Isnin, 30 Mei 2011

..........KITA JUGA SALAH SEORANG PEMINUM TEGAR 'BIR HALAL'.

Gambar pinjaman.

Isu bir halal ini masih belum temui noktahnya. Pengelihatan saya, ia masih hangat dan terapung-apung mencari keputusan muktamad. Di mana kekurangan 'jentera terbabit' sehingga isu ini seolah-olah belum temui kata putus. Masih dipersoalkan kebenaran dan kesahihan halal atau haramnya minuman yang dirujuk tersebut. Apa yang saya lihat laporan di dalam akhbar juga seperti bukan menuju kepada menyelesaikan permasalahan ini tetapi lebih membuat orang berada di persimpangan dan lebih berdepan dengan persoalan. Bukankah ini persoalan sejagat untuk negara Malaysia yang mendakwa Islam sebagai agama rasmi.

Isu halal atau haram ini menjadi tanggungjawab untuk diselesaikan secepat mungkin. Ini persoalan perut umat Islam. Perut yang dirosakkan dengan sesuatu yang haram akan juga merosakkan hati. Bila hati rosak, rosaklah ummah dan ini penghinaan secara tersirat pada Islam. Tidak perlu bermain tarik tali dan diberi kelengahan dalam menanganinya. Jika kita soal tanggungjawab siapa? Wajar kita jawab, ia tanggungjawab siapa sahaja yang mengakui beragama Islam. Bermula dari peringkat pemimpin tertinggi sehingga peringkat manusia seperti saya yang hanya mampu menjerit di dalam blog ini. Khususnya ia tanggungjawab 'jentera terbabit' yang memikul tugas khas ini.

Saya katakan laporan akhbar mengelirukan kerana sewaktu membaca berita ini di dada akhbar, tertegun saya membaca di dua muka bersebelahan berita tentang isu yang menggambarkan dua persepsi yang bercanggah. Andaikan dan bayangkan kita sebagai salah seorang peminum tegar minuman tersebut (INI TAJUK SAYA), maklumlah sudah lama beredar di pasaran. Sudah berbotol-botol pula kita teguk. Serasa ketagih dan sukar meninggalkannya dan amat berharap pada hasil keputusan dari 'jentera terbabit'.

Di satu halaman mengatakan sebegini butirannya:
 
1)  Jakim pernah menolak permohonan untuk mendapatkan sijil halal bagi minuman tersebut yang diimport dari Timur Tengah. Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha mengatakan ia tidak menepati 'standard' halal MS1500:2009 dan tidak mematuhi prosedur halal.

Kekeliruan kita:
Kenyataan ini tidak lengkap dengan tidak menjelaskan permohonan dari siapa atau syarikat mana, lebih tepat untuk minuman berjenama apa. Negara Timur Tengah juga tidak dispesifikasikan.

2)  Berdasarkan itu orang ramai diminta supaya berhati-hati dan memilih produk yang mempunyai sijil halal diiktiraf kerajaan. Beliau berkata sedemikian ketika mengulas laporan akhbar Harian Metro, Sabtu lalu berkenaan ujian oleh Jabatan Kimia terhadap minuman berkenaan yang mengandungi tahap alkohol 0.5 peratus berbanding 0.1 peratus yang dibenarkan.

Kekeliruan kita:
Pada peringkat ini kita bukan perlu nasihat dan amaran sebaliknya kita perlukan kata putus perihal halal atau haram untuk meneruskan meminum minuman tersebut.

3)  Jakim dikatakan tiada kuasa menghalang pengguna Islam dari membeli minuman tersebut sebaliknya hanya boleh menasihatkan supaya mereka tidak meminumnya.

Kekeliruan kita:
Jadi tugas siapa pula nak menghalang umat Islam dari terjebak dengan perkara sebegini dan seumpama ini. Atau ini hal sendiri-sendiri. 'Mind your own business', kalau dalam bahasa Inggeris. Bahasa 'rock' saya, lagi-lagi nasihat, dan bukan semua orang makan nasihat. Apa yang perlu adalah ketegasan penguatkuasaan. Asyik menasihat sahaja, pelacur pun diorang layan juga, arak pun teguk juga.....

4)  Timbalan Ketua Pengarah Kastam(Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Muhammad Yusop Mansor menyatakan kesediaan membantu Jakim mengawal kemasukan produk ke Malaysia, disamping mengambil kira cukai dan lesen import minuman itu. Beliau juga mengatakan belum menerima aduan dari mana-mana pihak tentang bir halal itu. Alasan beliau adalah bab halal dan haram adalah di bawah kuasa Jakim dan hanya akan bertindak berdasarkan permintaan dari agensi tersebut. Menambah kenyataan dengan mengatakan produk tersebut perlu diberi perhatian kerana berkaitan alkohol.

Kekeliruan kita:
Lihat perkataan 'kemasukan' itu tidak dispesifikasikan kemasukan produk apa. Sekali lagi kenyataan yang begitu terbuka dan umum sehingga sama seperti tiada berbicara apa-apa. Pelik kerana tiada aduan dari mana-mana pihak sedangkan isu ini sudah beberapa lama diperkatakan. Meletakkan sepenuhnya ke bahu Jakim persoalan tersebut.

Di halaman bersebelahan pula dalam isu yang sama namun laporan dari wartawan berbeza pula begini butirannya:


1)  Pengarah Suria Wholesaler Sdn Bhd, Ahmad Al Yateem, pengedar minuman malta berjenama Barbican yang dikaitkan dengan bir halal itu menegaskan tidak mungkin seorang Islam mahu menjual minuman tidak halal kepada saudara seagama. Beliau menekankan bahawa sudah 6 tahun minuman tersebut berada dipasaran dan jualan telah terjejas dengan teruk kerana insiden mempersoalkan kehalalan minuman tersebut. Juga mendakwa tidak pernah melabel minuman tersebut sebagai bir halal dan ianya hanya sebagai minuman malta berperisa buah-buahan.

2)  Saudara Ahmad juga mengatakan oleh kerana banyak media menggunakan gambar Babrican semenjak isu ini timbul menimbulkan kekeliruan pada pengguna. Belaiu juga menegaskan minuman tersebut tiada alkohol dan boleh pula ditemui dijual di Masjidil Haram di Makkah untuk umat Islam di sana.

Profil Barbican: 
- Keluaran Syarikat Aujan Industries Co berpusat di Dubai
- Pasaran ke seluruh negara Arab selain Asia dan Eropah untuk pengguna Islam
- Memperolehi sijil dari Kementerian Kesihatan Dubai, sijil untuk Eksport dan Sijil Halal dari Islamic Food Research Centre Malaysia (IFRC Asia)

Saudara Ahmad sekali lagi menegaskan bahawa syarikatnya tidak akan menjual minuman mengandungi alkohol pada umat Islam. Beliau menutup bicara dengan mengatakan bir halal yang dimaksudkan adalah mungkin disebabkan persaingan perniagaan, namun mengelak menuduh sesiapa dan mahu berjumpa pihak Jakim untuk penyelesaian isu tersebut.

Pandangan saya:
Saudara Ahmad ini sememangnya seorang ahli perniagaan yang hebat kerana berjaya tampil dengan pelbagai kenyataan yang tegas dan meyakinkan untuk melindungi kepentingan diri, syarikat dan produk yang mereka pasarkan. Belaiu lebih hebat dari 'jentera terbabit' yang terlalu rapuh dan dapat dipertikaikan kenyataan-kenyataan mereka. Tidak hairan jika penggemar minuman tersebut akan terus meminumnya walau belum menerima kata putus tentang kesahihan halal.

Di halaman sama terdapat juga berita tambahan mengatakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menghantar pegawai untuk mendapatkan sampel 'bir halal'. Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaannya, Mohd Roslan Mahayuddin memberitahu empat anggota telah dihantar ke dua premis yang didakwa menjual minuman tersebut di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut. Tindakan tersebut dilakukan atas laporan akhbar Sabtu lalu dan semalam (Isnin). Pihaknya memeriksa dan meneliti status produk tersebut termasuk pengesahan logo halal dan bebas alkohol seperti yang didedahkan.

Pandangan saya:
Ini seperti menidakkan ujian sampel yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAJ)  ke Jabatan Kimia sebelumnya. Atau mungkin akan dikatakan sebagai semakan. Jadi apakah silap ujian pertama? Apakah ianya sampel yang sama? Siapa yang tidak betul dalam menjalankan siasatan? Siapa yang tidak cekap? Ini sungguh mengelirukan.

Peranan semua pihak terutama 'jentera terbabit' amat perlu dalam menangani isu ini secara telus, tepat, cepat dan meyakinkan. Kesan dari isu ini seperti dipandang remeh. Apakah ia seperti sengaja digembar-gemburkan untuk melariskan jualan akhbar? Bertujuan sensasi dan kontroversi? Apakah ini hanya permainan sesetengah pihak? Usah terkejut jika keputusannya nanti minuman tersebut masih boleh diminum.  Hilang dan lenyap segala persoalan haram sebelumnya. Kenyataan manusia boleh berubah-ubah dan diputarbelit. Namun hukum Allah tidak begitu. Bila-bila sahaja Allah mampu melupuskan kita, dan menggantikan kita dengan mereka yang lebih baik dari kita.....

Kesimpulannya, apa yang dapat dilakukan secara cepat adalah tinggalkan sesuatu yang meragukan. Keraguan itu sendiri adalah was-was syaitan...

1.30pm@31/5/11





Sabtu, 28 Mei 2011

BLOG HINA ISLAM DAN HINA POLIS

Pagi ini melayari beberapa blog kegemaran saya, Denaihati.com dan Ariffshah.com, melihat diketengahkan berita tentang penghinaan blog tertentu terhadap Islam. Nak dikatakan hairan, tidak juga. Kita dapat lihat lepas satu, satu 'provokasi murahan' dibuat demi meraih kontroversi dan populariti busuk dari pihak-pihak yang berniat tidak baik terhadap Islam. Musuh itu wujud untuk setiap sesuatu. Hatta terhadap Islam agama suci nikmat dari sang Pencipta. Agama di mana sampai kepada kita melalui Rasulullah, Nabi akhir zaman.

Saya sendiri belum pernah terjah blog busuk sebegitu. Khuatir juga saya terpalit dengan hanyirnya. Maklumlah membaca dari blog lain sahaja sudah menaikkan suhu darah. Kalau diterjah blog sebegitu, takut terpalit dengan permainan otak kotor makhluk onar sedemikian rupa. Namun untuk saya, penghinaan terhadap Islam itu wajar disekat dan dibendung sekerasnya. Itu bahasa paling sopan dan mudah dari saya. Mengapa kita perlu sekat dan bendung (peringkat awal) perbuatan sebegini? Penghinaan Islam itu adalah penghinaan terhadap Rasulullah, seterusnya penghinaan terhadap kekasih Allah adalah penghinaan terhadap Allah juga. Berani sungguh mereka. Hitam dan kotornya hati si pemberani. Jika yang menghina itu bukan Islam, saya rasa agama (pegangan) lain selain Islam juga tidak menggalakkan penganutnya menghina dan merendah-rendahkan agama lain. Jika yang menghina itu pula masih lagi mengaku Islam, nampaknya dia sendiri kabur dengan dirinya. Soalan saya, tak percaya alam akhirat ke? Bagaimana dengan syurga dan neraka? Buta mata hanya luaran. Buta mata hati. Itu petanda mati jiwa. Mati jiwa sama seperti mayat hidup. Patutlah aroma mereka semerbak busuk, sebusuk penghinaan terhadap Islam yang dilemparkan. Itu luahan kekecewaan saya terlahir dengan nada yang saya kawal selamba. Saya noktahkan di situ. Tiada sudahnya.

Melalui berita tengahari Buletin 1.30 tengahari tadi di TV3, saya melihat satu berita mengenai seorang wanita yang di tahan dan bakal didakwa kerana mencerca polis. Beliau ditahan kerana kesalahan lalulintas dan telah mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap polis. Tidak salah pendengaran saya katanya, "Polis Bodoh!". Tidak salah pendengaran nama polis itu ialah Mohd Hafifi Ali. Kejadian berlaku di Kuala Terengganu. Keputusan dakwaan katanya pada 7 Jun ini.

Mari kita bandingkan dua situasi di atas. Pantas sahaja tindakan diambil bila penghinaan terhadap polis dilemparkan, bagaimana penghinaan terhadap Islam yang telah terjadi dan masih berterusan. Atau kejadian seumpama itu sepatutnya membuka mata. Bila Islam dihina ramai yang marah, kecewa, geram sedih. Itu naluri keislaman kita yang masih bersisa. Bagi yang mempunyai kuasa, silalah bertindak cepat,cekap dan berhemah menangani situasi begini. Jika tidak, akan datang pasti ia akan terus diulangbuat. mereka tidak takut dan hilang hormat pada Islam dan lebih lagi orang Islam sendiri membiarkannya. Bimbang Allah murka. Pernah saya dengar diperkatakan begini; bila-bila masa Allah mampu melupuskan kita dan menggantikan kita dengan mereka yang lebih baik dari kita. Itu kekuasaannya.

Contoh dan perbandingan di atas itu mungkin tiada seberapa. Namun kebetulan melihat berita sedemikian selepas paginya tahu tentang blog menghina Islam tersebut, membuatkan saya terfikir seperti di atas. Bukan apa dalam hal sebegini pada yang mampu cegah dengan tangan(tindakan) patut bertindak, pada yang mampu cegah dengan kata-kata, teruskan dan pada yang tidak mampu kedua-dua tersebut, berdoalah supaya Allah tetap memelihara kesucian dan kesyumulan Islam. Maruah dan martabat Islam itu terpulang pada penganutnya untuk dipelihara. Jika tidak mudah sahaja ia diinjak dan diperlekeh sewenang-wenangnya. 

Kadangkala bila sebut sahaja isu agama, dikatakan sensitif dan pelbagai. Tak boleh disentuh dan sebaginya. Kita bukan nak jadi seperti Osama Laden yang membahang dalam membela maruah Islam. Beliau lagi jauh meditasinya dan mendalam perjuangannya. Buat setakat ini, cukup sekadar merasa yang kita ada rasa 'menentang' golongan sedemikian hina yang berani menghina Islam. Supaya Islam tidak mudah diperkotak-katikkan.

2.41pm@29/5/11

ANGAH, MACAM MANA KAMU RUKUK TADI?

Seringkali juga timbul dalam hati bahawa amat beruntungnya umat Islam di zaman Nabi dahulu. Mereka amat bertuah dapat kerana setiap sesuatu itu dapat dirujuk terus kepada Rasulullah, andai ada sebarang kemushkilan. Tidak kira dari segi apa. Amalan khusus atau sebaliknya. Pasti pemimpin sehebat rasulullah tidak akan mengabaikan persoalan umatnya, kerana kasih dan cintanya demi umat tersayang. Kini kita hidup jauh ke hadapan dari zaman seperti itu. Tidak merasa nikmat hidup seiringan bersama-sama beliau. Tidak berpeluang memandang wajah mulia beliau dan tidak dapat melihat sendiri keindahan keperibadian beliau.  Tidak dapat mencintai beliau seperti kecintaan mereka yang sewaktu itu diberi nikmat bersama-sama beliau. Kecintaan pada Rasulullah itu saya lihat sebagai motivasi hebat umat sezamannya. Seorang pencinta pasti sanggup meredah lautan api, mendaki gunung dan berbuat apa pun untuk kekasihnya. Agungnya kasih sejati hanya milik Pencipta. Itu tunjang kukuh.

Apa yang tinggal untuk kita hanya kerinduan dan pengharapan untuk bertemu beliau Rasulullah. Apa yang ada pada kita hanyalah tinggalan beliau yang dijanjikan, seandainya berpegang kita padanya dengan sebebenar-benar pegangan, kita juga mampu menjadi dekat dengan beliau hakikatnya. Itulah Al-Quran dan Al-Hadis. Namun cabarannya tetap ada. Selaku manusia yang penuh kelemahan. Alpa dan leka. Cuai dan culas. Itu memang sifat popular dan biasa yang bernama manusia.

Solat tiang agama. Tanpanya segala amal kebaikan lainnya hanya bak terapung-apung di udara.  Tak mampu sampai kepada maksud dan tujuan sebenarnya. Namun itu jugalah yang paling menduga. Memperuntukkan kesekian waktu yang andai dihitung bukanlah seberapa. Ia tetap menjadi cubaan yang utama. Mungkin kerana nafsu serakah itu musuh utama. Saya faham, anda faham dan semua manusia itu sama. Iman itu juga ada naik turunnya. Untuk kekal istiqamah juga mahu dituntut caranya. Mudah-mudahan kekal dalam kebaikan bersama dan untuk semua.

Pagi ini, terlihat anak kedua dalam usaha solatnya. Dia rukuk dalam keadaan yang saya rasa tidak wajar jika saya tidak menegurnya. Biarkan dia selesaikan dua rakaatnya dahulu. Kemudian saya tanyakan padanya, "Tadi, kamu (biasa bagi orang Perak berbahasa kamu pada anak-anak) rukuk  macam mana?" dan "Tolong rukuk sekali lagi". Dia akur. "Kenapa macam tu rukuk?" Soal lagi. Lantas dia terus menjawab, "Pagi-pagi tak boleh bongkok sangat sebab sakit tulang belakang". Tambahnya lagi, "Kalau dah siang bolehlah betul-betul." Jawapan yang macam kelakar pun ada dengarnya. Namun saya rasa faham itu mungkin perkara biasa. Saya juga sewaktu umur sebegitu jika bangun pagi rasa sukar menggenggam tangan selepas bangkit dari tidur. Rasa seperti ngilu dan geli. Itu mungkin saja refleksi tubuh manusia yang mungkin sahaja berbeza dari individu ke individu. Allahhua'lam.

Saya kemudian katakan padanya, Nabi ajar kalau rukuk kena rukuk sungguh-sungguh. Ada cara yang betul. Kalau solat ikut cara yang betul dapat kita mencegah penyakit. Solat itu juga senaman. Senaman yang disediakan oleh Allah dalam usaha kita tunduk taat padanya. Kita solat bukan untuk Allah. Solat itu hanya membawa kebaikan untuk diri manusia sendiri. Kebaikan solat bukan pergi kepada Allah. Kalau kita tak solat pun Allah tak rugi apa-apa. Sebaliknya kita yang tak dapat kebaikan solat itu. Allah tak 'effect' apa pun. Namun kita solat kerana taat pada perintah Allah. Itulah tuhan kita. Kalau rukuk betul-betul mesti belakang tu terlatih dan tak sakit. Mesti berlatih. Solat itu mesti berlatih dan selalu diperbaiki.(Ini nasihat untuk diri sendiri juga). Anak hanya angguk-angguk.


Saya hanya mengulang apa-apa yang pernah saya pernah dengari dari Ustaz dan Ustazah secara langsung mahu pun tidak. Pancaindera adalah alat utama dalam menuntut dan menanggapi ilmu yang sampai pada kita.

Menurut kata Rasulullah, rukuk dan sujud itu mesti disempurnakan. Demi satu penyembahan yang berkualiti dan bernilai tanda kepatuhan dan ketaatan kepada Khalik. Oleh itu saya juga terhala merujuk di http://makalahamanat.blog.com/2010/11/11/cara-melakukan-rukuk/.

Selain itu, tambahan faedahnya ada juga dijumpai di http://www.majalahsains.com/.../membongkar-rahsia-ibadat-solat-secara-saintifik/
 


Jadi di pagi Ahad ini, nampaknya saya diberi peringatan untuk lebih memperbaiki solat, melalui kesilapan  atau kejahilan anak yang mahu belajar lebih tentang kepatuhan dan ketaatan. Itu saya ambil sebagai pengajaran halus. Ini mungkin sahaja saya sendiri belum sempurna dari segi solat dan penghayatannya. Allah itu memang maha lembut dan halus sifatnya......YA LATIFF FU YA LATIFF. Zikir itu spontan keluar dari dalam hati saya...

8.37am@29/5/11

Selasa, 24 Mei 2011

3 KATEGORI MANUSIA


Hari ini belajar sesuatu yang baru. Oh! sesungguhnya bukan maklumat baru, cuma cara maklumat ini sampai belum pernah sebegitu caranya kepada saya. Saya memilih merakamkan di blog ini. Jika anda sudah mendengar, anggap ini siaran ulangan. Mudah-mudahan jika ada yang pertama kali menatapnya dapatlah berkongsi manfaatnya. Insyaallah.

Ceritanya amat mudah. Tentang bahan makanan dan minuman. Siapa sangka, dari bahan makanan dan minuman ini sebenarnya terdapat pelajaran tentang kehidupan. Jadi baik juga kita lihat-lihatkan. Ia ada kaitan dengan 3 kebiasaan manusia bila berhadapan dengan kehidupan.

SITUASI 1

a) Lobak merah
Jika dalam keadaan biasa, ianya keras. Jika diketuk di kepala pasti sakit. Dasarnya ia keras dan boleh pula dijadikan senjata jika kecemasan.

b) Telur
Jika dalam keadaan biasa, ia cair dan lembut.

c) Serbuk kopi
Jika dalam keadaan biasa, hanya serbuk hitam - tiada apa-apa.

Kemudian kita ambil air panas (baru masak), dan kemudian tambahkan air panas itu ke atas bahan-bahan di atas, satu persatu secara berasingan. Kesannya;

SITUASI 2

a) Lobak merah
Bertukar menjadi lembut dan lembik.

b) Telur
Menjadi pejal atau mengeras.

c) Serbuk kopi
Bersebati dengan air panas dan mengeluarkan aroma yang amat wangi. Bila ditambah sedikit gula menjadi minuman kesukaan ramai. Tak terkecuali saya, kopi tarik lagi sedap!

Namun bukan sedap itu yang diperkatakan. Kita diajak melihat kepada 'pelajaran' dari ketiga-tiga situasi berbeza di atas. Melalui kejadian sebelum dan selepas. Air panas itu dilihat sebagai 'permasalahan' kehidupan. Ketiga-tiga bahan yang diperkatakan adalah perbezaan sifat-sifat manusia itu. Penjelasannya;

a) Manusia pertama yang kategori lobak itu asalnya seorang yang keras sifatnya. Nampak kuat diluar dan gagah perkasa. Namun bila berdepan masalah menjadi sebegitu lemah dan lembik. Tiada daya melawan dan hanya boleh lemas dalam arus permasalahan.

b) Manusia kedua yang kategori telur itu asalnya seorang yang lembut dan lemah sifatnya. Namun bila berdepan dengan permasalahan telah merubah kebiasaannya itu menjadi tabah, kuat lagi cekal. Semua demi kelangsungan hidup atau 'survival'.

c) Manusia ketiga yang kategori serbuk kopi itu asalnya seorang yang biasa-biasa saja. Nampak seperti tiada apa. Namun bila berdepan masalah, dia mampu menukarkannya menjadi satu peluang. Sungguh optimis dan pandai mencari peluang, tanpa perlu mengapa-apakan orang lain. Sebaliknya memberi kebaikan pada orang ramai.

Kepada siapa pun yang mula-mula membawa PERUMPAMAAN cerita seperti di atas, terimakasih sahaja.....

Isnin, 23 Mei 2011

RESEPI SPAGHETTI MAKAN UNTUK TERUS HIDUP

Menyebut perihal makanan, mungkin hanya terbayang sesuatu untuk disuapkan ke dalam mulut. Menghilangkan kelaparan. Itu makan demi fizikal. Supaya tubuh terus mendapat khasiat dan zat. Bagi bayi tumbesaran amat penting untuk terus sihat dan sempurna pembesaran. Manusia perlu kekal sihat dan cergas untuk meneruskan kehidupan dan melayari penghidupan. Tanpa kesihatan, manusia hilang kemampuan aksi dan tindakan. Itu timbul kenyataan 'Harta benda atau kewangan tidak akan mampu membeli kesihatan'. Walau tidak dinafikan dengan harta benda boleh terus usaha untuk kekal sihat. Harta benda dan kewangan itu alat dan bukan penentu kesihatan.


Makan untuk jasmani demi terus hidup, makanan rohani???

Hari sama dia ini ke taman, petangnya dia bergerak lagi;

Macam sudah letih. Garu-garu mengantuk.

Berkunjung pula kami ke sini;

Add caption
Di sini;

Dapat lihat megah berkibar Jalur Gemilang 1Malaysia

Berlima kami menikmati ini. Sekadar memenuhi permintaan 'charles angels'. Mengidam lagaknya. ('dia' tidur lena kepenatan...);

Petang yang sempoi. Tiada hiasan. Minum? bawa saja kordial. 'Ready' ais dalam 'cooler' dan bancuh sarsi . Lengkap.

Akhirnya, bangun dia dan tak ketinggalan menonton aksi ini. Dia memang suka yang itu.

Berada di dunia yang dikatakan bulat. Bila ada segolongan yang sedang aman begini, ada juga yang sedang bersedih, terdekat anak-anak yatim Al Hidayah Al Takwa, Hulu Langat. Syukur atas nikmat masih bernyawa. Bak kata 'orang putih', Still living and kicking..........

Cerita lebih tentang yang dalam pinggan itu menurut resepi Ummi (Adik ke-3):
 SPAGHETTI RESEPI UMMI CP:

1) 2 labu bawang besar (yang kuning tu lagi ok), 4 ulas bawang putih di potong dan kisar hancur tanpa air. Kalau nak tumbuk, boleh saja. 

2) Tumiskan yang sudah sudah dikisar dengan minyak (ada juga yang guna planta margerin) yang secukupnya. Kemudian sudah naik wangi dimasukkan sedikit cili (boh atau kisar, mana-mana ok). Jika suka lebih pedas, lebihkan cili. Jangan sampai tak termakan sudah. Kacau hingga cili garing.

3) Masukkan daging kisar (saya  guna yang sekilo - yang brand macam P. Ramli). Pastikan daging ini tidak berketul-ketul dan telah terurai sepenuhnya. Ini demi mudah menggaul. Masuk sedikit sahaja air supaya tidak kontang. Kacau seketika sehingga daging tak mentah lagi. Lihat warnanya.

4) Masukkan 'spaghetti pasta sauce'. Saya guna jenis Kaki Pergi - Bolognese (baca orang putih). Dua botol. Untuk lebih pekat dan puas makan. Sos ini memang sediakala rasa sedikit manis.  Tak perlu gula. Saya  pilih yang sudah sedia ada cendawan.

5) Tambahkan juga tomato puri (dijual dalam tin kecil) jika ingin lebih rasa masam. Ikut kesukaan.

6) Tambahkan air (sebanyak separuh tin tomato puri). Usah terlebih. Kuah nanti terlalu cair.

7) Tambahan, saya potong dua 'meatball'. Ikut berapa banyak anda hendak. Jika rajin tambah juga isi ketam,(masuk akhir-bila hampir nak padam api, sebab lembut - khuatiri hancur) cendawan tin (potong dua). Jangan terbazir sudah. Tambah garam dan jika mahu serbuk perasa, secukup rasa.

8) Api sederhana dan kerap kacau. Kena masak kuah ini betul-betul. Kacau selalu supaya tidak hangit. kacau sehingga pekat. Pastikan daging itu tidak terasa mentah, semua rasa sebati. Ada masamnya, ada sedikit pedas, sedikit manis manis. Cukup masinnya. Meatball pasti sudah masak betul. Tutup api.

9) Celurkan spaghetti. Didih air, campur sedikit minyak masak (tak melekat). Masuk spaghetti bila air mendidih dan ikut masa ditetapkan. Kurang lebih 15 minit untuk jenis saya gunakan Anak Remo. 

Toskan dan alirkan sebentar dengan air paip ke bekas tos dan ketepikan. Boleh hidang...Mungkin anda punya berbeza.... Nama pun resepi...



Ahad, 22 Mei 2011

RENUNGAN KEJADIAN TANAH RUNTUH RUMAH AL HIDAYAH MADRASAH AL TAKWA

SILA BACA DARI BAWAH KE ATAS!!!. Andai saja mampu kekal sebegini. Minda yang masih mentah dan segar. Belum mampu menanggap. Hanya melalui 'fitrah' kecil yang mahu kenyamanan dalam seharian. Andai sahaja......
Umumnya manusia mahunya begini. Ingin bahagia, tenang, berkebiasaan dengan keluarga dan idam selalu damai bersama."...("Abang.., baca 'paper' nampak!!) Namun hidup ini ternyata untuk diduga.....Lain orang, lain cara...
Kakadangkala hidup boleh menjadi sesakit, seperit dan sepedih melalui jalan yang yang mungkin saja sebegini. Namun masih ada kebaikan yang menanti di hujungnya. Rujuk Al-Insyirah serta terjemahan. 'Selepas kesukaran ada kesenangan'. Mereka yang kesusahan boleh redha dengan pengharapan dan janji Tuhan.
Masih ada mereka yang mampu dan berkesempatan berlaku sebegini (berita kanan). Apa sesempit itu sahaja akal, hati, jiwa dan pemikiran sabahagian manusia?
Kebiasaan untuk saya suka lebih kepada begini. Dalam pada saya, anda dan senegara sibuk dengan berita sebegini. Berkongsi sedih, pilu, sebak, simpati....

Belajar juga tentang kehidupan. Kepentingan bertebaran mencari kebaikan dalam kehidupan. Untuk diri, mereka yang disayangai dan mereka yang memerlukan.



Semalam Ahad, sempat ke sini. Bila begini dapat cuba menserasi-serasikan diri dengan alam. Ada izin mampu lagi belajar. Melihat akar pokok. Menjalar akar kukuh menampung tegak pokok. Andai saja iman kita sekukuh itu..... 

Sabtu, 21 Mei 2011

TANAH RUNTUH RUMAH AL HIDAYAH MADRASAH AT TAKWA DI BATU 14 HULU LANGAT

Pulang sedari satu 'seminar' semalam terasa meletihkan. Bila duduk seharian di dewan yang 'air conditioning', boleh jadi begitu untuk sesetengah orang. Tak terkecuali aku. Maklumlah, rumah sendiri tidak pula ada penyaman udara. Keletihan membuatkan tiada tidak dalam 'mood' untuk menulis. Masih sempat menerjah blog yang selalu pergi dan tak terkecuali ada blog baru. Itu aku semalam.

Hari ini belum lagi membaca sebarang suratkhabar. Namun dapat meneka apa tajuk utama akhbar-akhbar utama. Besar kemungkinan itulah berita  Kejadian Tanah Runtuh di Batu 14, Hulu Langat yang setakat malam tadi melalui TV, dikhabarkan telah mengorbankan seramai 5 nyawa. 7 dikatakan telah dijumpai dan 12 lagi masih tertimbus. Dikatakan kesemuanya 24 orang. Sementara aku menulis, fakta ini mungkin sudah berubah. Namun bukan fakta itu yang aku utamakan. Ada yang lain. Kejadian ini amat mengejutkan. Negara luar sering gempar dengan gempa bumi dan kekhuatiran terjadinya tsunami. Sebaliknya di Malaysia pula selalu terdapat kejadian tanah mendap atau tanah runtuh. Namun kejadian kali ini sehingga mengorbankan nyawa. Ini mungkin juga disebabkan keadaan iklim dan cuaca yang ada di sini. Cuaca kini sering menjadi tidak menentu. Walau terdapat ramalan cuaca. Itu sekadar ramalan manusia. Kadangkala boleh diramal panas hingga ke petang, namun boleh saja hujan di tengahari. Hakikatnya manusia merancang, meramal mahu pun mengharap namun Allah juga merancang dan perancangan Allah itulah sebaik baik perancangan dan yang pasti akan terjadi. Kita hamba dan dia Tuan. Tertakluk kita di bawah ketentuan Ilahi.

Rasa sedih dengan kejadian yang menimpa. Tambahan lokasi rumah Al Hidayah dan Madrasah At Takwa yang terlibat menempatkan anak-anak yatim. Pilu sungguh mengenangkannya. Semoga Allah merahmati mereka yang telah terkorban dan menemukan para pencari kepada mereka yang masih belum ditemui. Pasti terdapat ahli keluarga mereka tak keruan menanti perkhabaran dan mengharap yang terbaik. Allah Huakbar. Segala kekuasaan hanya ditanganMu.

Kejadian sebegini tidak mampu dielakkan. Ia disebut sebagai bencana. Tiada siapa minta untuk bencana. Namun ia juga terjadi dengan izin dari Allah. Manusia sama ada mahu atau tidaknya dan walau sesedih mana harus redha menerima ketentuan yang telah terjadi. Saya akui mudah mulut saya melafazkan namun berat bagi yang memikul bebanan tersebut. Itu juga hakikat. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. 

Untuk saya masih ada pengajaran dapat diambil dari kejadian sebegitu. Kita tahu Allah menjadikan umumnya alam dan manusia. Manusia dan alam saling memerlukan. Alam pula ditundukkan untuk kemashhalatan manusia. Manusia bertanggungjawab ke atas alam. Selain faktor semulajadi seperti cuaca dan iklim. Jadi amat penting manusia untuk tidak mencemarkan alam sesuka hati. Penebangan pokok keterlaluan demi pembangunan itu perbuatan manusia. Jika dikatakan tanah runtuh kerana hujan, hujan itu tidak dalam kawalan kita. Hujan itu satu rahmat. Kehidupan perlu pada air. Namun tangan-tangan manusia itu masih dalam kemampuan mereka untuk dikawal dari rakus secara sedar atau tidak dari terus mencemarkan alam. Pembangunan yang dilakukan mesti terancang dan jangan keterlaluan, sehingga mengorbankan kestabilan alam. Bila pokok ditebang dan tanah diratakan untuk pembangunan, ada kesannya. Bila alam hilang kestabilan yang rugi adalah kita, manusia. Nyawa juga mampu terkorban. Bercakap tentang pencemaran alam, memang satu bab yang panjang. Kita' google' sahaja untuk tahu ceritanya. Pasti faham lebih.

Jika kita katakan setiap kebaikan itu dari Allah dan keburukan itu dari perbuatan diri kita sendiri. Melalui kejadian ini, apakah ia satu cara untuk kita diberi pengajaran dan dapat mengambil iktibar atas kecuaian dan kealpaan kita? Allah boleh saja mengajar manusia melalui alam dan isinya. Ini kerana manusia itulah khalifah. Manusia itu yang perlu tarbiah dan pendidikan. Binatang tidak begitu. Alam tidak begitu. Mereka semua hidup dengan fitrah. Tiada istilah dosa untuk mereka..............Marilah saya dan anda renung-renungkan......seterusnya Al Fatihah untuk mereka yang terkorban. Semoga mereka idtempatkan ditempat yang lebih baik...Amiiin.

8.12am@22/5/2011