Khamis, 19 April 2012

PENDAKIAN GUNUNG HIRA.


Rasanya ada cerita yang perlu penyudahan. Omongan tentang Gua Hira’….InsyaAllah. Sesungguhnya, semua kisah yang disampaikan berkisar kisah umrah mahu pun ziarah sekitar masa di ‘sana’ adalah sekadar catatan peribadi disamping perkongsian yang diharapkan dapat menjadi panduan untuk sesiapa yang mungkin berhajat untuk ke ‘sana’. Pengalaman saya mungkin sahaja tidak sama dengan mereka yang lain dan mungkin akan jauh berbeda dari yang bakal ke sana(mungkin anda akan melalui sesuatu yang lebih hebat dan luarbiasa). Apa yang penting adalah perjalanan ke sana bukan perjalanan biasa, tambahan lagi untuk kali pertama. Pengunjung berhak untuk menjadikan ‘pengalaman pertama itu sesuatu yang manis untuk dikenang’. Jadi, semoga ada panduan dan iktibar yang dapat diambil dari kisah-kisah yang disampaikan. 

Kisahnya setelah berkumpul kami menaiki bas yang telah disewa untuk menghantar kami ke misi Gua Hira’. Ada antaranya jemaah yang tidak ikut serta. Masing-masing ada alasan tersendiri, dan sekali lagi mendaki itu bukan suatu paksaan. Telah dipesan juga, melalui surat kepada jemaah dari pengurus pakej kami(sebelum berangkat lagi) bahawa ‘kesihatan yang baik perlu untuk aktiviti tersebut’. Selain kami dinasihatan memakai pakaian dan kasut bersesuaian. Serta tambahan SR15 sebagai tambang ‘extra’. Namun memandang diri saya sendiri, tak seperti mahu mendaki. Hanya memakai pakaian biasa dipakai dan bersandal sarung dan bersetokin seperti biasa. Almaklum saya hanya berbekalkan ‘kemahuan dan keinginan dalaman’ bukan persediaan luaran. Selebihnya hanya berharap agar dipermudahkan oleh Allah akan apa yang mahu dilalui. Berfikir juga, jika berniat untuk kebaikan…harapnya berkesudahan sesuatu yang baik juga. InsyaAllah.

Di dalam bas, bersandar dan ‘mamai’.  ‘Air-cond’ buat saya kembali berlawan dengan rasa mengantuk. Duduk pula di sebelah tepi luar, bersebelahan kawan Ustazah yang di tepi tingkap. Ustazah ini banyak bercakap(kalah pulak saya!) itu dan ini disamping menunjukkan rasa teruja yang amat sangat. Sebaliknya saya…..hanya mendengar suaranya menjadi sayup dan semakin sayup. Saya sempat ketiduran. Hah!Hah!Hah macam ni nak mendaki. Apa mendaki dengan mata terpejam mungkin!!! Hampir tiba ke tempat di tuju, saya terjaga. Saya tidak pasti jarak jauh antara tempat kami dengan destinasi, selain tidak pula melihat berapa lama masa diambil untuk tiba. Dah sampai kira oklah tu…..

Kami dihantar betul-betul di bawah kawasan Gunung Hira tersebut. Di situ kami dibawa pula oleh van untuk naik ke kawasan betul-betul kaki Gunung Hira’. Setelah tiba awalnya ada satu perasaan yang tak dapat dinyatakan. Diperhatikan,  terdapat semacam gerai kecil menjual barangan seperti tasbih, buku-buku dan yang sepertinya. Dalam suasana malam itu saya mendongak melihat ke atas….melihat apa yang bakal dilalui. “Subhanallah! Tingginya….apa melepek aku dibuatnya”. Timbul pula rasa seperti ketakutan tak mampu mengharung pendakian. Bimbang akan kesihatan tubuh badan, apakah mengizinkan???. Bunga-bunga tidak yakin makin bercambah. Walau ‘blur’, saya memulakan memanjat jalan tar yang sangat curam dari kedai di kaki gunung itu, menuruti yang lain. Itu langkah pertama. “Ya Allah!” Tak semena-mena lutut menjadi ketat, dada menjadi berombak tersangat pantas. Rasanya jantung seperti mahu keluar. Apa itu ‘adrenalin’ Gunung Hira’?…..Mata tercekang!!!. Toinggg!!!. Macam ‘spring’. Mengantuk juga sudah ditelannya. Rasa ‘dahsyat. Rupanya bukan saya sahaja….yang lain juga rasa yang sama(tapi mungkin tak serupa). Tambahan antaranya ramai juga yang sudah berumur melebihi 50an. Ada yang berpenyakit asma’. Ada juga yang bermasalah jantung dan telah pun melakukan pembedahan. Si pesakit jantung itu juga sebelum itu pernah melakukan pembedahan kanser.  Itu antara yang saya tahu. Ini kerana isteri-isteri mereka, kawan-kawan saya di sana. Kesukaran seperti Ini mungkin hanya kami yang merasa. Untuk yang biasa dengan aktiviti mendaki atau memanjat, mungkin tidak merasa seperti kami. Oleh itu kami berhenti selepas halangan pertama. Kami teruskan juga.

Kami mendaki lagi. Saya dapat rasakan kepayahan untuk mendaki. Ada satu rasa ‘tidak larat’. Padahal masih awal. Tidak mampu. Ada rasa mahu berhenti sebelum terlewat. Saya terasa bimbang akan menyusahkan sesiapa andai kata berlaku sesuatu yang tidak diingini. Dalam pada berkira-kira sebegitu, terlintas pula….siapa sahaja yang ada dibawah untuk saya berkawan. Takkan nak berbual-bual (dah jadi macam hobi!!) dengan penjaga kedai(si Arab yang asing tu dalam waktu sebegitu...eh! tak pernah saya buat)…..Pendakian itu pasti lama. Apa nak jadi penunggu kaki Gunung Hira’ malam itu. Ah!!! Serasa itu lebih 'tidak selamat’……Kelihatan semua yang hadir mahu terus mendaki. Niat untuk turun saya batalkan. Dengan lafaz yang agak kedengaran(sekadar melepas rasa tekanan) dari mulut spontan, “La hawlawa quwwatailla billahila’liyyuladzim” (tidak ada daya upayaku dan kekuatanku melainkan hanya dengan kekuasaanMu ya Allah…) pendakian saya gagahkan. Peringkat ini dapat dirasakan ia lebih meyakinkan. Namun kami masih tersangat jauh….

Dalam pendakian ini, saya pastikan saya akan beriringan dengan ahli kumpulan. Sedapat mungkin ahli yang saya ‘biasa’ dan sehotel dengan saya(ada yang lain hotel, oleh itu mereka kumpulan lain tapi dari pengurus pakej yang sama). Ini kerana sepanjang pendakian saya memang banyak kali berhenti rehat. Saya tidak mahu terlalu memaksa diri untuk cepat sampai, kerana saya teramat sedar keupayaan saya. Apa yang saya lihat, kawan-kawan saya sama sebegitu. Kami biasanya tidak jauh antara satu sama lain. Saling lihat melihat. Tiba-tiba saya disapa oleh seorang wanita dari kumpulan lain. Dia yang berseluar dan memakai ‘blouse’ memegang sebatang kayu(diguna untuk membantu dia mendaki) bertanyakan keadaan saya. Saya yang dalam keadaan cuba bernafas dengan betul melayan juga sapaannya. Sampai satu peringkat dia meminta saya meneka umurnya. Waktu itu kawan Ustazah saya ada bersama. Saya pun meneka. Hujung 40an awal 50an. Ternyata tekaan meleset. Beliau berumur 65tahun. Mak oiiiiiiiii!!! Malunyerrr….Saya yang baru nak cecah 40 dah tercungap-mungap. Wanita tu ‘relax’ dengan tongkat dia. Nampak ‘rugged’ lagi. Sempat bercerita. Dia sememang suka dengan ‘exercise’.  Oh! Itulah kelebihan dia. Dia mendaki terus meninggalkan saya dan kawan Ustazah. 

 
Kawan Ustazah saya pula sempat bercakap-cakap lagi perihal sejarah Islam(maklumlah rindu pada anak murid agaknya….). Saya mendengar sahaja. Katanya, bayangkan keadaan Rasulullah yang sering ke Gua Hira’ untuk bersendiri. Selain Siti Khadijah yang sering pula berulang-alik menghantar bekalan kepada Baginda. Pengorbanan yang kedua-duanya harungi demi agama Islam, demi Allah. Dalam hati saya mengiakan semuanya. Hati menjadi syahdu. Jiwa menjadi sayu. Dalam mengharungi malam dengan satu pendakian, saya teruskan, kami teruskan. Hati berkata, "Ada baiknya juga aku kenal Ustazah seorang ni. Dalam ‘bebelan’ dia yang seperti tak mengenal letih, ada kebaikannya"…..Lagi lebih hati juga mengatakan, “Belum pernah aku dengar orang mati mendaki Gunung Hira”….Itu nak semangatkan diri sendiri. Sekali lagi dikatakan bagi yang biasa dengan aktiviti lasak….mungkin tiada rasa apa-apa. Apa yang saya lalui adalah bagi mereka yang tidak biasa. Bagaimanapun dinasihatkan pula jangan pula mendaki dengan rasa bangga dan besar diri. Usah juga memperkecilkan Gunung ini dengan alasan sudah biasa dengan yang lebih tinggi. Ini pesanan mutawwif. Pasti bersebab. Fikirlah. Apa yang pasti kami mendaki dengan melafazkan tasbih, tahmid, takbir dan menyerahkan diri pada Allah bagi keselamatan kami. Kami sedar kami tidak berkuasa atas apa-apa pun tentang diri kami. Sebaliknya Allah yang menggenggam segala-galanya berkenaan kami. Mampu atau tidak kami pasrah dan berserah. Kami menanti sahaja bila akan tamat pendakian dan berdoa agar selamat naik dan turun semula. Kami menurut takdir kami. Bekalan kami hanya niat untuk merasai ‘sedikit…teramat sedikit dari perjuangan yang amat besar dari Rasulullah (s.a.w) dalam kehidupan Baginda.

Sepanjang pendakian hanya terasa peluh membasahi diri. Terutama bahagian kepala. Mungkin disebabkan saya bertudung dan bahagian kepala tak dapat udara. Rambut memang dibasahi keringat. Meleleh…mengalir menyeluruhi kepala. Walau sukar dan payah dirasakan untuk sampai ke puncak, kami masih beruntung. Pendakian sedikit dimudahkan dengan adanya jalan-jalan yang dibentuk seperti tangga-tangga dan juga besi-besi pemegang. Ini dikatakan dibina secara sukarela oleh ‘segelintir mereka’ di situ. Dalam pendakian, ada terserempak dengan mereka yang sedang menyimen sebahagian kawasan dan memegang lampu. Mereka juga meminta upah dari pendaki. Terpulang….ikutlah keikhlasan pendaki. Itu juga bukan paksaan. Tidak memberi tak mengapa, usah dikata usaha mereka.

Sehingga satu peringkat mendaki, saya terasa seperti mahu pitam. Dalam gelap malam, mata rasa juga lebih kabur. Peluh dingin dibadan. Saya khabarkan pada kawan Ustazah. Saya jangka ini mungkin kerana darah sudah bertumpu di kaki. Kurang di kepala. Jadi mungkin besar oksigen dah tak sampai. Lantas saya berehat. Mengalih pandangan ke kawasan keliling yang bercahaya. Jangkanya itu penempatan dan jalan-jalan. Supaya mata lega sedikit dari asyik merenung kekaburan dalam mendaki. Namun semuanya kelihatan kecil-kecil belaka. Saat ini, saya berseorangan. Tak dapat memaksa orang lain menanti. Namun masih beruntung, ada lagi yang dibelakang. Tidak pula keseorangan. Dalam pada berhenti rehat, apa yang difikirkan hanyalah mahu sampai. Alang-alang mendaki biar sampai. Dapat rasakan Allah Maha Tahu, dan mengukuhkan kepercayaan niat yang baik, InsyaAllah berakhir dengan kebaikan juga. Lepas rehat agak lama. Mendaki lagi…..akhirnya beriringan semula dengan rakan-rakan. Pendakian semakin hampir. Sewaktu kami hampir ke puncak, ada beberapa yang telah mahu turun. Wah!!! Itu mereka yang ‘handal’ pada saya. Cepat sungguh. Namun bersyukur akhirnya kami tetap sampai. Baju panas yang dibawa bukan dipakai, sebaliknya menjadi pengesat peluh untuk saya. Tiada masa untuk rasa kesejukan kerana berpeluh sepanjang pendakian.Akhirnya……sampai di puncak. Eh!!!baru di puncak belum lagi di Gua Hira’. Puncak ini di hadapan gunung. Sebaliknya untuk ke Gua Hira’, perlu mencelah laluan kecil. Sekali lalu rasa tak boleh lepas. Laluan ini diapit oleh batuan besar dan meniggalkan laluan tersangat sempit. Dikatakan ada laluan ke dua untuk ke gua. Saya tidak ambil tahu. Sehabis daya saya ‘mengempiskan’ badan(maklum saya dah beranak empat. Mahu tidak, pasti ada kumpulan-kumpulan lemak di sana-sini). Alhamdulillah! Lepas dan sampailah saya di situ. Tempat yang dituju-tuju. Gua Hira’, tempat turunnya wahyu pertama pada Rasul tercinta, kekasih Allah, penyelamat ummat. Lega teramat lega……..(oh! Tak habis lagi nampaknya….masih ada lagi???….dikemudiankan saja….)


2 ulasan:

  1. Masa zie ke sana dulu, kami hanya melihat dari jauh je kawasan berbukit yg terdapat gua hira' ni. Bertuahlah awak dila dapat menjejakkan kaki ke situ...Syahdu membaca catatan dila tentang pengalaman mendaki ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah Zie, walau ketinggiannya tak sampai 300m tapi, pengalaman di situ ada memberi rasa. Kita membayangkan apa rasa berseorangan dalam kejauhan hiruk pikuk keliling dan hanya mengingat Dia yang satu. Hakikatnya melihat Dia yang satu, itu sebenar melihat seluruh alam dan bila melihat seluruh alam, itu menjurus melihat Dia yang Esa. Dua hala pengelihatan dgn mata dan hati cuma akan berbalik pada yang Esa.

      Padam