Sabtu, 22 September 2012

INNOCENCE OF MUSLIMS MACAM WAYANG KULIT?


W:       Dah tengok Innocence of Muslims?
H:       Ngeleng-ngeleng....Buat apa nak tengok?!
W :     Ye lah! Masih heboh dan tengah panas lagi tu. Katanya masih berlegar di Youtube. Sekatan dibuat namun entah macam mana masih ada yang terus   menyebartayangkan cerita pendek tu.  Teringin juga nak tengok. Nak tahu apa dan bagaimana. Dengarnya pendek je masa tayangan. Dalam beberapa belas minit je.
H:       Tak payahlah tengok.
W:      (Dalam bingung bertanya lagi...) Kenapa? Tak mahu naikkan 'rating' tukang karut?
H:       Cukuplah, kita dah tahu benda tu  penghinaan pada Rasulullah. Kalau kita tengok   
            pun, kemudian tak ada rasa marah, macam mana...
 
W:      (Pelik). Tak marah? Saya baru dengar jer, pun dah rasa marah....Macam mana pula
           tengok tapi tak marah (bingung pelik....)
 
H:      Orang yang buat tu mesti suka kalau ramai orang tengok. Seronok dan mungkin datangkan 'untung' pada diorang.Untuk orang Islam, diorang katakan...."Nak marah-marahlah. Baguslah diorang marah!. Mungkin itu memang antara tujuan utama filem itu di buat."
W:      Dapat rasa....aliran pemikiran tak sama, namun masing-masing tetap ada 'point'.
Perbualan terdiam begitu sahaja. Masing-masing mungkin mendiagnos butir-butir yang keluar dari mulut lawan borak.
Rata-rata masih lagi umat Islam disibukkan oleh segelintir makhluk propa dengan kisah penghinaan terhadap Rasulullah melalui filem pendek yang dipanggil Innocence of Muslims. Saya tidak mahu katakan yang ia sesuatu yang mengejutkan.Apa yang mahu kita rasa terkejut dan hairan, penghinaan kepada Rasulullah, khususnya Islam juga seolah telah menjadi 'acara tahunan' yang dirancang dengan rapi oleh puak yang sama. Nampak sangat ia memang disengajakan. Kisah ini pula menjadi makin hangat seperti sengaja kita dihidangkan ia sempena menyambut Musim Haji dengan kisah ini. Kisah kemarahan dan hati bernanah. Mustahil mereka yang mengaku sebagai orang yang mengambil berat perihal keamanan dunia dan manusia tidak pula sedar dan peka dengan sensitiviti umat Islam.Ya! Islam satu-satunya agama yang diiktiraf Tuhan sekalian Alam. Namun ini tidak bermaksud merendahkan agama-agama lainnya. Aku dengan agamaku, kamu dengan agama kamu. Kalau tidak mahu agama kami, jangan ganggu dan usik kami. Mari hidup dengan aman. Bukankah mereka itu mengaku sebagai makhluk yang bertamaddun dan penuh peradaban. Namun dek kerana sebab-sebab tertentu pasti sahaja kerbau mampu dicucuk hidung. Hidung dicucuk dengan intan permata dan segala kelazatan dunia, menyilaukan hidup jiwa-jiwa yang memang telah menyemai benih kebencian dalam hati dan dada mereka. Itu mahu mereka. Walau bukan semua yang kafiri tu memusuhi Islam secara amnya.
Siapa mengaku Muslim dan tiada sedikit pun rasa marah dan berontak dalam hati bila Rasulullah dan Islam dihina, tak tahu layak dipanggil apa. Namun sekaligus juga mesti juga memikir panjang dan mengkaji apa niat dan tujuan perbuatan makhluk biadap penuh provokasi seperti itu. Kalau latarbelakang sipengarah pun memangtak boleh‘dipakai’ dan mendapat biaya dari puak yang memang mahu melihat Islam pupus, kita perlu fikir mendalam dari biasa. Zaman di mana internet menjadi seakan wajib bagi setiap isirumah, nah! Tayangan selama beberapa belas minit sudah cukup untuk menaikkan kemarahan dan kegilaan kita umat Islam. Marahlah! Proteslah….Namun untuk gila, tidak sesekali. Kewarasan itu amat penting untuk ‘survival’(rujuk kisah Nabi Muhammad s.a.w bila dihina dan disakiti). Ini memang suatu fitnah terhadap Rasul dan Islam, namun juga ia dugaan hebat untuk kita umat Islam di akhir zaman. Bagaimana menanganinya? Saya pun tiada jawapan itu. Mungkin anda ada. Bila ada yang terbunuh kerananya, ia menjadil lebih berat. Umat Islam sekali lagi akan dicop sebagai sewenang-wenang pula mengambil nyawa mereka yang kafir. Hakikatnya jika Umar al Khattab masih hidup, memang pancung sahaja untuk si pembikin filem dan perang kepada puak dan kaum penaja dan kuncu. Rasulullah pula bisanya lebih sabar dan penuh hikmah tindakannya. Bagaimana untuk kita umat akhir zaman. Mencari jalan tengah antara sikap Umar dan Rasulullah???
'Mereka' suka dan mudah merekacipta tiket untuk menghentam dan membina perisai untuk tindakan penyelaran umat Islam selanjutnya. Itu kepakaran dan cara gayatindak mereka. Nyata sikap mereka yang selalu mahu diri di angkat wira dan Innocence( of Kufrs) dan mahu meletakkan salah dan menghumban beban pada bahu Islam dan umatnya. Lihat saja peletupan WTC. Saya sendiri memikir di mana 'berdirinya' diri saya dalam perkara sebegini. Maksudnya, kasihan pada diri dan umat Islam lain kerana senario umat Islam kelihatan semakin terperangkap, teraniaya dan tertindas(melihat juga pada isu rakyat Palestin dan Rohingya sebagai contoh). Paling tidak secara emosional, kita terkesan. Dah jadi macam wayang kulit bertokdalangkan 'mereka'. Saya yakin Islam memang mempunyai musuh yang sangat licik. Tangan-tangan ghaib yang menyusun strategi dan agenda untuk meranapkan dan memusnahkan Islam semakin rancak bertindak. Menggunakan segala aspek kehidupan manusia baik dari segi ekonomi, teknologi, sukan, hiburan… Semua itu akan cuba diadun dan dicampuradukkan dengan serum-serum jahat untuk menjahanamkan keimanan umat Islam. Berlari ke sana ke mari pun, kita tidak mampu menghindari dari berurusan dengan mereka. Itu tidak salah, namun bila segelintir mereka buat onar....Satu dunia boleh kalut. Kita masih berdagang dan menggunakan barangan mereka. Boikot??? Kalau benar dan betul gayanya mereka memang akan rasa padah. Namun mampu dan cukup tegarkah kita memulai dan istiqamah selamanya??? Bagi mereka yang mampu mengambil dunia sekadarnya....betapa beruntungnya. Sekarang semua mengejar dunia. Sampai penat, letih dan mudah pula jadi alat permainan sesetengah pihak.
Saya pasti isu ini akan ‘terdiam’ begitu sahaja. Sama seperti isu-isu lainnya. Namun saya juga yakin Allah itu maha berkuasa dan akan memelihara apa-apa yang diturunkannya kerana itu juga janjinya. Janji Ditepati hanya milik Allah, dan Allah adalah sebaik-baik sandaran seisi alam. Dalam pada mereka cuba sedaya upaya merosakkan imej Islam dan Rasulullah Muhammad s.a.w, makin pula ramai yang berminat untuk mengetahui perihal agama kesejahteraan itu sendiri. Kenapa 'mereka' memusuhi kesejahteraan dan pembawa risalahnya, sedangkan sejahtera itu lazat dan menghidupkan. Mungkin mereka itu layak sahaja digelar pembenci keamanan dan suka kepada porak peranda dan kematian….(bukan jasad), namun jiwa yang mati…..Tunggu sahaja kesudahan kami, kami juga menunggu kesudahan kamu……
*Ternyata Wang Kulit jauh lebih baik dari kisah rekaan dan anganan dari akal jahat seperti Innocence of Muslims. ---- Saya tidak tonton----
 
 

2 ulasan:

  1. Jangan terlintas untuk menonton, Muslim manakah yang sanggup habis menonton file yang boleh di'classified' sebagai 18sx tu...

    Tugas kita, insyallah lebih sayangkan dan applykan ajaran nabi terchenta itu ke dalam hidup, dan menerangkan dengan hikmah kepada yang keliru

    BalasPadam
    Balasan
    1. Oh ye! CheArep. Barulah tahu. Setuju...kita luahkan marah kita dan protes kita dengan lebih mendekatkan diri dengan agama kita, belajar lebih tentang Islam(yang kadangkala kita salah sangka kita dah tahu banyak), belajar sirah Rasul dan meningkatkan ibadah khusus untuk lebih dekat dengan Allah. Islam, Al Quran telah dijanjikan Allah pemeliharaan. Jiwa kita perlu usaha dari kita dan doa pada Allah.

      Padam