Ahad, 15 Mei 2011

HARI GURU DAN GURU TERBAIK

Imej dari Google 


Cikgu panggilan dari anak murid, Guru panggilan hormat dari masyarakat. Walau apa sekali, mereka adalah orang yang sama yang telah menerima amanah untuk mendidik anak bangsa supaya dapat menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan. Saya memandang tinggi kerjaya perguruan kerana melihat terdapatnya unsur-unsur murni didalamnya. Bak kata yang selalu kita hamburkan, siapalah kita kini tanpa para cikgu dan guru yang telah pun mencurahkan bakti dalam membentuk kita di hari sebelumnya. Peranan cikgu dan guru ini menjadi kedua penting selepas ibu bapa. Oleh itu wajar sekali kita menghargai mereka. Untuk para guru pula, mereka sendiri juga lebih wajar menghargai apa ada dengan kerjaya mereka dan berusaha lebih demi kemajuan anak bangsa dan negara. Peranan mereka dalam membentuk modal insan yang seimbang rohani dan jasmani amat penting. Justeru itu diharap para guru sendiri tidak boleh alpa dengan tanggungjawab mereka.

Sempena Hari Guru, rata-rata penghargaan diberikan pada guru-guru. Anak-anak murid menjadi seronok dan ada yang akan berlumba-lumba memberikan cenderahati atau hadiah sebagai tanda penghargaan dan sambutan Hari Guru. Namun apakah itu sahaja pengertian untuk Hari Guru? Saya percaya tidak. Lebih lagi, pastinya. Ini kerana tugas perguruan kini membawa skop yang lebih besar. Ini kerana sealiran dengan perkembangan dunia pendidikan, arus pendidikan menjadi lebih mencabar. Para guru mesti lebih cepat dan cekap dalam usaha memberi yang terbaik kepada anak murid dan pihak sekolah seterusnya kepada negara. Mereka perlu lebih bersedia dengan melengkapkan diri berserta ilmu pengetahuan semasa.

Perkembangan teknologi terkini misalnya internet mesti dikuasai oleh para guru, supaya peranan mereka tetap menjadi yang utama. Jangan ada yang berkata, "Saya berjaya mencapai keputusan cemerlang kerana belajar secara online. Tak pergi kelas pun tak apa. Di internet semua ada. Maklumat hanya dihujung jari." Ini tidak mustahil pada masa akan datang. Inilah cabarannya. Sesungguhnya bila belajar dari seorang guru, bukan hanya ilmu sahaja yang disampaikan, tetapi ada ilmu-ilmu kehidupan yang turut serta digarap secara tidak lansung. Ilmu kehidupan itu saya rujuk kepada keperibadian dan contoh teladan yang dibawa oleh seorang guru pada anak muridnya. Ilmu dan guru tak dapat dipisahkan. Kewujudan guru adalah kerana untuk menyampaikan ilmu. Ilmu itu umpama jasad dan guru menjadi rohnya. Kerana itu kita selalu sebut, kalau nak belajar sesuatu biar berguru. Tiada guru takut terpesong atau tersesat jalan. Lihat besarnya peranan guru. Untuk memastikan supaya manusia tidak sesat dan terpesong dalam kehidupan.Usah kita terkejut jika ada anak-anak yang lebih suka mendengar kata guru dan bertegas dengannya lebih dari menurut kata-kata ibu bapa. Ini menunjukkan penghormatan mereka pada guru mereka. Namun jika guru-guru antara indah dan tidak, mereka juga menyedarinya.

Sempena Hari Guru 2011, Selamat Hari Guru. Semoga Malaysia akan terus maju jaya dengan adanya tenaga-tenaga pendidik yang baik dan mahu serta mampu mendidik anak bangsa menuju kecemerlangan seimbang rohani dan jasmani, duniawi dan ukhrawi. Happy Teachers Day........(Selalu dengar, Guru Terbaik adalah pengalaman itu sendiri...)

11.20am@16/5/11

Tiada ulasan:

Catat Ulasan