Rabu, 11 April 2012

MENZIARAHI MAKAM RASULULLAH DI RAUDHAH


Diusahakan menyambung cerita diri perihal Raudhah . Dicoretkan supaya dengan harapan diri sendiri tidak mudah lupa dengan pengalaman itu sementelah jika ada yang mahu berkongsi rasa menelusuri pembacaan hasil dari pengalaman kecil ini. Mudah-mudahan ada kebaikan dan manfaatnya.
Payung-payung di perkarangan masjid Nabawi. Meneduhkan kepanasan untuk pengunjung. Ia boleh ditutup sama seperti kubah di dalamnya.  

Setelah berhenti di ‘check point’(ini cara kami yang menurut perintah dari pengawalan pihak masjid) yang ke dua terakhir, kami bangkit lagi dan berjalan ke kanan lagi dan berhenti lagi bila diminta sedemikian. Kami duduk bersila beramai-ramai dan seorang mutawwif berjubah hitam yang hanya menampakkan kedua mata itu, sambil memegang pembesar suara melafazkan tazkirah sebelum kami meneruskan langkah ke Raudhah. Tazkirah memberitahu perihal apa yang ‘boleh’ dan ‘tidak’ dilakukan di Raudhah. Jelas mereka amat menitikberatkan adab dan tatasusila di pengunjung wanita waktu di sana(setakat saya di sana) dan InsyaAllah pada masa hadapan juga. Dipesan bahawa tidak dibenarkan berlebih-lebihan melayan kesedihan yang dapat membawa kepada ketidaksopanan perilaku. Diberitahu juga solat yang digalakkan hanya Solat Dhuha dan Solat Sunat Kerana Allah Taa’la sahaja. Solat hajat tidak digalakkan. Dibacakan hadis Nabi yang mengarahkan bahawa hajat manusia hanya diserah pada Allah. Bukan ditujukan pada yang lain. Jika di sini kita biasa sahaja dengan solat Hajat. Berniat mengaju permohonan pada Allah. Di Raudhah pula diberi peringatan supaya tidak melakukan solat Hajat kerana saya anggar mereka amat bimbang serta tidak mahu berlakunya bibit-bibit pencemaran akidah di tempat yang suci. Mungkin sahaja ditakuti kita ‘seolah-olah’ meminta dari kekeramatan Rasulullah pula, sedangkan Allah yang berkuasa menjadikan atau memberi sesuatu dan Rasulullah itu juga manusia biasa namun teramat istimewa dan bertaraf Kekasih Allah. Menyampaikan salam pada Rasulullah juga tidak digalakkan. Sedangkan ia dirasa tiada masalah pada kita. Namun dari dalam hati…tetap saya nyatakan... dan saya tahu Rasulullah juga sudah sedia tahu siapa yang telah berhajat salam padanya. Para pengunjung wanita juga tidak digalakkan berlama-lamaan berdoa apatah lagi membawa buku untuk dibaca bersama-sama. Ini kerana sahaja tempat itu amat terhad dan menjadi tumpuan ramai. Ia demi memberi peluang kepada setiap pengunjung untuk menjejakkan kaki pada PERMAIDANI HIJAU yang merupakan kawasan Raudhah sebenarnya. Jika pun anda telah masuk ke perkarangan Raudhah namun anda lihat kaki anda masih belum menjejak PERMAIDANI HIJAU, bermakna bukan lagi Raudhah. Jadi dalam pada usaha mengambil posisi, selalu perhatikan warna permaidani apakah kaki anda sedang berpijak.
Kubah Hijau(di bawah itulah makam Rasul dan Raudhah berlokasi), Permaidani Hijau....Mmmm hijau juga sering dikaitkan dengan latarbelakang warna syurga...Pepohon hijau, baldu hijau....melalui amatan sayalah! Kebetulan pula.

Akhirnya.... tibalah masa yang kami semua nantikan. Kumpulan kami dilepaskan masuk ke dalam kawasan Raudhah beriringan dengan jemaah dari Indonesia. Atas sebab berapat-rapat dan menurut arus, saya telah termasuk ke dalam kumpulan dari Indonesia. Entah kenapa begitu??? Saya membiarkan sahaja dan nampaknya kumpulan saya menghala ke arah sebelah kiri dan saya ke bahagian tengah dan di kanan terdapat lagi satu kumpulan juga. Saya membiarkan saja. Walau saya ketahui bahawa makan Rasulullah itu dikatakan ke kiri Raudhah. Apa pun kawasan makam telah dikepung dengan pagar tidak seperti sebelumnya. Tiadalah nampak akan sebenarnya makam Baginda. Rasa seperti tak puas. Saya pasti jika tidak dikepung pasti semua hadirin akan nampak suasana sebenar makam. Namun saya pasti ada bersebab itu dibuat. Dalam pada berhimpit-himpit perlahan, saya meneruskan selangkah demi selangkah mahu menempatkan kedua kaki ke atas PERMAIDANI HIJAU. Salah satu tempat dikatakan amat mustajab untuk berdoa di bumi Madinah itu. Alhamdulillah….bagai akhirnya tegaklah saya di situ. Asalnya ada mahu menganjak ke hadapan lagi. Namun menyedari keadaan yang sesak dan masa terhad….terus mengambil peluang bersolat. Rasa tidak percaya pun ada. Namun kesempatan itu adalah dari Allah. Jadi memilih melakukan solat sunat dua rakaat kerana Allah Ta’ala. KepadaNya wajar dipulangkan segala kesyukuran bukan???  Saya menurut cadangan mutawwif yang mengatakan doa wajar dipanjang semasa sujud terutama sujud akhir dan selepas tahiyat akhir. Ini juga supaya tak dihalau ketika berdoa oleh pengawal masjid tersebut. Saya ada terlihat dua orang wanita(bukan Melayu atau Indonesia) yang berdoa dan membaca buku sambil seorang duduk di atas kerusi dibawa, disitu digesa seperti diusir keluar oleh penjaga Masjid. Ini undang-undang mereka, pasti bersebab…jadi patuhilah. Jadi berdoa di dalam solat itu lebih selamat dan InsyaAllah tidak diganggu. Pohonlah apa sahaja keinginan dan kebaikan yang menjadi keutamaan pada diri dan orang disayangi, kaum keluarga sahabat handai dan akhirnya untuk muslimin dan muslimat. Di samping panjatkan rasa terimakasih pada Rasulullah dan banyakkan berselawat. Waktu itu sememangnya tak dinafikan merasa seperti hampir dengan Rasulullah secara batin dan merasakan  Baginda seperti memerhati kami semua. Itulah pengalaman Raudhah kami….

Petangnya saya mengulangi kafeteria di hotel untuk membancuh minuman menghilang dahaga. Kebetulan mutawwif wanita Malaysia yang memimpin kami pagi itu di Raudhah sedang menjamah sedikit makanan. Saya sempat mengajukan pertanyaan tentang bagaimana sebenar keadaan makam Rasul dan mengapa dikepung kawasan makam Rasulullah itu. Dia lantas mengatakan bahawa makam Rasul bukan macam makam biasa...hanya pasir. Biasa sahaja. Tiada apa yang berlebih-lebihan. Kepungan dibuat kerana pihak yang bertanggungjawab tidak mahu terjadi unsur-unsur yang tak diingini. Untuk mengelak ketaksuban. Menghindari kekhurafatan dan yang sepertinya. Saya faham. Ini kerana saya ingat ada melihat seorang dari pengunjung yang sewaktu melangkah keluar bersama-sama mengangkat kedua-dua tangan melebihi paras bahu(ini telah diingatkan untuk tidak dibuat sewaktu tazkirah diluar) untuk melambai-lambai ke arah kawasan makam Rasulullah(s.a.w)sambil menangis-nangis dan becakap-cakap dengan suara agak kuat, tapi dalam bahasa yang tak pula saya fahami. Apa pun, semuanya antara dia dan Allah. Untuk saya, merasa begitu terhad masa di Raudhah dan memang tidak puas. Namun hanya itu kesempatan yang ada. 3 malam di sana amat pendek. Ditambah dengan keadaan yang agak ketat untuk pengunjung wanita ke Raudhah. Selain mahu meraih solat berjemaah dan lainnya. Bagi lelaki rasanya tiada banyak masalah. Jadi itu pengalaman kecil di Raudhah. Pencetus sampai ke sana pastinya Rasulullah (s.a.w) dan lebih dari itu adalah dengan izin Allah (s.w.t)…..Subhanallah, Alhamdulillah, Allahhuakbar….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan