Harus saya menghabiskan cerita
Gua Hira’. Walau sebenarnya klimaks pendakiannya telah
dicoretkan sebelum ini. Hakikatnya setelah sampai ke gua Hira’ tersebut
bukanlah segala-galanya. Mendaki dan sampai ke Gua Hira’ memang matalamat
pendakian Gunung Hira’, namun apa yang penting adalah, apakah yang dapat
digarap dari pendakian tersebut. Apakah wajar mendaki sahaja untuk membuktikan kita
juga mampu seperti orang lain, ikut-ikutan, atau apakah kerana suka-suka dan
sekadar ingin mencuba??? Benar itu semua boleh jadi termasuk dan terselit dalam tujuan
pendakian. Selaku manusia biasa, diakui kelemahan dan fitrah kita bisa sahaja
merasa sedemikian. ‘Oh! We’re just human, aren’t we?’ Lantas, usah pula
dibiarkan semua itu mengaburi keutamaan untuk mengenang kembali
sejarah beruzlahnya Rasulullah s.a.w di situ sehingga turunnya wahyu pertama.
Itulah surah Al-‘Alaq atau biasa disebut ayat Iqra’. Membuka lembaran kalam
Allah dengan perintah ‘membaca’. Peristiwa Rasulullah dipeluk erat oleh Jibrail
dan disuruh membaca sedang baginda seorang yang tidak tahu membaca mahupun
menulis. Kisah ini terlalu agung dalam membentuk ketamaddunan Islam selepasnya.
Jelas dapat dibaca tulisan berwarna hijau berlatarbelakang putih tersebut adalah dua potong ayat pertama surah Al-'alaq. |
Berada di perkarangan Gua Hira’
satu kelegaan di mana peluh hangat mula mendingin. Mungkin saja kerana hari
masuk waktu pagi dan kami berada di suatu ketinggian. Peluh yang membasahi
beransur-ansur menyejat dan baru terasa kedinginan pagi. Tak sempat nak melihat
waktu pun kerana sibuk meninjau. Diakui, tiadalah luas sangat kawasan di situ, ditambah dengan kami yang datang berkumpulan.
Jika berseorangan, pasti lain rasanya. Membayangkan bermunajat berseorangan
sambil menghadap kiblat, merendahkan diri seadanya, membesarkan dan
mengagungkan Maha Pencipta selayaknya di keheningan waktu sebegitu lagi jauh
dari hingar-bingar dan hiruk-pikuk sekeliling pasti damai dan tenang sekali.
Melihat kepada sekalian alam, hanya akan mengarah pada Pencipta, beralih
melihat Pencipta lantas, nampak pula sekalian yang diciptanya. Semua berbalik kepada Maha Pencipta. Tuhan Maha Agung. Maha Besar lagi
Maha Suci. Sedarlah kita, di mana kedudukan kita sebenarnya. Kita wujud kerana
yang Maha Pencipta Maha Berkehendak dan bakal pulang kembali kepadaNya kelak setelah tiba ‘expiry
date’ kita masing-masing. Sedangkan Allah itu Baqa’. Kekal selama-lamanya.
Bertuahnya, yang lelaki masih
dapat bersolat, walau berwuduk dengan hanya sebotol mineral. Kami yang
perempuan tidak berbuat demikian kerana keterbatasan diri. Kami hanya mampu
memanjatkan doa ke hadrat Ilahi selain merenung kekuasaanNya. Selebihnya sesi mengambil
kenangan bergambar di situ. Entah kenapa kamera digital saya tak begitu baik
rakamannya di situ. Apa saya tak tahu menggunakannya atau memang terbatas
fungsinya. Namun tetap menggunakan kamera telefon merakam ala kadar. Asal
jangan tiada langsung. Walau lebih sedikit sebulan berlalu, kenangan pertama
kali ke Gua Hira’ memang manis….
beruntung dila..dapat merasa berada di gua hira. Andai ada rezeki, zie jugak teringin utk ke sana.
BalasPadamZie, InsyaAllah pasti ada. Kalau dah berniat dan berhajat. Tunggu masa sahaja untuk dimakbulkan.
BalasPadam