Moh kita menari....(versi sopan stail mat saleh) -dari google |
Dunia hiburan kini masih heboh memperkatakan perihal klip video 'Marilah Menari' dari Gambit Saifullah. Indah sungguh makna Saifullah, seindah sebutannya. Pedang Allah. Namun itu bukan isi ceritanya. Kita dikhabarkan isu ini telah membawa Persatuan Seniman Malaysia membuka pintu kepada Gambit bagi mendapatkan khidmat nasihat akibat tekanan dihadapinya sejurus selepas klip video yang dihasilnya itu mendapat kritikan masyarakat negara ini. Presidennya, Harun Salim Bachik dikatakan bersimpati dengan nasib Gambit dan mengalu-alukan kedatangan Gambit untuk mendapatkan pandangan berhubung kontroversi penghasilan klip video berbaur lucah itu (saya petik dari Harian Metro).
Alkisahnya juga diceritakan Gambit telah bertindak dengan memaki hamun 'blogger' Malaysia dan peminatnya selepas dikritik. Gambit telah dinasihatkan, sebagai pengarah baru, beliau harus mendapatkan nasihat dan pandangan orang yang berpengalaman. Alasan menghasilkan video tersebut untuk pasaran Amerika dikatakan tidak munasabah dan kandungannya tidak memaparkan budaya Malaysia sebenar. Video klip yang dihasilkan dikatakan seharusnya memaparkan budaya negara ini untuk diketahui bangsa asing dan bukan penampilan yang mencemar nama negara. Dikatakan juga klip video tersebut agak keterlaluan... walau pun untuk pasaran luar negara, Gambit sepatutnya peka dengan budaya dan agama Islam serta budaya Malaysia.(olahan dari Harian Metro)
Saya melihat:
Dunia hiburan di Malaysia memang meriah. Pelbagai. Macam-macam ada. Malaysia boleh. Oleh itu isu Gambit dan video klip kontroversinya itu tidaklah menghairankan, walau mengejutkan. Sebelum ini ada seribu satu macam kontroversi dalam dunia hiburan. Kita semua sudah melaluinya. Ramai yang menikmatinya. Namun isu-isu sebegini seperti hanya publisiti untuk mengwar-warkan sesuatu perkembangan. Seperti contoh kes ini. Gambit semakin dikenali. Pelakon-pelakon video tersebut makin kerap ditemubual. Makin naik nama mereka. Makin naik 'ranking' mereka. Makin dikejar produser. Makin lebat tawaran pada pelakon tersebut. Isu yang dasarnya, perihal adab sopan, agama, moral, budaya hanya sampai ke mana? Habisnya pelaku-pelaku itu hanya akan memohon maaf. Atas dasar mungkin hanya mahu menjaga periuk nasi. Menyatakan kekesalan dan berjanji akan kononnya lebih berhati-hati dan sensitif dan semua akan seperti sediakala. Semuanya akan dilupakan. Tamat. Kemudian akan datang kontroversi baru. Melibatkan pelaku baru. Ini berterusan. Itu dunia hiburan.
Saya tak tahu wajah sebenar klip tersebut. Berbicara hanya menurut berita-berita dan ada melihat gambar kaku dalam suratkhabar. Cukuplah. Saya lihat gambar tersebut pun sudah mampu membayangkan kontroversi sebenar. Kalau tidak masakan ia meriuh-rendahkan industri hiburan kita. Gambit telah separuh berjaya dalam usaha mendapat perhatian ramai. Agak-agak kalau Obama tengok klip tu, mesti dia bangga. Bukan sebab kehebatan 'tarian' yang dipamerkan. Sebaliknya, bangga kerana seolah rakyat Malaysia sanggup menggadai maruah agama, bangsa dan negara demi mendapatkan pasaran(ada pasaran ke?) di benua jajahan dia. Apa patutkah kita ucap syabas pada Gambit???
Pada kita, tidak salah mahu berkarya. Jika itu periuk nasi dan kepakaran yang ada. Pergunakanlah. Namun jika ada yang menegur dan mengingatkan atas kealpaan dan terlepas pandang kita, toleh-toleh dan kaji-kajilah. Mungkin ada benarnya. Siapa lagi mahu mengingatkan manusia, jika bukan manusia lainnya. Takkan pula nak tunggu kucing, harimau, singa dan gajah menegur... Apa dah nak kiamat? Tapi macam tak termasuk dalam tanda-tanda kiamat pun...
Ayie...Biasalah tu. Itu mungkin salah satu cara mahupun strategi yang diambil oleh sebahagian mereka dalam bidang tersebut untuk lebih menonjol dan mudah dikenali. Persaingan juga tu!
BalasPadamNanti saya tengok-tengok untuk shoutbox tu!