Selasa, 8 Mei 2012

BUKU: UMNO PAS PKR SEMUA TAK BETUL? SIAPA BETUL?


Setakat ini, seingat aku belum pernah aku membuat entri ‘langsung tentang buku’. Maksudnya cerita perihal buku yang dibaca. Hari ini, hari pertamalah kiranya untuk itu. Pesta Buku 2012 sudah tamat, dan pasti mereka yang telah mendapatkan bahan bacaan atau bahan maklumat dari sana sedang tekun menelaah dan mengkaji bahan-bahan masing-masing. Menggali menurut kemampuan akal dan membuat kesimpulan menurut fikiran yang diberikan pinjam oleh Allah kepada kita. Mudah-mudahan semua mendapat kebaikan dan mampu menghindar keburukan berkat manfaat ilmu yang diperolehi.

Ini bukan ulasan, sebab aku bukan pengulas. Lebih kepada perkongsian dan bercerita. Sesungguhnya apa yang bakal dicatat adalah semata-mata pandangan peribadi. Aku percaya pandangan sekecil ini tidak akan mempengaruhi mana-mana pihak kerana bukan itu niat dan tujuan. Pandangan ini semata pandangan dan renungan dari kacamata aku. Jika ada yang membaca, bebas pula berpandangan tersendiri terhadap pandangan aku. Kira, pandangan atas pandanganlah. Berenung-renung dan berpandang-pandanglah kita. Semoga Allah memandu pandangan dan renungan kita dengan kebaikan.

Memulakan tajuk buku dengan satu persoalan dan tanda-tanda soal telah menarik aku untuk membeli naskah UMNO PAS PKR SEMUA TAK BETUL? SIAPA BETUL?. Membaca tajuknya saja, sudah pasti mengkategorikan ia bacaan politik. Sesungguhnya, ini kali pertama aku membeli atau nak dikatakan terbeli buku sebegini. Entahlah, mungkin kerana ayat ringkas di hadapan buku, ‘Satu Kupasan Berimbang & Beramanah Mengidamkan Perpaduan Ummah’. Betul! Kerana itulah. Rasa ingin tahu… kuat. Ditambah dengan promosi penjaga gerai buku yang dikatakan pandai ‘tackle’. Cerita tentang pengarangnya yang buta sahaja, mempersonakan. Seorang yang dikatakan berasal dari pelajar bijak dan menjadi buta secara tiba-tiba, sungguh tambah menarik. Dikatakan pula bahawa penulis itu ‘tidak berpihak pada mana-mana…’. “Oh itu lebih menarik”. Aku rasa macam kenal seseorang yang sebegitu. Eh! Akulah tu….Jadi nak lihat sejauh mana serupanya rasa aku dengan rasa dalam buku tersebut.

Aku telah pun habis membaca buku tersebut. Pusingan pertamalah kiranya. Membaca buku kadangkala baik dengan ulangan. Mana tahu ada kalanya kita terhilang tumpuan dan penghayatan pada waktu-waktu tertentu. Aku ceritakan serba sedikit perihal buku tersebut. Berdasarkan bacaan 'first round' aku.

Penulis buku ini ialah Amalina Arshad. Amalina adalah anak kepada En. Arshad bin Abu Bakar(tuan punya cerita). Amalina membantu bapanya menyudahkan buku ini kerana kekangan pengelihatan. En. Arshad dikatakan asalnya, seorang pelajar pintar, pernah berpengalaman bekerja dengan syarikat multinasional Jepun di awal kerjayanya. Kemudian telah bekerja selama 18 tahun dengan  salah satu syarikat GLC(Government Link Corporation) atau dalam bahasa Melayu Syarikat Berkaitan Kerajaan.

Sayangnya, aku terlihat percanggahan kecil dalam kenyataan. Kecil sangat. Atau ia cuma kesilapan menaip, tak pasti. Di muka 3 dikatakan beliau ‘diberhentikan kerja’ setelah disahkan menghidap penyakit mata. Pada muka 24 dikatakan pula beliau ‘dinasihatkan berhenti kerja’. Aku sahaja yang terlebih memikir? Mungkin…Tapi seperti ada perbezaan antara dua kenyataan tersebut. Sekali lagi mungkin aku terlebih memikir. Setelah berhenti dari syarikat GLC tersebut beliau dikatakan mendapat peluang berniaga dan dikatakan pula hanya bertahan selama 11 bulan(muka3). Pelik…., pada muka yang sama dan masih dalam perenggan sama dikatakan setelah diambilalih isterinya kerana masalah buta beliau, perniagaan bertahan hanya 11 tahun. Sekali lagi mungkin salah taip. Pada muka 24 sekali lagi diulang perniagaan bertahan selama 11 bulan sahaja. Alasan kerana isteri tiada pengalaman dan kemahiran menguruskan. Aku sedikit celaru. Sambil tertanya-tanya mana yang betul. Banyak bezanya tu antara jarak masa sebegitu 11 bulan dan 11 tahun. Namun dikatakan pula beliau berjaya menimba banyak ilmu dan pengalaman berguna sepanjang menjalankan perniagaan, semasa celik mahupun setelah buta. Dalam masa 11 bulan, berapa banyak dapat kita belajar perihal perniagaan? Andai 11 tahun, aku akui….Aku andaikan selaku orang yang ramai kenalan(bekas pekerja GLC), dicampur sedikit faktor simpati, untung perniagaan pun sudah besar dan hidup mungkin senang dan mudah. Ini aku andaikan atas dasar keliru lagi.

CERITANYA!....Baca punya baca buku ini, aku sedar jauh sangat rasa aku dan rasa penulis buku tersebut. Manakan sama. Aku bukan siapa-siapa. Sebaliknya penulis ini orang yang tak keterlaluan aku katakan kelihatan telah banyak menerima jasa dari bekas majikannya. Dia memang seorang yang pandai berterimakasih. Ini jelas juga dipamerkan dalam ayat-ayatnya bila menyentuh kepimpinan dahulu, kini dan selamanya dalam satu kekeramatan kata-kata. Sikap ‘neutral’ yang cuba ditonjolkan memang ada terlihat. Namun sikap menolak satu lagi pihak juga tidak ketinggalan dari perhatian aku. Kata-kata dalam buku ini amat berlapik. Ada tempat-tempatnya aku rasa kurang puashati, sepertinya secara halus sengaja mahu menjurus pembaca pada satu-satu idea dan kesimpulan. Contoh pada muka 51, mengutarakan teori(mana asalnya, tak tahu begitu pula sejauh mana benarnya…)menceritakan kejatuhan Empayar Islam di Turki 1924 akibat dari permuafakatan Yahudi dan Nasara yang telah menubuhkan satu kumpulan berideologikan perjuangan Islam. Kumpulan tersebut dikatakan melaga-lagakan umat Islam sehingga kejatuhan Empayar Islam itu. Kenyataan itu, memang maklumat pada aku. Namun bila beliau secara tersusun dan berlapik katanya, mengaitkan kisah itu dengan penubuhan PAS pada 1951, aku rasa kurang selesa. Tapi peliknya! Aku tak pernah terhutang budi apa-apa dengan Parti PAS. Pergi Kelantan pun tak pernah. Tahun lalu nak ke sana. Banjirlah pulak. Terus ke Langkawi cuti-cuti Malaysia. Kenapa pula aku perlu rasa kurang senang bila PAS dikata begitu? Mungkin ada yang aku tidak tahu dan faham. Atau cuma naluri mengarah sebegitu? Namun pada kerajaan pemerintah, aku tetap berterimakasih dan ingat budi yang andai pun tak banyak, apa-apalah yang aku kecapi hasil dari kemajuan dicapai negara dan pengurusan dari pihak pimpinan. Aku dengan bahagian aku. Mereka dengan bahagian mereka. Rezeki Allah kurniakan pasti tidak sama. Panjatkan Syukur…dan terimakasih.

Merah, Hijau, Biru....Warna-warni politik negara. Terlalu mempertahankan warna-warna masing-masing, bimbang kita melupakan bahawa satu-satu warna dibawa ke alam barzakh biasanya ialah balutan kain kafan, putih bersih...
Pengutaraan cadangan-cadangan pemulihan dalam tulisan beliau yang mahu melihat kembali perpaduan dan kesatuan Melayu Islam(aku senang kalau dipanggil Islam Melayu…jadi lebih selesa dan luas skop) khususnya dan rakyat Malaysia amnya  memang ada bernasnya. Secara tak langsung membaca buku ini membawa aku sedikit lebih faham ‘turutan’ masalah perpecahan lebih parah orang Melayu, kebelakangan ini. Itu pun menurut penceritaan si penulis. Selain itu Surat Ekslusif Terbuka kepada Agong dan ketua-ketua parti politik juga isteri mereka yang disertakan dibelakang buku itu juga daya penarik untuk memancing pembaca. Aku telah makan umpan. Namun ada hikmahnya, melihat sesuatu dari perspektif kacamata si buta, mungkin dapat menambah celik pada aku yang kekadang buta dalam celik…..Si buta memakai tongkat, bagi yang celik mahu memakai apa??? Mudah-mudahan Allah memakaikan kita semua dengan ketakutan@pakaian takwa supaya baik kesudahan kita di dunia lebih lagi di akhirat.

6 ulasan:

  1. Salam... Syukran mbeli, membca n komen. Mula berniaga 8/12/1998 (vision 25%). 100%buta mulai 3/11/1999. Isteri sambung sehingga 30/6/2010. Penubuhan Pas harap2 tidak menyerupai ape yg dicerita, nk tanye pengasas2 semuanya dah balik. Konteks malaysia salah satu ciri melayu mesti berugama islam, tiada islam gugurlah taraf melayu. Mari bersama berdoa sentiasa supaya semua pemimpin dan melayu islam bertaubat bermuhasabah dan bertaut pleh kerana bangsa melayu merupakan bangsa terhebat ketika ini. Terus komen tuk manfaat ummah, wassalam - sibuta dibantu anaknya...

    BalasPadam
  2. Terima kasih kerana membeli naskah ini...
    Jika tidak keberatan, silalah LIKE FB Page PandanganSiButa. -admin-

    BalasPadam
  3. slm..nabi bersabda:di akhir zaman islam ada 73 g0longan,dan didalam 73 g0longan itu hanya ada 1 g0l0ngan sahaja yg bt0l..(ahlu ssunnah wal jamaah).. "Talzamu jamaatul muslimin,wama mahum"..wajiblah kamu bersama jamaah2 muslimin,,dan pimpinan2 mereka..s0daq0rasulullah..

    BalasPadam
  4. Tanpa Nama, terimakasih juga komen di sini. Juga usaha mencerahkan kekaburan pembacaan saya terhadap buku tersebut. Saya amat berharap penubuhan PAS tidak seperti yang dikhuatiri. Diakui sebagai Muslim Melayu, kita sememang cukup bertuah di bumi Malaysia tercinta ini kerana Islam agama rasmi dan tunggak kepimpinan dikalangan Melayu. Begitu juga kaum dan bangsa yang lain juga bertuah bersama-sama hidup dan berpeluang mengecap kemakmuran yang Allah sediakan. Saya selaku rakyat biasa dan kerdil ini amat berharap kesatuan pemimpin-pemimpin Islam demi manfaat rakyat, ummah, bangsa dan negara sekaligus. Itu impian rakyat Malaysia. Semoga dengannya Allah menambah nikmatNya untuk kita semua.

    BalasPadam
  5. aku rasa tertipu,,,tajuk buku mcm neutral,,tp bila baca nampak sgt sebelah pihak ja,,,kamon la,,KECEWA AKU

    BalasPadam
  6. aku senang kalau dipanggil Islam Melayu…jadi lebih selesa dan luas skop

    atas nie ayat yg ditulis oleh penulis...aku tak setuju sebab nya melayu tak semestinya islam dan islam tak semestinya melayu

    BalasPadam