Ahad, 5 Jun 2011

ADINDA EVANS DAN KLON-KLONNYA

Telah beberapa hari tidak 'update' blog. Hari ini datang semula. Namun tetap melayari laman-laman kebiasaan dan sesekali meredah laman baru. Sengaja bertukar angin. Itu sebahagian dari harian biasa aku.

Pesan orang tua-tua, tidak baik mengeluh. Walau aku tidak pernah bertanya sesiapa pun akan duduk sebenar alasan atas larangan tersebut, namun aku rasa aku faham mengapa. Mengeluh mungkin menggambarkan kelemahan seseorang. Mengeluarkan aura negatif. Seolah-olah tidak mampu untuk berjuang dan mengalah sebelum waktu. Itu tanggapan aku dari perspektif hanya aku.

Hakikatnya, aku tak mampu melawan untuk mengeluh bila membaca perkembangan dunia melalui akhbar. Mungkin ada pula yang berkata, jika begitu tidak perlu membaca akhbar. Jimat duit, masa tenaga dan tak terhinggap aura negatif. Namun ia tidak semudah itu. Tidak membaca rasa tidak senang duduk pula. Membaca itu punca ilmu dan pengetahuan. Membaca membawa kepada minda yang berfikir. Berfikir membawa kepada persoalan mana salah dan benar. Seterusnya salah dan benar itu melibatkan batil dan hak. Seterusnya yang hak adalah kembali pada Allah dan batil itu dari kesalahan dan kesilapan berpunca kelemahan kita bernama manusia.

Aku menjurus kepada isu yang sebenarnya telah lama bermain dipersekitaran, namun aku yang seperti ketinggalan berbicara. Selaku seorang ibu, membaca perkembangan terkini mengenai bagaimana mudah perihal anak-anak gadis dengan mudah meyerahkan kegadisan pada teman berlawanan jenis memang menakutkan. Mengenang masa depan anak-anak perempuan ini memang boleh menimbulkan gusar hati. Maklumlah manusia ini ada pelbagai ragam dan sifat. Sekali air bah, sekali pantai boleh berubah. Masa depan juga bukan kita yang menentukan. Sesaat dari sekarang juga bukan kekuasaan kita. Aku sememangnya bukanlah seorang yang teramat moralis. Seperti kejadian makhluk lainnya ada kelemahan dan kelebihan. 

Jika kita sibuk dengan pengakuan berani mati insan yang menggelar dirinya adindaevans yang dengan bangga bercerita perihal dirinya dan penyerahan mahkotanya kepada orang-orang tertentu, sebenarnya terdapat lebih ramai adinda evans diluar sana. Bezanya mereka tidak membuat pengakuan terbuka dan mendabik dada seperti adinda evans. Hairan dengan sikap adindaevans itu. Sudahlah berbuat dosa malah dengan bangga mencanang dan berbangga. Entah di mana rasa malu yang disebut separuh dari iman itu? Manusia itu jika telah terlanjur melakukan dosa dan kesilapan wajarnya bersendirian bertaubat dan insaf, bukan berbuat seperti adindaevans. Katanya kes beliau sudah jadi kes polis. Kewujudan sebenar adinda evans tak terkecuali dipersoal. Apa yang hakikatnya, perbuatan yang dilakukan itu memang menjadi barah masyarakat Melayu Islam di Malaysia kini. Menyedihkan.

Aku selitkan sedikit butiran yang sampai pada kita, perihal isu berkaitan. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata berdasarkan soal selidik membabitkan 2800 remaja berusia 15 hingga 25 tahun oleh sebuah universiti tempatan denga portal YouthSays.com menghasilkan:

  • 60% hilang dara menjelang umur 18 tahun
  • 24% pernah melakukan seks dengan lima kekasih
  • 74% remaja tidak mengamalkan kaedah perlindungan melakukan seks
    83% mengaku tidak alami kesan negatif dari tindakan seks luar nikah
  • 50% mengaku 'bahagia' dengan pengalaman seks luar nikah
  • 30% remaja memikirkan setiap hari
  • 50% ragu-ragu cukup ilmu mengenai seks sebelum mengadakan hubungan intim
  • 33% kemungkinan gadis di tingkatan empat pernah mengadakan seks
  • 2/3 mengadakan seks sebab cuba-cuba dan suka-suka
  • 1/3 mengadakan seks sebab menurut teman lelaki dan rakan-rakan

Terdapat juga mereka yang seolah memuji tindakan adindaevans atas pengakuan berani dia itu. Kononnya atas alasan dia tidak hipokrit dan berterus-terang serta tidak berselindung. Jika kita tidak mampu menghalang seseorang berbuat dosa, janganlah menjadi antara mereka yang menggalakkannya pula. Khuatir mendapat saham tanpa diduga. Wajar kita doakan supaya dia bertemu pangkal jalan semula. Itu paling tersedikit dari kita.

Semua ini sebenarnya membawa kita untuk lebih berwaspada dan lebih memberi perhatian  dan pemantauan pada anak-anak, terutama remaja. Terlalu berat tanggungjawab menjadi ibubapa terutama dizaman teknologi serba canggih. Teknologi yang kerap disalahguna dan mengarah kepada keburukan lebih dari kebaikan. Dikatakan remaja kini tahu mengenai seks lebih awal, seawal 10 atau 11 tahun. majoriti mendapat maklumat melalui rakan sebaya atau Internet. Selain mengenali pornografi. Jika itulah harganya ibu-bapa, masyarakat, negara dan Agama perlu membayar atas sebuah erti kemajuan, saya tertanya sendiri...Berbaloikah???

10.15am@6/6/11

1 ulasan:

  1. Ayie Abas, Isu pembuangan bayi ini rasanya sukar nak berhenti. Ia penyakit sosial yang semakin 'advance' dari segi perlaksanaannya. Selagi tiada penguatkuasaan tegas yang membuat jiwa-jiwa manusia takut pada pembalasan 'hakiki' dari Empunya setiap nyawa, ia tetap akan berterusan.

    BalasPadam