Selasa, 10 April 2012

SUCI HATI RASUL DAN KISAH RAUDHAH


Masjid Nabawi dari arah hadapan. 
Membersih dan mensucikan hati menjadi satu tugas mujahadah yang amat berat untuk kita selaku manusia biasa. Itu perjuangan manusia dalam kehidupan berkemungkinan berlanjutan…sehingga ditutup pintu taubat buat seseorang itu. Ini kerana diketahui hanya hati yang celik dan terang itu sahaja mampu mengenal Allah.

Dalam pada manusia dengan matalamat memburu penyucian hati, Rasulullah (s.a.w) pula seorang yang istimewa di mana telah disucikan hatinya semenjak mula oleh Allah (s.w.t), melalui peristiwa belahan dadanya oleh Malaikat. Mungkin ada yang mengatakan….beruntung menjadi seperti Baginda, tidak perlu bersusah seperti kita. Namun hakikatnya Bagindalah yang tehebat memikul kepayahan untuk menyeru, mengajak dan membimbing umatnya ke arah ketakwaan. Hati yang telah suci itu tetap berdepan segala macam pancaroba kehidupan yang jauh lebih sukar dari mana-mana sejarah oleh pemimpin-pemimpin yang lain. Sejarah kepayahannya dapat sahaja kita selidiki. Melalui sejarah hidup dan perjuangan Baginda selaku Rasul terakhir. Satunya bagi kita…walau telah tahu hati Baginda telah ‘suci’ masih mahukah kita menafikan ajaran yang dibawa berupa Al-Quran dan Sunnah. Masih mahukah meragukan keduanya atau salah satu antaranya? Kadangkala manusia bila telah merasa diri lebih berpengetahuan dari orang lain hasil pembacaan dan gulungan pengiktirafan yang diperolehi boleh jadi tersasar sehingga ke peringkat tersebut. Adakalanya bersyukur sahaja dari golongan yang sederhana kerana InsyaAllah tidak mempertikai sehingga ke tahap sebegitu. Selain tidak juga melulu membuta tuli mengikuti sesuatu. Mudah-mudahan Allah membantu dalam setiap kebuntuan.

Pagi cuti umum tadi, terbawa menyelak helaian semuka dua untuk sarapan rohani sebelum sarapan jasmani. Tak semena-mena mendapat sayu. Manusia Agung ini memang hebat. Atas sebab kesucian hatinya itu juga membawa dirinya pada suatu peringkat zuhud yang tak tertanding sesiapa pun di muka bumi ini. Beliau kekasih Allah. Saya melintasi dalam helaian, suatu kisah antara Saidina Umar dan baginda di mana Saidina Umar mengunjungi Baginda di rumah Baginda. Saidina Umar mendapati tiada apa perhiasan dan alat kemudahan di dalam rumah Baginda selain sebuah guriba(bekas air) untuk berwuduk. Saidina Umar menitiskan air mata kerana sangat terharu. Rasulullah bertanya, Apakah sebabnya engkau mengalirkan airmatamu, ya Umar?” Jawab Umar, “Bagaimana tidak… ya Rasulullah, hanya begini keadaan yang kudapati dalam rumahmu. Tidak ada dunia dan tidak ada kekayaan. Padahal seluruh kunci masyrik dan maghrib telah tenggelam di tanganmu, kekayaan melimpah ruah”.Secara tegas Rasulullah berkata, “ Aku ini adalah utusan Allah, ya Umar! Aku ini bukanlah Kaisar dari Parsi atau Rom. Mereka menuntut dunia tetapi aku menuntut akhirat.”

MasyaAllah….butir-butir yang keluar dari mulut Baginda itulah yang menusuk menikam saya. Alangkah jauhnya saya dari Baginda. Setiap hari memikir kelazatan dunia. Memikir apa yang belum diperolehi dan seringkali melupakan apa yang telah didapati. Mengimpi hidup andai dapat….seribu tahun lagi. Sayang pada kehidupan dan takut pada kematian. Oh! Semoga Allah mengampuni saya dan Rasul mengasihani saya. Semoga dalam ‘ketidaksucian hati’ saya ini, masih Allah memberi peluang dan ruang untuk saya membersihkannya. Semuga dimudahkan jalan dan langkah serta diberi keringanan dan dilorong kepada kebenaran. Bohonglah jika saya katakan tidak teringin berjumpa Rasulullah dan tidak teringin menatap wajah Allah. Itulah dua matalamat kemuncak bagi setiap roh yang telah membuat perjanjian seperti di dalam surah  Al’ Araf:172, bermaksud…”Bukankah aku ini Tuhan kamu? (Roh… menjawab) Ya, bahawasanya kami naik saksi bahawa Kamu adalah Tuhan kami.”…..Inilah perjanjian antara setiap roh kita semua dengan Pencipta. Namun bila terlepas ke dunia. Menjadi seperti ‘kompas yang melupakan jarum’(itu perumpaan rekaan saya). Berbalik kepada kemuncak matalamat mahu bertemu Rasulullah dan berkemuncak mahu menatap wajah Allah, sentiasa juga terpukul kembali dengan soalan….Layakkah aku??? Ternyata jauh dan tersangat jauh. Hati kecil tidak akan berbohong pada tuannya. Hati itu yang mengetahui dan mengenali kita sebelum, kini dan akan datang.
Pintu masuk khas untuk wanita. Di hadapan ini kami berkumpul mendengar penerangan.

Dalam sebuah hadis lain dikatakan Rasulullah dikunjungi Jibrail dan menyampaikan salam dari Tuhan dan bertanya pada Rasulullah akan Jibrail, ”Manakah Engkau sudi Ya Muhammad? Menjadi seorang Nabi yang kaya raya seperti Sulaiman, atau menjadi seorang Nabi yang papa seperti Nabi Ayub?” Tenang dijawab Rasulullah, “Saya lebih suka kenyang sehari dan lapar sehari. Di kala kenyang saya akan bersyukur pada Allah, dikala lapar saya akan bersabar atas ujian Allah.” Mungkin ada juga membangkitkan…Oh! Nabi memanglah jawabnya begitu….Betul! Itu jawapan dari seorang kekasih Allah yang diberi keistimewaan oleh Allah sebagai maksum. Lagi Suci hati. Namun kita selaku umat…beliaulah Rasul kita, anugerah untuk kita. Seorang pemimpin agung. Sehingga dikatakan ada dikalangan Nabi juga teringin menjadi umatnya. Pemimpin dan penunjuk jalan yang Allah adakan untuk kita mengambil pengajaran, panduan dan teladan akan apa yang Allah mahukan dari kita pula. Apa yang Allah mahukan itu bukan untuk mendatangkan kebaikan padaNya melainkan kepada hambanNya semula. Itulah kuasa ketuhanan dan kekuasaan Allah. Semuanya berkumpul dalam RahmatNya dan diturunkan dalam cara dan keadaan menurut sekehendaknya. Tiada hak sebagai hamba, kita mempersoalkannya.

Membawa kisah peribadi, namun 'don't take  it personal'. sewaktu mengunjungi Raudhah di Masjid Nabawi, Madinah yang lalu, saya dapat merasakan keunggulan Rasulullah. Sememang beliau telah tiada secara zahirnya, namun jika diizinkan Allah, batin umatnya pasti dapat merasa beliau masih hidup. Itu wajar kita rasakan dan usaha rasakan. Sewaktu berkumpul dihadapan Masjid sebelum melangkah masuk, kumpulan kami diberi penerangan tentang tatacara untuk melangkah masuk ke Masjid dan kami mendengar. Selain itu mutawwif wanita itu juga membawa penceritaan perihal Rasulullah, makam baginda dan saya yang agak jauh berdiri dari mutawwif kurang dapat mendengar percakapan beliau. Namun saya dapat melihat mereka yang berdekatan dengan mutawwif ramai yang mengesat-ngesat mata dalam keadaan sayau dan kesedihan. Oh! Saya tak rasakan apa-apa. Kerana kejauhan saya. Saya juga tidak dapat mengikut bacaan yang diajarkan kerana tak dapat mendengar dengan jelas. Saya hanya berselawat untuk Baginda dan ahlinya dan wujud rasa penantian mahu masuk ke Raudhah. Namun tidak mudah. Kami dalam kumpulan berhenti sebanyak 3@4 kali sepanjang berjalan masuk menuju ke Raudhah. Ini kerana menurut arahan pengawal Masjid. Di situ memang terdapat mereka(berjubah serba hitam dan ramai hanya yang menampakkan kedua mata sahaja) yang menyelenggarakan kemasukan pengunjung Masjid. Sama ada untuk bersembahyang mahupun berziarah makam Rasul dan ke Raudhah sekaligus. Mereka agak tegas dan wajar kita patuhi.

Sepanjang melangkah hati merasa ternanti-nant. Sewaktu kami berhenti,  digalakkan melakukan solat-solat sunat. Saya menurut, dan dada merasa semakin ternanti-nanti. Penantian itu mampu menuntun ketidaksabaran. Kemudian berhenti lagi….meneruskan dengan solawat yang berterusan serta memberi salam “Assalamualaika Ya Rasulullah….Assalamualaika Ya Nabi Allah…Assalamualaika Ya Habiballah”. Saya Cuma mengulang-ngulang sedemikian dan di dalam hati. Saya merasakan bahawa saat itu amat genting dan seperti mahu menemui seorang yang sangat didambakan. Seorang yang amat penting mengatasi manusia lain di dunia ini. Rasa rindu pada yang tak pernah diketemui, rasa kasih namun bukan pada kekasih. Rasa sayang namun bukan yang biasa dirasa. Rasa yang bermacam-macam dan indah pula. Seperti ada 'physical figure' di dalam sana yang akan saya ketemu. Perasaan yang datang tiba-tiba itu dicantas dengan satu rasa lain. Apa yang mahu ditemui itu mahu menemui saya. Apa cukup syarat dan kelayakkan ada pada saya. Mahu Beliau memandang wajah saya. Oh! Saat itu kesedihan menyelubungi jiwa. Lantas air mata tak dapat diseka. Malu, sedih, rasa kecil dan kerdil sahaja yang ada. Nangislah semahunya. Memang patut dan padan muka dengan apa yang dirasa. Besok di akhirat sewaktu mencari pemberi Syafaat, itu lebih hebat lagi. Ini Masjid ada ‘aircond’….di Mahsyar, di akhirat. Bagaimana? Apa tanda yang dapat membuat pemberi Syafaat itu mampu mengenal umatnya? Ya Allah apakah aku yang sering menepis rahmat dari Mu. Ampunkan aku….Ampunkan aku….Terlanjur aku ya Allah….Kemudian bangkit dan berjalan lagi. Memujuk hati dan mententeramkan jiwa membaca naskah comel. Memilih surah Ya Siin dan Ar-Rahman. Cuba menyejuk jiwa sendirian walau berkeliling kumpulan. Akhirnya tertutup kisah sedih bila disapa seorang Makcik dalam kumpulan yang secara diam mendengar bacaan. Saya layani dia berbual-bual sementara menanti untuk masuk ke Raudhah. Kesedihan terdiam dan berubah kepada sesi kenal mengenal sesama jemaah. Kisah ini pasti perlu sambungannya......InsyaAllah....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan