Isnin, 30 Mei 2011

..........KITA JUGA SALAH SEORANG PEMINUM TEGAR 'BIR HALAL'.

Gambar pinjaman.

Isu bir halal ini masih belum temui noktahnya. Pengelihatan saya, ia masih hangat dan terapung-apung mencari keputusan muktamad. Di mana kekurangan 'jentera terbabit' sehingga isu ini seolah-olah belum temui kata putus. Masih dipersoalkan kebenaran dan kesahihan halal atau haramnya minuman yang dirujuk tersebut. Apa yang saya lihat laporan di dalam akhbar juga seperti bukan menuju kepada menyelesaikan permasalahan ini tetapi lebih membuat orang berada di persimpangan dan lebih berdepan dengan persoalan. Bukankah ini persoalan sejagat untuk negara Malaysia yang mendakwa Islam sebagai agama rasmi.

Isu halal atau haram ini menjadi tanggungjawab untuk diselesaikan secepat mungkin. Ini persoalan perut umat Islam. Perut yang dirosakkan dengan sesuatu yang haram akan juga merosakkan hati. Bila hati rosak, rosaklah ummah dan ini penghinaan secara tersirat pada Islam. Tidak perlu bermain tarik tali dan diberi kelengahan dalam menanganinya. Jika kita soal tanggungjawab siapa? Wajar kita jawab, ia tanggungjawab siapa sahaja yang mengakui beragama Islam. Bermula dari peringkat pemimpin tertinggi sehingga peringkat manusia seperti saya yang hanya mampu menjerit di dalam blog ini. Khususnya ia tanggungjawab 'jentera terbabit' yang memikul tugas khas ini.

Saya katakan laporan akhbar mengelirukan kerana sewaktu membaca berita ini di dada akhbar, tertegun saya membaca di dua muka bersebelahan berita tentang isu yang menggambarkan dua persepsi yang bercanggah. Andaikan dan bayangkan kita sebagai salah seorang peminum tegar minuman tersebut (INI TAJUK SAYA), maklumlah sudah lama beredar di pasaran. Sudah berbotol-botol pula kita teguk. Serasa ketagih dan sukar meninggalkannya dan amat berharap pada hasil keputusan dari 'jentera terbabit'.

Di satu halaman mengatakan sebegini butirannya:
 
1)  Jakim pernah menolak permohonan untuk mendapatkan sijil halal bagi minuman tersebut yang diimport dari Timur Tengah. Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha mengatakan ia tidak menepati 'standard' halal MS1500:2009 dan tidak mematuhi prosedur halal.

Kekeliruan kita:
Kenyataan ini tidak lengkap dengan tidak menjelaskan permohonan dari siapa atau syarikat mana, lebih tepat untuk minuman berjenama apa. Negara Timur Tengah juga tidak dispesifikasikan.

2)  Berdasarkan itu orang ramai diminta supaya berhati-hati dan memilih produk yang mempunyai sijil halal diiktiraf kerajaan. Beliau berkata sedemikian ketika mengulas laporan akhbar Harian Metro, Sabtu lalu berkenaan ujian oleh Jabatan Kimia terhadap minuman berkenaan yang mengandungi tahap alkohol 0.5 peratus berbanding 0.1 peratus yang dibenarkan.

Kekeliruan kita:
Pada peringkat ini kita bukan perlu nasihat dan amaran sebaliknya kita perlukan kata putus perihal halal atau haram untuk meneruskan meminum minuman tersebut.

3)  Jakim dikatakan tiada kuasa menghalang pengguna Islam dari membeli minuman tersebut sebaliknya hanya boleh menasihatkan supaya mereka tidak meminumnya.

Kekeliruan kita:
Jadi tugas siapa pula nak menghalang umat Islam dari terjebak dengan perkara sebegini dan seumpama ini. Atau ini hal sendiri-sendiri. 'Mind your own business', kalau dalam bahasa Inggeris. Bahasa 'rock' saya, lagi-lagi nasihat, dan bukan semua orang makan nasihat. Apa yang perlu adalah ketegasan penguatkuasaan. Asyik menasihat sahaja, pelacur pun diorang layan juga, arak pun teguk juga.....

4)  Timbalan Ketua Pengarah Kastam(Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Muhammad Yusop Mansor menyatakan kesediaan membantu Jakim mengawal kemasukan produk ke Malaysia, disamping mengambil kira cukai dan lesen import minuman itu. Beliau juga mengatakan belum menerima aduan dari mana-mana pihak tentang bir halal itu. Alasan beliau adalah bab halal dan haram adalah di bawah kuasa Jakim dan hanya akan bertindak berdasarkan permintaan dari agensi tersebut. Menambah kenyataan dengan mengatakan produk tersebut perlu diberi perhatian kerana berkaitan alkohol.

Kekeliruan kita:
Lihat perkataan 'kemasukan' itu tidak dispesifikasikan kemasukan produk apa. Sekali lagi kenyataan yang begitu terbuka dan umum sehingga sama seperti tiada berbicara apa-apa. Pelik kerana tiada aduan dari mana-mana pihak sedangkan isu ini sudah beberapa lama diperkatakan. Meletakkan sepenuhnya ke bahu Jakim persoalan tersebut.

Di halaman bersebelahan pula dalam isu yang sama namun laporan dari wartawan berbeza pula begini butirannya:


1)  Pengarah Suria Wholesaler Sdn Bhd, Ahmad Al Yateem, pengedar minuman malta berjenama Barbican yang dikaitkan dengan bir halal itu menegaskan tidak mungkin seorang Islam mahu menjual minuman tidak halal kepada saudara seagama. Beliau menekankan bahawa sudah 6 tahun minuman tersebut berada dipasaran dan jualan telah terjejas dengan teruk kerana insiden mempersoalkan kehalalan minuman tersebut. Juga mendakwa tidak pernah melabel minuman tersebut sebagai bir halal dan ianya hanya sebagai minuman malta berperisa buah-buahan.

2)  Saudara Ahmad juga mengatakan oleh kerana banyak media menggunakan gambar Babrican semenjak isu ini timbul menimbulkan kekeliruan pada pengguna. Belaiu juga menegaskan minuman tersebut tiada alkohol dan boleh pula ditemui dijual di Masjidil Haram di Makkah untuk umat Islam di sana.

Profil Barbican: 
- Keluaran Syarikat Aujan Industries Co berpusat di Dubai
- Pasaran ke seluruh negara Arab selain Asia dan Eropah untuk pengguna Islam
- Memperolehi sijil dari Kementerian Kesihatan Dubai, sijil untuk Eksport dan Sijil Halal dari Islamic Food Research Centre Malaysia (IFRC Asia)

Saudara Ahmad sekali lagi menegaskan bahawa syarikatnya tidak akan menjual minuman mengandungi alkohol pada umat Islam. Beliau menutup bicara dengan mengatakan bir halal yang dimaksudkan adalah mungkin disebabkan persaingan perniagaan, namun mengelak menuduh sesiapa dan mahu berjumpa pihak Jakim untuk penyelesaian isu tersebut.

Pandangan saya:
Saudara Ahmad ini sememangnya seorang ahli perniagaan yang hebat kerana berjaya tampil dengan pelbagai kenyataan yang tegas dan meyakinkan untuk melindungi kepentingan diri, syarikat dan produk yang mereka pasarkan. Belaiu lebih hebat dari 'jentera terbabit' yang terlalu rapuh dan dapat dipertikaikan kenyataan-kenyataan mereka. Tidak hairan jika penggemar minuman tersebut akan terus meminumnya walau belum menerima kata putus tentang kesahihan halal.

Di halaman sama terdapat juga berita tambahan mengatakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menghantar pegawai untuk mendapatkan sampel 'bir halal'. Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaannya, Mohd Roslan Mahayuddin memberitahu empat anggota telah dihantar ke dua premis yang didakwa menjual minuman tersebut di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut. Tindakan tersebut dilakukan atas laporan akhbar Sabtu lalu dan semalam (Isnin). Pihaknya memeriksa dan meneliti status produk tersebut termasuk pengesahan logo halal dan bebas alkohol seperti yang didedahkan.

Pandangan saya:
Ini seperti menidakkan ujian sampel yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAJ)  ke Jabatan Kimia sebelumnya. Atau mungkin akan dikatakan sebagai semakan. Jadi apakah silap ujian pertama? Apakah ianya sampel yang sama? Siapa yang tidak betul dalam menjalankan siasatan? Siapa yang tidak cekap? Ini sungguh mengelirukan.

Peranan semua pihak terutama 'jentera terbabit' amat perlu dalam menangani isu ini secara telus, tepat, cepat dan meyakinkan. Kesan dari isu ini seperti dipandang remeh. Apakah ia seperti sengaja digembar-gemburkan untuk melariskan jualan akhbar? Bertujuan sensasi dan kontroversi? Apakah ini hanya permainan sesetengah pihak? Usah terkejut jika keputusannya nanti minuman tersebut masih boleh diminum.  Hilang dan lenyap segala persoalan haram sebelumnya. Kenyataan manusia boleh berubah-ubah dan diputarbelit. Namun hukum Allah tidak begitu. Bila-bila sahaja Allah mampu melupuskan kita, dan menggantikan kita dengan mereka yang lebih baik dari kita.....

Kesimpulannya, apa yang dapat dilakukan secara cepat adalah tinggalkan sesuatu yang meragukan. Keraguan itu sendiri adalah was-was syaitan...

1.30pm@31/5/11





Tiada ulasan:

Catat Ulasan