Entah kenapa tergerak berbicara perihal 'ANAK'. Macam-macam tafsiran disebut. Ada yang berkata, Anak itu permata hati. Anak itu penyambung dan penguat jodoh. Anak itu dan anak ini. Semua itu tidak salah. Semua baik-baik saja. Namun tepat sekali seperti anjuran agama katanya, Anak Itu Amanah. Tambahannya Anak Itu juga Dugaan. Itulah hakikatnya.
Bila mendirikan rumahtangga, kehadiran anak itu menjadi pelengkap. Itu mahunya kita seada manusia biasa. Namun rezeki dan ketentuan terhadapnya, hak dan pemberian dari Yang Kuasa. Ada atau tiada? Satu, dua...Bukan kita yang boleh tentukan jumlahnya. Kita hanya pelaku yang memohon. Allah itu Penentu.
Entri ini datang mungkin kerana tadinya saya membaca sesuatu di alam maya ini, di blog seseorang, bercerita perihal anak, perkembangan dan keindahan nikmat terhadap anak itu. Itu membawa saya terkenang semula semua detik-detik kelahiran bermula dari sulung ke yang bongsu(rasanya...). Terkenang juga saat mengharungi hari-hari berpantang. Saat-saat mendambakan kehadiran anak lelaki. Adat manusia. Bila tiada, mahu!. Bila diberi, memilih!. Saya pun begitu. Saat terbit kekecewaan kerana tidak sampai hajat mendapat 'baby boy'. Saat memujuk hati dan jiwa dengan ketentuan Ilahi. Tak lupa juga saat melahirkan Anas Imran. Akhirnya.
Kini syukur pada Ilahi. Setiap peraturan dariNya mempunyai hikmah tersendiri. Manusia itu hanya menumpang di bumi ini. Memohon dan meminta. Mengemis sekali pun tidak mengapa. Pada yang menjadikan kita. Tiada salahnya. Dia suka begitu. Itu hakNya...
Memandang si kecil, hati jadi redup. Kasih jadi tumpah. Sayang jadi mengalir. Mencium pipinya. Jiwa jadi reda. Minda rasa dijana. Memeluknya. Ada aliran tenaga dikongsi kepada kita. Oh! Anak-anak, kamulah amanah dan kamulah yang akan menduga... Moga mak dan abah tetap dan terus redha....
8/6/11
Ayie! Benar kata-kata anda tu. Namun sebelum mendapat anak yang mampu dan mahu berdoa untuk kita itulah terletak cubaan dan dugaannya. di situ juga amanah kita teruji.
BalasPadam