini dapat seterusnya aku jadikan medium luahan rasa dan hati seorang yang bernama insan yang kerdil lagi hina disisiNya.

Kali terakhir aku bercerita tentang kehamilanku. Ya kehamilan yang aku sendiri tidak menjangka, walau di hati wujud dambaan ke arah menginginkan seorang lagi zuriat penyambung (nasab) keturunan antara aku dan suami. Namun Alhamdulillah telahan doktor telah menjadi nyata dan Anas Imran bin Badrul Hisham telah hadir sebagai penambah seri rumahtanggaku. Kesemua 'Charlie Angels'ku nampak gembira atas kedatangannya pada tanggal 28 Mach yang lalu. Kini usianya baru menjangkau 3 bulan. Seminggu sebelum itu si kecil tu dah pun dapat meniarap. Alhamdulillah.

Apa yang ingin aku nyatakan ialah pengalaman melahirkan ini pasti menambah satu lagi sejarah dalam lipatan umurku. Suami bersama dibilik bersalin sememangnya dapat menambah semangat juang dan pengorbanan demi melahirkan si kecil ke dunia besar ini. Saat di mana penyambut bayi membuat 'body touching' antara saya dan baby antara kelainan yang saya terima dari kelahiran-kelahiran terdahulu. Katanya untuk mendapatkan 'bonding' antara bayi dan saya. Selain itu bayiku asalnya lambat keluarkan tangisannya dan aku disarankan untuk 'bersalawat ke atas Nabi' dan meniupkan ke arahnya, lantas, syukur tangisan pertamanya terus kedengaran. Saat yang sama airmata gembira terasa panas membasahi wajah dan segala kesakitan dengan sendirinya terasa berkurangan apabila bayi selamat dilahirkan. Itulah jiwa seorang ibu. Waktu menerima jahitan langsung tak kuindahkan kerana sakit melahirkan itu padaku telah meliputi seluruh kesakitan seumur hidupku waktu itu dan telah terubat pabila melihatkan kesempurnaan wajah dan tubuh si kecil kurniaan Ilahi padaku.


Apa yang pasti episod hidupku wujud perubahan bersama kehadiran Anas Imran dan Insyaallah aku akan cuba melaluinya dengan kudrat yang ada dan semoga Allah memberi kekuatan padaku untuk menjadi hamba yang bersyukur atas segala nikmat kurniaanya. Insyaallah.......

Isnin, 15 Februari 2010

MENANTI KELAHIRAN

Kurang lebih sebulan dari hari ini aku bakal melahirkan kandungan ke-4ku. Dalam usia yang hanya beberapa tahun mencecah 40, sendiri aku sendiri merasakan seolah sudah agak kurang berisiko dalam persoalan kehamilan. Namun, itulah hakikat yang aku sedang hadapi. Jauh di sudut hati kecil ini semememangnya mendambakan kelahiran seorang cahayamata lelaki sebagai penyambung keturunan. Maklumlah sudah perolehi 3 puteri. Kewujudan seorang putera sememangnya diimpikan dan menjadi doaku sejak hati mula mengidam untuk mencukupkan 'kuota'. Alhamdulillah, menurut doktor Insyaallah, hajatku mungkin tercapai kali ini. Bagaimana pun semuanya dalam ketentuan Allah, aku hanya berdoa dengan harapan.

Apa yang dapat dikatakan, pengalaman hamil dalam usia sebegini memang padaku mencabar. Aku tidak pasti untuk orang lain. Padaku pembawaannya ketara lain dan ditambah dengan kondisi tubuh badan yang mungkin kurang bertenaga kerana faktor pertambahan umur. Namun syukur setakat hari ini tiada apa-apa masalah berat untuk kehamilan kali ini. Kerungsingan utama adalah rasa sakit yang dihadapi dari atas lutut kanan ke bahagian atas peha. Ini bermula semasa kandungan berusia lebih kurang 5 bulan. Sakit lebih semasa berkalih dalam tidur, bangkit dari tidur dan bangun dari duduk. Tidak pasti puncanya. Mungkin kerana kandungan berat ke sebelah kanan. Ada juga berurut bahagian kaki, dan dikatakan ia masalah urat. Allah lebih tahu.

Setelah 8 tahun jarak kehamilan, kini ada sedikit kegusaran untuk kelahiran yang bakal dilalui. Maklumlah pengalaman-pengalaman yang lepas antara 'ingat dan lupa'. Bersama anak ke-3, aku terpaksa ditahan di Wad Pediatrik selama 2 minggu kerana anak 'kuning'. Itu antara yang paling mencabar. Waktu itu, hancur luluh melihat anak di tusuk jarum dibahagian belakang telapak tangan untuk diambil darah untuk ujian. Itu benar-benar menguji. Tersepit antara simpati pada si kecil dan keinginan untuk dia pulih. Sehingga ke tahap doktor ingin membuat 'blood transfusion', aku membantah. Naluri kecil aku begitu berkeras. Kebimbangan maksimum memikirkan tentang darah siapa dan dari mana yang bakal mengalir dalam tubuh si kecil. Aku pasrah dan Alhamdulillah semuanya kembali o.k.

Sekarang perhatian tertumpu untuk persediaan menyambut kelahiran. Lebih 60% menurutku dah dibuat. Selebihnya masih diusahakan. Lebih penting persediaan mental. Itu rasanya mengambil 30% dari keseluruhan. Apa pun aku terus menghitung hari............

Jumaat, 12 Februari 2010

ALLAH MAHA BESAR, AKU INSAN PELUPA

Dipanjatkan kesyukuran pada Allah, Tuhan Penguasa sekalian alam. Dah berbulan blog ni tak berusik. Asalnya kerana banyak hal-hal di luar jangkaan yang berlaku. Seterusnya yang lebih dahsyat diri sendiri benar-benar lupa pada 'password' untuk masuk blog sendiri. Berhempas pulas nak mengingat. Namun tak juga ingat. Sebenarnya 'key word' tu ia memang tersemat dalam 'memory chip' tapi wujud ketidakpastian dihujungnya, apakah ada penambahan 'character' atau tidak. Setelah berkali-kali mencuba akhirnya ia hanya 'keyword' tanpa apa-apa penambahan. Perasaan kesal, geram dan seterusnya marah pada diri itulah yang timbul bila berdepan dengan situasi demikian.
Melalui peristiwa ini, diri ini ambil iktibar bahawa insan sememangnya pelupa, bahkan kekadang keyakinan yang begitu tinggi tentang apa sahaja berkaitan kehidupan ini dengan mudah pada bila-bila boleh diuji oleh Allah, Pencipta kita dan sekalian alam ini. Oleh itu kita memang perlu keyakinan untuk terus hidup namun keyakinan yang mutlak bukan ada pada diri kita mahupun orang lain, semata-mata mesti ada hanya pada dan 100% untuk Allah.
"Aku manusia kerdil yang dijadikan olehNya. Setiap sesuatu pergerakan, mahupun lintasan hati tak terlepas dari penilaian dan kawalanNya, bahkan takkan terjadi sesuatu inginku jika tiada izinNya. Tidak juga tertolak akan sesuatu jika itu ketentuanNya. KehendakNya mengatasi kemahuanku. Allah Maha Besar, Aku insan kerdil penuh kelemahan......."

Rabu, 8 Julai 2009

LELAKI, WANITA DAN RUMAHTANGGA

Lama sungguh rasanya tak menambah entri dalam blog ni. Sehari ke sehari ingat nak menulis, namun terdapat banyak pula perkara lain yang mengambil keutamaan. Lebih dari itu, saya suka dan akan menulis bila hati benar-benar rasa senang dan damai. Itulah cerewetnya!

Kali ini saya ingin kongsikan tentang sesuatu yang saya baca. Saya merupakan penggemar ‘Mingguan Wanita’. Rasanya ramai yang kenal dan tahu. Ia merupakan sebuah majalah yang sarat dengan isu-isu perhubungan dan kekeluargaan. Selain terdapat juga kisah kemasyarakatan, info kesihatan, psokologi dan motivasi tak ketinggalan resepi. Sesuai dengan namanya- keluarannya adalah seminggu sekali dan berharga RM3.30. Tak dinafikan terdapat banyak iklan-iklan didalamnya terutamanya terdiri dari produk-produk kecantikan dan kesihatan. Namun, pandangan saya ia masih dalam keseimbangan. Kira masih berbaloi.

Setiap kali mula membaca, saya gemar dahulukan dengan ruang ‘Yang Elok Itu Budi’ oleh Nuri Supian selaku Editor. Setiap yang dipilih untuk diperkatakan diruang itu begitu nyata dan jelas hakikatnya. Bila membacanya saya seolah-olah mendengarnya diluahkan terus dari hati sipenulis. Apakah saya yang terlalu emosional atau memang tulisannya itu bertepatan dengan ruangnya yang utama dan persoalannya yang diutarakan menyentuh masyarakat kini. Sesungguhnya tulisan itu selayaknya dari seorang Editor.

Terbaru dalam milik saya, keluaran bertarikh 3-9 Julai dengan Amy Mastura dan dua orang anaknya. Di sini Nuri Supian telah berkongsi bersama-sama pembacanya akan satu emel yang mengisahkan tentang ciri-ciri Lelaki Sejati. Kita maklum dalam dunia yang kategori akhir zaman ini, permasalahan dan kegawatan dalam kehidupan juga seiring dengan kegawatan dan kemelesetan ekonomi. Malahan kedua-duanya juga tak dinafikan ada perkaitan. Tak salah kiranya jika dikatakan wang juga menjadi punca keberantakan dalam rumahtangga dan boleh menyebabkan keruntuhan sekaligus perceraian.

Berbalik kepada ciri Lelaki Sejati tadi, saya memetik emel itu yang mengatakan:

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari bahunya yang kekar, tetapi dari kasih sayangnya pada orang sekitarnya…..

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari suaranya yang lantang , tetapi dari kelembutannya menyatakan kebenaran…..

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari jumlah sahabat disekitarnya, tetapi dari sikap bersahabatnya pada generasi muda bangsa…..

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari bagaimana dia dihormati di tempat bekerja, tetapi bagaimana dia dihormati di dalam rumah…..

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari kerasnya pukulan, tetapi dari sikap bijaknya memahami persoalan…..
Lelaki sejati bukanlah dilihat dari dadanya yang bidang, tetapi dari hati yang ada dibalik itu…..

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari ramainya wanita yang memuja, tetapi dari komitmennya terhadap wanita yang dicintainya…..

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari jumlah tanggungjawab yang dibebankan, tetapi dari tabahnya dia menghadapi liku-liku kehidupan…..

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari rajinnya membaca kitab suci, tetapi dari konsistennya menjalankan apa yang dia baca…..

Selepas mengamati dan berfikir, hati kecil saya sangat bersetuju dan saya juga mengambil sebahagian besarnya yang mana juga bersesuaian untuk wanita dalam caranya tersendiri…….

Jelas sekali lelaki itu berperanan sebagai pengemudi bahtera, manakala wanita disisinya yang telah diambil sebagai isteri adalah pembantunya. Hubungan keduanya mesti berteraskan kasih sayang dan persefahaman (dalam susah mahu senang). Atas dasar itu diakali mereka (lelaki) dengan 9 akal (supaya panjang pemikirannya) dan dinafsui mereka dengan 1 nafsu (wanita). Bagi wanita pula sebaliknya. Oleh itu kaum Hawa itu sesuai dengan fitrahnya bersifat lemah fizikal mahu pun mentalnya jika dibandingkan dengan kaum Adam. Apa yang diperlukan adalah difahami, dibimbing, dididik dan dipimpin untuk keserasian dan kesefahaman dan disulam dengan kasih sayang yang jujur lagi ikhlas berteraskan 9 akal yang ada pada lelaki. Jika nafsu yang 1 itu menguasai akal yang 9. Dapat kita bayangkan....... Sesungguhnya, rumahtangga yang aman, damai dan tenang dengan Mawaddah Ar Rahmah adalah impian semua………..

Rabu, 17 Jun 2009

SPM: MAKSIMUM 11 MATAPELAJARAN MENJELANG 2011

Isu di atas telah pun beberapa lama dipersoalkan sehinggalah saya mendengar keputusan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri petang semalam memutuskan seperti tajuk di atas. Ini dikatakan atas dasar bahawa mengelakkan dari dikatakan system pembelajaran Malaysia berdasarkan ‘exam oriented’.

Sebenarnya semasa mula-mula isu ini timbul, saya berpandangan tidak wajar dihadkan pengambilan kepada maksimum 10 matapelajaran sahaja bagi pelajar-pelajar SPM. Sekolah aliran agama pula dihadkan pada 11 matapelajaran. Waktu isu ini timbul (lebih kurang sebulan lalu), negara masih hangat dengan kejayaan adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, seorang bekas pelajar sekolah agama dari Kelantan. Saya sendiri amat kagum dan terharu dengan kejayaan seorang anak muslim Melayu yang telah berjaya membuktikan bagaimana kejayaannya dalam meraih ilmu sekaligus berjaya menaikkan harga dirinya juga keluarganya di mata masyarakat Malaysia. Inilah tujuan tuntutan ilmu itu. Itu baru permulaan bagi adik Nik Nur Madihah.

Saya ada membeli buku Catatan Adik Nik Nurmadihah (dua minggu sebelum cuti sekolah lalu) yang menceritakan kisah-kisahnya semenjak selepas PMR, semasa mula belajar di Maahad Muhammadi (P) sehingga kejayaan dalam SPM dengan 19(1A) dan 1(2A). Buku itu saya hadiahkan (setelah seharian habis membacanya) kepada anak sulung saya yang kebetulan pula baru awal tahun ini masuk ke Maahad Hamidiah di Kajang. Saya mahu dia cuba mencontohi semangat perjuangan yang ada membara dalam diri dan jiwa anak seorang nelayan yang mewarisi kecekalan dan ketabahan ibu-bapanya. Kesukaran dan keperitan dan kepayahan hidup telah mendidik adik Nik Nurmadihah dari leka dan lalai dengan arus kebiasaan anak remaja lainnya (anak saya juga). Hasilnya beliau menjadi seorang yang luarbiasa. Beliau berani dan yakin menyahut cabaran mengambil 20 subjek berbanding 19 yang disarankan oleh seorang gurunya.

Sememang tidak dapat saya bayangkan bagaimana caranya beliau menelaah untuk semua subjek tersebut. Namun itulah hikmah kurniaan Allah. Otak(secara fizikal) manusia terlalu hebat disokong oleh Akal(secara ghaib) yang mendapat hidayah dan bimbingan dari Tuhannya menjadikan tiada yang mustahil. Pada 2007, kejayaan adik Azali Azlan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dari Kedah juga amat hebat. 20 (1A) dan 1(2A) ternyata lebih sedikit dari pencapaian Nik Nur Madihah. Dikatakan juga kedua-dua pelajar ini tidak ketinggalan beraktiviti di sekolah. Seawal dari itu adalah kejayaan Nur Amalina. Ketiga-tiganya adalah pelajar Melayu beragama Islam dan Malaysia sememangnya amat berbangga dengan kebolehan dan kejayaan mereka. Mulai 2011 tiadalah lagi kisah-kisah teladan yang sebegini untuk anak-anak remaja Malaysia tatapi dan contohi.

Kita perlu ingat, mengambil lebih dari 10 matapelajaran bukan satu paksaan. Ia adalah satu pilihan. Sesiapa sahaja boleh mencuba. Apa yang membezakan adalah apakah niat mereka melakukan sedemikian. Tulinnya kerana ilmu itu sendiri atau hanya ingin mendapat nama?Mereka yang memilih demikian pasti sudah tahu apa risikonya. Namun kita juga tahu hanya orang yang berpotensi dan tahu kebolehannya yang sanggup mengambil cabaran tersebut. Jadi untuk saya ada sedikit terkilan dengan keputusan di atas. Saya sendiri tidak tidak menggalakkan anak-anak saya untuk mengambil lebih dari matapelajaran yang ditetapkan. Ini kerana saya tahu keupayaan mereka setakat mana.
Cuma akan datang berkemungkinan besar, kuranglah cerita-cerita pemangkin unik dan hebat mengenai kejayaan pelajar-pelajar Malaysia dalam SPM.

Selasa, 16 Jun 2009

KERAJAAN CAMPURAN?

Saya tidak berapa pasti untuk menulis tentang topik yang saya fikirkan ini. Tapi sebagai seorang warganegara Malaysia saya rasa berhak juga meluahkan pandangan, rasa hati dan juga harapan ke atas negara tercinta ni.
Ada yang mengatakan 'politik itu kotor'. Benarkah? Rasulullah juga berpolitik. Beliau pemimpim agung yang penglibatannya merangkumi semua aspek pemerintahan dalam negara. Jadi saya berpandangan manusia yang berperanan mengotorkan politik itu sedang politik itu sendiri neutral. Saya suka nak mengulas tentang sesuatu yang didengar sebagai tajuk maklumat yang didengar melalui media TV pagi ini. Kerajaan Campuran cadangan Hj. Hadi dari Parti Pas kepada UMNO. Saya bukanlah seorang yang pandai untuk bercakap, berbahas mahupun berdebat tentangnya. Saya cuma seorang warganergara yang mahu terus melihat Malaysia ini secara 'internally' aman, damai, bersatu-padu dan terus maju dari berbagai segi. 'Externally' pula tentu ingin dikenali juga dihormati oleh negara luar. Gelora politik di Malaysia ni pada saya hebat juga. Saya tidak mahu menyebelah mana-mana parti kerana rasanya ia tiada kesudahan. Mungkin hanya ada keletihan dan kelelahan. Namun tidak bermaksud saya tiada pendirian.
Baru-baru ni saya hanya mampu tersenyum melihat aksi bekas Menteri Besar Perak dengan kain lilit dikepala 'Bubar DUN'. Secara peribadi saya rasa memang sudah masanya cadangan Haji Hadi itu difikirkan dengan mendalam. Saya sendiri pernah berangankan bila saatnya UMNO dan PAS akan melupakan semua perbezaan dan menumpu kepada persamaan dan persamaan hebatnya adalah NIKMAT IMAN. Iman itu ada kerana adanya agama. Agama adalah benteng kekuatan ummah. Permasalahan tidak pernah hilang begitu jugalah perbezaan pendapat. Satu individu satu gaya pemikiran. Jika sama gaya pemikiran itu bonus untuk lebih mudah selesainya permasalahan dan mencapai kata putus. Jika tidak, Islam menganjurkan muzakarah. Muzakarah kerana Allah dan kebaikan ummah bukan untuk kemenangan peribadi atau parti sekalipun. Kerana jika kita menunaikan hak Allah, Allah yang Maha Pemurah pasti memelihara hak kita. Itu janjiNya.
Patut merujuk kepada cara pimpinan Rasulullah-bagaimana beliau mampu memerintah negara Islam yang juga ada orang bukan Islam didalamnya. Dalam kelembutan beliau tegas bila ia melibatkan soal iman dan agama. Masa yang sama tidak beliau menafikan hak-hak bukan Islam. Beliau menempatkan sesuatu pada tempatnya. Beliau sememangnya luhur. Itulah kekasih Allah dan contoh akhlak mulia yang terterap pada pemerintahan Rasulullah Pemimpin yang Agung. Tak perlu beralasan 'Dia Rasul, Kita Manusia'. Dasarnya dia adalah contoh. Bagi mereka yang memimpin, usaha pastilah tertumpu pada mencontohi cara kepimpinan beliau. Bukan untuk menjadi beliau. Setiap kita ada sesuatu untuk dicontohi dari Rasulullah, berdasarkan kepada apa kelemahan kita. Al Quran adalah 'manual' manusia dan Rasulullah itu pula dikatakan Al Quran bergerak' kerana akhlaknya yang amat bertepatan sebagai pengaplikasi. Jadi kerana itu tidak dapat kita memisahkan Al-Quran dan Al-Hadis. Kedua-duanya ibarat roh dan jasad.
Saya melihat UMNO memang hebat dengan barisan kepimpinannya. Saya juga melihat PAS sebagai sebuah parti bervisi mulia. Gabungan pimpinan yang hebat, bijak, berwawasan dengan visi yang mulia pasti menjadi POSITIVE BOOSTER pada Malaysia negara tercinta.