Sejarah turunnya wahyu pertama atas
junjungan Rasul tercinta Nabi Muahammad (s.a.w) sememangnya diketahui ramai.
Hatta kanak-kanak sekolah juga mampu bercerita kerana telah mempelajarinya
dalam pelajaran di sekolah. Gua Hira’ adalah tempat di mana Rasulullah (s.a.w)
sering kunjungi dan menyendiri di sana, untuk beriktikaf dan beribadah di
dalamnya sehingga wahyu pertama turun kepada Baginda. Itulah surah al-Alaq. Pernah
saya bercerita perihal itu sebelum ini. Wahyu Pertama Pembuka Ilmu.
Bila menyebut Gua Hira’, biasanya
kita hanya membayangkan hanya guanya. Mungkin untuk mereka yang belum
berpeluang ke sana tidak dapat membayangkan suasana sebenar letak
kedudukan Gua Hira’. Begitulah saya sebelumnya. Saya hanya mampu menyebut dan
kabur dalam menggambarkannya. Di sini saya bawakan antara fakta ringkas yang
dipetik dalam sebuah buku yang sempat dibeli di Mekah bertajuk Mekah Al
Mukarramah, Sejarah dan Monumen yang disusun oleh Mahmud Muhammad Hamo:
‘Berlokasi di Timur Laut Masjidil
Haram, di jalan Thaif (Sail), berjarak dari Masjidil Haram 4km. Tingginya 280m
dari sekitarnya, puncaknya menyerupai punuk(saya andaikan bonggol ) unta, luasnya mencapai 5km persegi
dan di puncak Gunung Hira’ terdapat Gua Hira, iaitu rongga di dalam gunung,
pintunya menghadap ke utara. Di arah kiblatnya ada celah, darinya dapat dilihat
Masjidil Haram. Panjang Gua sekitar 3m dengan lebar antara 1.5 -2m, dan
tingginya setinggi tubuh manusia ukuran sedang.’
Suatu malam sewaktu berada di
Mekah, di dewan makan saya yang agak letih dan memaksa diri menjamah makan malam
sekitar waktu lebih seditkit 9pm. Mahu diikutkan tak lalu nak mengunyah dan
menelan kerana mata dan seluruh badan dalam keadaan amat kepenatan. Hakikatnya,
dunia memang tempat berpenat lelah, bukan berehat-rehatan baik dari segi menjaga
urusan dunia, begitu juga urusan akhirat. Makan dalam kuantiti sedikit dan
membayangkan katil menanti di tingkat lima. Tanpa di duga dalam beramai-ramai
di situ, jauh dari tempat saya, seorang rakan jemaah membuka mulut bertanyakan
perihal aktiviti yang bakal dibuat. Lantas muttawif yang ada menjawab, bahawa
malam itu akan di adakan ziarah Gua Hira(untuk satu kumpulan di hotel lain) pada
pukul 10.00pm. Sesiapa yang berminat boleh sertai dengan bayaran SR15. Orang
yang bertanya itu datang kepada saya memberitahu perihal tersebut. Saya dengan
mata kuyu dan fikiran melayang memandang(tapi macam kabur), mendengar(tapi
macam sayup-sayup). Entah mengapa malam itu sungguh mengantuk. Padahal
malam-malam lain tidaklah sampai sebegitu. Pernah membasuh pakaian(tak der
dobi-dobi, tak reti satu, tak nak hilang masa dua dan jimat SR tiga) walau sehingga
pada pukul 1.00am. Selain itu, pada esok hari kami sudah ada program untuk
keluar bermiqat untuk melaksana umrah lagi. Jadi pemikiran saya mengatakan
bahawa jika 'memanjat' sesuatu pada malam itu, besar mungkin akan keletihan dan
akan berada dalam suasana kurang selesa keesokan hari. Itu kata hati saya, bila
diajukan perihal pelawaan ke Gua Hira oleh ahli kumpulan saya itu. Seorang Ustazah
sekolah Kafa di Perak sana. Lebih tepat Pengetua Kafa. Berkunjung ke Gua Hira' itu bukan suatu paksaan.
Satu peringkat saya tiba dalam
keadaan sangat serba salah. Saya kemudiannya bertanya sendiri pada muttawif
tersebut(masih di situ) perihal berapa
lama masa di ambil untuk mendaki ke destinasi. Dijawab tenang. “Bergantunglah
kak pada masing-masing….siapa yang stamina dan ketahanan tinggi, mungkin awal
dan yang tidak tu…lambatlah sedikit. Tapi kita tunggu semuanya.” Oh!…Alamak…ketahanan,
stamina….dua perkaran yang macam banyak kurangnya pada saya. Serius dan
jujurnya tak pernah dibuat daki mendaki ni. Panjat tangga tak berapa nak tinggi
pun….biasanya cungap juga. Allah….ini bercakap nak memanjat gunung!!!….gunung!!!….bukan
bukit tau! Seumur hidup tak pernah dibuat. Paling tinggi mungkin memanjat
tangga Batu Caves. Itu pun masa sekolah menengah dulu(jalan-jalan dengan
keluarga-waktu tu ‘famous’ untuk dilawati). Serba salah memuncak. Terlintas
pula pada fikiran Gua Hira itu besar sejarahnya pada penurunan wahyu dan
berkaitan dengan kalam Allah juga Al-Quran. Al Quran salah satu peninggalan
Rasulullah(s.a.w) untuk ummatnya. Ia juga mukjizat Nabi. Dimana dengannya manusia InsyaAllah akan
dapat membezakan antara baik dan buruk juga. Lantas ingatan pada Baginda Rasul
yang sinonim dengan Gua Hira itu menjadi penyuntik rasa kemahuan untuk ikut
serta. Apa mungkin dengan pergi ke sana dapat sedikit merasai sebahagian kecil
dari pengalaman Rasulullah(s.a.w)??? Lebih dari itu, terdetik juga pasti
sesalan akan datang kemudian seandainya tidak turut serta kerana peluang di
depan mata, mungkin disia-siakan. Pengetua Kafa yang mendengar pertanyaan saya
pada muttawif menyampuk memberi motivasi. “Hari tu boleh panjat Jabal……(nanti ada masa
cerita), takkan tak boleh kot…kamu muda( hati menjawab…apa ker mudanya masuk 40
dah...kepala lutut pun kekadang meragam juga)…kak lagi hah!”
Hati jadi tekad. Ikut jerlah.
Nampaknya Allah telah menetapkan pada malam itu….sepasang kaki ini akan
menjejaki ke Gunung Hira, terus mata akan menyaksikan sendiri Gua Hira. Gua
bersejarah untuk wahyu pertama yang turun dari Allah kepada Nabi Muhammad
(s.a.w) melalui malaikat Jibrail. Macam tak percaya…."semangat nak turut serta tu sudah datang....walau masih , walau masih letih dan lebihnya teramat mengantuk...."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan