Dalam pada membaca akhbar hari ini, Jumaat 28 September 2012
pagi ini, ada satu berita dari negara jiran yang menarik minat saya. Berkenaan
Brunei yang mewajibkan kanak-kanak Islam antara 7 dan 15 tahun yang tinggal di
sana untuk dihantar ke sekolah tadika dan sekolah rendah agama(SRA). Pada saya
ini satu langkah yang amat baik dan patut dicontohi. Memetik dari akhbar Harian
Metro, ruangan Berita Serumpun, ‘Ia sebahagian daripada Peraturan wajib
Pendidikan Islam 2012 yang ditekankan oleh Sultan Brunei dalam ucapannya, pada
Sambutan Hari Guru, baru-baru ini. Peraturan itu akan dilaksanakan bermula 1
Januari bermula tahun depan.’ Di Malaysia, tak pasti apakah ‘dalam nak rak’
merombak dasar pendidikan, adakah ini telah termasuk. Kalau sudah ada….eloklah.
Setakat ini rasa saya, untuk pendidikan SRA, ia bergantung kepada kemahuan penjaga. Bagi
yang mahu, hantarlah, bagi yang tidak….tidaklah. Tak dengar lagi perkataan
WAJIB. Sedangkan selaku muslim pendidikan agama adalah fardhu ain dan memang
jatuh wajib pada setiap individu. Zaman kini…amat bertuah penjaga dan anak-anak
kerana terlalu banyak sekolah agama disediakan. Sama ada yang dibawah Jabatan Agama
Islam negeri masing-masing mahupun yang swasta dan masih perlu berdaftar secara
sahnya.
Saya membandingkan semasa zaman saya dahulu (40-7 = 33 tahun
lepas), saya tidak dapat pendidikan agama yang boleh kata lebih formal dan
tersusun seperti kini. Di sekolah
kebangsaan, pendidikan agama waktu itu juga hanya terhad kepada Pendidikan
Agama Islam asas dan mula dari darjah 4 ada Pelajaran Jawi. Selebihnya, saya belajar mengaji pun di
rumah orang. Setelah bertukar mengaji dengan 2 guru di rumah mereka,
Alhamdulillah saya dan adik beradik ditemukan dengan sebuah tempat lebih baik
dipanggil Madrasah di perkarangan perumahan pangsa di sekitar Bangsar sana. Di
situlah kami mendapat pendidikan lebih tentang perkara-perkara yang wajib kami
tahu. Hari biasanya mengaji dan hujung minggu diajar Tajwid, Fikah. Sekaligus
dalam masa yang sama pasti disentuh bab Akhlak dan Sirah juga ada disampaikan secara tak langsung.
Semoga Allah terus merahmati 4 orang bekas Ustazah kami di situ sama ada masih
hidup mahu pun yang sudah meninggal dunia. Jasa mereka membuatkan kami celik
sepatutnya.
Anak-anak kini
rasanya Alhamdulillah lebih beruntung. Ramainya, bermula masuk darjah satu,
sekaligus didaftar untuk ke sekolah rendah agama. Ini akan berterusan sehingga
ke darjah 6. Bila mereka ada UPSR, mereka juga akan menduduki UPSRA dan pada
darjah 5 adanya UPKK. Namun masih saya ingat, pada waktu awalnya saya terpaksa
mengingatkan suami untuk berbuat demikian. Maklumlah zaman kami tak seperti
itu. Suami pun terlepas pandang awalnya. Zaman kami hanya ada satu sekolah.
Syukur…memandangkan saya terpandu melihatkan adik saya(langkah bendul tu…) yang
telah berbuat begitu pada anak sulungnya, ini mengingatkan saya perihal
pentingnya pendidikan aliran agama. Jadi….. yang baik itu jadilah contoh.
Awalnya dahulu ada juga terfikir apakah anak-anak akan
terbeban dengan 2 sekolah. Maklum pagi dah penat. Balik sahaja, rehat tak
seberapa terus mahu ke sekolah petang pula. Namun fikir dua kali, biar beban
didunia, jangan di akhirat. Kasihan berlebih didunia dan manjakan untuk tidak
penat, di akhirat siapa yang akan mengasihani mereka? Lagi pun selaku penjaga
kita berusaha memberi sebaik mampu, selebihnya adalah pada penerimaan
anak-anak. Kita harus melepaskan tanggungjawab kita dengan cara yang
sepatutnya. Tugas mereka pula belajar. Tambahan selaku orang yang tak mampu
mengajar sendiri, wajib pula kita mendapatkan mereka yang mahir dan berilmu
untuk mendidik anak-anak kita perihal agama. Itu pendapat saya.
Setakat ini syukur kerana dapat menghantar anak-anak ke
sekolah rendah agama. Saya selalu terfikir, andai sahaja saya berpeluang macam mereka,
alangkah seronoknya. Dapat belajar Bahasa Arab. Menyentuh mengenai Bahasa Arab, pasti sahaja ia terkait
dengan kita pada Al-Quran. Saya rujuk pada akhbar yang sama pada ruangan
Setempat di mana tajuknya Syarat Kuasai Bidang Sains – Pemenang Hadiah Nobel
nasihat pelajar tekuni Bahasa Inggeris. Tidaklah saya melekehkan Bahasa
Inggeris. Namun saya nampak sepertinya ada pemikiran yang menjurus kepada…..
Sains itu yang pandainya adalah asalnya orang Barat. Bukankah kita Muslim
mengakui bahawa Ilmu Sains yang hebat itu terkandung dalam Al-Quran itu sendiri. Kisah kejadian alam, bulan bumi,
matahari, manusia, haiwan, tumbuhan, hujan, malam siang….segalanya ada dalam
Al-Quran. Cuma pengkajian dan pembuktian itu giat dijalankan manusia biasa. Al
Quran itu telah menceritakan segala ketetapan dan penetapan Sains. Manusia kini
hanya membuktikan. Al- Quran, kalam dari Pemilik segala Ilmu. Al-Quran itu
dalam Bahasa Arab, jadi tak salah pula jika saya katakan penguasaan Bahasa Arab
itu sama atau mungkin lebih penting sedikit dari Bahasa Inggeris seperti
dakwaan Prof Dr Peter C Doherty, pemenang hadiah nobel itu. Kita juga sedar
ramai Saintis yang bukan muslim asalnya, kembali menemui Islam bila mengkaji
Al-Quran, walau mereka membaca terjemahan dalam bahasa masing-masing. Bahasa
Arab itu tetap sebagai asasnya, bukan Bahasa Inggeris. Andai Bahasa Arab
diwajibkan dalam pendidikan, saya nampak logiknya amat kuat.
Bila sebut hantar sekolah agama, bukanlah kita mengimpikan
untuk anak kita menjadi Ustazah atau Ustaz sahaja. Itu bukan persoalannya. Ia
semata-mata kerana asas pendidikan agama amat perlu untuk bekalan hidup dunia
juga akhirat. Diakui, di sekolah kebangsaan juga telah ditingkatkan silibus
untuk pendidikan agama. Terdapat juga kelas mengaji Al Quran, Bahasa Arab, dan Jawi, namun masih belum
memadai. Semakin maju manusia ini, semakin tinggi teknologi semakin kita perlu
mengukuhkan benteng rohani dengan memantapkan pendidikan agama. Pancaroba dan
dugaan itu bentengnya iman yang kuat dan kukuh. Asasnya didikan agama. Tiada
guna menjadi akauntan hebat, jika rasuah dan songlap jadi amalan. Doktor pakar hebat
tapi mencabul pesakit ataupun pemimpin dipuja sedangkan menindas rakyat secara
bijaksana.
Saya sebenarnya akui anak-anak lebih pandai menulis jawi dan
lebih cantik tulisan mereka jika disuruh dan dibanding dengan saya menulisnya.
Saya boleh baca sahaja. Menulis tu….lambatlah sikit. Namun ada kenangan yang
tak saya lupa tentang sekolah agama ni. Anak nombor dua saya, yang bakal
UPSRA minggu depan pernah terpaksa
dikejar oleh kami berdua di kawasan sekolah, pada awal darjah satunya. Dia tak
mahu sekolah atas alasan penat. Dia mahu balik dan tidur. Seperti biasa selepas
tadika sebelumnya. Gelihati mengenang
abahnya terpaksa marathon mendapatkan dia yang mahu ke pintu pagar sekolah. Maklum selama 2 tahun (5 dan 6 tahun…tadikanya
satu sesi sahaja), jadi dia keletihan. Namun syukur hanya awal sahaja. Sempat
ditegur oleh Makcik cleaner, katanya “Nak jangan malas sekolah….esok besar
jangan jadi macam makcik ni, jadi tukang sapu jer….” . Saya tersentuh dan hanya
senyum. Dunia di tangan, akhirat dihati……kerana ia lebih kekal lagi abadi.
Satu lagi, saya teringat kata-kata seseorang pada saya.
“Sekarang ni apa sahaja pasal agama, kelihatan biasanya ramai yang nampak hanya jadi perniagaan”. Saya dalam hairan
memikir. Dia sambung lagi. “Apa sahaja berkenaan sunnah juga
biasanya diperdagangkan”. Oh ya! saya berfikir. Saya memikir lagi. Namun
ada benarnya. Bila mahu hantar anak ke tadika utamanya yang swasta dan ditambah sedikit unsur Islamik….nah bayaran ada ekstra. Nak makan
makanan sunnah, nah harganya. Terlihat juga Islam itu bagai lebih diberatkan hanya dari segi diperniagakan. Ini pandangan sekilas sahaja. Islam adalah cara hidup. Lebih penting sebagai amalan dalam kehidupan. Tidak salah berniaga, asal, sama-sama menang. Maknanya berpada-padalah. Saya rasa orang tu ada ‘point’. Namun ini akhir
zaman. Memang telah dijangka Islam itu ramai pula yang mengambilnya hanya sekadar
untuk mendapatkan dunia. Namun bagi mereka yang sekali menyertakan dengan tidak memaling dari
akhirat, mereka pasti lebih beruntung.