…Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang…
Dalam kehidupan kita, sebagai manusia cenderung untuk memudahkan.
Meringkaskan sesuatu yang
kompleks(sulit) kepada sesuatu yang lebih ringan dan mudah digunapakai. Jadi,
manusia dengan perkembangan akal dan bertambah ilmu dan ditinggikan tamaddun
mampu menerbitkan penggunaan simbol di dalam kehidupan sebagai perlambangan
kepada pernyataan maksud-maksud tertentu. Dari simbol di bawah saya, anda dan
ramai tahu bahawa ia melambangkan kasih sayang atau cinta. Simbol ini mewakili
satu dari perasaan kita. Ia umpama satu bahasa umum juga.
Cuba untuk lebih jelas. Menyebut
soal simbol, saya mahu melanjutkan dengan merujuk kepada Kamus Dewan edisi ke-3(lama dah
ni…zaman belajar dulu belinya) membawa maksud, 1. sesuatu yang mewakili sesuatu
yang lain, lambang, tanda: raja berketurunan tidak dibuang tetapi dijadikan
kepala negara sebagai simbol kenegaraan; 2. contoh: hiduplah dengan rukun dan
damai supaya menjadi simbol kepada orang di dalam masyarakatmu;
Merujuk pula dalam Longman
Dictionary of Contemporary English yang ada, 'Symbol 1 a picture or shape that
has a particular meaning or represents an idea: [+of] The dove is a symbol of
peace. 2 a letter, number, or sign that represent a sound, an amount, a
chemical substance etc: ‘0’ is a symbol of zero. 3 someone or something that
people think of as representing a particular quality or idea: Space exploration
provides a symbol of national pride.'
Serba sedikit fahamlah kita akan
maksud kepada simbol. Ini semua adalah sebagai awalan kepada cerita saya
perihal sebuah naskah yang juga baru saya baca. Wajah bukunya seperti dalam
gambar. Buku ini andai dilihat dari tahun cetakan, sudah kurang lebih 2 tahun
berada di pasaran. Namun hanya saya yang baru bertemu jodoh dengannya. Apa yang
menarik saya selain tajuknya adalah ia telah diulang cetak sebanyak 6 kali. Cetakan pertama pada 2010. 5
kali cetak di dalam tahun 2011 dan cetakan saya miliki adalah cetakan ke 7.
Kesimpulannya, saya rasakan ramai telah membaca buku ini. Jadi pasti ramai yang
tahu apa isi kandung buku ini. Selain pasti sahaja ia juga mengundang pelbagai
bentuk penerimaan mahu pun penafian akan isi kandungannya. Untuk saya, tidak
lain melihat ianya sebagai satu sumber maklumat. Namun semua maklumat yang
sampai perlu juga tapisan dan difikirkan dan jika lebih upaya dikaji akah
kesahihan dan kebenaran. Kita berhenti setakat mana kemampuan yang ada pada
diri kita.
Seperti yang dinyatakan di kulit
buku ini, ianya sebuah naskah menceritakan berkenaan Teori Konspirasi. Dilihat pula makna konspirasi dalam kamus
Dewan bermaksud ‘rancangan rahsia untuk melakukan sesuatu yang menyalahi
undang-undang(terutamanya yang berbau politik): Negara kita Malaysia juga tidak
ketinggalan menerima bahang panas komplot konspirasi kuasa-kuasa besar
tersebut.’ Rujuk silang dengan kamus Longman lagi berbunyi begini a 'secret plan
made by two or more people to do something that harmful or illegal: conspiracy
to(do) sth a conspiracy to smuggle drugs into the country/conspiracy against A conspiracy
against the elected government./conspiracy of silence(=an agreement to keep
quiet about something that should not be a secret/conspiracy theory(=the idea
that an event was caused by a conspiracy) conspiracy theories about President
Kennedy’s assassination.'
Nampaknya beberapa perenggan
hanya berkisar perihal kandungan kamus tentang maksud-maksud tertentu. Adatlah.
Kadangkala kita manusia menyebut dan faham, namun penghuraian makna dalam
bentuk hitam dan putih tidak terlekat difikiran. Kita mengerti sebegitunya
sahaja. Lebih baik dari tidak mengerti samasekali. Sengaja, saya sedaya
mungkin memetik makna-makna perkataan
tertentu supaya saya dan anda dengan
sendiri tahu apa mesej utama buku tersebut. Jika berniat dan mahu membaca,
itulah yang harus diberi perhatian. Asal itu menjadi mesej utama penulisnya.
Buku ini dibahagikan kepada 16
Bab dan saya akui bila mula membaca, saya rasakan agak sukar berhenti. Telah beberapa hari tamat dengan buku ini dan sedang membaca sebuah lagi yang serupa dengannya. Buku ini
saya dapati baik sebagai pendedahan asas kepada mereka yang ada rasa mahu
kepada satu pemahaman awal dan pengertian akan siapakah sebenar musuh-musuh
kepada luar agama Allah yakni agama Islam, lantas musuh juga kepada Rasulullah
s.a.w, yakni Nabi juga Rasul terakhir.
Lantas mereka juga adalah musuh kepada kita selaku umat Islam yang terikat,
diikat dan mesti mengikat diri kepada 2 kalimah syahadah. Dikatakan bahawa
kelompok-kelompok musuh ini telah lama menjadikan penggunaan simbol sebagai
suatu yang penting dalam pertubuhan-pertubuhan mereka untuk kegunaan
ahli-ahlinya dalam meneruskan kelangsungan agenda-agenda mereka. Agenda-agenda
kumpulan-kumpulan ini pastilah menjurus ke arah merosakkan dan memporak-perandakan
dunia dan umat manusia khasnya. Semua itu pula dilakukan oleh mereka dengan
satu tujuan utama dan khas bagi ‘mempersiapkan keadaan dan suasana ‘demi
mengalu-alukan kedatangan suatu kuasa jahat yang diangkat dan mahu dijulang
sebagai kepimpinan mereka sejak lama lagi. Kuasa jahat itulah Dajjal. Saya
pasti itu tidak mustahil.
Asal membaca naskah ini, saya hanya menganggap ia sebagai mempelbagaikan bahan bacaan. Namun rupanya ia nyata lebih sedikit dari itu. Diketahui dan disedari, Rasulullah juga tidak
melepaskan diri baginda dari mengingatkan kita perihal Dajjal ini. Melalui
sedikit carian saya berjumpa yang berkaitan; Pada HR Muslim 809, Daripada Abu
al-Darda sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, “Barangsiapa yang menghafaz
sepuluh ayat daripada awal surah al-kahfi, pasti terlindung daripada Dajjal.” Tambahan
pula, daripada Ali, yang meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w baginda
bersabda, “Barangsiapa membaca surah al-kahfi pada hari jumaat, nescaya dirinya
terpelihara hingga lapan hari, daripada segala fitnah yang melanda, dan jika
keluar Dajjal sekalipun, dia akan terpelihara daripadanya (Al-Dhurr al-Manthur
oleh al-Suyuti 5:355). Jadi peringatan perihal Dajjal dan fitnahnya memang telah ada. Terlihat juga fitnahnya keluar terlebih dahulu sebelum fizikalnya. Namun tak mustahil dia dikatakan sememangnya menjadi perancang jarak jauh pada tentera-tenteranya demi matalamatnya. Cara perhubungannya dengan pengikutnya, hanya Allah yang Maha Tahu.
Persoalan siapa Dajjal? Bermacam
tanggapan akan persoalan ini. Dikhabarkan, ia sebagai manusia biasa yang diberi penangguhan
kematian dan telah disembunyikan juga
sedang bersembunyi, menanti-nanti , saat
dan ketika untuk keluar dan bakal membawa kesesatan yang dahsyat pada manusia
di dunia. Namun, saya juga melihat satu logik bahawa tidak mustahil sebelum ‘ia’
keluar telah terdapat kelompok-kelompok yang bekerja keras untuk mempersiapakan
dunia ini kepada satu suasana bersesuaian untuk ‘ketua’ mereka. Untuk satu ‘kepala kejahatan dan kesesatan’
keluar mesti pada suasana yang sesuai dengan alpa, lepa, cuai dan penuh porak-peranda.
Kucar-kacir. Pergaduhan. Pertelagahan. Penindasan. Peperangan. Akhir dan amat
penting adalah menuntun manusia kepada melupa dan mengabaikan agama. Itu misi
kelompok-kelompok durjana yang wujud demi merealisasikan matalamat ‘ketua’
mereka. Dari situ penyesatan mudah dilaksanakan. ‘Ia’ bakal menyelewengkan
akidah manusia supaya menanggap ‘ia’ sebagai Tuhan dunia ini. Penguasaan dan kekuasaan
seolah-olah ada ditangnnya. Ketentuan itu dikatakan miliknya. Kesemua manusia
mahu ditundukkan kepadanya(telah didahului oleh kelompok-kelompok tertentu). Kejahatan diperlihatkan adalah kebaikan dan
sebaliknya kebaikan itu pula adalah kejahatan. Itu tujuan utama. Namun kita
yakinlah bahawa semua itu hanya akan berlaku dengan ketentuan Allah. Semua itu
termaktub dalam perancangan Allah. Allah
sebaik-baik perancang dan perancanganNya itu pasti. Tentu sahaja ada hikmah atas setiap kejadian
merangkumi apa yang telah dan akan terjadi dan tak terlepas yang sedang terjadi.
Peringatan tetap telah diberi. Bukankah Rasulullah itu pembawa peringatan yang
nyata?
Selaku manusia kerdil dan tidak
pula memiliki apa-apa pun, saya hanya melihat bahawa buku ini walau sahaja
kelihatan sebagai satu bacaan yang mewarnakan dunia penerbitan buku diluar
sana, dari segi kandungan ia tetap ada
kepentingan tersendiri. Untuk mengenali kelompok-kelompok musuh, kita juga
wajar mengenali cara-cara dan tindak-tanduk mereka terlebih dahulu. Ini
termasuk bahasa badan dan simbol-simbol kegunaan mereka gunapakai. Ini semua
sepatutnya dikatakan menjadi ‘rahsia’ mereka. Namun saya juga yakin bahawa,
Allah itu lebih berkuasa dan andai Allah berkehendak untuk memberi peluang supaya manusia sedar dan ketahui sesuatu muslihat pihak
musuh, Allah pasti mendatangkan cara dan ilmu
itu akan sampai pada kita. Itu kasih dan rahmat Allah. Bersyukur kita kehadratnya.
Apa yang menariknya dari buku ini ialah penceritaan tentang
usaha-usaha yang dilakukan oleh puak-puak musuh ini ialah dengan menerapkan
penggunaan simbol-simbol kegunaan mereka ke dalam kehidupan manusia. Secara
halus mereka melakukannya. Penerapan secara halus ini ada yang disedari, ada
juga yang tidak. Namun kaedah ini berleluasa dalam kehidupan zaman kini. Dalam
setiap dan segenap aspek mereka menyelinap memasukkan penggunaan simbol-simbol
mereka. Sebut apa sahaja. Perfileman, sukan, hiburan(paling hebat), ekonomi,
politik, perundangan, akedemik. Hampir kesemuanya jika tidak keterlaluan saya katakan. Paling dahsyat
awalnya, ia bermula dan berkembang dengan mengoyakkan prinsip dan nilai keagamaan yang ada, jelasnya Kristian demi
digantikan dengan kehendak mereka. Selanjutnya ia juga berasas dari dorongan kebencian
teramat sangat mereka terhadap agama syumul iaitu Islam.
Apakah maksud disebalik simbol berupa panahan petir di wajah Lady Gaga ini? Perihal simbol petir itu ada diceritakan dalam buku tersebut. Wajah ini saya cari dan jadikan contoh. |
Melalui buku ini saya membuat
kesimpulan bahawa ia menepati hukum berpasangan. Jika ada putih, pasti ada
hitamnya. Jika ada siang ada pula malam. Suka berlawan duka. Islam sebagai
kesejahteraan, Allah berikan pada alam sejagat mesti pula berdepan dengan suatu
kejahatan yang berasal usul dari penciptaan Adam lagi. Ini berbalik kepada
peristiwa Iblis, makhluk yang melanggar perintah Allah dari sujud kepada Adam
atas dasar, kesombongan dan ketaksuban pada diri juga kedengkian. Iblis inilah
yang mendasari segala penyelewengan yang berlaku atas muka bumi ini. Ini kerana
sumpahnya memang untuk menggelincirkan dan menyesatkan manusia selagi dan
sehabis usahanya. Simbol-simbol dalam buku ini memang ciptaan manusia yang
telah nyata menyeleweng dengan pelbagai alasan demi kerakusan dan ketamakan
pada dunia dan bertindak selaku tentera-tentera Dajjal dan seterusnya
berpaksikan kejahatan Iblis. Ini kerana setiap simbol itu ternyata diikuti
dengan pernyataan secara nyata dan tersembunyi. Ternyata bukan simbol itu yang
perlu ditakuti dan ditaksubkan tetapi apa yang menjadi agenda-agenda pemakai dan pengiktiraf
simbol itu lebih utama ditangani. Bagi yang memakai tanpa sedar, itu cerita kedua. Namun bagi yang telah mendapat pendedahan, wajar ambil kira. Dibimbangi secara tidak sengaja seolah menjadi penyokong tidak rasmi kepada kelompok-kelompok tertentu. Kelompok yang jelas menentang Islam.
Kita sedar bahawa, terdapat perkara yang diluar kawalan kita dan
ada yang di dalam kawalan kita. Jika Dajjal diberitakan akan keluar, ia pasti keluar. Rasulullah tidak pernah berbohong. Itu
juga ketentuan Allah. Bila dan di mana. Usah
dirumitkan pemikiran. Permudahkan. Rasulullah s.a.w telah memberi peringatan.
Itu yang mesti kita ambil tahu dan beringat. Utamanya saling ingat-mengingati, terutama pada ahli
keluarga dan mereka yang dekat dengan kita. Pesanan ini mesti menjadi warisan
pada anak cucu, supaya mudah-mudahan dapat ia menjadi antara cara awal bagi kita mengambil langkah dan tindakan
untuk mendinding, menyelamatkan diri dari Dajjal dan fitnahnya.Tambahan pula dengan
keluarnya Dajjal menandakan Hari Kiamat itu makin hampir. Jadi
berpesan-pesanlah kita dengan kebaikan.
*Tidak saya nyatakan nama
kelompok-kelompok yang telah dinyatakan terlihat umpama menjadi tentera Dajjal
itu(anda mungkin juga telah sedia tahu). Ini adalah catatan asas. InsyaAllah akan datang, andai ada ketentuan, akan
saya ceritakan menurut bacaan selanjutnya. Secara kebetulan corak bacaan
terbaru saya kelihatan seperti ‘sequel’ yang sedikit mengujakan saya sendiri. 2012
InsyaAllah bukan tahun berakhir dunia. Mungkin sahaja tahun untuk saya dan kita
melihat dan mula memberi lebih perhatian tanda-tanda akhir dunia itu sendiri yang
biasanya di nyatakan sebagai tanda-tanda kiamat kecil dan tanda-tanda kiamat
besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan