Azan Asar beberapa lama lepas sudah berkumandang. Cuaca sedari tadi yang suram dan kelam telah disudahi dengan langit yang mulai menangis menitiskan butir-butir rahmat dari sang Pencipta. Begitu juga jiwa kerdil aku. Jiwa dan batin yang masih sedang dan mahu menangis dengan pemergian insan yang disayangi, Allahyarhamah Ibuku pada 3 Ramadan yang lalu. Mak!!.... Adik rindu pada Mak.... Saat ini serasa mahu mendengar suara Mak.... namun apakan daya Mak.... Panggilan Ilahi itu mengatasi segalanya antara Adik dan Mak. Bahkan antara Mak dan dunia dan segala yang berkaitan dengannya. Adik redha dengan ketentuan Ilahi. Semoga Mak mendapat keringanan dan rahmat di bulan yang penuh berkah dan janji pengampunan dari Allah pemilik sekalian alam. Kita tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuasaanNya.
Ramadan ini adalah yang paling nostalgia dalam hayatku. Kegembiraan yang aku rasa di awal Ramadan rupanya isyarat untuk suatu dugaan yang tidak kurang hebat. Ramadan juga disebut madrasah untuk mempertingkatkan diri secara rohani dan jasmani. Tak kuduga juga tahun ini aku ditarbiahkan dengan sesuatu yang benar-benar mengharukan. Mak yang sebelumnya sememang sedang sakit dan kerap masuk dan keluar hospital pergi buat selama-lamanya meninggalkan semua tanpa membawa secebis pun apa-apa dari dunia fana' ini. Hanya berbalut kain putih yang tiada jahitan. Itulah hakikat hidup insan. Hidup ini adalah suatu perniagaan dengan Tuhan. Allah memberi modal. Kita berdagang dan berdagang. Sampai masa seruan untuk pulang. Semua akan kita pulangkan. Untung atau rugi itu Allah yang akan memberi nilai. Selebihnya adalah antara mak dan Allah. Itulah amalan. Mudah-mudahan kebaikan melebihi kesilapan dan kekhilafan.
Mak!!....Serasa seperti baru semalam adik dan yang lain mengucup dahi mak yang sejuk dengan mata mak yang rapat terpejam. Aman dan damai didoakan buat mak di alam sana. Mudah-mudahan mendapat layanan baik dan selesa serta dijauhkan dari ketakutan. Lemah untuk adik nak membayangkannya....
Mak!!....Hari ini 15 Ramadan. Ramadan selayaknya mengambang penuh menghiasi langit Allah. Semarak menebarkan maghfirah TuhanNya kepada hamba-hamba yang ada jiwa mahu kepada pimpinan dan suluhanNya. Dua hari lagi bakal Nuzul Quran. Al-Furqan itulah anugerah Allah sebagai peninggalan Rasulullah Muhammad (s.a.w) kesayangan dan mukjizat yang kekal sepanjang zaman. Itulah penawar untuk kesedihan. Itulah peringatan untuk yang lupa atau lalai. Itulah pembela bagi yang teraniaya. Itulah teguran dan ancaman bagi penganiaya dan penzalim. Di situlah semuanya. Itulah Kalam Allah. Dikatakan jika mahu rasa seperti berbicara dengan Allah. Maka bacalah Al-Quran. Sertakan dengan membuka terjemahan dan tafsir. Maklum itu kerana kita lahir dalam kelompok dan persekitaran yang menagih usaha sebegitu. Jika tidak kita hanya membaca dan mungkin bercakap sendirian.
Mak adik doakan mak aman, damai, tenang dan mendapat keringanan dan pengampunan dari Khalik. Mak telah menderita penyakit paru-paru dan kencing manis sebagai pengkifarah atas kekhilafan semasa hayat. Mudah-mudahan Allah memandang Mak dengan penuh Rahiim...Amiiin... Insayaallah....
Menitis air mata Zie membaca catatan Dila. Terbayang bayang wajah emak Dila yang lembut penuh keibuan. Zie doakan semoga emak Dila ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Semoga Dila tabah dengan dugaan ini.
BalasPadamZie,
BalasPadamTerimakasih kerana mampu menyelam rasa hati kita. Tak sangka Zie 'describe' Arwah Mak dengan perkataan 'lembut'. Walau berpuluh tahun tak bersua. Selaras dengan kawan-kawan dia memanggil dia Ani lembut.
Ya! Diharap dengan tanda percikan manik-manik peluh halus di dahi saat sakaratulnya (cerita kakak seorang yang sempat bersamanya di ICU), kita sangat berharap juga Insyaallah dan mudah-mudahan dia mendapat husnul khatimah dan pengampunan dari Ilahi.
Ayie!
BalasPadamBenarlah dan berbalik kita pada ayat 35 dalam surah al Anbiya' bermaksud "Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.
Janji Allah pasti benar...Kita insan yang perlu berfikir, muhasabah dan mudah-mudahan tidak tersalah bertindak. Insyaallah.