Bismillahirrahmanirrahim....
Menyebut tentang HAJARULASWAD, ternyata ada kisah yang
tersendiri. Kisah awalnya HAJARULASWAD (batu hitam) itu dipercayai diturunkan
oleh Allah dari langit ke atas Jabal Qubais. Di ketika Nabi Ismail sedang
mencari-cari batu yang cantik untuk diserah kepada bapanya Nabi Ibrahim untuk
dilekatkan kepada Kaabah sebagai 'penanda permulaan tawaf', dengan perintah
Allah pastinya HAJARULASAWAD telah diberikan oleh malaikat Jibrail kepada Nabi
Ismail. Kedua-dua kemudian mencium Hajarulaswad kerana terpesona dengan 'baunya
yang amat harum'. Dari Ibnu Abbas r.a katanya Rasulullah s.a.w pernah bersabda,
"Hajarulaswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu.
Dosa-dosa manusia (anak Adam) menjadi hitam." - Hadis Riwayat Ahmad dan
Tarmizi.
Ekoran dari pelbagai peristiwa yang berlaku kepada Kaabah
akibat bencana alam dan kerosakan, yang masih menyebabkannya tinggal adalah
lapan kepingan sebesar biji tamar yang diikat pada lilin yang dicampur kasturi
di dalam lingkungan perak. Lingkungan perak ini kelihatannya berbentuk oval
atau bujur. Sesiapa yang ingin mengucupnya hendaklah meletakkan mukanya ke atas
kepingan itu. Menciumnya adalah sunat. Namun kerapkali juga diingatkan bahawa
janganlah sehingga menyakiti orang lain dan diri sendiri. Tidak juga perlu
terlalu memaksakan diri dalam keadaan yang penuh sesak terutama bagi kaum
wanita.
Di atas adalah serba sedikit cerita perihal Hajarulaswad
yang saya kutip dari pembacaan. Memandangkan sekarang kita di dalam musim Haji
dan sedikit lagi akan menyambut Aidlladha, saya ingin membawa kisah antara saya
dan Hajarulaswad. Ini hanya sebagai sedikit remedi untuk mengubat rasa rindu
pada Tanah Suci dan segala yang berkaitan dengannya. Setidak-setidaknya ia
sabahagian kecil dari caranya. Selain harapnya ia perkongsian sihat di alam siber ini.
Alhamdulillah! Pada hari kedua berada di Tanah suci pada
kali pertama melaksanakan umrah di tahun 2010, saya telah berpeluang dan diizinkan
oleh Allah untuk mengucup Hajarulaswad. Bagi para jemaah yang ke sana pastinya
akan menyimpan keinginan mahu dapat berada ditempat-tempat mustajab doa seperti
berdoa di Multazam. Solat di Hijr
Ismail, solat dibelakang Makam Ibrahim, mengucup Hajarulaswad, menyentuh rukun Yamani dan lainnya.
Namun untuk saya, asalnya perkara-perkara itu hanya datang sepintas lalu.
Terasa ada yang lebih utama dari semua itu. Walau bagaimana pun sebaik sahaja
dapat bertawaf kali pertama dalam umrah pertama tersebut, entah mengapa setiap
kali tiba setentang dengan Hajarulaswad, diri 'bagai dipanggil'. Lantas
keinginan untuk 'mendapatkan' Hajarulaswad itu bercambah dan saya dapati makin
menguat. Mungkin kerana saya semacam gemar dan rasa mudah meloloskan diri untuk
dapat tawaf dalam lingkungan lingkaran yang agak hampir dengan Kaabah itu
sendiri. Itu semua kerana, saya semulajadi suka mahu berasa dekat dengan
Kaabah. Menatap sedekat mungkin. Itu seperti memberi kepuasan dan lebih
meyakinkan saya. Itu rasa saya.
Seterusnya, walau hajat itu ada, saya sedar seperti tiada
kekuatan, terutamanya dari segi fizikal untuk melaksanakan hajat hati. Maklum
berdekat dengan Hajarulaswad itu seperti ada alunan arusnya tersendiri. Jemaah
berpusu-pusu. Kelihatan manusia berombak-ombak untuk ke Hajarulaswad. Di bahagian dinding Kaabah juga terdapat satu barisan khas untuk ke situ. Faham
sahaja, bukan kecil-kecil manusia dalam alunan yang ada. Memang tak nafi timbul gerun untuk masuk
ke dalam suasana tersebut. Namun ada saya nyatakan dalam hati,"Andai ada
rezeki aku dan izin dariNya....akan merasalah aku. Jika tidak bermakna
tidaklah." Saya hanya meneruskan tawaf dan terus menyudahkan umrah dengan
sedaya boleh. Hasrat itu saya pendam dahulu.
Pada hari kedua, setelah Subuh dan pulang untuk sarapan
pagi, saya dan seorang rakan sebilik yang saya panggil Kak Pah telah sama-sama
berpakat untuk tawaf sunat. Setelah Selain itu ada juga merancang, andai ada
peluang mahu ke Hajarulaswad tersebut. Kami berpakat, jika perlu mungkin akan
tinggal sana hingga Asar. Namun berbual-bual juga perihal bimbang-bimbang nanti
kelaparan pula waktu tengaharinya. Namun kami teruskan sahaja dengan tujuan
asal. Seperti kebetulan dan tahu-tahu hajat kami, tak berapa jauh
berjalan dari hotel kami, rasa pelik terlihat
ada barisan orang pada satu lori tertutup yang besar. Bila ditinjau,
rupa-rupanya ada pemberian percuma di situ yang berupa sekotak makanan berupa
roti, kurma dan dua tiga jenis makanan lagi. Kami macam sepakat beratur tanpa
apa-apa rasa. Mudah sahaja. Bila dua-dua dah mendapat bahagian, kami sama-sama
rasa sedikit sayu dan terharu. Betapa Allah memenuhi kemahuan kita dengan cara
tersendiri. Allah itu Maha mendengar lagi Maha melihat. Kami sama-sama
bergenang airmata. Sensitif juga rasanya. Teruslah perjalanan kami ke Masjid.
Dipertengahan jalan sempat juga kami merancang-rancangkan
sama ada mahu tawaf sunat selepas atau sebelum zohor. Ternyata waktu zohor agak
lewat lagi. Terlafaz juga oleh kami, "Sebelum Zohor rasanya mungkin panas.
Mungkin tak berapa nak nyaman untuk tawaf. Lepas Zohor mungkin lebih
reda." Itu kata kami berdua. Maklum baru hari ke-2. Masih belum biasa
dengan semuanya. Berfikir dan bercakap seperti kita di tempat sendiri. Ternyata
bila sampai di Masjid kami lihat tak kurang juga jemaah sedang bertawaf. Kami
terus mengambil tempat di ruang solat dan mengisi masa dengan membaca Al-Quran.
Selepas Zohor, kami mahu melangkah turun
ke ruang tawaf. Dalam masa yang sama, kami sedar yang cuaca tiada perubahan
dari sebelum dan sesudah Zohor. Malah kelihatan lebih panas. Langit langsung
tiada berawan. Membiru jelas. Indah. Lantas saya secara peribadi merasa ada
timbul persoalan apakah telapak kaki akan rasa panas ketika memijak ruang
tawaf. Idea ini timbul kerana, saya ada diperingatkan sewaktu kursus, bahawa
terdapat jemaah yang melecur kakinya kerana pulang tanpa selipar waktu panas. Kes
kecurian selipar. Menambah teruk keadaan jemaah tersebut ialah penghidap
kencing manis. Sehingga mendatang mudarat dan ke hospital sudahnya. Selaku
manusia lemah, saya cuma mahu beringat. Waktu itu saya tidak tahu apa yang Kak
Pah fikirkan. Kami berganding turun ke ruang tawaf. Kak Pah jenis yang
suka berjalan sambil memaut-maut(begitu dia berjalan dengan suaminya, dia yang
menjaga suaminya dengan cara begitu. Suaminya kurang sihat). Dia memaut lengan saya.
saya membiarkan saja. Walau rasa kurang biasa dan agak kurang selesa dipaut-paut begitu.
Sebaik memijak lantai di situ, kami berpandangan dan kaget.
Ternyata jangkaan kami meleset. Ternyata kami sama-sama jahil. Lantai itu
sedikit tidak rasa hangat. Suam juga tidak. Ia rasa malah dingin lebih sejuk
dari air tapi tidak pula seperti ais. Walau saya berstokin agak sederhana tebal.
Namun tetap dapat merasakannya. Kak Pah tiba-tiba memeluk saya. Dia nyata menangis.
Saya turut sekali. Allah sedang menunjukkan kami sesuatu. Walau ia nampak
kecil, namun ternyata Kak Pah sampai mengalir air mata. Kami hanyut sebentar.
Kemudian dengan tenang namun masih syahdu kami melangkah untuk tawaf. Selain
memikir juga untuk Hajarulaswad.
Kami mula tawaf dan nyata sekali kami berada dalam lingkaran
hampir dengan Hajarulaswad. Sedang kami bertawaf, tak saya nafikan setiap
melintasi Hajarulaswad rasa terpanggil lagi untuknya. Namun pada pusingan yang
pertengahan(terlupa yang ke berapa setepatnya), tiba-tiba saya ditepuk oleh
sebelah tangan dibahagian belakang di bawah jauh sedikit dari tengkuk dan antara kedua belikat saya.
Tepukan itu saya rasa 'lain'. Pap! Pap! Pap!. Begitu ia singgah dibelakang
saya. Tepukan itu kuat tapi tak menyakitkan. Padu dan rasa macam nak sedarkan
kita dari lamunan. Mulanya saya fikir
siapalah yang sempat nak menepuk-nepuk orang dari belakang sampai macam tu
sekali. Apa saya menghalang jalan seseorang?. Spontan diperlaku begitu, saya
menolehkan ke kiri untuk lihat ke belakang sambil usaha menjaga bahu untuk tidak batal tawaf. Kak Pah
masih bersebelahan dengan saya.
Saya nampak seorang wanita bertudung putih dengan berbaju
T-Shirt lengan panjang warna hijau muda dan memakai seluar panjang. Terus saya dapat meneka asal wanita
tersebut dari riak wajahnya. Tiba-tiba dia bertanya, apa saya mahu ke
Hajarulasad. Saya hanya meneka wanita itulah yang menepuk saya. Walau saya tak
pasti kebenarannya sangkaan saya. Hati saya cuma terdetik, "Seorang wanita
menepuk saya dengan tepukan yang pada saya rasanya pelik". Saya menoleh
pada Kak Pah disebelah kanan. Kak Pah beritahu dia ikut sahaja. Namun saya
lantas terlintas dan teringat pula kisah-kisah yang mana didakwa terdapat
segolongan mereka yang dikatakan mengambil kesempatan ke atas jemaah dengan
mengenakan upah untuk ke Hajarulaswad. Saya teringat juga kisah arwah ibu
bersama beberapa rakan sewaktu menunaikan umrah yang juga membayar sebanyak
50rial seorang untuk tujuan tersebut.
Begitu pun sewaktu musim Haji arwah ibu tidak berpeluang untuk sampai pada
Hajarulaswad. Terlintas juga kisah seorang jemaah yang merasa diri tertipu
kerana diminta bayaran yang tinggi untuk upah membawanya ke Hajarulaswad. Semua
itu menerpa dalam minda saya sepantas itu. Benar serba salah. Sedang wanita
yang menawarkan khidmat itu disebelah kiri saya. Kak Pah sebelah kanan. Kaki
kami tetap melangkah sedikit-sedikit kerana sesungguhnya kami memang telah
berada dalam gelombang atau arus hampir pada Hajarulaswad tersebut.
Ternyata saya memang banyak kelemahan. Sempat lagi saya
berkata pada wanita tersebut, "Ikhlas....Lillahita'la". Saya rasa itu
seperti langkah selamat untuk mengelakkan kami diperdaya. Wanita itu dengan
muka kasihan hanya diam dan mengangguk-angguk macam terpaksa. Terus saya pasti, saya mesti menyambung semual
tawaf kemudiannya. Lagi pun ini hanya tawaf sunat. Dia terus menyuruh saya
memeluk badannya dari belakang untuk mudahkan tugas dia membawa kami. Kak Pah
tetap sahaja memaut lengan kanan saya. Kami berdua berusaha mengikut wanita
tersebut. Kami masuk ke dalam arus dan alunan mahu ke Hajarulaswad. Terasa
asakan dari keliling. Terhimpit, tersepit, terkepit, terhenyak, terlanyak. Saya
hanya cuba menurut. Hajarulaswad memang sudah kelihatan amat hampir. Namun
terus terang hati saya merasa sudah kami takkan berjaya sampai. Walau kami
usaha keras. Sebab kudrat kami tak mencukupi. Kami bertiga kalah pada keliling.
Klimaksnya saya dapat rasa dada saya ditekan dari hadapan. Sampai saya
kesukaran mahu bernafas. Saya tahu belum lagi masa saya. Saya takkan mahu
membahayakan diri hanya untuk itu. Itu bukan tujuan utama walau ia tetap
merupakan keinginan. Saya menoleh pada Kak Pah dah memberi tanda menyerah
kalah. Kak Pah juga cepat mengangguk dan menarik saya. Saya sempat minta maaf
pada wanita tersebut. Dia cuma termangu-mangu dan dia kami tinggalkan.
*Nampaknya mesti ada sambungannya....Insyaallah.
Membaca catitan dila ni...terasa sesak dada mengingatkan pengalaman sendiri waktu berusaha mengucup hajarulaswad..
BalasPadamYa! Betul tu Zie. Memang ia hanya batu. Tidak lebih dari itu. Namun sudah diberitahu juga bahawa ia bukan sebarang batu. Istimewa dengan kisah dan asal tersendiri. Hadiah dari Allah untuk Nabi Ismail dan Ibrahim. Masih ada hingga kini. Masih menjadi tumpuan untuk disentuh dan dikucup. Rasulullah juga mengucup, jadi sebagai pengikut kita menurut bila mampu dan ada izinNya.
Padam