Sabtu, 28 Mei 2011

ANGAH, MACAM MANA KAMU RUKUK TADI?

Seringkali juga timbul dalam hati bahawa amat beruntungnya umat Islam di zaman Nabi dahulu. Mereka amat bertuah dapat kerana setiap sesuatu itu dapat dirujuk terus kepada Rasulullah, andai ada sebarang kemushkilan. Tidak kira dari segi apa. Amalan khusus atau sebaliknya. Pasti pemimpin sehebat rasulullah tidak akan mengabaikan persoalan umatnya, kerana kasih dan cintanya demi umat tersayang. Kini kita hidup jauh ke hadapan dari zaman seperti itu. Tidak merasa nikmat hidup seiringan bersama-sama beliau. Tidak berpeluang memandang wajah mulia beliau dan tidak dapat melihat sendiri keindahan keperibadian beliau.  Tidak dapat mencintai beliau seperti kecintaan mereka yang sewaktu itu diberi nikmat bersama-sama beliau. Kecintaan pada Rasulullah itu saya lihat sebagai motivasi hebat umat sezamannya. Seorang pencinta pasti sanggup meredah lautan api, mendaki gunung dan berbuat apa pun untuk kekasihnya. Agungnya kasih sejati hanya milik Pencipta. Itu tunjang kukuh.

Apa yang tinggal untuk kita hanya kerinduan dan pengharapan untuk bertemu beliau Rasulullah. Apa yang ada pada kita hanyalah tinggalan beliau yang dijanjikan, seandainya berpegang kita padanya dengan sebebenar-benar pegangan, kita juga mampu menjadi dekat dengan beliau hakikatnya. Itulah Al-Quran dan Al-Hadis. Namun cabarannya tetap ada. Selaku manusia yang penuh kelemahan. Alpa dan leka. Cuai dan culas. Itu memang sifat popular dan biasa yang bernama manusia.

Solat tiang agama. Tanpanya segala amal kebaikan lainnya hanya bak terapung-apung di udara.  Tak mampu sampai kepada maksud dan tujuan sebenarnya. Namun itu jugalah yang paling menduga. Memperuntukkan kesekian waktu yang andai dihitung bukanlah seberapa. Ia tetap menjadi cubaan yang utama. Mungkin kerana nafsu serakah itu musuh utama. Saya faham, anda faham dan semua manusia itu sama. Iman itu juga ada naik turunnya. Untuk kekal istiqamah juga mahu dituntut caranya. Mudah-mudahan kekal dalam kebaikan bersama dan untuk semua.

Pagi ini, terlihat anak kedua dalam usaha solatnya. Dia rukuk dalam keadaan yang saya rasa tidak wajar jika saya tidak menegurnya. Biarkan dia selesaikan dua rakaatnya dahulu. Kemudian saya tanyakan padanya, "Tadi, kamu (biasa bagi orang Perak berbahasa kamu pada anak-anak) rukuk  macam mana?" dan "Tolong rukuk sekali lagi". Dia akur. "Kenapa macam tu rukuk?" Soal lagi. Lantas dia terus menjawab, "Pagi-pagi tak boleh bongkok sangat sebab sakit tulang belakang". Tambahnya lagi, "Kalau dah siang bolehlah betul-betul." Jawapan yang macam kelakar pun ada dengarnya. Namun saya rasa faham itu mungkin perkara biasa. Saya juga sewaktu umur sebegitu jika bangun pagi rasa sukar menggenggam tangan selepas bangkit dari tidur. Rasa seperti ngilu dan geli. Itu mungkin saja refleksi tubuh manusia yang mungkin sahaja berbeza dari individu ke individu. Allahhua'lam.

Saya kemudian katakan padanya, Nabi ajar kalau rukuk kena rukuk sungguh-sungguh. Ada cara yang betul. Kalau solat ikut cara yang betul dapat kita mencegah penyakit. Solat itu juga senaman. Senaman yang disediakan oleh Allah dalam usaha kita tunduk taat padanya. Kita solat bukan untuk Allah. Solat itu hanya membawa kebaikan untuk diri manusia sendiri. Kebaikan solat bukan pergi kepada Allah. Kalau kita tak solat pun Allah tak rugi apa-apa. Sebaliknya kita yang tak dapat kebaikan solat itu. Allah tak 'effect' apa pun. Namun kita solat kerana taat pada perintah Allah. Itulah tuhan kita. Kalau rukuk betul-betul mesti belakang tu terlatih dan tak sakit. Mesti berlatih. Solat itu mesti berlatih dan selalu diperbaiki.(Ini nasihat untuk diri sendiri juga). Anak hanya angguk-angguk.


Saya hanya mengulang apa-apa yang pernah saya pernah dengari dari Ustaz dan Ustazah secara langsung mahu pun tidak. Pancaindera adalah alat utama dalam menuntut dan menanggapi ilmu yang sampai pada kita.

Menurut kata Rasulullah, rukuk dan sujud itu mesti disempurnakan. Demi satu penyembahan yang berkualiti dan bernilai tanda kepatuhan dan ketaatan kepada Khalik. Oleh itu saya juga terhala merujuk di http://makalahamanat.blog.com/2010/11/11/cara-melakukan-rukuk/.

Selain itu, tambahan faedahnya ada juga dijumpai di http://www.majalahsains.com/.../membongkar-rahsia-ibadat-solat-secara-saintifik/
 


Jadi di pagi Ahad ini, nampaknya saya diberi peringatan untuk lebih memperbaiki solat, melalui kesilapan  atau kejahilan anak yang mahu belajar lebih tentang kepatuhan dan ketaatan. Itu saya ambil sebagai pengajaran halus. Ini mungkin sahaja saya sendiri belum sempurna dari segi solat dan penghayatannya. Allah itu memang maha lembut dan halus sifatnya......YA LATIFF FU YA LATIFF. Zikir itu spontan keluar dari dalam hati saya...

8.37am@29/5/11

Tiada ulasan:

Catat Ulasan