Sabtu, 4 Mei 2013

KITAB MERAH, KITAB HIJAU ILMU TINGGALAN TOK KENALI



Sekali lagi, sepertinya tak tahu mana mahu bermula bicara. Tambahan bila dah lama tidak menulis, terfikir-fikir sendiri apa masihkah dapat meluah fikir sekaligus rasa di dada. Dah beberapa lama mahu menulis tentang yang bakal diperkata, tapi sering juga terhalang-halang. Terkenang-kenang lemahnya diri, masih jauh dari sempurna. Masih terlalu banyak kekurangan. Belum cukup amalnya untuk menulis bab-bab sebegini. Namun bila termaktub, nyatanya sendiri tak dapat menghalang jari dari menari-nari tujuan ini. Maka menulislah.

Dalam hidup kita bertemu dengan pelbagai perkara. Berlingkar pada hal yang disukai atau dibenci, yang diingini atau ditolak, yang baik dan buruk dan kesemua pasang-pasang dalam kehidupan. Begitulah penetapan dalam kehidupan dari yang Maha Kuasa. Dijadikan gelap untuk kita tahu dan mampu mengenal apa itu terang dengan cahaya. Dijadikan kesedihan untuk kita mampu menilai dan menghargai masa-masa gembira. DijadikanNya Hawa untuk memenuhi hajat Adam dan dijadikan yang alam kekal(akhirat) untuk disedari dan diinsafi bahawa kerana itu pula diadakan olehNya yang alam sementara(dunia). Sungguh tersusun dan cantik lagi kemas setiap kejadian alam oleh Yang Maha Kuasa. Semua kejadian tersebut demi tujuan menzahirkan Maha Sempurna itu dengan kemampuannya yang Maha Hebat.

Lantas mengenang kembali kisah bagaimana dua buah buku yang menjadi tajuk bicara saya kali, saya kembali rasa sedikit nostalgia. Saya tidak mencari buku ini, tidak juga buku itu yang mencari saya. Apa yang mampu dikatakan saya 'seolah terpandu' untuk memiliki buku-buku tersebut. Semasa berbicara untuk memesannya melalui telefon, Hj Shaari Hj. Mohd Yusof menyebutnya sebagai kitab. Maka saya pun tak rasa keberatan memanggilnya sebagai kitab. Soal ini saya bangkitkan kerana tak dinafikan ada dakwaan sepertinya kita akan melebihkan kitab-kitab ini melebihi dari Al-Quran itu sendiri. Ternyata ia tidak dan InsyaAllah, tidak akan pernah jadi sebegitu. Tak keterlaluan saya katakan kitab ini masih ada kelemahan. Dari segi 'typing error' saja agak banyak. Namun dari segi isi, untuk saya Alhamdulillah. Mana mungkin ada buku atau kitab sebaik dan setanding al-Quran. Sebuah kitab yang yang dijanjikan oleh Allah pemeliharaannya. Maklum kita Al-Quran itu kalam Allah. Itu sumber segala rujukan dan ilmu. Cuma kitab-kitab Tok Kenali ini mempunyai sentuhan tersendiri dikala membacanya. Serasa saya, ia membicarakan antara bahagian ajaran yang dibawa oleh al-Quran itu sendiri. Bicara dari manusia yang telah diberi peluang dan kesempatan olehNya untuk mengalami sedikit kelebihan dari segi ilmu dan pengalaman berbanding orang lain. Olahan dan penyampaian yang memang terlihat ada perbezaan. Sebetulnya, sewaktu kitab-kitab ini sampai, terkejut saya terdapat juga CD sebanyak 4 keping.  Walau saya tidak memesan yang tersebut, saya ambil sahaja dengan niat dan fikiran mungkin ada baiknya menonton apa yang dihantar. Bayaran dibuat untuk 2 kitab dan 4 CD. Ternyata CD-CD tersebut membuat penjelasan awal untuk saya sebelum memulakan pembacaan.

KItab-kitab yang dibicarakan ini dinamakan sebagai Mengenal Diri dan Ilmu Makrifat (Mengenal Allah). Sekali dengar memang terasa seolah berat sangat apa yang dibawa olehnya. Melihat saja kata Makrifat, saya sendiri awalnya rasa seolah bukan untuk saya membacanya. Sedangkan nyata itu salah tanggapan awal dari saya. Namun kitab-kitab tersebut merupakan Ilmu Peninggalan Tok Kenali Kelantan oleh Mohd Yusof Che Wook yang dikatakan adalah murid sebenar Tok Kenali Kelantan. Saya akui bahawa saya terpandu untuk kitab-kitab tersebut dahulu. Kemudian barulah saya mencari maklumat tentang Tok Kenali. Walhal sebelum ini walau saya pernah mendengar nama Tok Kenali, tak pernah pula ambil tahu atau ambil pusing apa sahaja istimewanya. Sekadar tahu nama. Sedikit penceritaan yang tak mampu diluah untuk bertemu dengan kitab-kitab ini, membuat ianya istimewa untuk saya. Sampai satu peringkat seperti mahu simpan sendiri. Namun perkongsian untuk sesuatu yang disukai itu adalah lebih baik juga. Andai kita mahukan manfaat atau mahu menuju pada kebaikan, terdapat ramai lagi orang di luar sana yang mahukan yang serupa. Atas dasar itu saya buka kisah ini.

Bimbang juga andai terlihat seolah melebih-lebih mengisahkan istimewa kitab-kitab Tok Kenali ini. Namun itu semua bukan kerja manusia menentukan bagaimana 'rasa' yang akan datang sewaktu membaca mana-mana tulisan atau karya dari mana-mana penulis sekalipun. Persoalan 'rasa' adalah datang dari Pemberi Rasa. Sepertinya bila kita menyebut, 'Saya sayang awak'. Ucapan tersebut boleh sahaja dilafazkan oleh sesiapa dan di mana-mana jua. Namun 'rasa' sebenar sayang itu hanya akan dialami oleh orang yang mengucapkan kepada dan diucapkan kepadanya. Selain hanya kedua-dua yang terlibat sahaja mampu membuat penilaian apa benar atas kata-kata diucap atau sekadar mainan dibibir. Dilihat bahawa pihak ketiga hanya mampu berandai-andai. Begitu saya menyimpulkan bahawa andai bahawa lain orang mungkin lain rasanya atau penilaiannya setelah membaca kitab-kitab tersebut.

Kedua-dua kitab tersebut membawa kita untuk berbalik pada beberapa perkara asas yang utama dan amat patut menjadi perhatian kita selaku insan yang dijadikan dengan matalamat memakmurkan bumi selaku khalifah. Saya kategorikan kitab-kitab itu unik kerana penulisannya tak dinafikan dicetak berdakwatkan rasa dan berkertaskan pengalaman. Itu yang mampu saya katakan. Saya pernah berdikit-dikit membaca kisah-kisah berbicara perihal tasawwuf dan ada juga memiliki buku berbicara hal tasawwuf mudah, namun dibandingkan dengan kedua kitab-kitab Tok Kenali tersebut, dapat dirasakan pendekatan jauh berbeza. Perbincangan dalam kedua-dua buah kitab tersebut saya sedari seolah-olahnya merupakan sesuatu menjadi dasar kepada ilmu Tasawwuf itu. Sebelum ini sering kita dengar ceramah-ceramah motivasi perihal Kenali Diri, namun Ilmu Mengenal Diri Tok Kenali, ternyata berbeza, namun setakat yang terlihat dalam pembacaan tiada nampak apa-apa yang bertentang. Tak dapat pula nak terjemah rasa dan pengalaman membaca. Kitab Mengenal Diri setebal 567 mukasurat itu memberi pendekatan berbeza pada rohani berbanding momokan-momokan yang saya dengar dan baca sebelum ini. Jika sebelum ini terbiasa disaran kenali diri dengan mencari mana kuat dan lemahnya diri, untuk mengasah dan mengambil manfaat dari kekuataan dan berusaha membaiki kelemahan, supaya kita mampu merasa lebih berpuas hati dan lebih sempurna dan setanding orang lain. Mengenali Diri dengan ilmu Tok Kenali ini berbeza kerana ia terlebih dahulu meletakkan Yang Awal dan Yang Akhir itu lebih utama. Manakala kita ini umpama berada dipertengahannya. Kita umpama sebagai sebuah perjalanan. Hakikat kita ada dalam ketiadaan. Maka InsyaAllah, akan tahu dan sedarlah kita di mana kita sebenarnya. Ke mana halanya kita dan apa saja yang perlu diperbuat oleh kita yang jadi tuntutan dan keutamaan walau siapa pun kita di tempat kita masing-masing atau pun di mata orang lain.

Nampaknya setakat ini dulu mampu bicara. Mungkin jika ada 'kesempatan' bakal menyambung bicara di hari lain. Kedua-dua buku itu saya tamatkan dalam masa satu setengah bulan. Memang layak untuk saya. Baca, simpan. Baca, simpan. Walau rasa tergantung, terasa telah lepas sedikit hajat yang disimpan. Maaf atas kekurangan. Sehingga itu, Wassalam.

*Nak gi ngundi pas ni: PRU13.

Khamis, 14 Februari 2013

ZIKIR DENGAN YA RAHMAN YA RAHIM


Assalamualaikum!

Alhamdulillah masih diizin Allah menjadi antara yang hidup di mukabumi ini. Di saat kita membuka mata, melafaz syukur kerana masih ada umur yang akan jalani, di tempat-tempat lain, entahkan berapa ramai yang sudah ditamatkan keberadaan mereka di dunia ini. Ringkasnya dipanggil semula oleh Allah untuk menghadap kepadanya. Jadi memang teramatlah perlu kita melafaz syukur dalam Doa Bangkit Tidur. Masih diberi masa dan kesempatan. Mencuba meraih melengkapkan diri dengan amal dan usaha baik.
Bila sebut perihal syukur, tak terlepas kita dari menyamakan ia dengan kata terimakasih. Itu bahasa kita manusia biasa. Dalam Al-Quran yang menggunakan Bahasa Arab, disebut selalu sebagai syukur. Allah Maha Tinggi ilmunya dan penetapan telah mengatur penurunan Al-Quran seiring dengan kebangkitan Rasulullah s.a.w. Begitu ia berpasangan(Rasulullah dan al-Quran). Itu juga mukjizat terbesar Rasulullah dan akan kekal ditinggalkan untuk kita umatnya, selaku umat di akhir zaman. Dibangkitkan Rasulullah untuk sekalian alam sebagai rahmat. Begitu diikuti dengan Al-Quran.

Selalu dan biasa disebut hukum berpasangan. Dalam kehidupan ini biasa. Diciptakan Adam, kemudian Hawanya. Begitu ada langit dan bumi, siang dan malam, bulan dan bintang. Itu pada kejadian alam. Melihat pada kehidupan manusia pula. Ada bahagia, bersilih duka. Ada kaya, ada miskin. Ada kelahiran, ada kematian. Ada kebaikan, ada kejahatan......Senarai yang tidak akan ada hentiannya. Senantiasa akan wujud sesuatu samada objek, suasana, perasaan yang saling bertentang antara satu sama lain. Pada kita manusia sering kita lihat ini dengan mengasing-asingkannya. Sebahagian kelompok kelebihan dan kebaikan dan sebahagiannya dalam kelompok kekurangan dan keburukan dalam hidup. Begitu juga saya yang bendul ini. Selalu melihat dengan mata fizikal. Sekonyongnya merasa senanghati bila mendapat segala yang selaras dengan kemahuan, kehendak yang berkumpul dalam nafsu diri dan memasukkan ia dalam kelompok kebaikan dan terbuai leka. Sebaliknya bila mendapat kekurangan dan tidak capai hajat, mudah kecewa dan ada kalanya berasa tak keruan, keluh kesah, gundah gulana dan terbuai duka. Berhempas-pulas mencari jalan untuk membetul keadaan. Itulah sifat manusia biasa. Tak habis-habis melihat sesuatu dengan mata fizikal dan meletakkan nafsu sebagai barometer. Terasa seperti ada hentakan penukul atas kepala sendiri. Setiap kita ada penukul masing-masing. Tanpa sedar ia terus-terusan memukul kita.
Dalam pada itu kita sebagai insan biasa sering terlepas dari merenung firman Allah dalam ayat "Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang." Pernahkah kita bertanya mengapa selalu kita disaran untuk melafaz kata Bismillahirrahmanirrahim untuk setiap perbuatan atau pekerjaan. Malah ada juga antara manusia yang mampu menjadikan ia seperti satu zikir untuk diri mereka. Masih juga saya ingat(harap tak tersilap) satu kisah wanita yang mahu diperkena oleh suaminya meletak ular dalam sejadah kemudian menjadi ketulan emas, berkat bacaan Bismillah yang tak putus-putus dalam setiap perbuatannya. Namun bukan itu yang kita tuju. Ambil saja ia sebagai satu kisah kebesaran Allah dan anugerah untuk wanita tersebut. Dalam keadaan lurus dan bersih hati serta berdepan penganiayaan, dia mendapat pembelaan Allah sekaligus kurniaan. Itu bahagian dia.

Jika dirujuk pada  surah Al Fatihah(Ibu Kitab), itu juga ayat yang pertama antara yang tujuh. Nyatalah ada sesuatu yang besar patut dilihat dan direnung. Renung apa? Biasalah baca saja dah dapat pahala. 1 huruf x 10. Kita sebenarnya perlu merenung dan mendalami pada Rahman(Pemurah) dan Rahim(Pengasihsayang)---juga diletak berpasang. Bermakna sesuatu yang kita buat itu kita patut mulakan dengan ingatan pada Pemurah dan Kasihsayang Allah. Maka apa sahaja hasilnya, samada ok tau ko. Muktamad!!! itulah dari Allah. Jika baik hasilnya itu tanda Pemurahnya Allah. Manusia meminta, Dia memberi. Jika sebaliknya, Allah mahu mengajar kita tentang KasihsayangNya. Pelajaran seperti itu tentu perlu lebih masa. Hanya mereka yang mahu memperuntukkan masa dapat belajar. Kelas lanjutan. Biasalah, mudah untuk menerima kebaikan. Namun tidak mudah mengambil pengajaran dari kesulitan dan kegagalan. Pentingnya kita dapat melihat adanya perkaitan dengan hukum berpasangan yang Allah 'timpakan' pada manusia khususnya muslimin, muslimat, mukminin dan mukminat. Sering dikatakan bahawa Rahman Allah untuk sekalian alam, manakala Rahim Allah untuk orang-orang Islam. Sejauh mana benarnya? Terfikir saya, kalau begitu bagi orang-orang yang asalnya kafir kemudian mendapat hidayah itu apa pula? Sesungguhnya, Allah itu Maha adil. Rahman dan Rahimnya untuk sekalian makhluknya. Alam dan isinya. Cuma bila tiba kepada manusia, ciptaan terhebatNya(dek kerana akal dll), jalan kebaikan dan kejahatan dibuka. Siapa yang mahu kepada kebaikan dan mendapat lebih kasihsayangNya,  mesti berusaha lebih pula bagi menarik perhatianNya. Maklumlah siapalah kita, selaku hamba.....Sudahlah diciptakan sebagai mahkluk yang paling sempurna dan ditundukkan pula isi dunia untuk kepentingan manusia. Masyaallah, lantas apalagi yang patut dilakukan jika tidak 'mengingat-ingat' dan menyebut-nyebut segala nikmat dan kurniaan Allah pada kita. Lantas sering mulut kita mengungkap Alhamdulillah(bersyukur pada Allah). Apa ia terhenti di situ? Nyatanya nikmat itu juga satu cubaan dan dugaan. Jika mendapat nikmat ada tanggungjawab juga. Biasanya nikmat itu perlu dikongsi dengan yang lain. Dan ia tidak terhad kepada mereka yang ada pertalian darah daging dengan kita sahaja. Tambahan secara umum semua muslimin dan muslimat itu bersaudara.
Namun sering kita manusia bersyukur hanya pada perkara-perkara yang memuaskan hati. Bagaimana untuk berdepan dengan hukum berpasangan. Sisi gelap kehidupan. Tetap sahaja dengan ingatan Ya Rahman, Ya Rahim. Serulah Allah(sebagai zikir dalam apa keadaan) dengan Kepermurahannya dan Kasihsayangnya yang melimpahruah pada kita hambanya. Nyata Allah lebih tahu apa yang ada dalam hati dan dada hambanya. Pernyataan zikir itu bukan untuk menunjuk kehebatan kita mampu mengingat Allah berbanding orang lain. Namun ia adalah pernyataan kita sebagai makhluk yang begitu lemah dan amat perlu kepada pembelaan dan pergantungan kepadanya semata-mata. In Sya Allah Allah tidak mensia-siakan seruan hambanya. Airmata kesukaran, kesedihan akibat dari kehidupan sementara itu amat difahami Allah lebih dahulu dari kesukaran, kesedihan  mahupun kesengsaraan itu menghinggapi diri kita. Setiap titis tidak akan sia-sia jika ia jatuh jika diiringgi dengan ingatan zikir hamba terhadap Rahman dan Rahimnya. Ia akan terangkat padaNya sebelum sempat mengering di alam ini untuk dibawa sebagai amalan di akhirat kelak. Tersimpan di dalam tabung zikrullah. Selain dengan izinNya juga permasalahan dunia akan diberi kemudahan dan penyelesaian sebaiknya. Allahu'alam.

Selasa, 29 Januari 2013

MOTIVASI TERBAIK UNTUK SETIAP JIWA - KALAMULLAH, AL-QURAN, AL-FURQAN, KITABULLAH.


Bismillahirrahmanirrahim.
Al-Quran, Al-Furqan, Al-Kitab....Itulah Kalamullah. Membaca dengan mematuhi syarat rohani dan jasmani mampu menjadikan Allah seolah-olah berbicara kepada sipembacanya.

Entah di mana mahu rasa mula berbicara. Perasaan inilah yang sering menerjah diri bila mahu menambah entri. Blog ni nyata sekali bukan blog perniagaan atau seangkatan dengannya. Bila mahu, ditulis. Bila tidak. Begitulah. Tidak perlu saya mengikat diri. Semua yang dihitamputihkan di sini adalah asasnya dengan kerelaan. Tiada pula mengikat diri mesti begitu begini. Namun tak dinafikan, tiap perkara kecil, lebih lagi besar mesti juga dibuat dengan proses berfikir. Mahu menulis sesuatu entri juga begitu. Perkara pertama mesti berfikir tentang apa manfaat yang mahu diselitkan didalamnya. Begitu, baru ada kepuasannya kerana telah berusaha menepati ciri-ciri perkongsian yang baik.
Tak pasti entahkan berapa lama sahaja blog ini dapat bertahan. Seorang seperti saya yang tidak begitu tahu selok belok IT mahu pun berblog, memang berblog semata-mata untuk menulis dan jika ada yang sudi membaca dan dapat pula mencari manfaatnya dalam serba kelemahan tulisan tersebut, itu saja sudah tetap berhasil untuk insan kerdil di hadapan Allah ini. Apa sekali pun setiap yang dicatitkan tetap ada nilai sentimentalnya secara peribadi. Begitulah, seorang  manusia menjalani hari-hari yang disempurnakan Allah dengan segala kekurangan yang sentiasa melingkarinya. Hanya Allah yang Maha Sempurna.

Semuanya yang  terakam blog adalah semata-mata untuk sebuah perkongsian kehidupan yang serba biasa. Masih terlalu amat jauh dari sebuah kesempurnaan. Boleh dan dapatkah kita sebagai manusia merasa puas dan merasa lengkap atau ringkasnya merasa sudah sempurna?. Dengan segala kemahuan dan kehendak yang tak berkesudahan serasa tidak memungkinkan. Selepas mencapai sesuatu, pasti muncul kehendak yang baru. Setelah habis melaksanakan sesuatu yang dangkat sebagai satu tanggungjawab, akan tiba pula tanggungjawab yang baru. Ini selaras pula dengan petikan ayat dalam Al-Insyirah ayat 7 dan 8 bermaksud:

"Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain). Dan kepada TuhanMu sahaja hendaknya engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).

Ringan mahu pun berat tanggungjawab, cubaan atau pun dugaan ataupun kesenangan(juga antara cubaan) tersebut telah diatur oleh yang Maha Pengatur, Maha Teliti lagi Maha Halus. Dapat kita fahami melalui sebahagian potongan ayat dari surah Al-Baqarah ayat 286 bermaksud;

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. ........

Proses kehidupan manusiawi tersebut berterusan. Dari satu fasa ke satu yang lain. Bermula dari kelahiran. Menyentuh tiap titik, menurut aturan Maha Kuasa. Serupa waktu kanak-kanak....Melukis gambar sesuatu objek menurut sambungan lakran titik-titik bernombor yang disediakan. Bermula dari satu hingga lengkap gambaran objek yang disediakan. Kita juga seperti itu. Itu gambaran kehidupan. Lebih dari sekadar melukis seperti seorang kanak-kanak, kehidupan itu ada arusnya. Tak terkecuali ada gelombangnya mahu pun badainya. Semoga kapal-kapal kita cukup kukuh untuk melayari arus yang ada kalanya mengganas tanpa sebarang amaran. Selain cukup pula bekalan untuk menjamin kelangsungan hidup. Andai berpeluang singgah di hentian-hentian tertentu, mengutip dan mengumpul 'bekalan tambahan'. Mesti berlatih pula menjadi jurumudi yang peka dengan sebarang perubahan cuaca yang melanda. Serba sedikit menguasai ilmu menafsir hala tuju kehidupan. Lagi awal sesuatu persiapan dibuat, memberi peluang keselamatan yang lebih. Memberi peluang yang cerah bagi satu perlabuhan yang menyelamatkan diri dan seisi kapal.

Hatta, satu-satunya kesempurnaan yang dimahukan dalam sebuah kehidupan, itulah kesempurnaan di saat seorang hamba menghadap khaliqnya. Meninggalkan kesementaraan menuju keberkekalan. Sebuah pemergian yang entahkan sempat meninggalkan pesanan. Diberi ia nama kematian, yang ada sesetengahnya memaling dari memikirkan. Mengapa? Sedangkan ia adalah suatu kemestian. Kemestian yang seringkali pula meragut kelazatan dan kesedapan nikmat kehidupan dengan secara tiba-tiba. Tanpa sebarang isyarat jauh lagi amaran. Kejamkah kematian? Bukankah sebaliknya manusia yang seringkali berlaku kejam terhadap diri sendiri kerana lalai dari mengingatinya? Lantas melucutkan sendiri peluang mempersiapkan diri? Oh!... La ila hailla anta subha naka inni kuntu minadzalimin.
Manusia wajarnya bergerak kepada pencarian sebuah kesempurnaan dalam kemampuan meredhakan 'saat tersebut' dan utamanya mendapat redha dariNya. Itu kemuncak kesempurnaan sebuah kehidupan yang sementara. Teringat saya pesan Ustazah Norhafizah Musa yang gemar  mengingatkan bahawa seringlah mengingatkan diri dengan kata-kata, "Wahai diri sesungguhnya, dunia ini bukan kampung mu. Kamu akan pulang ke tempat kekalmu, iaitu kampung akhirat." Ustazah sering menuturkannya dengan nada yang memagut rasa hati saya. Saya suka. Ia suatu penyerahan yang beralasan kepada kebenaran lagi haq.  Untuk lebih jelas, motivasi terbaik itu datang dari Pemilik Seisi Alam untuk insan memikir keutamaan dan keperluan bagi meraih kesudahan yang baik tersebut dapat kita bersama hayati dari potongan-potongan ayat al-Quran: Surah Al-Fajr, bermaksud:

27. (Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal solih akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang dan tetap dengan bawaan baiknya!--

28. "Kembalilah  kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati @redha(dengan segala nikmat yang diberikan), ladi diredhai (di sisi Tuhanmu)!--

29. "Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia--

30 "Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!"

(Tersenyum seorang). Asalnya mahu menulis perihal lain, lainlah pula yang terzahir. Itulah..... saya seringkalinya, ternyata menurut gerak hati dan cetusan spontan darinya. Kemudian sahaja untuk entri yang dirancang sebelumnya. Sekadar itu buat masa ini dari seorang yang tidak memiliki tetapi dimilikiNya. Tidak punyai tapi dipunyaiNya. Hanya berdaya dengan Laa haula wala quwwata illa billah. Dari satu jiwa kerdil yang tak terkecuali gemar meluah pandangan peribadi terhadap sesuatu perkara yang menarik minat dan rasa hati.  Wassalam.............

Selasa, 22 Januari 2013

ALLAH ENGKAU DEKAT, PENUH KASIH SAYANG.


Pagi ini berkesempatan aku mendapatkan  dua naskah akhbar. Sewaktu memilih-milih akhbar tadi aku menyambar Mingguan Warta Perdana. Alasannya ternampak paparan wajah Ustaz Ebit Lew dengan tajuk kecil 'Setiap hari menangis'. Pertama kali aku kenali rupanya. Seperti itulah aku, tak semua dapat tahu serentak. Bila sampai masa nak tahu, tahulah. Tambahan dari namanya sahaja tahu sudah bahawa dia adalah seorang yang 'converted'. Asal bukan Islam kepada seorang Islam.  Jadi ini menarik hati dan perhatian. Tambahan malam tadi ada mendengar siaran ulangan slot beliau di radio IKIM(Institut Kefahaman Islam). Selalu terdetik, "Suara Ustaz ni macam remaja belasan tahun je". Bayangan aku dia seorang yang bertubuh kecil dan bermuka budak dan pasti dalam agak awal 20an. Tak dapat dinafikan setakat ini radio IKIM ini menjadi antara wadah bagi memanfaatkan pendengaran ini selari tuntutan yang Pemberinya. Suaranya Ustaz ini dah beberapa kali aku dengar. Namun tak dapat padanan dengan namanya. Mendengar radio pun bukan 24jam. Untuk satu rancangan pun tak mesti mula sedari awal, sering juga di pertengahan.

Jadi begitulah aku memilih untuk naskah tersebut. Suka mendengar butir pertututan dakwah dari beliau walau ada kalanya aku merasa dia sedikit terlalu laju dalam berbicara. Adakalanya seperti susah nak bernoktah. Namun itu mungkin juga kelebihan beliau atas ilham dan semangat dakwah yang dikurniakan Allah untuknya. Menyelak halaman dalam akhbar ternyata jangkaan ada sedikit meleset. Dia memang seorang ayah kepada sepasang cahayamata, berumur 28 tahun dan bertubuh sederhana tidak kecil seperti jangkaan. Ternyata seorang yang kelihatan matang dari riak wajahnya. Semua itu mungkin kerana pengalaman hidup dan kerjaya yang dilaluinya. Datang dari 12 orang adik beradik dan 6 dikhabarkan masih Buddha dan 6 lagi sudah memeluk Islam.  Bercita-cita besar dan murni. Seperti biasa bila seseorang yang bukan mendapat Islam secara warisan. Terpilih melalui pintu hidayah, biasanya pegangannya menjadi lebih erat dan ketat berbanding kita yang mewarisi Islam dari kedua ibubapa. Banyak yang dapat dipelajari dari kisah mereka dan baik juga mendapatkan panduan dan bimbingan dari orang sebegini. Ok, itu sedikit mukaddimah selesai sudah.

Beralih pada Harian Metro pula. Ini yang utamanya. Melihat paparan wajah seorang anak yang duduk seperti mencangkung sambil bersandar,  hanya berseluar 'track bottom' disingkap melepasi lutut, dicatat berumur 10 tahun dalam keadaan mata yang agak layu, tangan menongkat dahi kanan, mulut bertaup rapat jauh untuk senyum dengan kebanyakan bahagian tubuhnya berparut agak kehitaman dan ada yang masih kemerahan. Parutnya besar-besar dan semua itu menghambat simpatiku pagi hari. Tajuk kisahnya dicetak sebagai 'Hilang ingatan tujuh tahun dibelasah KEJAMNYA AYAH'. Astaghfirullah!  Tak usah dihitung ayah tirikah atau ayah kandungkah. Ternyata ini satu kezaliman. Apa ini satu lagi antara banyak kisah bila hati dimamah syaitan. Dikunyah seenak mungkin, hingga hilang perimanusiawi berrtuhan nafsu menzalimi sesama insan. Aku simpan tepi latarbelakang anak ini dan tumpuan hanya kepada kezaliman dalam bentuk penderaan fizikal yang terjadi padanya. Ternyata ianya juga mengakibatkan mentalnya tergugat. Ingatannya rosak. Menjadi lembab dan lemah pemikiran dan akalnya. Kasihan sungguh. Di mana ibunya? Itu soalan takkan terkecuali. Ibu dah lari dengan abang meninggalkannya. Melihat kepada ibu sebegini, menjadi iktibar kepada diriku dan ibu lain diluar bahawa anak itu sesungguhnya amanah dari Pengurnianya. Bagaimana pun kesukaran dan kepayahan, lari dari tanggungjawab bukan penyelesaiannya melainkan membuka pintu dan ruang untuk masalah lebih besar. Andai ibu yang melahirkan dan dikatakan syurga di telapak kakinya sanggup meninggalkan anak sebegitu sahaja, usah diharap pada yang lain untuk berlaku baik pada anak tersebut. Sengketa ibubapa sahaja adalah bibit kemusnahan masa depan anak-anak bila salah ditangani. Allah Maha Pemelihara!

Merenung ke dalam diri, Allah! Aku ternyata tidak lagi sempurna sebagai ibu kepada anak-anakku. Boleh sahaja meninggi suara untuk marah bila tercabar, boleh sahaja sampai tangan bila hilang kawalan situasi, boleh juga memekakkan telinga, memejam mata dan minta diri bila rasa perlu masa menyendiri. Namun semoga kau pelihara aku dari bertindak diluar redhaMu. Jauhi aku menempuh jalan seperti ibu yang meninggalakn anaknya dan membiarkan anak tak bersalah itu menanggung silap dirinya dan menggadai masa depan anak tersebut. PembalasanMu pasti ada untuk sedemikian tingkah. Di alam kekal hanya ada antara dua....Syurga atau Neraka.

Kisah ini juga mengingatkan aku pada suatu perasaan yang aku alami baru-baru ini. Ahad lalu. Biasanya jika anak-anak mahu ke taman permainan, aku sekeluarga (tolak yang di asrama) akan bersarapan di tempat berhampiran taman itu juga. Jadi kami ke tempat biasa. Tingkat 2. Biasa waktu makan di luar tak berapa aman dengan tingkah anak bongsu yang makin agak menjadi. Mencecah umur 3 tahun. Kerusi baginya bukan tempat duduk bahkan untuk berdiri. Selain tak akan diam melebihi 10 saat. Pun begitu aku, sering tak dapat melepaskan pandang padanya. Kenal sangat tingkahlakunya. Mulut diam, tangan berjalan. Jarak jalan 3 meter dia akan lari seperti pecut 100m. Jadi fahamkanlah. Dek kerana meja lain penuh, kami terpaksa memilih meja berhampiran jaringan pagar besi. Anak kecil ini tengah suka menolak makanan, melebihkan main. Mahunya air, air dan air. Tak mengapa. Selesai makan aku tumpukan mengawasi anak. Kerusi aku memang yang bersebelahan dengan jaringan besi tersebut. Jaringan itu agak jarak-jarak juga. Namun tak rasa mampu loloskan anak hampir 3 tahun. Kecil dari itu, entahkan mungkin juga. Namun bila sahaja anakku berdiri begitu berdekatan dengan pagar tersebut, satu perasaan menyelinap ngilu ke dalam dada. Tercengkam ketakutan. Sehingga sejuk tubuh. Ketakutan yang seperti menyedut keluar darah dari dalam tubuh..

Budak itu apa saja fikirnya. Seronok, mencuba. Tiada 'fear factor'. Ingin tahu. Hanya bila sudah disentuh kesakitan, menangislah dia. Dia memegang dua antara jaringan dengan melekapkan muka ditengah-tengah jaringan. Waktu itu, aku pantas saja melepaskan pegangannya dan menariknya kepadaku dan mengepit dia antara kedua kaki aku yang sambil duduk dibangku. Aku rapatkan dada memeluk dia. Tanpa dijangka, airmataku murah mengalir keluar. Aku mengimbas 'bayangan' yang datang tadi. Bayangan yang aku tak dapat maafkan diri aku andai dia terlolos dari jaringan tersebut. Apa itukah antara kasihnya ibu? Selalu bimbang dan tidak mahukan anaknya disakiti dan dilukai. Mudah rasa bersalah bila sesuatu kejadian buruk menimpa anaknya? Oh! aku memungkinkan kesemua itu. Kemudian bagai ada satu suara, berkata di telinga, "Andai begitu sayangnya engkau pada anakmu yang engkau kandungkan selama 9 bulan 10 hari, lahirkan dengan penuh kepayahan dan kesakitan tubuh badan. Kenangkan juga semula kegembiraan sewaktu dia dilahirkan. Lantas,  INGATLAH TUHANMU LEBIH MENYAYANGI SETIAP HAMBANYA. 1 dari 10 kasih sayang yang dicampak olehNya ke dunia ini boleh membuat engkau dicengkam kengiluan dalam kebimbangan akan kesejahteraan anak yang menjadi pelengkap kehidupan, RASAKANLAH KASIH SAYANG TUHANMU. BersamaNya masih ada tersimpan 9 bahagian menjadi rahsiaNya." TuhanMu tidak tega bila engkau mencampakkan diriMu kejurang kebinasaan. Hanya kerana itu dia membentangkan jalan kebaikan juga keburukan untuk engkau pilih. Dia 'cemburu' bila engkau memilih menuruti jejak syaitan dari perintahnya. Penyekutuanmu(secara sedar atau tidak) mencabar ketuhananNya. Andai Dia mahu boleh sahaja dia jadikan semua manusia itu beriman sebaiknya. Namun fikirkan mengapa Dia memberi pilihan. Di situ Dia menguji setiap dari hambanya. Menilai kepatuhan dan ketundukan hambanya. Sejauh mana engkau mendahulukan Dia dia atas segala yang lain. Sedarlah!". MasyaAllah! Bagai ditampari kesedaran. "Allah pun cemburu?". Getusku.  Cemburu itu tanda kasih dan sayang. Betul pula bidalan tersebut. Airmata aku kesat dalam lindungan. Ternyata Engkau Maha Pengasih lagi Penyayang wahai Tuhanku. Dunia ini memang tempat persinggahan menuju keberkekalan disisiMu. Tempat ujian dan cubaan. Kuat dan tabahkan aku dengan lafaz La haulawalaquwwataillabillah.....Aku melangkah pergi setelah semua selesai. Kami menuju ke taman permainan.

Isnin, 21 Januari 2013

MONOLOG MAULIDURRASUL: SEBUAH NUKILAN DEMI DUA CINTA.....

PESANAN: BAIKNYA JIKA MAHU TERUS MEMBACA, BERSEDIA UNTUK MENEMPATKAN DIRI ANDA SEBAGAI AKU. AKU ITU WATAK UTAMANYA CERITA INI. JIKA SEPERTI TIDAK KENA DENGAN RASA, DIBOLEHKAN 'EXIT'. JIKA BERSEDIA DENGAN PERANAN AKU, DENGAN SENANG HATI, DIBENTANG KARPET MERAH UNTUK MENELUSURI CERPEN HATI SEORANG AKU....SELAMAT MEMBACA DAN SEMOGA PUTIK CINTA ITU BERKEMBANG MEKAR MENGHARUM....
 
*SILA JUGA BERSELAWAT KE ATAS BAGINDA SETIAP KALI BERTEMU PERKATAAN RASULULLAH.
Oh! Hari ini sudah tanggal 7 Rabiul Awwal. Menyebut saja Rabiul Awwal seorang manusia seperti aku itu selayaknya dan seharusnya merasakan 'sesuatu'. Berada dalam bulan Rabiul Awwal itu sering menjadi satu 'signal' utama, kepada mengenang semula kelahiran dan kebangkitan satu susuk yang menjadi Rahmatun bagi sekalian alam. Itu bukan kata-kata datang dari manusia, melainkan datang dari Tuhan Sekalian Alam. Itulah susuk Muhammad Rasulullah s.a.w. Bayangkan bagaimana dengan hanya susuk ini ia menjadi penamat bagi utusan Allah di muka bumi ini. Bermakna cukup dengan Baginda sehingga ke Hari Kiamat itulah susuk yang bakal menunjuk jalan bagi seisi alam ini menuju sejahtera kembalinya kehidupan kepada yang Maha Pencipta. Jalan Baginda menjadi susulan akan ahlinya, sahabatnya dan salafussoleh dan akhirnya menjadi denai untuk dijejaki kita, selaku umat akhir zaman yang telah ditinggalkan lebih 1400 tahun yang lalu. Namun lebih dari itu pesanannya, ditinggalkan juga al-Quran umpama matahari melalui siang hari dan Sunnahnya umpama purnama berteman bebintang menyinari malamnya Sang Kembara di dunia sementara. Diperlihatkan  itulah ketelitian dan kehalusan Mahacipta, Allah! Raja Pengatur seisi alam. Lantas hatiku bernukilan sekehendaknya.
***Assalamualaika Ya Rasulullah. Assalamualaika ya Nabiallah, Assalamualaika ya Habiballah (mengulang-ngulang). Aku antara kalangan umatmu. Akulah si kerdil lagi tak punya apa-apa  ya Rasulullah. Namun sudah sampai kepada pengetahuanku dan lagi yakin bahawa engkau itu utusan Allah yang menunjuk jalan yang lurus lagi membawa tidak lain hanya kebenaran. Kebenaran suatu jalan bagi kembali menuju kepada Allah. Izinkan aku ya Rasulullah mempelajari jalanmu. Syafaatkan aku untuk diberi hikmah mengikuti jalanmu. Syafaatkan aku moga-moga aku dapat melihat wajahmu. Wajah kekasih Pencipta sekalian alam. Wajah pemegang kunci syurga di alam kekal. Wajah yang selalu tidak lekang dengan kebimbangan akan umat yang ditinggalkannya. Wajahmu yang digambar lebih indah dari purnama mekar di langit malam. Jasadmu yang dimulia dan diberkati Maha Pencipta. Engkau dikatakan pernah mengkhabarkan bahawa seseorang itu akan  bersama dengan yang dicintai. Pasti engkau berkata benar wahai Rasulullah. Syafaatkan aku semoga aku dapat berada di antara mereka yang hatinya bernafas dengan kalimah Allah serta denyut nadi kasihkanmu ya  Rasulullah.
Merindu dan menyinta pada yang afdal dirindu dan dicinta, mengingat pada yang menjauhi kelalaian, penyebut yang mampu meresapi pada asma' Allah yang Agung dan bersolawat padamu dan ahlimu dalam asyik rindu mendalam wahai Rasulullah. Kehidupan dunia ini ada kalanya serasa melelahkan ya Rasulullah, namun aku tahu dan doakan aku dapat menyerberang jambatan dunia ini menuju alam akhirat kekal lagi abadi. Doakan aku selamat mengharungi dan melepasinya. Begitu mohon kau syafaatkan ahli keluargaku, saudara-maraku, sahabat-handaiku dan muslimin-muslimat keseluruhannya. Mudah-mudahan mereka mendapat kebaikan. Sesungguhnya 'putik  cinta' dalam merinduimu wahai Rasulullah amat begitu berharga. Tidak rela dan jauh dari redha aku ia ditukar dengan apa pun.  Mesti saja cinta dan rinduku tidak sehebat mereka yang mendahuluiku, namun aku ibaratnya anak yang 'belajar bertatih'. Walau jatuh, walau sakit mahu pun terluka....aku pohon Allah memberi aku daya dan kudrat untuk bangkit dan bertatih terus-terusan sehingga betul-betul  teguh langkah sampai pada 'tujuan'. Cita-cita menatap wajahmu yang dimuliakan dan untuk sampai kepada menghadap wajah Allah bagi insan sekerdil dan selemah aku entahkan kesampaian ya Rasulullah.
Bimbang teramat dalam ya Rasulullah, andai dalam hajat, yang menghampir adalah bahang api neraka. Waliazubillah. Mohon Allah lindungi aku ya Rasulullah. Mohon kau mendoakan aku ya Rasulullah supaya tidak termasuk dalam golongan yang sedemikian. Disapa bahang api neraka dan berkesudahan di dalamnya tentu amatlah buruk untuk satu kesudahan yang kekal ya Rasulullah. Sejahat mana seseorang itu, pasti syurga juga dambaan akhirnya. Hanya Allah yang layak mensucikan sesiapa yang dikehendakiNya. Selain syafaatmu itu menjadi harapan besar bagiku ya Rasulullah. Namun yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang. Aku mahu mula merasai kemanisannya. Mahu rasai erti gula dalam minuman. Erti garam dalam masakan. Selama ini aku cuma minum yang tawar-tawar. Makannya yang hambar-hambar. Sekarang aku mahu tahu dan hayati kemanisan. Mahu hayati kelengkapan rasa masakan.  Harap ini bukan hanya ilusi dan mainan rasa dan kata semata-mata. Minta kau mohonkan pada Allah semoga cinta dan rinduku ini membawa aku kepadamu dalam keadaan Allah meredhaiku dan engkau menerimaku. Andai tidak wahai Rasulullah nescaya terbakar hangus jiwaku ya Rasulullah. Jasad ku menjadi abu dan terbang dibawa angin sepertinya ya Rasulullah. Aku tahu engkau mendengar, walau hanya dari kejauhan dan sayup-sayup suara insan kerdil, lemah dan tak punya apa ini ya Rasulullah. Apa mungkin engkau sedang tersenyum melihat aku dalam 'keadaan ini'. Namun aku merasakan ketenangan. Walau mata basah membengkak dan hidung sebu berair. Ini sungguh terapi yang  melegakan aku dan membuatkan darahku mengalir sebaiknya. Mencintaimu dan merinduimu adalah perkara yang terbaik dapat aku temui dalam hidup ini. Ini kerana sesungguhnya aku mengharap untuk sesuatu yang lebih besar dari itu dari Maha Pencipta yang telah menurunkan janjiNya.......
Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai aku, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. ----Al- Imran: 31
Wahai Rasulullah, hanya engkau jalan terbaik untuk aku sampai kepada Tuhanku.......
Adakalanya ya Rasulullah, dalam lemah ingatanku padamu, dalam tangan menguli bijian tasbih lafaz solawat ke atasmu, hati merasakan kedekatan denganmu.  Lantas dengan kelemahan aku, aku gambarkan akan betapa beruntungnya andai aku engkau ada di masa ini, atau aku pergi ke zamanmu ya Rasulullah. Aku sedaya upayaku akan berusaha untuk mendekatimu. Aku bayangkan kesanggupanku untuk melakukan apa sahaja usaha dan pekerjaan untuk senantiasa berada dekat denganmu. Sebagai orang gaji saja aku sanggup (walau aku bukan surirumah terbaik). Sebagai pemandumu aku sanggup (walau aku tidak cekap dengan jalan-jalan di atas mukabumi ini). Namun siapalah aku ya Rasulullah. Hanya seorang dari insan dikalangan umatmu yang begitu jauh dari jangkawaktu hayatmu begitupun amat jauh dari kesempurnaan  dengan sunnah-sunnahmu. Apa masih bisakah aku mendekatimu ya Rasulullah? Andai masih ada harapan dan peluang, kau doakan aku ya Rasulullah. Walau jasadmu telah lama bersemadi....namun serasa rohmu itu kekal dan cahayanya dapat mendatangi hati-hati yang mahu kepada Allah azzawajalla. Lantas engkaulah jalan kami. Peninggalanmu dengan pesanan terhadap Al- Quran dan As Sunnah menjadi pusaka yang bertindak sebagai pedang dan perisai untuk kami menentang musuh agama. Pedang Kalmullah itu boleh sahaja tumpul bila tidak diasah sebaiknya. Perisai sunnahmu boleh saja pudar tanpa gilapan dari umat yang telah kau amanahkan dengannya ya Rasulullah. Satiap detik juga syaitan dan nafsu diri itu terus-terusan mengasak diri ini ya Rasulullah. Hanya dengan kerahmatan dari Allah dan doamu serta harapan syafaat darimu yang mampu meloloskan kami dari kedua-duanya dan segala yang menyangkut dengannya. Doakan aku ya Rasulullah...............Aku antara umatmu yang jauh di akhir zaman, yang sering engkau bimbang-bimbangkan................(TAMAT)***
*Terimakasih kepada 'seseorang' atas satu teguran membina. Dia tahu siapa dirinya....

Jumaat, 18 Januari 2013

CATATAN SATU RASA: KASUTKU UNTUK KAKIKU


Alhamdulillah...  ya Allah, aku panjatkan padaMu, selaku pengatur segala perkara. Takkan berlaku sesuatu tanpa kalam Kun Fayakun dariMu. Takkan terlaksana sesuatu hajat tanpa izin kata makbul dariMu. Hari ini aku diberi sedikit rasa gembira. Aku telah selamat menghadiri Bengkel Penulisan Dakwah Muslimah anjuran K-Fiqh. Jiwa terasa sedikit berperisa. Hari terasa lebih bermakna. Maklum untuk seorang yang 'status' seperti aku, ya seperti aku!, Tak ada apa menjadi punyaku. Hanya 'rasa itu' aku yang tahu. Rasa seperti inilah antara cara baik berhujung minggu lewat usia seperti aku. Balik mengutip yang terasa ada keciciran.

Pepatah Barat....To know someone feeling is to be in his or her shoes. Apa benar? Aku mahu lihat sepintas lalu. Untukku....Kasutku, saizku. Walau saiz aku mungkin sama dengan yang orang lain, namun kasut itu sahaja dapat mengenal kaki yang di sarung ke dalamnya. Lain orang lain kakinya, lain bentuknya. Memilih kasut sahaja tidak cuma hanya melihat pada saiznya. Perlu pula dilihat 'cutting' kasut dalam pilihan. Tidak semua saiz sama 'cutting' antara satu 'design' ke satu 'design' yang berbeza. Jadi, andai seseorang cuba memakai kasutku atau sebaliknya aku menyarung kasut orang lain, ada beberapa kebarangkalian. Boleh jadi longgar atau ketat. Andai pun rasa sepertinya muat, nescaya belum tentu ada 'keselesaan'. Biasanya selesa itu hanya pada yang biasa-biasa. Rutin. 'Rigid.' Namun setiap ada sisi terang, pasti tak tertinggal sisi gelapnya. Ini lumrah alam. Yin dan Yang. Rutin dan 'rigid' menjadikan selesa, lantas keselesaan berlebihan yang berlarutan ibarat bumi yang statik dan langit hanya kelabu mencipta tempurung 'comfort zone'. Zon ini adakalanya tak ternafi mampu melemaskan....Manusia!!! Tak pernah puas. Fitrah manusiawi. Mahunya selagi boleh. Apa begitukah aku? Hanya aku tahu........

Untuk memilih kasut sahaja berbalik pada bagaimana penciptaan kaki seseorang itu asalnya. Ada kaki yang melebar, kaki memanjang, kaki berjejari besar-besar pendek-pendek atau halus-halus panjang-panjang. Wah! Itu ragam manusia hanya pada kaki dan saiznya memilih kasut. Begitu juga akhirannya diterjah soal, "Kaki itu siapa yang membuat acunya?".....Tidak lari ke mana-mana aku, bertemu saja 'Maha Mencipta yang Membentuk dengan penuh kesempurnaan menurut apa perlunya untuk barang cipta tidak menurut mahunya barang ciptanya.' Allah! Maha Halus Engkau. Pencipta Makhluk dan Pengatur segala urusan dengan penuh teliti lagi halus. Aku redha dengan penciptaan bentuk kakiku. Kaki tidak silap. Menyalahkan bentuk kaki hanya seperti berunsur melawan Pencipta. Itu ada sabit perkara Tauhid. Mahu bermain-main??? Usah dimula. Bimbang menjebak kesasaran. Cuma mungkin aku amat perlu pergi kepada tahap menempah kasut untuk lebih keselesaan dan tidak hanya membeli apa yang ada di pasaran. Boleh begitu? In Sya Allah. La hawla wala quwwataillabillah.

Ya Rabb, bersyukur aku atas kehidupan@kaki yang kau kurniakan padaku. Namun, izin aku memperbaiki diriku (mendapatkan usaha untuk sepasang kasut yang lebih baik) kerana terlalu banyak kelemahan dan pengabaian yang telah aku lakukan. Utamanya hakMu ke atasku. Pimpin dan tunjukki aku, semoga masih ada kesempatan dan sinar menunggu aku di penghujung masaku di dunia dalam hitungMu untuk akhirat......

Catatan Rasa: 18/01/2013 ending@11.46pm.
(kesiankan blog dah > 1 bulan terabai....maaf blog!).

Selasa, 11 Disember 2012

PEREMPUAN NAN BERCINTA KARYA DR FAISAL TEHRANI

(Ini adalah sebuah entri yang tertangguh cetakannya)

Kesekian tempohnya Perempuan Nan Bercinta milik saya beratur tegak di rak buku, maka dengan ketetapanNya, baru saja mampu menelaahnya. Walau sebelum ini pernah mulai membaca, namun terasa tiada kesungguhan. Lantas,  pembacaan 'tanpa jiwa' itu terhenti begitu sahaja. Tanpa mengingat di mana matinyanya bacaan tersebut.
 
Gambar pinjam
Hakikatnya membaca ini memang perlu dengan jiwanya sekali. Bagaimana menghadirkannya? Oh! Itu kena rujuk sikit maksud pada motif membaca. "Rabbizidni i'lman warzuqnilfahman" bermaksud, Wahai Tuhanku, kurniakanlah daku ilmu dan rezeki kefahaman.Terkait waktu zaman belajar saya terdorong mengamalkan beberapa doa-doa sebelum belajar. Antaranya seperti biasa "Rabbishari sodri wayssirliamri wahlul'uqdatammillisani yafqahu qawli" dan bersambung dengan "Allahummaftaha'laina hikmataka wansyuralaina minkhazaini rahmatikaya arhamarrahmin" Tidak cukup dengan itu disambung pula dengan "Fafahamnaha Sulaimaana wakullanataina hukmaw wal'ilma wasakhharna ma'aDaauudal jibalayusaabih nawattaira wakunnafaa'iliin.Ya hayyu Ya Qayyum mu ya Rabba Musaa wa Haarun na warabba Ibraahiim ma wa yarabba Muhammadin s.a.w ma waalaihimajmaiin. Allahummarzuqnil fahma, wal'ilma, wal hikmata, wala'qla birahmatika yaarhamarrahimin"(ini panjang sikit. Namun ia ternyata menambah inspirasi - kena tahu terjemahannya dan masukkan ke hati).
Untuk  itu, walau tanpa didikan formal untuk bahasa Arab, kita masih mampu menanggap sekali lalu maksud keseluruhannya doa tersebut. Satu bahagian jelas kita memuja muji Allah, kemudian jika boleh dikata umpama bertawassul* dengan utusan-utusan Allah sehingga akhirnya menyimpulkan permintaan kita kepada Allah. Lihat saja perkataan fahma(faham), 'ilma(ilmu), hikmata(hikmah), a'qla(akal). Kesemua itu diikat dalam satu bunjut  dengan memohon agar Allah merahmatinya untuk si pembaca. Nah! Pada siapa lagi selayaknya kita meminta? Bukan pada yang lain, ternyata hanya pada Allah. Biasanya selaku remaja pada jalur persekolahan yang menumpu lebih pada  akedemiknya, kerja hafal menghafal ayat dan doa seolahnya kelihatan hanya khusus untuk para Hafiz dan Hafizah. Ada baiknya, tanpa paksaan(pasti didahului dengan pendedahan dari para Ustaz dan Ustazah dan guru-guru yang ingat dan mengingati), demi satu pergantungan pada yang tiada lain hanya Dia, dengan rasa sedar dan rela hati  kita perlu berusaha terus menghafal dan cuba mengamal doa-doa yang diperlukan. Hanyasanya  hati terbit rasa percaya dan yakin sebab rasa dan tahu kita menjadi lebih tersusun. Walau boleh saja doa dalam Bahasa Melayu.  Kesannya, walau 'dasar kesedaran spiritual menjurus pada keagamaan' tidaklah begitu hebat, namun 'dorongan' penyerahan pada Ilahi itu 'vital' untuk suatu kemampuan demi mencari ilmu In Sya Allah akan didatangkan kemudahan dan kefahaman  dan dengan harapan akan mendapat bimbingan dari Allah.
"Orang kafir tak baca doa 'macam kita' pun pandai juga, bahkan nampak menonjol dari segenap sudut dari kita". Persoalannya kita adalah Muslim. Sebaliknya diketahui agama-agama lain juga ada cara dan gaya masing-masing dalam menyembah dan bermohon demi hajat masing-masing. Tak payahlah pula nak semak kepala apakah doa mereka lebih baik nescaya mereka lebih berjaya dan seterusnya.........Jadi, pentingnya adalah  berbaliklah kita pada diri kita seadanya fitrah mukmin. Mereka dengan agama mereka dan kita tetaplah pula dengan agama kita. Merenung dalam diri kita. Kita mungkin kelihatan sihat tubuh badan dan sempurna akal fikiran, namun belum tentu mampu menguis lalat bertenggek atas hidung bila tiada izinNya. Lihat sahaja pada seorang jejaka yang kacak namun bisu. Mungkin dari segi kedoktorannya mengatakan begitu dan begini. Dari segi hakikatnya ia adalah kerana Allah mengkehendaki begitu jadinya. Ketetapan, penentuan, penyusunan, perancangan sebut apa sahaja istilah, ia milik Allah.  Termaktub dalam Qada' dan Qadar. Tersebut juga bahawa doa itu senjata dan mampu mengubah sesuatu keadaan kepada sesuatu keadaan yang lain. Jadi usah terkejut pula jika Allah mahu memberi suara pada sibisu. Jadi segala doa dan amalan doa itu tidak lain adalah untuk meletakkan selayaknya diri kita sebagai ciptaan kepada yang Mencipta. Sebagai hamba kepada Tuan. Hamba yang memohon dan menyerahkan pula pula bulat-bulat keputusan permohonan itu kembali kepada Tuannya dan menerima sahaja apa hasil permohonan tanpa sebarang persoalan terhadap hasil. Permohonan itu wajar berterusan dan tanpa jemu. Janji Allah, setiap doa itu akan dipenuhi. Cuma bila dan di mana, bukan persoalan manusia. Itu definasi doa. Jadi nyata doa itu 'senjata rohaniah' yang berkuasa.
Wow!......Dah berapa kilometer berlari. Mengah dengan omongan perihal doa. Balik pada Perempuan Nan Bercinta. Semuanya ada 30bab. Saya benar-benar mengambil masa saya. Sikit hari nak 2 minggu menyudahkannya. Lama tuu.... Tidak berniat nak beri sinopsis, sekadar mencoret serba sedikit dari hasil pembacaan dan sedikit pandangan. Ternyata novel ini membawa bersama-samanya isu yang dapat dilihat berat pada kita. Bermula dengan watak Idora, wanita yang mempercayai bahawa dirinya nyata sibuk memperjuangkan 'hak asasi' kaum sejenisnya. Seorang wanita asal Melayu mengaku femenis  dan masih kekal Melayunya namun semacam telah terhakis darinya 'akar penting' dari Melayunya itu, iaitu Islam itu sendiri. Bagaimana Idora ini begitu terasing dan berseorangan dengan perjuangannya bila dibandingkan dengan ahli keluarganya yang lain. Idora hanyut dengan organisasinya, Modest Women Oriental (MWO). Perjuangannya nyata menjurangi dirinya dari Nenda, Bonda, terutama adiknya Zanjabila. Dari segi pegangan dan nilai. Idora memilih jalan sendiri. Atas sebab-sebab tertentu. Begitu di tambah dengan kehadiran iparnya Hashemi. Zanjabila adik Idora  menjadi 'contrast' dari banyak segi dibanding Idora. 'Contrast' itu diperkukuh dengan kehadiran Hashemi. Pada satu tahap dilihat watak Idora terlihat terkebelakang dari Zanjabila dan Hashemi(bemula dengan tumbangnya Idora(sakit) dipentas persidangan dan debat antarabangsa). Namun itu berlaku kerana untuk memuat naik unsur-unsur pendedahan yang saya kira dapat dilihat sebagai cabang-cabang  ilmu, pemikiran-pemikiran serta saranan-saranan diandaikan bertujuan membuat pembaca berfikir, selain mungkin mahu mendedahkan sesuatu atau mendidik pada para pembaca. Watak penting Dr. Ali Taqi menjadi teras kepada keseluruhan bahagian tersebut. Ini jelas bila dia yang bertanggungjawab menjawab kemusykilan dan kekaburan Hashemi mahupun Bastian. Oh! Bastian pula adalah watak lelaki bermata hijau yang berjaya membangkitkan Hawa si Idora. Dari situ juga saya kira bangkitnya Perempuan Nan Bercinta.
Karya sastera yang tiada niat dan 'tujuan sedemikian' wajar kita kategorikan sebagai rongak, rompong, kosong, lompong lagi sia-sia. Itu juga pernah  saya baca dari pandangan pengarang sama sebelumnya. Ya! pada bacaan yang lain. Itu saya setujui, peribadi dari saya. Jadi betapa penting bagi pembaca memilih bahan bacaan yang tidak sia-sia sekaligus menjadi terbuka minda, mula berfikir, mencari tahu, mencari benar dengan kefahaman selepas proses bacaan. Walau bacaan itu sebagai hobi di masa senggang. Novel ini terasa 'sarat' dengan 'kandungan'. Banyak yang cuba disampaikan. Tak terlepas dengan kata nama Sunni dan Syiah(Syiah mencederakan diri dijawab ringkas dari perbualan Ali Taqi dan isteri-seingatnya) begitu Wahabi dan Salafi, tak hairan ia tetap ada kontroversi hingga terdengar satu ketika ada yang mahu ia diharamkan. Ada diselak tabir kepada idea-idea yang memperlihatkan sanjungan untuk Ahlul bait. Namun saya lihat itu juga antara 'kelainan' karya Dr. Faisal Tehrani. Ia jelas dan lebih 'affirmitive' dalam Perempuan Nan Bercinta ini. Timbul soal di mana salahnya menyanjung Ahlul bait? Maaf saya tiada jawapan. Mungkin itu boleh menjadi persoalan bagi setiap pembaca. Setakat ini, dalam novel ini, tak nampak apa yang terlebih di mana-mana(atau sememang saya memang tak perasan dan kurang faham erti terlebih atau tak mencari-cari ruang untuk perasan keterlebihan si pengarang). Jadi tidaklah jelas  saya apa yang jadi sebab kontroversi pada novel tersebut. Atau mungkinkah saya cuma nampak apa yang saya mahu lihat. Aku saya, novel ini berbaloi dibaca. Susunan gaya bahasa dan keberkaitannya nampak selesa. Saya dapat merasa anjakan minda di sana sini dengan bacaan saya. Tetap ada pengisian dan terlihat bagaimana pengarang berusaha memahamkan pembaca menurut hala, sisi dan sudut pandangnya berkenaan 'mesej' yang mahu disampaikan. Kebebasan bermazhab ada disentuh didalamnya. Sekali lagi ia bukan persoalan untuk dijawab berseorangan, melainkan ia persoalan untuk setiap individu memikir dan menilai. Selain ia melibatkan pihak yang lebih sekadar orang biasa. Saya suka melihat ia sebagai naskah dengan 'mesej terbuka'. Bermakna penilaiannya terpulang juga pada sudut mana pembaca mencungkil dan menilainya.
Ada perenggan-perenggan yang membuat saya rasa tersentak juga membacanya. Tak percaya??? Ambil satu kisah perihal seolah ada 'pertikaian yang wujud tentang hadis' yang mengatakan tentang kebangkitan Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Aisyah yang mengaitkan dengan turunnya wahyu pertama iaitu Iqra'. Peristiwa di Gua Hira'. Walau terkejal sedikit sewaktu melalui pembacaan tersebut, namun pertikaian itu disertakan sekali bersama hujjahnya. Selaku pembaca, saya hanya terus membaca. Usaha memahami dengan akal biasa saya. Setakat itu. Andai ada diluar sana yang merasa perlu menjelaskan dengan lebih lanjut atau mencerahkan apa yang terlihat kabur  dan khuatir ia mengaburi pembaca novel ini, silalah jelaskan. Penjelasan demi manfaat bersama. Mungkin perlu ditampilkan hujjah untuk memperbetulkan andai ada apa-apa silap dengan novel ini. Walau bagaimana pun saya sering menyedarkan diri bahawa saya sedang membaca naskah karya sastera. Bukan naskah doktrin ideologi atau lainnya. Usah taksub. Mana-mana baik diambil. Meragukan ditinggal. Jika ada yang keliru mungkin baik ditanyakan pada yang arif. Apa pun pastinya buku sebegini lebih baik dari majalah-majalah hiburan atau apa sahaja yang melalaikan. Membawa pembaca berfikir, mencari tahu dan berusaha mencari yang benar dan sebaliknya. Buku ini juga terdapat terjemahan-terjemahan ayat al-Quran dan juga Hadis yang menjadi pasak hujjah dari Dr Taqi Ali. Jadi saya nampak, ia masih dalam aqidah Islamiah. Persoalan Mazhab itu cerita kedua. Apa yang nyata dalam kisah ini si Perempuan Nan Bercinta itu menjumpai cintanya didunia dan lebih dari itu menjumpai Pemilik Cinta dan Kecintaan yang abadi dari pintu hidayah dan Kasih Sayang Ilahi. Keajaiban telah terjadi dalam hidupnya. Ia kerana Rahman dan Rahimnya yang Maha Esa. Membaca terus membaca. Dengar cerita penulis ini bakal tampil dengan Manusia Tuhan. Novel baru.
Kisah Idora yang bagai mati hidup semula dan berkesempatan merai cinta indah di dunia bersama kekasih hatinya Bastian memang sempurna dinovelkan. Sukarkah mencari cinta luhur dunia yang membawa ke akhirat??? Juga antara persoalan untuk semua yang mahu dan sedang dalam cinta.
*Rujuk m/s 19 Akidah Muslimin susunan Ustaz Hj. Ahmad Hafiz Hj. Mohd Alwi al-Bakaniyy

Isnin, 3 Disember 2012

AMALAN SIHIR DALAM MASYARAKAT


Berbicara perihal SIHIR, sepintas lalu sepertinya ia melawan arus@tak sesuai untuk sebuah zaman serba berteknologi tinggi dan canggih dengan gaya hidup serba moden yang dikecapi dunia masa kini. Hakikatnya sihir tetap menjadi suatu gajet popular sebagai amalan kebanyakan manusia yang dasarnya telah secara sedar atau tidak telah tergugat keyakinan diri dan tergoncang iman dalam jiwa dan nyata berpaksikan nafsu. Bahkan 'upgrade' SIHIR juga berterusan. Mungkin ini teknologi Iblis dan sekutunya. SIHIR menjadi alat kerana percaya bahawa ia jalan cepat lagi singkat untuk mencapai keinginan dan hajat hati. Lantas melepaskan kebenaran bahawa bersama-sama sihir itu sebenarnya adalah kehadiran mahluk-makhluk yang dipanggil  jin dan syaitan berperanan dalam apa-apa usaha yang dibuat. Ia sebagai melunaskan janji iblis untuk menyesatkan anak Adam, sejurus dihalau dari syurga.  Jika disebut SIHIR, usahlah memandai-mandai kita mengkategorikan adanya sihir baik dan sihir jahat. Kesimpulannya ia menghalakan manusia ke arah kesesatan dan syirik kerana unsur bergantung kepada lain, selain Allah s.w.t selaku Pencipta dan Pengatur alam semesta.
Sejarah membuktikan bahawa Rasulullah s..a.w juga pernah terkena ilmu sihir dari seorang Yahudi. Sihir tersebut dikatakan menjadikan Baginda seperti seakan-akan lupa akan apa yang diperbuatnya. Lebih lagi ia berkaitan dengan isterinya Aisyah r.a. Baginda jadi ragu-ragu apakah ia telah atau tidak 'bersama' dengan Aisyah. Sihir itu didatangkan dengan menggunakan rambut Rasulullah pada sikat. Dari situ dapatlah disimpulkan ia bertujuan untuk mendatangkan onar ke atas diri dan rumahtangga Rasulullah khususnya. Untuk ini suka merujuk sedikit pada ayat Al-Baqarah 102 bermaksud, "Mereka (membelakangkan Kitab) Allah dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir dengan amalan sihirnya; kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil(Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat samasekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun (melainkan dengan izin Allah)*. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui."
 
Ya! Lihat itu sejarah sihir dalam mempermainkan akal waras sehingga diperkotak-katikkan sedemikian rupa. Bahkan akal seorang Rasul. Namun Allah telah menyusun hikmahnya, tiada lain untuk dikecapi oleh umat Rasul itu sendiri. Ini membuktikan bahawa Rasul junjungan mulia kita itu memang manusia biasa yang tidak terlepas dari rencah kehidupan seorang   insan. Selain itu peristiwa itu juga membawa bersama-sama caratindak, iaitu bagaimana untuk mendinding dan merawat diri dari sihir tersebut. Begitu Allah, dengan ilmunya yang Maha luas menyusun sesuatu melalui perantara Rasulnya demi kemashlahatan hambanya. Jadi selayaknya kita menjadi lebih bersyukur padaNya dan meningkatkan rasa kasih sayang dan penghargaan pada Rasul junjungan mulia.  Untuk Rasul, diutus malaikat menjadi utusan merubat sihir yang dikenakan. Masakan Allah membiarkan utusanNya menderita sedemikian. Lebih lagi kekasihNya.
Bagi manusia biasa, tiadalah lain caranya kita hanya bergantung pada carakerja yang telah dicetuskan oleh sejarah tersebut juga dalam mengatasi masalah sihir yang mendatang. Jelasnya, ia berasaskan sumber mukjizat tinggalan Rasulullah s.a.w iaitu Al Quran. Syaratnya ialah kita tidak boleh memandang dan melihat al-Quran itu semata-mata susunan ayat-ayat dari huruf-huruf Hijaiyah yang berbaris. Ia lebih dari itu. Membaca, mencari makna, mencari maksud dan usaha memahami tujuan sesuatu ayat, mampu menemukan kita dengan 'mutiara-mutiara' yang bakal mengubati penyakit-penyakit rohani dan mahupun jasmani. Sebelum meneguk atau menelan ubat-ubatan tersebut perlulah dengan penuh rendah hati dan diri mengingati kepada Pencipta Alam dan segala yang wujud bersama alam baik dari segi kebaikan yang ada mahupun permasalahan yang timbul didalamnya. Zahirkan keyakinan yang mantap bahawa kesembuhan itu hanya hakNya. Hamba hanya berhak memohon dan meminta hatta mengemis padaNya. Semua itu menjadi dasar pengubatan berteraskan Al-Quran dan sunnah. Kedua-dua tersebut dijamin menjadi sumber pemulihan, pembaikan,  keteguhan, kemantapan hidup manusia dunia dan akhirat. Al-Quran jugalah selaku peguambela kita di akhirat. In Sya Allah menjadi penyelamat dari kebejatan alam kubur seterusnya alam akhirat.
Bicara ini tercetus bila saya mengenangkan beberapa kisah yang agak dekat berkenaan sihir. Tidak terkejut sihir ini mampu 'melumpuhkan' kehidupan seseorang selain ada yang mampu meragut (dengan izin Allahs.w.t). Penyakit kanser yang sebelum ini secara tulinnya kita percayai dan kenali sebagai penyakit hospital juga mampu didatangkan dengan sihir(sebelum berkesimpulan begini perlulah jalani tahap-tahap pemeriksaan dan membuat perbandingan dari sudut-sudut perubatan dan pengubatan moden dan alternatif). Bayangkan jika hanya kerana menolak lamaran seseorang dan berkahwin dengan pilihan hati, seseorang itu disihir dan dikerjakan secara halus selama bertahun-tahun sehingga menyekat dari mendapat zuriat dan seterusnya setelah berpuluh tahun dikesan dengan penyakit kanser. Walau asalnya tidak menyangka langsung kanser tersebut adalah natijah dari sihir. Logiknya ialah, sihir@jin yang didatangkan sipenyihir mampu meresap ke dalam salur darah dan merosakbinasakan tubuhbadan dari dalam. Ini kemungkinan dengan menyekat pengaliran darah di sana sini atau sebagainya. Terpaksa pula menjalani pembedahan membuang bahagian antara yang tersayang atau terindah yang dijangkiti. Tiada jaminan penyakit akan sembuh. Cuma rawatan demi rawatan moden dan alternatif selain doa yang menjadi rutin kehidupan.
 
Namun setiap kejadian ada hikmah. Bila tuan punya badan sendiri menyatakan sedemikian dan betapa dia mampu mendekatkan diri dengan Allah atas sebab penyakit yang menyinggah, saya kagum dengan semangat dan daya juangnya. Menyimpul segala yang berlaku sebagai titik tolak untuk lebih mudah menjalani hidup yang menjurus kepada meraih perhatian dan kasih sayang Allah pada satu peringkat. Kasihan dan simpati saya padanya entahkan umpama satu titik kecil dibandingkan dengan kasih sayang Allah padanya. Puluhan tahun(semenjak mendirikan rumahtangga) menderita secara sedar dan tidak kerana gangguan sihir. Menjalani hidup yang serba cukup dan limpahan rezeki dari sudut kewangan, namun tiada zuriat sebagai pelengkap rumahtangga. Kemudian ditambah dengan penyakit yang menjadi ketakutan pada manusia. Kisah sebegini mengundang pelbagai rasa dalam jiwa. Betapa manusia itu, sebahagiannya mudah lupa pada asal diri dan cuba mengatasi Penciptanya dengan bersekongkol pula sesama makhluk sesat dan bersekutu dengan Iblis laknatullah. Semoga terjauh dari kesesatan sedemikian dan dilindungi kita dengan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t.
 
*Rujuk Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran.

Jumaat, 26 Oktober 2012

MENGUCUP HAJARULASWAD (2)


Inilah sambungan kisah saya dan kenangan Hajarulaswad. Sebelum meneruskannya, mahulah saya membetulkan kesilapan fakta yang telah berlaku sewaktu entri lalu. Umrah saya satu-satu kalinya adalah pada March/April 2012 awal tahun ini juga. Saya telah menaipnya sebagai 2010. Memang sebenarnya saya merasa seperti dah 2 ke tiga tahun dari perjalanan tersebut. Rasa lama sudah. Padahal bila dilihat semula. Tak sampai lagi setahun. Memang tak sedar masa menaipnya sampai silap. Hakikatnya memang rindu mahu ke sana lagi. Memang itu barokah Tanah suci. Hati-hati muslimin dan muslimat senantiasa mahu ke sana. Bukan pula bermakna kita melebihkan hanya semata-mata tanah di sana, atau bangunan Kaabah itu sendiri atau apa sahaja yang diberitakan sebagai tempat mustajab. Sebaliknya ia adalah penyembahan kita kepada yang mencipta yang mendatangkan kesemua tersebut kepada kita. (Di 'sana' aura itu jadi lebih dari biasa. )Itulah Allah, Pencipta sekalian alam. Semua 'keistimewaan di Mekah' itu hanyalah manifestasi kekuasaan Allah pada setiap ciptaanNya. Tinggal lagi di Tanah Suci itu ia lebih ketara.
Kembali pada kisah Hajarulaswad. Ternyata cubaan pertama saya bersama teman sebilik yang telah cuba dibantu oleh seorang wanita yang menawarkan khidmat mengiring untuk mendapatkan sentuhan Hajarulaswad tidak kesampaian. Ia menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupa. Bila tidak berjaya. Kami kembali ke garisan awal untuk meneruskan tawaf sunat. Kami sepakat mengulang dari awal. Tak mahu sambung-sambung. Puaskan hati sebegitu. Maka kami sudahkan tawaf bersama-sama hingga selesai semuanya. Setelah selesai, kembali ke ruang solat untuk mengambil ruang. Kami selesaikan tunggu sambil mengulit al Quran. Selesai Asar dan kembali ke hotel. Seterusnya Maghrib dan Isyak saya bersendirian ke Masjid. Begitulah hari itu. Hari ke dua dengan cubaan yang tidak berhasil walau untuk menyentuh Hajarulaswad. Namun saya tidak pula meletakkan terkilan atau apa-apa perasaan, selain merasa tiada rezeki dan izin Allah untuk semua itu.
Selanjutnya hari  ke-3 kami keluar untuk untuk sedikit ziarah dan sekaligus mengambil miqat di Tana'im untuk umrah ke-2. Ternyata umrah ke-2 ini penting untuk saya. Antara diri dan Pencipta. Ia merupakan nazar. Sewaktu dalam bas, telah diberitahu bahawa kami boleh mengikut mutawwif andai mahu. Bagi yang mahu bersendiri melaksanakannya dibebaskan sedemikian. Maka dek kerana saya telah melalui satu pengalaman pada umrah awal saya pada hari pertama, jadi saya jadi yakin mahu melaksanakan sendiri. Waktu itu tumpuan utama adalah umrah dan mahu ia lebih baik dari yang awal. Tawaf itu sebenarnya bukanlah hanya pusing-pusingan. Setiap pusingan yang disertakan dengan bacaan-bacaan tertentu ternyata ada hikmah tersendiri. Namun bukan juga bacaan itu menjadi bebanan pada jemaah. Sebaliknya kita boleh sahaja mempelbagaikan bacaan menurut sesuatu yang tidak membebankan kita selagi bacaan itu merupakan sebahagian ayat-ayat Allah mahupun doa ataupun hanya sekadar zikir-zikir yang biasa menjadi amalan. Ternyata Islam itu bukan membebankan. Hanya sahaja tawaf itu tidak wajar 'kosong' dan 'lompong' tanpa ingatan dan mengenang rahman, rahim dan kekuasaan Allah. Setiap kali tawaf perasaan seolah automatik menjadi sayu. Mengelilingi Kaabah itu memang umpama 'recharge' terbaik di situ. Waktu itu macam merasa segala yang tidak patut dan wajar dari dalam kita keluar dari tapak kaki dan masuk pula kebaikan dari atas kepala mengisi tempat. Memandang Kaabah dengan rasa, apakah dapat akan kita memandang Penciptanya. Mampukah kita dan berpeluangkah kita untuk sesuatu yang 'klimaks' seperti itu di suatu titik kehidupan abadi di alam kekal dan tiada lagi akhirannya. Bertawaf dengan melihat langit terus dari ruang tawaf. Jika siang ia membiru terang. Jika malam, suasana tetap cerah dengan lampu berkemilau, walau langit kelihatan sedikit rehat. Ternyata mata tidak mampu menahan bebanan rasa. Ia mudah pecah.
 
Berbalik pada tawaf umrah ke 2. Saya yang bersendirian hanya memikir tentang jagaan ihram, wuduk  dan penyempurnaan umrah. Apa pun tanpa disangka-sangka tepat saya menghabiskan pusingan 6 dan baru melepasi sedikit dari Hajarulaswad untuk pusingan 7 sekali lagi, tepukan yang sama rasa seperti sebelumnya singgah di belakang saya. 'Pap!  Pap! Pap! Seolah datang dari tangan yang sama seperti sebelum Saya memang jadi amat terkejut. Sama sungguh rasa tepukan itu. Jika dah begitu, macam spontan juga saya telah memaling ke belakang dan tanpa sedar bahu telah pun berkalih arah. Saya sedar sangat Hajarulaswad dalam lebih sedikit sepuluh langkah biasa ke belakang kiri. Jadi saya waktu memaling itu nampak seorang lelaki yang saya jangka kurang umurnya  pangkat adik-adik begitu.  Sama asal dengan wanita sebelumnya. Detik hati, "Apa saja...". "Kak mahu cium Hajarulaswad?", soalnya. Saya yang tiada lain dalam kepala mahu menamatkan pusingan tawaf. Maklum hanya tinggal satu lagi, ada rasa terganggu. Budak lelaki yang berkulit hitam manis berbaju kelabu, berseluar panjang dan bersongkok itu, beriak sama seperti wanita sebelumnya. Menurut bahasa mudah saya. Muka kasihan. Mulanya saya jadi keliru. "Kenapalah pulak ni....sikit lagi aku nak habiskan". Namun saya sempat memikir, apa dua kejadian yang sama ini, ada sesuatu untuk saya. Memikir juga saya amat masih dekat lagi dengan Hajarulaswad(kebelakang dalam 15-20 langkah ke kiri). Jalan memang sesak(saya dalam lingkungan dalam ke arah Kaabah, memang begitulah yang saya puas, rapat-rapat dan langkah kecil-kecil). Pusingan itu juga sudah batal.
Saya katakan pada budak tersebut, saya dalam umrah untuk awaf pusingan ke-7. Dia katakan..."Tapi dah dekat kak...". Saya terus langkah dengan ada rasa sebal sedikit akibat batal tawaf, "Apa ada bayaran atau Lillahita'ala".(Sempat pulak tu. Kononnya tak mahu sangat diambil kesempatan oleh orang lain atas diri saya). Budak itu menjawab,"Semua kerja pasti ada harganya kak...". Dalam serba salah dan sebal yang tinggi kerana dah terbatal pusingan dan lebih keliru kerana bimbang tentang umrah saya dan semua kejadian, disamping saya dah jauh kedepan dari budak tersebut, saya tak nampak jalan mampu ke Hajarulaswad dan terus berjalan mengeleng-ngeleng sambil hanya senyum sebagai tanda,  'Terimakasih sahajalah atas niat nak membawa saya...". Tak semena-mena muncul seorang budak lelaki lagi dari sebelah kiri dan dekat  di sebelah saya. Bersongkok juga dan berbaju putih juga berseluar biasa. Air muka juga sama sebelumnya dan bercakap lembut. Dia menanyakan soalan serupa, "Kak cium Hajarulaswad kak...Kami tolong akak. Kalau akak mahu, kita berempat sama akak. Kami tolong akak. Eh! saya keliru lagi. Kenapa beria-ia diorang ni. Macam-macam dalam kepala. Selain saya pelik mereka ni macam dah pakat-pakat. Budak ke 2 ni muncul entah dari manalah pulak. Saya memang tak pasti.  Tahu-tahu kata mahu menolong juga. Namun saya cuba kawal dari fikir terlebih dan terus fokus pada tawaf dan nak sempurnakan umrah ke 2 saya. Mungkin ini hanya gangguan? Fikir saya.
Lantas sekali lagi saya hanya geleng-geleng dalam penuh keliru dengan perasaan sendiri dan apa perlu saya perbuat waktu itu. Saya terus langkah kecil-kecil dan ternyata Hajarulaswad masih tidak terllau jauh. Saya hanya mahu keluar dari situ dan mengulang pusingan ke 7 untuk menyempurnakan tawaf untuk seterusanya. Nampaknya masih tak sudah lagi. Tanpa sangka-sangka datang pula seorang lagi dari sebelah kanan. Bertubuh kecil dan kurus orangnya, berbaju hijau muda dan berkopiah putih. Ini nampaknya lebih bersemangat dan tegar. Dia seperti buat keputusan untuk saya. Tak tanya-tanya. Tak minta persetujuan dan tak pula bincang harga dan sebagainya. Dia tidak bertanya tapi terus mengajak dan membawa saya. "Mari kak, mari kak. Ikut saya. Akak ikut saya rapat-rapat. Jangan jauh dari saya". Entah apa kerana melihat budak ini terlalu semangat dan beria-ia lagi tegar menghalakan saya ke Hajarulaswad, saya bertukar jadi menurut. Pendek kata. Saya berserah pada Allah. "Mungkin ini dah takdir aku hari ini. Aku ikutkan sahaja. Mungkin ada sesuatu dari semua ini." Budak sebelumnya ada sebut, kita berempat. Saya tahu budak ini mesti ada kena mengena dengan yang sebelum-sebelumnya. Tiba-tiba semangat itu datang dan saya tekad mencuba. Ternyata, saya rasa begitu 'terpanggil' oleh Hajarulaswad. Itu perasaan yang Allah beri saat tersebut. Sempat saya beritahu padanya, saya belum habis tawaf umrah. Dial lantas mengatakan, supaya tidak lupa menyambung dan menyudahkan tawaf. Saya usaha menurut budak ke 3 tersebut. Saya memandang dia sebagai adik saya, memusing beg(berisi bekalan di masjid, buku doa dan beberapa barang lain) yang dikepit dibahu ke depan dan rapat menurut budak tersebut. Ternyata ia tidak mudah. Namun budak lelaki tersebut seperti mudah mencari jalannya. Dia nampak kecil tapi bersemangat dan ternyata tenaganya lebih dari wanita awal yang cuba menawar khidmat ke Hajarulaswad pada saya. Keyakinan saya ada. Saya rasa macam orang berenang(walau tak tahu berenang sebenarnya). Namun ini tidak dalam air. Ini menyeberang pusu-pusuan manusia. Kali ini saya rasa kurang sukar dan makin dekat.
Makin dekat, hati rasa makin berdebar dan jiwa rasa makin kerdil dan terlebih sayu. Bila tinggal dalam tiga langkah, polis yang mengawal dari atas Hajarulaswad itu, yang dari sisi Hajarulaswad, berdiri disebelah kiri atas memandang ke arah saya dan menunjuk-nunjuk tangan pada saya sambil bercakap-cakap dalam bahasa Arab tepat pada saya seolah-olah menyuruh saya berpatah ke belakang. Saya jadi sedar itu kerana kelihatan hanya saya seorang wanita yang ada dikelompok lelaki yang berebut-rebut di situ. Jadi mungkin itu faktor dia jadi seperti kelihatan menghalau saya dari kawasan itu. Lantas, saya hanya memandang ke arahnya tepat sambil berkata dari dalam hati. "Ya Allah, aku telah sedekat ini dengan HajarulaswadMu. Andai ini hariku, Kau izinkan aku. Andai polis ini merasa dia berkuasa ditempatnya, aku yakin kekuasaanMu itu melebihi segala-galanya". Sambil itu mata pecah lagi. Terasa kerdil yang amat. Pergantungan amat bulat. Ternyata polis tersebut kemudian hanya memaling mukanya(setelah dia sedar saya tiada hasrat mahu berundur) Saya hanya fokus supaya jangan sampai terjatuh. Ternyata budak lelaki bertubuh kecil ini mampu memintas giliran dengan meminta dari orang disekitarnya. Dia memang ada bercakap-cakap. Tapi saya tak dengar. Hanya dengar riuh keliling. Sebaik dia menghentikan orang kelilingnya, dia berpusing dan menyuruh saya mengambil giliran. Saat itu, rasa macam tak percaya pun ada. Dia mengajar saya masuk dari bawah lengannya(sebelah kanan) yang telah di kekang dimuka pintu Hajarulaswad tersebut. Saya mengikut katanya.
Alhamdulillah....Itulah masa saya. Sebaik dimasukkan kepala pada ruang tersebut, ternyata seperti masuk dalam satu 'ruang vakum'. Keadaan riuh tadi jadi senyap dan sayup-sayup sahaja. Saya tidak pula menyentuh-nyentuh. Sempat memandang dalam ruang tersebut dan melihat terdapat dua batu yang seperti susunan mata kanan dan kiri dan sebiji lagi sedikit ke bawah seperti ruang mulut. Jadi saya hanya meletakkan anggota saya yang sama pada tempat-tempat tersebut. Dalam hati melafazkan tidak lain hanya rasa syukur. Setakat itu sahaja, dengan hati saya lebih memikir bahawa saya mesti segera keluar dari situ kerana terdapat ramai lagi yang menunggu giliran. Saya tak mahu jadi tak patut. Sudahlah saya masuk dari jalan pintas. Namun tak semena-mena sebaik saya mengangkat kepala ke belakang, terkejut kepala saya ditolak oleh sebelah tangan yang rasanya sasa. Ia menolak ke hadapan semula, seolah menyuruh mencium lagi. Terkejut dan rasa juga..."Eh! Ada main tolak-tolak kepala  pulak. **Apa dengan dua tangan mengekang pintu muka Hajarulaswad itu, sempat adik tersebut menolak kepala saya". Namun andai dia, tangan tersebut rasa lebih besar(tak padan dengan tubuh kecil kurus adik tersebut) dan lebih kepada seperti perlakuan tangan yang menepuk saya dua kali sebelum ini. Entahlah! Allah lebih tahu. Kalau orang diluar berebut-rebut nak ambil giliran. Siapa yang baik hati menolak, seakan tahu saya yang sebenarnya agak tak berapa rasa puas di situ, namun dek  lebih memikir 'que' di belakang yang panjang.** Namun saya terus nampak dan ambil peluang itu sebagai memberi masa lebih saya dengan Hajarulaswad. Saya rapatkan semula wajah dan saya sedar Allah memberi saya lebih peluang untuk berdoa di situ. Jadi dengan penuh rasa kerdil dan lemah, saya 'melaksanakannya' sehingga mata pecah lagi. Ia seolah hanya tinggal 'hati' saya dan Hajarulaswad itu di situ. Jasad saya juga sudah tiada. Macam hilang. Hati saya yang berkata-kata dengan perantara kucupan tersebut. Di situ di dalam ruang itu. Pada Hajarulaswad. Saat itu rasa hampir sungguh dengan Pencipta kita. Saya ternyata hanyut dengan perasaan yang wujud akibat mencium Hajarulaswad tersebut. Memang ia istimewa. Setelah rasa cukup, saya lepaskan diri. Puas? Ya! Saat itu. Tak terkata. Setelah rasa hempas pulas sedemikian. Hanya mata terus-terusan pecah. Sampai rasa kelabu sewaktu berjalan keluar dari situ.
Lantas saya dibimbing keluar dari kawasan tersebut. Adik tersebut menasihatkan saya untuk solat dua rakaat sebagai lafaz syukur. Katanya payah untuk saya sampai ke sana, dan tak ramai wanita dapat sampai ke sana waktu tersebut. Jadi dia nasihatkan saya solat dan kemudian untuk menyambung semula tawaf pusingan 7 untuk menyudahkan proses umrah seterusnya. Sewaktu selepas solat  mereka ebertiga telah sedia menanti disebelah saya. Saya yang masih rasa syahdu, tahu bahawa pertolongan mereka tak boleh saya pandang ringan. Saya dah bersedia membayarnya. Saya tidak wajar pula mempersoal 'keikhlasan' mereka. Sebaliknya saya mesti melihat dalam diri dan mempersoalkan 'ia' pada diri sendiri dahulu. Jadi saya akur. Saya ganjari mereka bertiga selayaknya. Mereka kemudian meninggalkan saya. Mereka mendapat apa yang mereka mahu atas usaha dan sebagai rezeki dari Allah, dan saya mendapat apa yang Allah peruntukkan untuk saya pada hari itu. Saya meneruskan selebihnya hari tersebut dengan perasaan kagum kekuasaan Allah mengatur perjalanan saya di situ. Menunggu sehingga selesai Isya' dan kembali ke hotel sikit lagi 12 malam, waktu di sana.
**.....** Antara perkara yang rasa pelik dan aneh, namun itu tak mampu saya fikir lanjut. Allah lebih tahu.

Jumaat, 19 Oktober 2012

MENGUCUP HAJARULASWAD


Bismillahirrahmanirrahim....
Menyebut tentang HAJARULASWAD, ternyata ada kisah yang tersendiri. Kisah awalnya HAJARULASWAD (batu hitam) itu dipercayai diturunkan oleh Allah dari langit ke atas Jabal Qubais. Di ketika Nabi Ismail sedang mencari-cari batu yang cantik untuk diserah kepada bapanya Nabi Ibrahim untuk dilekatkan kepada Kaabah sebagai 'penanda permulaan tawaf', dengan perintah Allah pastinya HAJARULASAWAD telah diberikan oleh malaikat Jibrail kepada Nabi Ismail. Kedua-dua kemudian mencium Hajarulaswad kerana terpesona dengan 'baunya yang amat harum'. Dari Ibnu Abbas r.a katanya Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Hajarulaswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak Adam) menjadi hitam." - Hadis Riwayat Ahmad dan Tarmizi.

Ekoran dari pelbagai peristiwa yang berlaku kepada Kaabah akibat bencana alam dan kerosakan, yang masih menyebabkannya tinggal adalah lapan kepingan sebesar biji tamar yang diikat pada lilin yang dicampur kasturi di dalam lingkungan perak. Lingkungan perak ini kelihatannya berbentuk oval atau bujur. Sesiapa yang ingin mengucupnya hendaklah meletakkan mukanya ke atas kepingan itu. Menciumnya adalah sunat. Namun kerapkali juga diingatkan bahawa janganlah sehingga menyakiti orang lain dan diri sendiri. Tidak juga perlu terlalu memaksakan diri dalam keadaan yang penuh sesak terutama bagi kaum wanita.
Di atas adalah serba sedikit cerita perihal Hajarulaswad yang saya kutip dari pembacaan. Memandangkan sekarang kita di dalam musim Haji dan sedikit lagi akan menyambut Aidlladha, saya ingin membawa kisah antara saya dan Hajarulaswad. Ini hanya sebagai sedikit remedi untuk mengubat rasa rindu pada Tanah Suci dan segala yang berkaitan dengannya. Setidak-setidaknya ia sabahagian kecil dari caranya. Selain harapnya ia perkongsian sihat di alam siber ini.
Alhamdulillah! Pada hari kedua berada di Tanah suci pada kali pertama melaksanakan umrah di tahun 2010, saya telah berpeluang dan diizinkan oleh Allah untuk mengucup Hajarulaswad. Bagi para jemaah yang ke sana pastinya akan menyimpan keinginan mahu dapat berada ditempat-tempat mustajab doa seperti berdoa di Multazam.  Solat di Hijr Ismail, solat dibelakang Makam Ibrahim, mengucup Hajarulaswad, menyentuh rukun Yamani dan lainnya. Namun untuk saya, asalnya perkara-perkara itu hanya datang sepintas lalu. Terasa ada yang lebih utama dari semua itu. Walau bagaimana pun sebaik sahaja dapat bertawaf kali pertama dalam umrah pertama tersebut, entah mengapa setiap kali tiba setentang dengan Hajarulaswad, diri 'bagai dipanggil'. Lantas keinginan untuk 'mendapatkan' Hajarulaswad itu bercambah dan saya dapati makin menguat. Mungkin kerana saya semacam gemar dan rasa mudah meloloskan diri untuk dapat tawaf dalam lingkungan lingkaran yang agak hampir dengan Kaabah itu sendiri. Itu semua kerana, saya semulajadi suka mahu berasa dekat dengan Kaabah. Menatap sedekat mungkin. Itu seperti memberi kepuasan dan lebih meyakinkan saya. Itu rasa saya.
Seterusnya, walau hajat itu ada, saya sedar seperti tiada kekuatan, terutamanya dari segi fizikal untuk melaksanakan hajat hati. Maklum berdekat dengan Hajarulaswad itu seperti ada alunan arusnya tersendiri. Jemaah berpusu-pusu. Kelihatan manusia berombak-ombak untuk ke Hajarulaswad. Di bahagian dinding Kaabah juga terdapat satu barisan khas untuk ke situ. Faham sahaja, bukan kecil-kecil manusia dalam alunan yang ada. Memang tak nafi timbul gerun untuk masuk ke dalam suasana tersebut. Namun ada saya nyatakan dalam hati,"Andai ada rezeki aku dan izin dariNya....akan merasalah aku. Jika tidak bermakna tidaklah." Saya hanya meneruskan tawaf dan terus menyudahkan umrah dengan sedaya boleh. Hasrat itu saya pendam dahulu.
Pada hari kedua, setelah Subuh dan pulang untuk sarapan pagi, saya dan seorang rakan sebilik yang saya panggil Kak Pah telah sama-sama berpakat untuk tawaf sunat. Setelah Selain itu ada juga merancang, andai ada peluang mahu ke Hajarulaswad tersebut. Kami berpakat, jika perlu mungkin akan tinggal sana hingga Asar. Namun berbual-bual juga perihal bimbang-bimbang nanti kelaparan pula waktu tengaharinya. Namun kami teruskan sahaja dengan tujuan asal. Seperti kebetulan dan tahu-tahu hajat kami, tak berapa jauh berjalan dari hotel kami, rasa pelik terlihat  ada barisan orang pada satu lori tertutup yang besar. Bila ditinjau, rupa-rupanya ada pemberian percuma di situ yang berupa sekotak makanan berupa roti, kurma dan dua tiga jenis makanan lagi. Kami macam sepakat beratur tanpa apa-apa rasa. Mudah sahaja. Bila dua-dua dah mendapat bahagian, kami sama-sama rasa sedikit sayu dan terharu. Betapa Allah memenuhi kemahuan kita dengan cara tersendiri. Allah itu Maha mendengar lagi Maha melihat. Kami sama-sama bergenang airmata. Sensitif juga rasanya. Teruslah perjalanan kami ke Masjid.
Dipertengahan jalan sempat juga kami merancang-rancangkan sama ada mahu tawaf sunat selepas atau sebelum zohor. Ternyata waktu zohor agak lewat lagi. Terlafaz juga oleh kami, "Sebelum Zohor rasanya mungkin panas. Mungkin tak berapa nak nyaman untuk tawaf. Lepas Zohor mungkin lebih reda." Itu kata kami berdua. Maklum baru hari ke-2. Masih belum biasa dengan semuanya. Berfikir dan bercakap seperti kita di tempat sendiri. Ternyata bila sampai di Masjid kami lihat tak kurang juga jemaah sedang bertawaf. Kami terus mengambil tempat di ruang solat dan mengisi masa dengan membaca Al-Quran. Selepas Zohor, kami  mahu melangkah turun ke ruang tawaf. Dalam masa yang sama, kami sedar yang cuaca tiada perubahan dari sebelum dan sesudah Zohor. Malah kelihatan lebih panas. Langit langsung tiada berawan. Membiru jelas. Indah. Lantas saya secara peribadi merasa ada timbul persoalan apakah telapak kaki akan rasa panas ketika memijak ruang tawaf. Idea ini timbul kerana, saya ada diperingatkan sewaktu kursus, bahawa terdapat jemaah yang melecur kakinya kerana pulang tanpa selipar waktu panas. Kes kecurian selipar. Menambah teruk keadaan jemaah tersebut ialah penghidap kencing manis. Sehingga mendatang mudarat dan ke hospital sudahnya. Selaku manusia lemah, saya cuma mahu beringat. Waktu itu saya tidak tahu apa yang Kak Pah fikirkan. Kami berganding turun ke ruang tawaf. Kak Pah jenis yang suka berjalan sambil memaut-maut(begitu dia berjalan dengan suaminya, dia yang menjaga suaminya dengan cara begitu. Suaminya kurang sihat). Dia memaut lengan saya. saya membiarkan saja. Walau rasa kurang biasa dan agak kurang selesa dipaut-paut begitu.

 
Sebaik memijak lantai di situ, kami berpandangan dan kaget. Ternyata jangkaan kami meleset. Ternyata kami sama-sama jahil. Lantai itu sedikit tidak rasa hangat. Suam juga tidak. Ia rasa malah dingin lebih sejuk dari air tapi tidak pula seperti ais. Walau saya berstokin agak sederhana tebal. Namun tetap dapat merasakannya. Kak Pah tiba-tiba memeluk saya. Dia nyata menangis. Saya turut sekali. Allah sedang menunjukkan kami sesuatu. Walau ia nampak kecil, namun ternyata Kak Pah sampai mengalir air mata. Kami hanyut sebentar. Kemudian dengan tenang namun masih syahdu kami melangkah untuk tawaf. Selain memikir juga untuk Hajarulaswad.
Kami mula tawaf dan nyata sekali kami berada dalam lingkaran hampir dengan Hajarulaswad. Sedang kami bertawaf, tak saya nafikan setiap melintasi Hajarulaswad rasa terpanggil lagi untuknya. Namun pada pusingan yang pertengahan(terlupa yang ke berapa setepatnya), tiba-tiba saya ditepuk oleh sebelah tangan dibahagian belakang di bawah jauh sedikit dari tengkuk dan antara kedua belikat saya. Tepukan itu saya rasa 'lain'. Pap! Pap! Pap!. Begitu ia singgah dibelakang saya. Tepukan itu kuat tapi tak menyakitkan. Padu dan rasa macam nak sedarkan kita dari lamunan.  Mulanya saya fikir siapalah yang sempat nak menepuk-nepuk orang dari belakang sampai macam tu sekali. Apa saya menghalang jalan seseorang?. Spontan diperlaku begitu, saya menolehkan ke kiri untuk lihat ke belakang sambil usaha menjaga bahu untuk tidak batal tawaf. Kak Pah masih bersebelahan dengan saya.

 
Saya nampak seorang wanita bertudung putih dengan berbaju T-Shirt lengan panjang warna hijau muda dan memakai seluar panjang. Terus saya dapat meneka asal wanita tersebut dari riak wajahnya. Tiba-tiba dia bertanya, apa saya mahu ke Hajarulasad. Saya hanya meneka wanita itulah yang menepuk saya. Walau saya tak pasti kebenarannya sangkaan saya. Hati saya cuma terdetik, "Seorang wanita menepuk saya dengan tepukan yang pada saya rasanya pelik". Saya menoleh pada Kak Pah disebelah kanan. Kak Pah beritahu dia ikut sahaja. Namun saya lantas terlintas dan teringat pula kisah-kisah yang mana didakwa terdapat segolongan mereka yang dikatakan mengambil kesempatan ke atas jemaah dengan mengenakan upah untuk ke Hajarulaswad. Saya teringat juga kisah arwah ibu bersama beberapa rakan sewaktu menunaikan umrah yang juga membayar sebanyak 50rial  seorang untuk tujuan tersebut. Begitu pun sewaktu musim Haji arwah ibu tidak berpeluang untuk sampai pada Hajarulaswad. Terlintas juga kisah seorang jemaah yang merasa diri tertipu kerana diminta bayaran yang tinggi untuk upah membawanya ke Hajarulaswad. Semua itu menerpa dalam minda saya sepantas itu. Benar serba salah. Sedang wanita yang menawarkan khidmat itu disebelah kiri saya. Kak Pah sebelah kanan. Kaki kami tetap melangkah sedikit-sedikit kerana sesungguhnya kami memang telah berada dalam gelombang atau arus hampir pada Hajarulaswad tersebut.
Ternyata saya memang banyak kelemahan. Sempat lagi saya berkata pada wanita tersebut, "Ikhlas....Lillahita'la". Saya rasa itu seperti langkah selamat untuk mengelakkan kami diperdaya. Wanita itu dengan muka kasihan hanya diam dan mengangguk-angguk macam terpaksa.  Terus saya pasti, saya mesti menyambung semual tawaf kemudiannya. Lagi pun ini hanya tawaf sunat. Dia terus menyuruh saya memeluk badannya dari belakang untuk mudahkan tugas dia membawa kami. Kak Pah tetap sahaja memaut lengan kanan saya. Kami berdua berusaha mengikut wanita tersebut. Kami masuk ke dalam arus dan alunan mahu ke Hajarulaswad. Terasa asakan dari keliling. Terhimpit, tersepit, terkepit, terhenyak, terlanyak. Saya hanya cuba menurut. Hajarulaswad memang sudah kelihatan amat hampir. Namun terus terang hati saya merasa sudah kami takkan berjaya sampai. Walau kami usaha keras. Sebab kudrat kami tak mencukupi. Kami bertiga kalah pada keliling. Klimaksnya saya dapat rasa dada saya ditekan dari hadapan. Sampai saya kesukaran mahu bernafas. Saya tahu belum lagi masa saya. Saya takkan mahu membahayakan diri hanya untuk itu. Itu bukan tujuan utama walau ia tetap merupakan keinginan. Saya menoleh pada Kak Pah dah memberi tanda menyerah kalah. Kak Pah juga cepat mengangguk dan menarik saya. Saya sempat minta maaf pada wanita tersebut. Dia cuma termangu-mangu dan dia kami tinggalkan.
*Nampaknya mesti ada sambungannya....Insyaallah.