Ahad, 8 Mei 2011

IBU DAN HARINYA...

Hari Ibu? Sekali fikir...kenapa perlu ada penetapan hari-hari begini. Inilah kita manusia. Kita ini mudah lupa. Lagi di zaman serba canggih dan berteknologi moden ini pun, manusia masih perlu diingatkan dengan perkara-perkara seperti ini. Untuk menaikkan 'mood'. Bila ada 'mood' yang disebar-sebarkan, baru ada 'thrill'. Asal kita ada satu lagi hari di dalam kalendar kita yang ditanda untuk disambut.

Selaku seorang yang masih mempunyai ibu, saya amat bersyukur. Walau ibu saya panggil emak , kini  kembali terlantar di hospital, saya masih mempunyai ibu. Hanya Allah yang faham ertinya itu. Walau terbit resah dan kebimbangan atas keadaannya kini. Simpati lagi pada mereka yang sudah tiada.  Apa yang tinggal pasti hanya kenangan.

Selalu diperkatakan, bila sudah menjadi seorang ibu, baru akan memahami perasaan seorang ibu. Selagi tidak, maknanya kita masih belum mampu mengerti sepenuhnya jiwa menjadi seorang ibu. Benar sungguh kata-kata tersebut. Bila sudah berumahtangga dan berdepan dengan karenah anak-anak tahap demi tahap, mengertilah kita akan apa yang ibu kita telah lalui sepanjang membesarkan kita dahulu. Dari situ, mengertilah kita akan nilai kasih sayang seorang ibu terhadap kita. Bagaimana seorang ibu sanggup berkorban untuk anak-anak.  Bila sudah menjadi ibu, automatik segalanya akan mendahulukan anak-anak.

Bercakap tentang pengorbanan, terharu dengan kematian seorang ibu, Allahyarhamah Rafidah Ismail 36, demi meyelamatkan tiga anak dari kebakaran. Itulah contoh terkini, kasih ibu membawa kepada berkorban nyawa. Payah mahu berjumpa dengan contoh sebegini di abad ini. Namun itu hakikat. Jika Allah mengkehendaki, maka jadilah ia. Kita telah meyaksikannya melalui laporan media suratkhabar. Kekuatan kasih sayang luarbiasa ibu ini telah mendatangkan tenaga hingga mampu membengkokkan besi jeriji tingkap demi menyelamatkan anak-anak kesayangannya. Sayu dan terharu. Diri sendiri terkorban rentung disambar api. Semoga Allah merahmati ibu ini.

3 kali ibu, sekali bapa. Itulah nisbah bila dibicarakan perihal dahulu mendahulukan ibu dan bapa. Bukan untuk mengatakan yang bapa itu kurang haknya tetapi untuk menggambarkan betapa seorang ibu itu perlu didahulukan. Bayangkan sahaja bermula terbentuk kita sebagai janin dari satu persenyawaan dengan izin Allah, ibu sudah mula bertugas. Demi memastikan kandungan sihat dan selamat dilahirkan, ibu mencuba  dan melaksana semua dalam dayanya. Beralih kepada kelahiran, berpantang, berjaga malam, membesarkan..... Hakikatnya tugas ibu tidak pernah berhenti. Hatta sehingga anak-anak telah berumahtangga juga ibu menjadi rujukan nasihat dan bimbingan.

Seorang ibu biasanya tidak berharap untuk balasan atas setiap pengorbanan mahu pun jasa yang telah dicurahkan. Cukup dengan ingatan dan perhatian serta menghormati perasaan. Jika selebihnya, itu hanya bonus. Menyayangi tanpa syarat. Mudah-mudahan anak-anak memahami hakikat kasih sayang dan harapan ibu. Tidak terlewat rasanya, ucapan Selamat Hari Ibu untuk semua yang bergelar ibu. Tugas ibu hanya akan berakhir di saat nyawa berakhir...Mengungkap Syurga di Telapak Kaki Ibu...








Tiada ulasan:

Catat Ulasan