Selasa, 17 April 2012

MAHU ZIARAHI GUA HIRA'....


Sejarah turunnya wahyu pertama atas junjungan Rasul tercinta Nabi Muahammad (s.a.w) sememangnya diketahui ramai. Hatta kanak-kanak sekolah juga mampu bercerita kerana telah mempelajarinya dalam pelajaran di sekolah. Gua Hira’ adalah tempat di mana Rasulullah (s.a.w) sering kunjungi dan menyendiri di sana, untuk beriktikaf dan beribadah di dalamnya sehingga wahyu pertama turun kepada Baginda. Itulah surah al-Alaq. Pernah saya bercerita perihal itu sebelum ini. Wahyu Pertama Pembuka Ilmu.

Bila menyebut Gua Hira’, biasanya kita hanya membayangkan hanya guanya. Mungkin untuk mereka yang belum berpeluang ke sana tidak dapat membayangkan suasana sebenar letak kedudukan Gua Hira’. Begitulah saya sebelumnya. Saya hanya mampu menyebut dan kabur dalam menggambarkannya. Di sini saya bawakan antara fakta ringkas yang dipetik dalam sebuah buku yang sempat dibeli di Mekah bertajuk Mekah Al Mukarramah, Sejarah dan Monumen yang disusun oleh Mahmud Muhammad Hamo:

‘Berlokasi di Timur Laut Masjidil Haram, di jalan Thaif (Sail), berjarak dari Masjidil Haram 4km. Tingginya 280m dari sekitarnya, puncaknya menyerupai punuk(saya andaikan  bonggol ) unta, luasnya mencapai 5km persegi dan di puncak Gunung Hira’ terdapat Gua Hira, iaitu rongga di dalam gunung, pintunya menghadap ke utara. Di arah kiblatnya ada celah, darinya dapat dilihat Masjidil Haram. Panjang Gua sekitar 3m dengan lebar antara 1.5 -2m, dan tingginya setinggi tubuh manusia ukuran sedang.’ 
 
Suatu malam sewaktu berada di Mekah, di dewan makan saya yang agak letih dan memaksa diri menjamah makan malam sekitar waktu lebih seditkit 9pm. Mahu diikutkan tak lalu nak mengunyah dan menelan kerana mata dan seluruh badan dalam keadaan amat kepenatan. Hakikatnya, dunia memang tempat berpenat lelah, bukan berehat-rehatan baik dari segi menjaga urusan dunia, begitu juga urusan akhirat. Makan dalam kuantiti sedikit dan membayangkan katil menanti di tingkat lima. Tanpa di duga dalam beramai-ramai di situ, jauh dari tempat saya, seorang rakan jemaah membuka mulut bertanyakan perihal aktiviti yang bakal dibuat. Lantas muttawif yang ada menjawab, bahawa malam itu akan di adakan ziarah Gua Hira(untuk satu kumpulan di hotel lain) pada pukul 10.00pm. Sesiapa yang berminat boleh sertai dengan bayaran SR15. Orang yang bertanya itu datang kepada saya memberitahu perihal tersebut. Saya dengan mata kuyu dan fikiran melayang memandang(tapi macam kabur), mendengar(tapi macam sayup-sayup). Entah mengapa malam itu sungguh mengantuk. Padahal malam-malam lain tidaklah sampai sebegitu. Pernah membasuh pakaian(tak der dobi-dobi, tak reti satu, tak nak hilang masa dua dan jimat SR tiga) walau sehingga pada pukul 1.00am. Selain itu, pada esok hari kami sudah ada program untuk keluar bermiqat untuk melaksana umrah lagi. Jadi pemikiran saya mengatakan bahawa jika 'memanjat' sesuatu pada malam itu, besar mungkin akan keletihan dan akan berada dalam suasana kurang selesa keesokan hari. Itu kata hati saya, bila diajukan perihal pelawaan ke Gua Hira oleh ahli kumpulan saya itu. Seorang Ustazah sekolah Kafa di Perak sana. Lebih tepat Pengetua Kafa. Berkunjung ke Gua Hira' itu bukan suatu paksaan.
 
Satu peringkat saya tiba dalam keadaan sangat serba salah. Saya kemudiannya bertanya sendiri pada muttawif tersebut(masih di situ)  perihal berapa lama masa di ambil untuk mendaki ke destinasi. Dijawab tenang. “Bergantunglah kak pada masing-masing….siapa yang stamina dan ketahanan tinggi, mungkin awal dan yang tidak tu…lambatlah sedikit. Tapi kita tunggu semuanya.” Oh!…Alamak…ketahanan, stamina….dua perkaran yang macam banyak kurangnya pada saya. Serius dan jujurnya tak pernah dibuat daki mendaki ni. Panjat tangga tak berapa nak tinggi pun….biasanya cungap juga. Allah….ini bercakap nak memanjat gunung!!!….gunung!!!….bukan bukit tau! Seumur hidup tak pernah dibuat. Paling tinggi mungkin memanjat tangga Batu Caves. Itu pun masa sekolah menengah dulu(jalan-jalan dengan keluarga-waktu tu ‘famous’ untuk dilawati). Serba salah memuncak. Terlintas pula pada fikiran Gua Hira itu besar sejarahnya pada penurunan wahyu dan berkaitan dengan kalam Allah juga Al-Quran. Al Quran salah satu peninggalan Rasulullah(s.a.w) untuk ummatnya. Ia juga mukjizat Nabi. Dimana dengannya manusia InsyaAllah akan dapat membezakan antara baik dan buruk juga. Lantas ingatan pada Baginda Rasul yang sinonim dengan Gua Hira itu menjadi penyuntik rasa kemahuan untuk ikut serta. Apa mungkin dengan pergi ke sana dapat sedikit merasai sebahagian kecil dari pengalaman Rasulullah(s.a.w)??? Lebih dari itu, terdetik juga pasti sesalan akan datang kemudian seandainya tidak turut serta kerana peluang di depan mata, mungkin disia-siakan. Pengetua Kafa yang mendengar pertanyaan saya pada muttawif menyampuk memberi motivasi. “Hari  tu boleh panjat Jabal……(nanti ada masa cerita), takkan tak boleh kot…kamu muda( hati menjawab…apa ker mudanya masuk 40 dah...kepala lutut pun kekadang meragam juga)…kak lagi hah!” 

Hati jadi tekad. Ikut jerlah. Nampaknya Allah telah menetapkan pada malam itu….sepasang kaki ini akan menjejaki ke Gunung Hira, terus mata akan menyaksikan sendiri Gua Hira. Gua bersejarah untuk wahyu pertama yang turun dari Allah kepada Nabi Muhammad (s.a.w) melalui malaikat Jibrail. Macam tak percaya…."semangat nak turut serta tu sudah datang....walau masih , walau masih letih dan lebihnya teramat mengantuk...."

Ahad, 15 April 2012

RALAT

RALAT:  Dalam pada mengambil antara 'hidangan' hujung minggu lalu, saya tersedak. Rupanya saya terkeliru dengan status satu dari artis yang menyertai program yang ditonton. Mungkin kerana kemunculan dia sebelum ni memang macam dari 'no where'. Jadi kekeliruan saya ama jelas. Rupanya hanya pernah merantau ke beberapa buah negara dan tidak pula berasal dari sana. Jadi itu khilaf orang yang tak serius ni....Namun yang lainnya kekal sebegitu....Tapi masih ada seseorang yang di dalam tu berasal dari bukan dari sini. Jika ahli pasukannya menang, apa akan wujud pertikaian? Hiburan penuh teka-teki juga rupanya.....

'UPGRADING' PROGRAM REALITI NYANYIAN...


Mahu, tak mahu tulis?, Nak, tak nak buka mulut?, Mahu, tak mahu berpandangan. Apa ini sudah TERGELINCIR LANDASAN?. Apa ini sudah TERKELUAR TEMA? Fikir kejap. Menjawab. “Sememang ini bukan TEMA JIWA, namun ini adalah antara HIDANGAN KEHIDUPAN untuk yang bernama manusia.” MUZIK, dikatakan sesuatu yang UNIVERSAL dan melangkaui sempadan masa. Adakah benar begitu? Mungkin…. Apa benar kita tidak boleh hidup tanpa MUZIK dalam kehidupan kita selaku manusia yang senantiasa memerlukan pelarian jiwa lemah kepada sesuatu yang kelihatan menenangkan daripada sesuatu yang dikatakan melelahkan seperti kepenatan dan keletihan dengan rutin seharian? Terpulang…….Terserah…….Lihat pada keadaan…….Tengok suasana…….Tengok tempat….Hakikat yang kelihatan adalah ‘muzik sudah lali kepada manusia.’ Namun manusia tidak pernah puas dengan muzik dan sentiasa mahu lebih darinya. Lebih dari itu ia adalah antara platform yang dipilih sebagai hiburan bagi sebahagian besar golongan. Lebih lagi dari itu muzik menjadi punca kelangsungan kehidupan sebahagian besar mereka yang memilih terlibat dengannya secara lebih serius. Di mana ada permintaan pasti wujud penawaran. Jelas muzik mudah dikomersialkan. Dunia hiburan juga sangat komersial. Kedua-duanya dilihat mampu memberi populariti dan glamor sekaligus pengaruh untuk yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Benarkah itu yang diburu??? Sudahnya populariti dan glamor serta pengaruh juga ‘diperdagangkan’. Proses yang tiada henti. Rantaian yang bersambung-sambung. Bukan lagi suara dan kemampuan persembahan. Bolehkah jadi begitu? 

Berbicara perihal dunia hiburan dan memfokus pada dunia nyanyian, terbaru saya mengaitkan dengan PROGRAM REALITI terbaru di pasaran untuk para peminat. Selesa menilai sebagai seorang yang polos. Jadi ini hanya sekadar penilaian dan pandangan. Saya tidak serius disini. Jadi ‘take it easy’ atas apa sahaja yang saya katakan. ‘Really! It’s nothing serious’. Kelihatan corak program bercorak ala realiti terkini ada perubahan. Jika sebelum ini hampir kesemua mencari bakat-bakat baru disaring, dipilih, dipertandingkan dan dimartabatkan sebagai pemenang. Terkini berlaku anjakan. Proses yang sama namun ianya antara bakat-bakat yang sedia ada dalam industry hiburan. Berlaku percampuran artis lama dan baru. Perempuan dan lelaki. Warganegara luar dan Malaysia. Itulah KEGILAAN@MANIA yang mendapat perhatian terkini para peminat program nyanyian. Memang ada menonton 2 konsertnya, namun tidak dari dari A-Z. Sekerat-sekerat atau separuh-separuh. Itu tak menghalang dari menilainya. Ada yang menarik pemikiran saya, melihat Jaclyn Victor di dalam program tersebut. Melihat beliau mempertaruhkan apa 'yang telah sedia ada dengannya', saya pula sedikit gusar. Saya melihat setakat dua konsert itu, Jaclyn adalah yang terbaik. Terutama konsert 1. Penyampaian lagu 'Terukir di Bintang' saya lihat segar....Lebih kreatif dan menarik dari Atilia. Walau pilihan lagunya sama. Dari segi suara dan penyampaian ramai tak dapat menafikan ‘kekuatan’ beliau(saya ketepikan soal pemakaian dan gaya). Namun saya melihat beliau bertanding dengan orang-orang yang tidak ‘serumpun’ dengannya. Maksud saya seperti salah kategori. Ini kerana ramai meletakkan Jaclyn antara mereka yang telah berada dalam ‘kelas tersendiri’. Sedangkan penyanyi lain seperti masih belum lagi. 

Selain itu….semasa konsert pertama, saya tidak terkejut Chak tersingkir. Jujurnya melihat tiada kekuatan pada Chak selain dari sedikit tarian. Jelas dari segi suara memang tertinggal. Tidak mampu pertahankan suara untuk beriring dengan tarian(seperti Tracy). Jadi saya amat tidak terkejut bila Chak tersingkir walau dicanangkan mendapat antara undi tertinggi sebelum keputusan dibaca. Itu gimik dan 'trick' pancing undi. Saya telah menduga. Awi Rafael yang dikatakan antara undi terendah bertahan. Apa tidaknya dia ada kelebihan sedikit lebih dari Chak. Suara lebih ‘advance’ sikit dan boleh tahan. Namun tersingkir pada konsert 2. Harap ia tiada kena mengena dengan KEWARGANEGARAANNYA. Maklum satu kontroversi pun masih belum habis surut perihal seperti itu. Kalau dasar mengelak begitu. Simpati pada Awi Rafael. Pertandingan ini berdasar undian bukan? Harapnya benar. Walau ada kalanya saya memikir siapa tahu apa 'kehendak dan kriteria utama untuk menang'. Pilihan dikatakan berdasar undian. Mudah menutup segala spekulasi begitu. Orang ramai digesa mengundi jika tidak mahu artis kesayangan atau kesukaan mereka kalah. Saya minat dan agak mengagumi suara Jaclyn, namun tidak mengundi. Ingat! Saya tidak seserius itu untuk program tersebut. Namun kualiti pemenang untuk saya ada pada Jaclyn. Jadi seandai beliau konsisten(rasanya dia tiada banyak masalah disitu…)bukankah beliau layak menang? Namun seandai pula undian tidak berpihak pada beliau…..apa beliau bakal menjadi mangsa undian peminat ‘fanatik penyanyi ‘dan bukan ‘kualiti penyanyi’. Itulah risiko Jaclyn. Paling bimbang ialah andai kalah pada penyanyi baru, apa mungkin kelas Jaclyn akan berubah. Membayangkan andai Jaclyn bertanding dengan Ning Baizura, Ziana Zain, Adibah Noor dan Anuar Zain dan seangkatan dengan dia…..itu pasti lebih hebat. Kalah atau menang, dia tetap dalam kelasnya. Andai benar pula Jaclyn Victor meraih RM500000(double check…kot silap), kasihan pada peserta lain kerana sedari awal mereka patut sedar mereka bertanding dengan seorang yang sepertinya bukan tandingan mereka. Mereka darjah rendah melawan yang berdarjah tinggi. Jadi apa motif pertandingan. Jawab saya, memancing undi. Undian peminat adalah aset kepada semua yang terlibat dalam pertandingan tersebut secara langsung. Peminat dapat apa? Jawablah! Kepuasan? Bergantung kalau anda seorang yang JIWANYA BERTEMA MUZIK, mungkin. Pertandingan memang sihat. Namun, dilihat juga suasananya. Itu bayangan dari pemikiran saya. Sekali lagi. “Tiada yang seriusnya di situ”. Sekadar pemerhati, sekadar meneliti sendiri-sendiri…..Sekadar fikir memikiri….

Rabu, 11 April 2012

MENZIARAHI MAKAM RASULULLAH DI RAUDHAH


Diusahakan menyambung cerita diri perihal Raudhah . Dicoretkan supaya dengan harapan diri sendiri tidak mudah lupa dengan pengalaman itu sementelah jika ada yang mahu berkongsi rasa menelusuri pembacaan hasil dari pengalaman kecil ini. Mudah-mudahan ada kebaikan dan manfaatnya.
Payung-payung di perkarangan masjid Nabawi. Meneduhkan kepanasan untuk pengunjung. Ia boleh ditutup sama seperti kubah di dalamnya.  

Setelah berhenti di ‘check point’(ini cara kami yang menurut perintah dari pengawalan pihak masjid) yang ke dua terakhir, kami bangkit lagi dan berjalan ke kanan lagi dan berhenti lagi bila diminta sedemikian. Kami duduk bersila beramai-ramai dan seorang mutawwif berjubah hitam yang hanya menampakkan kedua mata itu, sambil memegang pembesar suara melafazkan tazkirah sebelum kami meneruskan langkah ke Raudhah. Tazkirah memberitahu perihal apa yang ‘boleh’ dan ‘tidak’ dilakukan di Raudhah. Jelas mereka amat menitikberatkan adab dan tatasusila di pengunjung wanita waktu di sana(setakat saya di sana) dan InsyaAllah pada masa hadapan juga. Dipesan bahawa tidak dibenarkan berlebih-lebihan melayan kesedihan yang dapat membawa kepada ketidaksopanan perilaku. Diberitahu juga solat yang digalakkan hanya Solat Dhuha dan Solat Sunat Kerana Allah Taa’la sahaja. Solat hajat tidak digalakkan. Dibacakan hadis Nabi yang mengarahkan bahawa hajat manusia hanya diserah pada Allah. Bukan ditujukan pada yang lain. Jika di sini kita biasa sahaja dengan solat Hajat. Berniat mengaju permohonan pada Allah. Di Raudhah pula diberi peringatan supaya tidak melakukan solat Hajat kerana saya anggar mereka amat bimbang serta tidak mahu berlakunya bibit-bibit pencemaran akidah di tempat yang suci. Mungkin sahaja ditakuti kita ‘seolah-olah’ meminta dari kekeramatan Rasulullah pula, sedangkan Allah yang berkuasa menjadikan atau memberi sesuatu dan Rasulullah itu juga manusia biasa namun teramat istimewa dan bertaraf Kekasih Allah. Menyampaikan salam pada Rasulullah juga tidak digalakkan. Sedangkan ia dirasa tiada masalah pada kita. Namun dari dalam hati…tetap saya nyatakan... dan saya tahu Rasulullah juga sudah sedia tahu siapa yang telah berhajat salam padanya. Para pengunjung wanita juga tidak digalakkan berlama-lamaan berdoa apatah lagi membawa buku untuk dibaca bersama-sama. Ini kerana sahaja tempat itu amat terhad dan menjadi tumpuan ramai. Ia demi memberi peluang kepada setiap pengunjung untuk menjejakkan kaki pada PERMAIDANI HIJAU yang merupakan kawasan Raudhah sebenarnya. Jika pun anda telah masuk ke perkarangan Raudhah namun anda lihat kaki anda masih belum menjejak PERMAIDANI HIJAU, bermakna bukan lagi Raudhah. Jadi dalam pada usaha mengambil posisi, selalu perhatikan warna permaidani apakah kaki anda sedang berpijak.
Kubah Hijau(di bawah itulah makam Rasul dan Raudhah berlokasi), Permaidani Hijau....Mmmm hijau juga sering dikaitkan dengan latarbelakang warna syurga...Pepohon hijau, baldu hijau....melalui amatan sayalah! Kebetulan pula.

Akhirnya.... tibalah masa yang kami semua nantikan. Kumpulan kami dilepaskan masuk ke dalam kawasan Raudhah beriringan dengan jemaah dari Indonesia. Atas sebab berapat-rapat dan menurut arus, saya telah termasuk ke dalam kumpulan dari Indonesia. Entah kenapa begitu??? Saya membiarkan sahaja dan nampaknya kumpulan saya menghala ke arah sebelah kiri dan saya ke bahagian tengah dan di kanan terdapat lagi satu kumpulan juga. Saya membiarkan saja. Walau saya ketahui bahawa makan Rasulullah itu dikatakan ke kiri Raudhah. Apa pun kawasan makam telah dikepung dengan pagar tidak seperti sebelumnya. Tiadalah nampak akan sebenarnya makam Baginda. Rasa seperti tak puas. Saya pasti jika tidak dikepung pasti semua hadirin akan nampak suasana sebenar makam. Namun saya pasti ada bersebab itu dibuat. Dalam pada berhimpit-himpit perlahan, saya meneruskan selangkah demi selangkah mahu menempatkan kedua kaki ke atas PERMAIDANI HIJAU. Salah satu tempat dikatakan amat mustajab untuk berdoa di bumi Madinah itu. Alhamdulillah….bagai akhirnya tegaklah saya di situ. Asalnya ada mahu menganjak ke hadapan lagi. Namun menyedari keadaan yang sesak dan masa terhad….terus mengambil peluang bersolat. Rasa tidak percaya pun ada. Namun kesempatan itu adalah dari Allah. Jadi memilih melakukan solat sunat dua rakaat kerana Allah Ta’ala. KepadaNya wajar dipulangkan segala kesyukuran bukan???  Saya menurut cadangan mutawwif yang mengatakan doa wajar dipanjang semasa sujud terutama sujud akhir dan selepas tahiyat akhir. Ini juga supaya tak dihalau ketika berdoa oleh pengawal masjid tersebut. Saya ada terlihat dua orang wanita(bukan Melayu atau Indonesia) yang berdoa dan membaca buku sambil seorang duduk di atas kerusi dibawa, disitu digesa seperti diusir keluar oleh penjaga Masjid. Ini undang-undang mereka, pasti bersebab…jadi patuhilah. Jadi berdoa di dalam solat itu lebih selamat dan InsyaAllah tidak diganggu. Pohonlah apa sahaja keinginan dan kebaikan yang menjadi keutamaan pada diri dan orang disayangi, kaum keluarga sahabat handai dan akhirnya untuk muslimin dan muslimat. Di samping panjatkan rasa terimakasih pada Rasulullah dan banyakkan berselawat. Waktu itu sememangnya tak dinafikan merasa seperti hampir dengan Rasulullah secara batin dan merasakan  Baginda seperti memerhati kami semua. Itulah pengalaman Raudhah kami….

Petangnya saya mengulangi kafeteria di hotel untuk membancuh minuman menghilang dahaga. Kebetulan mutawwif wanita Malaysia yang memimpin kami pagi itu di Raudhah sedang menjamah sedikit makanan. Saya sempat mengajukan pertanyaan tentang bagaimana sebenar keadaan makam Rasul dan mengapa dikepung kawasan makam Rasulullah itu. Dia lantas mengatakan bahawa makam Rasul bukan macam makam biasa...hanya pasir. Biasa sahaja. Tiada apa yang berlebih-lebihan. Kepungan dibuat kerana pihak yang bertanggungjawab tidak mahu terjadi unsur-unsur yang tak diingini. Untuk mengelak ketaksuban. Menghindari kekhurafatan dan yang sepertinya. Saya faham. Ini kerana saya ingat ada melihat seorang dari pengunjung yang sewaktu melangkah keluar bersama-sama mengangkat kedua-dua tangan melebihi paras bahu(ini telah diingatkan untuk tidak dibuat sewaktu tazkirah diluar) untuk melambai-lambai ke arah kawasan makam Rasulullah(s.a.w)sambil menangis-nangis dan becakap-cakap dengan suara agak kuat, tapi dalam bahasa yang tak pula saya fahami. Apa pun, semuanya antara dia dan Allah. Untuk saya, merasa begitu terhad masa di Raudhah dan memang tidak puas. Namun hanya itu kesempatan yang ada. 3 malam di sana amat pendek. Ditambah dengan keadaan yang agak ketat untuk pengunjung wanita ke Raudhah. Selain mahu meraih solat berjemaah dan lainnya. Bagi lelaki rasanya tiada banyak masalah. Jadi itu pengalaman kecil di Raudhah. Pencetus sampai ke sana pastinya Rasulullah (s.a.w) dan lebih dari itu adalah dengan izin Allah (s.w.t)…..Subhanallah, Alhamdulillah, Allahhuakbar….

Selasa, 10 April 2012

SUCI HATI RASUL DAN KISAH RAUDHAH


Masjid Nabawi dari arah hadapan. 
Membersih dan mensucikan hati menjadi satu tugas mujahadah yang amat berat untuk kita selaku manusia biasa. Itu perjuangan manusia dalam kehidupan berkemungkinan berlanjutan…sehingga ditutup pintu taubat buat seseorang itu. Ini kerana diketahui hanya hati yang celik dan terang itu sahaja mampu mengenal Allah.

Dalam pada manusia dengan matalamat memburu penyucian hati, Rasulullah (s.a.w) pula seorang yang istimewa di mana telah disucikan hatinya semenjak mula oleh Allah (s.w.t), melalui peristiwa belahan dadanya oleh Malaikat. Mungkin ada yang mengatakan….beruntung menjadi seperti Baginda, tidak perlu bersusah seperti kita. Namun hakikatnya Bagindalah yang tehebat memikul kepayahan untuk menyeru, mengajak dan membimbing umatnya ke arah ketakwaan. Hati yang telah suci itu tetap berdepan segala macam pancaroba kehidupan yang jauh lebih sukar dari mana-mana sejarah oleh pemimpin-pemimpin yang lain. Sejarah kepayahannya dapat sahaja kita selidiki. Melalui sejarah hidup dan perjuangan Baginda selaku Rasul terakhir. Satunya bagi kita…walau telah tahu hati Baginda telah ‘suci’ masih mahukah kita menafikan ajaran yang dibawa berupa Al-Quran dan Sunnah. Masih mahukah meragukan keduanya atau salah satu antaranya? Kadangkala manusia bila telah merasa diri lebih berpengetahuan dari orang lain hasil pembacaan dan gulungan pengiktirafan yang diperolehi boleh jadi tersasar sehingga ke peringkat tersebut. Adakalanya bersyukur sahaja dari golongan yang sederhana kerana InsyaAllah tidak mempertikai sehingga ke tahap sebegitu. Selain tidak juga melulu membuta tuli mengikuti sesuatu. Mudah-mudahan Allah membantu dalam setiap kebuntuan.

Pagi cuti umum tadi, terbawa menyelak helaian semuka dua untuk sarapan rohani sebelum sarapan jasmani. Tak semena-mena mendapat sayu. Manusia Agung ini memang hebat. Atas sebab kesucian hatinya itu juga membawa dirinya pada suatu peringkat zuhud yang tak tertanding sesiapa pun di muka bumi ini. Beliau kekasih Allah. Saya melintasi dalam helaian, suatu kisah antara Saidina Umar dan baginda di mana Saidina Umar mengunjungi Baginda di rumah Baginda. Saidina Umar mendapati tiada apa perhiasan dan alat kemudahan di dalam rumah Baginda selain sebuah guriba(bekas air) untuk berwuduk. Saidina Umar menitiskan air mata kerana sangat terharu. Rasulullah bertanya, “Apakah sebabnya engkau mengalirkan airmatamu, ya Umar?” Jawab Umar, “Bagaimana tidak… ya Rasulullah, hanya begini keadaan yang kudapati dalam rumahmu. Tidak ada dunia dan tidak ada kekayaan. Padahal seluruh kunci masyrik dan maghrib telah tenggelam di tanganmu, kekayaan melimpah ruah”.Secara tegas Rasulullah berkata, “ Aku ini adalah utusan Allah, ya Umar! Aku ini bukanlah Kaisar dari Parsi atau Rom. Mereka menuntut dunia tetapi aku menuntut akhirat.”

MasyaAllah….butir-butir yang keluar dari mulut Baginda itulah yang menusuk menikam saya. Alangkah jauhnya saya dari Baginda. Setiap hari memikir kelazatan dunia. Memikir apa yang belum diperolehi dan seringkali melupakan apa yang telah didapati. Mengimpi hidup andai dapat….seribu tahun lagi. Sayang pada kehidupan dan takut pada kematian. Oh! Semoga Allah mengampuni saya dan Rasul mengasihani saya. Semoga dalam ‘ketidaksucian hati’ saya ini, masih Allah memberi peluang dan ruang untuk saya membersihkannya. Semuga dimudahkan jalan dan langkah serta diberi keringanan dan dilorong kepada kebenaran. Bohonglah jika saya katakan tidak teringin berjumpa Rasulullah dan tidak teringin menatap wajah Allah. Itulah dua matalamat kemuncak bagi setiap roh yang telah membuat perjanjian seperti di dalam surah  Al’ Araf:172, bermaksud…”Bukankah aku ini Tuhan kamu? (Roh… menjawab) Ya, bahawasanya kami naik saksi bahawa Kamu adalah Tuhan kami.”…..Inilah perjanjian antara setiap roh kita semua dengan Pencipta. Namun bila terlepas ke dunia. Menjadi seperti ‘kompas yang melupakan jarum’(itu perumpaan rekaan saya). Berbalik kepada kemuncak matalamat mahu bertemu Rasulullah dan berkemuncak mahu menatap wajah Allah, sentiasa juga terpukul kembali dengan soalan….Layakkah aku??? Ternyata jauh dan tersangat jauh. Hati kecil tidak akan berbohong pada tuannya. Hati itu yang mengetahui dan mengenali kita sebelum, kini dan akan datang.
Pintu masuk khas untuk wanita. Di hadapan ini kami berkumpul mendengar penerangan.

Dalam sebuah hadis lain dikatakan Rasulullah dikunjungi Jibrail dan menyampaikan salam dari Tuhan dan bertanya pada Rasulullah akan Jibrail, ”Manakah Engkau sudi Ya Muhammad? Menjadi seorang Nabi yang kaya raya seperti Sulaiman, atau menjadi seorang Nabi yang papa seperti Nabi Ayub?” Tenang dijawab Rasulullah, “Saya lebih suka kenyang sehari dan lapar sehari. Di kala kenyang saya akan bersyukur pada Allah, dikala lapar saya akan bersabar atas ujian Allah.” Mungkin ada juga membangkitkan…Oh! Nabi memanglah jawabnya begitu….Betul! Itu jawapan dari seorang kekasih Allah yang diberi keistimewaan oleh Allah sebagai maksum. Lagi Suci hati. Namun kita selaku umat…beliaulah Rasul kita, anugerah untuk kita. Seorang pemimpin agung. Sehingga dikatakan ada dikalangan Nabi juga teringin menjadi umatnya. Pemimpin dan penunjuk jalan yang Allah adakan untuk kita mengambil pengajaran, panduan dan teladan akan apa yang Allah mahukan dari kita pula. Apa yang Allah mahukan itu bukan untuk mendatangkan kebaikan padaNya melainkan kepada hambanNya semula. Itulah kuasa ketuhanan dan kekuasaan Allah. Semuanya berkumpul dalam RahmatNya dan diturunkan dalam cara dan keadaan menurut sekehendaknya. Tiada hak sebagai hamba, kita mempersoalkannya.

Membawa kisah peribadi, namun 'don't take  it personal'. sewaktu mengunjungi Raudhah di Masjid Nabawi, Madinah yang lalu, saya dapat merasakan keunggulan Rasulullah. Sememang beliau telah tiada secara zahirnya, namun jika diizinkan Allah, batin umatnya pasti dapat merasa beliau masih hidup. Itu wajar kita rasakan dan usaha rasakan. Sewaktu berkumpul dihadapan Masjid sebelum melangkah masuk, kumpulan kami diberi penerangan tentang tatacara untuk melangkah masuk ke Masjid dan kami mendengar. Selain itu mutawwif wanita itu juga membawa penceritaan perihal Rasulullah, makam baginda dan saya yang agak jauh berdiri dari mutawwif kurang dapat mendengar percakapan beliau. Namun saya dapat melihat mereka yang berdekatan dengan mutawwif ramai yang mengesat-ngesat mata dalam keadaan sayau dan kesedihan. Oh! Saya tak rasakan apa-apa. Kerana kejauhan saya. Saya juga tidak dapat mengikut bacaan yang diajarkan kerana tak dapat mendengar dengan jelas. Saya hanya berselawat untuk Baginda dan ahlinya dan wujud rasa penantian mahu masuk ke Raudhah. Namun tidak mudah. Kami dalam kumpulan berhenti sebanyak 3@4 kali sepanjang berjalan masuk menuju ke Raudhah. Ini kerana menurut arahan pengawal Masjid. Di situ memang terdapat mereka(berjubah serba hitam dan ramai hanya yang menampakkan kedua mata sahaja) yang menyelenggarakan kemasukan pengunjung Masjid. Sama ada untuk bersembahyang mahupun berziarah makam Rasul dan ke Raudhah sekaligus. Mereka agak tegas dan wajar kita patuhi.

Sepanjang melangkah hati merasa ternanti-nant. Sewaktu kami berhenti,  digalakkan melakukan solat-solat sunat. Saya menurut, dan dada merasa semakin ternanti-nanti. Penantian itu mampu menuntun ketidaksabaran. Kemudian berhenti lagi….meneruskan dengan solawat yang berterusan serta memberi salam “Assalamualaika Ya Rasulullah….Assalamualaika Ya Nabi Allah…Assalamualaika Ya Habiballah”. Saya Cuma mengulang-ngulang sedemikian dan di dalam hati. Saya merasakan bahawa saat itu amat genting dan seperti mahu menemui seorang yang sangat didambakan. Seorang yang amat penting mengatasi manusia lain di dunia ini. Rasa rindu pada yang tak pernah diketemui, rasa kasih namun bukan pada kekasih. Rasa sayang namun bukan yang biasa dirasa. Rasa yang bermacam-macam dan indah pula. Seperti ada 'physical figure' di dalam sana yang akan saya ketemu. Perasaan yang datang tiba-tiba itu dicantas dengan satu rasa lain. Apa yang mahu ditemui itu mahu menemui saya. Apa cukup syarat dan kelayakkan ada pada saya. Mahu Beliau memandang wajah saya. Oh! Saat itu kesedihan menyelubungi jiwa. Lantas air mata tak dapat diseka. Malu, sedih, rasa kecil dan kerdil sahaja yang ada. Nangislah semahunya. Memang patut dan padan muka dengan apa yang dirasa. Besok di akhirat sewaktu mencari pemberi Syafaat, itu lebih hebat lagi. Ini Masjid ada ‘aircond’….di Mahsyar, di akhirat. Bagaimana? Apa tanda yang dapat membuat pemberi Syafaat itu mampu mengenal umatnya? Ya Allah apakah aku yang sering menepis rahmat dari Mu. Ampunkan aku….Ampunkan aku….Terlanjur aku ya Allah….Kemudian bangkit dan berjalan lagi. Memujuk hati dan mententeramkan jiwa membaca naskah comel. Memilih surah Ya Siin dan Ar-Rahman. Cuba menyejuk jiwa sendirian walau berkeliling kumpulan. Akhirnya tertutup kisah sedih bila disapa seorang Makcik dalam kumpulan yang secara diam mendengar bacaan. Saya layani dia berbual-bual sementara menanti untuk masuk ke Raudhah. Kesedihan terdiam dan berubah kepada sesi kenal mengenal sesama jemaah. Kisah ini pasti perlu sambungannya......InsyaAllah....

Jumaat, 6 April 2012

CERITA UMRAH----HARI JUMAAT DAN SURAH AL-KAHFI.....


Mengambil gambar di Masjidilharam nampak biasa sahaja buat pengunjung. Jadi boleh lah mengenang-ngenang. Namun jika di Madinah kuat diingatkan bahawa di dalam Masjid Nabawi ia adalah larangan. Dari luar sahaja dibolehkan. Oh! Saya seperti lebih suka wajah langit di sana.....
Bertemu lagi dengan hari Jumaat. Sekarang dah petang Jumaat. Kalau masa zaman kecil-kecil dahulu terutama masa sekolah rendah, hari Jumaat ini selaku budak sekolah suka mengatakan ia hari pakai baju kurung. Ini sebabnya waktu itu dapat saya lihat cikgu-cikgu perempuan akan bersama-sama atau seolah-olah berpakat memakai pakaian kebangsaan ini. Jika yang memang bertudung, itu amat biasa. Namun bagi yang tidak bertudung pula, sedaya mungkin akan memperlihatkan keanggunan dengan fesyen masing-masing dan pastinya mereka kelihatan lebih sopan. Namun yang lebih amat sopan pastinya yang ‘menutup aurat’. Itu Jumaat saya masa anak-anak dululah. Hari yang mana bila saya melihat wanita dewasa yang gemar berpakaian ‘skirt’ labuh dengan ‘blouse’, berseluar panjang dan ‘blouse’ atau berkebaya ikut susuk tubuh menyarung baju kurung. Oh!!! apa jumudnya Jumaat kanak-kanak saya….

Namun kini saya dan kita mampu melihat Jumaat sebagai Penghulu Hari. Kita dikhabarkan Hari Kiamat bakal berlaku pada hari Jumaat dan dari situ kita mewujudkan rasa hati-hati pada setiap Jumaat. Mengenang semakin hampirnya kita pada Hari Penutup kehidupan dunia ini. Allahuakbar! Takut pula mengenangkannya. Terkini…saya melalui hari Jumaat dengan pengalaman yang baru dan indah juga. Ini sewaktu mengerjakan Umrah baru-baru ini. Mengapa? Saya katakan bahawa mungkin itulah kelebihan bumi Mekah tersebut. Bila mana ia Tanah Suci dan manusia ke sana untuk menggandakan ibadah, yang banyak bertumpu pada ibadah khusus.

Pagi Jumaat minggu pertama di sana, terpana dengan bacaan imam pada solat Subuh. Sebijik macam dalam kaset. Tak pasti suara siapa. Tapi ada pernah dengar. Jika di sini, peluang untuk berjemaah lebih-lebih lagi di surau bagi saya biasanya tipis. Tak payahlah dihurai dengan alasan. Nama pun alasan. Pasti dapat difikir sendiri. Subuh itu, bila imam membaca surah As-Sajdah….memang jatuh asyik. Walau tak faham sepenuhnya maksud keseluruhan ayat dibaca imam. Umumnya tahulah ia surah Perihal Sujud. Namun setiap surah ada lenggok dan nadanya tersendiri. Pilihlah surah mana anda suka dengan lenggok yang bagaimana pula. Lenggok anak dara tak masuk senarai....Lenggok bacaan imam pagi itu memang mengasyikkan. 30 ayat itu sekejapan rasanya. Namun itu terletak mukjizatnya Al-Quran. Ombak mampu disurutkan. Badai mampu ditenangkan. Api mampu disejukkan. Sesat mampu dikembalikan. Gelap mampu diterangkan. Lebih dari itu, yang kufur mampu disejahterakan(dengan NurIslam). Itu mukjizat kekal Rasulullah (s.a.w), Nabi Tercinta kita Muhammad(s.a.w). Itu pagi yang amat baik menurut saya. Dua rakaat Subuh yang memang pendek tu, terasa lebih singkat. Itu Subuh Jumaat pertama saya di Masjidilharam….I like…

Berkunjung ke Mekah sememangnya tidak sama seperti melancung ke tempat-tempat lain. Ini juga yang diberi ingat oleh para Ustaz dalam sesi kursus juga mutawwif-mutawwif yang menunjukajar di sana. Ini juga wajar kita pegang teguh. Jika kita biasanya melancong dengan tujuan untuk berehat-rehat, merehatkan fikiran, melarikan diri dari tekanan dan bebanan kerja dan tugas harian atau rutin biasa. Ke Mekah pula harus dibezakan. Tanah Haram itu bukan sengaja diberi nama begitu. Utamanya di sana adalah perlaksanaan ibadat-ibadat yang bertepatan dengan tuntutan Tuan Rumah. Solat berjemaah, solat-solat sunat, qiammullail, beriktiqaf di masjid(bagi lelaki utamanya), membaca al-Quran, bersedekah dan jika dapat… berpuasa amat sesuai. Di samping tidak diketepikan…ibadah Umrah dan tawaf sunat yang jadi tujuan asal kita ke sana yang tidak tertunai di tanahair. Bukankah manusia yang ke sana telah mendapat jemputan dari Tuan Rumah. Jadi sebagai tetamu kepada yang sangat-sangat VVV…..IP, wajar kita menjaga adab-adab berkunjung kita. Seboleh mungkin menjaga kelakuan dan usah dibiar tersasar niat bertamu. Bermula dari detik hati kepada perlakuan zahir semua dalam hitungan Tuan Rumah. Di sana juga ada yang menggelar bumi ‘cash and carry’. Ini memang benar. Ini sungguh benar. Saya akui. Pengalaman rakan-rakan yang saya temui tak ketinggalan saya sendiri juga mengesahkan ini. Tidak untuk menakutkan, tetapi ia sebagai pesan memesan dan mahu mengajak diri dan sesiapa yang berniat ke sana untuk lebih berhati-hati. Mudah-mudahan dan InsyaAllah.

Bercerita perihal hari Jumaat itu ada kenangannya. Hah!!! Ini lagi satu kelainan. Wanita dibolehkan solat Jumaat berjemaah bersama-sama jemaah lainnya. Seronok bukan!!! Di sini wanita biasanya hanya solat Zohor sahaja. Pecah tradisi kita di sana. Lepas tu tak perlu lagi solat Zohor, kira terkecualilah. Walau bila khutbah dibaca saya tak faham dan cuma boleh faham bila terkeluar perkataan-perkataan mudah bermaksud seperti langit(as sama’), bumi(al ard) dan seketul itu dan ini…tak kisahlah….Janji merasa juga bersolat Jumaat di sana. Pengalaman baru tu. Seperkara lagi hari Jumaat kita digalakkan membaca surah Al-Kahfi. Ini mengingatkan saya kisah saya pada salah satu pengalaman selepas Zohor minggu pertama saya. Mmmm…Selesai solat Zohor, perut teramatlah lapar namun sengaja melambatkan sedikit keluar dari masjid kerana elak bersesak. Jemaah kebiasaan memang ramai.…percayalah.  Saya lalukan membaca Al-Quran sementara menunggu untuk beberapa ketika jangkaan saya. Sayang juga masa untuk dibiar macam tu saja.

Sedang membaca…perasan juga ada seorang wanita berbadan besar perpakaian serba hitam yang biasa dipakai wanita Arab ada disekitar berdekatan saya. Asalnya dia duduk di atas kerusi. Biasalah di sana …waktu bersembahyang  ikutlah daya masing-masing. Ramai juga sembahyang dari atas kerusi dan kerusi roda juga. Duduk di bawah sahaja juga ada. Begitulah Islam dimudahkan untuk pengikutnya….Kita yang biasanya lupa atau melupakan kemudahan diberi untuk dan selalu jatuh pada memudah-mudahkan pula….Wanita tadi tiba-tiba menghampiri saya. Asalnya melihat saya. Senyum dan kemudian mula menegur. Saya membalas senyum dan terus saja dengan bacaan. Dia kemudian melihat saya membaca di mana. Mengambil sebuah lagi Al-Quran tapi bersaiz besar. Saya membaca yang saiz sedang berwarna biru. Ada juga berwarna hijau. Saya tak pula kaji apa bezanya jenis-jenis al-Quran di rak di sana.  Wanita itu lalu mencari apa yang sedang saya bacakan. Surah Al Mu’minuun seingat saya. Dalam mencari-cari di dalam naskah pegangannya…macam susah nak jumpa. Saya hairan juga. Kemudian saya ternampak tulisan macam dah jumpa…tapi silap pula itu surah Al-Mu’min. Hah!!! Saya selamba bila ditegur sambil beliau menunjukkan kesilapan saya. Saya sedar….saya yang keliru di situ. Agak lama membelek-belek…dia serius sahaja terus mencari dan saya hanya melihat. Akhirnya dia mencari mengikut kaedah lain….lihat pada permualaan Juzuk saya, perhatikan ayatnya bagaimana, dipadankan dalam naskah ditangannya dan terus kepada ayat berapa sedang saya baca. Bila dijumpai….disedari rupanya naskah pegangannya menggunakan daftar nama surah berbeza di bahagian muka carian. Dia seperti mengomel-ngomel dalam bahasanya, mempersoalkan naskah ditangannya, selain seolah beritahu saya untuk membuat carian tidak berdasarkan cara awal tadi, sebaliknya melihat pada ayat awalan pada Juzuk tersebut seterusnya mencari ayat ke berapa sedang dibaca. Lebih elok katanya mengingat sedikit ayat terakhir yang kita sedang baca. Saya suka dengan maklumat beliau sebab….sepanjang membaca di sana memang saya kerap terlupa berhenti pada ayat mana dan terpaksa mengulang ke belakang untuk pastikan saya tak terlepas mana-mana ayat. Maklum tak boleh menanda di naskah itu. Itu harta waqaf di masjid. Lagi pun kita tidak solat di satu tempat sahaja dan tidak mengambil naskah yang sama untuk dibaca. Main ingat-ingat jer mana  berhenti.

Tidak selesai di situ wanita separuh umur itu lalu membuka surah Al-Kahfi dan seolah memberitahu dia sedang di situ. Saya diamkan dan melihat saja wajahnya. Tiba-tiba dia mengajak saya membaca secara bergilir gilir dengannya(semua ini diajukan dalam bahasa Arab…Hah! jadi laksana ayam saya usaha fahamkan bahasa siitik pula…tapi ini lumrah saya dan orang lain juga di sana…kita berbual dalam bahasa masing-masing…pelik tapi benar).  Dalam keadaan menahan lapar.…ada wujud serba salah juga. Nak balik merawat perut atau tunggu. Entah mengapa, atas dasar cuba berbudi bahasa mungkin saya katakan pada diri….”Tak baiklah pulak nak ditolak…bukan diajak buat benda tak baik….membaca Quran….tiada salah…lagi pun mungkin dia nak mengisi masa dengan berteman secara begitu”. Ini kerana sewaktu saya mempersoal niat wanita tersebut di dalam hati kecil…beliau didatangi dunia kanak-kanak berpangkat cucu, membawa minuman untuknya. Tidak berapa lama kemudian datang pula seorang lelaki membawa sesuatu padanya. Dia mengabarkan itu suaminya. Beliau memulakan bacaan dan bergilir dengan saya bila saya di suruh. Bacaan lancar. Saya ada ditegur pada satu tempat yang saya mungkin keliru di situ. Bila sampai pada kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir, saya lantas disoal sama ada tahu perihal kisah tersebut. Di sini dia tahu saya sukar faham maksudnya lantas menanyakan apa saya tahu berbahasa Inggeris. Mengangguk saya dan dia terus berbahasa Inggeris dengan lidah Arabnya. Dia seperti menghuraikan kisah tindakan-tindakan Nabi Khidir yang dipersoalkan Nabi Musa dan pengajaran ayat tersebut. Tak dinafikan ada mendengar kisah itu walau tak ingat sepenuhnya. Saya terus mengangguk-angguk dan seperti berusaha ‘refresh’. Bacaan bergilir diteruskan menurut rentak wanita Arab tersebut dan ditutup dengan bacaan dari dia juga. Lantas saya perhatikan sebelum habis membaca dia menutup Quran dan membaca secara hafaz. Lalu saya tanya…apa dia menghafal ayat tersebut. Dia katakan bahawa amat baik menghafaz 10 ayat pertama dan 4 terakhir surah tersebut bagi menguat daya ingatan. Sebelum bermula dia telah juga mengabarkan bahawa surah al-Kahfi tersebut baik dibaca pada setiap Jumaat dan pada waktu Dhuha. Sebelum ini saya tahu baik dibaca pada 
 Jumaat dan pada waktu Dhuha… adalah maklumat baru untuk saya. Ok juga tu….

Sehabis sahaja….saya amat lega dan terus ingat pada perut yang lapar kembali. Saya meminta izin mahu pulang dan katakan mahu makan sebab sudah amat lapar. Saya tinggalkan wanita itu sendirian. Namun sebelum pergi dia sempat menyoal sambil tersenyum lagi akan nama saya. Selepas menjawab, dia lantas memperkenalkan namanya….”My name is Hope…. In Arab is Amal…. Ain Min Lam(dia mengeja)”….Saya meminga-minga sambil bersoal-soal sendirian. Hope itu harapan….Amal itu beramallah....amalan….Saya pulang dengan terfikir-fikir juga…..Mungkin itu terjemahan dia di mana tak sama dengan kamus saya yang biasa…..sudahnya saya ringkaskan pemikiran...kalau nak 'berharap' mesti 'beramal'. Jika tidak harapan kita mungkin kosong saja.....Apa pun saya macam masuk kelas khas hari itu. Kelas lain dari yang lain gamaknya…..

Selepas bercerita panjang lebar….kita mahulah pada intipatinya. Surah Al-Kahfi memang dikatakan ‘coverage’ untuk seminggu. Perihal fadhilat boleh dicari dengan carian atau melalui buku-buku di pasaran. Namun nak raih yang itu mesti dimula dengan membaca. Selepas membaca, mesti konsisten pula. Selain mencari-cari makna mengambil tahu tafsirnya dan melazimi serta meyakini keseluruhannya. InsyaAllah kita bakal dapat manfaat bersama…Mudah-mudahan….Jom kita usaha membaca….

Selasa, 3 April 2012

Asyik-asyik baca surah Yaasiin.....Tak bosan ker???

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.....

Bila sebut perihal membaca Al-Quran, ada satu yang menarik perhatian saya. Surah Yaasiin. Surah ini diumpamakan seperti 'Hati Al-Quran'. Jika dalam sebatang tubuh kita agak maklum dengan fungsi 'hati'. Bila hati rosak atau tak berfungsi dengan baik....maka macam-macam komplikasi boleh datang. Perut boleh membengkak, mata putih dan tubuh berubah kekuningan dan macam-macam. Rawatan amat penting cepat dan amat perlu dengan tepat. 

Berbalik perihal Surah Yaasiin. Selalu juga didengari komen yang mengatakan....Asal baca Al-Quran....asyik-asyik baca Yaasiin. Itu pulak pilihnya malam Jumaat. Pandangan ini mungkin datang atas sebab ingin mencadangkan bahawa Al-Quran itu wajar dibaca keseluruhannyadan tidak pula terhad malam Jumaat, sama seperti kita membaca buku cerita dan buku lainnya dari muka pertama ke muka akhir untuk mendapat kesannya dan mengaut kebaikannya. Persoalan tidak pandai berbahasa Arab boleh sahaja diperlihatkan terjemahan dan lebih dari itu tafsiran sekaligus. Lebih dari itu jika tidak mampu juga faham....carilah yang alim tentang maksudnya untuk penerangan yang lebih lagi. Jadi ada benarnya komen 'asyik-asik baca Yaasiin' tersebut... dan tidak juga salahnya jika kita gemar dan gemar membaca Yaasin. Tak dinafikan juga ada yang merasa kurang yakin dengan kebolehan membaca Al-Quran mereka lantas tertumpu membaca hanya surah Yaasiin(didengari dengan telinga saya sendiri). Ini boleh sahaja dipertingkatkan dengan kembali belajar dan berguru. Ini sahih kerana terdapat banyak fadhilat terhadap bacaan surah Yaasiin tersebut. Palingnya ia pada saya surah yang memberi 'keringanan'....InsyaAllah...Dalam dunia jika dapat semua orang mahu yang ringan-ringan dan mudah-mudah. Cuma bab poket kita mahu diberat-beratkan....(hakikaaatun...)

Mahu saya tambah disini. Menurut yang saya pernah terbaca dikatakan bahawa surah Yaasiin memberi 'coverage' untuk seharian. Dibaca pada pagi hari, maka InsyaAllah 'coverage' hingga subuh keesokannya. Jadi itu secara paling mudah difikirkan. Namun cukupkah dengan membaca sahaja surah dan tutup buku??? Jika kita membaca untuk mendapat khasiatnya pasti perlu pada doanya. Doa adalah senjata selain ia permohonan ampuh perihal keperluan kita dari yang Maha memenuhi keperluan. Di antara doa surah Yaasiin yang paling bertepatan setakat ini pernah saya jumpa (termaktub dalam buku-buku surah Yaasiin berserta Tahlil dan zikir-zikir di pasaran)....Renung dan hayati maksudnya(sedapat mungkin baca dahulu yang versi Arabnya dengan tajwid, makhraj dan penyebutan yang paling betul sedapatnya sepenuh hati)...InsyaAllah tercapai maksud dengan bacaan kita....

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala pujian bagi Allah Tuhan yang mentadbirkan seluruh alam; iaitu puji-pujian yang menyamai segala nikmat-Nya dan sebanding dengan segala tambahan-Nya. Wahai Tuhan kami, pada-Mu segala pujian sebagaimana yang selayaknya dengan kebesaran zat-Mu dan dengan kebesaran kekuasaan-Mu. Ya Allah, kurniakanlah kesejahteraan dan keselamatan ke atas penghulu kami Nabi Muhammad dan ke atas sekalian keluarga serta sahabat-sahabat Baginda sekalian.

Ya Allah, dengan hak kebenaran Yaasiin dan demi Al-Quran yang penuh segala hikmah dan demi zat yang telah memiliki membawa risalah dan kenabian, pemerintahan dan petunjuk kepada jalan Engkau yang lurus; padanya daripada Engkau melalui Malaikat Jibril yang diturunkan oleh Engkau Yang Maha Mulia dan Maha Penyayang; dan demi setiap huruf (Al-Quran) dan nama-nama-Mu yang telah nyata, wahai zat yang tersembunyi kelembutan-Mu; yang menghilangkan segala dukacita yang menghapuskan kesusahan bagi semua yang berhutang; wahai zat yang menjadikan khazanahnya diantara huruf "kaf dan nun" dan yang mengetahui sesuatu yang telah ada dari sebelum adanya. Dan aku memohon ya Allah, sesungguhnya aku memohon kedudukan yang baik yang engkau redhai dan sesungguhnya jadikanlah kami dalam kumpulan yang berbahagia serta mencukupi dan Engkau permudahkanlah bagi kami semua kehendak kami dan tuntutan kami, dan kurniakanlah kebaikan bagi kami, memohon perlindungan dengan zat-Mu Yang Maha Agung serta Maha Pengurnia, dan kurniakanlah kepada kami kejayaan yang segera. Perkenankanlah ya Allah doa kami dan terimalah oleh-Mu kembalinya kami; masukkanlah kami ke dalam pemeliharaan Engkau dengan rahsia firman-Mu bahawa sesungguhnya apabila Engkau mengkehendaki sesuatu hanya berkata"kun" maka jadilah ia. Maha Suci Engkau yang dengan kekuasaan-Mu menguasai tiap-tiap sesuatu dan kepada-Mu semuanya akan kembali.

Maha Suci zat yang menghilangkan segala kehinaan. Maha Suci zat yang menghilangkan segala kedukaan. Maha Suci zat yang memerintahkan apabila mengkehendaki sesuatu hanya berkata "kun" maka jadilah ia. Wahai zat yang menghilangkan dukacita, wahai zat yang menghilangkan, hilangkanlah! Wahai zat yang menghilangkan, hilangkanlah! Hilangkanlah dari kami segala kesusahan dan dukacita kami; wahai zat yang hidup! Wahai zat yang berdiri dengan sendiri! Wahai zat Yang Maha Agung dan Maha Mulia! Ya Allah, kurniakanlah kesejahteraan dan keselamatan ke atas penghulu kami Nabi Muhammad (s.a.w), dan ke atas keluarga dan sahabat-sahabat Baginda sekalian. Segala pujian tertentu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam."

Mungkin ada yang mengatakan..."Alamak panjangnya....Dahlah baca Yaasiin tu terasa panjang dan lama nak doa lagi sepanjang ini. Namun saya yang kecil dan kerdil ini tetap menyarankan rawatan hati dan diri dengan Hati Al-Quran ini berserta doaNya. Kebaikannya bukan untuk Allah bahkan untuk diri kita bersama namun niatnya perlu semat-mata sahaja kerana Allah.....Tambahan lagi jika melazimi bacaan Yaasiin dan doanya akan memahirkan lidah anda dan kelancaran akan bertambah. Selain itu akan diperasani bahawa masa yang diambil untuk kedua-duanya tidaklah sepanjang mana berbanding kebaikan yang InsyaAllah Allah beri kepada sipembaca.....

Wassalam....