Kesekian tempohnya Perempuan Nan Bercinta milik saya beratur
tegak di rak buku, maka dengan ketetapanNya, baru saja mampu menelaahnya. Walau
sebelum ini pernah mulai membaca, namun terasa tiada kesungguhan. Lantas, pembacaan 'tanpa jiwa' itu terhenti begitu
sahaja. Tanpa mengingat di mana matinyanya bacaan tersebut.
Hakikatnya membaca ini memang perlu dengan jiwanya sekali.
Bagaimana menghadirkannya? Oh! Itu kena rujuk sikit maksud pada motif membaca.
"Rabbizidni i'lman warzuqnilfahman" bermaksud, Wahai Tuhanku,
kurniakanlah daku ilmu dan rezeki kefahaman.Terkait waktu zaman belajar saya
terdorong mengamalkan beberapa doa-doa sebelum belajar. Antaranya seperti biasa
"Rabbishari sodri wayssirliamri wahlul'uqdatammillisani yafqahu
qawli" dan bersambung dengan "Allahummaftaha'laina hikmataka
wansyuralaina minkhazaini rahmatikaya arhamarrahmin" Tidak cukup dengan
itu disambung pula dengan "Fafahamnaha Sulaimaana wakullanataina hukmaw wal'ilma
wasakhharna ma'aDaauudal jibalayusaabih nawattaira wakunnafaa'iliin.Ya hayyu Ya
Qayyum mu ya Rabba Musaa wa Haarun na warabba Ibraahiim ma wa yarabba
Muhammadin s.a.w ma waalaihimajmaiin. Allahummarzuqnil fahma, wal'ilma, wal
hikmata, wala'qla birahmatika yaarhamarrahimin"(ini panjang sikit. Namun
ia ternyata menambah inspirasi - kena tahu terjemahannya dan masukkan ke hati).
Untuk itu, walau tanpa
didikan formal untuk bahasa Arab, kita masih mampu menanggap sekali lalu maksud
keseluruhannya doa tersebut. Satu bahagian jelas kita memuja muji Allah,
kemudian jika boleh dikata umpama bertawassul* dengan utusan-utusan Allah
sehingga akhirnya menyimpulkan permintaan kita kepada Allah. Lihat saja
perkataan fahma(faham), 'ilma(ilmu), hikmata(hikmah), a'qla(akal). Kesemua itu
diikat dalam satu bunjut dengan memohon
agar Allah merahmatinya untuk si pembaca. Nah! Pada siapa lagi selayaknya kita
meminta? Bukan pada yang lain, ternyata hanya pada Allah. Biasanya selaku
remaja pada jalur persekolahan yang menumpu lebih pada akedemiknya, kerja hafal menghafal ayat dan
doa seolahnya kelihatan hanya khusus untuk para Hafiz dan Hafizah. Ada baiknya,
tanpa paksaan(pasti didahului dengan pendedahan dari para Ustaz dan Ustazah dan
guru-guru yang ingat dan mengingati), demi satu pergantungan pada yang tiada
lain hanya Dia, dengan rasa sedar dan rela hati kita perlu berusaha terus menghafal dan cuba
mengamal doa-doa yang diperlukan. Hanyasanya
hati terbit rasa percaya dan yakin sebab rasa dan tahu kita menjadi
lebih tersusun. Walau boleh saja doa dalam Bahasa Melayu. Kesannya, walau 'dasar kesedaran spiritual
menjurus pada keagamaan' tidaklah begitu hebat, namun 'dorongan' penyerahan
pada Ilahi itu 'vital' untuk suatu kemampuan demi mencari ilmu In Sya Allah akan
didatangkan kemudahan dan kefahaman dan dengan
harapan akan mendapat bimbingan dari Allah.
"Orang kafir tak baca doa 'macam kita' pun pandai juga,
bahkan nampak menonjol dari segenap sudut dari kita". Persoalannya kita adalah
Muslim. Sebaliknya diketahui agama-agama lain juga ada cara dan gaya
masing-masing dalam menyembah dan bermohon demi hajat masing-masing. Tak
payahlah pula nak semak kepala apakah doa mereka lebih baik nescaya mereka
lebih berjaya dan seterusnya.........Jadi, pentingnya adalah berbaliklah kita pada diri kita seadanya
fitrah mukmin. Mereka dengan agama mereka dan kita tetaplah pula dengan agama
kita. Merenung dalam diri kita. Kita mungkin kelihatan sihat tubuh badan dan
sempurna akal fikiran, namun belum tentu mampu menguis lalat bertenggek atas
hidung bila tiada izinNya. Lihat sahaja pada seorang jejaka yang kacak namun
bisu. Mungkin dari segi kedoktorannya mengatakan begitu dan begini. Dari segi
hakikatnya ia adalah kerana Allah mengkehendaki begitu jadinya. Ketetapan,
penentuan, penyusunan, perancangan sebut apa sahaja istilah, ia milik Allah. Termaktub dalam Qada' dan Qadar. Tersebut juga
bahawa doa itu senjata dan mampu mengubah sesuatu keadaan kepada sesuatu
keadaan yang lain. Jadi usah terkejut pula jika Allah mahu memberi suara pada
sibisu. Jadi segala doa dan amalan doa itu tidak lain adalah untuk meletakkan
selayaknya diri kita sebagai ciptaan kepada yang Mencipta. Sebagai hamba kepada
Tuan. Hamba yang memohon dan menyerahkan pula pula bulat-bulat keputusan
permohonan itu kembali kepada Tuannya dan menerima sahaja apa hasil permohonan
tanpa sebarang persoalan terhadap hasil. Permohonan itu wajar berterusan dan
tanpa jemu. Janji Allah, setiap doa itu akan dipenuhi. Cuma bila dan di mana,
bukan persoalan manusia. Itu definasi doa. Jadi nyata doa itu 'senjata rohaniah'
yang berkuasa.
Wow!......Dah berapa kilometer berlari. Mengah dengan omongan
perihal doa. Balik pada Perempuan Nan Bercinta. Semuanya ada 30bab. Saya benar-benar
mengambil masa saya. Sikit hari nak 2 minggu menyudahkannya. Lama tuu.... Tidak
berniat nak beri sinopsis, sekadar mencoret serba sedikit dari hasil pembacaan
dan sedikit pandangan. Ternyata novel ini membawa bersama-samanya isu yang
dapat dilihat berat pada kita. Bermula dengan watak Idora, wanita yang
mempercayai bahawa dirinya nyata sibuk memperjuangkan 'hak asasi' kaum
sejenisnya. Seorang wanita asal Melayu mengaku femenis dan masih kekal Melayunya namun semacam telah
terhakis darinya 'akar penting' dari Melayunya itu, iaitu Islam itu sendiri.
Bagaimana Idora ini begitu terasing dan berseorangan dengan perjuangannya bila
dibandingkan dengan ahli keluarganya yang lain. Idora hanyut dengan
organisasinya, Modest Women Oriental (MWO). Perjuangannya nyata menjurangi
dirinya dari Nenda, Bonda, terutama adiknya Zanjabila. Dari segi pegangan dan
nilai. Idora memilih jalan sendiri. Atas sebab-sebab tertentu. Begitu di tambah
dengan kehadiran iparnya Hashemi. Zanjabila adik Idora menjadi 'contrast' dari banyak segi dibanding
Idora. 'Contrast' itu diperkukuh dengan kehadiran Hashemi. Pada satu tahap
dilihat watak Idora terlihat terkebelakang dari Zanjabila dan Hashemi(bemula
dengan tumbangnya Idora(sakit) dipentas persidangan dan debat antarabangsa).
Namun itu berlaku kerana untuk memuat naik unsur-unsur pendedahan yang saya
kira dapat dilihat sebagai cabang-cabang ilmu, pemikiran-pemikiran serta saranan-saranan
diandaikan bertujuan membuat pembaca berfikir, selain mungkin mahu mendedahkan
sesuatu atau mendidik pada para pembaca. Watak penting Dr. Ali Taqi menjadi
teras kepada keseluruhan bahagian tersebut. Ini jelas bila dia yang
bertanggungjawab menjawab kemusykilan dan kekaburan Hashemi mahupun Bastian.
Oh! Bastian pula adalah watak lelaki bermata hijau yang berjaya membangkitkan
Hawa si Idora. Dari situ juga saya kira bangkitnya Perempuan Nan Bercinta.
Karya sastera yang tiada niat dan 'tujuan sedemikian' wajar
kita kategorikan sebagai rongak, rompong, kosong, lompong lagi sia-sia. Itu
juga pernah saya baca dari pandangan pengarang
sama sebelumnya. Ya! pada bacaan yang lain. Itu saya setujui, peribadi dari
saya. Jadi betapa penting bagi pembaca memilih bahan bacaan yang tidak sia-sia
sekaligus menjadi terbuka minda, mula berfikir, mencari tahu, mencari benar
dengan kefahaman selepas proses bacaan. Walau bacaan itu sebagai hobi di masa
senggang. Novel ini terasa 'sarat' dengan 'kandungan'. Banyak yang cuba
disampaikan. Tak terlepas dengan kata nama Sunni dan Syiah(Syiah mencederakan
diri dijawab ringkas dari perbualan Ali Taqi dan isteri-seingatnya) begitu Wahabi dan
Salafi, tak hairan ia tetap ada kontroversi hingga terdengar satu ketika ada
yang mahu ia diharamkan. Ada diselak tabir kepada idea-idea yang memperlihatkan
sanjungan untuk Ahlul bait. Namun saya lihat itu juga antara 'kelainan' karya
Dr. Faisal Tehrani. Ia jelas dan lebih 'affirmitive' dalam Perempuan Nan
Bercinta ini. Timbul soal di mana salahnya menyanjung Ahlul bait? Maaf saya
tiada jawapan. Mungkin itu boleh menjadi persoalan bagi setiap pembaca. Setakat
ini, dalam novel ini, tak nampak apa yang terlebih di mana-mana(atau sememang
saya memang tak perasan dan kurang faham erti terlebih atau tak mencari-cari
ruang untuk perasan keterlebihan si pengarang). Jadi tidaklah jelas saya apa yang jadi sebab kontroversi pada
novel tersebut. Atau mungkinkah saya cuma nampak apa yang saya mahu lihat. Aku
saya, novel ini berbaloi dibaca. Susunan gaya bahasa dan keberkaitannya nampak
selesa. Saya dapat merasa anjakan minda di sana sini dengan bacaan saya. Tetap
ada pengisian dan terlihat bagaimana pengarang berusaha memahamkan pembaca
menurut hala, sisi dan sudut pandangnya berkenaan 'mesej' yang mahu
disampaikan. Kebebasan bermazhab ada disentuh didalamnya. Sekali lagi ia bukan
persoalan untuk dijawab berseorangan, melainkan ia persoalan untuk setiap
individu memikir dan menilai. Selain ia melibatkan pihak yang lebih sekadar
orang biasa. Saya suka melihat ia sebagai naskah dengan 'mesej terbuka'.
Bermakna penilaiannya terpulang juga pada sudut mana pembaca mencungkil dan
menilainya.
Ada perenggan-perenggan yang membuat saya rasa tersentak
juga membacanya. Tak percaya??? Ambil satu kisah perihal seolah ada 'pertikaian
yang wujud tentang hadis' yang mengatakan tentang kebangkitan Rasulullah s.a.w
yang diriwayatkan oleh Aisyah yang mengaitkan dengan turunnya wahyu pertama
iaitu Iqra'. Peristiwa di Gua Hira'. Walau terkejal sedikit sewaktu melalui
pembacaan tersebut, namun pertikaian itu disertakan sekali bersama hujjahnya.
Selaku pembaca, saya hanya terus membaca. Usaha memahami dengan akal biasa
saya. Setakat itu. Andai ada diluar sana yang merasa perlu menjelaskan dengan
lebih lanjut atau mencerahkan apa yang terlihat kabur dan khuatir ia mengaburi pembaca novel ini,
silalah jelaskan. Penjelasan demi manfaat bersama. Mungkin perlu ditampilkan
hujjah untuk memperbetulkan andai ada apa-apa silap dengan novel ini. Walau
bagaimana pun saya sering menyedarkan diri bahawa saya sedang membaca naskah
karya sastera. Bukan naskah doktrin ideologi atau lainnya. Usah taksub.
Mana-mana baik diambil. Meragukan ditinggal. Jika ada yang keliru mungkin baik
ditanyakan pada yang arif. Apa pun pastinya buku sebegini lebih baik dari
majalah-majalah hiburan atau apa sahaja yang melalaikan. Membawa pembaca
berfikir, mencari tahu dan berusaha mencari yang benar dan sebaliknya. Buku ini
juga terdapat terjemahan-terjemahan ayat al-Quran dan juga Hadis yang menjadi
pasak hujjah dari Dr Taqi Ali. Jadi saya nampak, ia masih dalam aqidah Islamiah. Persoalan
Mazhab itu cerita kedua. Apa yang nyata dalam kisah ini si Perempuan Nan
Bercinta itu menjumpai cintanya didunia dan lebih dari itu menjumpai Pemilik
Cinta dan Kecintaan yang abadi dari pintu hidayah dan Kasih Sayang Ilahi. Keajaiban
telah terjadi dalam hidupnya. Ia kerana Rahman dan Rahimnya yang Maha Esa. Membaca
terus membaca. Dengar cerita penulis ini bakal tampil dengan Manusia Tuhan.
Novel baru.
Kisah Idora yang bagai mati hidup semula dan berkesempatan
merai cinta indah di dunia bersama kekasih hatinya Bastian memang sempurna
dinovelkan. Sukarkah mencari cinta luhur dunia yang membawa ke akhirat??? Juga
antara persoalan untuk semua yang mahu dan sedang dalam cinta.
*Rujuk m/s 19 Akidah Muslimin susunan Ustaz Hj. Ahmad Hafiz Hj. Mohd Alwi al-Bakaniyy