Ahad, 27 Februari 2011

GANJARAN WANG BUAT GURU.



Selepas minum pagi bersarapankan nasi lemak tanpa lauk dan sedikit kuih dari kedai, saya terasa ingin menyampaikan. Hari ini saya memilih satu topik yang pada aku mustahak. Sebagai warganegara Malaysia yang masih ada rasa sayang dalam hati, saya cuba sampaikan perkara ini, walau mungkin sesetengah yang akan terbaca, bakal merasa kurang puas hati. Sebagai seorang yang pernah melalui alam persekolahan - rendah, menegah, institut dan universiti, rasa boleh kiranya saya bersuara. Walau ada sumbang. Ini cuma suara hati juga pandangan.

Semalam saya terbaca mengenai Wawancara Mingguan Malaysia dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Di bawah tajuk Iktiraf Kepimpinan Sekolah. Saya yang mempunyai tiga orang anak yang sedang bersekolah terdorong membacanya. Memperihalkan aspirasi Kerajaan dalam menentukan halatuju sistem pendidikan negara Wawasan 2020. Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan segala niat murni kerajaan dalam usaha memastikan rakyat negara ini dapat menikmati pendidikan yang berkualiti. Pelan-pelan dikatakan terangka mencakupi peringkat pra-sekolah hingga ke pengajian tinggi. Syabas dan tahniah atas semua itu. Saya akui sebagai rakyat Malaysia, sangat beruntung atas pendidikan formal yang telah saya ada ditahap ini. Diakui juga ada juga rasa ingin masuk kelas semula. Saya suka pada ilmu. Saya suka menghadap pensyarah. Saya suka berkelilingkan sahabat menuntut ilmu. Pendeknya saya suka belajar. Belajar menyedarkan bahawa kita bahawa sentiasa ada ruang mengetahui sesuatu yang baru.

Meneruskan pembacaan saya, saya dapati wawancara itu berintikan bagaimana kerajaan ingin menghargai guru-guru mereka (guru-guru anak-anak kita) dengan ganjaran kewangan berdasarkan prestasi. Dikatakan ia sesuatu yang baru yang pertama kali bakal dilaksanakan dalam perkhidmatan awam negara ini. Wow! seronoknya. Saya menumpang sekaki. Dinyatakan juga idea berani ini akan diusahakan secara telus lagi adil. Baguslah! Saya sokong tu.

Kemudian saya mengimbas-imbas alam persekolahan saya. Terbayang-bayang wajah guru-guru saya dahulu. Semoga Allah merahmati mereka (yang masih ada dan juga yang tiada). Terkenang saya akan perit-jerih mereka mendidik saya dan rakan-rakan sekelas. Di sekolah rendah, paling tidak boleh lupa pada Cikgu Khamsiah. Cikgu yang paling 'garang'. Saya cuma berterus terang. Ramai anak-anak murid yang' merasa' dengan beliau. 4 dari 6 adik beradik saya telah 'merasa' bergurukan beliau. Banyak kenangan yang boleh kami bualkan tentangnya. Saya teringat hukuman-hukuman yang diterima seandainya gagal menurut kata Cikgu. Perut saya selalu 'hilang' bila tiba masa Cikgu masuk kelas. Semoga Allah mencucuri rahmatnya ke atas roh beliau. Saya mengetahui beliau meninggal dunia kerana kanser. Itu imbasan sewaktu darjah 5.

Saya teringat pula pada Cikgu Zainuddin. Cikgu yang membuat saya suka pada Matematik. Saya tak segan katakan, saya sayang dengan Cikgu ni. Dia memang macam bapa pada anak muridnya. Dia rajin betul mengajar kita orang. Dari cara dia, memang komited betul. Maklumlah. Saya ini dari keluarga yang tak mampu pun nak pergi tuisyen. Kelas tambahan percuma beliau betul-betul saya hargai. Guru lain pun sama juga. Cikgu Zainuddin buat saya jatuh cinta dengan pengiraan. Bermain dengan angka sebenarnya satu cabaran dalam keseronokan. Dia mengajar supaya jangan kenal pun putus asa selagi tak dapat jawapan yang betul dengan jalankerja yang betul. Saya takkan lupa Cikgu yang seorang ni. Pada saya dia seorang yang terpancar IKHLAS dan tidak mengharapkan apa-apa dalam usaha mendidik anak bangsa. Saya menilai, dia bekerja - datang pagi dan pulang petang dan terlibat dengan aktiviti sekolah dengan niat ikhlas sebagai komitmen seorang insan. Insan yang ingin melihat anak bangsa celik ilmu. Menerangi kegelapan. Beliau dibayar gaji dalam usahanya. Imbuhan lain - saya tidak pasti!. Gaji yang diperolehi didoakan halal dan diberkati Allah. Ia bakal mendarah daging untuk dirinya dan keluarga. Beliau seorang pemimpin (dalam keluarga). Beliau seorang khalifah (di dunia). Tanpa perlu ganjaran kewangan (sebagai inisiatif 'extravaganza') beliau telah berjaya mendidik saya dan rakan-rakan sehingga tamat PMR. Saya cuma dapat 6A sahaja. Tak cukup bagus pun.

Saya teringat guru-guru saya dulu, ramai mereka serba sederhana. Melihat kepada pemakaian mereka sahaja, saya tahu. Lihat juga kenderaan mereka. Walau saya remaja yang masih 'bodoh-bodoh alang', saya belajar menilai. Berbanding dengan guru-guru sekarang. Jauh berbeza guru-guru sekarang. Saya puji kerajaan dalam usaha memartabatkan karier perguruan ini. Guru-guru kini lebih berprestij lagi glamor. Nah! cuba lihat dan nilailah. Tidak salah untuk melihat dan berfikir. Oklah kita boleh katakan sekarang ni dah tahun millinieum. Nampaknya guru-guru sekarang bergerak seiring dengan matalamat millinieum itulah! Sampai nak mendidik anak bangsa pun perlu ada habuan dalam RM?!!. Itu cuma satu soalan. Wajar kiranya kerajaan tidak perlu mencanang 'habuan' ini sebelum melihat hasilnya. Itu akan mewujudkan budaya 'kerja dahulu, imbalan kemudian - surprised'. Bagi mereka yang diganjari, bukan kerana ganjaran itu matalamat mereka, tapi keikhlasan mendidik dan dan komitmen ingin memajukan bangsa - ITULAH YANG PERLU DIHARGAI!. Jika begitu kerajaan terlihat ikhlas dan begitu juga guru-guru yang bakal mendapat ganjaran.

Saya terpanggil menulis tentang ini kerana terasa hati saya pada pagi ini. Saya marah pada berita online yang saya baca tentang GURU RABA MURID, di Metro pagi ini. Saya juga kurang senang pada cerita menantu kepada bekas penjaga anak saya semalam. Saya terjumpa dengannya di sebuah pasaraya semalam. Berbual-bual tentang anak-anak dan dia bercerita mengenai sekolah anaknya (menengah) di mana guru-gurunya tidak suka mengajar. Anda pelik?! Begitu juga saya. Seolah sukar nak dipercayai. Namun ini hakikat. Dia katakan anaknya malas hendak ke sekolah kerana guru tidak mengajar. Anaknya hanya berharap kepada pusat tuisyen dari segi pembelajaran. Sungguh terkejut saya!. Saya tanyakan tentang keputusan peperiksaan anaknya. Mendapat 4A dan 4B dalam PMR. Not bad! rasa saya. Tapi ibu itu berkata. "Nasib baik pergi tuisyen, kalau tak, entahlah!. Diceritakan juga, sehingga Kementerian buat 'serbuan' setelah mendapat komplen dari ibubapa. Nah! apa ini?

Saya ringkaskan bahawa, cadangan memberi insentif pada guru-guru sebagai menghargai jasa, itu adalah baik. Tapi mungkinkah ada kesan lain? Manusia ini ada dua unsur. Roh dan jasad. Kita biarkan roh keikhlasan itu mendorong guru-guru bekerja dengan niat Lillahitaa'la. Jasad mereka akan menerima ganjarannya. Mereka pasti bahagia jika mendahulukan keikhlasan dan bukan bekerja demi mengejar wang semata-mata. Saya akui kini, dan dahulu - Guru-guru berbeza. Saya faham zaman telah berganjak ke hadapan. Atas dasar itu, inspirasi dan aspirasi guru jangan sehingga keciciran kebelakang. Ikhlaslah dalam kerjaya murni itu. Tanpa guru, murid-murid bukan sesiapa. Guru kini terlalu banyak cabarannya. Dunia pendidikan kini juga perlahan-lahan diperdagangkan. Tapi jangan sampai 'KEIKHLASAN' itu hilang dibawa arus material. Guru menjadi rujukan setiap sudut. Sahsiah guru juga menjadi renungan anak-anak murid. Mendidik tugas murni yang mesti 'dipelihara'. Semoga Malaysia dan rakyatnya akan terus maju dan seimbang halatujunya menerusi dunia pendidikan demi mengejar dunia dan tidak melepaskan alam kekal di sana.

10.15am@28/02/11


Jumaat, 25 Februari 2011

OH! MAHER ZAIN

Sewaktu menjemput anak pulang dari asrama, terdengar di radio berita perihal Maher Zain. Mungkin bakal membuat album dalam bahasa Melayu. Minggu ini sahaja kerap mendengar cerita Maher Zain. Dijemput di radio. Dijemput di TV. Maklum, jika tidak silap konsert beliau hampir sangat bakal berlangsung. Promosilah. Berbalik pada album dalam bahasa Melayu Maher Zain. Tak silap pendengaran beliau mungkin akan berusahasama dengan pihak yang dipilihnya.

Rasanya ramai sudah pun mendengar nyanyian Insyaallah yang diMelayukan. Terasa janggal pada pertama kali aku mendengarnya. Antara faham dengan tidak pula. Eh! Bukan kerana apa. Bukan aku menduakan Bahasa ibunda. Dah terbiasa sangat yang versi Inggerisnya. Lagi pun yang pertama, itulah yang biasa dan lunak dijiwa. Mula-mula mendapat CDnya dulu, nyaris nak meletup CD player dalam kereta tu dibuatnya. Pergi, balik - Maher Zain. 'Non-stop.' Anak-anak, asal masuk kereta aje. "Abah, Maher Zain!". Masa tu abah pun baru dapat, baik aje layan. Mak belajar-belajarlah. Sekarang ni dah 'slow' sikit. Abah pun lebih gemar melayan Sinar FM. Nak buat macam mana. Mak dan anak-anak 'passanger' aje. Kalau ikut mak, mahu sahaja mendendangkan anak-anak dengan syarahan-syarahan Pak Ustaz. Nanti berasap pulak telinga yang lain. Dunia! dunia!...

Bercakap tentang lagu Insyaallah. Pada aku, lagu ni sebenarnya memang berupaya kuat mendorong dan memotivasikan. Beberapa kali juga (waktu rasa 'down' - bukan 'sindrom down' atau 'down sindrom'), lagu ini mampu membantu. Ia begitu meredakan. Membawa aku balik dari 'kekeliruan'. Pada aku suara si Maher Zain ni memang ada tarikan tersendiri. Disertakan dengan lirik-lirik mendalam walau ringkas, ia begitu membekas dalam hati. Sesuatu yang lahir dari hati, disampaikan dengan sepenuh hati, serasa pasti dapat menyentuh hati. Lebih dari itu menggenggam hati. Mendengarkan pula dia menyanyi dalam Bahasa Melayu - mudah juga menyebut perkataan dalam Bahasa Melayu. Banyak lagi lagu dia yang sedap didengar. 'Awaken' dan 'Hold My Hand' antara lain.

Selain itu aku juga tertarik dengan kisah yang diceritakan perihal si Maher Zain ni yang dahulunya lain (tersasar) dan kini dan berubah pada yang lebih baik. Katanya dahulu beliau jauh dari jalan Allah dan kini telah sedar dan berusaha memperbaiki diri. Dari situ perkongsiannya dilahirkan melalui lagu-lagu beliau untuk para peminat. Itu ceritanya. Untuk aku - aku suka lagunya dulu. Kemudian barulah ambil tahu serba- sikit latarbelakang. Sikit-sikit sudah lah. Aku kenal lagu dia pun, melalui anak sulung aku. Si bertuah yang seorang tu. Begitulah! Remaja suka Maher Zain, apakah mungkin kerana rupa? Suami orang dan bapa budak tu - boleh tahan!. Tak perlu puji lebih-lebih. Tak untung apa pun. Kalau dah buat dan jual lagu, juga menyanyi maknanya ada 'pakejlah'. Oklah.

Aku ada rasa kelakar sikit, masa dengar Maher Zain di Sinar FM. Masa tu KE, SY dan Khairil. Ada Mamat seorang tu tanya macam mana Maher Zain boleh 'convert'. Apa yang mendorong beliau. Aku pulak yang 'termalu'. Mamat tu tersilaplah. Dia ingat Maher Zain asalnya 'non-muslim'. Nasib baik juga DJ-DJ perbetulkan Mamat tu dengan berlapik. Tapi aku rasa segan. Kalau minat dan nak tanya soalan peribadi macam tu, kena buat kajian dulu. Pastikan. Tapi Maher Zain memang 'cool'. Dia relaks aje menjelaskan yang betul. Itulah lagi satu yang menarik tentang dia. Bersahaja. Tunggu sahaja apa yang bakal dibawa akan datang.

Eh! Aku henti dululah. anak aku nak tiusyen ni. Kena siap-siap. Kena buat apa yang patut le.... Tuuut...


6.50pm@25/02/11




Selasa, 15 Februari 2011

DUNIA KECILKU?!

Saat ini, bertemankan siri 'Desperate Housewives' di TV8 (musim baru)-siri pertama aku kembali pada halamanku ini. Halaman alam maya yang kujadikan sebagai ruang pelepas rasa. Di laman sebegini sesiapa pun bebas menari dengan apa jua rentak. Namun sedarlah andai tersilap langkah, mungkin ada yang akan susah. Di sini juga boleh terbit berbagai kemungkinan jika disalahguna. Hati saat ini ada tenang. Atas sebab itu rasanya dapat menekan butang-butang di papan kekunci ini. Bercerita tentang tenang-ia datang dan pergi, turun dan naik. Apa yang pasti hanya hati yang mendalam mengingati Allah itulah benar-benar tenangnya. Aku masih lagi dalam usaha untuk mendapat yang sebegitu.

Kurang lebih sebulan sudah aku tidak mencatat apa-apa. Alhamdulillah hari ini, aku mampu semula. Itulah aku-sering 'rapuh' dan terkalah oleh persekitaran. Namun itu hakikat kehidupan diriku. Masih perlu banyak berusaha untuk lebih 'istiqamah'. Apa sahajalah ceritanya dengan 'Desperate Housewives' di kaca TV tu. Untuk aku hanya mendengar dialog-dialog Berbahasa Inggeris yang nyata tidak mendapat perhatianku. Berbanding suami yang menumpukan perhatian sebab dia memang peminat 'Desperates Housewives'. Cerita-cerita Barat memang pandai melekakan penontonnya. Itu kepakaran mereka.

Jika kebelakangan ini dunia gempar dan begitu sibuk dengan kisah dari Mesir, Tunisia dan Lubnan. Terbaru disebut-sebut Bahrain dan Iran. Entahlah-aku tak 'expert' hal politik dunia ini. Oleh itu aku pula baru reda menangani permasalahan 'duniaku'-perihal anak-anak. Kesibukan pada memantau perihal anak-anak-ternyata meletihkan untuk aku dalam senarioku. Anak sulung yang bakal menduduki PMR telah diduga dengan mendapat keretakan dibawah buku lali kiri, pada Thaipusam lalu. Ibarat jatuh ditimpa tangga, dia kemudiannya dinaiki gatal-gatal kulit kerana alahan pada Tahun Baru China. Sehingga ke siang tadi-masih begitu keadaanya. Berulang-alik ke hospital tentang kaki dan ke klinik tentang kulit. Mungkin bakal berulang-alik ke hospital lagi-andai kulit masih belum baik. Adatnya-bila anak ditimpa kesusahan ibu dan bapa turut susah. Ternyata ibu 3x susah dari si bapa. Aku hanya mampu menasihatkan anakku, supaya semua ini tidak melemahkan semangatnya terhadap pelajaran dan peperiksaan penting yang bakal diduduki. Aku katakan sepatutnya dia mesti menjadi lebih tabah dan kuat. Pandanganku juga, dugaan jika diambil secara positif dapat membangkitkan semangat dan kesedaran. Walau aku sedar berada didalam dugaan itu memang suatu cabaran. Aku telah melakukan beberapa usaha untuk pelajarannya disamping masih perlu memantau beberapa perkara. Aku terus mendoakan kesihatan dan kebaikan untuk Along.

'Desperate Housewives' sudah setengah jam tamat siarannya. Aku masih di sini. Memikirkan dan mengimbas tahun baru yang telah sebulan setengah berlalu. Entah mengapa hari ini-aku ibarat berpijak semula selepas diawang-awangkan oleh masa dan perihalnya. Mungkin juga Maulidur Rasul ini menyedarkan aku? Salawat dan Salam ke atas Rasul Junjungan dan ahlinya. Alahai! dah pukul 12. Aku sememangnya rasa letih. Siangnya menjengah anak sulung diasrama selepas merawat lapar pagiku dengan hidangan soto (walau terkilan sedikit sebab bergedil dah habis) bersama teh tarik di kedai bersama suami dan anak-anak. Ditambah dengan ke taman permainan melayan gian Kak Ngah dan Aisyah yang meyambut harijadi ke 9 tahun (menurut kalendar Islam). Untuk Anas ini kali pertama menaiki buai dan bergelongsor di taman permainan yang dikelilingi ramai orang. Anas dapat pengalaman baru. Dia 'enjoy'.

Aisyah nampak seronok hari ini. Hari yang dihitung-hitung tiba juga. Dia faham harijadinya pada setiap Maulidur Rasul. Itu yang mudah padanya. Ada benarnya. Dia sememangnya lahir di pagi Maulidur Rasul pada 2002. Mengendeng-ngendeng dia untuk sebiji kek. Aku tidak sampai hati-lalu menurutinya. Memilih 'Chocolate Moist' , kami lalu menikmatinya bersama-sama sekeluarga bersaksikan sekolah Along. Begitu juga permintaan hadiahnya. Aku memberi pilihan baju atau buku-buku latihan darjah 3. Aisyah memilih buku. Aku sememang gemar menuju ke kedai buku. Aisyah mendapat hajatnya. Tahun ini aku agak sedikit gembira dengan perubahan sikap Aisyah terhadap pelajaran. Dia telah menunjukkan sikap lebih baik dari dua tahun yang sudah. Sebelum ini aku bimbang kerana dia selalu bermalas-malas dan tidak 'cope' dengan pembelajarannya. Telah aku nasihati dia dan dengan izin Allah aku nampak perubahannya dan boleh mengucap syukur. Dia lebih berminat dan berkemahuan. Aku berdoa ia berkekalan. Dia seolah-olah baru bermula untuk faham. Dia baru mula berbangga menunjukkan pujian-pujian guru terhadap kerja-kerja di buku rampaiannya. Aku mendoakan kebaikan buat Aisyah juga.

Angah-satu-satunya anakku yang faham apa erti persaingan awal-awal lagi. Oleh itu dia sebolehnya tidak mahu ketinggalan. Tahun ini mendesak untuk mendapatkan Tiusyen demi menuntut janji dariku dan supaya seganding dengan rakan-rakan yang lain. Aku berjaya meyakinkan abahnya untuk menjayakan hasratnya. Dia dapat apa yang dimahukan. Siap memilih tempat (aku pandu sedikit dengan nasihat dan pendapat). Inilah perbezaan Angah. Dia memang 'demanding'. Macam-macam kerenah. Itu hakikat 'duniaku'. Kekadang aku merasa dan bertanya sendiri, "Apa begitu kecil duniaku ini?". Apa kerana itu sesekali aku juga sesak dan merasa senak. Selain rindu pada suasana yang dahulu. Waktu dikelilingi perihal pejabat dan persekitaran. Mahu pun kawan-kawan. Waktu kaki bebas melangkah tanpa rasa dirantai dan terikat. Ini hakikat manusia ada sahaja rungutan. Aku tidak terlepas!. Apakah ini dilema menghampiri 40an-ibarat pandangan yang aku pernah terbaca. Apakah aku mula merasa bahang dalam jangkauannya. Berdoa agar tidak cair. Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan kekuasaanMu ya Allah!.

Anas-sikecil kesayangan semua. Mmmm... makin membesar dan lasak. Tubuh susut sedikit dari sebelumnya. Dua kali mendapat demam. Batuk dan selesema tidak terkecuali. Fahamnya berkepit dengan Emak. Ini satu lagi. Kerja rumah boleh tergendala gara-gara dia seorang. Apalagi bila kurang sihat. Merengek sahaja kerjanya. Aku lega bila kakak-kakaknya pulang sekolah. Dia berkawan dan leka. Pandai menonton TV. Minat pada iklan-iklan. Suka Upin dan Ipin. Faham dengan' Wonder Pets'. Begitu juga 'Finley the Fire Engine' dan 'Chugginton'. TV dah jadi kawan biasa kanak-kanak kini. Terdapat anak buah suamiku yang tidak berganjak menonton satu filem animasi. Gemar mengulang-ngulang cerita yang sama. Untuk emaknya. Itu menjadikan kemudahan untuk melaksanakan kerja rumah. Melekakan anak-anak untuk mudah membuat kerja rumah. Anas belum lagi ke tahap itu. Dia hanya berkejar (dengan walkler) pada masa-masa tertentu. Baru mencecah 30%. Asyik mencari Emak. Bimbang ditinggal Emak. Semuanya Emak. Dalam pantang dulu- dipanggil anak emak. Mahu emak sahaja memegangnya- Tak mahu yang lain. Gigi Anas masuk ke-4 batang yang jelas. Dua lagi samar-samar. Jika semua jelas 4 atas, 2 bawah. Baru mendapat selera makan semula-setelah hampir seminggu kerap menolak makanan. Hampir sebelas bulan usianya. Rasa cepat masa berlalu. Masih teringat-ingat saat dia di dalam kandungan. Nah! Insyaallah bakal mencecah setahun di bulan hadapan. Mak mendoakan kebaikan buatmu Anas.

Dah melarat pukul 1 pagi. Aku benar-benar perlu berhenti. Esok anak-anak akan ke sekolah. Rutin biasa. Inilah aku dan kehidupanku. Namun menghampiri 40an, membawa aku berfikir-fikir dan aku merangka-rangka dalam pemikiran. Mudah-mudahan diberi kekuatan dan keupayaan melaksanakannya.............Amiiiiin.

1.15am@16/02/11









Sabtu, 8 Januari 2011

NEKADNYA WANITA DAN LELAKI KINI

Dua malam sebelum mendengar kisah yang diberitakan di TV mengenai seorang isteri muda menetak parah isteri tua kerana cemburu. Paginya pula saya semasa ke kedai ternampak tajuk di salah satu akhbar mengatakan seorang isteri muda bersama anaknya cedera ditetak oleh isteri tua. Sama ada ia adalah cerita yang sama atau berasingan samasekali, tak pasti kerana saya tidak kuasa untuk membacanya. Namun faham saya bahawa semua itu berpunca dari rasa cemburu. 'Impression' saya, "Nekad sungguh wanita kini". Jangan kata tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia, di alaf kini ia juga boleh mencederakan dan mungkin mencabut nyawa. Astaghfirullah!

Menyebut perihal cemburu, itu antara satu dari banyak rasa yang dialami manusia. Berbagai-bagai jenis dan bentuk cemburu mampu wujud pada seseorang individu ke individu lainnya. Namun cemburu dalam merebut kasih seperti yang berlaku sehingga ke bab tetak menetak sememangnya menggerunkan. Namun itu mampu saya katakan dalam suasana dan nada emosi yang waras. Bagi mereka yang menetak pasti sebaliknya. Di akhir zaman ini, yang mana nisbah lelaki dan wanita jauh keseimbangannya, cemburu dan rumahtangga bagai tidak dapat dipisahkan. Wanita makhluk lemah penuh emosi dan pengharapan. Ramai pula lelaki menjadi makhluk kelabu mata kerana terlebih 'visi' dan 'misi'.

Terdetik gurauan di hati saya, kenapa tak ditetak sahaja suaminya. Bukankah suaminya yang memadukannya. Madunya itu juga seorang wanita dan mungkin juga sama-sama termakan 'gula-gula' yang serupa. Saya tidaklah menentang 'poligami'. Namun cukuplah tidak berkenan bagi lelaki yang hanya merujuk pada agama bila tiba bab yang satu ini. Siap dihafal segala dalil Al-Quran dan Hadis demi memperkukuhkan kehendak yang bernafsu. Selebihnya dalam kehidupan tidak pula didahului dengan merujuk Al-Quran mahu pun Hadis. Kalau mampu segenap segi dan tinggi takwanya , lakukanlah dengan 'benar lagi betul', dan pasti tiada wujud tetak menetak. Hairannya kebanyakan yang ghairah dengan poligami adalah yang biasanya tidak mampu dari segi zahirnya. Cuma memfokuskan pada kebatinan mereka yang 'meruap-ruap' itu sahaja. Para ustaz dan orang alim pun tidak mudah dalam melakukannya. Perlu diingat peristiwai ini melambangkan kegagalan sang suami tersebut dalam mendidik diri sendiri dan para isterinya. Layanan yang tidak adil dari suami membawa mudarat kepada 'pologaminya'.

Tidak beberapa lama sebelum ini ada saya membaca juga berita mengenai seorang suami yang menyuarakan hasrat ingin menikahi seorang amah Indonesia hanya gara -gara sudah tidak berkenan dengan payudara si isteri yang menurutnya sudah tidak mampu 'membahagiakannya'. Beliau dengan muka tebal bagai ditampal kulit kayu memberitahu kepada isterinya hasratnya sambil menghina-hina si isteri yang dikatakan sudah tidak lagi menarik perhatiannya. Sememang melalui suratkhabar dapat dilihat (walau muka wanita itu 'dikelabukan'-mengelak aib) bahawa si isteri itu kelihatan tua dari usia dan sedikit berisi badannya. Namun kelancangan mulut durjana dan kebusukan fikiran si suami sungguh membuat saya jengkel. Ini manusia yang wajar ditetak mungkin (lintasan fikiran jahat). Ditambah bahawa sang suami sanggup menceraikan si isteri demi bersama kekasih amahnya yang masih 'muda bergetah miang' itu. Dasar lelaki begini habis manis sepah dicampak sewenangnya.

Jika sudah miang dan terlalu bernafsu jangan disalahkan isteri begitu begini. Tidak sedarkah anak sudah ramai dan umur makin menghampiri tarikh luput bukan menjauhi. Si isteri memberi kenyataan bahawa beliau berkeadaan sedemikian (merujuk mengenai payudaranya) kerana menyusu sepenuhnya kesemua anak-anak mereka. Ada juga yang menyusu sehingga ke umur lima tahun. Walau dalam Islam umur dua tahun sudah cukup. Ibu itu terpaksa kerana sebagai usaha menjimatkan wang perbelanjaan membeli susu. Kagum saya dengan ibu ini. Menyusukan bayi secara 'eksklusif' tidak begitu mudah. Saya hanya merasa ini bersama anak keempat (kerana sudah tidak bekerja) dan masih mencuba untuk bertahan.

Itu saya katakan lelaki yang berfikiran busuk seperti ini seperti tidak waras dengan pertuturannya sehingga menghina si isteri terhadap semua pengorbanan dan kepayahan isteri dalam rumahtangga mereka. Semuanya gara-gara 'amah bergetah miang' yang dikatakan banyak memakan jamu dan pandai menjaga kecantikan. Tidak sedarkah lelaki itu bahawa syaitan bertanduk telah bertenggek dikepalanya? Lantas matanya menjadi rabun dan hatinya menjadi terlebih buta dalam berfikir. Esok lusa jika 'amah bergetah miang' itu sudah tua mungkin dia akan mencari 'amah bergetah miang 2' dalam hidupnya dan seterusnya. Atau pun silap haribulan 'amah bergetah miang' akan meniggalkannya kerana ketidakmampuan si suami itu pula dalam' membahagiakannya'. Mungkin pula 'amah bergetah miang' berjumpa yang lebih 'keperkasaannya'. Mungkin saja kerana si suami terlupa memakan 'jamu kesihatannya'. Hukum karma itu berlaku. Hari ini memberi, esok lusa akan merasa. Sudah kena pada diri sendiri, baru mungkin faham apa yang orang lain rasa. Lelaki oh lelaki. Sudah menjadi 'species' terkawal di akhir zaman ini. Jika ramai lagi berperangai seperti yang kerjanya hanya memandang pada 'payudara' sebagai satu-satunya alat kebahagiaan berumahtangga-rosak binasa masyarakat jadinya. Jika ini menjadi penyakit yang diwariskan pada anak-anak lelakinya pula. Entahlah. Kasihan pada isteri-isteri mereka kelak. Ini akibat membiar nafsu yang satu mengawal dan melumpuhkan akal yang sembilan.

Berbalik kepada kisah menetak kerana cemburu. Ngeri dan menakutkan. Namun sekali lagi syaitan telah berjaya memainkan peranannya. Cemburu yang dikatakan sebagai tanda sayang telah mendorong sipelaku kepada perbuatannya. Saya tidak mengata kepada sipelaku. Cuma jika dia masih dalam ingatan dan berpegang terhadap dan dengan Allah, pasti ia tidak terjadi. Talinya terlepas waktu itu. Jadi dia khilaf. Beruntung jika mangsa masih bernyawa. Ada peluang bertaubat, memohon ampun dan maaf.

Wanita terlalu ramai dan lelaki terlalu sedikit?!. Ini selaras dengan - wanita lebih ramai di neraka berbanding lelaki. Namun jangan lupa ada lelaki yang sudah hampir melangkah ke syurga 'terpaksa' ke neraka kerana wanita (isteri dan anak perempuan). Jadi bawa-bawalah mengasah dan menajamkan 'akal yang sembilan' dan usah terlalu sibuk membelai nafsu yang satu. Jangan sudahnya menjadi mangsa tetakan!!! Eeeee ngeri tu........

7.40am@9/01/2011

Khamis, 6 Januari 2011

AIR MATA IMAM BESAR TAN SRI SHEIKH ISMAIL MUHAMMAD


Entah macam mana hari ini, sambil menyusukan si kecil Anas, saya tergerak menonton siaran langsung sembahyang Jumaat disiarkan melalui TV1. Jika tidak silap khutbahnya bertajuk 'Budaya Ilmu Asas Kecemerlangan Generasi'. Saya menjadi tertarik mendengar sinopsis khutbah dalam wawancara pengacara dengan Imam. Lantas saya habiskan menonton. Maklumlah keadaan saya kini amat perlu kepada apa jua 'remedy' bagi memperbaiki beberapa situasi. Situasi ini merujuk kepada entri saya sebelum ini.

Imam berkhutbah menyentuh tentang bermulanya sesi persekolahan. Beliau menekankan pentingnya memberikan pendidikan dan ilmu yang baik bagi anak-anak. Perihal keutamaan memberi perhatian kepada pelajaran anak-anak. Menyentuh juga tentang berbezanya antara mereka yang berilmu dan tidak berilmu. Kata-kata dan ayat-ayat yang dilafazkan bersama dorongan untuk ibu bapa lebih peka kepada perihal memantau anak-anak sesungguhnya memberi semangat kepada saya yang ternyata kini amat memerlukannya.

Namun apa yang begitu mengharukan saya adalah, sampai di suatu tahap beliau tersedu-sedu sambil suara tersekat-sekat dan menitiskan airmata kerana kesedihan. Ya Allah! Tidak saya sangka, Imam yang memikat saya dengan ketegasan dan kejelasan suaranya tiba-tiba berubah menjadi murah airmata bila sampai kepada meyebut perihal 'anak kecil' juga 'persoalan halal dan haram'. Beliau menjadi syahdu ketika bercerita mengenai sahabat Rasulullah yang telah ditegur oleh Baginda kerana selalu pulang awal dari berjemaah dan meninggalkan sesi berdoa. Sahabat itu menyatakan bahawa beliau terpaksa pulang awal kerana mengejarkan anaknya yang keseorangan di rumah. Sahabat itu baru kematian isterinya. Sahabat bimbang bahawa anaknya akan merayap-rayap dan memakan buah tamar jiran yang gugur berhampiran rumahnya. Alasan sahabat adalah "Sesungguhnya daging yang tumbuh dari sesuatu yang haram tidak akan ke syurga".

Ya Latif. Allah itu Maha Lembut dan dia berhak melembutkan hati sesiapa sahaja atas kehendaknya. Ternyata hari ini bila melihatkan Imam Besar menangis saya sebenarnya menyaksikan sesuatu yang seolah-olah memberi isyarat kepada saya bahawa kelembutan hati itu andai bertepatan dan benar dapat menjadi senjata dalam kehidupan. Saya menjadi lebih pasti bahawa menangis itu dapat menjadi ubat dalam kehidupan. Menangis atas dasar keinsafan dan penuh kesedaran itu sebenarnya mampu berubah menjadi tombak-tombak sakti yang mampu menghancurkan seteru. Seteru itu boleh saja menjadi nafsu dalam diri kita mahu pun musuh dari luar. Kerana itulah selalu dinyatakan 'beristighfar dengan linangan air mata' itu amat baik. Mengenang dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan diri dan membimbangi dapatkah kita kepada pengampunan Ilahi?.

Subhanallah. Saya umpama menelan sebiji pil kelegaan hari ini. Berapa lama dapat bertahan, hanya Allah Maha Tahu. Selagi ada kehidupan saya juga terus belajar. Belajar ini sebenarnya proses yang memakan sepanjang hayat. Semoga ada baiknya perkongsian ini. Allahhua'lam.

4.25pm@7/01/2011


WAJARKAH ASRAMA PENUH UNTUK LEPASAN UPSR




2011 sudah pun singgah hari ke tujuh. Anak-anak yang bersekolah sudah pun memulakan sesi persekolah pada hari ke lima. Tamatlah minggu pertama persekolahan. Ibu bapa yang anak-anak mereka bersekolah, kembali sibuk seperti biasa berbanding sedikit lega sewaktu musim cuti persekolahan tempoh hari. Masing-masing dengan rutin menempuh ruang masa di alam fana' ciptaan Ilahi.

Bagi anak-anak yang telah menerima keputusan peperiksaan, baik UPSR mahu pun PMR pasti merasa nyaman, kiranya keputusan memihak kepada mereka. Ibu bapa sekaligus berkongsi rasa dan kesyukuran atas kejayaan anak-anak. Bagi mereka yang kurang berjaya, ingat sahaja bahawa itu bukan penamat. Perjalanan masih jauh. Rancang dan laksanakan baikpulih pada mana yang perlu. Ibu bapa, terutamanya saya mesti berpegang bahawa, proses pembelajaran (formal) itu boleh sahaja berhenti namun tidak untuk pendidikan.

Ibu bapa yang anak mereka berjaya cemerlang, mungkin tengah sibuk memikir-mikir mahu pun telah mengisi dan menghantar permohonan untuk anak ke asrama. Biasanya permintaan ke asrama melebihi penawaran. Jadi hanya meraka yang benar-benar layak akan diterima masuk. Kelayakan itu pula bergantung kepada keputusan dan pencapaian anak selain dari yang telah ditetapkan oleh pihak bertanggungjawab seperti Kementerian yang bertanggungjawab dan pihak sekolah itu sendiri.

Semua ibu bapa ingin melihat anak-anak mereka mendapat yang terbaik, terutama dari sisi pelajaran. Kita sedar ilmu itulah yang akan memandu pemiliknya mengemudi kehidupan berbanding harta yang hanya menagih penjagaan. Ilmu juga mampu mendatangkan harta. Ilmu itu sendiri harta yang tidak mungkin di curi kerana tersimpan di tempat yang paling selamat, iaitu di dalam dada. Oleh itu jika menginginkan dunia mahu pun isinya mestilah berilmu, jika menginginkan akhirat juga mestilah berilmu. Jika menginginkan kedua-duanya juga pastilah dengan ilmu.

Mungkin ada ibu bapa yang was-was untuk menghantar anak ke asrama sedangkan anak itu sendiri mahu sedemikian. Terdapat juga ibu bapa yang beria-ia mahu anak ke asrama sedangkan anak keras menolak. Maka wujud pertentangan kehendak atau keinginan. Saya minta jangan memandang remeh pada perkara ini. Keputusan yang betul bakal memastikan kejayaan masa depan anak tersebut. Saya bukanlah kaunselor, mahu pun penasihat. Ini cuma perkongsian berdasarkan pengalaman kecil saya. Mudah-mudahan ada baiknya.

Saya kini berada dalam 'dilema rasa'. Ini saya rasakan terhadap anak sulung saya yang kini berada di sebuah sekolah agama berasrama penuh. Masih saya ingat betapa beliau menolak untuk ke asrama. Pada waktu itu saya merasakan penolakan itu tidak wajar kerana ia seolah-olah menidakkan usaha saya dan suami yang mahukan yang terbaik untuknya. Saya pejam sebelah mata dalam memandang sama ada anak itu sudah ada kesediaannya sendiri (rela hati) atau sebaliknya. Niat saya supaya dengan kemasukan ke asrama penuh, anak saya dapat belajar berdikari (di rumah semua bagai pahat dan penukul dan banyaknya emak tolong). Selain dapat bergaul dengan mereka yang baik pelajarannya (akhlak belum tentu, namun Insyaallah), mendapat bimbingan dari guru-guru yang bagus-bagus. Memilih untuknya ke sekolah agama pula dengan niat supaya tidak terus meninggalkan terus pendidikan keagamaan (terutamanya Bahasa Arab) yang diterima semasa di Sekolah Rendah Agama di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah selama enam tahun.

Kini anak saya telah pun berada di Tingkatan 3 dan bakal menduduki PMR. Saya menjadi semakin bimbang. Lebih dari itu saya 'kalut'. Kekalutan itu baru-baru ini telah membawa saya sehingga menelefon kepada Guru Besar dan berjumpa dengan Guru Hal Ehwal Pelajar. Bukan kerana anak saya melakukan sebarang kesalahan. Cuma saya berusaha untuk mengurangkan kerisauan dan bertanyakan pandangan dari yang layak. Selain mengambil tahu hal berkaitan sekolah itu sendiri.

Berbalik pada kebimbangan saya. Ianya kerana pada saya prestasi anak saya itu hanya 'sedang-sedang' sahaja dan tidak dalam konsistensi. Pada awalnya menyedari perihal sedemikian, saya memikirkan mungkin anak saya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Maklumlah pertama kali melalui hidup sendiri. Pasti sukar juga buatnya. Awalnya juga beliau berdepan masalah menyesuaikan diri dengan beberapa orang teman sebilik. Namun semua itu berubah masuk kepada semestar kedua tahun pertama. Beliau semakin selesa dengan persekitaran. Tiada lagi rungutan. Kini beliau teramat suka dan 'sayang' pula dengan 'semuanya'. 'Comfort zone' si anak berlawan dengan kerisauan saya yang memuncak bila memperkatakan perihal akedemik. Beginilah perasaan yang menghantui saya:

Mampukah anak saya setanding dengan prestasi sekolah yang sememangnya baik.? Saya tiada di sampingnya untuk membantu seandainya beliau perlu. Selama ini - tadika ke darjah enam, saya memantaunya dengan rapat sekali. Saya telah menjadi guru tambahan padanya. Mengulangkaji bab demi bab bersama-sama itu suatu yang biasa untuk dia dan saya. Masih saya ingat bagaimana saya tidur pukul 2 pagi menyediakan ringkasan nota Sains untuknya pada pagi UPSR (dia saya kerah tidur awal supaya cukup rehat). Sebelum ini saya pasti telah melakukan yang terbaik untuknya. Sekarang ini, saya menjadi kurang pasti. Apakah saya terperangkap dengan ketegasan sendiri?. Timbul juga rasa bersalah dengan andaian prestasi akedemiknya pasti lebih baik jika masih bersama-sama saya di rumah. Beliau boleh sentiasa bertanya dan saya akan berusaha menjawab andai ada yang kurang faham. Jika saya tidak cukup ilmu, saya akan mencari jalan lain. Saya selalu 'menebalkan' muka ke sekolah demi anak-anak. Semuanya dilakukan demi rasa ingin kebaikan buat anak-anak.

Tahun ini menjadi tahun yang mencabar. Sebelum ini, saya dicop sebagai ibu yang periksa bila anak periksa. Nampaknya begitu jugalah, tiada berubah. Namun saya kini ada tiga orang yang perlu kepada perhatian dan pemantauan bukan lagi satu, seperti along seorang. Kak Ngah di darjah lima, Aisyah di darjah tiga. Saya perlu adil. Anas yang semakin membesar dan juga mahu belajar yang semahunya.

Saya ingin simpulkan di sini, pertamanya untuk diri saya dan mereka yang terbaca ruangan ini, dalam membuat keputusan mengenai anak-anak beberapa perkara perlu di beri perhatian seperti:

1. Niat - bersih dan luhurkan niat kita sebagai ibu bapa. Setiap perkara itu dinilai oleh Allah melalui niat.

2. Kerelaan anak-anak - jangan lupa perihal perasaan anak-anak. Perbincangan dengan anak-anak perlu. Nyatakan tujuan dan kehendak kita sebagai ibu bapa dan jangan pula meremehkan kehendak anak. Jika perlu 'istikharah' - lakukan. Sekiranya perlu 'trial and error' - tawakkal dan pasrah.

3. Pemantauan - apa sahaja keputusan yang dibuat, pemantauan berterusan amat mustahak. Sesibuk mana pun ibu bapa, semasa berada dengan anak mestilah dengan jiwa dan bukan dengan hanya kata-kata.
4. Pembetulan - andaikata hasil belum mencapai hajat, cuba perbaiki kelemahan. Sedaya mungkin bantu anak kerana siapa lagi yang mereka dapat harapkan jika bukan kedua ibu bapa.

5. Penyerahan total pada Allah. Solat itu tiang agama dan doa adalah senjata utama.

Sekian perkongsian hari ini.

Wassalam.

11.40am@7/01/11







Ahad, 26 Disember 2010

MELAKA DAN KENANGAN


Semalam kami sampai ke sini. Sampai pun dah petang kerana bertolak dah hampir pukul 3pm. Perancangan yang berubah kerana terpaksa menghantar ibu mertua pulang. Tiga hari dua malam di kampung dan bersambung pula dengan tiga hari dua malam di sini. Pengkalan Balak!, seingat aku kali terakhir aku ke sini beramai-ramai bersama-sama ahli keluarga yang lain, emak, kakak, adik-adik dan ipar duai. Masa tu hanya ada Amirah seorang. Nah! Sekarang Amirah pun dah 14 tahun. Yalah!, Melaka ni pun luas juga. Banyak tempat untuk dilawati. Biasanya kami ke bandar. Terakhir berjalan ke sini, semasa Anas beberapa bulan dalam perut. Menetap di King's Hotel (betul ke ejaan aku nih!). Suka sangatlah budak-budak dapat berjalan. Seandai mungkin, itu sememangnya kemahuan mereka setiap cuti sekolah.

Sekarang, Anas pun dah 9 bulan. Rasanya, ni kali pertama berjalan keluar dari Selangor membawa Anas (selain balik kampung). Sebelum itu jika berjalan cuti sekolah terhad di sekitar Selangor. Alasan kami Anas kecil lagi. Sebenarnya banyak lagi tempat menarik di Selangor yang terlepas pandang oleh kita. Contoh tempat yang ada kelip-kelip tu. Masa Anas lima bulan dalam perut, adalah ke sana. 'Not bad'. Lebih kurang tiga minggu lepas ada juga ke satu tempat ni. Aku tak ingat (atau malas nak ingat). Tempat tu muara sungai. Pun 'not bad'. Makan ikan bakarlah. Lihat air surut dan pasang. Lihat matahari turun dan naik. Ya! belajar tentang alam, sekaligus belajar tentang manusia. Manusia juga ada pasang surut atau turun naiknya (perasaan dan emosi dan apa sahajalah!). Pendek kata pasang surut dalam kehidupan pasti ada.

Sekarang ni, aku terdengar Pak Cik tuan 'chalet' ni terkokol-kokol batuk. Pak Cik ni macam ada sakit je, senampak aku. Kesian pulak aku dengar. Tersiksa sungguh bunyi batuk dia. Ketat keluarnya. Semalam sempat aku berbual dengan Pak Cik tu. Ok juga Pak Cik ni. Dia lancar menjawab pertanyaan-pertanyaan aku. Kekadang, aku ni sememang terlebih suka bertanya. Saja berbual. Dari situ terus aku tahu sedikit latar belakangnya. Asal orang Melaka, anaknya empat - seorang lelaki dan tiga perempuan (Eh kita serupa-Headwind). Bekas pekerja bahagian pentadbiran di UKM. Tinggal di Bangi selama 30 tahun. Ni kampung dia. 'Chalet' ni asalnya rumah rehat dia dan keluarganya. Mesra dia dengan budak kecil. Anas selamba diambil dan dokong, siap cium pipi lagi. Masa tu aku teringat kat abah aku. Tak merasa dia peluk, cium seorang pun dari cucunya. Sedikit sedih.

Tadi aku dah jengah laut kat depan tu ('Chalet' ni betul -betul depan laut). Dengar aje bunyi ombak tu menghempas pantai, walau perlahan-lahan rasa ada persamaaan pulak dengan hempasan yang dalam dada aku nih, entahlah!. Memang menenangkan melihat laut dan kejauhannya. Seolah tiada penghujung. Andai sahaja 'semuanya' begitu. 'Sakan' seronok anak-anak. Memilih penginapan ini. Kononnya nak merasa tinggal di rumah kayu. Dah lah asik bunyi dum-dam, dum-dam bila anak-anak melangkah. Seperti saje-saje dikuatkan hentakan kaki tu. Sedikit 'peghak' kata orang Perak. (Stop dulu lah. Aku nak bancuh milo, nasi lemak dah sampai).

Sudah minum tadi (nasi lemak ok, tekak boleh terima), terus ke tepi pantai. Budak-budak dah 'melonjak' nak ke sana. Dah berjanji pun semalam. Anak-anak kami ni tengok aje 'air' (swimming pool@laut) dah tak senang diamnya. Ikut mereka maghrib semalam nak turun. Puas dihalang dengan pelbagai alasan. Pagi ni 'lepas geram' mereka. Eh! Pak Cik ni batuk lagi. Macam semput aje. Ada lelah ke 'orang tua' ni. Semput kot. Rumah dia belakang 'chalet' kami ni. ada 4 'chalet' kesemuanya. Campur rumah Pak Cik, lima buah lah. Cuti-cuti sekolah ni Pak Cik 'buat duit' lah ye!. Begitulah Allah menentukan rezeki seseorang. Asalkan masa senang@berada kita berjimat dan ingat akan kemungkinan kesusahan.

Aku senang dengar bunyi burung. Suasana kampung betul kat sini. Anas sedang tidur la ni. Selebihnya sibuk membersihkan diri, baru balik dari pantai. Aku dan Anas balik dulu tadi. Anas dah menggigil kesejukan. Lepas mandi dan menyusu, lenalah. Seronok jadi 'baby' ni. Tak ada mengerti apa 'selain perlu disayangi' dan diuruskan kesemuanya. Jika boleh nak baliklah jadi 'baby', kemudian betulkan apa sahaja yang tidak betul dalam perjalanan hidup. Macam 'cartoon' pulak fikiran aku ni.

Ada satu malam lagi. Insyaallah malam ni makan ikan bakar. Semalam makan biasa aje. Takut lambat balik. Ramai sangat yang memesannya. So, malam ni cubalah. Sedikit masa lagi tengahari. Ke mana sahaja lepas ni. Apa yang pasti 3 'musketeers ' takkan biar kami duduk diam. Semoga hari ini dan yang mendatang mengajar aku dan keluargaku lebih lagi tentang hidup dan kehidupan. 'Ya Allah terimakasih atas pemberianmu dan jadikan hati kami dapat dan terus mengingatimu dalam apa jua keadaan'. Ameen...

Tiba esok, semua ini bakal menjadi kenangan. Begitulah hidup ini. Manusia mengumpul kenangan demi kenangan. Suka, duka, masam, manis, pahit atau apa sahaja rasa yang mendatang. Selagi bernama hidup, mesti diharungi. Berada di bumi Melaka ni mengingatkan aku pada kenangan awal aku di ITM. Permohonan berjaya dengan Kursus Business Studies. Setahun setengah di Bachang. Ingat pada kawan-kawan sebilik. Ashlah, Deda, Kak Ros (apa saja mereka sekarang). Oh ya! Nora. Aku pernah panjat pagar dengan kau!. Sampai rabak hujung kain kurung aku dibuatnya. Nak 'mengelat' pergi program bersiar-siar yang dibuat. Aku yang silap ajak si Nora teman ke hospital hari tu. Masa tu selalu pening dan denyut-denyut di mata. Kena pakai kacamata rupanya.

Serasa nak mengisi perut lagi. Membancuh lagi jawabnya. Biskut berjenis-jenis tu. Belum lagi roti, keropok. Itulah sebahagian hidup ini. Makan. Syukur di Malaysia ni mudah dan masih bayak yang indah. Alhamdulillah!. Aku nak berhenti dulu. Da...


11.10am@27/12/10