Jumaat, 26 Oktober 2012

MENGUCUP HAJARULASWAD (2)


Inilah sambungan kisah saya dan kenangan Hajarulaswad. Sebelum meneruskannya, mahulah saya membetulkan kesilapan fakta yang telah berlaku sewaktu entri lalu. Umrah saya satu-satu kalinya adalah pada March/April 2012 awal tahun ini juga. Saya telah menaipnya sebagai 2010. Memang sebenarnya saya merasa seperti dah 2 ke tiga tahun dari perjalanan tersebut. Rasa lama sudah. Padahal bila dilihat semula. Tak sampai lagi setahun. Memang tak sedar masa menaipnya sampai silap. Hakikatnya memang rindu mahu ke sana lagi. Memang itu barokah Tanah suci. Hati-hati muslimin dan muslimat senantiasa mahu ke sana. Bukan pula bermakna kita melebihkan hanya semata-mata tanah di sana, atau bangunan Kaabah itu sendiri atau apa sahaja yang diberitakan sebagai tempat mustajab. Sebaliknya ia adalah penyembahan kita kepada yang mencipta yang mendatangkan kesemua tersebut kepada kita. (Di 'sana' aura itu jadi lebih dari biasa. )Itulah Allah, Pencipta sekalian alam. Semua 'keistimewaan di Mekah' itu hanyalah manifestasi kekuasaan Allah pada setiap ciptaanNya. Tinggal lagi di Tanah Suci itu ia lebih ketara.
Kembali pada kisah Hajarulaswad. Ternyata cubaan pertama saya bersama teman sebilik yang telah cuba dibantu oleh seorang wanita yang menawarkan khidmat mengiring untuk mendapatkan sentuhan Hajarulaswad tidak kesampaian. Ia menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupa. Bila tidak berjaya. Kami kembali ke garisan awal untuk meneruskan tawaf sunat. Kami sepakat mengulang dari awal. Tak mahu sambung-sambung. Puaskan hati sebegitu. Maka kami sudahkan tawaf bersama-sama hingga selesai semuanya. Setelah selesai, kembali ke ruang solat untuk mengambil ruang. Kami selesaikan tunggu sambil mengulit al Quran. Selesai Asar dan kembali ke hotel. Seterusnya Maghrib dan Isyak saya bersendirian ke Masjid. Begitulah hari itu. Hari ke dua dengan cubaan yang tidak berhasil walau untuk menyentuh Hajarulaswad. Namun saya tidak pula meletakkan terkilan atau apa-apa perasaan, selain merasa tiada rezeki dan izin Allah untuk semua itu.
Selanjutnya hari  ke-3 kami keluar untuk untuk sedikit ziarah dan sekaligus mengambil miqat di Tana'im untuk umrah ke-2. Ternyata umrah ke-2 ini penting untuk saya. Antara diri dan Pencipta. Ia merupakan nazar. Sewaktu dalam bas, telah diberitahu bahawa kami boleh mengikut mutawwif andai mahu. Bagi yang mahu bersendiri melaksanakannya dibebaskan sedemikian. Maka dek kerana saya telah melalui satu pengalaman pada umrah awal saya pada hari pertama, jadi saya jadi yakin mahu melaksanakan sendiri. Waktu itu tumpuan utama adalah umrah dan mahu ia lebih baik dari yang awal. Tawaf itu sebenarnya bukanlah hanya pusing-pusingan. Setiap pusingan yang disertakan dengan bacaan-bacaan tertentu ternyata ada hikmah tersendiri. Namun bukan juga bacaan itu menjadi bebanan pada jemaah. Sebaliknya kita boleh sahaja mempelbagaikan bacaan menurut sesuatu yang tidak membebankan kita selagi bacaan itu merupakan sebahagian ayat-ayat Allah mahupun doa ataupun hanya sekadar zikir-zikir yang biasa menjadi amalan. Ternyata Islam itu bukan membebankan. Hanya sahaja tawaf itu tidak wajar 'kosong' dan 'lompong' tanpa ingatan dan mengenang rahman, rahim dan kekuasaan Allah. Setiap kali tawaf perasaan seolah automatik menjadi sayu. Mengelilingi Kaabah itu memang umpama 'recharge' terbaik di situ. Waktu itu macam merasa segala yang tidak patut dan wajar dari dalam kita keluar dari tapak kaki dan masuk pula kebaikan dari atas kepala mengisi tempat. Memandang Kaabah dengan rasa, apakah dapat akan kita memandang Penciptanya. Mampukah kita dan berpeluangkah kita untuk sesuatu yang 'klimaks' seperti itu di suatu titik kehidupan abadi di alam kekal dan tiada lagi akhirannya. Bertawaf dengan melihat langit terus dari ruang tawaf. Jika siang ia membiru terang. Jika malam, suasana tetap cerah dengan lampu berkemilau, walau langit kelihatan sedikit rehat. Ternyata mata tidak mampu menahan bebanan rasa. Ia mudah pecah.
 
Berbalik pada tawaf umrah ke 2. Saya yang bersendirian hanya memikir tentang jagaan ihram, wuduk  dan penyempurnaan umrah. Apa pun tanpa disangka-sangka tepat saya menghabiskan pusingan 6 dan baru melepasi sedikit dari Hajarulaswad untuk pusingan 7 sekali lagi, tepukan yang sama rasa seperti sebelumnya singgah di belakang saya. 'Pap!  Pap! Pap! Seolah datang dari tangan yang sama seperti sebelum Saya memang jadi amat terkejut. Sama sungguh rasa tepukan itu. Jika dah begitu, macam spontan juga saya telah memaling ke belakang dan tanpa sedar bahu telah pun berkalih arah. Saya sedar sangat Hajarulaswad dalam lebih sedikit sepuluh langkah biasa ke belakang kiri. Jadi saya waktu memaling itu nampak seorang lelaki yang saya jangka kurang umurnya  pangkat adik-adik begitu.  Sama asal dengan wanita sebelumnya. Detik hati, "Apa saja...". "Kak mahu cium Hajarulaswad?", soalnya. Saya yang tiada lain dalam kepala mahu menamatkan pusingan tawaf. Maklum hanya tinggal satu lagi, ada rasa terganggu. Budak lelaki yang berkulit hitam manis berbaju kelabu, berseluar panjang dan bersongkok itu, beriak sama seperti wanita sebelumnya. Menurut bahasa mudah saya. Muka kasihan. Mulanya saya jadi keliru. "Kenapalah pulak ni....sikit lagi aku nak habiskan". Namun saya sempat memikir, apa dua kejadian yang sama ini, ada sesuatu untuk saya. Memikir juga saya amat masih dekat lagi dengan Hajarulaswad(kebelakang dalam 15-20 langkah ke kiri). Jalan memang sesak(saya dalam lingkungan dalam ke arah Kaabah, memang begitulah yang saya puas, rapat-rapat dan langkah kecil-kecil). Pusingan itu juga sudah batal.
Saya katakan pada budak tersebut, saya dalam umrah untuk awaf pusingan ke-7. Dia katakan..."Tapi dah dekat kak...". Saya terus langkah dengan ada rasa sebal sedikit akibat batal tawaf, "Apa ada bayaran atau Lillahita'ala".(Sempat pulak tu. Kononnya tak mahu sangat diambil kesempatan oleh orang lain atas diri saya). Budak itu menjawab,"Semua kerja pasti ada harganya kak...". Dalam serba salah dan sebal yang tinggi kerana dah terbatal pusingan dan lebih keliru kerana bimbang tentang umrah saya dan semua kejadian, disamping saya dah jauh kedepan dari budak tersebut, saya tak nampak jalan mampu ke Hajarulaswad dan terus berjalan mengeleng-ngeleng sambil hanya senyum sebagai tanda,  'Terimakasih sahajalah atas niat nak membawa saya...". Tak semena-mena muncul seorang budak lelaki lagi dari sebelah kiri dan dekat  di sebelah saya. Bersongkok juga dan berbaju putih juga berseluar biasa. Air muka juga sama sebelumnya dan bercakap lembut. Dia menanyakan soalan serupa, "Kak cium Hajarulaswad kak...Kami tolong akak. Kalau akak mahu, kita berempat sama akak. Kami tolong akak. Eh! saya keliru lagi. Kenapa beria-ia diorang ni. Macam-macam dalam kepala. Selain saya pelik mereka ni macam dah pakat-pakat. Budak ke 2 ni muncul entah dari manalah pulak. Saya memang tak pasti.  Tahu-tahu kata mahu menolong juga. Namun saya cuba kawal dari fikir terlebih dan terus fokus pada tawaf dan nak sempurnakan umrah ke 2 saya. Mungkin ini hanya gangguan? Fikir saya.
Lantas sekali lagi saya hanya geleng-geleng dalam penuh keliru dengan perasaan sendiri dan apa perlu saya perbuat waktu itu. Saya terus langkah kecil-kecil dan ternyata Hajarulaswad masih tidak terllau jauh. Saya hanya mahu keluar dari situ dan mengulang pusingan ke 7 untuk menyempurnakan tawaf untuk seterusanya. Nampaknya masih tak sudah lagi. Tanpa sangka-sangka datang pula seorang lagi dari sebelah kanan. Bertubuh kecil dan kurus orangnya, berbaju hijau muda dan berkopiah putih. Ini nampaknya lebih bersemangat dan tegar. Dia seperti buat keputusan untuk saya. Tak tanya-tanya. Tak minta persetujuan dan tak pula bincang harga dan sebagainya. Dia tidak bertanya tapi terus mengajak dan membawa saya. "Mari kak, mari kak. Ikut saya. Akak ikut saya rapat-rapat. Jangan jauh dari saya". Entah apa kerana melihat budak ini terlalu semangat dan beria-ia lagi tegar menghalakan saya ke Hajarulaswad, saya bertukar jadi menurut. Pendek kata. Saya berserah pada Allah. "Mungkin ini dah takdir aku hari ini. Aku ikutkan sahaja. Mungkin ada sesuatu dari semua ini." Budak sebelumnya ada sebut, kita berempat. Saya tahu budak ini mesti ada kena mengena dengan yang sebelum-sebelumnya. Tiba-tiba semangat itu datang dan saya tekad mencuba. Ternyata, saya rasa begitu 'terpanggil' oleh Hajarulaswad. Itu perasaan yang Allah beri saat tersebut. Sempat saya beritahu padanya, saya belum habis tawaf umrah. Dial lantas mengatakan, supaya tidak lupa menyambung dan menyudahkan tawaf. Saya usaha menurut budak ke 3 tersebut. Saya memandang dia sebagai adik saya, memusing beg(berisi bekalan di masjid, buku doa dan beberapa barang lain) yang dikepit dibahu ke depan dan rapat menurut budak tersebut. Ternyata ia tidak mudah. Namun budak lelaki tersebut seperti mudah mencari jalannya. Dia nampak kecil tapi bersemangat dan ternyata tenaganya lebih dari wanita awal yang cuba menawar khidmat ke Hajarulaswad pada saya. Keyakinan saya ada. Saya rasa macam orang berenang(walau tak tahu berenang sebenarnya). Namun ini tidak dalam air. Ini menyeberang pusu-pusuan manusia. Kali ini saya rasa kurang sukar dan makin dekat.
Makin dekat, hati rasa makin berdebar dan jiwa rasa makin kerdil dan terlebih sayu. Bila tinggal dalam tiga langkah, polis yang mengawal dari atas Hajarulaswad itu, yang dari sisi Hajarulaswad, berdiri disebelah kiri atas memandang ke arah saya dan menunjuk-nunjuk tangan pada saya sambil bercakap-cakap dalam bahasa Arab tepat pada saya seolah-olah menyuruh saya berpatah ke belakang. Saya jadi sedar itu kerana kelihatan hanya saya seorang wanita yang ada dikelompok lelaki yang berebut-rebut di situ. Jadi mungkin itu faktor dia jadi seperti kelihatan menghalau saya dari kawasan itu. Lantas, saya hanya memandang ke arahnya tepat sambil berkata dari dalam hati. "Ya Allah, aku telah sedekat ini dengan HajarulaswadMu. Andai ini hariku, Kau izinkan aku. Andai polis ini merasa dia berkuasa ditempatnya, aku yakin kekuasaanMu itu melebihi segala-galanya". Sambil itu mata pecah lagi. Terasa kerdil yang amat. Pergantungan amat bulat. Ternyata polis tersebut kemudian hanya memaling mukanya(setelah dia sedar saya tiada hasrat mahu berundur) Saya hanya fokus supaya jangan sampai terjatuh. Ternyata budak lelaki bertubuh kecil ini mampu memintas giliran dengan meminta dari orang disekitarnya. Dia memang ada bercakap-cakap. Tapi saya tak dengar. Hanya dengar riuh keliling. Sebaik dia menghentikan orang kelilingnya, dia berpusing dan menyuruh saya mengambil giliran. Saat itu, rasa macam tak percaya pun ada. Dia mengajar saya masuk dari bawah lengannya(sebelah kanan) yang telah di kekang dimuka pintu Hajarulaswad tersebut. Saya mengikut katanya.
Alhamdulillah....Itulah masa saya. Sebaik dimasukkan kepala pada ruang tersebut, ternyata seperti masuk dalam satu 'ruang vakum'. Keadaan riuh tadi jadi senyap dan sayup-sayup sahaja. Saya tidak pula menyentuh-nyentuh. Sempat memandang dalam ruang tersebut dan melihat terdapat dua batu yang seperti susunan mata kanan dan kiri dan sebiji lagi sedikit ke bawah seperti ruang mulut. Jadi saya hanya meletakkan anggota saya yang sama pada tempat-tempat tersebut. Dalam hati melafazkan tidak lain hanya rasa syukur. Setakat itu sahaja, dengan hati saya lebih memikir bahawa saya mesti segera keluar dari situ kerana terdapat ramai lagi yang menunggu giliran. Saya tak mahu jadi tak patut. Sudahlah saya masuk dari jalan pintas. Namun tak semena-mena sebaik saya mengangkat kepala ke belakang, terkejut kepala saya ditolak oleh sebelah tangan yang rasanya sasa. Ia menolak ke hadapan semula, seolah menyuruh mencium lagi. Terkejut dan rasa juga..."Eh! Ada main tolak-tolak kepala  pulak. **Apa dengan dua tangan mengekang pintu muka Hajarulaswad itu, sempat adik tersebut menolak kepala saya". Namun andai dia, tangan tersebut rasa lebih besar(tak padan dengan tubuh kecil kurus adik tersebut) dan lebih kepada seperti perlakuan tangan yang menepuk saya dua kali sebelum ini. Entahlah! Allah lebih tahu. Kalau orang diluar berebut-rebut nak ambil giliran. Siapa yang baik hati menolak, seakan tahu saya yang sebenarnya agak tak berapa rasa puas di situ, namun dek  lebih memikir 'que' di belakang yang panjang.** Namun saya terus nampak dan ambil peluang itu sebagai memberi masa lebih saya dengan Hajarulaswad. Saya rapatkan semula wajah dan saya sedar Allah memberi saya lebih peluang untuk berdoa di situ. Jadi dengan penuh rasa kerdil dan lemah, saya 'melaksanakannya' sehingga mata pecah lagi. Ia seolah hanya tinggal 'hati' saya dan Hajarulaswad itu di situ. Jasad saya juga sudah tiada. Macam hilang. Hati saya yang berkata-kata dengan perantara kucupan tersebut. Di situ di dalam ruang itu. Pada Hajarulaswad. Saat itu rasa hampir sungguh dengan Pencipta kita. Saya ternyata hanyut dengan perasaan yang wujud akibat mencium Hajarulaswad tersebut. Memang ia istimewa. Setelah rasa cukup, saya lepaskan diri. Puas? Ya! Saat itu. Tak terkata. Setelah rasa hempas pulas sedemikian. Hanya mata terus-terusan pecah. Sampai rasa kelabu sewaktu berjalan keluar dari situ.
Lantas saya dibimbing keluar dari kawasan tersebut. Adik tersebut menasihatkan saya untuk solat dua rakaat sebagai lafaz syukur. Katanya payah untuk saya sampai ke sana, dan tak ramai wanita dapat sampai ke sana waktu tersebut. Jadi dia nasihatkan saya solat dan kemudian untuk menyambung semula tawaf pusingan 7 untuk menyudahkan proses umrah seterusnya. Sewaktu selepas solat  mereka ebertiga telah sedia menanti disebelah saya. Saya yang masih rasa syahdu, tahu bahawa pertolongan mereka tak boleh saya pandang ringan. Saya dah bersedia membayarnya. Saya tidak wajar pula mempersoal 'keikhlasan' mereka. Sebaliknya saya mesti melihat dalam diri dan mempersoalkan 'ia' pada diri sendiri dahulu. Jadi saya akur. Saya ganjari mereka bertiga selayaknya. Mereka kemudian meninggalkan saya. Mereka mendapat apa yang mereka mahu atas usaha dan sebagai rezeki dari Allah, dan saya mendapat apa yang Allah peruntukkan untuk saya pada hari itu. Saya meneruskan selebihnya hari tersebut dengan perasaan kagum kekuasaan Allah mengatur perjalanan saya di situ. Menunggu sehingga selesai Isya' dan kembali ke hotel sikit lagi 12 malam, waktu di sana.
**.....** Antara perkara yang rasa pelik dan aneh, namun itu tak mampu saya fikir lanjut. Allah lebih tahu.

2 ulasan:

  1. bila saya kan dapat ke sana..? mudah2an tak lama lagi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Oh! EN/PN Lensa. Saya alu-alukan, jika belum pernah...pergilah dan jika sudah pun, andai mampu ulanglah. Mudah-mudahan meraih lebih kebaikan dengannya. Apa pun persedian rohani juga jasmani itu mesti diberatkan. Namun tak pula hingga menakutkan diri dan melambatkan langkah ke sana, walau sudah mampu dan bersedia sebenarnya.

      Padam