Isnin, 15 Oktober 2012

KU PINANG KAU DENGAN BISMILLAH.....ISLAMIC BRANDING


KU PINANG KAU DENGAN BISMILLAH! Tak tonton pun. Rasanya ini kisah sambung-sambungan. Kategorikan sahaja sebagai Cinta Islami. Oh! Maklumlah 'kini' jika jual sesuatu berdasarkan Islamic Branding memang laku. Tanya saya kenapa? Entah!, antara ada jawapan dengan tidak. Mungkin antaranya ada sedikit yang menunjukkan manusia makin mahu pada Islam. Boleh kita kata begitu? Jika ada benarnya dakwaan sebegitu teramatlah bagusnya. Saya tumpang suka lagi gembira. Namun bila melihat kebejatan sosial, tak payah pergi jauh, baca suratkhabar je dah cukup. Rogol, sumbang mahram, zina, buang anak…….Rasa macam teramatlah ‘contrast’ dengan segala macam Islamic Branding yang dipromosikan dipersekitaran. T-Shirt Muslimah. Walhal ramai pula yang ditangkap khalwat itu berpakaian ala muslimah lagi bertudung. Selepas itu membuang anak. Astaghfirullah... Sama naik.  Apa ini kebetulan?  Atau ia sama seperti….Kita melarang segala tahyul mahyul dari diajar dan ditunjukkan pada umum, namun masa yang sama filem-filem perihal segala macam hantu dan syaitan yang terus galak wujud(walau awal dulu saya juga nonton filem begini). Begitu juga kita tak mahu banyak samseng dalam negara, namun filem samseng, gangster tak putus. Macam meraikan pula. Tak payahlah kata, “Tonton dulu barulah komen.” Sebabnya semacam dah dapat agak apa kesudahan filem-filem tersebut.

Berbalik pada KU PINANG KAU DENGAN BISMILLAH. Kesimpulannya, di situ adalah Agama Islam itu tidak wajar hanya sebagai ‘branding’ bagi produk-produk yang mahu dipasarkan. Baik apa sahaja. Tidak terhad pada hanya filem. (Bukan pula saya mahu merencatkan para peminat cerita tu, jauh sekali nak komen pasal filem tu. Tak lihat pun. Ini sekadar pandangan dan fikiran sahaja).  Islam itu nyata lebih kepada cara hidup dan amalan. Apa yang diperlukan manusia adalah pendedahan demi pendedahan dan pengisian demi pengisian. Ada antaranya menjadi tanggungjawab diri sendiri, keluarga dan ahlinya, guru-guru, ketua-ketua, pemimpin-pemimpin dan sampailah pada Sultan. Jika betullah hieraki sistem perlembagaan sepintas lalu yang saya bayangkan. Jadi bila ada ‘failed’ di mana-nama pasti setiap satunya ada peranan dalam membetulkan.

Berbalik sekali lagi pada topik asal yang terfikir oleh saya asal tadi. Atas tu cuma rapu-rapuan pemikiran sebagai pembukaan. BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. Sebagai muslim, kita sering diperingatkan untuk memulakan sesuatu dengan Bismillah….Jadi tidak salah kalau mahu meminang seseorang juga dengan Bismillah. Namun sering juga sebutan itu hanya suatu lafaz pada mulut yang keluar antara dua bibir. Hakikat dan pengertiannyanya kita masih kabur. Walau terjemahannya kita hafal sudah. Ada masanya kita terlepas pandang. Tak terkecuali saya sendiri.

Selaku manusia yang amat terbatas pengetahuan, bila memulakan sesuatu, tidak kita dapat meramal apa akan menjadi kesudahan kepada sesuatu usaha kita itu. Maka sudah pasti bagi sesiapa yang kembali kepada Allah pada permulaan berbuat sesuatu itu adalah lebih baik. Sesuatu perbuatan itu dikatakan terputus kebaikannya, atau boleh dikatakan cacat kerana tiada Bismillahirrahmanirrahim. Putus keberkatannya. Berkat itu amat dititikberatkan dalam agama Islam. Yang banyak tidak semestinya cukup jika tiada berkat. Yang kaya tidak semestinya bahagia, jika tiada berkat. Yang pandai belum tentu menggunakan kepandaian pada jalan yang lurus, jika tiada berkat. Begitu mustahak berkat dalam hidup manusia. Tidak berkat itu terjadi dikaitkan  kerana tidak berbalik kepada Allah akan asal tujuan melakukan sesuatu amalan itu. Patilah ia amal yang menjurus pada kebaikan. Jika ada yang mahu merompak dan membaca Bismillahirrahmanirrahim….. Sama ada dia pelawak besar(bakal cipta kontroversi) atau jika benar penghayatan pada ayat tersebut, dia takkan jadi merompak. Oleh itu beramal dengan Bismillah..... itu bertujuan untuk memelihara keberkatan dalam menjalankan sesuatu amal perbuatan itu. Tidak terhad pada amal ibadat khusus malah am juga. 

Keberkatan itu dikaitkan dengan pengukuhan  kebaikan Tuhan pada sesuatu perkara. Satu kebaikan yang datang dari Allah dan pasti akan kembali hanya pada Allah. Ini kerana jalan kebaikan itu dibuka oleh Allah, begitu juga jalan keburukan. Manusia dayanya dengan akal kurniaan Allah perlu memilih. Bila pilihan dibuat, itulah yang akan terhasil. Niat amat berperanan. Niat(benih) yang baik, sering dikaitkan dengan hasil yang baik. Semai benih jagung, InsyaAllah pasti hasilnya jagunglah juga. Takkan kita akan dikejami dengan berhasilkan lalang. Allah tidak kejam itu. Itu bukan samasekali sifatNya. Namun mungkin sahaja terjadi sedemikian. Bila Allah mahu menunjukkan kekuasaannya. Bila Allah mahu menguji dan menduga kita. Manusia ditunjukki dan dipimpin oleh Allah juga. Dalam apa keadaan pun, Allah itu amat dekat dengan manusia. Cuma manusia itu yang begerak sama ada makin mahu mendekat atau menjarak dari Allah. Selain itu, Nabi dan Rasul sebagai utusan membawa risalah kebenaran dari Allah juga. Jadi setiap segala sesuatu itu akan kembali pada Allah. Allah empunya zat yang suci lagi kudus. Pastinya keberkatan itu akan hanya kembali pada Allah.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Bermakna perkataan ‘Dengan’ itu sendiri dilihat sebagai katasendi menyambung antara sesuatu ayat  dengan sesuatu yang lain. Mengukuhkan. Ia menjadi lafaz, simbol sekaligus semangat  mengukuhkan akidah kita dalam setiap perbuatan yang kita niatkan sebagai amalan kebaikan kita demi Allah s.w.t. Itulah Bismillahirrahmanirrahim…..

Manusia dan segala ciptaan didunia ini hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah. Ia adalah luahan dalaman bahawa pergantungan dan pengharapan kita dalam melakukan sesuatu hanya dengan izin Allah sahaja. Kita tidak hanya dengan menyebutnya dengan mulut namun hati mesti merasa getarannya dengan pemahaman bahawa apa maksud dan rohnya perkataan Bismillahirrahmanirrahim itu. Menyedarkan bahawa kita manusia ini tidak mempunyai dan memiliki sesuatu apa sebesar zarah pun bahkan segalanya sesuatu hanya akan berhasil dengan izin dan kekuasaan Allah. Tidak kerana kepandaian kita. Tidak kerana kekayaan kita. Tidak kerana apa juga kesempurnaan yang ada pada kita. Itu juga kerana kesempurnaan itu hanya milik Allah. Wah! Saya sendiri terasa makin kerdil, hampir sekerdil seekor semut.

Sifat Allah itu Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Pemurah dan Penyayang. Itu adalah kekuatan yang paling kuat perlu ada dalam diri manusia. Manusia  mesti belajar menguatkan dan mengentalkan dalaman diri pada semua keadaan. Bismillahirrahmanirrahim adalah untuk semua permulaan. Ia mesti dilafaz dengan penuh kesedaran, jujur dan ikhlas. Mudah-mudahan ia akan membawa kesan mendalam dan mampu meraih kekuatan luar dalam dengan keberkatan nama Allah sebagai Pencipta sekalian alam dan penentu setiap kejadian.

Hanya Allah Yang Lebih Tahu....



Tiada ulasan:

Catat Ulasan