Khamis, 6 Oktober 2011

TAHAJJUD, CINTA DAN HIBURAN ISLAM TSAQAFI

Assalamualaikum! Salam Sejahtera.

Serasa tidak tahu pula dari mana mahu mula berbicara. Namun sememang ada perkara yang mahu diperkatakan. Menjadi fitrah manusia selalu terdorong untuk berfikir, pasti akan sampai kepada satu tahap mahu menyampaikan. Serasa tidak mampu menyimpan untuk diri sendiri. Mahu disebarkan. Ini semua bermula bila manusia itu mahu membaca. 'Bacalah' - Iqra' adalah wahyu pertama pada Rasulullah, Nabi Muhammad (s.a.w) tercinta. Pasti semua tahu peristiwa turunnya wahyu pertama. Bahkan anak-anak kecil juga seawalnya dikisahkan perihalnya. Seronok. Selaras juga dengan tema blog saya ini Ilmu Asas Fikrah(macam akedemik sangat dengarnya...). Bila kita membaca, bermakna kita berusaha mendapatkan ilmu. Bila ilmu memasuki minda, ia pasti bertindakbalas dan membawa kepada bagaimana penerimaan akal kita kepada bahan bacaan kita itu tadi. Natijahnya pula akan membawa kepada apakah tindakan kita bila berdepan dengan situasi yang memerlukan kepada ilmu yang kita perolehi itu. Kompleks sangatkah terjemahan dan tafsiran saya?. Itu tafsiran saya spontan. Tidak salin dan lekap dari mana-mana.

Hari ni hari Jumaat. Hari terbaik sebagai Penghulu Segala Hari. Paling baik dibanyakkan Solawat. Tukang Solawat akan mendapat ganjaran dengan nisbah 1:10. Perniagaan yang terserlah keuntungannya. Oh!....Selain itu ada Solat Jumaat. Beruntunglah mereka yang berusaha mendapatkan saf terdepan dan mampu mendengar khutbah dan mengambil manfaatnya. Bermacam lagi kebaikanlah yang boleh dibuat. Namun kebaikan itu bukan terhad untuk Jumaat sahaja. Cuma kebetulan Jumaat itu mendapat jolokan Penghulu Hari. Ah! Hah! Satu lagi yang semacam menjadi rutin adalah menonton Tahajjud Cinta. Ya! Drama bersiri TV3. Bukan mahu memuji atau mengeji drama ini. Menonton sekadar mahu terus melihat apa agak-agak kesudahan. Walau banyak masa darinya timbul rasa tidak puashati.  Selain mempersoal mengapa begitu dan begini. Inilah sikap manusia. Tidak terkecuali saya. Peribadinya merasakan tajuk cerita tidak sesuai dengan cerita yang dipaparkan. Lama dah saya merasa demikian. Hari ini, saya hitam putihkan rasa itu. Tahajjud yang saya diajar adalah sejenis solat sunat. Dilakukan di satu pertiga malam akhir. Ia amat disarankan dan diberatkan untuk dilaksanakan. Jika sedapatnya dengan Istiqamah. Namun nampaknya terkini Tahajjud ini sudah pandai main cinta. Tidak dinafikan sedap didengar pada telinga, namun cukupkah setakat itu. Saya kira tajuk sedemikian bertujuan dua dalam satu. Ingin menarik penonton yang dahaga dengan tayangan berunsur Islam sekaligus menggunakan perkataan cinta untuk menarik naluri  kemanusiaan yang tidak boleh hidup tanpa cinta. Ketahuilah sepengetahuan saya, doa dalam sujud akhir solat Tahajjud bermaksud:

"Ya Allah kau masukkanlah aku melalui pintu kebenaran dan keluarkanlah aku daripada pintu kebenaran, dan kurniakanlah bagiku daripadaMu akan seorang@suatu pertolongan"

Apa pula intipati dalam Tahajjud Cinta??? Saya belum pasti. Mungkin harus menunggu sehingga ke hujung cerita. Di sini juga saya bercerita, hanya sebagai manusia biasa yang mengisi sebahagian masa santai bersama ahli keluarga menonton drama Melayu. Walau itu bukan satu kewajiban untuk saya. Maksudnya kadang nonton dan kadang tidak. Kita orang Melayu. Mahu tidak, mesti sokong drama Melayu. Harap siapa lagi??? Terkini si Walid dan anaknya galak pula digoda watak Suraya- Neolofa(harap tak silap).

"Yalah, orang tidak mahu mendengar kuliah agama lagi. Jauh lagi mahu mendengar kita bercakap perihal sejarah Nusantara. Orang mahu tonton filem, berhibur. Sekiranya saya dapat hasilkan filem berilmu, ada falsafah, ada makna, pada masa yang sama menghiburkan, alangkah baik", Prof. Iman bersuara.

"Paling tidak ada tiga jenis seni yang berfungsi sebagai tujuan dakwah. Sebagai produk gerakan Islam tsaqafi. Saya sebutkan tiga itu adalah seni tari, seni muzik dan seni sastera pastinya." Dato' Fendi mulai yakin.



Dua dialog di atasa saya petik dari novel bertajuk Sebongkah Batu di Kuala Berang karya Faisal Tehrani. Pada awal pembacaan, atas sebab-sabab tertentu saya sedikit perlahan. Namun masuk kepada pertengahan saya mendapat 'momentum' dan mahu segara ke penyudahnya. Pada saya novel ini adalah satu usaha untuk menyampaikan kepada masyarakat bahawa dakwah masih boleh dijalankan melalui media budaya. Saya tidak menyebut media hiburan kerana rasa kurang sesuai. Mungkin rasa macam terlalu kebaratan. Sesuai dengan ketimuran kita akui amat mementingkan adat, resam, kebudayaan, kesopanan dan kesusilaan. Selain saya melihat juga timur kini hebat mengalami pertembungan budaya dengan barat dalam kebanyakan aspek. Tidak terkecuali aspek berhibur. Hiburan yang kadangkala berkesudahan tanpa mendapat apa-apa manfaat, bahkan kadangkala mendatangkan dosa kepada kita(khususnya umat Islam) Memetik lagi. -----Islam tsaqafi mahu satu pendekatan agama dengan wawasan budaya, atau budaya yang bernafaskan agama ditegakkan kembali sebagai kekuatan rantau kita ini----m/s94 SBdKB--Faisal Tehrani.

Bukanlah saya ini menyokong membuta tuli idea atau saranan yang disampaikan di dalam novel tersebut. Namun sepanjang pembacaan, saya tidak mampu menolak menerapkan persekitaran terkini dalam dunia perfileman mahu pun 'hiburan' untuk perbandingan. Terbaru contohnya, isu filem Hantu Bonceng. Terlalu banyak filem hantu. Terlalu banyak filem komedi. Filem berunsur gangsterisme. Kebanyakannya mengaku bermesej mulia. Namun akhirnya didapati terlalu kecil mesej tersebut, dan sampai ada yang tidak perasan. Wujud juga drama yang menggunakan tajuk berunsur Islami namun menyelitkan adengan berahi dan ghairah. Dalam itu dengan tamatnya membaca novel tersebut beberapa hari lalu membuatkan pemikiran saya ke arah ini. Saya merasakan di dalam novel tersebut terdapat teguran yang wajar diambilkira untuk mereka yang terlibat dalam dunia perfileman mahu pun drama dan pementasan, di mana di situ pelakonnya diberi perhatian besar. Apa kriteria pelakon, apa peranan penerbit, pengarah dan keseluruhan "team' penerbitan sesebuah karya untuk dihidangkan pada umum. Selain itu ia tidak ketinggalan mempekenalkan siapa 'audience' sesebuah karya tersebut. Mengapa manusia mahu menonton. Kadangkala kita merasa sudah tahu, cuma di novel itu ia disusun dalam ayat yang lebih mudah kita fahami dan rujuk semula seandai lupa.

Islam di dalam Perlembagaan di sebut sebagai agama Persekutuan. Tiada sia-sia ia sebegitu. Allah mengkehendakinya sebegitu. Tidak pula disahihkan apakah ia agama rasmi(ini juga yang menjadi pertikaian untuk yang suka pempertikaikannya). Namun sebagai orang Melayu beragama Islam, saya rasa tiada ruginya membaca karya Faisal Tehrani ini kerana di penghujungnya merasa ada penambahan ilmu untuk saya. Di samping mengukuhkan pemikiran dan pandangan saya terhadap aspek yang diperkatakan. Bila ada keselarasan pendangan dan pertemuan pendapat antara saya dan bahan bacaan saya, saya jadi lebih yakin. Islam agama  saya dan  Malaysia tanahair saya. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu itu perlu juga kita ketahui. Kedua-duanya Islam dan Malaysia saya junjung, saya sayangi.....Ketahuilah kita tidak mampu mengubah sesorang atau sesuatu, namun mungkin masih mampu menyampaikan.....

11.20am@7/10/11

Selasa, 20 September 2011

HANTU BONCENG PERGI MENITI SIRAATUL MUSTAQIM


Kita mungkin terlupa....Muhammad bermaksud Yang Terpuji......Apa pula yang telah kita lakukan???


Rasanya semacam agak lama tidak saya memperkatakan sesuatu yang serius. Bukan bermakna saya telah menjadi Mak Lawak. Tetapi perkongsian saya di blog ini, lebih kepada yang peribadi. Nampaknya hari ini, terpanggil kembali. Demi kasih sayang dan rasa cinta saya yang ada mencambah dalam jiwa kerdil ini untuk Nabi dan Rasul Muhammad (s.a.w) yang tiada Rasul sesudahnya, saya ingin teruskan berbicara.

Sepanjang Syawal yang berlalu, terutama diawalnya seringkali saya terlihat 'promo' Hantu Bonceng dimainkan di TV. Watak utama Zizan yang dikatakan kelakar giler. Selalunya saya hanya tersengih-sengih sumbing. Demi mengikut-ngikut yang lainnya. Terutama pada babak 'berbogel depan hantu' yang saya difahamkan untuk mengusir hantu. Secara sedarnya, saya pasti tidak akan ke pawagam untuk menonton cerita sebegitu. Jika dimainkan di TV pula, pasti saya akan melepaskan banyak babak kerana sering menyambil dengan kerja lain. Namun ada masanya kita tidak perlu sebegitu banyak masa untuk membuat kesimpulan atas sesuatu yang dihidangkan kapada kita, apalagi jika ia jelas lagi tidak perlu bersuluh dalam keadaan terang.

Hari ini berkesempatan melayari laman Islam Itu Indah, dan amat mengejutkan saya perihal kontroversi yang tercetus terhadap filem Hantu Bonceng dari Ahmad Idham ini. Reaksi saya awalnya amat sedih bila membaca cerita di situ. Teguran orang awam kepada Pengarahnya dijawab dengan nada yang saya lihat ada berisi kesombongan dan menidakkan kebenaran. Namun apa perlu dihairankan. Itulah dilihat sebagai akhir zaman. Hak dan Batil semakin kuat pertembungannya. Dari sekecil-kecil sehingga sebesar-besar perkara, manusia akan berhadapan dengan pilihan. Baik dan buruk dihadapkan kepada kita. Berbekal akal fikiran dan nafsu yang saling berusaha mengatasi satu sama lain. Hanya akal fikiran yang diselaraskan dengan Al-Quran dan Hadis bakal menuntun nafsu seadanya. Soalan saya, tergamakkah kita menghina Kekasih Allah semata-mata untuk kutipan tiket??? Usah kita bermandi keuntungan di dunia malah muflis di akhirat. Mahukah Baginda memberi Syafaat pada kita umatnya yang memperlekehkan dan menghina baginda??? Jika kita di hadapan Umar Al Khattab, mungkin kepala kita sudah terpisah dari badan. Itu semangat dan kasih sayang para sahabat untuk Sang Kekasih Allah. Jika kita tidak mampu menaladani untuk berlaku sedemikian. Usah kita berbuat sebaliknya. Usah juga mengajak yang lain ke arah kurang sopan.

Mungkin dipertikaikan bahawa siapalah saya untuk berbicara dan 'condemn' arahan pengarah terkenal seperti Ahmad Idham. Ustazah bukan, penggiat seni pun bukan jauh lagi pengkritik filem besar-besaran. Namun itu bukan pula niat saya. Saya yang kerdil cuba membela seorang yang saya tahu mendapat tempat di hati saya, saya sayangi dan rindui, walau tidak pernah berjumpa walau dalam mimpi sekali pun. Ini kerana Baginda di tempat ke dua setelah Rabb pemilik sekalian alam. Ketiga baru sayangi diri dan keluarga dan seterusnya. Saya rasa amat wajar begini. Ini juga saranan para Ulamak, Ustaz mahu pun Ustazah.

Jika ia pun filem sebegitu didakwa telah ditapis dan mendapat kelulusan untuk tayangan, namun apakah kita fikir ia mendapat kelulusan dari Pencipta Alam ini. Jelas kita memperlekehkan Kekasih Allah dan apa kita rasa kita akan bebas sedemikian? Si Pengarah patut berfikir jika isterinya dihina dan dikomedikan sebegitu, apa rasa hatinya. Oh....manusia.....Oh Rasul... Umat Macam Apakah Kami ini.....sehingga tergamak berlaku sedemikian hanya untuk sesuatu yang disebut hiburan dan amat sementara sifatnya......(Hati ini menangis kesedihan......). Ya Allah jauhi kami dari tebing api neraka hanya kerana senda gurau yang mungkin hanya sia-sia.....

3.30pm@20/9/2011

Isnin, 12 September 2011

MAJLIS TAHLIL.

Pangsa yang simetri...




Antara tetamu jemputan awal wanita yang hadir.... 

Alhamdulillah kerisauan terhapus bila ruang yang sederhana ini padat dengan hadirin. 

Sebahagian dari jemputan lelaki makan di luar tempat 'open air'. Ada Jalur Gemilang menemani lagi... 
Cuaca agak berjerebu kebelakangan ini. 
Lagi 'view' pangsa yang simetri dan amat sinonim dalam kehidupan....
Ini pula pemandangan simetri dari arah hadapan beranda pangsa simetri yang di panggil kodominium.



Ahad, 11 September 2011

ALLAH SEBAIK-BAIK PENDIDIK



Allah itu Maha Pemberi. Dialah Al Wahhab. Allah itu Pemberi Rezeki. Dia jugalah Ar Razzak. Itu adalah antara nama-nama Allah yang terkandung dalam Asmaul Husna. Ia berkaitan dengan sifat Allah yang memberi kepada manusia tanpa had, tanpa batas. Dari Utara ke Selatan. Dari Timur ke Barat, mencakupi sekalian alam. Mengurniakan rezeki untuk hamba-hambanya dengan penuh rahmat dan kasih sayang. Menurut percaturan dan ilmunya. Itu Pencipta Sekalian Alam. Kita manusia menerima dan terus menerima. Kita juga diajar melalui sunnah untuk menjadi tangan yang di atas(pemberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (penerima). Namun kelayakan itu hanya Allah yang menentukan. Siapa kita, di mana kita , apa keupayaan kita dia juga yang menetapkan. Jika kita menjadi seorang yang berpeluang memberi memberilah menurut kemampuan dan cara yang sedapatnya....Jika tidak... bersabarlah, mungkin belum masa kita mendapat karunianya. Selain itu kita boleh terus usaha supaya mampu menjadi dikalangan yang bukan hanya menerima. Belajar dan berusaha menjadi tangan yang diatas dan semampu boleh menghindar dari menjadi tangan yang dibawah. Rasulullah teladan terbaik....

Rupanya bukan setakat itu sahaja perihal tangan atas dan tangan bawah. Tiba-tiba, aku juga mendapat dihidangkan didikan terbaru  menghuraikan, bahawa jika tangan yang di atas itu, senantiasa menyebut-nyebut perihal pemberian pada tangan di bawah, serupa juga seperti tangan di atas itu tidak menghulurkan apa-apa. Mulut menggambarkan hati. Hati yang tidak ikhlas membawa kepada mulut yang berkata-kata mengungkit setiap pemberian mahu pun kebaikan yang dibuat pada mahu pun untuk orang lain. Mudahnya, terpancar riak dan ketidakikhlasan dari dalam jiwa. Memberi dengan penuh kebanggaan bukan kesyukuran. Memberi dengan sinis pada mereka yang terpandang dan memandang pemberian dan bukan dengan senyuman. Jika begitu, aku lebih rela menjadi dikalangan yang bukan di atas mahu pun dibawah. Namun mustahil sekali rasanya dalam hidup sebegitu. 

Sesungguhnya setiap sesuatu itu berpasang-pasang. Jika atas lawannya bawah. Hitam lawannya putih merdeka lawannya hamba...jadi tidak boleh melawan hukum berpasangan. Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah. Itu lebih seimbang. Kita manusia lemah. Tidak kuat sebab kekayaan dan tidak lemah sebab kemiskinan. Kuat, kaya, lemah mahu pun miskin percaturan Ilahi. Manusia cuma ada jasad dan roh yang patut cuba mempelajari zon-zon tersebut. Semua itu pinjaman Allah. Kaya bukan bermakna kemuliaan. Miskin pula bukan bermakna kehinaan. Rasulullah (s.aw) dalam Isra' Mi'raj telah membawa khabar bahawa antara isi utama syurga ramainya adalah orang miskin. Antara isi utama neraka, ramainya orang kaya dan wanita. Taksublah hanya pada Allah kerana Allah itu sebaik-baik Pemberi. Kita manusia lemah dan sepatutnya memberi pula hanya kerana Allah buka lainnya......Kita ini hanya musafir yang hanya singgah meneguk tegukan penghilang dahaga. Jika mampu mudah-mudahan berbekallah kita dengan tegukan yang mampu menghilangkan dahaga kita di Padang Mahsyar, yang di sana Mahkamah Seadil-Adilnya...Ya- Hakam Ya- 'Adl, pada mu hamba serahkan....Syukur atas kecukupanMu terhadapku dan aku terus mohon Pemeliharaan dari Mu sebaik-baik Pemelihara...Amiinn.

Selasa, 6 September 2011

ALHAMDULILLAH MASIH ADA BAHAGIA AIDILFITRI 2011.


Hari Raya Aidilfitri. Aku makin berumur. Anak-anak makin dewasa. Abah dah lama pergi menghadap Ilahi. Pusara Mak pun masih merah lagi. Dalam setahun ini beberapa kali berdepan dengan kematian. Ada yang mengatakan kematian itu penamat. Namun sebagai Muslim, kita arif bahawa kematian itu cuma penamat kehidupan fana' kita di dunia ini. Sebaliknya ia adalah suatu permulaan hidup di alam yang satu lagi. Alam disebelah sana. Alam yang hanya dimengerti bila nyawa terputus dari jasad. Alam barzakh. Boleh jadi ia adalah alam yang menjadi taman-taman ke pintu syurga mahu pun sebaliknya.....Allah Maha Tahu. Kematian itu menseimbangkan kehidupan.

Hari Raya Aidilfitri amat bermakna untuk anak-anak terutamanya. Mereka seronok menanti-nanti kedatangan Syawal, setelah bersusah payah berpuasa. Jadi mereka berhak untuk bergembira.Sebagai ibu-bapa kita berusaha memberi, agar mereka bergembira menerima. Mudah-mudahan masing-masing kembali kepada fitrah dalam erti kata sebenar.

Pagi terakhir Ramadan lalu, aku menikmatinya....Matahari mengintai...  

Rumah Opah, peninggalan Atuk di kampung. Maka berhimpunlah kami di sini....

Anas dan Kak Aisyah tunggu lemang...Cuaca berangin, sepoi-sepoi....  

Tukang sibuk ramai sangat....

Tahulah siapa yang suke bebenornyer....

Anas Imran tak ketinggalan...1st Raya. Sebelum ni dalam perut.. 

16 dari 19 cucu Allahyarham Tuk Junid dan Opah Puteh Yah. Anak-anak melaramkan baju sedondon jahitan Mak. Namun Mak sulam ikut warna pilihan masing-masing, untuk tak nampak terlalu kosong. Sepakat anak dara ni mahukan selendang. Seorang dapat 2 helai. Kurung moden pilihan 2011. Simple jer...Sesuai dengan jiwa.

Opah dan cucu-cucunya....Dari 19 hanya 3 lelaki. Cucu sulung lelaki dari Kak Ngah, 17 tahun, Haziq montel 6 tahun dan Anas masuk 1 tahun 6 bulan. Membenarkan fenomena akhir zaman, bahawa lelaki semacam species yang hampir pupus. Oleh itu jadilah lelaki yang baik dan mampu memimpin diri dan keluarga. Amiinn...

Family Foto Aidilfitri 2011. Disuruh bersegera. Sampai lupa nak kenakan cermin mata. Patu lah kelabu ajer...Ada dua tona warna yang berlainan. Mak cuma pakai kebaya labuh yang sedia dijahit setahun lalu dan tak pernah dipakai lagi. Abah dan Anas dapat baju raya malam sebelumnya. Itu ler citernyer...Warna-warna Aidilfitri 2011. Syukran...



Selasa, 23 Ogos 2011

MARI BANTU MENBANTU MENCARI NURQANAAH

Perbicaraan ini bukan menjurus kepada cerita mencari seseorang yang hilang. NUR QANAAH itu  aku terjemahkan sebagai cahaya Qanaah. Qanaah pula seperti mana yang diketahui umum adalah salah satu sifat MAHMUDAH(sifat-sifat baik yang dituntut dalam Islam). Qanaah, aku ringkaskan sebagai suatu perasaan merasa cukup yang membawa kepada rasa syukur bila bertambah nikmat yang dikurniakan Ilahi dan sebaliknya akan bersabar dan redha jika  ditakdirkan tidak mendapat apa yang dihajatkan. Di sini  kita andaikan usaha, doa dan tawakkal telah diadunkan. Kerdil sebenarnya aku, kerana tahu tidak layak berbicara lebih. Namun, aku tidak risau dan yang membaca juga tak perlu bimbang kerana apa sahaja hasil coretan yang ditatap ini merupakan adaptasi dari ilmu-ilmu yang kudapati dari para Ustaz mahupun Ustazah. sedapatnya. Cuma aku menulis menurut apa yang bersisa meresap ke dalam organ yang letaknya paling atas dan baik kedudukannya dalam susunan tubuh badan seorang manusia. Coretan untuk diri dan sedikit perkongsian bersama.

Dikatakan Qanaah ini berkait rapat dengan Zuhud. Bila sebut Zuhud kita mungkin hanya akan membayangkan kehidupan serba kekurangan dan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pakaian pula lusuh dan tak banyak tukar gantinya. Rumah kosong tak banyak isinya. Bila berjalan, orang tak pandang pun. Tiada yang istimewa. Tiada tarikan magnet. Oh! tidak bukan begitu ceritannya. Sesungguhnya Rasulullah, Muhammad (s.a.w) contoh manusia zuhud yang tiada taranya. Diberitakan beliau tidak pernah kenyang untuk jangkamasa 3 hari berturut-turut. Ini memang dengan sengaja. Padahal beliau Nabi dan para Malaikat sentiasa bersedia dengan arahan  Allah  di mana andai sahaja beliau berdoa bakal dikabulkan. Baginda memilih berpuasa yang berselang seli. Pasti ia melibatkan rasa dalaman diri baginda yang begitu tinggi ketaatan pada Allah dan demi menjaga kerohanian kenabian beliau. Selayaknya beliau itu KEKASIH ALLAH. Memang boleh kita sebut beliau Nabi dan kita manusia biasa. Namun itulah hikmah Nabi itu dari kalangan insan yang sama serupa sifatnya dengan orang kebanyakan. Tinggal lagi tahap ketaatan dan caranya itu yang disebut 'sunnah 'yang patut menjadi ikutan dan amalan. Oh! ya senang aku berkata-kata. Tidak perlu berbayar. Keluar dari celahan kedua bibir dan barisan gigi. Aku sendiri dalam pencarian pada NURQANAAH ini. Semoga Allah menemukan juga aku dengan si gadis pingitan yang manis ini.

Itu sedikit menyebut kisah Nabi. Apa pula dengan kisah aku, kita dan persekitaran hidup kita dengan si NURQANAAH ini?  Umumnya kita kini kelihatan jauh dengan sifat merasa cukup. Bila tiada sesuatu kita mahkannya. Bila sudah dapat, kita mahu lebih. Bila sudah lebih kita mahu kepelbagaian dan mahu yang lebih baik, dan seolah tiada kesudahan. Itu memang fitrah manusia. Akal dan nafsu yang sering main tarik tali dan melihat siapa yang kuat dia yang akan dapat pingat. Namun jika akal yang menang pasti Rasulullah  itu contoh terbaik dalam strategi perlawanan tersebut. Itu kena kaji, fahami dan ikuti. Sebaliknya jika nafsu yang menang, nescaya ia bagai tiada noktah dan mungkin kita akan lesu dan lemah dibuatnya. Itu timbul kata, TURUTKAN NAFSU AKAN LESU. Ambil contoh mudah, bila tengah lapar dan ke bazar ramadan kita pasti pernah membeli hampir apa sahaja yang menaikkan selera di saat itu. Namun setelah berbuka, banyak juadah yang tidak berusik. Bila timbul rasa tidak mahu membazir, kita paksakan makan. Bila makan terlebih, badan jadi berat, lesu dan sudahnya mahu bangkit juga payah dan kerjakan solat dalam keadaan terlalu kenyang. Bukankah sudah dikatakan kita terlalu jauh berbeza dari sunnah Rasulullah?

Contoh mudah itu sama sahaja dalam apa jua tindakan kita dalam kehidupan. Lawan sifat merasa cukup adalah tamak. Tidak pernah puas. Ini berkait juga dengan sifat yang terlalu berbangga dengan kemewahan diri, senantiasa ingin bersaing dari segi material. Merasa tinggi diri dengan pangkat dan kedudukan mahu pun keturunan yang baik. Suka menunjuk-nunjuk dan menilai harga diri itu dari segi dunia dan isinya. Taliukur kita,  lebih banyak kemewahan dan material yang diraih, lebih mulia pandangan manusia pada kita. Namun kita sering terlepas pandang bahawa pencipta kita mendahulukan hanya TAQWA dalam menilai diri kita. Sikap kita ini juga mampu menjangkiti kita dengan penyakit CINTA DUNIA(Hubbuddunya). Penyakit yang paling dibimbangi Rasulullah untuk umatnya di akhir zaman. Itu VIRUS paling bahaya bagi umat Islam. Andai sahaja baginda ada bersama-sama kita.......Aku semaikan benih rindu pada sang Kekasih Allah yang mulia itu. Ku pohon Allah menyuburkannya....

Ramadan sudah di minggu akhir. Kita akan keluar dari Madrasah Ramadan tahun ini dalam keadaan yang ditentukanNya. Ketentuan Ilalhi itu juga berkait rapat dengan pencarian sebenar kita dalam madrasah Ramadan itu. "Berpuasalah kamu sebagaimana mereka yang terdahulu, mudah-mudahan kamu bertaqwa..." Ayat terkenal perihal tanggungjawab berpuasa ini mendalam maknanya. Namun itulah hakikat berpuasa sebenarnya, sebagai pembuka jalan pada rasa takwa dan meningkatkan ketakwaan yang sedia ada. Maha Suci Allah lagi Maha Mulia......



5.20pm 23/8/11


Isnin, 15 Ogos 2011

RAMADAN YANG TAK DAPAT DILUPAKAN.....MAK PERGI JUA.....

Azan Asar beberapa lama lepas sudah berkumandang. Cuaca sedari tadi yang suram dan kelam telah disudahi dengan langit yang mulai menangis menitiskan butir-butir rahmat dari sang Pencipta. Begitu juga jiwa kerdil aku. Jiwa dan batin yang masih sedang dan mahu menangis dengan pemergian insan yang disayangi, Allahyarhamah Ibuku pada 3 Ramadan yang lalu. Mak!!.... Adik rindu pada Mak.... Saat ini serasa mahu mendengar suara Mak.... namun apakan daya Mak.... Panggilan Ilahi itu mengatasi segalanya antara Adik dan Mak. Bahkan antara Mak dan dunia dan segala yang berkaitan dengannya. Adik redha dengan ketentuan Ilahi. Semoga Mak mendapat keringanan dan rahmat di bulan yang penuh berkah dan janji pengampunan dari Allah pemilik sekalian alam. Kita tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuasaanNya.

Ramadan ini adalah yang paling nostalgia dalam hayatku. Kegembiraan yang aku rasa di awal Ramadan rupanya isyarat untuk suatu dugaan yang tidak kurang hebat. Ramadan juga disebut madrasah untuk mempertingkatkan diri secara rohani dan jasmani. Tak kuduga juga tahun ini aku ditarbiahkan dengan sesuatu yang benar-benar mengharukan. Mak yang sebelumnya sememang sedang sakit dan kerap masuk dan keluar hospital pergi buat selama-lamanya meninggalkan semua tanpa membawa secebis pun apa-apa dari dunia fana' ini. Hanya berbalut kain putih yang tiada jahitan. Itulah hakikat hidup insan. Hidup ini adalah suatu perniagaan dengan Tuhan. Allah memberi modal. Kita berdagang dan berdagang. Sampai masa seruan untuk pulang. Semua akan kita pulangkan. Untung atau rugi itu Allah yang akan memberi nilai. Selebihnya adalah antara mak dan Allah. Itulah amalan. Mudah-mudahan kebaikan melebihi kesilapan dan kekhilafan.

Mak!!....Serasa seperti baru semalam adik dan yang lain mengucup dahi mak yang sejuk dengan mata mak yang rapat terpejam. Aman dan damai didoakan buat mak di alam sana. Mudah-mudahan mendapat layanan baik dan selesa serta dijauhkan dari ketakutan. Lemah untuk adik nak membayangkannya....

Mak!!....Hari ini 15 Ramadan. Ramadan selayaknya mengambang penuh menghiasi langit Allah. Semarak menebarkan maghfirah TuhanNya kepada hamba-hamba yang ada jiwa mahu kepada pimpinan dan suluhanNya. Dua hari lagi bakal Nuzul Quran. Al-Furqan itulah anugerah Allah sebagai peninggalan Rasulullah Muhammad (s.a.w) kesayangan dan mukjizat yang kekal sepanjang zaman. Itulah penawar untuk kesedihan. Itulah peringatan untuk yang lupa atau lalai. Itulah pembela bagi yang teraniaya. Itulah teguran dan ancaman bagi penganiaya dan penzalim. Di situlah semuanya. Itulah Kalam Allah. Dikatakan jika mahu rasa seperti berbicara dengan Allah. Maka bacalah Al-Quran. Sertakan dengan membuka terjemahan dan tafsir. Maklum itu kerana kita lahir dalam kelompok dan persekitaran yang menagih usaha sebegitu. Jika tidak kita hanya membaca dan mungkin bercakap sendirian.

Mak adik doakan mak aman, damai, tenang dan mendapat keringanan dan pengampunan dari Khalik. Mak telah menderita penyakit paru-paru dan kencing manis sebagai pengkifarah atas kekhilafan semasa hayat. Mudah-mudahan Allah memandang Mak dengan penuh Rahiim...Amiiin... Insayaallah....