Sabtu, 11 Jun 2011

PERIBADI, MASA UNTUK BASAH...!

Assalamualaikum!...Selamat Datang...Aluannya. It's splashing time. Masa untuk basah.
Ini sememangnya entri diri dan keluarga. Peribadi. Lusa cuti sekolah bakal berakhir. Setelah hampir dua minggu menahan gelora hati. Akhirnya penantian anak-anak tamat hari ini. Menunggu untuk sedikit keriangan dan kegembiraan selagi dalam cuti sekolah. Cuti sekolah yang sebelumnya hanya ke rumah saudara mara dan di rumah nonton itu dan ini. Selain aksi-aksi normal yang mak perlu lihat dan dengar sehari-hari. Riuh rendah. Bukan mereka ,jika tak gitu. Hari yang di tunggu-tunggu sudah tiba. Emak simpati. Bimbang ada yang kempunan. Sebelumnya juga abah sibuk dengan kerja. Biasalah buat laporan untuk akaun, itu dan ini. Hujung minggu pun langgar saja. Kerja seminggu, hanya rehat sehari. Walau sepatutnya rehat dua hari. Hari ni, Mak belanja.... Mak ada duit ke? Itu soalan biasa jika mak sebut nak belanja. Lambat juga....Mak jawab, "Kalau tak ada...Mak diam-diam saja".  Ini mak dapat diskaun lagi di pintu masuk. Jimat sebanyak RM29 atas semua. Ok juga kan? Tempat ni tak jauh mana. Taman Air Desa. Itu namanya.

Syukur, sudah dapat bangku duduk. Anas kelihatan 'confius'. Pelik saja nampaknya.
Pusing sungai buatan ini bersama dua dari empat. Mak peluk Anas di depan. Kak Aisyah dibelakang. Abah tolak. Mak tak nak basah tudung. Tak bawa 'spare' pun. Lain ada. Anas dah mula 'seriau'. Macam nak nangis aje. Larat satu pusing aje. Mak ada rasa tak selesa, mabuk sungai buatan gamaknya.
 

Anas buat muka 'kemek'. Dia 'first time' di Taman Tema Air begini. Sahlah masih jelas 'gerun'. Tak pandai 'enjoy' lagi. Jangan kakak-kakak. Tah ke mana-mana...



Tempat ini macam taman air lainnya. Saya akui ada yang lebih seronok dari ini. Ini biasa-biasa saja. Ok saja untuk mengubat ketagihan 3 musketeers yang kemaruk air. Angah sampai melecet tangan dek benda berselirat kunig hijau versi terbuka tu... Itu dengan abah punya cerita...


Pengunjung ramai juga. Hujung minggu di cuti sekolah. Biasalah. Tempat-tempat berteduh kelihatan penuh. Kami masih bernasib baik dapat 2 bangku duduk. Masih selesa. Berlapik tilam nipisnya, Anas sempat lena melepas penat. Saya sempat membaca sedikit-sedikit.

Muka bangun tidur. Anas hanya dikenakan 'pampers' selepas dibasahkan. Dia tidur dan bangun setelah cukup tenaga.

Mak! 'Ready' nak balik. 'Sayonara!' Taman Air Desa...
Hari ini dah berlalu. Ada yang sudah berubah warna kulitnya. Maklum masa sampai, matahari masih memancar sinarnya. Jadi faham-fahamlah. Anas bukanlah orang yang paling seronok. Dia banyak belajar dari melihat dan mendengar saja. Lihat karenah keliling, dengar bunyi keliling. Kenal orang keliling(masa mak sibuk menyapa dan disapa orang dari bangku kanan dan kiri). Tak mengapa Anas. Lihatlah, jika esok ada yang lain pula. Anas tunggu......!!!

11/6/11

Jumaat, 10 Jun 2011

MARILAH MENARI SERUAN GAMBIT

Assalamualaikum! Salam Hormat!

Moh kita menari....(versi sopan stail mat saleh) -dari google


Dunia hiburan kini masih heboh memperkatakan perihal klip video 'Marilah Menari' dari Gambit Saifullah. Indah sungguh makna Saifullah, seindah sebutannya. Pedang Allah. Namun itu bukan isi ceritanya. Kita dikhabarkan isu ini telah membawa Persatuan Seniman Malaysia membuka pintu kepada Gambit bagi mendapatkan khidmat nasihat akibat tekanan dihadapinya sejurus selepas klip video yang dihasilnya itu mendapat kritikan masyarakat negara ini. Presidennya, Harun Salim Bachik dikatakan bersimpati dengan nasib Gambit dan mengalu-alukan kedatangan Gambit untuk mendapatkan pandangan berhubung kontroversi penghasilan klip video berbaur lucah itu (saya petik dari Harian Metro). 

Alkisahnya juga diceritakan Gambit telah bertindak dengan memaki hamun 'blogger' Malaysia dan peminatnya selepas dikritik. Gambit telah dinasihatkan, sebagai pengarah baru, beliau harus mendapatkan nasihat dan pandangan orang yang berpengalaman. Alasan menghasilkan video tersebut untuk pasaran Amerika dikatakan tidak munasabah dan kandungannya tidak memaparkan budaya Malaysia sebenar. Video klip yang dihasilkan dikatakan seharusnya memaparkan budaya negara ini untuk diketahui bangsa asing dan bukan penampilan yang mencemar nama negara. Dikatakan juga klip video tersebut agak keterlaluan... walau pun untuk pasaran luar negara, Gambit sepatutnya peka dengan budaya dan agama Islam serta budaya Malaysia.(olahan dari Harian Metro)

Saya melihat:

Dunia hiburan di Malaysia memang meriah. Pelbagai. Macam-macam ada. Malaysia boleh. Oleh itu isu Gambit dan video klip kontroversinya itu tidaklah menghairankan, walau mengejutkan. Sebelum ini ada seribu satu macam kontroversi dalam dunia hiburan. Kita semua sudah melaluinya. Ramai yang menikmatinya. Namun isu-isu sebegini seperti hanya publisiti untuk mengwar-warkan sesuatu perkembangan. Seperti contoh kes ini. Gambit semakin dikenali. Pelakon-pelakon video tersebut makin kerap ditemubual. Makin naik nama mereka. Makin naik 'ranking' mereka. Makin dikejar produser. Makin lebat tawaran pada pelakon tersebut. Isu yang dasarnya, perihal adab sopan, agama, moral, budaya hanya sampai ke mana? Habisnya pelaku-pelaku itu hanya akan memohon maaf. Atas dasar mungkin hanya mahu menjaga periuk nasi. Menyatakan kekesalan dan berjanji akan kononnya lebih berhati-hati dan sensitif dan semua akan seperti sediakala. Semuanya akan dilupakan. Tamat. Kemudian akan datang kontroversi baru. Melibatkan pelaku baru. Ini berterusan. Itu dunia hiburan.

Saya tak tahu wajah sebenar klip tersebut. Berbicara hanya menurut berita-berita dan ada melihat gambar kaku dalam suratkhabar. Cukuplah. Saya lihat gambar tersebut pun sudah mampu membayangkan kontroversi sebenar. Kalau tidak masakan ia meriuh-rendahkan industri hiburan kita. Gambit telah separuh berjaya dalam usaha mendapat perhatian ramai. Agak-agak kalau Obama tengok klip tu, mesti dia bangga. Bukan sebab kehebatan 'tarian' yang dipamerkan. Sebaliknya,  bangga kerana seolah rakyat Malaysia sanggup menggadai maruah agama, bangsa dan negara demi mendapatkan pasaran(ada pasaran ke?) di benua jajahan dia. Apa patutkah kita ucap syabas pada Gambit???

Pada kita, tidak salah mahu berkarya. Jika itu periuk nasi dan kepakaran yang ada. Pergunakanlah. Namun jika ada yang menegur dan mengingatkan atas kealpaan dan terlepas pandang kita, toleh-toleh dan kaji-kajilah. Mungkin ada benarnya. Siapa lagi mahu mengingatkan manusia, jika bukan manusia lainnya. Takkan pula nak tunggu kucing, harimau, singa dan gajah menegur... Apa dah nak kiamat? Tapi macam tak termasuk dalam tanda-tanda kiamat pun...

10/6/11

Khamis, 9 Jun 2011

ASSALAMUALAIKUM! MEMBACA DAN BERBAHAGIALAH...

Assalamualaikum!, Salam Sejahtera!

Eh! tak pernah-pernah bermula dengan salam penuh di atas. Namun, itu sebenarnya yang paling baik dalam cara menyapa sesama Muslim. Sebelum ini saya tahu menebarkan salam itu amat baik, namun kerap cuai dalam melaksanakannya. Pandang mudah. Pandang remeh. Mungkin juga fikir saya, di alam maya. Adakah mahu dijawab salam itu. Namun sedarlah saya memberi salam itu sunat. Namun menjawabnya itu wajib. Memberi salam juga ada tingkatan markahnya. Lebih lengkap salam, lebih tinggi markahnya. Assalamualikum, Assalamualaikum Warahmatullah. Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh. Itu tidak sama markahnya. Serba sedikit mengenai salam sebagai pembuka bicara. Menurut ilmu tak seberapa.

Pernah saya katakan diawal membuat blog ini dahulu, bahawa Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni merupakan seorang pengarang yang menarik, pada saya. Saya dapati karyanya sememangnya dari hati dan menyentuh hati. Atas dasar itu suka saya membaca dan menghayatinya. Saya tidak membaca karya asal beliau selain ia hanya terjemahan dari penterjemah-penterjemah di Malaysia dan diterbitkan oleh syarikat-syarikat penerbitan di Malaysia juga. Terbaru, berpeluang memiliki naskah 'Assalamualaikum' dan 'Di Hadapan Pintu-Pintu Wahyu' dari MPH. 'Assalamualaikum' diterjemahkah oleh Saudara Arifin Ladari dan diterbitkan oleh Berlian Publications Sdn. Bhd. Saya nyatakan itu secara lengkap kerana di Jumaat penghulu hari ini, mahu saya kongsikan di sini artikel di mukasurat terakhir menyentuh naluri(pada saya) di naskah tersebut seperti di bawah:

BERBAHAGIALAH SEKARANG

BILAKAH anda akan meredai diri anda sedangkan anda tidak menerima apa adanya, anda tamak memiliki sebuah rumah, apabila anda telah memilikinya anda ingin rumah kedua, kemudian ketiga dan seterusnya, kehausan yang tidak pernah terputus, kedahagaan yang tidak pernah puas. Apabila anda tidak berbahagia pada saat ini maka jangan anda menunggu kebahagiaan pada hari esok atau lusa. Ini kerana umur kita kian berkurang, jam-jam berjalan, minit-minit melompat, bintang beredar, maka jangan memikirkan pada harapan yang ghaib sedang anda tidak mengambil faedah daripada apa yang ada di tangan anda, gunakan pemberian Allah di tangan anda, bergembiralah dengan rumah anda yang kecil, kerana anda yang tua, bekas air anda yang bergantung di sisi anda, roti anda yang panas enak, dan saya menjamin anda berbahagia lebih daripada peniaga saham dan hartawan New York.

Kita hidup dalam dugaan-dugaan dan khayalan-khayalan yang terbang di langit padang pasir, kita tidak pernah rasa reda dengan apa yang ada di sisi kita, dan kita juga tidak mengetahui di masa hadapan. Jika anda tidak reda dengan apa yang ada di tangan anda, maka anda tidak akan reda apabila dunia di bawah bimbingan anda kelak...!

 
Membaca ibarat membuka lembaran demi lembaran dalam buku sebuah kehidupan...(gambar ini saya google!)
Setakat ke hari ini, saya akui membaca itu sememangnya membawa faedah besar dalam hidup manusia. Membaca itu bukan sahaja jambatan ilmu malah ia adalah pembawa sinar dalam menuju cahaya dalam kehidupan. Tidak  lain kerana ilmu hasil pembacaan itu 'tidak ternilai' oleh kita. Walau apa sekali tujuan kita membaca, nescaya adalah untuk mendapat maklumat. Maklumat untuk kita gunakan mudah-mudahan ke arah kebaikan diri dan persekitaran. Membaca menenggelamkan kita di lautan pemikiran si pengarang. Oleh itu wajar memilih pengarang yang baik minda dan pembawaannya terhadap isi penyampaiannya. Pembaca akan mudah terbawa-bawa dengan idea pengarang. Jadi masing-masing ada peranan di situ. Begitulah cara dan gayanya tersebar pemikiran dari pembacaan. IQRA'....!

10/6/11


Rabu, 8 Jun 2011

APA ADANYA DENGAN ANAK?

Entah kenapa tergerak berbicara perihal 'ANAK'. Macam-macam tafsiran disebut. Ada yang berkata, Anak itu permata hati. Anak itu penyambung dan penguat jodoh. Anak itu dan anak ini. Semua itu tidak salah.  Semua baik-baik saja. Namun tepat sekali seperti anjuran agama katanya, Anak Itu Amanah. Tambahannya Anak Itu juga Dugaan. Itulah hakikatnya.

Bila mendirikan rumahtangga, kehadiran anak itu menjadi pelengkap. Itu mahunya kita seada manusia biasa. Namun rezeki dan ketentuan terhadapnya, hak dan pemberian dari Yang Kuasa. Ada atau tiada? Satu, dua...Bukan kita yang boleh tentukan jumlahnya. Kita hanya pelaku yang memohon. Allah itu Penentu.

Entri ini datang mungkin kerana tadinya saya membaca sesuatu di alam maya ini, di blog seseorang, bercerita perihal anak, perkembangan dan keindahan nikmat terhadap anak itu. Itu membawa saya terkenang semula semua detik-detik kelahiran bermula dari sulung ke yang bongsu(rasanya...). Terkenang juga saat mengharungi hari-hari berpantang. Saat-saat mendambakan kehadiran anak lelaki. Adat manusia. Bila tiada, mahu!. Bila diberi, memilih!. Saya pun begitu. Saat terbit kekecewaan kerana tidak sampai hajat mendapat 'baby boy'. Saat memujuk hati dan jiwa dengan ketentuan Ilahi. Tak lupa juga saat melahirkan Anas Imran. Akhirnya.

Kini syukur pada Ilahi. Setiap peraturan dariNya mempunyai hikmah tersendiri. Manusia itu hanya menumpang di bumi ini. Memohon dan meminta. Mengemis sekali pun tidak mengapa. Pada yang menjadikan kita. Tiada salahnya. Dia suka begitu. Itu hakNya...

Memandang si kecil, hati jadi redup. Kasih jadi tumpah. Sayang jadi mengalir. Mencium pipinya. Jiwa jadi reda. Minda rasa dijana. Memeluknya. Ada aliran tenaga dikongsi kepada kita. Oh! Anak-anak, kamulah amanah dan kamulah yang akan menduga... Moga mak dan abah tetap dan terus redha....

8/6/11

Ahad, 5 Jun 2011

ADINDA EVANS DAN KLON-KLONNYA

Telah beberapa hari tidak 'update' blog. Hari ini datang semula. Namun tetap melayari laman-laman kebiasaan dan sesekali meredah laman baru. Sengaja bertukar angin. Itu sebahagian dari harian biasa aku.

Pesan orang tua-tua, tidak baik mengeluh. Walau aku tidak pernah bertanya sesiapa pun akan duduk sebenar alasan atas larangan tersebut, namun aku rasa aku faham mengapa. Mengeluh mungkin menggambarkan kelemahan seseorang. Mengeluarkan aura negatif. Seolah-olah tidak mampu untuk berjuang dan mengalah sebelum waktu. Itu tanggapan aku dari perspektif hanya aku.

Hakikatnya, aku tak mampu melawan untuk mengeluh bila membaca perkembangan dunia melalui akhbar. Mungkin ada pula yang berkata, jika begitu tidak perlu membaca akhbar. Jimat duit, masa tenaga dan tak terhinggap aura negatif. Namun ia tidak semudah itu. Tidak membaca rasa tidak senang duduk pula. Membaca itu punca ilmu dan pengetahuan. Membaca membawa kepada minda yang berfikir. Berfikir membawa kepada persoalan mana salah dan benar. Seterusnya salah dan benar itu melibatkan batil dan hak. Seterusnya yang hak adalah kembali pada Allah dan batil itu dari kesalahan dan kesilapan berpunca kelemahan kita bernama manusia.

Aku menjurus kepada isu yang sebenarnya telah lama bermain dipersekitaran, namun aku yang seperti ketinggalan berbicara. Selaku seorang ibu, membaca perkembangan terkini mengenai bagaimana mudah perihal anak-anak gadis dengan mudah meyerahkan kegadisan pada teman berlawanan jenis memang menakutkan. Mengenang masa depan anak-anak perempuan ini memang boleh menimbulkan gusar hati. Maklumlah manusia ini ada pelbagai ragam dan sifat. Sekali air bah, sekali pantai boleh berubah. Masa depan juga bukan kita yang menentukan. Sesaat dari sekarang juga bukan kekuasaan kita. Aku sememangnya bukanlah seorang yang teramat moralis. Seperti kejadian makhluk lainnya ada kelemahan dan kelebihan. 

Jika kita sibuk dengan pengakuan berani mati insan yang menggelar dirinya adindaevans yang dengan bangga bercerita perihal dirinya dan penyerahan mahkotanya kepada orang-orang tertentu, sebenarnya terdapat lebih ramai adinda evans diluar sana. Bezanya mereka tidak membuat pengakuan terbuka dan mendabik dada seperti adinda evans. Hairan dengan sikap adindaevans itu. Sudahlah berbuat dosa malah dengan bangga mencanang dan berbangga. Entah di mana rasa malu yang disebut separuh dari iman itu? Manusia itu jika telah terlanjur melakukan dosa dan kesilapan wajarnya bersendirian bertaubat dan insaf, bukan berbuat seperti adindaevans. Katanya kes beliau sudah jadi kes polis. Kewujudan sebenar adinda evans tak terkecuali dipersoal. Apa yang hakikatnya, perbuatan yang dilakukan itu memang menjadi barah masyarakat Melayu Islam di Malaysia kini. Menyedihkan.

Aku selitkan sedikit butiran yang sampai pada kita, perihal isu berkaitan. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata berdasarkan soal selidik membabitkan 2800 remaja berusia 15 hingga 25 tahun oleh sebuah universiti tempatan denga portal YouthSays.com menghasilkan:

  • 60% hilang dara menjelang umur 18 tahun
  • 24% pernah melakukan seks dengan lima kekasih
  • 74% remaja tidak mengamalkan kaedah perlindungan melakukan seks
    83% mengaku tidak alami kesan negatif dari tindakan seks luar nikah
  • 50% mengaku 'bahagia' dengan pengalaman seks luar nikah
  • 30% remaja memikirkan setiap hari
  • 50% ragu-ragu cukup ilmu mengenai seks sebelum mengadakan hubungan intim
  • 33% kemungkinan gadis di tingkatan empat pernah mengadakan seks
  • 2/3 mengadakan seks sebab cuba-cuba dan suka-suka
  • 1/3 mengadakan seks sebab menurut teman lelaki dan rakan-rakan

Terdapat juga mereka yang seolah memuji tindakan adindaevans atas pengakuan berani dia itu. Kononnya atas alasan dia tidak hipokrit dan berterus-terang serta tidak berselindung. Jika kita tidak mampu menghalang seseorang berbuat dosa, janganlah menjadi antara mereka yang menggalakkannya pula. Khuatir mendapat saham tanpa diduga. Wajar kita doakan supaya dia bertemu pangkal jalan semula. Itu paling tersedikit dari kita.

Semua ini sebenarnya membawa kita untuk lebih berwaspada dan lebih memberi perhatian  dan pemantauan pada anak-anak, terutama remaja. Terlalu berat tanggungjawab menjadi ibubapa terutama dizaman teknologi serba canggih. Teknologi yang kerap disalahguna dan mengarah kepada keburukan lebih dari kebaikan. Dikatakan remaja kini tahu mengenai seks lebih awal, seawal 10 atau 11 tahun. majoriti mendapat maklumat melalui rakan sebaya atau Internet. Selain mengenali pornografi. Jika itulah harganya ibu-bapa, masyarakat, negara dan Agama perlu membayar atas sebuah erti kemajuan, saya tertanya sendiri...Berbaloikah???

10.15am@6/6/11

Khamis, 2 Jun 2011

BILA WUDUK MAHU DIHARAMKAN

Lagi gambar Google.

Tidak perlu panik. Bukan itu tujuan blog biasa ini. Ini bukan cerita di Malaysia. Bumi Malaysia, negara tercinta yang setakat ke hari ini Alhamdulillah masih aman, makmur, ada kedamaian dan kesejahteraan bagi kehidupan yang menumpang di atasnya dengan izin Pemilik alam ini. Ini sesungguhnya cerita di sebuah tempat yang jauh, itulah di Tennesse, Amerika Syarikat. Saya memang belum pernah ke sana. Lebih dari itu Malaysia pun tak rata lagi rayapnya. Jika berpeluang naik burung besar pun, berhajat nak didahulukan ke arah Kiblat sebagai pemula. Insyaallah dengan izin dariNya.  Saya amat menunggu saat itu. Namun saya dapat merasakan ada sesuatu yang mustahak dari perkara yang terjadi di Tennesse ini. Ini persoalan Islam sejagat. Anggap sahaja in sebahagian dari rasa syukur kerana masih menemui satu lagi Jumaat pernuh berkah di mana saya masih bernafas di dalamnya.

Baru ini, melalui pembacaan saya terbaca satu berita ringkas mengatakan bahawa berwuduk(mengambil air sembahyang) bakal diharamkan di Tennesse. Pertama sekali, teramat syukur negara kita jauh dari tempat sebegitu. Ingin tahu lanjut saya pun menggunakan hujung jari mencari sedikit maklumat. Sememangnya terbukti bahawa wujud pembenci tegar ke atas Islam yang tentunya kafir yang berjiwa jahat. Inilah musuh sebenar Islam dan ummatnya.

Di Tennesse telah wujud satu Gerakan Antisyariah Islam (saya ringkaskan sendiri sebagai GASI). Gerakan ini menganggap bahawa Islam adalah suatu yang ekstremis dan ditakuti bakal mendominasi. Mereka menganggap sesiapa yang mengamalkan Islam yang berpandukan syariat itu sebagai ekstremis Muslim dan bercita-cita mengganti konstitusi Amerika Syarikat dengan syariah Islam itu sendiri. Oh! tidak mengapa saudara-saudari, Tennesse sangatlah jauh dari Malaysia. Malaysia juga tidak sebegitu. Kita baik-baik dan sihat-sihat sahaja. Biarkan-biarkan.....

Itulah hinanya fikiran musuh Islam. Jika sebelum ini saya juga hanya pandai menyebut tentang musuh Islam, namun entah bagaimana, hari ini berpeluang masuk ke dalam kotak fikiran mereka dan melihat sendiri sebahagian 'virus kejahatan' yang wujud di dalamnya. Mereka ini takut pada bayang-bayang kebenaran. Motifnya tidak mahu pada Islam. Sebabnya? Terlalu banyak dan terlalu panjang senarainya.

Apa yang hebatnya adalah mereka cuba dengan sehabis upaya dan dengan lancar berusaha menggunakan draft undang-undang bahawa seseorang yang menerapkan hukum Islam adalah pelaku jenayah. Draft itu diajukan bertujuan membataskan peribadahan Muslimin di sana. Kita melihat cara mereka sememangnya bersungguh mahu melenyapkan Islam dari persekitaran mereka. Mereka tidak perlu pada Islam. Mereka menidakkan kekuasaan Allah. Mereka kafir lagi kufur. Semoga Allah memelihara kita dari menjadi seperti mereka. Memelihara kita dari menjadi sebagai muslimin di negara Tennesse. Jika ia berlaku di satu tempat, ada kemungkinan boleh erlaku seperti itu di mana-mana. Tidak terkecuali Malaysia. Seperti kini telah ada yang timbul bibit-bibit dan bunga-bunga berani menghina Islam dengan kata-kata dan 'bakat' yang ada pada mereka. Mulanya dengan menghina. Jika berjaya, pasti naik ke tahap seterusnya dan tak mustahil ke tahap seperti di Tennesse yang sedang diperkatakan ini. Ini hanya selangkah melihat ke hadapan.

Dikhabarkan juga bahawa terdapat 13 buah negara menunda undang-undang larangan terhadap perlaksanaan Syariah Islam, namun 'draft' dari Tennesse itu adalah yang terketat antara kesemuanya dan pastinya tertinggi penghinaannya terhadap Islam agama wahyu dari Allah yang disampaikan melalui Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul. Jika mereka tiba-tiba sedar dari kesilapan tindakan mereka, Alhamdulillah. Jika sebaliknya, semoga mereka mendapat kehinaan dari Allah atas usaha mereka tersebut.....

Perbuatan orang kafir yang sebegitu kita fahami sangat agenda dan motif mereka. Sebaliknya jika sebagai penganut Islam, usahlah kita terpengaruh dengan cara, dakyah, usaha dan propaganda yang mereka itu lakukan dan selitkan juga sebarkan. Mereka pintar ke arah itu. Melalui pelbagai usaha dan cara. Dengan menggunakan segala bala tentera yang ada. Hebat dari segi perancangan dan strategi. Seringkali, kita tidak sedar dan kurang tahu cara mereka. Mereka mampu menyogok kita sendiri, umat Islam dengan kata-kata manis sehingga mampu membuat kita percaya bahawa pengamal dan pembela Islam itu adalah ekstremis dan musuh dunia. Sedangkan mereka tidaklah lain bercakap untuk diri mereka sendiri.....sebagai musuh Islam juga Allah dan Rasulnya.....

10.15am@3/6/11

Rabu, 1 Jun 2011

CAMPAK BAYI DARI TINGKAT LIMA

Timbul juga di fikiran, bahawa bila kita mempersoalkan tidakan orang lain, apakah ada kewajarannya? Sedangkan diri kita sendiri pun masih dalam perjalanan dan menghadapi perkara-perkara yang selayaknya selaku manusia biasa. Ada naik dan turun. Ada susah dan senang. Ada suka berselang duka. Begitu pusingan kehidupan selagi bernama manusia. Manusia itu memang dicipta untuk mengabdikan diri serta diduga.

Berita perihal membuang bayi dari tingkat 5 di sekitar Sentul yang sampai ke telinga saya tadi memang meruntun perasaan saya. Automatik menjadi sedih. Lihat pula jasad bayi yang dipaparkan itu(walau kabur) saya fikir seorang bayi lelaki. Tergamak sungguh. Mengapa kelakuan sebegini terus berleluasa? Ini penyakit manusia kini. Keseronokan seketika yang menggila berakhir dengan kekejaman yang boleh membawa ke neraka.  Di luar sana masih ramai orang yang menginginkan cahayamata, namun ada yang tidak diberi rezeki. Manusia kejam ini pula sewenang-wenang dan dengan kejam membunuh suatu nyawa yang suci lagi tidak berdosa. Jiwa saya terasa menangis.

Sedar bahawa saya belum pasti seorang ibu yang terbaik, namun mana-mana ibu yang waras pasti akan merasa kesedihan seperti rasa hati saya. Selalu juga saya membaca berita sebegini, namun yang dipaparkan di berita 1.30pm tadi sungguh merentap dan menyedihkan. Pasti kerana ia dicampak. Biasanya kita dengar bayi ditinggalkan. Ada pula yang ditanam. Oh!! Tak sanggup nak membayangkan. Bayi itu pula kelihatan 'semangat' dari segi saiz badannya. Saya andaikan  ia akan  ke syurga!!! Damailah kamu wahai bayi....Allah lebih menyayangi kamu sesungguhnya. Semoga kamu menjadi penghuni penambah ceria di syurga sana....

Apakah itu bayi luar nikah? Jika benar, nescaya pelakunya telah melakukan 2 dosa besar. Berzina dan membunuh. Jika tidak benar, dosa membunuh itu jika sengaja boleh saja diqisaskan jika hudud diamalkan. Saya terfikir ke arah itu kerana geram teramat sangat. Sememang jika membunuh dengan niat sengaja, hukumnya bunuh balas. Lain jika pelaku itu mendapat keampunan dari keluarga simati dan bertaubat nasuha tidak akan mengulangi perbuatan tersebut. Perlu pula membayar 'diat'(compensation) yang ditetapkan kepada keluarga si mangsa yang berkehendak. Itu ilmu saya yang terbatas. Jika salah silalah betulkan. Untuk zina pasti sahaja disebat atau ada juga yang perlu disula. Jika anda menganggap saya ekstrem, itu hak anda. 

Islam itu tidak kejam atau ekstrem. Ia agama yang bersederhana. Ia akan bertindak bila keadaan perlu pada tindakan tegas. Itu adalah ketegasan dalam Islam. Islam lembut tapi tegas. Itu kita perlu faham. Saya juga tidak sangka akan menyebut hingga ke situ. Biasanya saya tidak ambil pusing, kerana saya dan anak-anak Alhamdulillah, setakat ini baik-baik sahaja. Biasa resam manusia, bila diri sendiri dan keluarga baik-baik saja, apa perlu fikir pasal orang lain diluar sana? Semua ini atas dasar kemanusiaan dan naluri keibuan dalam diri saya yang masih belum cukup sempurna ini. 

Namun saya berpandangan, jika ada yang mati diqisas kerana membunuh bayi pasti ramai yang gerun(merujuk pada yang beragama Islam) dan berfikir banyak kali untuk sewenang-wenang membuang dan sekaligus membunuh bayi. Islam berniat untuk memberi pengajaran dan kegerunan. Seorang yang diqisas kerana membunuh pasti mungkin dapat menyelamatkan 10 atau lebih ramai orang lagi yang bakal dibunuh dengan niat sengaja. Berbeza dengan hanya didenda atau dipenjara. Itu tidak mampu menjentik pun rasa takut dalam jiwa kebinatangan yang menunggu masa untuk bangun dan berbuat dosa.

Undang-undang manusia yang direka dan boleh berubah-ubah menurut masa dan keadaan tidak akan dapat mengganti undang-undang Allah yang termaktub di dalam Al-Quran dan telah ditunjukajar perlaksanaannya oleh Rasul kita. Bila kita menurut kemahuan dan kesesuaian kita, inilah kesannya. Manusia menjadi lebih hina dari binatang. Binatang pun tahu ssyangkan anak, tapi manusia lebih binatang dari yang berjiwa binatang......

3.30pm@1/6/11