Hari ini belajar sesuatu yang baru. Oh! sesungguhnya bukan maklumat baru, cuma cara maklumat ini sampai belum pernah sebegitu caranya kepada saya. Saya memilih merakamkan di blog ini. Jika anda sudah mendengar, anggap ini siaran ulangan. Mudah-mudahan jika ada yang pertama kali menatapnya dapatlah berkongsi manfaatnya. Insyaallah.
Ceritanya amat mudah. Tentang bahan makanan dan minuman. Siapa sangka, dari bahan makanan dan minuman ini sebenarnya terdapat pelajaran tentang kehidupan. Jadi baik juga kita lihat-lihatkan. Ia ada kaitan dengan 3 kebiasaan manusia bila berhadapan dengan kehidupan.
SITUASI 1
a) Lobak merah
Jika dalam keadaan biasa, ianya keras. Jika diketuk di kepala pasti sakit. Dasarnya ia keras dan boleh pula dijadikan senjata jika kecemasan.
b) Telur
Jika dalam keadaan biasa, ia cair dan lembut.
c) Serbuk kopi
Jika dalam keadaan biasa, hanya serbuk hitam - tiada apa-apa.
Kemudian kita ambil air panas (baru masak), dan kemudian tambahkan air panas itu ke atas bahan-bahan di atas, satu persatu secara berasingan. Kesannya;
SITUASI 2
a) Lobak merah
Bertukar menjadi lembut dan lembik.
b) Telur
Menjadi pejal atau mengeras.
c) Serbuk kopi
Bersebati dengan air panas dan mengeluarkan aroma yang amat wangi. Bila ditambah sedikit gula menjadi minuman kesukaan ramai. Tak terkecuali saya, kopi tarik lagi sedap!
Namun bukan sedap itu yang diperkatakan. Kita diajak melihat kepada 'pelajaran' dari ketiga-tiga situasi berbeza di atas. Melalui kejadian sebelum dan selepas. Air panas itu dilihat sebagai 'permasalahan' kehidupan. Ketiga-tiga bahan yang diperkatakan adalah perbezaan sifat-sifat manusia itu. Penjelasannya;
a) Manusia pertama yang kategori lobak itu asalnya seorang yang keras sifatnya. Nampak kuat diluar dan gagah perkasa. Namun bila berdepan masalah menjadi sebegitu lemah dan lembik. Tiada daya melawan dan hanya boleh lemas dalam arus permasalahan.
b) Manusia kedua yang kategori telur itu asalnya seorang yang lembut dan lemah sifatnya. Namun bila berdepan dengan permasalahan telah merubah kebiasaannya itu menjadi tabah, kuat lagi cekal. Semua demi kelangsungan hidup atau 'survival'.
c) Manusia ketiga yang kategori serbuk kopi itu asalnya seorang yang biasa-biasa saja. Nampak seperti tiada apa. Namun bila berdepan masalah, dia mampu menukarkannya menjadi satu peluang. Sungguh optimis dan pandai mencari peluang, tanpa perlu mengapa-apakan orang lain. Sebaliknya memberi kebaikan pada orang ramai.
Kepada siapa pun yang mula-mula membawa PERUMPAMAAN cerita seperti di atas, terimakasih sahaja.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan